Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Siap Sedia Jika Berlaku Sabotaj Air

1

SUNGAI BESAR, 23 FEB : Kerajaan Negeri Selangor mempunyai persediaan rapi bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan berlakunya sabotaj gangguan air di negeri itu.

Exco Selangor, Dr Yunus Hairi berkata, dakwaan akan berlaku gangguan air selepas pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Parlimen apabila pihak Umno-BN menggunakan isu air sebagai bahan kempen politik dalam PRU 13 ini untuk merampas Selangor.

“Kerajaan Negeri sudah bersedia dengan perancangan seperti penyediaan lori-lori tangki air yang akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” kata Dr Yunus.

Beliau berkata demikian semasa penerangan isu air yang diadakan di Dewan Seri Bernam di sini.

2Tambah Dr Yunus, pemberian air percuma sepanjang lima tahun pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor membuktikan gagasan itu membela kebajikan rakyat.

Katanya, sebelum ini pihak Umno-BN mendakwa kerajaan negeri akan muflis dalam tempoh tiga bulan dengan pemberian air percuma.

Namun hasil kecekapan pengurusan pentadbiran kewangan berhemah rizab simpanan Selangor terus meningkat sehingga RM2.5 bilion.

“Sebanyak 600juta meter padu air bersih terbuang ekoran masalah kehilangan air yang didakwa gagal tditangani dengan baik oleh pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas),” kata beliau.

Sementara itu, mantan Professor Undang-Undang UIAM, Dr Aziz Bari berkata, sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat perlu diteruskan dalam usaha untuk memastikan dasar pemberian air percuma mempunyai kesinambungan.

“Isu penstrukturan industri air di Selangor akan lebih mudah diselesaikan dengan rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat di peringkat pusat dalam Pilihanraya Umum Ke-13,” kata beliau.

Kira-kira seramai 500 orang hadir dalam sesi penerangan isu air itu yang turut hadir penyelaras DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin.

Categories
SELANGOR

Jambatan Ketiga Klang Akan Disiap Dalam Tempoh Yang Ditetapkan

mb tanah

KLANG, 15 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa pembinaan jambatan ketiga Klang akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, peruntukkan pembinaan jambatan sepanjang 500 meter itu sudah disediakan melalui wang rizab simpanan negeri sejumlah RM300 juta.

“Negeri Selangor sudah ada dana yang kita umumkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) tahun lepas bahawa rizab RM300 juta sekurang-kurangnya akan digunakan untuk pembangunan jambatan di Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ke-Tiga Klang di Jalan Tepi Sungai, Klang hari ini.

Turut hadir, barisan ahli Exco Selangor, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Meru, Dr Rani Osman, Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri serta ahli-ahli Majlis MPK.

Menurut Abdul Khalid, proses memilih reka bentuk jambatan baru itu akan dimulakan mulai minggu depan sebelum tender dikeluarkan.

“Selepas kita tender, kita juga akan mengumumkan pemenangnya,” katanya lagi.

Katanya, tempoh pembinaan jambatan itu juga akan ditetapkan iaitu diantara 18 bulan sehingga 24 bulan.

Sebelum ini, Kerajaan Umno-BN berjanji untuk membina jambatan ke-tiga ini pada tahun 2008 tetapi tidak menunaikannya walaupun Majlis Pecah Tanah pembinaan jambatan itu telah dilakukan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

 

TAWAS : Sambutan Luar Dugaan, Staf Bank Terpaksa Kerja Lebih Masa – Detik Semasa

Sinopsis 

DETIK SEMASA Untuk 30112012 

Saksikan DETIK SEMASA sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) Selangor. 

Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 30 NOVEMBER 2012 :

1. Sambutan TAWAS Luar Dugaan, Staf Bank Terpaksa Kerja Lebih Masa
2. Syed Husin dan Chandramohan dilantik Senator Dewan Negara
Categories
NASIONAL SELANGOR

Jingga 13 Dedah Delegasi Israel Hadir Persidangan Gas Sedunia Di Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 29 NOV: NGO Jingga 13 hari ini mendedahkan bahawa delegasi dari Israel telah menghadiri Persidangan Gas Sedunia (WGC) yang diadakan di Kuala Lumpur Jun lalu.

Jingga 13 mendakwa terdapat bukti dalam senarai pendaftaran delegasi ke persidangan itu yang menunjukkan nama delegasi dari Israel.

Dalam daftar senarai delegasi WGC yang ditunjukkan kepada media didapati Pengurus Pembangunan Komersial LNG dari syarikat Noble Energy, Doorneweeret, Hans Peter merupakan salah seorang delegasi Israel yang hadir.

Demikian menurut Ketua Kordinator Jingga 13, Fariz Musa dalam sidang media yang diadakan di lobi Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

“Kami desak Wisma Putra dan Penasihat Petronas, Tun Mahathir Mohamad menjelaskan pendirian mereka berhubung perkara ini.

Kerana ia bertentangan dengan dengan solidariti rakyat Malaysia yang memperjuangkan hak rakyat Palestin dan tidak mahu sebarang hubungan diplomatik dengan Israel,” kata Fariz.

Jingga 13 juga mencabar kerajaan, Petronas dan MGA untuk mendedahkan maklumat sebenar senarai delegasi khususnya selepas 15 April 2012.

Fariz juga mendakwa MGA pernah menulis surat kepada persatuan gas di Israel bagi merayu sokongan mereka terhadap pencalonan Naib Presiden Urusniaga Gas Petronas, Datuk Abdul Rahim Hashim bagi jawatan Presiden International Gas Union (IGU) bagi sessi 2009-2012.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Menteri Bohong, JAS Tidak Pernah Sokong Projek Kondo 29 Tingkat Batu Caves

SHAH ALAM, 29 NOV: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung berbohong apabila mendakwa projek kondominium 29 tingkat di Batu Caves mendapat sokongan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sebaliknya JAS, melalui satu kenyataan bertarikh 24 Januari 2007, jelas tidak menyokong projek yang dimajukan oleh Dolomite Industries Company Sdn Bhd itu.

Bagaimanapun pemaju projek tersebut tetap berdegil meneruskan pembangunan tanpa mengambil kira pendirian JAS.

Demikian menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dalam sidang medianya di lobi bangunan Annex Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“JAS tidak pernah keluarkan surat sokongan seperti yang didakwa Menteri Perumahan dalam laporan Malaysiakini bertajuk “Chor: Dolomite kemuka penyelesaian kejuruteraan” 19 November 2012 lalu,” kata Elizabeth.

Elizabeth turut menunjukkan laporan JAS yang ditandatangani Pengarah JAS Negeri Selangor, Rosli Zul yang jelas tidak menyokong pembangunan tersebut memandangkan ianya boleh menimbulkan masalah tanah runtuh.

Elizabeth juga memberitahu sehingga kini, sembilan blok bangunan komersil projek itu telah disiapkan tetapi belum diduduki kerana masih belum mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC).

Terdahulu, Majlis Perbandaran Selanyang ketika era pentadbiran Umno-BN telah memberi kebenaran merancang kepada projek yang terletak di kira-kira 180 meter dari Kuil Mahamariamman, Batu Caves.

Bagaimanapun projek itu menerima tentangan masyarakat Hindu yang bimbang ia akan menjejaskan struktur tanah Batu Caves yang merupakan tempat ibadat mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Haniza : Usul Bawa Mohd Isa Ke Jawatankuasa Hak Dan Kebebasan

SHAH ALAM 26 NOV : Usul membawaĀ  Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN-Batang Kali) untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan dibuat Adun Pakatan Rakyat (PR) di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada minggu ini.

Tindakan itu diambil berikutan kenyataan dibuat Mohd Isa yang disifatkan menghina kaum wanita terhadap Exco Pelancongan, Hal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2013 dalam sidang DNS Khamis lalu.

Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, usul tersebut akan dikemukakan untuk dibahaskan ketika sesi DNS berlangsung dengan persetujuan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana insiden itu berlaku kurang dari 14 hari.

Beliau selanjutnya berkata, perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa kumpulan dan pertubuhan wanita supaya kenyataan bersama dapat dikeluarkan berhubung perkara berkenaan.

“Kita memang mendapat sokongan dari beberapa kumpulan dan pertubuhan wanita mengenai isu ini. Usul akan dibuat dengan meminta salah seorang Adun wanita supaya membahaskannya di dalam dewan.

“Usul ini akan dibuat minggu ini. Sudah tentu minggu ini kerana ia minggu terakhir sidang dewan,” katanya kepada media ketika diminta mengulas berhubung perkara tersebut.

Haniza yang juga Timbalan Speaker DNS menjelaskan memang terdapat di dalam peraturan tetap melarang mana-mana ahli dewan mengeluarkan kenyataan berbentuk lucah atau biadap tetapi ia tidak spesifik menjurus kenyataan seksis.

“Itu mungkin antara pertimbangan, kita belum meneliti secara mendalam. Kita akan melihat mana yang baik supaya selepas ini tiada lagi mana-mana ahli di dalam dewan membuat kenyataan seperti itu.

“Saya nampak memang bagus kalau ada spesifik menyatakan tiada kenyataan seksis maka mereka tidak akan berani mengeluarkan kenyataan tersebut,” katanya mengenai tindakan susulan sekiranya DNS bercadang menguatkuasakan peraturan melarang Adun daripada mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Beliau berkata, cadangan tersebut ada kebaikannya kerana Mohd Isa menafikan pernah membuat kenyataan sebegitu.

Categories
SELANGOR

Pengalaman Melayakkan Anwar Sebagai Penasihat Ekonomi Negeri

SHAH ALAM, 23 NOV : Pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Kewangan selama lapan tahun sebelum ini melayakkan beliau untuk menyandang jawatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, Abdul Khalid berkata, tindakan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Satim Diman yang sengaja mempertikaikan peranan Anwar disifatkan tidak lebih sebagai ‘cemburu’.

“Satim mempersoalkan peranan Datuk Seri (Anwar) yang kononnya tidak sesuai. Jika Sri Serdang (Satim) pernah menjadi Menteri Kewangan selama lapan tahun, saya boleh minta dia jadi penasihat. Anwar dipilih atas pengalaman beliau, maka tugas untuk mentadbir kewangan negeri dan negara adalah sangat sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan 2013 semasa Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini pagi tadi.

Sebelum ini, Satim mempersoalkan peranan Anwar kerana didakwa gagal bertindak terhadap pelbagai penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yayasan Selangor, Universiti Selangor (Unisel) dan agensi-agensi Kerajaan Negeri.

 

Categories
NASIONAL

Politikkan Laporan Talam: Adun Permatang Didakwa Hina Penjawat Awam

SHAH ALAM 23 NOV : Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kecoh apabila Sulaiman Razak (BN-Permatang) dikatakan menghina penjawat awam dengan mempolitikkan laporan Talam.

Pertelingkahan di antara Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Sulaiman itu berlaku apabila Adun Umno itu mula mempertikai kemampuan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dalam membuat penilaian tanah di Bukit Beruntung.

“Permatang jangan suka-suka menghina kakitangan awam, saya sudah arahkan mereka nilai semula perkara itu. Tanah yang dinilai itu berasaskan pertanian.

“Jika dibandingkan dengan tempat di Ijok sendiri, antara pertanian dan komersial tentu Permatang sendiri juga memilih komersial. Ini cuma perbezaan antara penilaian dari segi andaian itu sebab ada perbezaan,” tegas Abdul Khalid.

Dalam sesi perbahasan isu penstrukturan hutang Talam itu, Abdul Khalid berkata beliau (Sulaiman) sengaja mahu membangkitkan emosi rakyat berhubung isu terbabit.

“Saya bukan sengaja nak merendahkan mutu, tetapi saudara sengaja sebab mahu dapatkan kebangkitan emosi.

“Bukan cara seperti dulu, sebelum ini, bolehlah Menteri Besar tulis lulus, pengsan penjawat awam. Pegawai Daerah lebih penting dari Menteri Besar.

“Jangan pusingkan untuk politik, saya kutip RM392 juta untuk tolong rakyat yang pentadbiran dulu tidak kutip.

“Ini pandai buat drama besar sahaja tapi duit tak dapat kutip juga, kalau Umno-BN benar-benar nak buat macam Talam, saya cabar buat untuk kes National Feedlot Corporation (NFC),” sindir Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL

MB Cabar MCA Bawa Isu Talam Ke Mahkamah

SHAH ALAM 23 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mencabar MCA terutama Ketua Biro Pemuda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong menyaman Kerajaan Negeri berhubung isu penstrukturan hutang Talam.

Abdul Khalid berkata, ia merupakan cabaran Pakatan Rakyat (PR) Selangor kepada Umno-BN atau MCA untuk membawa perkara terbabit ke mahkamah dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata demikian selepas diprovok oleh Sulaiman Razak (BN-Permatang) ketika perbahasan kertas putih Talam di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Cabaran itu tercetus apabila, Sulaiman mempertikaikan usaha Kerajaan Negeri mengutip semula hutang Talam berjumlah RM392 juta selain membuat perbandingan perbezaan penilaian harga tanah di Bukit Beruntung oleh Sulaiman & Co dan JPPH.

“Kerajaan Negeri membuat penilaian itu berasaskan nilai komersial bukan nilai pertanian. Itu sebab saya galakkan MCA pergi ke mahkamah saman Kerajaan Negeri. Ini merupakan cabaran PR Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Permerbadanan Menteri Besar (MBI) menyelesaikan RM4 juta pembayaran caruman perparitan pada 2010 bagi membolehkan penjualan tanah kepada Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selepas Talam membuat permohonan menukarkan ‘pertanian’ kepada ‘pembangunan bercampur’ pada 1994.

“Kerajaan Negeri berpandangan bahawa nilaian yang dibuat oleh Suleiman & Co. adalah lebih menepati nilai sebenar tanah Bukit Beruntung itu,” katanya.

Jelasnya, penilaian oleh Sulaiman & Co itu menetapkan nilai tanah tersebut pada RM375 juta manakala penilaian oleh JPPH menetapkan nilai tanah pada RM113 juta.

“Perbezaan itu kerana Jabatan Penilaian mengambil kira status kategori kegunaan tanah sebagai ‘pertanian’ manakala nilaian Suleiman & Co mengambil kira kategori kegunaaan tanah terbabit sebagai ‘pembangunan bercampur’,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin : Kerajaan Negeri Hanya Terima 18 Peratus Daripada Dana Kerajaan Pusat – Detik Semasa

Sinopsis

DETIK SEMASA Untuk 22112012

Saksikan DETIK SEMASA sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) Selangor.

Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 22 NOVEMBER 2012 :

1. Azmin : Kerajaan Negeri Hanya Terima 18 Peratus Daripada Dana Kerajaan Pusat
2. Kebijaksanaan Kerajaan Negeri Selamatkan PKNS Tanggung Subsidi Bukit Botak
3. Alasan Umno-BN Tidak Bina Jambatan Ke-Tiga Klang Tak Boleh Diterima

Categories
NASIONAL SELANGOR

Speaker Teng: Orang Luar Boleh Buat Sidang Media Di Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 22 NOV : Kerajaan Negeri tidak bercadang menguatkuasakan larangan penggunaan sudut media di lobi Dewan Annex oleh orang luar sepertimana diputuskan oleh parlimen Malaysia kata, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Teng Chang Khim.

Sebaliknya menurut Teng, sesiapa sahaja berhakĀ  mengadakan sidang media selagi mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, kita menghalang sebarang bentuk demonstrasi atau bantahan yang akan menimbulkan kekecohan di sini,” katanya dalam sidang media di SUK, hari ini.

Katanya, pelaksanaan larangan di Parlimen itu disifatkan sebagai menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara atau menyatakan pandangan mereka terhadap sesuatu perkara.

Awal November lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengumumkan larangan lisan penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan ahli Parlimen.

Dalam sidang media sama, Teng turut menerangkan garis panduan yang akan diguna pakai oleh Adun dalam mesyuarat Dewan Negeri yang dikuatkuasa serta-merta.

Antaranya, berkenaan Peraturan Tetap 24 di mana masa untuk Menteri Besar memberi jawapan lisan kepada setiap pertanyaan adalah terhad kepada tiga minit, masa untuk Adun mengeluarkan pertanyaan tambahan adalah terhad kepada 30 saat dan masa untuk Menteri Besar memberi jawapan balas terhad kepada tiga minit.

Sementara itu, di bawah Peraturan Tetap 26 menerangkan sesuatu usul yang dicadangkan itu akan digugurkan sekiranya tidak memperolehi sokongan daripada seorang Adun lain untuk dibahaskan.

“Berkenaan Peraturan 66(4), masa yang diperuntukkan bagi membincangkan setiap kepala perbelanjaan dalam anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang hendaklah tidak kurang daripada setengah jam.

“Pada akhir perbincangan, mana-mana kepala anggaran-anggaran perbelanjaan atau maksud dalam jadual Rang Undang-undang, Menteri Besar boleh meminta izin untuk membuat penggulungan selama tiga minit.

“Walau apa pun yang diperintahkan di sini, Tuan Speaker atas pertimbangannya boleh melanjutkan had masa yang ditetapkan mengikut keadaan dan keperluan masa,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yakin Dengan Prestasi Pakatan Rakyat Punca Pelabur Meningkat

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan mencatatkan jumlah nilai pelaburan tertinggi iaitu sejumlah RM44.91 bilion sejak mentadbir empat tahun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, sejak Ogos 2012, Selangor mencatatkan 20 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di seluruh negeri di Malaysia.

Katanya, sebanyak 1,338 projek perkilangan diluluskan dengan sebanyak RM20.85 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan sebanyak RM24.6 bilion daripada pelaburan asing.

“Selangor menduduki tangga teratas jumlah nilai pelaburan diikuti dengan Sarawak dengan RM40.65 bilion dan Pulau Pinang sebanyak RM35.38 bilion,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, prestasi sektor pelaburan bagi tahun 2012 mulai Januari sehingga Ogos menunjukkan sebanyak 170 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan bernilai RM6.9 bilion.

“Jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia adalah sebanyak RM29.78 bilion dan sebanyak RM6.9 bilion iaitu 23.18 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan adalah di Selangor,” katanya yang merupakan Adun Kinrara.

Teresa berkata, sebanyak RM5.23 bilion adalah daripada pelabur tempatan dan sebanyak RM1.66 bilion daripada pelabur asing terutamanya Switzerland dan Singapura.

Katanya, industri pembuatan barangan kelengkapan kenderaan mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu RM2.76 bilion dengan 29 projek.

“Dari segi peluang pekerjaan, industri ini juga mencatatkan potensi peluang pekerjaan yang tinggi iaitu sebanyak 4,049 peluang pekerjaan diwujudkan diikuti industri pembuatan mesin dan peralatan iaitu sebanyak 1,600 peluang pekerjaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, daerah Hulu Selangor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu sebanyak RM2.12 bilion diikuti Petaling dengan sebanyak RM952 juta dan Klang sebanyak RM834 juta.

“Bagi tempoh Januari sehingga November 2012 sebanyak 119 projek diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM2.98 bilion.

“Sebanyak RM2.30 bilion daripada pelabur tempatan dan RM674 juta daripada pelabur asing dan sebanyak 11,118 peluang pekerjaan diwujudkan,” jelasnya.