Categories
AGENDA NASIONAL

KPN tak putus asa buru dalang skandal 1MDB

SHAH ALAM,14 JAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak berputus asa memburu individu yang menjadi dalang dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB),  Jho Low.

“Saya akui saya gagal, bukan gagal sebab saya nak tunjuk saya superhero, tetapi saya janji dulu nak berusaha (menangkap Jho Low). Malangnya saya berdepan rintangan yang didirikan oleh pihak tertentu agar dia tidak dapat dibawa kembali ke sini untuk didakwa di mahkamah.

“Saya tak putus asa (dan) akan terus berusaha sebab seperti yang saya sebut pada 2015, ini satu rompakan yang merugikan negara. Masih ada berbilion dolar AS dalam kawalannya,” lapor Malaysiakini.

Abdul Hamid bagaimanapun tidak menyebut secara khusus pihak yang dimaksudkan menghalang penangkapan Jho Low.

Dalam wawancara Jho Low dengan media Singapura Straits Times baru-baru ini, dia menafikan menjadi dalang dalam skandal 1MDB, dan berkata hanya menjadi orang tengah untuk urus niaga syarikat itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemimpin, ahli politik jangan sentuh isu sensitiviti kaum – KPN

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Pemimpin dan ahli politik di negara ini diingatkan agar tidak memainkan isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama sehingga boleh menggugat perpaduan dan mengancam keselamatan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata sebagai pihak berkuasa terulung negara ini, adalah menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjamin negara dalam keadaan selamat serta mengekang daripada sebarang ancaman berkaitan keganasan, fitnah, perkauman dan keagamaan.

“Saya merayu kepada semua pemimpin dan ahli politik agar lebih memahami dinamik negara ini dengan kepelbagaian kaum dan agama, mesti hormat menghormati dan gunakanlah kepelbagaian yang ada untuk memajukan negara.

“Diharapkan ahli politik menggunakan kebijaksanaan, kesabaran dan berhemah dengan memenuhi prinsip demokrasi tanpa melakukan aktiviti hingga menyakiti hati orang lain dan seolah mencabar pihak berkuasa,” katanya pada sidang media khas sempena pencapaian tahun 2019 dan perancangan tahun 2020 PDRM di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, PDRM akan ambil pendekatan bertindak seadilnya demi menjaga keamanan, keharmonian serta keselamatan negara.

Abdul Hamid berkata pihaknya akan mengambil pendekatan tegas dan seadil-adilnya demi menjaga keamanan dan keharmonian serta keselamatan negara ini.

Beliau berkata isu berkenaan adalah membeban dan merugikan negara kerana warga PDRM terpaksa bekerja lebih masa sehingga mengorbankan banyak masa dalam menyelesaikan isu seumpama.

“Sepatutnya segala kekuatan PDRM digunakan sepenuhnya untuk menangani jenayah, dadah dan bukannya isu remeh seumpama,” katanya.

Abdul Hamid turut menetapkan sasaran bagi tahun 2020 untuk memastikan PDRM kembali disegani seperti yang berlaku pada zaman Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, dengan rakyat bersandarkan harapan kepada pihaknya serta Angkatan Tentera Malaysia.

Dalam perkembangan lain, bagi pencapaian PDRM tahun lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata JSJK merekodkan 26,466 aduan melibatkan pelbagai kes sindiket penipuan.

Beliau berkata, kesemua kes berkenaan melibatkan jumlah kerugian RM6.2 billion.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya telah merampas 20 tan dadah pepejal dan 9,047 liter dadah cecair melibatkan nilai RM2.7 billion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis tangani kumpulan pengganas ikut SOP – KPN

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini menegaskan sebarang bentuk ancaman melibatkan kumpulan pengganas ditangani mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Katanya siasatan sentiasa dilakukan secara profesional berdasarkan laporan dan bukti yang diterima polis.

“Kami tidak boleh tergesa-gesa siasat, kena laporan dan bukti baru boleh ambil tindakan, tidak kira sama ada pemimpin politik atau bukan.

“Siasatan yang dijalankan polis adalah adil, saya beri jaminan kepada mereka yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan keganasan adalah bagi menghentikan kegiatan itu dari terus ke peringkat yang berbahaya seperti pengebom berani mati. Kami cuba hentikan dan ambil tindakan untuk memulihkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2019 di Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata tindakan penangkapan tidak akan dibuat sesuka hati dan ia tidak mempunyai kaitan dengan isu politik, kaum dan agama.

Beliau berkata individu yang ditahan akan diberi hak mengikut peruntukan undang-undang dan segala tuduhan mengatakan PDRM menafikan hak adalah tidak benar.

“Saya mohon pemimpin politik bertenang. Isu keselamatan adalah tanggungjawab PDRM… saya akan berlaku adil mengikut SOP jika didapati tidak bersalah, kami akan rujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk membuat keputusan selanjutnya.

“Sebagai contoh, kamu tidak mahu insiden seperti serangan terhadap Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum, dan Keamanan Indonesia, Jen Wiranto berlaku di sini (Malaysia). Segala bentuk keganasan akan kita tangani,” katanya.

Abdul Hamid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap kegiatan yang menjejaskan keamanan negara termasuk kumpulan Jemaah Islamiah (JI), al-Qaeda dan Daesh.

Pada 10 Okt lepas, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan adalah antara tujuh individu yang ditahan kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Penahanan kesemua mereka dibuat dalam operasi polis Bukit Aman di Melaka, Perak, Kedah dan Negeri Sembilan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kes Balamurugan: Dakwaan IGP tidak berasas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 FEB: Dakwaan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa laporan autopsi atau bedah siasat kedua S Balamurugan ‘tidak jelas’ adalah tidak berasas.

Peguam, N Surendran dan Latheefa Koya dalam kenyataan berkata, keputusan bedah siasat berkenaan dengan jelas menyatakan punca kematiannya sebagai penyakit ‘arteri koronari’ akibat pukulan trauma.

Katanya, ia bermakna, kegagalan jantung Balamurugan tercetus oleh pukulan trauma berkenaan.

“Pertama, tiada apa yang ‘tidak jelas’ dengan keputusan bedah siasat kedua sepertimana didakwa KPN.

“Jika tidak, pukulan trauma itu tidak akan dicatatkan sebagai penyebab kematian oleh pakar patologi,” kata mereka.

Terdahulu, Khalid dalam kenyataannya antara lain mendakwa keputusan bedah siasat kedua kes Balamurugan adalah ‘tidak jelas’ dan ‘ringkas’ dan ‘tidak menjelaskan kedudukan trauma tumpul’.

Pada 18 Februari lalu, keputusan bedah siasat kedua mangsa dibentangkan, hasil pemeriksaan dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sepertimana diarahkan mahkamah.

Surendran dan Latheefa berkata, pegawai penyiasat polis turut hadir ketika pasukan forensik HKL menjelaskan secara terperinci kepada keluarga dan peguam hasil bedah siasat berkenaan.

“Selain itu, polis juga memiliki 82 gambar bedah siasat terperinci ke atas badan Balamurugan.

“Jadi, bagaimana KPN boleh mendakwa bahawa keputusan itu ‘tidak jelas’ termasuk dakwaan kononnya polis tidak tahu kedudukan pukulan trauma pada badan mangsa,” kata mereka.

-nR-

Categories
NASIONAL

KPN perlu dihadap ke Jawatankuasa Khas Ketua Audit Negara

Audit-Polis

SHAH ALAM 9 OKT : Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Khas berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 2012 untuk memberi penjelasan tentang kehilangan senjata api dan aset polis, bukannya menjadi anggota jawatankuasa berkenaan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara ini penting kerana Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menafikan bahawa polis memberi penjelasan kepada Jabatan Audit tentang kehilangan 44 pucuk senjata api dan aset polis lain.

“Ambrin menyangkal beberapa laporan menyebut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi mengatakan bahawa satu laporan dikemukakan kepada Ketua Audit Negara berkenaan barangan polis yang hilang tetapi penjelasan dalam laporan tersebut tidak dimasukkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

“Atas sebab ini, Ketua Polis Negara perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Khas untuk memberi penjelasan penuh dan memuaskan tentang kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang berkata, adalah sesuatu yang menggusarkan kerana tiada tanda Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) ingin memanggil KPN untuk memberi penjelasan tentang kehilangan aset polis itu.

“Agak menghairankan mengapa PAC tidak menyenaraikan kehilangan aset polis bernilai RM1.33 juta sebagai salah satu perkara yang perlu segera disiasat.

“Sedangkan orang awam mengharapkan perkara ini diberikan keutamaan dalam senarai siasatan oleh PAC,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Zuraidah: KPN tidak perlu ‘ugut’ rakyat

zuraidah trafik

SHAH ALAM, 22 OGOS ? Tekanan yang semakin hebat berikutan peningkatan kadar jenayah berat yang semakin serius serta kegagalan pihak keselamatan mengawal keadaan menyebabkan Ketua Polis Negara (KPN) cuba melarikan isu sebenar kepada isu yang membabitkan pesalah trafik.

Kenyataan Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membatalkan lesen memandu 1.7 juta individu yang enggan menjelaskan tunggakan saman trafik merupakan satu kenyataan yang dangkal dan cadangan yang tiada penelitian, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, cadangan tersebut seolah-olah KPN cuba lari dari hakikat bahawa orang awam amat mengharapkan pihak keselamatan dapat mengawal kegiatan jenayah yang semakin menakutkan.

“Hentikan kenyataan melulu, jangan ugut rakyat, KPN perlu buat kajian menyeluruh dan teliti agar rakyat tidak lagi dibebankan dengan pelbagai isu yang timbul sejak kebelakangan ini.

“Ini sebenarnya perkara-perkara yang tidak ada penelitian dan kajian sebelum ia diumumkan. Dengan senang sahaja keluarkan kenyataan dangkal ini langsung tidak memikirkan kesannya kepada rakyat.

“Rakyat akan terbeban, tarif letrik akan naik, GST akan dilaksana, harga barang juga akan naik, rakyat tak mampu bayar saman, lesen pula akan dibatalkan. Tak terfikirkan hal yang bebankan rakyat ini.” kata Zuraidah

Bercakap kepada TVSelangor beliau berkata, bidang kuasa bagi menyenarai hitam pemilik lesen memandu mahupun kenderaan boleh diserahkan kepada pihak yang sepatutnya seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“KPN sepatutnya memberi tumpuan dan fokus yang lebih menyeluruh untuk membanteras kegiatan jenayah berat yang semakin menakutkan rakyat dari membuat cadangan yang boleh dikendalikan oleh pihak lain (JPJ).

Semalam, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan itu akan dilaksanakan ekoran tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.- MZA

 

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

SAMM: KPN hilang kewarasan untuk batal 1.7j lesen pemandu

edy noor redzuan SAMM 01

SAMM mengecam pengumuman cadangan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk membatalkan seramai 1.7 juta pemandu yang di senarai hitam oleh polis trafik jika enggan membayar tunggakan saman lalu lintas.

Ikuti kenyataan media SAMM hari ini

Fiasco Pembatalan Lesen 1.7Juta Pemandu: Siapa Hero Seterusnya?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) memberi amaran kepada pihak berkuasa supaya tidak sesekali menduga kemarahan rakyat apabila seringkali menghadirkan cadangan yang tidak berperi-kemanusiaan.

Pengumuman Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebentar tadi bahawa seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis trafik supaya dibatalkan lesen memandu jika enggan bayar baki tertunggak saman lalu lintas, adalah keterlaluan dan umpama hilang kewarasan.

Cadangan ‘jahat’ ini dilihat lebih menjengkelkan dengan alasan kononnya tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika Aidilfitri lalu. Apakah kaitan antara tidak bayar saman dengan peningkatan jumlah kemalangan?

Jika KPN tidak berpuas hati dengan statistik kemalangan, sila buat kajian lebih terperinci punca kemalangan berlaku, sudah pasti bukan kerana pemandu tidak membayar saman. Namun pemikiran yang mungkin dipengaruhi oleh kedudukan kantung kewangan kerajaan maka lahirlah idea yang menafikan hak untuk rakyat memandu.

Apalah nasib rakyat Malaysia, dari menteri sampai ke polis, semuanya seolah berniat untuk menganiaya rakyat. Rakyat yang tersepit dengan kesempitan hidup tidak mampu untuk membayar saman, akhirnya dihukum lagi dengan pembatalan lesen memandu sekaligus bagaikan menghalang seorang ayah menghantar anak ke sekolah.

Jika semalam dapat disaksikan cadangan peminjam PTPTN disenarai dalam CCRIS dan Menteri Belia dan Sukan mendapat nama hasil dari kemelut ciptaan sendiri, kali ini menteri mana pula yang bakal menjuarai isu kononnya membela nasib pemandu yang punya saman ini?

Cukuplah bersandiwara, rakyat bukan bahan eksperimen untuk dicucuk-cucuk dengan cadangan yang menguji kesabaran. SAMM mendesak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang cadangan, kaji sebelum diumumkan.

SAMM berjanji jika cadangan ini dilaksanakan, SAMM akan menggerak mobilisasi besar mengajak semua pemandu yang mempunyai saman supaya mempertahankan hak untuk ‘hidup’ di tanahair ini. -MZA
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
NASIONAL SELANGOR

20,000 tandatangani petisyen polis bantuan di Lembah Klang

POLIS

SHAH ALAM , 19 OGOS : Sebanyak 20,000 tandatangan berjaya diperolehi untuk petisyen kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar meluluskan permohonan dari PBT-PBT di Lembah Klang untuk menubuhkan Polis Bantuan.

Dua minggu selepas kempen itu dilancarkan, desakan orang-ramai mendorong PDRM memberi kelulusan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk menubuhkan pasukan Polis Bantuan dengan kekuatan merekrut 50 anggota.

Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata usaha akan terus dipertingkatkan bagi mencapai sasaran sebanyak 100,000 tandatangan dalam masa terdekat.

“Kita akan meneruskan kempen ini dari masa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran awam berkenaan keperluan polis bantuan bagi pencegahan jenayah,” kata beliau ketika dihubungi.

Kempen itu yang dilancarkan pada 4 Julai lepas di Dewan Negeri Selangor (DNS) bertujuan mendesak Kerajaan Persekutuan membenarkan Kerajaan Selangor membentuk pasukan polis bantuan.

Orang ramai boleh menyertai kempen dengan mendapatkan borang di pejabat Adun Pakatan Rakyat atau dari laman web : www.safercity.com.my

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan mengenai petisyen ini, Sila hubungi:

No Telefon : +6016 878 2472
Alamat E-mail : [email protected]

Alamat Surat Menyurat :
Petisyen Polis Bantuan55M,
Jalan SS21/1A, Damansara Utama,
47400 Petaling Jaya, Selangor