Categories
NASIONAL

Wan Azizah : BN Pengecut Amal Politik Bunuh Karektor

SHAH ALAM 5 JULAI : Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail meluahkan rasa kesal atas tindakan politik tidak bermaruah secara berterusan yang diamalkan oleh BN.

Tegas Dr Wan Azizah, episod terbaru serangan politik ke atas Adun Kota Laksamana, Melaka, Betty Chew Gek Cheng menunjukkan corak jelas pembunuhan watak yang berterusan terhadap musuh-musuh politik BN.

Ia menunjukkan bahawa pemimpin BN sepenuhnya bankrap idea dan tidak berupaya untuk menawarkan agenda dasar yang baik kepada rakyat Malaysia.

“Serangan terhadap Betty Chew adalah perbuatan pengecut yang bertujuan untuk mengaibkan seorang wanita dan keluarganya.

“Saya berdoa untuk dia (Betty) kekal kukuh dan terus berdiri teguh di tengah serangan yang tidak beretika dan tidak bertanggungjawab,” jelas Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan.

Beliau merayu kepada semua ahli-ahli politik untuk tetap menjunjung dan menghormati maruah wanita.

Oleh itu, dia juga membuat seruan kepada wanita pemimpin dari BN untuk menyuarakan dalam mempertahankan ruang politik yang bersih dan sihat untuk wanita.

“Semua kita, tanpa mengira fahaman politik kita mesti mengambil pendirian yang kukuh, kita mesti ia perlu dihentikan serta-merta kepada budaya politik kotor ini,” tegas beliau.

Sebelum ini, Pengerusi MCA Melaka, Gan Tian Loo dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Melaka membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang,Lim Guan Eng dan isterinya (Betty Chew).

Gan bagaimanapun enggan mengulangi dakwaan itu diluar dewan.

Categories
SELANGOR

Faekah : Geran Selangorku Diurus Telus

SHAH ALAM 27 JUN : Kerajaan Selangor tidak pernah berselindung berkenaan punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Belanjawan 2012 tahun lepas menyatakan geran ini berasaskan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Ia juga diperolehi daripada keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang lapuk Syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula projek Canal City.

“Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni BN, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Faekah berkata, Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh Adun, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Dakwaan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.

“Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah,” katanya.

Sehingga kini menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN di bawah BN.

“Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI.

“Md Zin atau mana-mana ahli Umno yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan,” katanya.

Justeru tegas Faekah, beliau mencabar Ahli Parlimen dan Adun BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor.

“Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, di mana dan berapa kos sebenar,” ujar Faekah.

Categories
NASIONAL

MB: Forum Bagi Pastikan Usaha Beri Air Percuma Di Teruskan

KLANG 15 JUN : Forum air Selangor pada 12 Jun lalu diadakan adalah untuk mencari jalan terbaik mengurus air bagi memastikan bekalan air bersih di Lembah Klang mencukupi untuk rakyat Selangor pada harga yang berpatutan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum itu juga turut membincang masalah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

“Forum itu bukan untuk membuat keputusan seperti yang didakwa Kerajaan Pusat tetapi ia hanya perbincangan,” katanya yang mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa penganjuran forum mengenai isu air oleh Kerajaan Negeri Selangor itu dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah rizab air terawat yang semakin berkurangan di Selangor.

Malah kata Noh, forum sedemikian tidak mampu membawa penyelesaian kepada masalah air terawat di Selangor yang menyebabkan kerajaan pusat dan Syabas enggan turut serta dalam perbincangan tersebut.

Khalid berkata Kerajaan Negeri juga mempunyai sebab tidak memanggil pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Saya ada jawapan kenapa mereka tidak dijemput, hal ini kerana Syabas mempunyai kes mahkamah dan kita tidak mahu Syabas menyertai forum itu.

“Yang kedua, forum itu merupakan perbincangan bukan keputusan, perbincangan untuk mencari penyelesaian dengan golongan profesional dan Kementerian tidak mahu menyertainya kerana dikatakan bukan keputusan,” katanya.

Beliau berkata selepas ini, Kerajaan Negeri akan membawa hasil perbincangan itu kepada Kementerian dan jika pihaknya tidak bersetuju, Kerajaan Negeri akan membuat satu forum awam.

“Apa yang boleh dikatakan, daripada forum itu kita sudah ada keputusan dan akan dibentangkan kepada Kementerian.

“Jika selepas ini mereka tidak bersetuju kita akan adakan satu forum awam. Forum ini akan melibatkan rakyat dan semua pihak.

“Pihak Syabas juga boleh menghantar wakil untuk menjelaskannya kepada rakyat berkenaan keputusan mereka begitu juga dengan Kerajaan Negeri. Sesiapun boleh bercakap dalam forum itu nanti,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga tidak gentar dengan Syabas walaupun pihaknya tahu Syabas dan Puncak Niaga ‘membayar’ pihak itu kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyokong mereka.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat. Rakyat mahu harga yang berpatutan dan jika Kementerian tetap dengan pendirian mereka, kita bincang serta bagi mereka alternatif,” katanya.

Katanya kerajaan negeri akan terus memperjuangkan isu air bagai memastikan usaha pemberian air percuma kepada rakyat dapat di teruskan di masa akan datang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MIC Didakwa Hasut Penduduk Tolak Pembangunan

KUALA SELANGOR 9 JUN : Kegigihan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menyalurkan kemudahan insfrastruktur di Kampung Sri Aman Coalfield diuji lagi apabila beberapa pemimpin BN Kuala Selangor makin giat menghasut penduduk kampung berkenaan agar tidak memberi kerjasama kepada Kerajaan Negeri.

Demikian menurut Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor, Thiru Moorthy ketika mengulas percubaan beberapa pemimpin BN daripada MIC untuk menghasut penduduk kampung berkenaan isu hak milik tanah di kampung itu.

“Nampaknya beberapa orang ini memang berusaha hasut penduduk kampung agar menolak rancangan pembangunan di kampung ini yang mahu dibawa oleh Kerajaan Negeri,” kata Thiru.

Menurut Thiru, masalah yang dihadapi oleh Kerajaan Selangor dalam isu ini berpunca dari tindakan pemimpin BN sendiri ketika berkuasa.

“Masalah pemilikan tanah ini berpunca dari BN juga kerana merekalah yang menghalau penduduk kampung pada tahun 2000 apabila menyerahkan tanah kampung itu kepada West Mines Sdn Bhd untuk dimajukan, tiba-tiba sekarang nak jadi hero konon membela penduduk kampung.

“Mengapa BN 20, 30 tahun lalu ketika berkuasa mereka tidak memberi hak milik kepada penduduk, tetapi mereka halau penduduk dan serahkan tanah itu kepada West Mines Sdn Bhd,” beritahu Thiru kepada Selangor Kini.

Thiru berkata, BN telah menjadikan isu ini sebagai modal memancing undi setiap kali menjelang pilihan raya sebelum ini.

“Sudahlah begitu, tiap kali ada pilihan raya, masyarakat kampung ini akan dijanjikan diberi semula tanah dan geran termasuklah ketika musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke 11 pada 2004 lalu, tetapi tidak ditunaikan.

“Lepas itu, sekali lagi dalam pilihan raya kecil tahun 2007, Parthiban (Ketua MIC Kuala selangor) dan Datuk Seri Samy Velu datang lagi ke kampung ini menabur janji sama juga BN menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Dalam PRU-12 2008 lalu pun macam itu juga, tetapi masyarakat kampung sudah pandai, tak termakan janji mereka lagi.

“Malah pada masa itu mereka memberikan surat tawaran yang tidak laku kerana tidak memiliki nombor lot dan saiz keluasan, hanya cuba memperbodohkan penduduk kampung,” ujar beliau kepada Selangor Kini.

Ketika itu, berbekalkan surat tawaran tersebut, beberapa penduduk pergi ke Pejabat Tanah Kuala Selangor untuk membayar premium tanah tetapi telah ditolak kerana surat tawaran tersebut tidak memiliki nombor lot dan keluasan tanah.

BN Jaguh Putar Belit Isu Tanah Kubur, Kuil

KUALA SELANGOR 9 JUN: Pembangkang DUN Selangor diingatkan agar tidak memutar belitkan fakta yang melibatkan isu-isu sensitif demi kepentingan politik mereka.

Demikian menurut Pegawai Penyelaras Pejabat Kerja Menteri Besar, Abdul Rahman Umar ketika ditemui TV Selangor baru-baru ini.

Menurut Rahman, antara isu sensitif yang diputar belitkan pemimpin BN di Ijok ialah isu tanah perkuburan Islam dan tapak Kuil Kuil Sri Subramaniam yang terletak dalam tanah milik Arimaju Sdn Bhd.

Jelasnya, BN tuduh Kerajaan Negeri beri tanah kubur kepada pemaju, sedangkan tanah kubur itu tidak disentuh langsung. Dahulu begitu lama berkuasa, mereka(BN) tidak mahu gazetkan tanah berkenaan.

“Sekarang tanah perkuburan yang ada dah digazetkan, memang kekal ada di situ, malah ada dua tanah perkuburan digazetkan,”katanya.

Begitu juga isu kuil, padang bola dan pondok rehat yang ada. Menurut Rahman, BN sepatutnya terlebih dahulu mewartakan kawasan yang melibatkan kepentingan masyarakat terutama melibatkan rumah ibadat sebelum menyerahkan kepada pihak lain.

“Kenapa pada masa nak beri hakmilik mereka tak selesaikan betul-betul tentang padang bola, pondok rehat dan terutama sekali Kuil itu?

“Pada masa itu mereka sendiri tahu Kuil itu wujud di situ pada 1978 lagi, sedangkan BN beri hakmilik kepada pemaju tahun 1998,” tegasnya.

Sekarang apabila Pakatan Rakyat mentadbir, kita adakan perbincangan untuk selesaikan masalah ini.

Difahamkan, sebelum ini Kerajaan Negeri menganjurkan perbincangan antara penduduk dengan pemaju dan persetujuan bersama berjaya dicapai dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun keputusan yang pada awalnya memuaskan hati semua pihak terlibat, dirosakan oleh pemimpin pembangkang BN, dengan menghasut wakil Kuil dan penduduk kawasan terlibat agar menolak semula persetujuan yang dicapai itu.

Menurut Rahman, Kerajaan Selangor akan mengadakan satu lagi pertemuan dengan pihak terlibat bagi memperolehi keputusan muktamad.

Masalah tanah ini bermula pada tahun 1998 apabila sebuah syarikat memohon agar diberi hakmilik tanah tersebut dari Kerajaan Negeri BN sebelum ini untuk dimajukan.

Selepas permohonan mereka diluluskan, syarikat terlibat telah menjualkan tanah yang merupakan tapak Taman Sejati, Ijok yang ada hari ini kepada pemilik tanah sekarang.

Projek pembinaan Taman Sejati yang dijalankan dalam tiga fasa itu, sebelum ini tidak mengalami sebarang masalah dalam fasa pertama dan kedua.

Bagaimanapun masalah mula timbul apabila di peringkat fasa ke tiga projek ini melibatkan beberapa kawasan sensitif yang menimbulkan pertikaian penduduk setempat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selar ‘Selangorku Bersih’, Kenyataan Noh ‘Pelik’

SHAH ALAM 6 JUN : Tindakan Datuk Seri Noh Omar menyelar program ‘Selangorku Bersih’ anjuran Kerajaan Negeri merupakan satu kenyataan yang pelik, ulas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco Negeri, Abdul Khalid berkata, usaha Kerajaan Negeri itu khusus untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih di negeri Selangor yang mengalami pertambahan pengundi mencurigakan.

“Kita sedang membantu mereka membersihkan daftar pemilih kerana sebelum ini mereka beritahu tidak mempunyai kapasiti dan kemampuan untuk membersihkan daftar pemilih yang meragukan terutamanya di negeri ini.

“Atas rasa tanggungjawab dan berdasarkan kemampuan yang kita ada, kita cuba membantu namun sebaliknya macam-macam pula yang dikatanya,” ujar Abdul Khalid.

Beliau menambah, usaha Kerajaan Negeri itu juga seharusnya tidak dijadikan isu kerana ia merupakan inisiatif murni Kerajaan Pakatan Rakyat membersihkan daftar pemilih bagi memastikan pilihan raya kali ini bersih dan adil.

“Seharusnya usaha sebegini disokong sepenuhnya kerana ia memudahkan kerja mereka.

“Sepatutnya orang membantu kita ucapkan terima kasih tapi peliknya, sebaliknya yang berlaku,” sindir beliau.

‘Selangorku Bersih’ menggerakkan semua Jawatan Kuasa Keselamatan dan kemajuan Kampung(JKKK), Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baru di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan benar-benar wujud seterusnya melenyapkan kewujudan pengundi hantu.

Semalam, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor mengkritik program tersebut dengan menyatakan Kerajaan Negeri lebih menumpukan kepada isu kewujudan 300, 000 pengundi baru dalam daftar pemilih, dan tidak mengambil berat tentang sejumlah 600,000 rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.

Noh turut menggesa rakyat Selangor supaya tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu yang ingin menjalankan pemeriksaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ronnie: Tangani Pelacuran, Rumah Urut, KDN Harus Bertindak

SHAH ALAM 6 JUN: Pemimpin BN diingatkan agar tidak bersikap pura-pura dalam menangani aktiviti pelacuran yang bersembunyi di sebalik perniagaan rumah urut.

Badan penguatkuasa seperti polis dan Jabatan Imigresen yang berada di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri yang sepatutnya memainkan peranan dalam isu ini dan bukannya meletakkan kesalahan kepada Kerajaan Negeri.

Demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu dalam rancangan ‘Terus Terang’ terbitan TV Selangor di sini.

Menurut Ronnie, Kerajaan Selangor membekukan lesen rumah urut bagi membendung kemungkinan wujudnya aktiviti pelacuran yang mungkin tersembunyi di sebalik perniagaan rumah urut.

“Sebelum Pakatan Rakyat ambil alih lagi, pengeluaran lesen rumah urut telah dibekukan.

“Apabila Pakatan ambil alih Selangor, dasar itu kita kekalkan dengan tidak mengeluarkan lesen-lesen baru.

“Sedangkan negeri-negeri lain di bawah BN sendiri pun banyak rumah urut. Kalau anda tak percaya cuba pergi ke Bukit Bintang, begitu banyak rumah urut di sana.

“Adakah Wilayah Persekutuan ditadbir oleh Pakatan Rakyat?”

“Negeri-negeri BN tiada satu pun yang membekukan pengeluaran lesen rumah urut, tetapi hipokrit,” kata Ronnie.

Ronnie menyarankan kepada negeri-negeri di bawah BN agar menutup kesemua rumah-rumah urut termasuk pusat refleksologi sekiranya mereka benar-benar menganggap perniagaan rumah urut adalah sesuatu yang tidak sihat.

“Kerajaan Selangor memang dah tak keluarkan lesen rumah urut lagi. Rumah urut yang ada lesen tetapi menyalahi undang-undang PBT, kita ambil tindakan,”jelasnya.

Ronnie memberitahu, isu ini sengaja diada-adakan oleh BN bagi memberikan gambaran buruk kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal mentadbir negeri ini dengan baik.

Categories
NASIONAL

PAS Tetap Dengan Pendirian Pakatan Rakyat, Buku Jingga

PETALING JAYA, 14 MEI: PAS akan terus mempertahankan resolusi yang telah disepakati DAP dan PKR meskipun terdapat percanggahan dalam beberapa perkara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah melaksanakan tuntutan Bersih 3.0 demi memastikan pilihanraya dapat dijalankan secara adil.

Katanya, Pas akan terus dengan pendirian untuk bersama dan menghormati dasar Pakatan manakala segala percanggahan pendapat akan diselesaikan secara dalaman dan bukannya melalui media.

“Kita akan bincang secara dalaman dan kita akan utamakan isu Bersih dahulu untuk kita memerintah. BN menyembunyikan isu Bersih,” katanya di dalam sidang media di ibupejabat PKR di sini.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Abdul Hadi dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tegas untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan seperti yang dimaklumkan dalam Buku Jingga.

Katanya, serangan terhadap Pakatan melalui media pro Umno-BN tidak akan menggugat kesepakatan bersama yang telah dipersetujui selama ini.

Kit Siang dalam sidang media sama membacakan semula ikrar yang telah dipersetujui bersama yang dimuatkan dalam Buku Jingga.

“Semangat dan keutuhan Pakatan tidak sedikit pun terjejas dengan liputan yang dikira negatif dalam keadaan sekarang.

“Kenyataan ketiga-tiga parti untuk kekal dengan Pakatan Rakyat sekarang, semasa pilihan raya dan selepas membentuk kerajaan insyaAllah.

“Tuan Guru (Hadi Awang) berkata kita masih terikat dengan kesepakatan yang telah ditandatangani bersama.

“Yang menyatakan segala perubahan yang dibuat terikat dengan dasar kesepakatan bersama, Perlembagaan Persekutuan, Buku Jingga.  Itu cukup jelas,” Lim berkata.

Sementara itu, Anwar memaklumkan, pimpinan sedang menumpukan perhatian terhadap menyiapkan manifesto pilihanraya dan akan mengadakan beberapa siri rapat rakyat bagi menjelaskannya.

Categories
SELANGOR

Adun BN Dilantik Sertai Jawatankuasa Dun

SHAH ALAM 27 MAC : Sidang Dewan Rakyat hari ini menerima beberapa usul penting berhubung perlantikan Ahli Jawatankuasa Khas Kerajaan Negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Usul pertama adalah perlantikan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) yang melibatkan Adun Kajang, Lee Kim Sin sebagai Pengerusi Jawatankuasa menggantikan Adun Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias (BN) seterusnya mengekalkan Shamsudin sebagai Ahli Jawatankuasa.

Sementara itu, Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa menggantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan.

Bagi Usul Kedua pula, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menggantikan mendiang Adun Bukit Gasing, Edward Lee.

Seterusnya, Sidang Dewan menyaksikan perlantikan Adun Sungai Air Tawar, Raja Ideris Raja Ahmad (BN) sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menggantikan Adun Taman Templer, Datuk Sri Subahan Kamal (BN).

Kesemua perlantikan dilakukan berdasarkan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL

Hukuman Ke Atas Imam Hoslan Tidak Wajar

PETALING JAYA, 8 MAC: Tindakan Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas bekas Imam, Hoslan Hussin atas kesalahan menghina mahkamah berikutan tindakan lelaki itu yang melemparkan seliparnya ke arah panel hakim disifatkan tindakan yang tidak wajar.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata kes ini sewajarnya ditangani dengan keadilan yang berteraskan prinsip belas kasihan dan Mahkamah Persekutuan gagal melaksanakannya.

Tambahan lagi, Hoslan dinafikan hak membela diri. Beliau tidak diwakili peguam dan merasa sangat sedih dengan perbuatannya melontar kasut dalam mahkamah tempoh hari.

“Hoslan merupakan bapa kepada tujuh orang anak dan kes beliau ini telah tertangguh sejak 1999. Sewajarnya beliau dihukum dengan amaran keras atau denda.

“Pihak kehakiman seharusnya mempertahankan nama baik mereka berdasarkan teras moral dan bukan dengan memenjarakan rakyat.” ujarnya.

Katanya tindakan Hoslan membuktikan institusi kehakiman negara berada dalam keadaan membimbangkan dan institusi kehakiman bertanggungjawab ke atas perkara ini.

“Institusi kehakiman telah dicemari dengan campurtangan pentadbiran BN. Adalah menjadi hasrat Pakatan Rakyat untuk melindungi dan mempertahankan integirit dan kebebasan institusi kehakiman negara.” jelas Surendran

Hoslan yang mewakili dirinya sendiri dalam kes berkenaan berkata, beliau keliru dengan perjalanan kes tersebut “bermula daripada awal.”

Kes tersebut sepatutnya didengar di Mahkamah Syariah dan bukannya di Mahkamah Sivil, katanya lagi yang meminta prihatin mahkamah.

Categories
NASIONAL

Kunci Air Ancam Keselamatan Penduduk Tanjung Karang

TANJUNG KARANG, 27 FEB: Setelah 54 tahun memerintah, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menumpukan usaha-usaha melindungi keselamatan masyarakat Tanjung Karang.

Keselamatan penduduk di Pekan Tanjung Karang dan kampung-kampung sekitarnya bakal terancam sekiranya kunci air yang berusia lebih 40 tahun gagal menampung tekanan air Sungai Tengi.

Demikian menurut Naib Yang Dipertua Pas Tanjung Karang, Haji Misran Serman ketika ditemui wartawan TVS baru-baru ini.

“Dahulu ada dua kunci air, satu yang besar dibina sebelum merdeka pada tahun 30an lagi dan satu lagi dibina oleh Kerajaan pada sekitar tahun 60an tetapi lebih kecil.

“Malangnya, kunci air besar itu telah runtuh gara-gara kerakusan BN yang kononnya nak menaikkan taraf kunci air lama itu sekitar tahun 2006.

“Disebabkan kecuaian perancangan, semasa projek itu sedang dijalankan kunci air tersebut jadi condong kerana cerucuk yang ditanam mungkin telah terkena asas bangunan tali air itu dan akhirnya runtuh.

“Akhirnya projek menaiktaraf tersebut dihentikan begitu sahaja sekaligus telah berlaku bukan sahaja pembaziran dana awam tetapi melenyapkan satu khazanah bersejarah yang ada di situ.

“Bila kunci air besar tadi dah runtuh, kunci air yang ada sekarang cumalah kunci air kecil yang dibina pada tahun 60an. 

“Bayangkanlah apa akan jadi pada kampung-kampung dan Pekan Tanjung Karang sekiranya kunci air tersebut tidak dapat membendung tekanan air yang kuat dan pecah terutama pada masa air naik,” kata Misran.

Misran turut kesal kecuaian yang dilakukan oleh pihak terlibat dalam kerja menaiktaraf kunci air yang dibina pada 30an itu telah mengakibatkan sebuah bangunan bersejarah yang ada musnah.

“Di negara kita hanya ada dua atau tiga sahaja bangunan kunci air dan salah satu darinya adalah bangunan kunci air setinggi empat tingkat yang runtuh ini.

“Ia mempunyai nilai-nilai sejarah yang tinggi untuk tatapan generasi masa kini dan akan datang.

“Tetapi sayang kunci air itu dah runtuh dan sekarang mereka buka satu galeri yang dinamakan Galeri Jabatan Pengairan Selangor yang nampak macam tidak terurus,” beritahunya lagi.

 

Categories
NASIONAL

BN Perlu Hentikan Sikap Pura-Pura Berhubung Israel

SHAH ALAM, 24 FEB : Kerajaan Barisan Nasional diseru untuk menghentikan sikap hipokrasi dan double standard berhubung isu hubungan dagangan dengan negara haram Israel.

Demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad yang mendakwa penjelasan Kerajaan Pusat berhubung isu kapal Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang tidak boleh diterima sama sekali.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kononnya negara Malaysia adalah juara memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan kononnya Malaysia tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Jadi kita sangat terkejut dengan pendedahan kapal Israel yang biasa berlabuh di Pelabuhan Klang,” ujar Khalid sambil menambah alasan anak kapal Israel tidak dibenarkan menjejakkan kaki di pelabuhan sebagai penjelasan ‘main-main’ oleh Kerajaan Umno/BN.

Lebih mengejutkan, Malaysia berada di kedudukan bawah 20 bagi negara-negara yang mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, beritahu Khalid dalam sidang medianya pagi tadi.

“Rekod ini adalah berdasarkan laporan yang telah didedahkan oleh beberapa pihak dan ia membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan yang ‘kuat’ dengan Israel.

“Dan antara produk terpenting ialah minyak kelapa sawit. Saya percaya peneroka-peneroka Felda akan merasa dikhianati kerana tanpa disedari hasil mereka menjadi bahan dihantar ke Israel,” jelas Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Sehubungan itu, Khalid mendesak agar BN menghentikan sikap kepura-puraan mereka berhubung isu Israel-Palestin seterusnya melaksanakan tiga perkara sekiranya benar Kerajaan Pusat menghormati aspirasi rakyat Palestin seperti yang selalu dilaungkan mereka.

“Sekiranya kamu benar-benar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, maka zahirkanlah dalam tindakan kamu.

“Yang pertama, hentikan kemasukan kapal-kapal Israel melalui perairan Malaysia, kedua hentikan perdagangan dengan Israel dan yang ketiga tamatkan perkhidmatan APCO sebagai penasihat kamu,” tegas beliau