Categories
SELANGOR

Dewan Komuniti Adalah Milik Rakyat, Bukan Parti Politik

PANDAN JAYA, 17 APRIL: Semua dewan komuniti di Selangor yang dahulunya digunakan oleh Umno-BN untuk kepentingan politik akan dimanfaat untuk kegunaan pembangunan masyarakat seperti pembinaan Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya.

Perubahan polisi ini selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat (Pakatan) yang mahu setiap bangunan yang selama ini digunakan untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menafikan hak masyarakat dikembalikan semula kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pembinaan perpustakaan komuniti sebegini merupakan sebahagian daripada program Pangsapuri Bersih, Ceria dan Harmoni (CERIA).

Ini memandangkan kawasan ini merupakan kawasan pangsapuri yang mempunyai lokaliti penduduk yang padat.

“Perpustakaan ini pada asalnya adalah dewan orang ramai yang telah digunakan oleh pihak Umno bahagian Pandan sebagai bilik gerakkan.

?Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih, kita melihat bangunan ini berpotensi dan mencadangkan agar bangunan ini dijadikan perpustakaan komuniti,” katanya.

Apabila ia siap nanti, perpustakaan ini akan menyediakan dewan serbaguna dengan hawa dingin yang boleh memuatkan 100 orang. Ia juga akan menyediakan bilik kuliah dan seminar untuk 50 orang.

Perpustakaan itu turut menyediakan tujuh buah komputer dengan teknologi skrin sesentuh dan jalur lebar internet selain bilik bacaan kanak-kanak, surau, kafeteria dan ruang santai untuk ibu bapa menunggu.

Perpustakaan ini akan beroperasi setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang dan 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada hari Sabtu (kecuali Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima) dan ditutup pada hari Ahad.

Iskandar yang juga Adun Cempaka menambah, pembinaan perpustakaan ini turut terkandung dalam menifesto pilihanraya Dun Cempaka dimana Pakatan akan membina satu pusat pembelajaran untuk kemudahan remaja di kawasan ini.

Katanya, pihaknya akan cuba berbincang dengan Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali bagi meningkatkan pembinaan perpustakaan kominiti.

Ini memandangkan penduduk pangsapuri kurang tempat khusus bagi remaja belajar dan mengisi masa lapang oleh kerana unit pangsapuri yang mereka duduki agak kecil dan tidak selesa.

Kawasan Pandan Jaya mempunyai 50 unit blok pangsapuri dengan 300 unit setiap blok.

Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya yang mula dibina pada 22 Julai 2011 berada dibawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ia dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mei selepas kerja-kerja akhir selesai.

Kos pembinaan struktur bangunan perpustakaan bernilai RM159,000 sementara RM250,000 lagi kos untuk peralatan seperti perabot dan kelengkapan lain.

PPAS mensasarkan pembinaan 20 buah perpustakaan komuniti dengan kos sebanyak RM6 juta. Sebelum ini, perpustakaan komuniti pertama telah dibina di kawasan Lembah Jaya.

Perpustakaan Pandan Jaya merupakan perpustakaan kedua yang dibuka di kawasan ini selepas Perpustakaan Desa di Kampung Pandan yang telah dibuka pada tahun 2008.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Sedia Mengadap Yang Di-Pertuan Agong, Perjelas Isu Pemimpin Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 17 APR :  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah bagi memberi penjelasan berhubung isu pemimpin Pakatan Rakyat yang dibangkitkan Umno-BN.

Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, Menteri Besar bersedia menjelaskan isu berkenaan kepada Duli Taunku Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, isu yang cuba dibangkitkan oleh Umno-BN adalah remeh yang sengaja diperbesar bagi tujuan politik kerana beliau sendiri menghadiri dua acara utama iaitu Istiadat Pertabalan dan Majlis Santapan Diraja yang berlangsung di Istana Negara.

“Selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Menteri Besar, saya berpeluang menghadiri dua acara utama iaitu Istiadat Pertabalan dan Majlis Santapan Diraja yang kedua-duanya berlangsung di Istana Negara,” katanya.

Selain itu, Abdul Khalid menyatakan beliau mengenali Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua’dzam Shah ibni  Almarhum Sultan Badlishah secara peribadi dan Duli Tuanku terkenal dengan sikap merendah diri, mudah mesra dan mengambil berat hal ehwal rakyat jelata.

Serentak itu, Abdul Khalid menawarkan kesediaan untuk menghadap Seri Paduka Baginda Tuanku Alhaj Abdul Halim Muadzam Shah bagi menjelaskan kedudukan sebenar ke bawah Duli Tuanku.

Categories
SELANGOR

Penduduk Terima Geran Selepas 14 Tahun Menunggu

SHAH ALAM, 16 APR: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya.

“Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat  Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini,” ujar beliau.

Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman.

“Dalam negara ini, hanya dua negeri yang telah mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyerahkan geran kepada pembeli rumah dan dua kerajaan negeri tersebut adalah Selangor dan Pulau Pinang.

“Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang.

Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula  memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri.

Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli.

Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah.

Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya.

Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

“Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran,” katanya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar.

Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan.

Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud.

Categories
NASIONAL

Aziz Bari : Pembaziran Melampau BN Yang Akan Mufliskan Negara

SHAH ALAM, 12 APR : Dakwaan pemimpin Umno-BN bahawa negara bakal muflis dalam tempoh dua tahun sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memegang tampuk pemerintahan dan menunaikan tiga janji mereka adalah tidak tepat.

Sebaliknya Umno-BN ‘terlupa’ bahawa perkara yang menyumbang kepada negara muflis adalah pengurusan tidak telus, pembaziran melampau dan subsidi yang terlalu besar kepada kroni mereka.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berkata pentadbiran Umno-BN sepatutnya mengambil iktibar daripada cara pemerintahan Pakatan terutamanya di Selangor.

Di negeri itu pengurusan yang lebih telus, berhemat serta berjimat telah mengembalikan hasil negeri kepada rakyat.

“Sebagai contoh di Kedah, kerajaan PR menurunkan cukai tanah dan dapat meningkatkan hasil balak daripada pentadbiran yang telus.

?Begitu juga di Selangor, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Tawas dan sebagainnya yang dilaksanakan untuk rakyat tidak menjadikan negeri itu muflis.

Bahkan kalau kita tengok, simpanan tunai di Selangor juga meningkat walaupun pelbagai program kebajikan dilaksanakan. Justeru, tidak timbul soal bangkrup,” ujarnya apabila ditemui di sini.

Tegasnya, tiga janji yang ditawarkan Pakatan, penghapusan kutipan tol, gaji minima RM1,500 sebulan dan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tidak akan merugikan negara.

Tambahnya, kenyataan yang dibuat Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli baru-baru ini berhubung mekanisma untuk memansuhkan PTPTN juga meyakinkan rakyat bahawa ekonomi negara akan bertambah baik di masa hadapan.

“Sekiranya kerajaan berupaya membersihkan amalan rasuah dan kronisme yang diamalkan dalam pentadbiran negara, maka ekonomi dapat berkembang dengan baik, sekaligus menjadi jaminan untuk mengelakkan negara muflis,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, keadaan ekonomi negara yang merudum juga menunjukkan bahawa kerajaan sekarang kurang berdaya saing dengan negara luar sehingga mengakibatkan kos pentadbiran semakin tinggi.

“Saya tidak nampak bagaimana mereka (Umno-BN) boleh mengubah sikap mereka seperti yang dijanjikan kerana kita lihat sendiri program transformasi yang diwar-warkan juga gagal.

?Dari segi itu sudah cukup untuk menunjukkan bahawa mereka bukanlah pemerintah yang baik.

?Jadi, rakyat sudah cukup jelas bahawa kerajaan sekarang perlu digantikan supaya Pakatan dapat tunjukkan satu formula dan pendekatan lebih baik, murah, kompetetif untuk mengurus tadbir negara,” katanya.

Categories
NASIONAL

Undang-undang Ganti ISA Macam Panadol

SHAH ALAM 12 APR : Tindakan kerajaan pusat mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan satu akta yang serupa dilihat seperti memberi ‘panadol’ kepada penyakit.

Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 menunjukkan minda dan cara pemikiran pemimpin Umno-BN itu masih sama dengan dulu.

“Kenapa sibuk hendak ganti? Kenapa tidak mansuhkan sahaja? Ini menunjukkan mereka (Umno-BN) terdesak dan masih lagi belum sanggup untuk bebas sebagaimana dunia pertama,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya memansuhkan terus ISA dan menubuhkan satu suruhanjaya untuk mengkaji serta menyemak penindasan dan penyelewengan yang berlaku di bawah ISA sebelum ini.

“Suruhanjaya itu perlu menyiasat segala penyalahgunaan yang dilakukan Umno-BN dari hari pertama ISA diperkenalkan pada tahun 1960 dulu.

“Kerana selama ini kita melihat ISA hanya lebih kepada menindas dan sebenarnya tidak terjamin sepertimana yang didakwa oleh pemimpin Umno-BN,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen tidak seharusnya membuang masa bagi membahas akta itu.

“ISA diperkenalkan selepas darurat dibatalkan, jadi dari dulu hingga kini kita sebenarnya masih berada dalam keadaan darurat dan apa yang kita mahukan ianya dimansuhkan kerana sebagai rakyat kita mahukan kebebasan,” katanya.

Tambah Aziz lagi, Akta baru itu juga dilihat hanya memberi kelebihan kepada pihak polis.

Jelasnya, ianya satu lagi bukti menunjukkan polis dan Umno-BN umumnya, masih lagi tidak yakin untuk berada di dalam suasana baru.

“Mereka sebenarnya memikirkan tindakan rakyat mengancam mereka sedangkan sepatutnya kita lihat rakyat sebagai aset negara dan rakyat juga berfikiran waras dan cintakan negara.

“Rakyat tidak sepatutnya dikongkong. Ini menunjukkan perbezaan Pakatan Rakyat dan Umno-BN. Umno-Bn yang mempunyai sikap ‘dia saja yang tahu dan dia saja yang pandai’,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 itu bagi mengantikan ISA.

Akta baru itu menghadkan tempoh tahanan seseorang yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan kepada 28 hari, berbanding 60 hari di bawah ISA.

Selepas tempoh 28 hari, setiap kesalahan akan di dakwa di Mahkamah Tinggi.

Mereka yang dilepaskan akan dipasang peranti pengawasan elektronik mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Akta baru itu menyenaraikan empat kesalahan iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang dipertua Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan usaha mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah.

Categories
SELANGOR

Adun BN Dilantik Sertai Jawatankuasa Dun

SHAH ALAM 27 MAC : Sidang Dewan Rakyat hari ini menerima beberapa usul penting berhubung perlantikan Ahli Jawatankuasa Khas Kerajaan Negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Usul pertama adalah perlantikan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) yang melibatkan Adun Kajang, Lee Kim Sin sebagai Pengerusi Jawatankuasa menggantikan Adun Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias (BN) seterusnya mengekalkan Shamsudin sebagai Ahli Jawatankuasa.

Sementara itu, Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa menggantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan.

Bagi Usul Kedua pula, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menggantikan mendiang Adun Bukit Gasing, Edward Lee.

Seterusnya, Sidang Dewan menyaksikan perlantikan Adun Sungai Air Tawar, Raja Ideris Raja Ahmad (BN) sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menggantikan Adun Taman Templer, Datuk Sri Subahan Kamal (BN).

Kesemua perlantikan dilakukan berdasarkan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Kilang Radioaktif Tidak Boleh Di Selangor

SHAH ALAM, 27 MAC : Dewan Negeri Selangor hari ini meluluskan usul bagi menolak sebarang permohonan pembinaan kilang-kilang pemprosesan bahan radioaktif di Selangor.

ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San berkata industri bahan radioaktif adalah amat berisiko dan memerlukan kos dan kepakaran yang tinggi.

“Industri yang melibatkan penggunaan radioaktif adalah sangat berisiko tinggi untuk dilaksanakan kerana memerlukan beberapa aspek yang perlu di ambil kira sebelum kita melaksanakannya,” ujar Weng San yang membentangkan usul tersebut.

Rakyat juga telah menolak pembinaan loji-loji yang serupa dan ini ditunjukkan di dalam himpunan 110,000 rakyat memprotes loji Lynas di Kuantan, Pahang baru baru ini.

Weng San menambah gempa bumi 8.9 richer yang mencetuskan tsunami dan pemusnahan stesen jana nuklear pada 2011 harus menjadi contoh terbaik buat rakyat menilai keselamatan bahan radioaktif.

Menyokong usul tersebut, Adun Batu Caves, Amiruddin Shari turut berkata rakyat tidak seharusnya tergesa-gesa untuk mengejar pembangunan tanpa memikirkan kesannya yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

“Manusia tergesa-gesa mengejar pembangunan yang mengatasi kekangan dan halangan akan memudaratkan generasi akan datang.?

Usul tersebut disokong oleh ADUN Pakatan Rakyat dengan sebulat suara.

Categories
NASIONAL

Pertambahan 316,000 Pengundi Baru Di Selangor Diragui

SHAH ALAM,27 MAC : Pertambahan jumlah pengundi baru yang amat mendadak di Selangor untuk Suku Ketiga 2011 berjumlah  316,788 berbanding daftar pemilih induk 2008 mengejutkan pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor seraya menyeru pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memberi penjelasan secara professional berkenaan perkara itu segera.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata , trend pertambahan pengundi baru di Selangor ini menyamai apa yang berlaku di Terengganu apabila pentadbiran PAS ketika itu tumbang pada pilihanraya umum 2004 lepas.

” Jawapan pertambahan pengundi ini dijawab oleh Menteri yang bertanggungjawab semasa sidang sesi Parlimen baru-baru ini, persoalan kita ialah bagaimana pertambahan pengundi baru di Selangor boleh berlaku secara drastik,” kata Dr Xavier dalam sidang media yang turut dihadiri oleh Adun-Adun Pakatan Rakyat Selangor di Dewan Annex Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

” Pakatan Rakyat merasa curiga dengan cara pendaftaran pengundi ini dilakukan, saya diberitahu ada 300 buah rumah yang setiap rumah mempunyai 100 pengundi untuk setiap rumah tersebut.

Jika Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dipindahkan tempat mengundi tanpa pengetahuan beliau, boleh bayangkan bagaimana dengan orang ramai yang dipindahkan nama tanpa pengetahuan,” kata beliau.

Dr Xavier turut mendedahkan kewujudan Kad Pengenalan Hijau yang mempunyai tarikh luput yang pernah digunakan semasa pilihanraya di Sarawak.

” Kad Pengenalan ini digunakan sebagai dokumen sah yang membenarkan pemegang untuk mengundi semasa pilihanraya di Sarawak, apakah perkara ini akan juga berlaku di Semenanjung Malaysia,ini persoalan yang perlu SPR jawab,” tegas beliau.

Sementara itu Adun Meru,Dr Rani Osman menggesa semua pihak mengambil serius isu pertambahan undi secara mendadak kerana dibimbangi wujudnya kemungkinan warga  asing menentukan masa depan negara dan bukannya pengundi warganegara Malaysia.

” Kalau kita lihat negara lain,suruhanjaya pilihanraya mereka diletakkan di bawah Parlimen,itu yang Pakatan Rakyat desak,tetapi sehingga sekarang SPR masih di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata Dr Rani.

Dr Rani juga berkata sewajarnya SPR melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik ketika berumur 21 tahun secara menolak dakwaan wujudnya pengundi-pengundi daripada luar.

“Kita merasa sedih dengan kejadian wujudnya pengundi dari luar, kerana masa depan negara ditentukan oleh orang-orang asing,dan kita tahu bagaimana Mykad diberi kepada bukan warganegara, jadi saya harap perkara ini dipandang serius, ” katanya.

Rekod Daftar Pemilih Terkini Suku Tahun Ketiga 2011 menunjukkan pertambahan pengundi baru di Sabak Bernam ialah 5,711, Sungai Besar 6,049 , Hulu Selangor 15,481, Tanjong Karang 4,307, Kuala Selangor 10,083, Selayang 16,189, Gombak 15,467, Ampang 9,467, Pandan 13,175, Hulu Langat 23,334, Serdang 23,748, Puchong 19,772, Kelana Jaya 13,714.

Manakala di Petaling Jaya Selatan berlaku pertambahan sebanyak 4,143, Petaling Jaya Utara 5,603, Subang 27,765, Shah Alam 15,417, Kapar 21,606, Klang 11,702, Kota Raja 22,256, Kuala Langat 17,172 dan di Sepang 14,627.

Categories
NASIONAL

Azmin-Umno Pengkhianat Gadai Tanah Rizab Melayu

SHAH ALAM 23 MAC : Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali hari ini mendedahkan kes kerakusan Umno-BN sebelum tahun 2008 dalam penjualan tanah rizab melayu di Sungai Sering.

Azmin dalam perbahasannya berkata sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN dan diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.

Katanya, syarikat itu gagal membangunkan tanah berkenaan malah turut berdegil menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah itu telah ditukar.

Bagaimanapun setelah Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengambil keputusan untuk merampas kembali kesemua tanah itu dan mengembalikannya sebagai status tanah rizab melayu selepas meneliti kes itu.

“Ini membuktikan bahawa Umno-BN apabila diberi kuasa telah mengkhianati dan mencabuli kepentingan orang melayu di negeri Selangor,”katanya.

Pendedahan itu juga turut disokong oleh Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut mendedahkan permohonan Umno bahagian Puchong kepada Kerajaan Negeri untuk menjual tanah rizab melayu kepada syarikat bukan melayu.

Bagaimanapun permohonan pada tahun 2010 itu ditolak oleh Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jelas Azmin, perkara itu penting untuk didedahkan berserta fakta di DUN supaya rakyat tidak keliru kerana pihak Umno-BN hanya mendabik dada dan mendakwa mereka adalah pejuang melayu.

“Semua itu hanya sandiwara, apabila diberikan kuasa merekalah yang merampas hak orang melayu. Saya memohon Kerajaan Negeri memaklumkan terus kepada Sultan Selangor mengenai perkara ini,” katanya.

Tambahnya lagi, Umno-BN juga dalam menguruskan hal tanah rizab melayu seringkali dengan menukar tanah rizab dikawasan bandar dengan tanah dikawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal.

“Hal ini menyebabkan tanah rizab melayu di Negeri Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu. Inilah amalan khianat Umno kepada orang Melayu di Negeri Selangor ketika mentadbir negeri ini.

Tambahnya, PR berikrar akan terus menjaga hal dan kepentingan orang melayu tanpa mengorbankan kepentingan kaum lain.

“Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

“Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan
secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan,”katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Cemerlang Beri Keyakinan Sokongan

SHAH ALAM 23 MAC : Kemenangan rakyat Selangor hasil kesatuan hati dan iltizam untuk bangkit menolak pentadbiran Umno-BN pada Pilihanraya lalu, sewajarnya dilanjutkan demi kesejahteraan rakyat yang berpanjangan.

ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali berkata kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil muafakat dan kesedaran rakyat untuk berubah.

Keyakinan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Tokoh Veteran Umno, Tun Daim Zainuddin dalam wawancara bersama media baru-baru ini sebagai berkata adalah amat sukar untuk Umno merampas kembali Selangor.

Daim juga mengakui penerimaan rakyat terlalu hebat terhadap kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat yang tampil dengan imej sebuah Kerajaan yang berintegriti.

“Ini jelas menjadi kegusaran Umno yang tidak dapat menandingi keupayaan pentadbiran hari ini biarpun baru berusia empat tahun. Terbukti sekiranya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dapat ditadbir dengan baik oleh Pakatan Rakyat nescaya kesejahteraan akan lebih dikecapi oleh rakyat apabila kita sampai ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13.

“Amalan rasuah, kronisme, penyelewengan dan salahguna kuasa adalah malapetaka yang harus ditentang habis-habisan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini,”jelas Azmin dalam sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) hari ini.

Badan penyelidikan profesional, Merdeka Centre dalam laporan kaji selidiknya turut mendapati fenomena penerimaan rakyat terhadap kepimpinan hari ini.

Hasil kaji selidik tersebut mendapati sebanyak 60 peratus rakyat Negeri Selangor menyatakan bahawa pentadbiran pada hari ini berada pada landasan yang tepat. Sementara 64 peratus rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Pakatan Rakyat hari ini.

Malah, sokongan masyarakat Melayu terus meningkat sehingga 59% sementara sokongan bagi masyarakat Cina dan India adalah sebanyak 69 peratus.

Categories
SELANGOR

Empat Exco Wanita Handal Majukan Negeri

SHAH ALAM, 21 MAC : Pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak Mac 2008 berjaya membawa perubahan positif baik dari sudut kepimpinan mahupun kemajuan negeri.

Adun Kota Alam Shah, M.Manoharan berkata, kepimpinan Abdul Khalid yang bersifat telus dan bebas dari sebarang kontroversi seharusnya dicontohi dan dijadikan tauladan oleh barisan pimpinan Umno-BN

Jelasnya, keadaan ini amat berbeza daripada amalan korupsi dan penyelewengan hasil negeri yang diamalkan pemimpin Umno-BN yang pernah menjawat jawatan itu sebelum ini.

“Saya amat berpuas hati atas pentadbiran Menteri Besar dalam mengendalikan urusan pemerintahan kerajaan negeri. Apabila dibandingkan dengan pimpinan sebelum ini, ternyata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tiada skandal dan bebas rasuah.

Malah hasil pasir juga meningkat, malah ekonomi Selangor berjaya menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara,” katanya.

Manoharan berkata, Abdul Khalid juga dilihat berjaya mengharungi pelbagai tohmahan daripada pelbagai pihak terutama berhubung isu pelucutan jawatan Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Menurutnya, tohmahan itu sebaliknya dijadikan pemangkin oleh Abdul Khalid untuk mengukuhkan pentadbiran negeri.

Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan keempat-empat Exco Wanita yang berjaya menujukkan kehebatan serta kehandalan mereka dalam membangunkan portfolio masing-masing yang menyumbang kepada kemajuan negeri.

“Saya berbangga melihat kejayaan dan perubahan yang dibawa oleh exco wanita. Contohnya, Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail yang memegang portfolio wanita telah berjaya membela nasib wanita termasuk ibu tunggal melalui pelbagai program yang diperkenalkan.

Selain itu, Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali juga berjaya membawa kemajuan dari sudut pendidikan dengan memastikan tiada pelajar yang tercicir dari sudut pembelajaran. Saya ingin mencadangkan kepada Menteri Besar untuk membentangkan laporan kerja exco wanita kepada rakyat sebagai bukti kejayaan mereka dalam membangunkan negeri,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Isu Pasir-BN Lagi Hebat

SHAH ALAM 21 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menyangkal kenyataan Adun Kuala Kubu Bharu (BN), Wong Koon Mun yang mendakwa kerajaan negeri mengamalkan aktiviti kongsi gelap, rasuah dan salah guna kuasa berhubung isu pasir.

Abdul Khalid yang juga Adun Ijok berkata, isu pasir telah menjadi kontroversi semasa Selangor berada di bawah pentadbiran Umno-BN sebelum tahun 2008.

Bagaimanapun tegasnya, masalah tersebut berjaya diatasi oleh kerajaan negeri yang berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

“Saya menerima banyak rungutan berkenaan aktiviti haram yang sangat berleluasa tetapi setakat ini banyak yang sudah diselesaikan dan saya juga selesa dengan perlaksanaan yang dijalankan oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Ini menunjukkan Adun Kuala Kubu Bharu tidak mengikuti perkembangan. Saya boleh nyatakan, 100 peratus isu ini diselesaikan dengan cara yang lebih baik,” katanya.

Tambahnya, kerajaan Selangor juga menerima pelbagai tohmahan lain daripada kerajaan Umno-BN termasuklah tuduhan tidak berasas yang dilemparkan oleh Menteri Pertanian, Datuk seri Noh Omar.

“Katanya (Noh) mempunyai bukti tetapi semasa pendengaran Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat), bayangnya pun tidak nampak.

“Itu menunjukkan beliau kurang perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan diri sendiri,” ka