Categories
NASIONAL

MCA Boleh Terus Pertikai Isu Talam

SHAH ALAM, 11 JUL : MCA boleh terus mengkritik penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) meskipun Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan fakta sebenar.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan saman terhadap MCA berhubung kes itu.

“MCA boleh teruskan bercakap sekiranya ada isu mengenai Talam. Kerajaan Negeri memang menunggu fakta ‘bernas’ daripada MCA,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dalam sidang media itu, Abdul Khalid secara sinis memerli MCA : “Sekiranya ada RM1 bilion (hutang), baguslah untuk Perbadanan Menteri Besar (MBI)”.

Sebelum ini, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa penstrukturan hutang Talam dan kerajaan Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM 1 bilion, sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta.

Akan tetapi sehingga hari ini Tee Yong, tidak kemukan bukti untuk menyokong dakwaan RM 1 billion itu.

Selepas, dibidas DAP dan Pas, Tee Yong pula mendakwa Kerajaan Negeri telah membeli tanah  2,263 ekar di Bestari Jaya daripada Talam dengan harga RM 42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Untung ‘Atas Angin’ RM508 Juta Bina Asrama, Mana Penjelasan Umno

SHAH ALAM 5 JULAI : PKR Selangor hari ini mencabar Datuk Seri Noh Omar memberikan penjelasan berhubung dakwaan ada pemimpin Umno Selangor yang diberikan kontrak pembinaan asrama pusat pengajian tinggi dan mendapat keuntungan ‘atas angin’.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei pemimpin itu didakwa mengaut keuntungan sebanyak 524 peratus atau RM508 juta dibandingkan dengan kosnya hanya RM94 juta.

“Ia dilakukan di atas tumpahan air mata siswa dan siswi anak negeri Selangor dan seluruh negara.

“Sila jawap persoalan ini, pemimpin Umno dari Permatang usahlah mendabik dada kononnya ‘menjaga’ Unisel. Tunggu sahaja sidang dewan akan datang,” tegas Shuhaimi dalam kenyataan medianya.

Ujar Shuhaimi, pemimpin Umno diseru untuk tidak berlagak cuba menjadi jaguh dalam isu Unisel, Kuis atau mana-mana institusi pengajian tinggi di Selangor.

Ia ekoran daripada tindakan tidak matang mereka membekukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikecam hebat.

Ujar Shuhaimi, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor gagal memahami tatacara pentadbiran berhemah dan berkebajikan yang dipelopori Pakatan Rakyat Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.

“PKR Selangor ingin mengingatkan beliau agar menyedari bahawa tahap ?kurang cerdik? Noh ini ditertawakan oleh ramai orang.

“Daripada penyokong Umno sendiri di Tanjong Karang sehingga ke Umno Pusat, yang menyedari usaha Noh untuk mengampu hanya ‘memakan dirinya sendiri’,” katanya.

Tegas Shuhaimi, dakwaan terbaru berhubung Unisel adalah modal terakhir propaganda Umno-BN yang ‘kebetulan berkembar’ melalui anak pemimpin MCA yang tercalar maruah, yang di bawah kementerian Noh Omar.

“Tidak syak lagi riwayat Umno di Selangor bakal tamat selepas PRU 13 akan datang,” katanya.

Categories
SELANGOR

Saya Bukan Chua Soi Lek, kata LGE

SHAH ALAM 5 JULAI : Cubaan membunuh karektor peribadi dan isteri serta anak-anaknya oleh pemimpin MCA-BN dikecam keras Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut Guan Eng, MCA-BN mengamalkan politik kotor dengan cuba menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik dengan menyerang ahli-ahli keluarga yang tidak bersalah.

Ujar beliau, Pengerusi MCA Melaka, Gan Tian Loo menyalahgunakan keistimewaan dan jaminan perlindungan di dalam DUN Melaka dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap beliau dan isterinya di dalam dewan tersebut.

“Saya mahu Gan mengulangi tuduhan itu di luar, supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau biadap itu.

“Jika Gan tidak berani berbuat demikian, maka dia telah menunjukkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin, ahli Exco dan wakil rakyat,” tegas Guan Eng.

Guan Eng juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najid Razak, agar mengarahkan pihak MCA mengulangi dakwaan palsu itu di luar DUN Melaka bagi membuktikan kenyataan itu kerana Presiden MCA, Chua Soi Lek tidak layak memandangkan Chua juga mempunyai skandal moral sebelum ini.

“Biar MCA mengulangi dakwaan mereka di khalayak ramai supaya saya dan isteri boleh buktikannya di mahkamah bahawa ‘Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek’.

“Saya tidak mempunyai mana-mana hubungan rapat atau rahsia dengan bekas kakitangan saya. Isteri saya tidak pernah menyerang saya atau sesiapa pun dalam hidupnya.

“Biar saya dan isteri saya membuktikannya di mahkamah bahawa MCA berbohong dan meminta MCA mendedahkan cubaan untuk membunuh karektor dan mendedahkan sumber maklumat palsu ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Dan Kroni Didakwa Bolot Untung Saman Pengangkutan

PETALING JAYA 04 JULAI : PKR hari ini mendakwa Kementerian Pengangkutan berkongsi kompaun saman yang dikenakan ke atas rakyat bersama dua syarikat yang diberikan kontrak projek ‘Automated Enforcement System’ (Aes).

Bendahari Agung PKR, William Leong berkata mengikut kedua-dua laporan syarikat Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd menyatakan setiap RM16 bagi satu saman yang dikeluarkan akan diberikan kepada kedua-dua syarikat terbabit.

Katanya, RM16 itu akan diberikan sehingga saman yang dikeluarkan mencecah lima juta.

Manakala, selepas mencecah lima juta saman, Kementerian akan mendapat 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan diberikan kepada syarikat terbabit sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.

“Oleh kerana itu, kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 juta saman setiap tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah Akta Pindaan Pengangkutan yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Ini satu angka keuntungan yang besar kerana apabila selepas jumlah itu, mereka akan berkongsi sebanyak 7.5 peratus lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Selayang itu juga mendakwa, salah satu pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd iaitu Datuk Arianta Alikusno mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA.

“Ini kerana Arianta ini pernah diberikan satu kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

“Dalam senarai pemegang saham syarikat Beta Tegap Sdn Bhd yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Arianta dan anaknya Dr Andres Teoh serta isterinya, Yap Kim See @ Yap Ai Lin dan seorang iaitu Datuk Mohd Yunus Othman merupakan antara pemegang saham syarikat itu.

“Begitu juga dengan syarikat Mediharta Sdn Bhd, adalah orang yang sama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bidang kepakaran kedua-dua syarikat itu.

“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka dalam Aes?. Apa yang kita tahu teknologi yang digunakan oleh syarikat Beta Tegap hanya daripada sebuah syarikat Australia iaitu Reflex Pty Limited dan apakah kepakaran mereka dalam ‘security hologram’ yang diberikan kontrak daripada Kementerian Kesihatan?” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek memberi penjelasan berhubungan kaitan dengan nama-nama terbabit.

“Kenapa Kementeria Pengangkutan tidak memberi kontrak terus kepada syarikat Reflex? Kenapa guna wakil? Ini kerana mereka mahu mengaut keuntungan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Fitnah isu Talam, MCA Disaman

SHAH ALAM, 4 JUL : Tindakan tidak berasas MCA bahawa Kerajaan Negeri melakukan penyelewengan RM1 bilion berhubung isu Talam Corporation Bhd(Talam) menyebabkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap parti itu.

Menyifatkan tuduhan bukan sahaja tidak benar, berat dan serius malah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia mencemar nama baik Kerajaan Negeri yang menyebabkan keputusan mengambil tindakan undang-undang ini.

“Kita akan memfailkan saman tersebut dalam masa terdekat. Sehubungan itu, kita tidak akan membuat apa-apa ulasan buat masa ini demi untuk tidak mengganggu proses perundangan kelak,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK di sini.

Abdul Khalid sekali lagi turut menegaskan akan membentangkan laporan penuh atau ‘kertas putih’ berhubung penstrukturan semula hutang Talam ketika pembentangan Bajet Selangor 2013, dijangka November ini.

Katanya, kertas putih ini akan dijadikan salah satu laporan dalam Bajet 2013 untuk memudahkan orang ramai meneliti penyusunan hutang Talam.

Usaha ini dilakukan kerana masih ada pihak-pihak yang tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang Talam.

Mengulas dakwaan MCA bahawa Kerajaan Selangor menggunakan RM260 juta untuk menyelamatkan Talam, Menteri Besar berkata beliau tidak faham mengapa angka itu berubah-ubah kerana sebelum ini MCA mendakwa jumlahnya RM1 bilion.

?Ini menunjukkan MCA tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang ini. Mungkin kita perlukan rakan kita dari DAP mengajar MCA tentang cara-cara penyusunan hutang ini dilakukan,? katanya.

Kelmarin, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan sejumlah wang untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam.

Namun, pada hari sama Tee Yong turut menyatakan bahawa Selangor menggunakan lebih RM260 juta untuk menyelamatkan syarikat itu melalui proses perakaunan rumit.

Beliau mendakwa, Pakatan Rakyat tidak menjelaskan perkara sebenar berhubung usaha memungut hutang melibatkan Talam sebelum ini.

Categories
NASIONAL

Soi Lek Hina Islam, PAS Minta Umno Nyata Pendirian

 

SHAH ALAM, 4 JULAI : PAS hari ini mengesa Umo tampil menyatakan pendirian berhubung kenyataan rakan kongsinya dalam BN didakwa menghina Islam.

Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek kelmarin menerusi laman twitternya membidas cadangan Adun Kemelah(Umno-BN), Datuk Ayub Rahmat yang mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud sebagai suatu perkara yang hilang akal.

Oleh itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini mengesa agar Umno tampil menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan berkenaan.

“Selama ini Umno menuduh DAP menghina Islam, pelbagai gesaan yang mereka suruh kita (Pakatan Rakyat) lakukan terhadap DAP.

“Kini terbukti, MCA menghina dan menolak hukum Islam itu (Hudud) dan Umno perlu dalam kadar segera menyatakan pendirian mereka kerana ini bukan soal politik tetapi soal agama,” jelasnya yang mesra dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Ayub Rahmat juga menyatakan hudud di Johor akan turut dipraktikan ke atas bukan Muslim, sekaligus berbeza dari hudud yang ditawarkan PAS.

Adun Kemelah itu mendakwa, hudud sebenar turut merangkumi masyarakat bukan Islam berbeza dengan hudud PAS yang beliau anggap sebagai bermain politik semata-mata.

Dalam twitter itu juga, Soi Lek mempersoalkan di mana keris tajam Umno yang sering dijulang ke udara dengan penuh semangat perwira mempertahankan maruah Melayu itu.

“Sudah tumpul berkarat atau hilang kudrat untuk dijulang lagi?” terjah beliau.

Mengulas lanjut, Mat Sabu mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) menyuarakan kelantangan suara mereka dalam perkara ini.

“Kita lihat apakah tindakan NGO-NGO pro-Umno ini dalam menangani perkara ini, kita juga mahu lihat bagaimana caranya mereka memberi pemahaman berhubung hukum hudud kepada rakan MCA mereka,”ujarnya.

Categories
SELANGOR

‘Kertas Putih’ Hutang TALAM Dalam Bajet 2013

SHAH ALAM 3 JUN : Kerajaan Negeri akan menyediakan kertas putih menerangkan penyusunan semula hutang TALAM sebagai lampiran dalam Bajet 2013.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kertas putih ini akan dijadikan salah satu laporan dalam Bajet 2013 untuk memudahkan orang ramai meneliti penyusunan hutang TALAM.

“Usaha ini dilakukan kerana masih ada pihak-pihak yang tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang TALAM,” katanya selepas menutup Majlis Dialog Bajet Selangor 2013 di Subang Jaya, hari ini.

Mengulas dakwaan MCA bahawa Kerajaan Selangor menggunakan RM260 juta untuk menyelamatkan TALAM, Menteri Besar berkata beliau tidak faham mengapa angka itu berubah-ubah kerana sebelum ini MCA mendakwa jumlahnya RM1 bilion.

“Ini menunjukkan MCA tidak faham dengan proses penyusunan semula hutang ini. Mungkin kita perlukan rakan kita dari DAP mengajar MCA tentang cara-cara penyusunan hutang ini dilakukan,” katanya.

Beliau akan memberi penjelasan lanjut mengenai dakwaan MCA ini dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco esok.

Mengenai dakwaan salah guna kuasa menukar status tanah di Petaling Jaya, Menteri Besar berkata, beliau hanya boleh membuat ulasan selepas sesi pendengaran awam oleh SELCAT selesai dijalankan.

“Saya perlu bersikap berkecuali bagi membuka peluang kepada pihak lain untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan ini,” katanya.

Menjawab soalan mengenai UNISEL pula, Menteri Besar berkata, UNISEL sedang menyiapkan laporan akaun yang tidak diaudit sejak lima tahun lalu, untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan UNISEL tidak lama lagi.

Categories
NASIONAL

Isu Hudud Tidak Jejaskan Hubungan Erat PAS dan DAP

 

SHAH ALAM, 29 JUN : Isu hukum hudud sengaja diapi-apikan musuh politik PAS dan DAP bagi memecah-belahkan kesefahaman parti Pakatan Rakyat dan mengalihkan perhatian daripada masalah negara seperti rasuah dan salahguna kuasa.

Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng berkata polemik hukum hudud adalah perangkap yang dipasang parti Umno dan MCA bagi menjejaskan kerjasama rapat antara PAS dan DAP.

“Saya rasa isu lain pun penting macam isu rasuah. Jangan kita masuk dalam perangkap Umno-BN yang sering mengatakan pemipim DAP dan PAS tidak sependapat.

?Sungguhpun DAP dan PAS mermpunyai idealogi berbeza tetapi yang penting kita tak pernah mencederakan rakyat atau merosakkan negara. Itulah demokrasi dan dengan cara ini baru kita boleh dapat kebaikan,” katanya lagi dalam wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam?”.

Kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, DAP sentiasa mengamalkan sikap terbuka bersama parti Pakatan berhubung pelbagai isu termasuk pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Beliau berkata, biarpun idealogi kedua-kedua parti itu berbeza, mereka sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama serta sering mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan sesuatu isu.

Dalam isu hukum hudud, beliau berkata, PAS menghormati pendirian DAP yang pada dasarnya tidak bersetuju dengan pelaksanaannya.

“Hakikatnya bukan sahaja DAP tetapi juga orang bukan Islam termasuk rakyat di Sabah dan Sarawak juga tidak bersetuju. Pemimpin PAS terima bahawa konsep hukum hudud tidak diterima oleh orang bukan Islam. Mereka memberikan keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa.

“Apa yang penting kita sentiasa bersikap terbuka. Kalau setuju maka setuju lah dan kalau tak setuju jadi tak setuju dan kita kena terima keputusan itu,” kata Guan Eng.

Wacana anjuran Roketkini.com di sini tadi turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dengan dimoderatorkan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kes Hannah Yeoh Sekali Lagi Menunjukkan Polis Berat Sebelah

SHAH ALAM, 22 APR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi didakwa bertindak berat sebelah kerana memanggil pemimpin Pakatan Rakyat untuk memberi keterangan hanya kerana mempersoalkan program Umno-BN.

Sehubungan itu MP Puchong, Gobind Singh Deo menyarankan agar PDRM bertindak adil dan saksama dengan tidak memihak kepada pemimpin gagasan Umno-BN.

MP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, PDRM seharusnya mengambil kira fakta terhadap sesuatu isu dan bukannya bertindak melulu jika ia melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Polis seharusnya membuat siasatan dahulu berkaitan isu membabitkan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang didakwa memfitnah MCA,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Gobind mengulas tindakan PDRM memanggil Hannah ke Balai Polis SS17, Subang Jaya semalam untuk memberi keterangan tentang kenyataannya yang mempersoalkan satu program MCA di kawasannya baru-baru ini.

Pada permukaannya, program tersebut memberi perkhidmatan kesihatan percuma, akan tetapi Hannah mendakwa MCA menggunakannya untuk tujuan yang lain.

Sejurus selepas kenyataannya dikeluarkan menerusi laman blognya, MCA membuat laporan polis terhadap Hannah dan beliau dipanggil PDRM.

Gobind dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan wakil-wakil penduduk adalah antara orang yang menemankan Hannah ke balai polis tersebut.

Selepas beliau memberi kenyataan kepada PDRM, Hannah menulis di dalam blognya dan mengatakan beliau mewakili penduduk Subang Jaya dan boleh mempersoalkan sebarang perkara yang menimbulkan syak wasangka.

Beliau juga menyoal sejak bila MCA menjadi kebal kepada undang-undang.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan mempersoalkan sikap polis yang seolah-olah lepas tangan terhadap laporan jenayah yang dibuat oleh pemimpin gagasan itu.

Contohnya, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim pernah dipukul oleh samseng semasa membuat lawatan ke Tanjong Karang pada 4 Nov 2010 tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan daripada PDRM.

Pada Februari lepas, seorang wartawan di Pulau Pinang cedera apabila sekumpulan ahli Umno menyerang sebuah himpunan bagi membantah loji Lynas di Georgetown.

Begitu juga serangan sekumpulan 50 orang berbaju hitam terhadap perkhemahan aktivis di Dataran Merdeka minggu lalu di mana anggota PDRM yang ada di situ didakwa melihat sahaja perkara itu berlaku.

Gobind Singh berkata PDRM seharusnya menyiasat laporan yang dikemukakan NGO Bersih 2.0 yang menuntut Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membersihkan senarai nama pengundi yang meragukan.

“Jika polis menggunakan undang-undang untuk semua pihak, seharusnya polis menjalankan siasatan terhadap laporan mengenai senarai pengundi yang meragukan,” jelasnya lagi.

“Jika polis hendak siasat Hannah Yeoh, polis juga semestinya menyiasat pelbagai perkara lain contohnya isu Bersih 3.0,” katanya.

Categories
NASIONAL

MCA Klang Di Dakwa Sabotaj Peruntukan RM700,000

KLANG, 8 APRIL : Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago meminta Pengerusi MCA Klang, Datuk Dr Teh Kim Poo mendedahkan kandungan surat yang dihantar kepada Jabatan Kerajaan Tempatan sehingga mengakibatkan kerajaan persekutuan membatalkan peruntukkan berjumlah RM 890,000.

Menurut Charles, surat bertarikh Oktober 2008 tersebut jelas menunjukkan terdapat unsur sabotaj kepada warga Klang dan beliau menuntut penjelasan daripada Datuk Teh Kim Poo.

Dalam surat tersebut dinyatakan, RM700,000 diperuntukkan untuk menaiktaraf Lorong Chinnlah di Pandamaran yang merupakan salah satu kawasan banjir yang berlaku baru-baru ini.

Sementara jumlah selebihnya diperuntukkan untuk projek membina struktur untuk gelanggang bola keranjang Pandamaran dan membina tempat duduk dan menaiktaraf gelanggang bola keranjang Pandamaran.

“Jelas menunjukkan bahawa, ketua BN di Klang telah mensabotaj orang Klang sendiri. Ini tidak boleh diterima.

“Saya percaya Datuk Kim Poo menulis surat dan beliau hantar kepada Jabatan Kerajaan Tempatan. Beliau perlu jelaskan kepada warga Klang berhubung kandungan surat tersebut sehingga peruntukkan ini dibatalkan,” katanya.

Tegas beliau, tindakan ini bertentangan dengan dasar yang dilaungkan oleh kerajaan dimana rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.


Categories
NASIONAL

Jui Meng : Idealisme Politik Islam Bawa Kemakmuran Bagi Semua

SHAH ALAM, 28 FEB: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng meminta rakyat memilih pemimpin yang menganjurkan perjuangan berteraskan al-Quran dan Hadis kerana idealisme perjuangan politik Islam menekankan kebaikan untuk semua.

Tegasnya, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara parti komponen Pakatan Rakyat, namun Pas, DAP dan PKR tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Sebaliknya, Pakatan memperjuangkan hak semua kaum berlandaskan Perlembagaan.

“Saya 40 tahun dalam Barisan Nasional (Umno-BN), kita tidak begitu faham Islam. Tetapi sekarang kita bersama dengan Pas dan PKR, saya faham atas idealisme Islam itu yang nak membawa kemakmuran kepada semua,” kata Jui Meng yang pernah menyandang jawatan Naib Presiden MCA.

“Dulu Umno tidak beritahu dan mengajar saya berkaitan al-Quran, Hadis dan lain-lain termasuk Menteri Agama,” katanya dalam Wacana anjuran Sinar Harian yang bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Berpecah’.

Jelas beliau, perosalan adakah undi Melayu pecah tidak relevan kerana perkara pokok yang perlu ditumpukan adalah memastikan hak semua terbela meskipun terdapat perbedaan dari segi fikiran, prinsip dan idealisme.

“Bila saya masuk kampung Melayu semasa menjadi Menteri Kesihatan dulu, saya tengok ramai orang Melayu yang miskin. Dan, ada anak-anak Orang Asal saya diberitahu mereka sanggup meletakkan pasir bagi mengisi perut. Kita sepatutnya memusatkan kepentingan rakyat, bukan kroni,” katanya.

Ideologi memperjuangkan hak semua kaum merupakan tunjang kepada dasar-dasar di dalam Buku Jingga Pakatan, katanya.

Jui Meng berkata keberkesanan Buku Jingga telah dibuktikan oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid yang memperkenalkan gaji minima RM1,500 kepada anak syarikat kerajaan negeri bermula tahun ini.