Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat Di Cabar Hentikan Keluar Lesen Rumah Urut

PETALING JAYA, 27 JULAI: Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu mencabar kerajaan persekutuan supaya menghentikan pengeluaran lesen bagi premis rumah urut selain menutup premis sedia ada di semua negeri yang ditadbiran Barisan Nasional.

Perkara ini dilontarkan memandangkan sebelum ini pelbagai pihak mendakwa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengeluarkan banyak lesen premis rumah urut sejak Pakatan Rakyat mengmbil alih pentadbiran.

Menurut Ronnie, sejak tahun 2006, tiada lesen baru premis rumah urut baru dikeluarkan kepada mana-mana pihak sebaliknya memantau operasi perniagaan yang diwarisi daripada pemerintahan Umno-BN.

“Kalau fikir semua rumah urut buat kegiatan maksiat, saya minta Menteri Dalam Negeri perlu menghentikan permit pekerja asing. Saya cabar negeri di bawah BN tutup sekali (rumah urut), Selangor akan ikut,” katanya.

Katanya, premis rumah urut sedia ada masih boleh operasi kerana mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Pihak berkuasa hanya akan mengambil tindakan membatalkan lesen premis berkenaan sekiranya melanggar peraturan.

Sementara itu, Ronnie Liu turut mengemukakan statistik penguatkuasaan di PBT dari Januari sehingga 15 Julai 2012 bagi pusat siber dan pusat kecantikan atau rumah urut.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai 108 premis pusat siber telah berjaya menyita 2,619 barangan dan menyaksikan 13 daripada premis berkenaan ditutup hasil 38 operasi yang dijalankan.

Bagi pusat kecantikan atau rumah urut pula melibatkan 253 premis telah disita daripada jumlah keseluruhan 85 buah premis hasil daripada 17 operasi yang dijalankan dan turut melibatkan 14 tangkapan.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula telah membuat sitaan terhadap 333 premis pusat siber dari jumlah keseluruhan sebanyak 340 premis hasil daripada 472 operasi yang dijalankan. Keadaan ini turut membabitkan 5 premis ditutup akibat melanggar peraturan.

Hasil daripada 452 operasi pusat kecantikan atau rumah urut yang dijalankan oleh MBPJ, hanya 30 premis dari keseluruhan 1,050 premis di kawasan MBPJ telah disita manakala 20 premis berdepan tindakan ditutup sepenuhnya.

Jelas beliau, PBT perlu mencari inisiatif terbaik untuk mengatasi masalah rumah urut dengan menjalankan operasi lebih kerap selain menjalinkan kerjasama erat dengan polis yang mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan dan serbuan.

Categories
NASIONAL

15 Keluarga Terima Sumbangan MBSA Sempena Ramadan

SHAH ALAM 18 JULAI : Seramai 15 keluarga kurang bernasib baik jelas kelihatan gembira apabila menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sempena bulan Ramadan akan datang daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, Timbalan Datuk Bandar, Mohtar Hani dan Timbalan Setiausaha, Roslan Darus.

Mereka yang menerima sumbangan barangan keperluan asas dan wang tunai sebanyak RM100 itu membabitkan ibu tunggal, golongan miskin dan orang kurang upaya (OKU) di Padang Jawa, Kampung Sungai Kandis dan Kampung Jalan Kebun.

 

 

Penerima, Azizah Shaari, 48, berkata dia bersyukur kerana ada pihak sudi membantu terutamanya dalam membuat persiapan untuk Ramadan yang akan datang tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kepada semua pihak kerana memberi sumbangan ini, sekurang-kurangnya ianya dapat membantu golongan seperti saya,” katanya yang mempunyai 7 orang anak.

Penerima lain, Ismawati Che Wail,44, berkata sumbangan itu dapat membantu sedikit sebanyak dalam penyediaan keperluan harian bulan Ramadan ini.

“Ia dapat membantu golongan ibu tunggal seperti saya dan empat orang anak saya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Jaafar berkata sumbangan itu bertujuan meringankan beban golongan kurang bernasib baik di sekitar Shah Alam untuk mengerjakan ibadah puasa dengan penuh keceriaan dan kegembiraan.

Katanya, sepanjang bulan Ramadan ini, pihaknya akan memberi sumbangan kepada 107 orang daripada golongan warga emas, OKU, ibu tunggal dan keluarga yang berpendapatan rendah serta tanggungan ramai.

Beliau berkata dengan sumbangan itu diharap golongan berkenaan tidak rasa disisihkan daripada golongan lain.

Selain itu, MBSA turut akan menghulurkan sumbangan kepada 80 kakitangan MBSA yang kurang berkemampuan.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tengok Bola Bersama PeBT Dapat Sambutan

SHAH ALAM, 2 JULAI : Program tonton bolasepak final Euro 2012 anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini pagi tadi mendapat sambutan hebat dengan hampir 1,000 orang menghadirinya.

Ia adalah di luar dugaan kerana pihak penganjur menjangkakan hanya sekitar 500 orang akan hadir dalam program tersebut.

Pengerusinya, Muriza Azrul menjelaskan berikutan sambutan hebat itu, pihaknya menambah tiket cabutan nombor bertuah sehingga lebih 900 keping bagi memberi peluang mereka yang hadir terlibat dengan aktiviti dijalankan ketika program itu berlangsung.

“Kita mengadakan aktiviti sampingan antaranya cabutan nombor bertuah, kuiz dan sepakan penalti supaya program ini menjadi lebih meriah. Ini kerana majoriti yang hadir adalah golongan belia di bawah 40 tahun.

“Program tonton bolasepak final Euro 2012 ini mendapat sambutan hebat kerana ia adalah perlawanan akhir menampilkan dua pasukan terkuat, Sepanyol dan Itali. Kita berpuashati dengan sambutan diterima dan kita merancang mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini contohnya Liga Super Malaysia dan Liga EPL 2012/13 yang akan bermula nanti,” katanya kepada TVSelangor.

Program tonton bolasepak final Euro 2012 itu juga dijalankan dengan kerjasama Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Muriza berkata, tonton bolasepak final Euro 2012 itu adalah yang ke 10 di mana program sebelumnya tetap mendapat sambutan dengan kehadiran antara 200 hingga 500 orang.

Seorang penonton, Mohd Hafiz Mohd Zain, 23 dari Seksyen 18 berkata dia tidak melepaskan peluang menyaksikan acara final Euro itu kerana dilangsungkan empat tahun sekali.

“Saya datang untuk menonton bersama kawan-kawan. Ia bertambah meriah bila acara seperti ini diadakan dengan semua penonton dapat berkumpul di satu tempat yang strategik. Saya puji usaha PeBT ini dan saya akan menyokong bila acara lain diadakan selepas ini,” katanya.

Begitu juga Azidah Zamli, 23, dari seksyen sama yang merasakan suasana pada pagi itu amat meriah bila ramai yang hadir dalam program berkenaan.

“Hebat rasanya dapat hadir kali ini. Kalau menonton di rumah tentu tak semeriah ini. Lokasi yang dipilih juga saya rasa amat sesuai dengan program ini dan PeBT diharapkan akan lebih aktif dengan acara lain demi kemajuan belia di Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Serius Banteras Tanggal Iklan Haram

SHAH ALAM24 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) dengan kerjasama orang ramai menjalankan operasi menanggal iklan tanpa kebenaran di Seksyen 10 dan 11 di sini hari ini dalam usaha menjaga kebersihan sekaligus menghindarkan kawasan bandaraya itu dengan pemandangan mencacatkan.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya amat serius dan komited untuk memerangi masalah iklan tanpa kebenaran itu kerana iklan yang ditampal di merata tempat seperti lampu jalan, pokok dan papan tanda jalan akan mencacatkan pemandangan di bandaraya itu.

Menurutnya, keadaan itu juga boleh menimbulkan masalah kepada pengguna jalan raya kerana sukar untuk mengecam lokasi atau kawasan yang ingin dikunjungi kerana papan tanda jalan ditampal dengan iklan tanpa kebenaran.

“Operasi ini adalah inisiatif MBSA secara gotong royong dengan penduduk tempatan bagi mendidik masyarakat supaya menyayangi bandaraya ini dan turut sama berperanan serta bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan kawasan sekitar.

“Melalui kerjasama secara menang-menang ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim dan mendekatkan masyarakat setempat bersama MBSA selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mentadbir Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi dijalankan itu turut disertai Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan bersama warga kerja MBSA dari pelbagai jabatan dan penduduk di kawasan seksyen berkenaan.

Shahrin selanjutnya berkata, dari Januari hingga Mei lalu, sebanyak 31,267 iklan tanpa kebenaran seperti kain rentang, poster, bunting dan papan pandu arah ditanggal MBSA melalui operasi diadakan di seluruh bandaraya itu.

Tambahnya, iklan tanpa kebenaran itu kebiasaannya mengenai perkhidmatan pinjaman wang, penyewaan lori, sewa rumah, perkhidmatan kelas tuisyen, perkhidmatan perubatan tradisional dan sebagainya.

“Majlis ingin memaklumkan tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menampal iklan tanpa kebenaran akan diambil melalui Undan-Undang Kecil Iklan MBSA 2007,” katanya.

Sehubungan itu, MBSA ingin menyeru pihak yang ingin mempromosikan perkhidmatan, program, produk atau barangan kepad orang awam perlu mendapatkan kebenaran serta berhubung dengan Jabatan Pelesenan dan Penjaja, MBSA di talian 03-55105133 sambungan 408/485/303.

Categories
SELANGOR

75 Waris Terima Bantuan SMUE Di DUN Sri Muda, Kota Raja

KLANG, 12 MEI : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) hari ini menyampaikan bantuan RM1,500 kepada 75 waris warga emas bagi DUN Sri Muda dan Kota Raja.

Rata-rata waris yang hadir ditemui ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih di atas usaha kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, SMUE ini adalah skim khairat kematian sebagai usaha menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

“Tujuan SMUE ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan beberapa perkara seperti proses pengurusan jenazah serta pengkebumian dan membantu melangsaikan hutang si mati,” katanya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat SMUE Fasa Kedua di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun hari ini.

Katanya, SMUE bertujuan memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bemilai RM2,500 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mendaftar secara rasmi dengan urus setia SMUE.

Sejumlah RM1,500 seorang akan diberi selepas kematian, manakala RM1,000 akan diberikan setelah selesai proses pengebumian dan waris boleh menuntut di Pejabat Khidmat DUN di setiap kawasan.

SMUE dilancarkan pada Ogos 2008 dan merupakan salah satu daripada tujuh agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini sudah memasuki Fasa Kedua.

Selain itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang turut hadir berkata, kerajaan negeri ingin mengembalikan hasil yang diperolehi oleh negeri kembali kepada rakyatnya.

Shuhaimi turut menasihati waris si mati supaya menggunakan wang yang diperolehi daripada SMUE itu untuk kebajikan dan manfaat kepada si mati serta tidak sesekali menyalahgunakan wang berkenaan.

Sehubungan itu, semua warga emas yang belum menikmatinya hendaklah mendaftar dengan berpandukan kepada syarat-syarat seperti mesti berumur 60 tahun dan ke atas, lahir dan sedang menetap di Selangor, bermastautin di Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Categories
SELANGOR

MBSA Difitnah Sebagai Bandaraya Maksiat

SHAH ALAM,18 APRIL : Ahli-ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu bahawa Bandaraya Shah Alam kini menjadi “Bandaraya Maksiat” ekoran tuduhan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat dan MBSA memberi kelonggaran dalam memberi lesen judi, minuman keras, rumah-rumah urut dan hotel-hotel bajet.

Jurucakap Ahli-ahli Majlis MBSA,Izham Hashim berkata beliau mencabar pihak-pihak berkenaan yang membuat dakwaan jahat dan fitnah itu supaya memberi bukti dengan angka dan fakta dan menutup mulut jika mereka gagal berbuat demikian.

“MBSA tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen premis baru perjudian sejak Mac 2008 sementara lesen premis baru minuman keras hanya dibenarkan untuk pemborong sahaja dan peruncit di kawasan majoriti orang bukan Islam.

“Lesen rumah-rumah urut telah lama dibekukan kecuali yang betul-betul menjalankan khidmat urut kaki (refleksologi) dan Spa wanita. Hotel-hotel bajet pula dilesenkan mengikut keperluan dan dengan peraturan dan pemantauan rapi,” katanya semasa sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Menurut Izham lagi, Ahli-Ahli majlis juga turut serta saban minggu bersama-sama pegawai penguatkuasa MBSA dalam serbuan dan lawatan mengejut ke premis yang berlesen dan tidak berlesen bagi tujuan penguatkuasaan sejak dari 2008.

“Hasilnya banyak tempat-tempat maksiat telah ditutup dan barang-barang mereka dirampas. Malah ada juga kes yang kita ambil tindakan undang-undang ke atas pemiliknya,” katanya.

Tambah Izham,beliau mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk pihak polis dan Tenaga Nasional untuk lebih tegas dalam menguatkuasakan undang-undang terhadap premis-premis yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

“Serbuan dan lawatan mengejut itu adalah sebahagian daripada proses berterusan dalam mendidik rakyat supaya menjaga moral dan keharmonian sistem kekeluargaan agar masyarakat akan sentiasa aman dan damai,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Iskandar: Pembaikan Pangsapuri Teratai Dipantau MBSA

SHAH ALAM, 12 APR : Kerajaan Selangor akan meletakkan seorang jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memantau kerja-kerja membaik pulih kerosakan bumbung dan rumah akibat ribut Februari lalu di Pangsapuri Teratai, Seksyen U16, Taman Bukit Subang, di sini sehingga selesai.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri selepas mengadakan mesyuarat tempoh hari bersama Penasihat Persatuan Penduduk, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Teratai, MBSA, Lembaga Perumahan dan Hasil Negeri (LPHS) serta wakil Ahli Parlimen Shah Alam.

Iskandar berkata, pihak JMB juga diminta untuk memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada jurutera bertugas tentang pembaikan yang masih belum dilaksanakan.

“Berdasarkan hasil mesyuarat yang dilakukan pada 5 April lalu, kerajaan negeri mengarahkan pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja di Blok 1 dan 2 serta memantau ke blok-blok lain dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam masa dua minggu (19 April),” katanya.

Iskandar juga memaklumkan, pihak kontraktor tidak dibenarkan untuk membuat sebarang tuntutan sehingga semua kerja-kerja selesai.

Beliau berkata, sekiranya masih terdapat sebarang permasalahan, penduduk boleh melaporkan terus kepada pegawai LPHS, Mohd Azuan di talian 016-2262484.

“Penduduk-penduduk Blok 1 dan 2 yang mengadakan demonstrasi sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa pihak JMB telah menerima arahan berhubung kerja-kerja pembaikan tersebut.

‘Kerja-kerja pembaikan juga dianggarkan hanya sekitar RM160,000 sahaja dan bukan RM480,000 seperti yang didakwa,” tegasnya.

Pada 5 Februari lalu, Blok 1 dan 2 di Pangsapuri Teratai yang dimiliki swasta mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan rumah akibat ribut petir.

Bagaimanapun atas keprihatinan terhadap permasalahan penduduk, kerajaan Selangor menawarkan pembaikan bumbung melalui Skim Ceria dengan mengarahkan MBSA untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Categories
SELANGOR

‘Perkuburan Wilayah Bersepadu’ Atasi Masalah Tapak Kubur Di Selangor

SHAH ALAM, 9 APR : Berdasarkan perangkaan terkini unjuran penduduk sehingga 2060, kerajaan negeri mengambil inisiatif merancang Tanah Perkuburan Wilayah Bersepadu (PWB) bagi mengatasi isu kekurangan kawasan perkuburan di negeri ini .

Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok, berkata PWB menggabungkan dua aspek penting iaitu konsep Perkuburan Wilayah dan Perkuburan Bersepadu.

Perkuburan Wilayah menyaksikan beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berjiran atau berhampiran dengan maksimum 45 minit masa perjalanan berkongsi tanah perkuburan manakala Perkuburan Bersepadu merupakan pembangunan yang terancang menempatkan tanah perkuburan untuk mereka yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu dan lain-lain.

“Melalui konsep ini juga, perancangan PWB turut menyediakan kemudahan-kemudahan seperti pejabat pentadbiran, surau, bangunan krematoriom, tandas awam, laluan akses dan pejalan kaki selain tempat meletak kereta.

“Kita dalam usaha melaksanakannya mengikut lokasi dan wilayah kedudukan PBT dan setiap zon tapak perkuburan perlu dikenalpasti mengikut kewujudan tapak, kadar kemudahsampaian dan aksesibiliti yang dikongsi antara PBT berhampiran,” jelas Teresa ketika sidang medianya di Bangunan Darul Ehsan.

Sebanyak tiga zon dikenalpasti sebagai Zon Tapak PWB iaitu Zon Utara yang menggabungkan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bagi Zon Timur pula meliputi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan Majlis Daerah HUlu Selangor (MDHS).

Sementara itu, Zon Selatan menggabungkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSpg), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlid Daerah Kuala Langat (MDKL).

Di peringkat awal ini, Teresa berkata, kerajaan negeri dalam proses perolehan tapak dan perancangan lanjut di beberapa tapak iaitu di Sepang, Petaling dan Hulu Langat.

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 8:Futsal Datuk Bandar,Bandar Hijau Serdang,Sambutan 4 Tahun PR dan Karnival Morib

Apa Khabar Selangor EPISOD 8 (Bahagian 1)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 4 April 2012, Rabu, jam 12tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama dan di pecahkan kepada 2 tajuk kecil.

Segmen 1 Futsal Datuk Bandar; 2 : Bandar Hijau Serdang

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 8 (Bahagian 2)

Segmen 3: Sambutan 4 Tahun Pakatan Rakyat
Segmen 4: Karnival Morib

Categories
NASIONAL

Penyelewengan UMNO terbongkar

SHAH ALAM,22 MAC : ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei hari ini mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh Kerajaan negeri Umno-BN dulu dalam pemberian tanah yang melibatkan beberapa bahagian Umno Selangor.

Shuaimi berkata pendedahan tersebut merupakan reaksi daripada desakan ADUN Umno-BN di dalam sesi Dewan Negeri Selangor pada 20 MAc agar beliau membuktikan dakwaan tentang penyelewangan Umno-BN.

Shuhaimi mendedahkan tiga kes, iaitu pemberian tanah Kerajaan kepada Umno Kota Raja pada tahun 2007 dan cubaan Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera.

Satim juga didakwa telah menggunakan pengaruhnya di dalam pentadbiran Umno-BN yang lama bagi menjual tanah anak syarikat Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta di mana beliau mempunyai kepentingan.

“Sewaktu sesi perbahasan berkaitan isu tanah dan pasir semalam, ADUN-ADUN Barisan Nasional mendesak saya supaya mengeluarkan bukti dan fakta berkaitan penyelewengan yang dilakukan sewaktu pemerintahan BN dahulu.?

Dalam kes pertama, sebidang tanah seluas 2.86 hektar di Sek 25, Jalan Bukit Kemuning, Klang yang dimohon oleh 11 syarikat swasta dan satu permohonan dari Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Akhirnya, jawatankuasa exco pentadbiran Umno-BN menganugerahkan empat ekar kepada Umno bahagian Kota Raja dan sebanyak tiga ekar kepada MBSA.

Shuhaimi mendakwa dalam permohonan asal, MBSA telah meminta empat ekar manakala Umno Kota Raja tidak mengemukakan permohonan.

“Bagaimana tanah yang sepatutnya MBSA mohon empat ekar akhirnya dapat tiga ekar dan Umno mendapat empat? Umno juga mendapat tanah itu dengan harga yang murah iaitu RM1 kaki persegi.?

Dalam kes kedua, Shuhaimi membongkar cubaan Satim untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan bumiputera.

“Tanah rizab melayu adalah milik bumiputera dan dilarang menjualnya kepada syarikat bukan milik bumiputera.?

“Umno Bahagian Puchong telah memohon untuk memindah milik tanah rizab melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya bukan terdiri dari bumiputera,” ujar Shuhaimi.

Walaubagaimanapun usaha tersebut dihalang oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam kes ketiga, Shuhaimi berkata Satim telah mempengaruhi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk menjual sebidang tanah mereka kepada syarikat Nikmat Inai semasa era pemerintahan Umno-BN.

Pada masa itu, Satim memegang saham di dalam syarikat tersebut.

Tanah itu kemudiannya dijual kepada Perbadanan Kemajuan Selangor (PKNS) dengan harga yang lebih tinggi untuk mengaut untung, Shuhaimi berkata.

Categories
SELANGOR

Kitar Semula Berjaya Jimat Kos Operasi MBSA

SHAH ALAM, 7 MAC : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM15,600 dari segi kos operasi melalui kempen dan aktiviti kitar semula yang telah dilaksanakan pada 2011.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam,Tuan Mokhtar Hani berkata, kempen kitar semula yang dilaksanakan itu di peringkat sekolah berjaya mengumpulkan bahan kitar semula sebanyak 141,612.7 tan,penjimatan kos sebanyak RM14,100.

” Kempen kitar semula yang mahu dilaksanakan dengan jayanya haruslah melibatkan segenap lapisan masyarakat termasuk pihak berkuasa tempatan, jabatan-jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan,syarikat swasta, institusi pendidikan serta orang ramai di rumah, pejabat dan tempat-tempat awam,” katanya semasa perasmian Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah Dan Majlis Perwakilan Penduduk yang diadakan di Dewan Banquet MBSA di sini.

Buat kali keenam berturut-turut MBSA dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn Bhd menganjurkan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Tahun 2012.

Inisiatif berterusan pihak MBSA untuk mendidik masyarakat khususnya golongan pelajar mengenai pentingnya amalan kitar semula direalisasikan melalui Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Tahun 2012.

Program murni yang diadakan dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn Bhd antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya pelajar terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan harian sekaligus mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Pertandingan terbuka kepada sekolah rendah dan menengah di dalam kawasan pentadbiran MBSA. Sekolah-sekolah yang terlibat dikehendaki untuk mengumpul barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas,alumunium dan plastik.

Sekolah yang berjaya mengumpul bahan kitar semula yang terberat akan menerima hadiah yang disediakan oleh pihak F&N Beverages Marketing Sdn Bhd. Pertandingan akan diadakan dalam tempoh tiga bulan bermula dari Mac hingga Mei 2012.

“Sekiranya peruntukan yang disediakan untuk melupuskan sampah sarap khususnya sisa pepejal ini dapat dikurangkan melalui aktiviti kitar semula,belanjawan tersebut dapat disalurkan untuk projek-projek yang lebih bermanafaat kepada rakyat,” katanya.

Stadium Shah Alam Akan Dibuka April Ini

SHAH ALAM 29 FEB : Setelah tiga bulan ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf, Stadium Shah Alam sedia dibuka bermula April ini.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, stadium yang mula ditutup awal Disember tahun lalu kini berada di fasa terakhir kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf yang menelan kos RM3.4 juta.

“Ada beberapa kerja utama dan antara yang ditumpukan adalah berkaitan padang dan rumput dimana harapan kita jangkakan ia sedia digunakan sebelum 6hb April.

“Rumput yang kita gunakan kali ini adalah jenis rumput lembut pantai yang kini sedang proses dipotong, dirawat dan dibaja serta disiram bagi hasil terbaik,” jelas Mohd Jaafar.

Selain padang dan rumput, fokus penyelenggaraan kali ini juga tertumpu kepada usaha memperbaiki bumbung yang rosak, penggantian kabel dan mentol lampu, menaik taraf bilik persalinan, bilik air, tangga, kerusi dan juga sistem bunyi.

Mohd Jaafar turut memberitahu segala kerja-kerja hampir 100 peratus selesai melainkan kerja pemasangan lampu yang baru mencapai 70 peratus memandangkan lampu yang akan diguna diimport dari Jerman.

“Bagaimanapun kerja-kerja pemasangan lampu ini akan siap sebelum 23hb Mac untuk proses ‘commissioning’ bagi menjamin kelancaran permainan yang akan diadakan di stadium ini,” ujar Mohd Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar turut mengumumkan perlawanan pertama yang bakal berlangsung merasmikan wajah baru stadium adalah perlawanan Liga Super antara pasukan Selangor dan Terengganu pada 7hb April nanti.

Selain Mohd Jaafar, turut serta dalam lawatan tersebut, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Tiket FAM, Datuk S. Sivasundaram dan juga ahli-ahli majlis MBSA.