Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Aksi Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik jadi tumpuan

TOKYO, 29 JULAI: Acara badminton bakal menjadi tumpuan peminat sukan tanah air pada hari ketujuh Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini, menampilkan dua wakil negara di peringkat pusingan kalah mati.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan 16 pemain terbaik, setelah mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas membenam pemain Perancis Brice Leverdez 21-17, 21-5 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Musashino Forest Sport Plaza.

Namun, tugas berat menanti Juara All England 2021 itu yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik, apabila dijadual berdepan pemain ranking keenam dunia dan pemenang pingat emas temasya edisi Rio 2016, Chen Long dari China.

Tugas sukar juga menanti beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang diundi bertemu gandingan nombor satu dunia Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon dari Indonesia pada aksi suku akhir, pagi ini.

Pasangan utama negara itu mengesahkan tiket ke suku akhir selaku Naib Juara Kumpulan D selepas menewaskan beregu Kanada, Jason Ho-Shue/Nyl Yakura 21-15, 21-13, pada Selasa.

Dalam pada itu, cabaran pemain perseorangan wanita utama negara Soniia Cheah Su Ya di temasya sukan berkenaan berakhir selepas tumpas di tangan pemain ranking keenam dunia Ratchanok Intanon dari Thailand.

Soniia, 28, yang membuat penampilan sulung di pentas Olimpik dengan lawan pertamanya Laura Sarosi dari Hungary menarik diri akibat kecederaan pada aksi pembukaan Kumpulan N, tumpas kepada bintang Thailand itu, 19-21, 21-18, 21-10.

Di Lapangan Memanah Yumenoshima pagi semalam, jaguh memanah negara Khairul Anuar Mohamad beraksi cemerlang apabila mara ke pusingan ketiga acara Recurve Individu Lelaki selepas mengharungi dua perlawanan mendebarkan.

Pemanah berusia 29 tahun itu yang menghuni ranking ke-15 dunia, terpaksa mengharungi dua saingan “shoot-off” atau satu panahan penentuan dalam aksi penuh dramatik, apabila terikat 5-5 selepas lima set berdepan kedua-dua lawannya itu.

Khairul Anuar, bagaimanapun berdepan tugas berat pada pusingan ketiga pada Sabtu ini (31 Julai) apabila dijadual turun berdepan pemanah Korea Selatan, Kim Woojin yang berada di kedudukan keempat dalam saingan pusingan penentuan ranking, Jumaat lepas.

Pada saingan pusingan pertama pagi semalam, pemanah kelahiran Kemaman, Terengganu itu mengatasi Antti Vikstrom dari Finland sebelum meneruskan aksi bertenaga di pusingan kedua untuk mengetepikan cabaran pemanah China, Wang Dapeng.

Pada kedua-dua aksi penentuan itu, Khairul Anuar yang terkandas pada pusingan kedua pada temasya edisi Rio 2016, melakukan panahan 10 mata maksimum, berbanding lawan beliau, masing-masing dengan sembilan mata.

Sementara itu, atlet pelayaran negara Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali, memulakan aksi yang mengecewakan selepas gandingan itu menamatkan saingan hari pertama acara International 470 Wanita di kedudukan tiga tercorot, semalam.

Bagaimanapun, semangat juang tinggi Nuraisyah yang bertindak sebagai “helm” dan Juni (kru), menyaksikan mereka tetap mengharungi cabaran laut bergelora untuk menamatkan saingan di kedudukan ke-18 dan ke-20, masing-masing dalam perlumbaan pertama dan kedua.

Selepas dua siri perlumbaan, Nuraisyah dan Juni berada di tempat ke-19 dengan 38 mata bersih dan dijadual turun beraksi pada perlumbaan ketiga dan keempat hari ini.

Sementara itu, perenang kebangsaan Phee Jinq En menutup kempen Olimpik Tokyo di tempat kelapan pada saringan pertama acara 200 meter (m) kuak dada wanita, semalam.

Pada acara berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo itu, Jinq En menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 2:32.57 saat (s) sekali gus gagal memperbaiki catatan terbaiknya 2:32.38s, ketika beliau memenangi pingat gangsa Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina.

Jinq En, 23, juga gagal untuk layak ke pusingan berikutnya pada penampilan keduanya di Olimpik.

Dalam pada itu, pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green akan memulakan aksi pusingan pertama acara golf individu di Kasumigaseki Country Club, hari ini.

Sementara atlet pelayaran Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohamad Latif, pula masing-masing akan meneruskan Perlumbaan 7 dan 8 Laser Standard dan Laser Radial di Enoshima Yacht Harbour.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi agih vaksin, alat perubatan bantu Malaysia tangani Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 JULAI: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdul Abdulaziz Al-Saud telah menitahkan “King Salman Centre for Relief and Humanitarian Action” supaya segera menyalurkan sumbangan peralatan perubatan dan sebarang keperluan untuk membantu Malaysia menangani cabaran Covid-19.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perkara itu baharu sahaja dimaklumkan kepadanya ketika berhubung dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.

Hishammuddin menyifatkan ia satu penghormatan besar dan benar-benar melambangkan ketulusan Kerajaan Arab Saudi dalam menjalinkan persahabatan dengan Malaysia.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, menjunjung kasih buat Baginda Raja Salman, Putera Mahkota Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud dan dan Kerajaan Arab Saudi atas kebaikan serta keprihatinan yang sangat mendalam ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini.

Hishammuddin berkata beliau akan terus bekerjasama rapat dengan Putera Mahkota Arab Saudi bagi memperincikan bentuk keperluan terkini yang Malaysia perlukan sekali gus memastikan titah Penjaga Dua Masjid Suci itu berjalan lancar.

Agensi Berita Saudi melaporkan Raja Salman telah menitahkan King Salman Humanitarian Aid and Relief Center (KSrelief) supaya segera menyalurkan Malaysia bantuan bagi menangani kesan pandemik Covid-19.

Bantuan itu termasuk satu juta dos vaksin Covid-19, peralatan perubatan, penjagaan dan rawatan, bekalan pencegahan dan lain-lain keperluan perubatan.

-BERNAMA

 

Categories
PENDAPAT RENCANA

Covid-19: Malaysia masih dibebani kluster tempat kerja

Oleh Melati Mohd Ariff

Berikut adalah Rangkuman Mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 19 Jun hingga pukul 12.30 tengah hari 25 Jun 2021.

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melepasi 716 ribu. Di peringkat global, lebih 180 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 3.9 juta. Lebih 165 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Hampir sebulan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) dikuatkuasakan, kes harian baharu masih belum dapat diturunkan bawah 4 ribu untuk membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) beralih ke fasa dua.

Semalam (Khamis 24 Jun 2021) , sebanyak 5,841 kes harian baharu lagi dilaporkan sementara kes kumulatif Covid-19 negara yang melepas paras 700 ribu pada 21 Jun 2021, meningkat kepada 716,847 kes. Kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 naik sedikit kepada 61,162 kes berbanding 60,816 kes pada 23 Jun 2021.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba baru-baru ini dipetik berkata “purata kes Covid-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4 ribu kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa dua mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).”

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan PPN yang terbahagi kepada empat fasa pada 16 Jun lepas berharap ia dapat mengembalikan kehidupan harian biasa.

SPP pula yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021, disambung dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

Sementara itu, kluster baharu terutamanya kluster tempat kerja melibatkan kilang dan tapak binaan yang masih dikesan dan mencetuskan kes baharu dibimbangi boleh menggugat usaha mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Setakat 24 Jun 2021, negara dibebani sebanyak 867 kluster yang masih aktif. Secara keseluruhannya sebanyak 2,720 kluster direkod dan 1,853 daripadanya, dilaporkan tamat.

Rangkuman Mingguan Bernama 19 Jun hingga 24 Jun 2021 (Rangkuman Mingguan) berdasarkan data KKM merekod sebanyak 140 kluster baharu dan daripada jumlah itu, sebanyak 85 kluster atau 60.7 peratus adalah kluster tempat kerja.

Pekerja syarikat sarung tangan Top Glove menjalani saringan Covid-19 di asrama pekerja wanita di Meru pada 18 November 2020. Foto: BERNAMA

Semalam sahaja (24 Jun), sebanyak 30 kluster baharu dilaporkan dan 20 daripadanya adalah kluster tempat kerja!

Antara kluster tempat kerja yang dikesan semalam dengan kes Covid-19 yang tinggi adalah kluster Industri Jalan Seruling 57 (daerah Klang, Selangor). Kluster ini hasil saringan bersasar di sebuah kilang dan 101 kes positif daripada 319 individu yang disaring.

Pada 20 Jun, KKM melaporkan kluster tempat kerja, Tapak Bina Persiaran Hamidiah (daerah Hulu Langat, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak binaan di Persiaran Hamidiah. Kajang, Hulu Langat. Sebanyak 244 kes dikesan positif daripada 332 individu yang disaring.

Pada 19 Jun, antara kluster tempat kerja yang mencatat kes positif tinggi ketika diumumkan KKM adalah Kluster Tapak Bina Perdagangan Dana (daerah Petaling, Selangor), melibatkan pekerja sebuah tapak pembinaan di Pusat Perdagangan Dana 1, Petaling Jaya. Seramai 324 kes dikesan positif Covid-19 setakat 19 Jun 2021, daripada 482 individu yang disaring.

Sepanjang Rangkuman Mingguan ini juga, hanya dua hari Malaysia merekod kes bawah 5 ribu iaitu pada Isnin 21 Jun (4,611 kes) dan Selasa 22 Jun (4,743 kes). Kali terakhir Malaysa mencatat angka kes harian dalam lingkungan empat ribu adalah pada 18 Mei 2021 sebanyak 4,865 kes.

Paling tinggi kes harian baharu dilaporkan di Malaysia adalah pada 29 Mei 2021 iaitu sebanyak 9,020 kes, iaitu sejak kes pertama dikesan di negara ini pada 25 Januari 2020.

Jumlah kes Covid-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah sebanyak 869 kes dan 438 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dengan 716,847 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 36 (rangkuman mingguan lepas tangga 38) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Jordan (748,685 kes) dan Jepun (789,440 kes).

Perkembangan lain dalam negara

Berdasarkan perincian KKM untuk 5,841 kes harian baharu Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 24 Jun 2021, Selangor terus menyumbang kes terbanyak iaitu 2,072 kes.

Berikutan peningkatan kes di Selangor terutamanya pesakit kategori tiga dan ke atas, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memutuskan untuk menukar status Hospital Ampang daripada Hybrid Covid-19 kepada hospital rawatan pesakit Covid-19 sepenuhnya (Hospital Full Covid-19) berkuat kuasa semalam (23 Jun).

Di samping Hospital Ampang, sebuah lagi hospital yang beroperasi sebagai Hospital Full Covid-19 di Selangor ialah Hospital Sungai Buloh.

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, kes harian baharu Covid-19 di Selangor adalah seperti berikut:-

19 Jun (2,111 kes), 20 Jun (1,680 kes), 21 Jun (1,346 kes), 22 Jun (1,566 kes), 23 Jun ( 2,001 kes) dan 24 Jun (2,072 kes).

Negeri yang mencatat k​​​​es harian baharu tiga angka – Negeri Sembilan 781, Sarawak 581 kes, WP Kuala Lumpur 552, Johor 346, Kedah 271, Melaka 247, WP Labuan 212, Sabah 203, Pahang 162, Kelantan 135, Perak 120 dan Pulau Pinang 108.

Kes harian baharu dua angka – Terengganu 29 dan Putrajaya 17.

Kes harian baharu satu angka – Perlis.

Untuk kes kematian pada Khamis 24 Jun 2021, sebanyak 84 lagi kes kematian dilaporkan, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 4,721 kes (0.66 peratus).

Selangor masih mencatat kes kematian tertinggi sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan ini, seperti berikut:-

Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada 9 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

19 Jun (23 kes), 20 Jun (20 kes), 21 Jun (24 kes), 22 Jun (32 kes), 23 Jun (35 kes) dan 24 Jun (32 kes).

Mengenai perkembangan terkini penularan varian baharu virus SARS-CoV-2, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan, antara 20 Jun 2021 dan 22 Jun 2021, sebanyak enam (6) kes dikesan dan kesemuanya adalah VOC (varian membimbangkan), iaitu Lima (5) kes varian Beta (B.1.351) dan satu (1) kes varian Delta (B.1.617.2).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI (varian perlu diwaspadai) adalah sebanyak 189 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 173 kes adalah VOC manakala 16 kes adalah VOI.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 24 Jun 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 24 Jun 2021 untuk seluruh negara kekal 0.98. Untuk rekod, Ro di bawah 1.0 ini secara konsistennya dicatat sejak 6 Jun 2021.

Negeri yang mencatat Ro/Rt tertinggi adalah Negeri Sembilan 1.08, Selangor 0.99 dan Sarawak 0.99.

R-Naught (Ro/Rt) ialah kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Senario wabak Covid-19 di Malaysia (19 Jun-24 Jun)

Rekod kes sembuh:-

19 Jun (6,918 kes), 20 Jun ( 5,941 kes), 21 Jun (5,439 kes), 22 Jun (5,557 kes), 23 Jun (6,372 kes) dan 24 Jun (5,411 kes).

Rekod kes baharu, penularan tempatan dan yang berkaitan:-

19 Jun – Kes baharu : 5,911 kes (691,115 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,910 kes [4,444 warganegara (75.2%); 1,466 bukan warganegara (24.8%)]; Kes import : 1 kes (1 warganegara);

20 Jun – Kes baharu : 5,293 kes (696,408 kes kumulatif);Kes tempatan : 5,286 kes [3,894 warganegara (73.7%); 1,392 bukan warganegara (26.3%)]; Kes import : 7 kes (3 warganegara, 4 bukan warganegara);

21 Jun – Kes baharu : 4,611 kes (701,019 kes kumulatif);Kes tempatan : 4,603 kes [3,683 warganegara (80.0%); 920 bukan warganegara (20.0%)]; Kes import : 8 kes (4 warganegara, 4 bukan warganegara);

22 Jun – Kes baharu : 4,743 kes (705,762 kes kumulatif); Kes tempatan : 4,741 kes [3,843 warganegara (81.1%); 898 bukan warganegara (18.9%)]; Kes import : 2 kes (1 warganegara, 1 bukan warganegara);

23 Jun – Kes baharu : 5,244 kes (711,006 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,237 kes [4,291 warganegara (81.9%); 946 bukan warganegara (18.1%)]; Kes import : 7 kes (4 warganegara, 3 bukan warganegara);

24 Jun – Kes baharu : 5,841 kes (716,847 kes kumulatif); Kes tempatan : 5,833 kes [4,683 warganegara (80.3%); 1,150 bukan warganegara (19.7%)]; Kes import : 8 kes (1 warganegara, 7 bukan warganegara);

Rekod kes kematian:-

19 Jun – 72 kes (64WN, 8 BWN), BID 11; 20 Jun – 60 kes (56 WN, 4 BWN), BID 7; 21 Jun – 69 kes (66 WN, 3 BWN), BID 5; 22 Jun – 77 kes (70 WN, 7 BWN), BID 11; 23 Jun – 83 kes (77 WN, 6 BWN), BID 7; 24 Jun – 84 kes (73WN, 11BWN).

*WN = warganegara *BWN = bukan warganegara

*BID = kes kematian di luar fasiliti kesihatan (iaitu hospital) dan dibawa ke Jabatan Forensik hospital; disahkan positif Covid-19 selepas ujian makmal PT PCr dijalankan.

Untuk rekod kes kematian semalam (24 Jun 2021), Dr Noor Hisham melaporkan pesakit paling muda yang menjadi korban Covid-19 ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, dengan latar belakang penyakit asma dan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-

19 Jun – 24 kluster baharu (12 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti, 4 kluster pusat tahanan dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

20 Jun – 19 kluster baharu ( 11 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 2 kumpulan berisiko tinggi dan 1 kluster pusat tahanan);

21 Jun – 22 kluster baharu (14 kluster tempat kerja, 7 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

22 Jun – 21 kluster baharu (13 kluster tempat kerja, 5 kluster komuniti, 1 kluster pendidikan, 1 kluster pusat tahanan, 1 kluster kumpulan berisiko tinggi);

23 Jun – 24 kluster baharu (15 kluster tempat kerja , 7 kluster komuniti, 1 kumpulan berisiko tinggi, 1 kluster pusat tahanan);

24 Jun – 30 kluster baharu (20 kluster tempat kerja, 9 kluster komuniti dan 1 kluster kumpulan berisiko tinggi).

Seorang wanita memakai pelitup muka di sebalik kebimbangan terhadap penularan Covid-19 di Thailand pada 4 Mac 2020. Foto AFP

Statistik global Covid-19

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) adalah 180,765,742 kes (rangkuman minggu lalu 178,276,440 kes) dengan 3,915,962 kematian (minggu lalu 3,859,589 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 165,412,926 orang (minggu lalu 162,779,900 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik COVID-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, United Kingdom, Argentina, Itali dan Colombia.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 34,464,956 kes (618,685 kematian);
India 30,133,417 kes (393,338 kematian);
Brazil 18,243,483 kes (509,282 kematian);
Perancis 5,764,329 kes (110,906 kematian);
Turki 5,393,248 kes (49,417 kematian)
Rusia 5,388,695 kes (131,463 kematian);
United Kingdom 4,684,572 kes (128,048 kematian);
Argentina 4,350,564 kes (91,438 kematian);
Itali 4,255,700 kes (127,362 kematian);
Colombia 4,060,013 kes (102,636 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 100 dengan 91,693 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 97 buah negara yang mencatat lebih 100 ribu kes Covid-19.

Indonesia di tangga 17 – 2,053,995 kes (55,949 kematian);
Filipina di tangga 24 – 1,378,260 kes (24,036 kematian);
Thailand di tangga 76 – 236,291 kes (1,819 kematian);
Myanmar di tangga 86 – 150,714 kes (3,275 kematian);
Singapura di tangga 110 – 62,493 kes (35 kematian);
Kampuchea di tangga 113 – 45,366 kes (493 kematian);
Vietnam di tangga 144 – 14,323 kes (72 kes kematian);
Laos di tangga 190 – 2,080 kes (3 kes kematian);
Brunei di tangga 204 – 256 kes (3 kes kematian).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Malaysia atasi Thailand 1-0, nyalakan peluang ke Piala Asia 2023

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 terus menyala selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), awal pagi ini.

Gol kemenangan skuad Harimau Malaya di Stadium Al Maktoum dijaringkan pemain sayap kanan Muhammad Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada babak kedua perlawanan untuk membantu pasukan mencatat kemenangan kedua ke atas skuad bimbingan Akira Nishino pada kempen itu.

Kejayaan membenam Thailand membolehkan Malaysia merampas kedudukan ketiga Kumpulan G daripada skuad Gajah Perang itu dan melangkah secara automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Keputusan itu turut menyaksikan ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe meraih kemenangan keduanya ke atas Thailand, selain berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertemuan kedua-dua pasukan sejak mula menggalas tugas pada Disember 2017.

Pada perlawanan ‘hidup mati’ itu, kedua-dua pasukan yang memburu kemenangan pertama sejak kempen kelayakan itu bersambung melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama masing-masing sebagai menyuntik nafas baharu dalam pasukan bagi memburu tiga mata berharga.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kuwait mudah tewaskan Harimau Malaya 4-1

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Setelah lebih 550 hari tidak beraksi dalam sebarang pertandingan kompetitif, skuad Harimau Malaya mempamerkan prestasi lesu apabila ditewaskan Kuwait 4-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium The Seven, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.

Kuwait, penghuni ranking 148 dunia ternyata lebih garang apabila memperoleh gol pertama pada minit ke-21 melalui sepakan jarak jauh Ahmad Aldhefeery apabila Mohd Farizal Marlias, gagal menyekat percubaannya dalam aksi pemanas badan yang bermula pada 7.15 malam waktu tempatan (11.15 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Bagaimanapun, penyerang neutralisasi baharu Harimau Malaya, Guilherme de Paula menyamakan kedudukan melalui hantaran lintang dari La’Vere Lawrence Corbin-Ong, tujuh minit kemudian. Kedudukan kekal 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memutuskan merombak pasukan dengan hanya mengekalkan de Paula dan Syamer Kutty Abba untuk barisan kesebelasan utama skuad negara.

Selepas aksi berlangsung tiga minit pertama, pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin, yang membuat penampilan sulung dalam pasukan senior ini, memperoleh peluang uhtuk menjaringkan gol namun berjaya disekat penjaga gol tuan rumah.

Pasukan tuan rumah yang berjersi biru mendahului sekali lagi menerusi tandukan Fahad Alhajeri pada minit ke-55, manakala penyerang Shabaib Alkhaldi meledakkan satu lagi gol pada minit ke-61 bagi menggegarkan gawang pasukan Malaysia yang kini menduduki tangga ke-153 dunia.

Kuwait terus berpesta gol apabila ketua pasukan Fahad Al-Alabraim meledakkan gol melalui sepakan percuma ke gawang negara pada minit ke-68 sekali gus memaksa Cheng Hoe menggantikan penjaga gol Samuel Somerville dengan Khairulazhan Khalid.

Skuad Harimau Malaya akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan ranking ke-99 dunia, Bahrain di Manama pada Jumaat, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi aski kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kelayakan Kumpulan G menentang UAE pada 3 Jun, diikuti Vietnam (11 Jun) dan menamatkan saingan berdepan Thailand pada 15 Jun, dengan sasaran layak ke Piala Asia 2023 di China.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya beraksi adalah ketika menentang Indonesia dengan berjaya mencatat kemenangan 2-0, sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19 memaksa perlawanan kelayakan itu ditangguhkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Agong zahir tahniah, bangga kejayaan Pandelela raih emas kejohanan dunia

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita, pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga.

Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Pada Temasya Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Veterinar siasat ladang susulan tarik balik telur dari pasaran Singapura

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) telah menjalankan siasatan terhadap ladang CES 008 Lay Hong di Jeram, Selangor untuk mengenal pasti punca pencemaran Salmonella Enteritidis (SE) pada telur.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan jabatan itu telah membuat daya jejak sumber jangkitan SE, menjalankan siasatan penyakit, menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan (pengawasan) penyakit di ladang.

Pada masa sama, DVS juga menjalankan pensampelan (sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE.

“Telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian sehingga keputusan siasatan diperolehi. Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor.

“DVS juga menjalankan siasatan dan ujian SE terhadap semua ladang milik syarikat Lay Hong Berhad bagi memastikan telur keluaran ladangnya adalah bebas SE. DVS tidak membenarkan kemasukan semula telur ‘recall’ CES 008 ke Malaysia,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, DVS memaklumkan penggantungan CES 008 ke Singapura tidak menjejaskan pengeksportan bekalan telur dari lain-lain ladang ke negara itu dan bekalan untuk pasaran tempatan.

Selain itu, DVS memaklumkan bahawa melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia.

Semalam, Bernama melaporkan Singapura telah mengarahkan empat pengimportnya menarik balik telur keluaran Lay Hong di Malaysia daripada pasaran republik itu sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Agensi Makanan Singapura (SFA), arahan itu dibuat berikutan penemuan bakteria SE pada produk tersebut yang boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan sekiranya produk berkenaan dimakan mentah atau separuh masak.

DVS memaklumkan terdapat lebih 2000 spesies Salmonella dan gejala pada manusia akibat jangkitan SE antaranya sakit perut, cirit-birit, loya, muntah serta demam. Namun, SE boleh dimusnahkan dengan cara memasak produk berkenaan dengan sempurna.

Terdahulu, DVS memaklumkan jabatan itu telah membuat sesi libat urus bersama pihak pengurusan Lay Hong hari ini.

“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad. Hanya satu ladang iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura.

“Pihak syarikat memaklumkan bahawa 100 peratus telur keluaran daripada ladang CES 008 adalah untuk pasaran eksport ke Singapura.

“Pihak syarikat bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap dan meningkatkan kawalan biosekuriti,” demikian menurut kenyataan tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Perbankan Islam terus berkembang hadapi cabaran pandemik

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sektor perbankan Islam Malaysia terus berkembang meskipun ekonomi pada masa ini berhadapan dengan cabaran berikutan penularan Covid-19, kata Fitch Ratings.

Malaysia juga terus menjadi pasaran perbankan, sukuk dan takaful Islam terbesar di Asean, katanya.

Agensi penarafan kredit itu berkata penguasaan pembiayaan Islam dalam sistem perbankan mencecah 37 peratus pada akhir 2020 berbanding 35 peratus pada akhir 2019.

“Pembiayaan Islam menyumbang hampir keseluruhan kepada pertumbuhan sektor perbankan pada 2020, dipacu oleh pembiayaan isi rumah dan bank yang mempromosikan produk Islam sebagai sebahagian daripada strategi “Islamic First”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 2021, Fitch menjangkakan profil kredit sektor perbankan Islam kekal stabil dengan pemampan penyerapan kerugian yang mencukupi walaupun terdapat tekanan jangka pendek ke atas kualiti dan keuntungan aset.

“Kami turut menjangkakan rosot nilai kredit akan meningkat dan peruntukan kredit kekal tinggi berikutan moratorium pinjaman dan langkah-langkah bantuan pembayaran semula pinjaman lain yang disediakan kepada peminjam rentan yang telah menutupi kualiti aset asas bank pada 2020,” katanya.

Dalam tempoh sederhana, ia berkata kadar penembusan kewangan Islam kemungkinan meningkat disebabkan oleh pemulihan ekonomi dengan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada 6.7 peratus tahun ini, persekitaran peraturan yang menyokong pemulihan dan bank yang terus mempromosikan produk Islam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Prosedur ketat penghantaran kumpulan pertama Pfizer-BioNTech

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, Comirnaty, menjadi kumpulan pelalian pertama membabitkan 312,390 dos, bakal tiba di Malaysia pada Ahad, menjelang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadual bermula 26 Februari ini.

Ketika persiapan dilakukan untuk menerima bekalan vaksin itu, mari kita imbas penerangan Pfizer berhubung proses pengagihan ke lokasi penggunaan (POU) kerana pelalian ini perlu kekal sejuk beku selepas ia dihasilkan.

Menurut syarikat pengeluar itu, kebanyakan vaksin itu akan dihantar dari kilang mereka di Kalamazoo (Michigan, Amerika Syarikat) dan bakinya dari Puurs (Belgium) terus kepada pelanggan di POU.

Pfizer juga akan menggunakan pusat pengedaran sedia ada di Wisconsin, AS dan di Karlsruhe, Jerman.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer Dr Albert Bourla, menerusi surat terbuka 15 Disember lalu berkata, jurutera mereka membangunkan bekas penghantaran khas atau dikenali sebagai ‘shipper’ yang dilengkapi peranti pemantauan suhu berterusan dan peranti penjejakan lokasi (GPS) pada waktu sebenar.

Peti khas shipper ini mampu mengekalkan suhu yang diperlukan sehingga 10 hari jika tidak dibuka, tanpa menjejaskan integriti vaksin ketika ia dihantar ke seluruh dunia.

Pusat kawalan Pfizer pula akan memantau dan menjejak semua penghantaran bagi memastikan vaksin ini sentiasa dalam keadaan baik pada suhu yang betul serta benar-benar tiba di tempat ditentukan, tepat pada masanya.

Pusat pemantauan yang beroperasi 24 jam ini akan mengambil tindakan segera andai berlaku perkara tidak diingini.

Sebaik shipper tiba di POU, pengeluar menerusi laman webnya menyenaraikan tiga opsyen penyimpanan termasuk penyejukbekuan ultra rendah, yang boleh meningkatkan hayat simpanan sehingga enam bulan lagi.

Ketiga adalah menggunakan unit sejuk beku biasa yang sering ada di hospital. Vaksin ini boleh disimpan dalam peti sejuk dengan suhu 2 hingga 8 darjah Celsius. Apabila kotak dibuka dan disimpan dalam peti sejuk bersuhu sedemikian, bebuli vaksin tidak lagi boleh disejuk beku semula.

Pada Jumaat, Pfizer-BioNTech mengunumkan ia sudah pun menyerahkan data baharu kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS menunjukkan tahap kestabilan vaksin itu apabila disimpan di bawah suhu beku -25 hingga -15 darjah Celsius, suhu biasa dalam peti sejuk beku biasa dan farmasutikal.

Ketika ini, label pada vaksin syarikat itu mempamerkan ia mesti disimpan pada suhu tahap beku ultra iaitu antara -80 dan -60 darjah Celsius.

Vaksin itu yang dibangunkan bersama oleh Pfizer, gergasi farmasutikal AS dengan syarikat bioteknologi yang diasaskan pasangan Turki-Jerman, Dr Ugur Sahin dan isteri, Dr Ozlem Tureci, mempunyai kadar keberkesanan sehingga 95 peratus selepas dua dos.

Menurut laporan, antara negara yang sudah menggunakan vaksin ini adalah AS, United Kingdom, negara anggota Kesatuan Eropah, Kanada, Costa Rica, Kuwait, Brazil dan Singapura.

Malaysia menerusi Kementerian Kesihatan dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd, menandatangi perjanjian perbekalan kumpulan pertama vaksin ini pada 11 Januari lalu.

Sehingga bulan ini, Malaysia sudah mendapat jaminan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos menerusi lima pengeluar vaksin iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V.

– BERNAMA

 

Categories
RENCANA WAWANCARA

Bina pangkalan genetik terbesar barah payudara, kesan rawatan terbaik

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kanser adalah punca kematian nombor satu dunia dan menurut tinjauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2018, penyakit itu ‘pembunuh’ keempat terbesar, di negara ini.

Kes kanser berterusan meningkat saban tahun, dengan hampir 60 peratus dikesan pada tahap yang sudah lewat, justeru menjejaskan kelangsungan hidup pesakit.

Untuk menentukan dengan tepat jenis kanser pesakit serta rawatan terbaik bagi mereka, doktor akan menggunakan pemetaan genom manusia bagi memeriksa ketumbuhan pada tahap genetik.

Dengan menggunakan pendekatan ini, banyak kemajuan yang menakjubkan dicapai dalam rawatan kanser payudara dengan wujudnya ribuan analisis sampel kanser payudara dari negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada.

Namun, majoriti genom berciri (jumlah deoxyribonucleic acid atau DNA dalam organisma) yang digunakan dalam penyelidikan kanser payudara adalah dari wanita Kaukasia – dengan kurang daripada lima peratus dari wanita berketurunan Asia, dengan orang Asia merangkumi separuh daripada penduduk dunia.

Bagi menangani isu ini, Cancer Research Malaysia (CRMY) berganding bahu dengan University of Cambridge di England dan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk mengadakan kajian bertujuan mewujudkan pangkalan genetik dan genomik terbesar kanser payudara Asia.

Peta genomik, genetik terbesar

Ketua Pegawai Saintifik, CRMY, Profesor Datin Paduka Dr Teo Soo Hwang, yang mengetuai kajian ini berkata, maklumat genomik membolehkan doktor mendiagnosis secara lebih tepat, di samping memilih rawatan yang tepat untuk pesakit.

“Amat kritikal untuk kita menutup jurang dalam penyelidikan genomik Asia, sekiranya tidak, kita mungkin tidak dapat mengesan maklumat genetik penting yang mungkin jarang berlaku dalam orang Kaukasia, tetapi lazim bagi orang Asia,” beliau memberitahu Bernama.

Menerusi kajian tersebut, mereka mendapati orang Asia mempunyai risiko lebih tinggi mendapat kanser payudara yang agresif. Orang Asia juga lebih cenderung mewarisi gen TP53 bermutasi serta mempunyai profil imun yang diperkaya.

Menurut Dr Teo, penerbitan penyelidikan dalam jurnal sains yang berprestij, Nature Communications pada 22 Disember 2020 memberi peluang untuk pembaikan dalam ketepatan perubatan bagi pesakit kanser Asia.

“Pangkalan data ini tonggak penting dalam misi kami untuk menyelamatkan nyawa menerusi penyelidikan terhadap orang Asia, dan kami akan meneruskan usaha ini untuk memastikan penyelidikan genomik lebih meluas dan inklusif. Ini untuk membolehkan semua orang mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi,” tambahnya.

Penyelidikan itu, yang dijalankan bermula tahun 2012 itu adalah kolaborasi antara CRMY dengan Profesor Carlos Caldas dan Dr Suet-Feung Chin dari Institut Penyelidikan Kanser Cambridge UK, dan Profesor Pathmanathan Rajadurai serta Professor Emeritus Datuk Dr Yip Cheng Har dari SJMC.

Penyelidikan itu, juga disokong oleh geran penyelidikan dan dana amal dari UK Medical Research Council melalui Newton-Ungku Omar Fund, Scientex Foundation, Sime Darby Foundation, Petronas Foundation, Cancer Research UK dan Estee Lauder Group of Companies.

Subjenis HER2 lebih lazim dalam kalangan penduduk Asia

Dr Yip, yang juga perunding pakar bedah payudara di SJMC berkata, susunan genomik dalam 560 sampel ketumbuhan kanser dianalisis sewaktu kajian dan penyelidik mendapati subjenis kanser payudara yang agresif, menunjukkan protin HER2 adalah lebih lazim dalam kalangan wanita Asia berbanding Kaukasia.

Tisu primer ketumbuhan serta sampel darah diperolehi daripada 560 orang pesakit wanita yang menghidapi kanser payudara, dirawat di SJMC antara tahun 2012 dan 2017, dan turut serta dalam penyelidikan ini.

“Subjenis HER2 kanser payudara adalah antara yang paling agresif, dan semakin jelas bahawa faktor risiko mungkin berbeza daripada kanser payudara yang lain. Kajian kami menunjukkan orang Asia berisiko lebih tinggi untuk penyakit agresif seperti ini dan menunjukkan lebih banyak penyelidikan diperlukan terhadap orang Asia, agar kita dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa, ” kata Dr Yip.

Sebagai tambahan, penyelidikan mereka juga menunjukkan gen TP53 – sering dipanggil “penjaga genom”kerana ia melindungi sel normal daripada menjadi sel kanser – lebih kerap berubah dalam kanser payudara orang Asia, berbanding Kaukasia.

Penyelidikan itu juga menunjukkan, seorang daripada tiga orang pesakit kanser payudara Asia mempunyai perubahan gen ini dan tidak ada rawatan yang mensasarkan kanser jenis ini. Ini bermakna lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk membantu penyelidik memahami mengapa orang Asia mempunyai mutasi TP53 dan bagaimana untuk memperbaiki peluang kelangsungan hidup mereka.

Ujian klinikal

Penyelidik kanan University of Cambridge, Dr Suet-Feung Chin, yang mengetuai bersama penyelidikan tersebut berkata, gen TP53 sering bermutasi dalam hormon agresif, kanser payudara negatif wanita Kaukasia.

“Dalam pesakit kanser payudara Asia, kami mendapati kenaikan dalam mutasi TP53 dalam kes reseptor hormon positif dan dikaitkan dengan kadar kelangsungan hidup lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, timbalan ketua bioinformatik CRMY, Dr Pan Jia Wern berkata penyelidik juga mendapati kanser payudara Asia lebih berkemungkinan mempunyai kehadiran sel imun.

Beliau juga mencadangkan sekiranya penyelidik boleh mencari jalan untuk melawan lapisan yang membuatkan kanser tidak dapat dikesan oleh sistem imun, ini mungkin dapat meningkatkan kadar kelangsungan hidup pesakit payudara Asia.

Penyelidik turut mendapati pembentukan peta genomik membolehken pemikiran baharu mengenai rawatan kanser payudara dalam kalangan orang Asia.

Untuk rekod, satu ujian klinikal baharu bagi menguji imunoterapi dalam kalangan pesakit kanser payudara Asia dimulakan pada Julai 2020.

Ia diketuai oleh CRMY, secara perkongsian dengan ahli onkologi dari Universiti Malaya dan Hospital Universiti Nasional Singapura.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ekonomi Malaysia miliki daya tahan, kembali kukuh

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan meskipun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di enam negeri dan pengisytiharan darurat di seluruh negara, hasil sumbangan produktiviti buruh yang memacu pertumbuhan ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata negara mampu bertahan meskipun keadaan ekonomi dunia yang bergelora berikutan sokongan daripada dasar fiskal dan monetari berterusan kerajaan untuk menyokong laluan pertumbuhan ekonomi.

“Bagaimanapun, pada pandangan saya, kerajaan harus menilai kemajuan perniagaan dan pasaran untuk mengukur momentum sebelum mengumumkan sebarang rangsangan fiskal bagi ekonomi.

“Perusahaan kecil dan sederhana memerlukan banyak sokongan daripada kerajaan memandangkan syarikat kecil mendapati sukar untuk menguruskan aliran tunai mereka,” katanya kepada Bernama.

Shan berkata pasaran ketika ini berada di tengah-tengah keadaan saling mempengaruhi antara epidemiologi dan ekonomi.

“Ia suatu pertimbangan yang sangat berhati-hati antara penjagaan kesihatan dan perniagaan. Kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan momentum bagi ekonomi pada tahap makro,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Juwai IQI mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia kekal sama, pada tiga hingga empat peratus tahun ini, dengan ringgit diniagakan antara paras RM3.67 dan RM4.10 berbanding dolar AS.

“Ringgit akan terus mencatatkan kestabilan struktur pada 2021 dan akan didagangkan antara paras 3.67 dan 4.10 berbanding dolar AS. Andaian utama bagi kekuatan ringgit pada 2021 adalah kelemahan dolar AS, harga minyak tinggi, ringgit mengekori pergerakan Yuan dan kestabilan makroekonomi tempatan,” kata Shan.

Beliau juga berkata Bank Negara Malaysia (BNM) memiliki banyak ruang untuk berbuat sesuatu dari segi dasar monetari pada 2021, sambil menambah bank pusat akan terus melaksanakan dasar monetari berhemat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga pada peringkat makro dan kestabilan kewangan dalam sistem.

“BNM akan menggunakan pendekatan taktikal dan strategik mengikut keadaan pasaran atau apabila diperlukan. Kami di Juwai IQI, akan terus optimis terhadap tinjauan pertumbuhan berikutan respons dasar yang padu daripada kerajaan,” katanya.

Beliau menjangkakan lima sektor iaitu minyak dan gas, semikonduktor, pembuatan, penjagaan kesihatan dan perladangan (minyak sawit) akan mendapat manfaat tahun ini

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Malaysia kutuk video ubah lirik lagu hina Indonesia

JAKARTA, 28 DIS: Malaysia mengutuk keras tindakan provokasi negatif yang cuba menjejaskan hubungan Malaysia-Indonesia menerusi satu video yang menghina Indonesia.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam satu kenyataan malam tadi menegaskan pihak berkuasa Malaysia sedang menyiasat video yang tular berkenaan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengambil maklum akan sebuah video yang didakwa dimuat naik oleh warganegara Malaysia dan didakwa memperlekahkan dan menghina Indonesia.

“Sekiranya video itu didapati dimuat naik oleh warganegara Malaysia, tindakan tegas akan dikenakan berlandaskan undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Satu video, dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean pada ruangan komen, memaparkan lagu kebangsaan Indonesia disunting liriknya yang menghina negara Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan telah dipadamkan, namun video itu dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.

-BERNAMA