Categories
SELANGOR

TAHUKAH ANDA – Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Sikembar)


 

Sinopsis:
Program Sikembar memperuntukan RM100 bagi menghantar seorang anak ke Taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).Duit itu akan dibayar terus kepada Taska yang terbabit di dalam program itu di Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk bantuan itu bagi tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri menyasarkan seramai 2,500 anak-anak akan menerima manfaat itu untuk tahun pertama.

Untuk Keterangan Lanjut Layari: http://mes.selangor.gov.my

Categories
SELANGOR

Seramai 168 Dari Paya Jaras Terima RM 1,500 Khairat Kematian


SUNGAI BULOH 21 JUL : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) membawa kebaikan bukan sahaja kepada warga emas yang berdaftar, malah turut memberi kelebihan kepada ahli keluarga yang lain.

Mohd Hanif Husin 62, berterima kasih atas wang khairat kematian kerana dapat membantynya menguruskan pemergian arwah ibunya pada pertengahan bulan lalu.

“Sememangnya saya sangat setuju dengan langkah Kerajaan Negeri mewujudkan skim sebegini kerana sekurang-kurangnya dapat membantu kami mengurus jenazah dengan lebih baik.

“Dengan wang yang diterima hari ini, Insya-Allah saya ingin menaik taraf kubur arwah ibu dengan batu marmar selain menganjurkan kenduri tahlil untuknya,” ujarnya yang berasal dari Paya Jaras.

Keluarga warga emas yang berdaftar dengan SMUE akan menerima RM 1,500 di bawah program khairat kematian.

Mohd Hanif antara 168 penerima wang khairat kematian SMUE yang diraikan di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Paya Jaras sempena Program Khas Mesra Rakyat di sini petang semalam.

Seorang lagi penerima, G. Neela 59, berkata beliau sangat berbesar hati dengan langkah bijak Kerajaan Negeri yang disifatkannya sebagai berpandangan jauh.

“Di mana lagi di Malaysia kita mahu cari pemberian wang khairat kematian seperti ini melainkan di Selangor?

“Sebelum ‘pergi’ kita dijaga dengan pelbagai kebajikan, apabila sudah ‘pergi’, keluarga yang ditinggalkan pun tidak terbeban untuk mengurus jenazah lebih-lebih lagi kepada keluarga miskin,” jelasnya yang hadir ditemani anak lelakinya.

Sebanyak RM 252, 000 disumbangkan kepada 168 penerima daripada 10 kawasan DUN dan kesemuanya disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam program tersebut barisan Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi, Ronnie Liu, Dr. Halimah Ali, Rodziah Ismail,

Juga hadir Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan selain Penyelaras DUN Paya Jaras, Khairuddin Othman.

Categories
SELANGOR

Masjid, Surau Akan Dapat WIFI Percuma

SHAH ALAM 11 JULAI : Kerajaan Negeri sedang meneliti untuk memastikan kesemua masjid dan surau di negeri ini mendapat kemudahan wifi percuma.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata inisiatif itu diambil sebagai langkah untuk rakyat celik komputer dan informasi negeri dapat disampaikan.

“Cadangan itu sedang diteliti pada masa kini dan akan diumumkan kelak,” katanya ketika sesi penggulungan
di Sidang Dewan Negeri (DNS).

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukkan tambahan sebanyak RM5 juta untuk memastikan pelebaran jalur internet lebih cepat dari yang dijangkakan.

“Ini meliputi kawasan bandar dan luar bandar untuk pastikan ia dapat dilaksanakan,” katanya.

Tambah Rodziah, Kerajaan Negeri telah membuat dasar untuk menentukan kawasan pemasangan Wifi mengikut keperluan dan kriteria.

Antaranya kawasan tarikan perlancongan, komersial, pejabat kerajaan, medan selera di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kawasan riadah, hub pengangkutan dan Kolej.

“Bagi Fasa 1, kita telah lancarkan di Dataran Shah Alam, PKNS, medan selera Seksyen 2, 3 dan 9, Shah Alam selain Kuala Kubu Bahru dan Dun Permatang serta lain-lain lagi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Dana MIMBAR Disempurnakan Hujung Tahun Ini

SHAH ALAM, 9 JUL : Kerajaan Selangor mensasarkan dana RM 20 juta yang diperuntukkan bagi Skim Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar) akan digunakan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, sehingga Jun 2012, Kerajaan Negeri telah memberikan RM 11 juta kepada 4,452 peminjam bagi pelaksanaan skim itu.

Menurutnya, dana tambahan perlu dilaksanakan pada tahun hadapan memandangkan permintaan terhadap skim itu kian bertambah.

“Bagi memastikan kelangsungan dan sasaran program ini dapat dicapai, dana yang diperolehi itu diberikan secara berperingkat. Setiap minggu, Mimbar mensasarkan kira-kira 250 peminjam di mana kutipan hutang yang dibayar semula oleh peminjam ini akan digunakan sebagai wang pusingan.

“Bagaimanapun dana tambahan perlu dilaksanakan memandangkan permintaan meningkat dan tidak mencukupi sepenuhnya,” katanya.

Rodziah berkata demikian semasa menjawab pertanyaan mulut daripada Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) dalam sidang Dewan Negeri Selangor di sini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri turut menyediakan latihan intensif kepada peniaga kecil-kecilan bagi meningkatkan kemahiran dan kepuayaan mereka supaya perniagaan dapat dikembangkan.

Beliau berkata, program untuk ibu tunggal dan golongan kurang upaya (OKU) juga disediakan selaras dengan hasrat kerajaan negeri sebagai negeri berkebajikan.

“Kita tidak tinggalkan mereka dalam lingkungan kemiskinan. Kita bantu mereka dengan pelbagai program seperti pembersihan masjid dan pembungkusan semula produk bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Selain itu, peminjam Mimbar pula akan diberi latihan dan tunjuk ajar mengenai ilmu berdaya saing dalam perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan skil di peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

MB Galak Tumpu Pelancongan Domestik

SHAH ALAM 8 JULAI : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan agar tumpuan industri pelancongan negeri disasarkan kepada usaha pembangunan pelancongan domestik.

Langkah ini penting kerana menurutnya, industri pelancongan dunia kini sedang mengalami transisi perubahan ‘trend’ kesan daripada kejatuhan ekonomi global.

“Perkara ini dapat dilihat dengan statistik pelancongan penduduk Eropah dan Amerika yang lebih menjurus kepada perkhidmatan pelancongan dalam negara akibat pendapatan yang berkurangan.

“Maka kita juga harus mengambil langkah sama iaitu fokus kepada pelancongan domestik dengan enam puluh peratus usaha haruslah dilipatgandakan kepada kerja meningkatkan pasaran pelancongan domestik

“Antara lain kita boleh mempergiatkan usaha penganjuran aktiviti yang mampu menarik pelancong sedia ada dalam negeri untuk turut serta,” jelasnya.

Beliau menyampaikan amanat ini dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Appresiasi Pelancongan Selangor 2012 di Hotel De Palma di sini petang tadi.

Majlis yang julung-julung kalinya diadakan hasil kerjasama antara Jawatankuasa Pelancongan Negeri Selangor dengan Tourism Selangor Sdn Bhd ini bertujuan memberi penghargaan kepada pengusaha atau pihak-pihak berkenaan yang banyak membantu dalam perkembangan industri pelancongan Selangor.

Penghargaan diberikan kepada kepada 17 kategori penerima antaranya pihak hotel, restoran, agensi pelancongan, eko-pelancongan, pelancongan warisan dan sebagainya.

Kesemua pihak dinilai oleh jawatankuasa panel khas terdiri daripada Kerajaan Negeri, Persatuan Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Pelancongan, Elizabeth Wong serta Ahli Exco Negeri, Rodziah Ismail.

Categories
SELANGOR

RM 1.33 Juta Untuk Bina Pusat Wanita Berdaya Di Seluruh Selangor

GOMBAK, 7 JULAI : Dalam masa tiga bulan, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di Selangor akan mendapat Pusat Wanita Berdaya (PWB) tersendiri bagi meningkatkan taraf socio-ekonomi wanita di seluruh Selangor.

Rancangan ini akan dijayakan dengan peruntukan RM 1.33 juta dari Geran SelangorKu bagi membina 35 PWB baru. Setakat ini Kerajaan Negeri sudah membina 21 PWB di sekitar Selangor.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail berkata misi Pemberdayaan Wanita Selangor akan menyaksikan PWB menjadi hub aktiviti wanita yang akan menghubung jalin wanita setempat dan di seluruh Selangor.

“Ia akan menjana kreativiti dan inovasi ke arah meningkat kualiti hidup wanita, keluarga dan masyarakat di sekeliling mereka,” kata Rodziah di satu majlis penyampaian cek Geran Selangorku untuk PWB berjumlah RM 1.33 juta.

Cek tersebut disampaikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Gombak, Greenwood di sini semalam.

Setiap PWB memberi peluang wanita menceburi bidang-bidang kemahiran seperti menjahit, memasak dan membuat kraftangan bagi menjana pendapatan tambahan bagi keluarga mereka.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penyanyi Antara Penerima Geran di Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 1 JULAI : Penyanyi pop yeh yeh, Datuk Jefrydeen Imbrom Soekaman, adalah antara 20 penerima surat hakmilik tanah daripada Kerajaan Selangor di Kampung Melayu Subang Tambahan di sini hari ini.

Beliau yang menetap di kampung tersebut sejak 1996 mengucapkan rasa syukur kerana impiannya bagi memiliki hak kepada tanah yang diduduki akhirnya tercapai.

“Saya berasa syukur dan gembira kerana menunggu lebih 10 tahun dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin akan masalah ini serta meluluskan permohonan saya.

Sebelum ini saya pernah memohon beberapa kali sejak 1999 tetapi gagal,” kata penyanyi 65 tahun yang popular dengan lagu “Kenanganku”.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Hakmilik Tanah Penduduk kampung tersebut di sini hari ini.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan dihadiri Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Rodziah Ismail, serta ADUN Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim.

Seorang lagi penerima, Che Nah Salleh, 60, berkata pemberian hakmilik itu adalah bukti Kerajaan Negeri amat mengambil berat akan kebajikan rakyat di Selangor.

Pesara kakitangan kerajaan itu pernah membuat permohonan hakmilik pada zaman pentadbiran Umno-BN tetapi keputusannya menghampakan.

“Selepas 2008 barulah segalanya berubah dan akhirnya masalah ini dapat diselesaikan. Memang saya gembira dengan anugerah ini,” kata ibu tunggal lima anak yang kematian suami pada 1981 itu.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mendapati masih ramai penduduk di sesuatu kawasan penempatan di Selangor yang masih tidak dapat hakmilik.

Ini kerana mereka adalah terdiri dari penduduk yang telah mendiami kawasan perumahan tersebut dalam tempoh yang lama.

“Oleh sebab itu Kerajaan Negeri telah meminta Pegawai Daerah dan Pejabat Tanah untuk menyelesaikan masalah ini.

Walaupun masanya agak lama untuk selesai, iaitu lebih dari setahun, tetapi saya rasa bila sudah diselesaikan, ia memberikan ketentuan kepada pemiliknya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pusat Budaya Di Klang Pelihara Warisan Komuniti


KLANG, 01 JULAI : Dalam usaha memperkasakan pembangunan di Klang, Kerajaan egeri Selangor akan menubuhkan tiga pusat kebudayaan di sepanjang Sungai Klang dengan mengambil kira pandangan rakyat.

Pusat kebudayaan yang merangkumi tiga kaum majoriti iaitu Melayu, Cina dan India itu bertujuan mengembalikan kegemilangan bandar diRaja Klang sebagai kawasan bersejarah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, lokasi bagi ketiga-tiga pusat kebudayaan itu telah dikenalpasti, iaitu Bandar Klang (Taman Kebudayaan Cina), Kampung Pandan (Taman Kebudayaan India) dan Kampung Kuantan (Taman Kebudayaan Melayu).

“Pembinaan pusat kebudayaan di Klang ini adalah sejajar dengan misi dan visi kerajaan Selangor untuk menambahbaik pembangunan Klang yang agak ketinggalan berbanding daerah lain di negeri ini.

“Ia juga adalah salah satu inisiatif permulaan untuk menunjukkan bagaimana kemajuan di daerah ini dapat dilakukan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Pameran Pusat Kebudayaan Negeri Selangor di AEON Bukit Raja, di sini semalam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan barisan exco Selangor yang terdiri daripada Rodziah Ismail, Elizabeth Wong, Dr Xavier Jayakumar, Teresa Kok, Yaakop Sapari dan Ronnie Liu.

Pameran yang berlangsung selama lima hari bermula 27 Jun hingga 1 Julai itu mempamerkan warisan kebudayaan sebagai salah usaha untuk menghayati dan mendekati adat resam pelbagai kaum.

Pada majlis sama, kerajaan negeri turut mengedarkan borang soal selidik maklumbalas kepada pengunjung  untuk digunapakai dalam menjana penambahbaikan pembangunan di Sungai Klang.

Tambah Abdul Khalid, pusat kebudayaan itu dapat menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara selain memelihara warisan untuk generasi akan datang.

“Setiap pandangan daripada rakyat memberi makna besar kepada pembangunan di negeri ini. Pembangunan hanya dapat dilakukan jika kita saling bekerjasama,” ujarnya.

 

Categories
SELANGOR

Mangsa Banjir Batang Kali Ucap Terima Kasih Kepada MB

HULU SELANGOR, 16 JUN : Seramai 719 orang penduduk di 10 buah kampung kawasan DUN Batang Kali hari ini menerima sumbangan bantuan banjir daripada Kerajaan Negeri.

Seorang penerima dari Kampung Penjuru, Ng Tong Bit, 82, mengucapkan terima kasih di atas sumbangan tersebut sambil menyatakan ia sedikit sebanyak dapat membantu kos kerugian yang ditanggungnya.

“Saya gembira dapat menerima bantuan ini kerana kita orang miskin dan memerlukan bantuan untuk membaiki rumah,” katanya apabila ditermui.

Majlis pemberian sumbangan itu dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama Exco-exco Selangor iaitu Dr. Xavier Jayakumar dan Rodziah Ismail di Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah, Batang Kali di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail serta Pegawai Daerah Hulu Selangor, Norhisyam Ahmad Dahlan.

Abdul Khalid di dalam ucapannya turut menyatakan Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 3 juta bagi setiap daerah bagi tujuan kecemasan.

“Kita menyediakan peruntukkan untuk diagihkan tanpa sebarang birokrasi di setiap daerah apabila berlaku sesuatu bencana,” katanya.

Seorang lagi penerima, Abdul Aziz Lamon, 68, menyifatkan banjir yang berlaku itu adalah yang terburuk sepanjang beliau duduk di situ.

“Kawasan ini pernah banjir namun ianya tidaklah seteruk kali ini dan saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa barang termasuk barang-barang keperluan sekolah anak-anaknya,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

MB: Penduduk Klang Mendapat Manfaat Jika Jaga Kebersihan

KLANG, 16 JUN : Sebanyak RM20 juta boleh dipulangkan kepada penduduk Klang jika mereka membantu menjaga kebersihan bandar ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Jumlah tersebut merupaka satu pertiga daripada RM60 juta yang diperuntukan untuk pembersihan sampah di Klang dan boleh dijimat sekiranya warga Klang mengamalkan budaya bersih.

“Jika rakyat turut serta membantu Kerajaan Negeri, kos yang dapat dijimatkan adalah sebanyak RM20 juta dan ianya adalah suatu jumlah yang besar untuk pelbagai program untuk rakyat.

“Kerajaan Negeri tidak akan mengambil lebihan penjimatan peruntukkan yang diberikan, sebaliknya diberikan kepada rakyat sebagai tanda terima kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya di Program Penerangan Geran Selangorku di Dewan Orang Ramai Taman Sri Kerayong Kapar semalam.

Serentak dengan itu, Abdul Khalid turut melancarkan poster Kesedaran Penjagaan Kebersihan dalam Bahasa Asing seperti Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Burma.

Turut hadir barisan Exco-exco Selangor iaitu, Dr. Halimah Ali, Dr. Xavier Jayakumar, Dr. Yunus Hairi, Rodziah Ismail, Iskandar Abdul Samad dan Dr. Yaakob Sapari.

Juga hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin.

Pada satu program yang lain, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri komited dalam pembangunan Klang kerana ia bandar penting yang menyumbang terhadap kemajuan Selangor.

Beliau berkata jumlah penduduk Klang mewakili 20 peratus daripada 5.2 juta rakyat Selangor, iaitu kira-kira 1.5 juta orang termasuk rakyat asing.

Menurutnya, pembangunan yang dirancang demi kepentingan rakyat dan tidak berdasarkan keutamaan peribadi atau agenda politik.

“Marilah kita bersama-sama membangunkan Klang dan membawa satu perubahan penting dalam pembangunan ini.

“Ini kerana pendapatan dan pembangunan Klang adalah melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya dalam ucapan majlis Jamuan Bersama Rakyat di Bandar Bukit Tinggi di sini hari ini.

Categories
SELANGOR

Rodziah : Selangor Giat Bantu Wanita Tingkat kemahiran

KUALA SELANGOR, 31 MEI : Wanita di Selangor akan terus dibantu meningkatkan kemahiran sedia ada bagi membaiki taraf hidup masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi & Inovasi, dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, Geran Selangorku yang berjumlah RM30 juta dikhususkan untuk melihat wanita negeri Selangor ini berada dalam tahap yang baik.

“Jadi sebab itu dalam projek di bawah Geran Selangorku yang sebanyak RM30 juta itu, salah satunya ialah untuk menyediakan pusat wanita berdaya,” kata Rodziah dalam lawatan kerja beliau ke INPENS International College.

Lawatan itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama antara Kerajaan Negeri berkenaan peluang-peluang yang boleh diterokai bersama untuk kemajuan pendidikan dan latihan kepada golongan wanita.

“Kolej INPENS adalah salah satu pusat pembelajaran yang tersusun dalam kurikulum dan pembangunan dalam latihan seperti jahitan, salun dan sebagainya.

“Saya juga berhasrat anak-anak yang keluar daripada Kolej INPENS ini nanti dapat memberikan khidmat bakti kepada masyarakat kelak,” katanya.

Dalam lawatan itu, Rodziah turut disertai kumpulan wanita daripada DUN Ijok, DUN Jeram dan DUN Melawati bagi meninjau peluang kerjasama yang boleh digerakkan untuk membangunkan wanita setempat dengan INPENS.

Kolej Antarabangsa INPENS adalah sebuah pusat pengajian tinggi yang pertama ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bertujuan menghasilkan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta mampu bersaing meningkatkan sumber tenaga mahir yang berkualiti dan produktif.

INPENS bekerjasama dengan Universiti Selangor (UNISEL) dalam memenuhi objektif membangunkan industri pendidikan dan latihan bagi mempertingkatkan pencapaian cemerlang pelajar.

Kolej ini menyediakan kemudahan penginapan yang mampu menempatkan 500 pelajar dengan pelbagai kemudahan.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Telah Peruntukan RM 45 Juta Untuk Bantuan Pendidikan

SHAH ALAM 24 MEI : Komitmen Kerajaan Selangor terhadap pendidikan dilihat apabila peruntukan kepada semua jenis sekolah diberi secara berskala berbanding dengan amalan Kerajaan Umno-BN kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Jika dahulu mungkin ada diberikan ‘hadiah’ kepada sekolah-sekolah tapi peruntukan tersebut tidak tetap.

“Keadaan itu berbeza setelah kita ambil alih. Kita memberikan peruntukan tetap kepada sekolah-sekolah SJKC, SJKT dan SAR di negeri ini agar mereka dapat bersedia dari segi pentadbiran dan pengurusan sekolah seterusnya meningkatkan prestasi pelajar.

“Kita juga yakin dan percaya pendidikan merupakan satu pelaburan masa depan kerana masa depan negeri ini bergantung kepada keupayaan guna tenaga rakyat negeri ini di masa akan datang,” kata Abdul Khalid pada majlis Penyerahan Cek Bantuan Pendidikan di ibu pejabat Kerajaan Negeri di sini.

Pada majlis tersebut Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) menerima cek peruntukan bagi fasa pertama program penyaluran bantuan itu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr. Halimah Ali, berkata sejak 2008 sehingga kini, Kerajaan Negeri memperuntukan sejumlah RM 45.936 juta khusus untuk bantuan pendidikan kepada lebih 400 buah sekolah di Selangor.

“Hari ini pula kita akan menyampaikan cek berjumlah RM 4.831 juta untuk disalurkan kepada 180 buah SAR manakala sejumlah RM 2.723 juta pula diperuntukan untuk 89 buah SJKC di negeri ini.

“Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) pula akan disusuli dalam masa terdekat ini dengan peruntukan sebanyak RM 3.,534 juta menjadikan jumlah keseluruhan untuk fasa 1 ini sebanyak RM 11.088 juta,” ujarnya.

Turut hadir di majlis tersebut Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan barisan Exco.