Lima penerbangan sehari bawa masuk Bangla ke Malaysia sejak Mac

bangla sivarasaPETALING JAYA, 30 OGOS – Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa hari ini mendedahkan pembabitan beberapa pihak dalam membawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia sejak Mac lalu.

Beliau mendakwa, Syarikat Union Tours & Travel Limited (UTT), ejen jualan lantikan MAS beroperasi di Bangladesh disyaki bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka Bangladesh dan Jabatan Imigresen Malaysia di KLIA.

Katanya, lima penerbangan terus dari Dhaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dibuat menggunakan dua pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan masing-masing satu dari Biman Bangladesh Airlines, Regent Airways dan United Airways.

“Pesawat itu membawa hampir 1,000 penumpang menggunakan dokumen visa pelancong palsu dengan bayaran 32,000 Taka (RM1,300).

“Jika dibuat terus kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bayarannya hanya 500 Taka (RM20) dan caj perkhidmatan dibenarkan sehingga 1000 Taka (RM40).

“Bayaran secara terus ini amalan rasuah untuk melicinkan proses daftar masuk di Dhaka. Majoriti mereka boleh disahkan sama ada pelancong tulen jika dibuat pemeriksaan berkesan oleh Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu jenayah pemerdagangan itu di ibu pejabat PKR, hari ini yang turut dihadiri bekas Pegawai Kanan MAS, Mohamad Tahir Fazal Mohd.

Sivarasa mendesak tindakan tegas bagi mengekang kemasukan secara haram ribuan rakyat asing itu, malah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut dilampir ialah beberapa nama dan nombor pasport lima warganegara Bangladesh yang diberi visa pelancong melalui UTT secara haram.

– FZL

Categories
NASIONAL

Rasuah, hutang jadi punca negara alami krisis kewangan – Rafizi

rafizi ekonomiSHAH ALAM 29 OGOS : Krisis kewangan Asia pada 1997-1998 berulang jika kerajaan Pusat tidak mengambil langkah proaktif dalam menangani krisis itu lebih awal.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kerajaan perlu memperbaiki mekanisme pembayaran hutang negara yang mencapai tahap kritikal.

Ia kerana, katanya, keadaan itu menyebabkan negara berdepan kesukaran apabila ekonomi dunia tidak mencapai pertumbuhan memberangsangkan.

“Jika berlaku gangguan dalam aliran tunai dunia dan ekonomi dunia, kerajaan hilang pilihan untuk menangani masalah itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Rafizi berkata, pelabur akan mula menjual dan mengeluarkan wang dari negara ini apabila mereka meragui kemampuan kerajaan dalam hala tuju ekonominya.

“Keadaan itu ada persamaan dengan krisis ekonomi pada 1997,” katanya.

Beliau berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini membimbangkan kerana Malaysia turut terheret dalam kegawatan ekonomi dunia berbanding Indonesia.

“Masalah di Malaysia ialah kerajaan Umno BN boros dan banyak rasuah dengan projek yang melibatkan komisen,” kata beliau.

Rafizi berkata, kerajaan perlu mengelakkan pembaziran kewangan dalam perbelanjaan agar tidak perlu membuat pinjaman sehingga menambah hutang negara.

“Kita perlu memulakan dengan perang habis-habisan terhadap rasuah supaya kita boleh mengurangkan pembaziran,” kata beliau.

Sebelum ini, nilai ringgit jatuh melebihi 7.0 peratus tahun ini, paling rendah berbanding tiga tahun lalu kepada 3.3 setiap dollar dan ia rekod terburuk di kalangan negara Asia lain.

Bank Negara juga menyemak semula unjuran pertumbuhan bagi seluruh 2013 kepada antara 4.5 dan 5.0 peratus daripada antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus sebelum ini.

Agensi penarafan kredit dunia, Fitch Ratings baru-baru ini meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif serta mempersoal langkah kerajaan yang mengabaikan reformasi kewangan.

– FZL

Categories
NASIONAL

Kes Altantuya: Akhirnya, … semua bebas dari dikenakan Hukuman

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM 24 OGOS : Keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan kedua-dua tertuduh dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai siapa gerangan pembunuh sebenar wanita itu tetapi turut memberi ruang akan timbulnya persepsi bahawa kes berkemungkinan membabitkan pimpinan tertinggi negara.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, persepsi itu turut disokong dengan fakta-fakta perjalanan kes perbicaraan sejak awal lagi di mana saksi-saksi penting tidak dipanggil, dokumen yang dipadamkan daripada rekod serta terdapat bukti pertukaran SMS antara peguam dengan pemimpin negara.

“Kita menghormati keputusan dibuat mahkamah rayuan tetapi dalam masa kita juga tidak dapat menolak wujudnya persepsi bahawa kes ini melibatkan pemimpin tertinggi sehingga akhirnya tiada siapapun yang disabitkan bersalah setelah tujuh tahun perbicaraan kes ini berjalan, malah satu demi satu orang yang terlibat dibebaskan.

“Ianya seolah-olah sengaja direka dan dibiarkan (perbicaraan) berjalan dan berlanjutan sehingga segala bukti dikeluarkan namun akhirnya semua yang tertuduh dan disebut bebas daripada pertuduhan membunuh,” kata Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Beliau dihubungi TVSelangor bagi mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya.

Altantuya yang bekerja sebagai penterjemah dan model sambilan ditembak mati sebelum bahan letupan C-4 dikatakan digunakan untuk meletupkan mayatnya hingga berkecai di Hutan Simpan Puncak Alam di sini pada malam 18 Oktober 2006.

Sebelum ini, bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang juga rakan baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Oktober 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Walaupun dilihat mempunyai motif membunuh Altantuya yang didakwa sebagai bekas kekasihnya, Abdul Razak beruntung apabila pihak pendakwa tidak pernah memfailkan rayuan terhadap pembebasannya ketika itu.

Menyifatkan hari ini sebagai antara hari yang malang buat Malaysia, Shamsul berkata keputusan membebaskan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak kepada keluarga mangsa tetapi turut memberi tanggapan buruk mata dunia terhadap sistem perundangan, kepolisian dan keadilan di negara ini.

Sementara itu, mengulas mengenai peluang siasatan semula kes ini, beliau berkata tidak yakin ianya akan dapat dijalankan memandangkan siasatan semula memerlukan bukti-bukti baru sedangkan segala bukti yang ada dikemukakan di mahkamah sepanjang perbicaraan berlangsung.

“Ianya bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan banyak perkara untuk membuka siasatan baru, namun kita berharap akan terus ada desakan bagi mencari keadilan dalam kes ini,” tegas Shamsul.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar kepimpinan tertinggi negara dapat menjelaskan kepada rakyat mengenai keputusan mahkamah pagi tadi kerana terlalu banyak perkara yang masih terungkai tanpa penjelasan yang memuaskan.- mza

 

Categories
NASIONAL

Enggan kecam kezaliman di Mesir, Najib tunduk kepada kuasa besar

Mesir-2013

SHAH ALAM 17 OGOS: Tindakan kerajaan Umno BN yang membisu terhadap tragedi pembunuhan rakyat Mesir membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, sebagai dayus dan penakut.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie, berkata Malaysia sepatutnya berani membuat kenyataan tegas dan keras mengutuk tindakan kudeta tentera Mesir yang mengorbankan lebih 3, 000 orang awam.

“Tindakan berdiam diri ini seolah-olah mengiya suara-suara yang menyatakan kerajaan Malaysia tunduk kepada kuasa besar dan merestui perbuatan kejam tentera Mesir.

“Di sebalik laungan Malaysia sebagai negara Islam, kesenyapan pemimpin negara dalam tragedi itu mencerminkan pemimpin negara ini, penakut dan pengecut.

“Sedangkan kenyataan mengutuk dan mengecam pun tidak berani dibuat, apatah lagi menghantar bantuan kepada saudara seagama di sana,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Sehingga kini, kerajaan Malaysia belum membuat kenyataan rasmi berhubung pendirian terhadap pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir.

Tentera Mesir merampas kuasa dan menahan Presiden Mohamad Morsi serta menyerang lokasi perhimpunan penyokong pro-demokrasi di Dataran Rabaah Adawiyah pada 14 Ogos lalu.

Sebelum ini, PAS, DAP dan PKR masing-masing membuat kenyataan lantang mengutuk dan mengecam tindakan ketenteraan Mesir terhadap orang awam
di negara Timur Tengah itu.

Kecewa dengan sikap kerajaan Persekutuan yang acuh tidak acuh, Shuhaimi menggesa kerajaan Negeri mengambil inisiatif bagi membantu rakyat Mesir.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jerebu : Badan Syarikat Kelapa Sawit Antarabangsa Siasat Tiga Anggota Daripada Malaysia – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 26062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Sebuah badan antarabangsa yang mewakili syarikat kelapa sawit sedang menyiasat samada lima anggotanya, tiga dari Malaysia dan dua dari Indonesia, terlibat di dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia.

2. Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) bagi pihak kerajaan Indonesia kini, dilaporkan melaksanakan operasi secara besar-besaran bagi memadamkan kebakaran hutan di kepulauan Sumatera yang mencetuskan jerebu di dua negara jirannya, Malaysia dan Singapura.

3. Perasmian Sidang Dewan Negeri Selangor Jumaat ini akan diadakan di dalam bangunan sekiranya tahap jerebu di Shah Alam berada di tahap membimbangkan.

4. Penjawat awam di negeri ini diseru supaya mempraktikkan kecekapan dan ketepatan dalam perkhidmatan dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti jabatan perkhidmatan awam.

5. Seorang anggota Exco kerajaan negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat paru-paru berair hari ini.

6. Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan yang terlibat dalam insiden jeti runtuh semalam memaklumkan dirinya tidak mengalami kecederaan serius.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah Bidas Kenyataan “Ada Orang, Peguam Tidak Boleh Berfikir”

Grafik Pengundi hantu

PETALING JAYA, 17 JUN: MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar membidas kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa orang yang percaya terdapat gerakan sulit membawa masuk warga asing untuk mengundi di dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 merupakan orang ?yang tidak boleh berfikir?.

“Saya harap rakyat Malaysia dapat menilai inilah cara pemimpin bercakap (kerana) penghinaan itu bukan kepada peguam saja, semua.

?Jangan kita lupa, Malaysia bukan sebuah negara diktator tetapi negara demokrasi, kalaupun rakyat mengundi Pakatan Rakyat, adakah itu bermaksud mereka tidak siuman?.? Kata Nurul Izzah yang ditemui hari ini.

Baru-baru ini Datuk Seri Najib Razak berkata orang ramai dan peguam yang mengesyaki ada gerakan membawa masuk warga Bagladesh untuk mengundi di dalam PRU adalah golongan yang tidak boleh berfikir.

Najib dilaporkan berkata demikian di majlis jamuan tengahari bersama pelajar Malaysia di Indonesia semasa lawatannya ke negara tersebut semalam.

Pakatan Rakyat dan beberapa NGO mendakwa terdapat bukti warga asing diberikan kad pengenalan untuk mengundi PRU 13 bulan lalu.

Nurul Izzah berkata Najib sebagai seorang pemimpin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang dangkal dan angkuh, tetapi sebaliknya menyiasat dakwaan penipuan yang dibawa NGO dan Pakatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Patut Tumpu Kerja Tingkatkan Pendapatan Petani

MB pc tie belang 01

KLANG 4 FEB : Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya menumpukan usaha mempertingkatkan mutu pendapatan para petani di seluruh negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seorang Menteri Pertanian yang terbaik adalah individu yang berjaya mempertingkatkan pendapatan per-kapita para petani ke tahap yang tinggi.

Abdul Khalid berkata demikian dalam responnya berhubung dakwaan Noh yang mengatakan Selangor negeri paling tinggi menerima aduan melalui Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri bagi tempoh Oktober dan Disember tahun lepas.

“Dia (Noh Omar) mesti ambil kira di mana Kementerianya yang mempunyai ramai rakyat Malaysia yang miskin.

“Berapakah ramai para petani yang melepasi kadar pendapatan RM3,000 sebulan?

“Berapakah Nelayan yang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan?

“Jika beliau sendiri (Noh ) mempunyai kementerian yang terdapat masyarakat miskin teramai, maka saya rasa beliau sepatutnya berhenti kerja,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa lawatan beliau ke pusat dialisis Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Taman Sri Andalas di sini.

Ujar beliau, Pakatan Rakyat mempunyai perancangan bagi mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin khususnya dalam membela para petani.

“Kajian kita menunjukkan keupayaan Kementerian Pertanian dengan strateginya adalah sangat lembab (untuk mempertingkatkan pendapatan petani),” katanya.

Dr Rani : Bincang Dulu Sebelum Keluar Kenyataan

pc rani 2

SHAH ALAM 26 DIS : Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menggesa pemimpin komponen Pakatan Rakyat (PR) supaya berbincang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan isu agama yang sensitif.

Ini supaya kenyataan itu tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mahu mengalih perhatian daripada isu-isu lain yang dibangkitkan PR seperti pengambilan tanah oleh Umno-BN Selangor.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi yang dibangkitkan setelah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuntut agar kalimah Allah dibenarkan di dalam Kitab Injil Bahasa Malaysia.

Dr Rani turut menafikan kenyataan portal Sinar Harian yang mendakwa Pas Selangor mencemuh kenyataan Guan Eng.

“Saya menegaskan Pas Selangor tidak mencemuh, sebaliknya saya hanya mahu isu tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak dan tidak dimanipulasi oleh media.

“Saya juga meminta supaya isu ini tidak dipanjangkan memandangkan ia masih menjadi kes mahkamah,” katanya ketika dihubungi.

Oleh kerana isu tersebut masih menjadi kes mahkamah, Dr Abdul Rani menggesa semua pihak agar menunggu keputusan mahkamah.

Sebelum ini, Guan Eng dalam perutusan Hari Natalnya, meminta agar Kerajaan Pusat membenarkan kalimah Allah digunakan dalam kitab Injil Bahasa Malaysia yang digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Arkitek Jururancang (Malaysia) Menang RM 50,000 Pertandingan Rekabentuk SUK II

SHAH ALAM, 20 SEPT : Rekabentuk senibina moden kontemporari membawa tuah kepada sebuah firma perunding arkitek, apabila ia meraih tempat pertama dalam pertandingan rekabentuk Bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri(SUK) II kelmarin.

Komponen utama pembangunan rekabentuk ciptaan Arkitek Jururancang (Malaysia) Sdn Bhd menjadi pilihan juri dan menewaskan tujuh lagi firma perunding arkitek tempatan lain yang turut bertanding.

Model SUK II syarikat itu mempunyai menara pejabat, blok podium, blok tempat letak kereta dan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan moden yang lain.

Pengarahnya, Muhammad Ali Jamaluddin berkata, seluruh ahli pasukan di bawahnya memberikan pelbagai idea kreatif dan inovatif untuk digabungkan menjadi rekabentuk senibina yang mampu menjadi ikon kepada negeri ini.

“Rekabentuk bangunan Pejabat SUK II berkeluasan hampir 10 ekar ini perlu dilakukan dengan teliti supaya ianya mampu menjadi suatu binaan unik dan berteknologi tinggi yang terdapat di Selangor di masa hadapan,” katanya.

Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tempat kedua dimenangi oleh SeniBahri Arkitek Sdn Bhd yang menerima RM 30,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Veritas Architect Sdn Bhd yang membawa pulang RM 25,000.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding arkitek tempatan yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata, pertandingan ini juga bertujuan mendapatkan satu rekabentuk yang dapat menempatkan kesemua jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

“Rekabentuk pejabat ini juga turut mengambil kira unjuran pertambahan kakitangan sehingga 2040 yang mampu memuatkan sehingga 6,000 pekerja supaya masalah kekurangan ruang pejabat pada masa kini dapat diatasi,” kata Abdul Khalid di dalam majlis penyampaian hadiah kelmarin.

Menurutnya, konsep rekabentuk yang sempurna akan menyebabkan pentadbiran lebih tersusun kerana ia akan memudahkan orang awam untuk berurusan di sini.

“Orang awam yang nak datang tak sesat dan ia menepati konsep mesra rakyat dan ini yang kita utamakan,” katanya lagi.

Walaupun cadangan pembinaan bangunan berjumlah RM 500 juta ini masih diperingkat awal Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah awal untuk sesuatu pembangunan di masa hadapan.

“Kerajaan Negeri masih memerlukan komen daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat berkaitan hal ini,” katanya.

Selangor Guna Kaedah Psikologi Kurangkan Kemalangan Jalan Raya

SHAH ALAM 13 OGOS : Kerajaan Selangor akan menaja satu kajian psikologi bagi mengurangkan kemalangan jalan raya di Malaysia.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri telah memperuntukkan dana khas dan akan melantik badan bagi mejalankan kajian tersebut.

Menurut Abdul Khalid, kajian tersebut penting bagi menentukan bagaimana kaedah psikologi dapat mampu membantu mengurangkan kejadian kemalangan yang saban tahun meningkat.

“Contohnya sekarang pusat membeli belah juga menggunakan kaedah psikologi muzik di mana mereka akan memasang lagu yang membuat pengunjung gembira dan senang hati untuk membeli.

“Kita boleh mengambil pendekatan sama juga seperti menggunakan muzik yang mampu menenangkan pemandu dan mendorongnya untuk lebih tenang dan bersabar di jalan raya,” jelas beliau sambil menambah dana yang akan diperuntukkan adalah sekitar RM 30,000.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya yang diadakan di Plaza Tol Bukit Jelutong, Lebuhraya Guthrie ke arah Shah Alam pagi tadi.

Sejurus selesai melancarkan kempen, Menteri Besar turut berkesempatan menyampaikan pek “Kit Balik Raya” kepada para pengguna lebuhraya yang antara lain berisi Edisi Khas Balik Kampung Selangor Kini.

Turut mengiringi beliau ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, Ketua Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Kempen yang diadakan sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor ini turut mendapat kerjasama SUK Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKJR) Selangor dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.

Agensi yang turut terlibat adalah Prolintas, Nestle (Malaysia) Berhad, Kumpulan Media Karangkraf dan Telekom Malaysia.