Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Cemar Sungai Selangor, tindakan kepada pencemar sudah diambil – MB

SHAH ALAM, 28 MAC: Tindakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab mencemarkan Sungai Selangor sehingga menyebabkan tiga loji rawatan air (LRA) dihenti tugas sudahpun diambil, kata Dato’ Menteri Besar.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan sumber air negeri sepanjang waktu Perintah Kawalan Pergerakan yang kritikal ini,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Semalam Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) memaklumkan tiga LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) terpaksa dihenti tugas pada 9.40 pagi apabila mengesan pencemaran minyak pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Bagaimanapun, selepas tindakan pantas beberapa agensi terlibat, tiga LRA berkenaan dapat berfungsi semula pada 11.55 pagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sisa minyak kilang bahan binaan punca loji rawatan henti tugas

SHAH ALAM, 27 MAC: Sisa minyak dari sebuah kilang bahan binaan dikesan punca tiga Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas pagi tadi, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan sisa daripada beberapa tong berkapasiti 205 liter didapati mengalir ke Sungai Selangor dengan jarak kurang satu kilometer.

“Premis juga didapati tidak melakukan penstoran sisa minyak dengan baik ekoran penemuan dua tong minyak tidak ditutup, malah terdapat kesan bocor sehingga mengalir masuk ke longkang dan alur berhampiran.

“Sehubungan itu, Luas melakukan pensampelan minyak dan gris di dalam longkang dan premis selain mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen Luas 1999 untuk pembersihan segera,” katanya.

Agensi itu berkata Jabatan Alam Sekitar turut mengeluarkan kompaun bagi kesalahan membabitkan pengurusan buangan terjadual, sementara Majlis Daerah Kuala Selangor mengenakan kompaun dan notis kesalahan serta memasang pita larangan di kawasan berkenaan.

Katanya, perangkap minyak juga dipasang di kawasan alur bagi mengawal baki aliran daripada mengalir ke dalam sungai, manakala Air Selangor meletakkan karbon diaktifkan berhampiran premis untuk mengawal pencemaran.

“Pemantauan rapi dari semasa ke semasa dilakukan Luas bersama agensi berkaitan bagi memastikan tiada henti tugas loji selain tidak menjejaskan bekalan air kepada pengguna.

“Luas menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air negeri terutama sungai dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” kata agensi itu lagi.

Categories
ADN SELANGOR

Pelihara Sungai Selangor, elak kelip-kelip ‘merajuk’

SHAH ALAM, 6 JAN: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli kesal susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab membuang sampah ke dalam Sungai Selangor.

Katanya kerja pembersihan sungai giat dilakukan sejak tahun lalu bagi memelihara habitat kelip-kelip yang menjadi tarikan pelancong ke Kuala Selangor.

“Amat malang apabila Sungai Selangor yang istimewa dan unik dengan habitat kelip-kelip dicemari sampah yang dibawa oleh manusia.

“Aktiviti tidak bermoral ini berkemungkinan menyebabkan kelip-kelip merajuk, namun kita cuba atasi dengan penanaman pokok berembang yang menjadi tarikan habitat itu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berhubung isu pencemaran di Sungai Selangor yang dijadikan ‘tong sampah’ dan pembuangan sisa toksik sejak sekian lama.

Lembangan sepanjang 110 kilometer dari hulu Bukit Fraser melalui daerah Kuala Kubu Baru ke Bestari Jaya mengalir ke hilir melalui Kampung Kuantan, yang juga destinasi ekopelancongan kelip-kelip.

Juwairiya berkata pejabat daerah dan tanah juga mengambil tindakan lanjut susulan aktiviti pengorekan pasir di kawasan berhampiran bagi mengelakkan isu pencemaran bertambah parah.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Tiada unsur sabotaj dalam kes pencemaran Sungai Selangor

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis hari ini mengesahkan tiada unsur sabotaj berhubung kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, sebaliknya ia adalah akibat kecuaian.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, siasatan mendapati pencemaran itu ekoran kecuaian pekerja syarikat yang dilantik Kerajaan Negeri untuk membersihkan sungai berkenaan.

“Kami juga akan menyiasat laporan palsu yang dibuat sebelum ini untuk melindungi kepentingan syarikat tertentu.

“Siasatan masih giat dijalankan dan hasil siasatan penuh akan selesai dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jerayawara Autisme: Garis Panduan PDRM di Maktab PDRM di sini, hari ini.

Khamis lalu, polis menahan pengusaha pontun dan pekerjanya berusia awal 20-an hingga 30-an bagi membantu siasatan punca pencemaran diesel di sungai berkenaan.

Abdul Hamid berkata, seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan polis manakala tempoh tahanan reman seorang lagi yang tamat hari ini, akan dilanjutkan.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia mengambil serius kes pencemaran di Sungai Selangor kerana mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air terhadap 1,191,942 akaun pelanggan.

Susulan insiden pencemaran itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kemungkinan wujudnya elemen sabotaj.

Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

-BERNAMA

Categories
AGENSI PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Pencemaran diesel di Sungai Selangor: Polis tahan dua lelaki

SUBANG JAYA, 25 JUL: Polis Selangor menahan dua lelaki semalam, bagi membantu siasatan kes pencemaran diesel di Sungai Selangor, baru-baru ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kedua-dua lelaki itu masing-masing merupakan pengusaha dan pekerja pontun di sungai berkenaan.

“Mereka yang berusia awal 30-an ditahan di pontun itu di Kuala Selangor dan kini direman selama empat hari sehingga 28 Julai,” katanya kepada pemberita pada penutup seminar dan latihan ancaman keganasan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis setakat ini telah merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan kes itu.

Insiden pencemaran itu mengakibatkan henti tugas empat loji rawatan air, pada 21 Julai lalu yang menjejaskan pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur.

Noor Azam berkata, siasatan juga dijalankan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Mayat tanpa identiti dijumpai di tebing Sungai Selangor

KUALA SELANGOR 14 JUL: Mayat seorang lelaki yang identitinya belum dikenal pasti ditemukan nelayan di tebing Sungai Selangor berdekatan jeti Pusat Pelancongan Kelip-kelip Kampung Kuantan, di sini petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, Mohd. Al Hafiz Asmuni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.53 petang.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai diketuai Komander Operasi, Ismayudin Ibrahim digerakkan ke lokasi kejadian, lapor Utusan Online.

“Sebaik sampai di tempat kejadian, pihak polis memaklumkan kedudukan mayat yang di tebing sungai.

“Seterusnya, dengan menggunakan bot penyelamat, mayat mangsa berjaya dibawa naik sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tiada keracunan di Sungai Selangor

OLEH: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 FEB: Isu keracunan didakwa berlaku di Sungai Selangor menyebabkan pelbagai jenis ikan mati adalah tidak benar dan ia sengaja diputar belitkan pihak tertentu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal pengguna, Elizabeth Wong, berkata perkara terbabit tidak timbul kerana ia tidak pernah berlaku seperti mana dilaporkan media awal Februari ini.

selangor1Katanya, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan tindakan segera dan menyelesaikannya pada akhir Januari lalu apabila mendapat laporan di media sosial bahawa individu tertentu menggunakan bahan beracun untuk tujuan itu namun siasatan mendapati ia tidak berlaku.

“Itu bukan racun, siapa cakap racun…kita menjalankan pemantauan dan menguji sampel air yang mana keputusannya tiada racun.

“Hasil ujian dilakukan di logi pembersihan air di Sungai Selangor juga membuktikan tiada apa-apa berlaku,” katanya kepada SelangorKini di sini.

Beliau berkata, hasil ujian mendapati kematian pelbagai jenis ikan berlaku berikutan kadar oksijen rendah di kawasan sungai berkenaan.

Sebaliknya apa yang menimbulkan persoalan, katanya, adalah ujian sampel air diperoleh LUAS di logi rawatan Indah Water Konsortium (IWK) di Bukit Beruntung menghasilkan keputusan meragukan dan ia diserahkan kepada Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) untuk siasatan susulan kerana agensi itu di bawah bidang kuasanya.

“Tiada isu ammonia atau bahan beracun manakala logi pembersihan air juga tidak ditutup.

“Saya kira orang ramai perlu mendapat penjelasan menerusi hasil ujian yang betul sebelum merujuk kepada kenyataan media yang meragukan,” katanya menempelak pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan tanpa fakta sebenar.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan laporan media sosial yang memberi gambaran perkara itu baharu berlaku.

“Perkara ini sudah diselesaikan pada akhir Januari dan mereka melihat dalam media sosial seperti ia baharu berlaku.

“Pihak yang suka mereka-reka cerita, kita harap mereka boleh hentikanlah,” katanya.

Baru-baru ini dikatakan berlaku bukan setakat bau busuk di kawasan Sungai Selangor tetapi pelbagai jenis ikan terdampar mati didakwa diracun segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Ia menimbulkam kemarahan penduduk yang juga nelayan darat yang didakwa hilang punca pencarian manakala kaki pancing terpaksa pulang dengan tangan kosong.

EZY

Categories
SELANGOR

Warta Sungai Selangor & Langat elak diceroboh

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 MEI: Pewartaan khas Sungai Selangor dan Sungai Langat oleh Kerajaan Negeri membantu menyelamatkan sungai itu dari diceroboh atas alasan pembangunan.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong beliau mahu memastikan anak sungai di DUNnya terpelihara daripada pencemaran akibat aktiviti berisiko tinggi.

Sg Selangor“Pewartaan ini banyak membantu menyelamatkan anak sungai dari tercemar.

“Dua batang sungai diwartakan itu, melibatkan hampir 300 anak sungai. Menerusinya, 50 meter kawasan tebing sungai (kanan dan kiri) terpelihara kerana ia adalah zon perlindungan,” katanya kepada Selangor Kini.

Bagaimanapun, pihaknya menemui beberapa lot tanah dalam sungai dan kes itu dirujuk kepada jabatan terlibat untuk tindakan susulan.

“Terdapat juga kawasan perusahaan Kuala Kubu Bharu di Sungai Kubu diwartakan ketika era pemerintahan Barisan Nasional pada 1984.

“Kes itu dirujuk Pegawai Daerah, untuk pastikan sama ada ia masih tanah kerajaan atau lot individu.

“Kita cuba selamatkan kawasan itu daripada status perusahaan memandangkan ia belum lagi dimajukan,” katanya.

Beliau menjangkakan perbincangan lanjut bersama Pegawai Daerah berhubung pekara itu berlangsung bulan depan.

Pada 2013, Kerajaan Negeri mengumumkan Sungai Selangor dan Sungai Langat sudah dilulus untuk pewartawaan khas supaya ia terpelihara dari pencemaran di masa hadapan.

Pewartawaan ini termasuk semua punca dan anak-anak sungai di dalam negeri Selangor yang mengalir ke dua sungai itu.

“Usaha memastikan anak sungai terpelihara memerlukan peranan semua pihak. Saya memandang serius perkara ini demi memastikan sungai sebagai agen pengalir sentiasa berupaya menyumbang sumber air baik dan berkualiti,” katanya.

EZY

JURNAL BERITA – PAS Selangor akan ambil tindakan jika terbukti ahli kutip sewa pasar

1. Taman Tasik Seri Aman hilang seri, bakal lenyap dengan timbunan sampah

2. Biaya projek MRT berbilion ringgit, gagal sedia hub selesa pemandu bas

3. 180 PPR Kota Damansara siap baik pulih September ini

4. PAS Selangor akan ambil tindakan jika terbukti ahli kutip sewa pasar

5. 3 lagi anak syarikat PKNS bakal tandatangan Ikrar Integriti Korporat

6. Empangan Sungai Selangor terus catat peningkatan

7. Program pemeriksaan kesihatan percuma, inisiatif bantu golongan OKU

8. 17 cabang PKR adakan pemilihan semula minggu ini

9. SPR umum PRK Teluk Intan 31 Mei, penamaan calon 19 Mei

10.Negara Islam bukan negara hudud, tidak berkisah darah atau nyawa

11.Najib penipu besar, ‘lupa’ janji mansuh Akta Hasutan

12.3 pemimpin mahasiswa UM terima surat tunjuk sebab

13.Penduduk gesa PBT segera ambil tindakan pada pihak cemar Taman Tasik Seri Aman

14.GST: Jangan paksa mahasiswa jadi pak turut

Categories
NASIONAL SELANGOR

KUIS sasar capai status universiti menjelang 2016 -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 10092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Bagi melanjutkan usaha memartabatkan ilmu, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) giat menuju ke arah mencapai taraf universiti penuh menjelang tahun 2016.

2. Pelajar-pelajar Selangor yang telah melanjutkan pengajian di Mesir boleh menyambung pengajian mereka dalam bidang yang sama di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

3. Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan membelanjakan RM3 hingga RM4 bilion bagi melaksanakan dasar yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor yang diumumkan pada Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

4. Penasihat DAP Lim Kit Siang memulakan tindakan saman ke atas akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang membangkitkan semula dakwaan bahawa beliau kencing di hadapan kediaman menteri besar Selangor sebaik sebelum rusuhan kaum 1969.

5. Golongan belia berpendapatan rendah dan sederhana merupakan kelompok yang menerima kesan besar dari kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan Kerajaan Pusat Umno-BN baru-baru ini.

6. Kilang yang didakwa menyebabkan pencemaran minyak Sungai Selangor diarah mengosongkan premis oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang dalam masa 30 hari, berkuatkuasa 9 September.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syarikat dituduh mencemar sungai diarah kosongkan premis

DSC_0340

RAWANG, 9 SEPT : Kilang yang didakwa menyebabkan pencemaran minyak Sungai Selangor diarah mengosongkan premis oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang dalam masa 30 hari, berkuatkuasa 9 September.

Penolong Penguatkuasa MPS, C Paramasivam berkata MPS telah menempatkan anggota-anggota mereka di premis tersebut bagi memastikan pemilik mematuhi arahan itu.

Premis yang disita itu telah dibuka semula hanya bagi tujuan itu. Semua peralatan, kemudahan dan barangan yang dibawa keluar dari kilang itu akan direkodkan.

“Pemilik kilang boleh melakukan kerja-kerja pengosongan premis bermula hari ini (9 September) iaitu seawal jam 8 pagi hingga 7 malam. Kalau kilang ini tidak dapat dikosongkan dalam tempoh sebulan, kita tunggu arahan selanjutnya daripada YDP,” katanya kepada Selangor Kini.

Kilang yang mengambil kontrak pembuangan sampah secara haram kira-kira 13 tahun lalu mula dihimpit kontroversi setelah didakwa bertanggungjawab terhadap pembuangan sisa minyak hitam ke Sungai Gong, yang mengalir keluar ke Sungai Selangor, baru-baru ini.

Selaras dengan respon Kerajaan Negeri, MPS bertindak pantas dan menyita kilang tersebut pada 31 Ogos lalu dan merampas 20 peralatan seperti alatan kimpalan serta dua buah lori tangki yang mengandungi minyak hitam.

Sementara itu, seorang kakitangan di syarikat berkenaan yang enggan dikenali menjelaskan pihaknya akur dengan keputusan MPS itu dan berjanji akan mengosongkan kilang itu dalam tempoh ditetapkan.

Beliau turut memberitahu, kesemua barangan daripada kilang itu akan dipindah ke beberapa lokasi berbeza antaranya, Ampang, Kundang, Klang dan Ijok.

“Susah untuk siapkan (pengosongan kilang) dalam tempoh sebulan, tetapi kami akan cuba. Pemilik cadang hendak pindah tahun depan tetapi kilang ini telah disita terlebih dahulu,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Tiada maaf, tindakan keras untuk pencemar sungai

mb

SHAH ALAM, 4 Sept: Individu atau syarikat yang mencemar alam sekitar bukan sahaja perlu membayar kos kerosakan akibat perbuatan mereka, bahkan perlu menanggung kos pemulihan pencemaran tersebut.

Begitu saranan Kerajaan Negeri Selangor kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar supaya menguatkuasakan prinsip seperti itu yang termaktub dalam Akta Kualiti Alam Sekililing 1974.

Tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, langkah itu perlu bagi menghalang kes seperti pembuangan minyak di Sungai Selangor yang menjejaskan kehidupan lebih 899,931 pengguna Lembah Klang daripada berulang lagi.

“Penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di negara ini perlu dipertingkatkan memandangkan kes-kes pencemaran yang disebabkan kecuaian semakin kerap berlaku,” tegas Abdul Khalid di satu sidang akhbar di ibu negeri.

Tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu yang mengakibatkan pencemaran dan kerosakan serius pada alam sekitar dan kehidupan penduduk di negeri Selangor sering menerjah ke ruang media.

Kerajaan Negeri sebelum ini berkata, Kerajaan Pusat perlu bekerjasama dengan Selangor untuk bersama-sama membanteras kegiatan ‘penyangak’ alam sekitar.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi berwajib dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan terus bekerjasama memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan kes-kes pencemaran sungai seperti yang berlaku baru-baru ini dapat dielakkan.

“Kerajaan negeri mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan membekukan semua permohonan menjalankan sebarang bentuk aktiviti di kawasan rezab sungai berkuatkuasa serta merta,” tegas beliau.

Semua PBT juga diarahkan menjalankan kerja-kerja pemantauan semua aktiviti di kawasan rezab sungai terutama aktiviti tidak berlesen.