Categories
SELANGOR

BN Kini Tidak Selamat Di Sabah, Sarawak Dan Johor

SHAH ALAM 29 SEPT : Negeri Sabah, Sarawak dan Johor kini tidak boleh dianggap kubu kuat dan deposit kepada BN lagi dalam Pilihan Raya Umum Ke -13(PRU13).

Keyakinan itu dilontarkan oleh Pengerusi-pengerusi Majlis Pimpinan Negeri-Negeri (MPN) semasa Rapat Umum PKR dalam sesi Forum: ‘Memecah Ruyung Tradisi BN’ di sini hari ini.

Pengerusi MPN Sabah Ahmad Tamrin Jaini berkata perkembangan terkini beberapa pemimpin BN yang keluar parti itu mengubah landskap politik negeri dan melonjakkan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR).

“Ini menunjukkan Umno-BN akan tumbang dalam Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Tamrin berkata Sabah akan dijadikan antara penyumbang paling banyak kerusi Parlimen dalam PRU-13 akan datang.

Beliau mengsasarkan sekurang-kurangnya 14 kerusi Parlimen untuk dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

“Kita di Sabah membuktikan orang-orang Sabah mempunyai keberanian untuk menukar kerajaan, ini kali lah,” ujarnya.

Pengerusi MPN PKR Sarawak, Baru Bian berkata pihaknya memulakan gerak kerja untuk PRU-13 selepas berakhirnya pilihan raya negeri April 2011 lepas.

“Kita berkeyakinan sekurang-kurangnya enam kerusi di kawasan bandar manakala sekurangnya tujuh kerusi di luar bandar,” katannya.

Ujar beliau, penerimaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat semakin baik ekoran beberapa perkembangan politik semasa di peringkat negeri dan nasional.

Pengerusi MPN PKR Johor, Datuk Seri Chua Jui Ming berkata mesej reformasi kini sudah mula menyerap ke peringkat akar umbi melalui pelbagai program yang dilaksanakan.

“Sekarang kita mahu kini Umno-BN takut kepada PKR. Kita mahu menang di kubu BN di Johor,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sokongan Kepada PR Meningkat Di Selangor

SHAH ALAM,26 SEPT : Satu kajian Universiti Malaya menunjukkan sokongan terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor telah meningkat kepada 50 peratus berbanding 38 peratus pada awal tahun ini.

Kajian itu juga menunjukkan 30 peratus responden yakin bahawa
Pakatan Rakyat akan menguasai Putrajaya dalam pilihanraya akan datang. Ini merupakan peningkatan daripada angka 21 peratus yang dicatit pada tempoh Mac hingga April tahun ini.

Manakala Barisan Nasional (BN) mencatatkan penurunan sokongan di peringkat nasional dan Selangor.

Di Selangor sokongan terhadap BN merosot kepada hanya 16 peratus berbanding 28 peratus empat bulan lalu.

Di peringkat nasional pula hanya 44 peratus daripada responden yakin yang BN akan terus menguasai Putrajaya.

Manakala 36 peratus tidak pasti siapakah yang akan menang di peringkat nasional.

Tinjauan pendapat itu dilakukan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dan bertajuk Pola Pengundian Menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Ia diadakan pada tempoh 1 hingga 16 September lepas di seluruh Semenanjung Malaysia.

Keputusan kajian ini dibandingkan dengan satu lagi kajian yang dilakukan daripada 31 Mac hingga 15 April lalu.

Bilangan responden ialah 1,536 dengan kajian dilakukan secara bersemuka yang melibatkan peserta Melayu, Cina dan India.

Antara keputusan lain yang diperoleh adalah:

* 72 peratus berharap satu debat diadakan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

* 66 peratus percaya integriti pemimpin BN akan menghakis sokongan kepada BN.

* 55 peratus bersetuju kontroversi mengenai Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) akan memberi kesan kepada sokongan BN.

Categories
NASIONAL

Kes Rogol Gadis Bawah Umur, PM Gagal Sebagai Pemangku Menteri Wanita

SHAH ALAM, 7 SEPT : Kerajaan perlu melantik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam tempoh terdekat berikutan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pemangku jawatan berkenaan.

Isu ini tercetus dan menjadi bualan umum disebabkan Najib didakwa gagal menjalankan tugas tersebut kerana tiada sebarang tindakan atau kenyataan diberi berhubung kes perogol gadis bawah umur yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Pulau Pinang akhir Ogos lalu.

Mengulas perkara itu, Ketua Srikandi PKR, Siti Aisyah Shaik Ismail berkata adalah amat mengecewakan apabila perkara itu berlaku dengan tiada pembelaan dilihat bagi melindungi gadis bawah umur yang menjadi mangsa dalam kes berkenaan.

Lebih mendukacitakan, tambahnya, tiada sebarang tindakan diambil Perdana Menteri bagi mengangani perkara ini.

“Kita lihat tiada satu pun kenyataan daripada Perdana Menteri yang memangku jawatan tersebut yang secara lantang mengutuk dan mendesak segera agar kes ini dibuka serta hukuman setimpal dijatuhkan kepada pesalah.

“Sepatutnya kerajaan boleh menilai bahawa satu isu yang boleh dipandang serius tetapi jelas tidak hanya kerana ia tidak diberikan kepada seseorang yang berhak bagi menjaga kepentingan rakyat Malaysia iaitu wanita.

“Kita kesal kerana Perdana Menteri hanya disebabkan keangkuhannya yang tidak mahu melantik mana-mana pimpinan Wanita Umno dan BN sebaga orang yang menggalas tugas itu,” katanya kepada TVSelangor ketika dihubungi di sini hari ini.

Najib bertindak sebagai pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berikutan berakhirnya tempoh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa 8 April lalu.

Dalam kes itu, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membebaskan seorang juruelektrik, Chuah Guan Jiu, 22, dengan bon jaminan RM25,000 supaya berkelakuan baik atas kesalahan merogol teman wanitanya berusia 12 tahun sebanyak dua kali tahun lalu.

Mahkamah mengambil kira faktor Chuah yang masih muda dan kesalahan pertama serta hakikat bahawa perbuatan seksual adalah persetujuan bersama dan dia juga seorang murid tercicir.

Selain itu, kes lain berkaitan melibatkan pemain tenpin boling negara, Noor Afizal Azizan yang dibebaskan Mahkamah Sesyen Melaka pada 5 Julai 2010 dengan bon jaminan berkelakuan baik selama lima tahun bernilai RM25,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku salah merogol seorang gadis bawah umur di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka.

“Kalau kita teliti kedua-dua kes, kita melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan yang dikira luar jangka kerana kes yang melibatkan remaja itu harus dipandang penting dan juga harus diutamakan.

“Dalam kes ini disertakan dengan kenyataan seolah-olah memandang remeh pelakuan jenayah melibatkan remaja yang bakal mencorakkan sistem pentadibran dan kehidupan di negara ini. Ia sesuatu yang kita kesali,” kata Siti Aisyah lagi.

Categories
NASIONAL

Faekah : Cubaan Muhyiddin Ubah Kurikulum Sejarah Untuk Tingkat Semangat Patriotik Diragui

SHAH ALAM 6 SEPT: Cadangan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin menukar kurikulum subjek sejarah di sekolah kononnya bagi menaikkan semangat patriotik pelajar diragui oleh Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

Ini kerana menurut Faekah, alasan patriotik Muhyiddin dibimbangi untuk kepentingan politik di mana hanya mengajak rakyat untuk setia kepada Umno sahaja.

Menurut Faekah, jika ini yang dihasratkan Muhyiddin selaku Menteri Pelajaran ia sangat tidak patriotik.

Ditambah lagi, sikap tidak patriotik terserlah apabila Muhyiddin bertindak kejam dengan tidak membenarkan pihak sekolah (di Selangor) menggantung gambar-gambar pemimpin negeri terutama gambar Menteri Besar Selangor.

“Muhyiddin sepatutnya menggunakan kuasanya sebagai menteri penuh untuk meningkatkan mutu dan sistem pendidikan negara. Sebaliknya Muhyiddin menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang pemimpin kerajaan Negeri Selangor memasuki sekolah kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan ini, jelas menunjukkan Muhyiddin mengamalkan politik sempit dengan menguatkuasakan peraturan berat sebelah.

“Kini beliau bercakap isu meningkatkan kesedaran patriotik tetapi sedarkah perbuatan beliau telah membunuh semangat patriotik di kalangan pelajar.

“Walaupun kita berbeza fahaman politik tetapi sebagai pemimpin untuk pelbagai kaum di Malaysia, kita sepatutnya bersatu dan bekerjasama membangunkan serta memajukan lagi sistem pendidikan negara,” ujar Faekah lagi.

Tambahnya, jika kehadiran ahli politik ke sekolah akan menganggu pemikiran pelajar, kuatkuasakan larangan kepada semua parti bukan terhad kepada pemimpin Pakatan Rakyat sahaja sedangkan pada masa yang sama, pemimpin BN bebas keluar masuk ke sekolah tanpa halangan.

“Muhyiddin dan pemimpin BN di Selangor perlu terima hakikat bahawa mereka telah kalah pada pilihan raya umum yang lalu dan bukan lagi pentadbir di negeri ini. Hormati keputusan rakyat untuk memiliki kepimpinan yang baharu,” tegas Faekah.

Categories
NASIONAL

PKR Pertikai Sikap Pilih Bulu Polis Terhadap Aduan Penyokong BN, PR

PETALING JAYA, 27 OGOS: Kegagalan polis untuk bertindak tegas terhadap laporan-laporan polis yang dibuat terhadap penyokong BN jelas menggambarkan sikap tidak profesional pasukan keselamatan itu.

Sebaliknya, polis bertindak pantas apabila melibatkan sesuatu laporan yang dibuat oleh penyokong BN terhadap penyokong PKR.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dalam sidang media PKR di Ibu Pejabat parti itu di sini hari ini.

Manikavasagam memberitahu dalam sidang media itu, tanggapan tersebut dibuktikan apabila polis bingkas bertindak atas laporan polis yang dibuat oleh penyokong BN, Kalai Vanar terhadap penyokong PKR baru-baru ini.

Bertindak atas laporan tersebut, dua penyokong PKR tersebut, Yogeswaran A/L Tamilvanan dan Pandiyan A/L Shanmugam ditahan dan didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas tuduhan di bawah Akta 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut Kalai Vanar.

Kedua-dua tertuduh diarahkan diikat jamin sebanyak RM7,000 seorang dengan seorang penjamin.

“Mereka juga dikehendaki melaporkan diri pada setiap Rabu di balai polis,” kata Manikavasagam.

Menurut Yogeswaran dan Pandiyan yang turut sama dalam sidang media tersebut, kejadian tersebut bermula apabila Kalai Vanar yang juga merupakan Presiden Alternatif Action Team menggunakan kata-kata lucah dalam satu ceramah di Kapar.

Yogeswaran dan Pandiyan yang berada di situ meminta Kalai Vanar agar menghentikan ceramah beliau kerana ceramah tersebut turut dihadiri oleh kanak-kanak dan warga emas.

Menurut mereka, kejadian tersebut bukanlah kali pertama berlaku.

“Sebelum ini dah tiga kali ceramah Kalai Vanar yang penuh dengan mencarut telah menimbulkan ketegangan,” kata mereka.

Selepas kejadian tersebut, Kalai Vanar membuat satu laporan polis bahawa beliau diugut bunuh oleh Yogeswaran dan Pandiyan.

“Padahal tiada langsung ugutan seperti yang dikatakan itu, malah kami beritahu secara baik,” Yogeswaran menambah.

Dalam isu sama, Manikavasagam menuntut polis agar mengambil tindakan serupa terhadap laporan-laporan yang dibuat oleh PKR sebelum ini.

Antara laporan polis yang telah dibuat terhadap penyokong BN adalah insiden serangan ke atas mahasiswa di Dataran Merdeka oleh Waris Malaya, insiden baling batu dalam ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lembah Pantai dan serangan ke atas tiga ahli PKR di Pejabat Perdana Menteri di Putra Jaya dan lain-lain.

Bagaimanapun sehingga hari ini masih tiada tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa.

Categories
NASIONAL

Kit Siang : Manipulasi Statistik Jenayah, PM Perlu Beri Penjelasan

SHAH ALAM 27 OGOS : Kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus tampil memberi penjelasan berkenaan pendedahan bahawa terdapat usaha tertinggi memanipulasi kadar statistik jenayah di Malaysia.

Ketua Parlimen DAP,  membuat gesaan tersebut merujuk kepada sepucuk surat oleh seorang pegawai polis yang mendakwa pasukan itu dengan sengaja mengubah perangkaan jenayah.

“Usaha memanipulasi dan mengubah statistik jenayah tersebut didakwa memberi gambaran salah tentang penurunan drastik kadar jenayah dalam tiga tahun ini walhal ini bukan perkara betul.

“Ini sudah masuk hari kelima pendedahan tersebut dilakukan dan menteri-menteri berkaitan masih lagi ‘senyap’, tiada sebarang penjelasan,” jelas Lim dalam kenyataan medianya.

Tegasnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein serta dua Menteri Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Datuk Sri Idris Jala and Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tampil memberi penjelasan.

Beliau turut mempersoalkan kemungkinan Najib sendiri sedar dengan aktiviti memanipulasi statistik jenayah ini sehingga beliau menjadikan ‘Selamatkan Malaysia’ sebagai tema mesej Hari Raya minggu lepas.

“Mengapa perlu menjadikannya sebagai tema sedangkan sebelum ini BN yang 55 tahun memerintah mendakwa bahawa mereka berjaya sebagai sebuah kerajaan.

“Melainkan kalau mereka merasakan Malaysia ini tidak lagi selamat untuk rakyat, pelabur dan juga pelancong.

“Mereka juga sebelum ini giat mencanang kejayaan Program Tranformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam menurunkan kadar jenayah walau hakikatnya kita tidak pernah merasa selamat di luar mahupun di kawasan rumah,” tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Justeru, beliau berkata sekiranya tiada sebarang penjelasan memuaskan berkenaan dakwaan tersebut, tema ‘Janji Ditepati’ Kerajaan Pusat tidak lebih daripada sekadar satu ejekan kepada BN sendiri.

“Jika menteri-menteri berkaitan tidak tampil menjelaskan, maka kepercayaan orang ramai terhadap Perdana Menteri dan program transformasinya pasti berkecai di bawa angin,” akhiri beliau.

Categories
NASIONAL

Borak Bersama Anwar Di Alam Maya 17 Ogos Ini

SHAH ALAM 9 OGOS : Warga maya di seluruh negara diharap tidak melepaskan peluang menyertai sesi dialog dan soal jawab bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di YouTube menerusi Google Hangout miliknya – “Borak Bersama Anwar” akan bermula pada jam 10.30 malam 17 Ogos ini.

Dalam kenyataan medianya, Anwar berkata beliau teruja dan akan meluang masa bersama seluruh warga maya untuk sesi tersebut.

“Saya teruja dengan prospek melibatkan rakyat Malaysia di internet, pencetus kebebasan bersuara untuk mengetahui lebih lanjut mengenai apa yang penting kepada mereka.

“Anda ada soalan boleh bertanya terus dan pasukan saya dan pekerja sukarelawan akan bekerja keras untuk melayan setiap soalan dan pertanyaan mendahului sehingga acara ini dan termasuk sebahagian daripada mereka yang bertanya soalan untuk?sesi Live. Anda boleh memantau perkembangan tersebut di laman peminat Facebook saya (https://www.facebook.com/anwaribrahim.keadilan),” katanya.

Anwar juga melahirkan rasa bangga kerana menjadi pemimpin politik tempatan pertama menggunakan Google Hangout dan menambah semua ahli politik perlu mengambil ruang bersuara yang Google sediakan melalui Hangout. Beliau berkata, Google harus menyediakan wacana terbuka melibatkan kedua-dua pemimpin Pakatan Rakyat dan BN bagi mendengar dan memberi maklumbalas kepada rakyat secara Live dalam suasana yang dinamik demi meningkatkan taraf hubungan dengan rakyat. Katanya, apa yang penting apabila terlibat dengan perhubungan sedemikian maka rakyat sebagai pihak yang akan meraih kemenangan.

“Ia juga inovatif daripada segi teknologi yang mana sesi Google Hangout membolehkan lebih pengalaman yang jauh lebih interaktif melibatkan soalan-soalan yang ditulis atau dalam video dan juga kepada individu.

“Jadi gunakan peluang ini dengan menanyakan soalan kepada saya, sebaik-baiknya soalan video di YouTube dan hashtag #BorakAnwar dan berkongsi pautan pada laman peminat Facebook saya atau Google Plus saya,” katanya.

Anwar berkata, sesi sejam tersebut akan termasuk mereka yang dijemput untuk menyertai sebagai panelis video secara langsung seperti yang dinyatakan sebelum ini di mana ahli panel akan dipilih dari mereka yang telah menghantar video mereka.

Menurutnya, jika anda sebagai warga maya mahu bercakap tentang peristiwa itu di Twitter, diminta menggunakan hashtag #BorakAnwar supaya orang lain dan dirinya boleh membaca tweet anda dan bertindak balas kepada mereka.

“Saya harapkan ia akan menjadi satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan,” katanya. Sesi hangout “Borak Bersama Anwar’ tersebut akan diadakan di studio TV Selangor di Shah Alam.

Sementara itu, TV Selangor menerusi www.selangorkini.net akan menyiarkan secara langsung sesi hangout tersebut bermula jam 10.30 malam.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan PR Selesaikan Masalah Banjir 10 Tahun Kg Melayu Sg Buloh

SUNGAI BULOH 29 JULAI: 10 tahun hidup tertekan, akhirnya penghuni kira-kira 150 kediaman sepanjang jalan utama Kampung Melayu Sungai Buloh mampu menarik nafas lega apabila projek infrastruktur bagi mencegah kejadian banjir kilat di kawasan kediaman mereka itu siap sepenuhnya.

Projek mengatasi masalah banjir kilat itu melibatkan pembesaran Sungai Buloh dan juga pembinaan sebuah longkang besar selebar dua meter yang menjangkau sejauh 400 meter.

Menurut Penolong Pegawai Penyelaras (Pendidikan dan Infra) Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras, Harri Mohd Hassan projek yang menelan belanja hampir RM400 ribu itu disiapkan sepenuhnya pada November lalu.

“Sebelum ini, lebih kurang 10 tahun masyarakat di sini terpaksa menanggung kerugian yang teruk setiap kali hujan lebat dan banjir kilat berlaku.

“Air banjir kilat memang naik dengan cepat dan kadang-kadang menyebabkan penduduk tak sempat selamatkan perabut, barangan elektrik dan sebagainya.

“Tetapi sekarang Alhamdullilah, semenjak longkang besar ini siap dibina dan kerja melebarkan Sungai Buloh dibuat, belum ada berlaku banjir kilat lagi, walaupun hujan turun dengan lebat.

“Maknanya pelan perancangan yang dibuat ini memang berjaya mencegah kejadian banjir kilat,” katanya ketika ditemui Selangor Kini baru-baru ini.

Menurut Harri, pemimpin Kerajaan Negeri BN terdahulu mengambil sikap sambil lewa terhadap masalah infrastruktur sehinggakan masalah banjir kilat di kawasan terbabit berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

“Dahulu, masa bawah BN, bukan tak ada kerja menaiktaraf longkang dilakukan, tetapi kerja dibuat seperti melepas batuk di tangga.

“Buat kerja tak sempurna, kerja tak siap, buat sini sikit, sana sikit dan akhirnya duit kerajaan keluar, tetapi masalah tak juga selesai.

“Kalau dahulu mereka buat perancangan dan kerja atasi banjir ini dengan serius dan sempurna, ia tak akan berlarutan, patut dah lama selesai,” kata Harri.

Menurut Ketua Kampung terbabit, Zulkikli Abu Hassan kepada Selangor Kini, projek infrastruktur Kerajaan Negeri itu membuatkan kehidupan penduduk di kawasan itu lebih selesa berbanding sebelumnya.

“Sebelum ini memang teruk, sampaikan kalau kita berada di tempat lain atau sedang berkerja, bila hujan sahaja hati mula tak tenang sebab hujan kejap pun dah menyebabkan rumah dimasuki air banjir.

“Sekarang dah okey, memang lega banyak sebab bila hujan air mengalir terus ke dalam longkang besar yang baru, hati tak susah macam dahulu.

“Bukan sahaja menyelamatkan harta benda penduduk kampung sahaja, dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh dan Sekolah Agama Zahidiah yang sebelum ini kerap dinaiki air juga terselamat,”kata Zulkikli.

Categories
NASIONAL

Mahfuz : MPN Tidak Perlu Tentukan Siapa Jadi PM

 

KUALA LUMPUR 28 JULAI: Kaji selidik yang dijalankan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) terhadap kedudukan pemimpin politik dan parti tertentu di negara ini dianggap sebagai tidak perlu.

Menurut Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut tengahari tadi, MPN sepatutnya menumpukan kajian yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat negara ini.

“Apa perlunya dan kenapa MPN perlu kaji siapa bakal Menteri Besar, siapa bakal Perdana Menteri?

“Sepatutnya MPN tumpukan kepada kajian yang lebih manfaat kepada masyarakat negara ini,” kata beliau.

Selain itu, Mahfuz turut memberitahu projek kaji selidik itu dijalankan dengan dibiayai oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

“Saya juga hairan, kenapa NCER pula yang taja kaji selidik ini, apa agenda mereka sebab sepatutnya mereka tumpukan usaha pembangunan di wilayah utara.

“Adakah untuk membantu populariti ahli politik tertentu?” Kata Mahfuz lagi.

Mahfuz menolak tanggapan bahawa beliau menolak keputusan kaji selidik itu disebabkan ianya tidak menyebelahi Pakatan Rakyat.

“Keputusan kajian itu bercampur-campur sebenarnya, tak menyebelahi Pakatan Rakyat dan tidak juga BN.

“Saya hormati hasil kajian itu dan pada masa sama kita akan terus memperkukuhkan jentera parti,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

PAS Selangor Sokong Ambil Alih Syabas

SHAH ALAM,27 JULAI : PAS Selangor menyokong penuh usaha pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) oleh kerajaan negeri Selangor,tegas Khalid Samad.

Beliau yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, BN Selangor sudah ketandusan isu untuk menyerang Pakatan Rakyat.

Jelasnya, rakyat Selangor tidak nampak kesungguhan Syabas dalam menangani masalah air dan sebaliknya hanya ingin untuk memenangkan BN dalam PRU ke-13.

“Oleh itu direka kisah yang kononnya air sudah mula habis dan catuan oleh Syabas terpaksa dilakukan,” kata Khalid dalam kenyataan medianya.

Jelas Khalid, bekalan air yang tidak terawat dan yang terawat adalah lebih dari apa yang digunakan penduduk Negeri Selangor.

Loji pembersihan air mempunyai kapasiti yang lebih tinggi dari permintaan dan oleh itu, pada hakikatnya terowong untuk membawa air tidak dirawat dari Pahang dan pembinaan loji pembersihan air baru iaitu Langat II adalah perkara yang tidak diperlukan.

“Yang perlu adalah pengurusan bekalan air yang lebih cekap supaya ketirisan dan kebocoran dapat diatasi. Sambil itu saluran paip baru juga perlu dipasang,” katanya.

Dakwa Khalid, ?krisis? bekalan air direka untuk mengelirukan rakyat.

“Pada masa yang sama, penyokong dan kroni BN amat sangat teringin untuk diluluskan projek Langat II supaya melalui projek yang bernilai berbilion ringgit itu, semua akan mendapat komisyen dan habuan mereka,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Pelan Strategik LPHS Di Lancar

SHAH ALAM, 23 JUL : Dalam usaha memastikan pembangunan mampan dari sektor perumahan dan hartanah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengambil pendekatan dengan melancarkan Pelan Strategik LPHS meliputi tahun 2012 hingga 2022.

Pelan strategik yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Jubli Perak pagi tadi bertujuan menggariskan hala tuju dan menetapkan matlamat jangka panjang organisasi itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut Abdul Khalid, pelan itu turut merangkumi tugas dan visi LPHS yang memfokuskan kepada usaha untuk memastikan rakyat Selangor diberi kesempatan saksama memiliki kediaman sendiri.

“Rancangan kita ialah untuk mempunyai program kediaman bagi semua rakyat. Konsep yang kita perkenalkan merangkumi konsep kekeluargaan di mana semua orang diberi peluang untuk memiliki kediaman.

“Oleh itu, kita sentiasa galakkan golongan kurang berkemampuan untuk mendaftar di bawah skim rumah kos rendah supaya keutamaan boleh diberikan kepada mereka yang berkelayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada perhimpunan bulanan SUK di sini hari ini.

Selain pelancaran pelan strategik, Abdul Khalid turut merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-55.

Hadir sama, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim, Ketua Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Padukan Alinah Ahmad dan ahli Exco Selangor.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga kini dalam usaha membantu para pembeli projek perumahan terbengkalai untuk mendapatkan semula hak mereka.

Jelasnya, projek itu meliputi Bukit Botak, Taman Alam Perdana di Kuala Selangor dan Kampung Berembang Indah, Ampang.

“Program setinggan sifar pada zaman BN bukan bertujuan menyelesaikan masalah perumahan setinggan atau peneroka bandar tetapi mengaut keuntungan.

“Akibatnya banyak projek perumahan terbengkalai dan disiapkan tidak ikut spesifikasi menyebabkan kehidupan peneroka bandar tidak berubah,” jelasnya.

Categories
NASIONAL

Rumah Kos Rendah di P.Pinang, MCA Cuba Alih Isu

SHAH ALAM 14 JULAI : Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek perlu berhenti mengelirukan rakyat mengenai perumahan kos rendah di Pulau Pinang yang didakwa tidak pernah dibina Kerajaan Negeri itu sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Chua dalam debat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tempoh hari disebut berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membina perumahan kos rendah sejak 2008 hingga 2010.

“Beliau membuat tuduhan ini beberapa kali dengan mengatakan tanah terhad serta kos yang semakin meningkat menyebabkan tiada rumah kos rendah yang dibina di Pulau Pinang,” kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Dalam kenyataan media itu juga Zairil menjelaskan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk dana perumahan mampu milik dan berpatutan bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

Zairil berkata, Guan Eng menjelaskan Kerajaan Pulau Pinang membina sebanyak 3806 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Kerajaan Negeri juga mengumumkan tambahan 18,000 unit akan dibina termasuk 1320 unit akan di bina di bandaraya George Town untuk memenuhi keperluan perumahan di bandar,” katanya lagi.

Kata Zairil, Dr Chua sebenarnya cuba mengalihkan perhatian daripada hakikat sebenar bahawa dasar Kerajaan Pulau Pinang di bawah BN dahulu gagal menyediakan perumahan kos rendah kepada rakyat.

“Dr Chua pasti mengetahui hakikat ini bahawa permasalahan ini berlaku adalah kesan daripada 50 tahun dasar yang gagal dilakukan oleh Kerajaan BN dahulu,” katanya lagi.

Pada 8 Julai lalu, berlangsung Debat 2.0 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bertajuk ‘DAP dan MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Bermanfaat Kepada Masyarakat’.

Debat yang kali kedua dianjurkan ini meliputi dasar dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kemakmuran ekonomi, khidmat komuniti, perpaduan negara, kebajikan masyarakat dan pembasmian kemiskinan.