Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir lega tiba di tanah air

halimah 2

SEPANG, 28 OGOS : Sekumpulan 31 penuntut Selangor di Mesir yang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Mereka yang tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Etihad 0416 itu disambut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 800 pelajar Selangor di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai 22 Ogos lalu.

Bagi pelajar jurusan Perubatan di Universiti Al azhar, Mesir, Nur Atikah Zulkifli, ketibaannya ke tanah air dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga mengenai keselamatannya di negara yang sedang bergolak itu.

Menceritakan pengalaman berada di sana, Atikah yang berada di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, keadaan asrama anak Selangor di sana rata-ratanya masih berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya semasa hari kejadian, saya tidak berada di situ tetapi ada dikalangan rakan-rakan yang dapat melihat gas pemedih mata dilepaskan kerana rumah kami memang berhampiran dengan tempat kejadian.

“Pihak keselamatan di sana sentiasa memantau keadaan pelajar. Kalau ikutkan, pelajar tidak mengalami sebarang masalah di sana, tetapi demi keselamatan lebih baik kami dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Muizuddin Muhammad Kamaruzzaman berkata, tidak semua tempat di Mesir yang terlibat dengan pergolakan itu, namun tempiasnya masih dapat dirasakan.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar ke Malaysia adalah tindakan bijak kerana kebanyakan ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka di sana.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak tertentu yang telah membawa kami pulang kerana kalau lihat keadaan sekarang, memang elok kami balik ke Malaysia,” katanya.halimah 2

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui mengharapkan supaya semua pelajar Malaysia di Mesir dapat pulang ke tanah air sehingga keadaan kembali tenang di sana.

Beliau turut menghargai usaha Kerajaan yang memperuntukkan dana untuk memastikan kesemua pelajar selamat pulang ke negara ini.

“Kita khuatir kerana keadaan dijangka teruk dan ada dikalangan pelajar yang tidak dapat keluarkan duit.

“Bila tidak dapat keluarkan duit, maknanya sara hidup, makan minum agak sukar. Jadi adalah lebih baik jika mereka pulang ke kampung halaman sehingga keadaan tenteram.

“Kita akan tengok sama ada mereka boleh melanjutkan pelajaran ke Mesir atau bagaimana,” ujarnya.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Proses membawa pulang pelajar dijangka akan berlangsung sehingga Jumaat ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tangguh Hantar Pelajar Ke Mesir

Halimah Ali PC EXCO 6 FEB 2013 01

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengambil keputusan menangguhkan penghantaran 95 pelajarnya ke Mesir sehingga situasi keselamatan terjamin.

Kerajaan Negeri turut memutuskan akan menempatkan pelajar terlibat yang mengikuti pengajian jurusan agama ke Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai pilihan alternatif.

Kerajaan Negeri juga menawarkan tempat kepada pelajar jurusan perubatan bagi mengikuti pengajian asasi sains di Universiti Selangor (Unisel).

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang sebelum ini bersetuju untuk menaja mereka ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan mereka di penempatan baru ini,”katanya.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tengahari tadi.

Kerajaan Negeri juga meminta agar pihak ibu-bapa dan orang ramai yang terlibat agar bertenang dan berdoa  semoga situasi yang berlaku di Mesir itu akan pulih dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan menyelia perkembangan terkini dari masa ke semasa terutama berkaitan keselamatan pelajar Selangor di Mesir,” ujar Dr Halimah lagi.

Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih rakyat digulingkan Tentera Mesir dalam satu rampasan kuasa baru-baru ini.

Tindakan tersebut mendapat bantahan jutaan rakyat Mesir dengan mengadakan demontrasi besar-besaran.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila pihak tentera baru-baru ini menembak mati lebih 100 penunjuk perasaan tersebut dan sekaligus menimbulkan suasana tidak selamat di negara itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor Di Mesir Berada Dalam Keadaan Baik dan Terkawal

halimah pc pelajar mesir 5 jul 01

SHAH ALAM, 5 JUL : Seramai 1,479 pelajar Selangor di Mesir dilaporkan berada dalam keadaan baik berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, meskipun Mesir dilanda siri perhimpunan besar-besaran baru-baru ini, namun lokasi kejadian adalah jauh daripada penempatan para pelajar.

Menurutnya, pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Selangor Mesir sentiasa bekerjasama dengan pihak KBMK dalam menyalurkan maklumat berhubung situasi semasa yang berlaku di negara itu.

“Segala peraturan, pekeliling dan peraturan berkaitan keselamatan yang dikeluarkan sentiasa disampaikan kepada pelajar-pelajar Selangor untuk dipatuhi.

“Malah pejabat HEP Selangor Mesir sentiasa melaporkan perkembangan dan perubahan situasi semasa yang berlaku kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).”

Dr Halimah berkata demikian di dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Jelas Halimah, semua pejabat HEP negeri juga diarahkan untuk membuka bilik gerakan beroperasi 24 jam di rumah negeri masing-masing bagi mendapatkan perkembangan semasa, menerima aduan serta mendapatkan maklumat berkaitan rakyat Malaysia dan pelajar.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas keselamatan peringkat negeri Selangor juga ditubuhkan bagi membincangkan persediaan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sekirannya situasi bertambah buruk.

“Kebanyakan pelajar di sana sudah mula bercuti pada ketika ini setelah tamat peperiksaan akhir tahun. Malah ada sebahagian universiti yang menangguhkan kelas dan peperiksaan,” katanya lagi.

Konflik terbaru di Mesir menyaksikan Presidennya, Mohammed Morsi, yang menang pilihanraya negaranya pada 30 Jun 2012 digulingkan oleh tentera Mesir pada 3 Julai.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Unisel Semakin Popular Hingga Tak Cukup Tampung Keperluan Pelajar

Unisel Konvokesyen 2012 03

SHAH ALAM 4 JULAI : Populariti Universiti Selangor (Unisel) semakin meningkat sepanjang lima tahun kebelakangan ini disebalik imej negatif yang sering dipaparkan Umno-BN menerusi media kepunyaan mereka.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, permohonan pelajar untuk memasuki Unisel semakin bertambah terutamanya bagi pengajian pilihan seperti fakulti perniagaan.

“Sekarang ini Unisel mempunyai masalah yang bersifat positif, iaitu jumlah pelajar yang memohon untuk memasuki Unisel sudah melimpah terutamnya fakulti perniagaan.

“Sehingga Unisel terpaksa merayu kepada Kerajaan Selangor untuk membantu mereka menyediakan bangunan untuk menampung keperluan tempat kuliah kerana kebanjiran pelajar ini,” ujarnya.

Dr Halimah berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada pagi ini.

Sebelum ini, Umno-BN didakwa memburukkan Unisel dengan mendakwa prestasi jumlah pelajar Unisel semakin merosot sejak 2008.

Mengulas lanjut, Dr Halimah berkata, ibu bapa dan pelajar di Selangor dan luar negeri ini sudah tidak percaya kepada dakwaan Umno-BN selepas melihat sendiri keadaan di Unisel.

“Terima kasih kepada BN yang telah melonjakkan publisiti Unisel dengan memaparkan imej negatif Unisel dalam media arus perdana selama ini khususnya sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya yang juga Adun Selat Klang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.