Categories
NASIONAL

Terdesak Umno Heret Institusi Raja Ke Kancah Politik

SHAH ALAM 13 SEPT : Dakwaan Umno-BN bahawa DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak dijemput untuk mencemar duli ke program Ambang Merdeka baru-baru ini dilihat cuba mengheret institusi Raja ke kancah politik murahan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata tindakan itu merupakan tabiat pemimpin Umno-BN dalam mencari alasan untuk mengekalkan kedudukan.

Katanya, ia dilihat sebagai cubaan mencetuskan kebencian dan memutuskan ukhuwah yang sedia terjalin antara Kerajaan Negeri dan pihak istana.

“Adalah menjadi amalan biasa, Setiausaha Kerajaan Negeri dipertanggungjawabkan untuk segala persiapan, jemputan dan prasarana yang difikirkan perlu.

“Bagaimanapun, Umno-BN sentiasa berasa tidak berpuas hati dengan Kerajaan Negeri. Kemungkinan sambutan luar biasa itu menjadi sebab kurang senang kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menerusi rekod bertulis, DYMM Sultan Selangor tidak hadir dalam sambutan dan acara kemerdekaan sebelum ini walaupun dibawah pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Umum mengetahui bahawa DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak dijemput ke sambutan kemerdekaan di Stadium Bukit Jalil.

“Tetapi Pakatan Rakyat tidak menyerang Umno-BN sebagaimana mereka mencari publisiti murahan dengan mencuba berulang kali ‘mengaitkan kemurkaan Istana’,” katanya.

Mengulas lanjut, Shuhaimi mempersoalkan sambutan kemerdekaan Kerajaan Pusat yang mengasingkan kerusi untuk pihak Umno, MCA dan MIC.

“Maka apakah jenis sambutan kemerdekaan Kerajaan Pusat?

“Jika sebelum ini, Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar menuduh Menteri Besar tidak tahu adat, budaya dan protokol, jadi adakah Kerajaan Pusat juga gagal memahami tiga perkara itu dalam membezakan antara majlis rasmi dan majlis politik? soalnya.

Justeru, PKR negeri menasihatkan Noh dan Koordinator Umno-BN negeri, Datuk Seri Mat Zin supaya tidak menyerang tanpa hujah dan fakta.

Categories
NASIONAL

MCA Dicabar Bentang Laporan Audit NFC Sebelum Pertikai Audit Talam

SHAH ALAM 7 SEPT : Kerajaan Negeri Selangor mencabar Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong untuk membentangkan laporan audit dan kertas putih melibatkan projek kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada umum bagi membuktikan ketelusan Kerajaan Pusat.

Cabaran itu disuarakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai respon kepada kenyataan Tee Yong sebelum ini yang mempersoalkan kredibiliti badan audit bebas antarabangsa, KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd berhubung isu Talam.

Beliau berkata, sekiranya Tee Yong berani mendedahkan laporan audit NFC, maka Kerajaan Negeri tidak keberatan untuk membuat perkara sama berhubung penyusunan semula hutang Talam Corporation.

“Saya rasa kalau betul Tee Yong nak berdebat, apa kata dia bawa akaun NFC dan bentangkan kepada umum, kemudian kita pula akan bawa akaun Talam. Kita tunjukkan kajian yang dibuat.

“Umno-BN boleh panggil kita bila-bila masa sahaja untuk beri keterangan lanjut berhubung perkara ini. Malah, Kerajaan Negeri tidak akan keberatan untuk aturkan pertemuan pimpinan Umno-BN bersama juru audit yang dilantik supaya mereka benar-benar faham,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Selangorku, di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata laporan dan aduan MCA terhadap isu Talam juga dianggap sebagai tidak relevan dan boleh diabaikan.

Beliau berkata, juru audit bebas yang dilantik itu juga dengan jelas menunjukkan langkah yang dibuat Kerajaan Negeri bagi mengutip semula hutang adalah munasabah dan terbaik.

“Saya meminta empat wakil negeri untuk menjadi jurucakap berhubung isu ini. Jadi baik Umno atau MCA boleh pilih sesiapa sahaja yang mereka suka untuk beri penerangan.

“Kerajaan Negeri berhak mengutip semula hutang itu tanpa ada sebarang diskaun. MCA perlu baca dan fahamkan kenyataan itu sebelum membuat sebarang dakwaan,” katanya lagi.

Abdul Khalid kelmarin memaklumkan Kerajaan Negeri membuat keputusan komersial yang baik dalam penyelesaian hutang Talam yang dibuktikan menerusi badan audit bebas antarabangsa yang dilantik, KPMG Transaction and Restructuring Sdn Bhd.

Beliau turut menjelaskan perkara itu membuktikan usaha Kerajaan Negeri mengutip sejumlah RM392 juta hutang daripada Talam dilaksanakan dengan tertib dan mengikut undang-undang demi menjaga kepentingan negeri dan rakyat Selangor.

Categories
NASIONAL

PAS Cabar Umno Bentang Perincian Hudud

SHAH ALAM 29, OGOS: PAS mencabar Umno membentangkan sendiri perincian perlaksanaan perundangan hudud memandangkan parti berkenaan begitu lantang dan terus menerus memperlekeh hasrat berkenaan.

Cabaran ini dilontarkan sendiri oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang nyata dukacita dengan kenyataan ‘sumbang’ berhubung cadangan perlaksanaan syariat berkenaan terutamanya dari mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Presiden Umno.

Menyifatkan kenyataan Dr Mahathir yang mengatakan tidak pernah menolak hudud seperti yang terkandung dalam Islam dan hanya menolak hudud yang akan dilaksanakan PAS sebagai bentuk pemikiran lama, katanya sehingga kini Umno masih gagal membentangkan perincian hudud sebenar seperti yang digariskan Islam.

Menurutnya lagi, sehingga kini Umno-BN masih membisu berhubung cadangan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat ditambah kenyataan lantang yang dilemparkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

“Mahathir masih dalam pemikiran lama. Kita minta enakmen hudud ini dibentangkan di seluruh negara. Bagi kita (PAS) tidak mengapa dia (Mahathir) mengatakan ini hudud PAS tapi kita mahu dengar mana hudud dari Umno.

“Kita mencabar bentangkan hudud Umno atau yang didakwa oleh Dr Mahathir di dalam atau luar parlimen kerana sehingga kini tidak ada sepatah pun hudud yang dikatakan betul seperti mana dakwaan Dr Mahathir,” katanya.

Dr Mahathir dalam kenyataannya kepada media semalam menyatakan hudud yang ingin dilaksanakan Pakatan Rakyat mirip kepada hukuman lebih berat dan tiada dalam al-Quran.

Jelasnya, enakmen hudud yang dibuat di Kelantan hasil perbincangan cendakiawan agama yang tidak mempunyai latar belakang politik antaranya Almarhum Prof Ahmad Ibrahim, Almarhum Prof Mahmod Saedon dan Ketua Hakim Syarie Kelantan sekarang, Datuk Daud Muhammad.

Beliau menambah, PAS akan tetap memberikan sokongan kepada mana-mana pihak yang ingin melaksanakan perundangan berkenaan dan beliau percaya dunia memerlukan undangan ciptaan Allah SWT dikala kadar jenayah semakin meningkat.

Categories
NASIONAL

Kontroversi Akta Keterangan, Najib Terus Terburu-Buru

SHAH ALAM 17 OGOS : Keputusan Kabinet berhubung pindaan undang-undang kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 baru-baru ini menyerlahkan sikap ‘terburu-buru’ kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Demikian ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengulas mengenai pindaan Seksyen 114A terhadap Akta Keterangan yang digazetkan pada 31 Julai lalu berkenaan internet dan rangkaian sosial.

Menurutnya, tindakan Najib itu disifatkan sebagai tergopoh-gapah terutama dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan pindaan Akta ke dalam Parlimen.

“Kelemahan Najib ialah beliau tidak mempunyai fokus dalam setiap perkara yang dilakukan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan pindaan akta atau rang undang-undang. Antara yang ketara ialah penarikan semula cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Selain itu, pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan beberapa projek lain yang kemudiannya ditarik balik. Pindaan ini juga biasanya dibuat tanpa perbincangan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat juga dilihat ‘separuh masak’ sehingga ia kemudian terpaksa ditarik balik.

Pindaan akta kontroversi tersebut diluluskan Dewan Rakyat April lalu dan digazetkan sebagai undang-undang oleh Datuk Seri Nazri Aziz pada bulan Julai baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Senator MCA, Gan Ping Sieu antara individu yang menyokong protes yang semakin membesar terhadap undang-undang baru itu.

Kempen menentang undang-undang tersebut turut disokong Majlis Peguam dan Pakatan Rakyat yang ‘memggelapkan’ laman web mereka sempena kempen memboikot internet tempoh hari.


Categories
NASIONAL

PAS Selangor Gesa Majlis Fatwa Tarik Balik Kenyataan Pengasas Pondok Geting

 

SHAH ALAM 16 OGOS : PAS Selangor menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menarik balik kenyataan pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia berhubung ‘haram sokong DAP’.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata Majlis Fatwa juga seharusnya mengeluarkan pendirian mereka mengenai kenyataan itu.

Katanya, bagi mengatasi masalah kekeliruan yang dihasilkan oleh golongan yang ingin memutar belitkan ajaran Islam, Majlis Fatwa juga harus mengeluarkan fatwa bagi menyeru umat Islam supaya memilih parti yang perjuangkan Islam.

Beliau berkata ia amat wajar supaya umat Islam menyokong parti yang berpolitik berdasarkan Al-quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.

“Kami menganggap kenyataan itu memang atas sebab kepentingan politik bukan fatwa yang mantap.

“Ia tidak bertanggungjawab dan bodoh dan tidak layak diguna pakai oleh mana-mana orang,” katanya dalam sidang media di pejabatnya.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS II Negeri Selangor berkata ternyata Umno-BN sudah tidak boleh dijadikan tempat bergantung umat Islam yang cintakan agamanya.

Sementara itu, YDP PAS Kawasan Sabak Bernam, Sallehan Mukhyi berkata DAP merupakan pertubuhan yang sah yang diizinkan bergerak melalui sistem demokrasi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak pelik jika DAP atau mana-mana orang bukan Islam termasuk MCA dan MIC menentang hudud kerana beralasan mereka bukan beragama Islam.

“Tetapi kami pelik jika Umno yang kononnya menjadi parti umat Islam juga menolak hudud,” katanya.

Categories
SELANGOR

Faekah : Chua Perlu selesai Isu NFC Sebelum Debat Dengan MB

SHAH ALAM, 16 OGOS : Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong dinasihatkan untuk melupakan sahaja hasratnya berdebat dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu penyusunan semula hutang Talam.

Sebaliknya beliau perlu memberi fokus untuk memperjelaskan kepada rakyat isu penyelewengan dana bernilai RM250 juta ekoran skandal NFC yang membabitkan kementeriannya.

Perkara ini dilontarkan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin sebagai reaksi terhadap cabaran Chua untuk berdebat dengan Abdul Khalid.

“Datuk Chua Tee Yong silap membuat percaturan apabila menganggap dirinya setaraf dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita tidak menghalang beliau mencari publisiti murahan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 tidak lama lagi tetapi isu yang dibangkitkan biarlah relevan dan mengikut keutamaan,”jelas Faekah menerusi satu kenyataan media kepada TVSelangor hari ini.

Sebelum ini, Chua menerusi beberapa sidang medianya menuduh kerajaan Selangor melakukan penyelewengan RM1 bilion yang melibatkan syarikat Talam Corporation, sebuah syarikat awam yang dilanda masalah hutang.

Tidak cukup dengan tuduhan itu, Chua juga mendakwa kerajaan Selangor telah membeli tanah di Danau Putra yang 80 peratus diliputi oleh air dengan alasan untuk membuat taman tema Sunway, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang pembangunan.

Namun begitu, Abdul Khalid berkali-kali menyatakan bahawa cara terbaik untuk menjawab semua dakwaan yang dibangkitkan Chua adalah menerusi kertas putih yang sedang disiapkan Kerajaan Selangor.

“Mungkin Chua terlalu risau kerana masyarakat Tionghua semakin lupa akan kewujudannya sebagai timbalan menteri, ahli parlimen dan anak Presiden MCA sehinggakan beliau terpaksa mencari publisiti murahan dan menjengkelkan.

“Tetapi jika Chua terus berdegil untuk terus berdebat, beliau sepatutnya menyahut cabaran Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang telah berkali-kali mencabar beliau untuk berdebat,”katanya.

Dalam pada itu, Faekah turut menyarankan Chua untuk terlebih dahulu mendapatkan maklumat dan jawapan bagaimana BN boleh menyerahkan ribuan ekar tanah kepada Tan Sri Chan Ah Chai yang juga kroni MCA sebelum lantang mencabar kerajaan Selangor untuk berdebat.

“Beliau perlu menyoal bekas pemimpin utama MCA atau mungkin bapanya, Datuk Seri Chua Soi Lek boleh membekalkan maklumat dan berjaya memujuk bank memberikan ratusan juta hutang kepada syarikat kroni MCA itu.

“Bukan sahaja MCA, Chua juga patut menyoal pemimpin UMNO ketika itu mengapa terlalu cuai menyerahkan tanah dan projek kepada syarikat milik Chan Ah Chai,”jelasnya.

Sebagai rekod, Tan Sri Chan Ah Chai pada ketika itu merupakan Ahli Lembaga Pengarah anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang telah menyerahkan tanah dan projek kepada Talam.

Berdasarkan kronologi pendedahan ini, Faekah mempersoalkan adakah layak bagi Chua untuk mempertikaikan usaha Kerajaan Selangor mengutip semula hutang Talam yang lebih 10 tahun dibiarkan oleh BN.

“Mengapa beliau terlalu sibuk isu di Selangor sedangkan isu di bawah kementeriannya beliau tidak mampu pun bersuara.

“Isu penyelewengan dana NFC RM250 juta di bawah kementeriannya, Apa yang Chua lakukan?

“Beliau tidak mengambil tindakan yang boleh dibanggakan masyarakat Tionghua di negara ini,”tegas Faekah.

Categories
NASIONAL

Umno Perlu Perjelas Dasar Bukan Hasut Rakyat, Kata Anwar

PETALING JAYA 9 OGOS : Umno-BN kini memulakan kempen pelampau agama melalui akhbar Utusan Malaysia yang mendakwa haram dan berdosa menyokong DAP, dakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas Anwar, Umno-BN sepatutnya memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negara serta memperjelas dasar masing-masing dan bukannya memainkan sentimen agama dalam menghasut rakyat

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini menyebut jangan menggunakan agama demi kepentingan politik namun media Umno-BN terus menghebahkan hukuman untuk menyinggung kedudukan PAS.

“Kita memandang berat kempen ini yang dimulakan Umno menggunakan medianya Utusan termasuk menghukum haram dan berdosa untuk menyokong DAP kerana DAP tidak sokong negara Islam dan hudud padahal MCA juga tidak menyokong perkara sama.

“Bahkan Umno sendiri mengikut surat Dr Mahathir (Mohamad) kepada kerajaan Kelantan menolak kemungkinan melaksanakan hudud di Malaysia manakala pada 29 September 2011, Najib memaklumkan hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia selagi beliau menjadi Perdana Menteri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR.

Utusan semalam melaporkan, haram dan berdosa bagi umat Islam menyokong DAP yang menentang hukum hudud dan negara Islam berdasarkan kenyataan, Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa?amah.

Jelas Anwar lagi, Pakatan Rakyat tetap kekal dengan pendirian untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Islam kekal sebagai agama rasmi.

Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, laporan Utusan berkenaan jelas berbentuk hasutan yang tidak bertanggungjawab dan boleh menimpulkan konflik agama di negara ini.

Menurut beliau, satu laporan polis terhadap Utusan dibuat oleh pimpinan DAP di Perak dan Pulau Pinang berhubung perkara berkenaan.

“Isi kandungan (laporan Utusan), DAP menentang perlembagaan khasnya mengenai kedudukan agama Islam. Itu tidak benar. Pendirian kita adalah terima dan hormat peruntukkan Perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi.

“Pendirian kita tidak berubah Malaysia sebagai negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Sebenarnya kedudukan yang dibuat DAP tidak berubah dengan kedudukan yang dibuat oleh Perdana Menteri yang pertama Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

“Mereka sangat jelas menyatakan bahawa Malaysia mengikut Perlembagaan sebagai sebuah negara sekular tetapi sangat jelas Islam sebagai agama rasmi.

“Ini merupakan langkah terdesak segelintir pemimpin BN yang mungkin akan hilang kuasa. Adakah mereka ingin buat konflik agama di Malaysia? Perdana Menteri perlu minta Utusan hentikan (perkara ini),” ujar beliau.

Categories
NASIONAL

MB: Isu Talam, MCA Cari Publisiti Murahan

SHAH ALAM, 23 JUL : Kerajaan Negeri Selangor menyifatkan dakwaan MCA berhubung isu Talam Corporation Bhd (Talam) sebagai sengaja mencari publisiti murahan kerana ia tidak berasaskan fakta.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kenyataan yang dikeluarkan MCA seringkali berubah dan dengan jelas sengaja memburukkan imej Kerajaan Negeri.

Beliau dalam nada sinis turut mempersoalkan tindakan MCA yang hanya membuat penyelidikan ke atas akaun Talam, tanpa mahu mengkaji salah guna kuasa yang pernah dilakukan pimpinan Umno-BN sebelum ini.

“Fakta yang dikeluarkan MCA selalu berubah dan tidak konsisten. Kenyataan berhubung penyelewengan RM1 bilion itu juga sudah tiada, malah mula menurun.

“Sepatutnya MCA memberitahu kita berapa lagi hutang yang tidak dikutip kerana itu yang kita mahu. Saya ingin tahu berapa banyak lagi penyelidikan yang MCA boleh buat termasuk salah guna kuasa pemimpin Umno-BN dahulu,” katanya.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri juga sedang dalam proses menyiapkan laporan lengkap berhubung isu Talam sebelum dibentangkan pada Belanjawan 2013 pada November nanti.

Sebelum ini, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa kononnya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan sejumlah wang untuk menyelamatkan syarikat pembinaan Talam.

Namun, pada hari sama Tee Yong turut menyatakan bahawa Selangor menggunakan lebih RM260 juta untuk menyelamatkan syarikat itu melalui proses perakaunan rumit.

Beliau mendakwa, Pakatan Rakyat tidak menjelaskan perkara sebenar berhubung usaha memungut hutang melibatkan Talam sebelum ini.

Categories
NASIONAL

Nik Nazmi: Minta Polis Dedah Siapa Pemimpin PR Terbabit Pengganas

PETALING JAYA 21 JULAI: Pihak Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dicabar mendedahkan dakwaan mereka terdapat pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang terlibat dalam gerakan Jemaah Islamiah (JI) dan Komunis di negara ini.

Kegagalan polis berbuat demikian membuktikan dakwaan tersebut sengaja direka bagi membantu Umno-BN mempertahankan kuasa dalam pilihan raya akan datang.

“Kalau ada bukti sila dedahkan, kami pun nak tahu siapa individu terbabit, tetapi kalau tiada bukti mereka perlu minta maaf.

“Jangan jadi perkakas politik bagi Umno-BN, kena profesional atau kalau nak juga sertai politik boleh tanding atas tiket Umno dalam pilihan raya nanti,? kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat parti itu di Tropicana, Petaling Jaya.

Beliau yang juga merupakan Adun Seri Setia menyifatkan tuduhan tersebut merupakan tuduhan kitar semula yang digunakan sebelum ini akibat kedudukan Umno yang semakin terdesak.

?Umno sebelum ini tuduh kononnya DAP nak dirikan negara Kristian, jadi buat apa JI nak sokong DAP.

“Kenapa pula parti yang dituduh komunis seperti DAP mahu menyokong PAS, sedangkan Komunis tak percaya kepada tuhan, kenapa mereka nak sokong PAS?

“Memang tak masuk akal,? katanya lagi.

Nik Nazmi turut menyarankan agar polis menumpukan usaha membenteras jenayah yang semakin serius di negara ini dan bukannya menjadi mata dan telinga untuk Umno-BN.

“Tugas membenteras jenayah lebih utama, tetapi mereka utamakan untuk mengekori dan mengintip pergerakan pemimpin PR,” ujar beliau lagi.

Beliau turut menyelar sikap hipokrit Umno yang mendiamkan diri apabila parti MCA menjalinkan hubungan dengan pihak kerajaan komunis Korea Utara.

Nik Nazmi turut menempelak Pemuda Umno yang berbangga terhadap hubungan rapatnya dengan Pemuda Parti Komunis di China.

Categories
NASIONAL

Lee Boon Chye : Fahaman Perkauman Muhyiddin Tidak Lagi Relevan

SHAH ALAM, 19 JULAI : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menafikan slogan 1Malaysia apabila mengatakan MCA gagal memahami sentimen masyarakat Cina Malaysia.

Slogan 1Malaysia yang diuarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas gagal dengan apa diperkata Muhyiddin yang lebih menjurus kepada menjaga kepentingan sesuatu kaum mengikut parti dalam Umno-BN.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata kenyataan Muhyiddin juga memberi gambaran yang beliau menyalahkan MCA berikutan kehilangan sokongan daripada masyarakat Cina kepada Umno-BN pada 2008.

Lee menambah bukan hanya MCA, tetapi Muhyiddin sendiri tidak memahami hasrat dan kehendak masyarakat Cina hingga menyinggung perasaan mereka.

Malah katanya, politik perkauman yang diamalkan Umno-BN dan parti komponennya tidak lagi relevan pada masa kini.

“Corak kepimpinan Umno-BN dengan menjurus kepada menjaga kepentingan sesuatu bangsa mengikut parti sudah tidak boleh diterima lagi ketika ini.

?Seharusnya pemimpin atau wakil rakyat dipilih menjalankan tanggungjawab dengan menjaga kebajikan semua bangsa yang ada di negara ini.

“Inilah kesilapan Umno-BN yang selama ini mengamalkan politik perkauman hingga menyebabkan mereka lemah ketika ini,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Lee berkata demikian apabila mengulas kenyataan Muhyiddin yang menuduh MCA “tidak memahami” sentimen golongan Cina.

Menurut laporan media, Muhyiddin dalam mesyuarat agung Umno Bahagian Batu pada Ahad lalu, menuduh parti komponen BN ? khususnya MCA dan MIC ? gagal memahami sentimen golongan Cina dan India.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rugi Bawah BN, PNSB Jana Untung Bawah PR

SHAH ALAM, 18 JULAI: Rugi untuk empat tahun berturut-turut di bawah pentadbiran Umno-BN Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) mula mencatat keuntungan di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Setiausaha publisiti DAP, Tony Pua, PNSB mengalami kerugian selepas cukai berjumlah RM 0.9 juta pada tahun 2005, RM7.5 juta (2006), RM1 juta (2007) dan RM15.6 juta pada 2008.

“Selepas beralih kepada Pakatan, PNSB merekodkan keuntungan RM8 juta pada 2009, RM23.4 juta pada 2010 dan RM 28.4 juta pada 2011,” kata Pua semalam di petik daripada portal web Free Malaysia Today.

Berdasarkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),menunjukkan PNSB mempunyai jumlah aset berjumlah RM761 juta bagi tahun 2010 dan RM823 juta bagi tahun 2011.

Pada tahun 2008 dan 2009 PNSB masing-masing memiliki aset bernilai RM111 juta dan RM115 juta.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan Pengerusi Biro Profesional Muda MCA, Chua Tee Yong mengenai beban hutang yang terpaksa ditanggung PNSB ekoran pembelian tanah di Bukit Beruntung 2 dan Bestari Jaya dari Kerajaan Negeri.

Beritahunya lagi, berdasarkan laporan akaun PNSB tahun 2009, perbadanan itu dalam keadaan kewangan yang sihat, bebas hutang serta memiliki wang tunai dan simpanan tetap sebanyak RM76 juta.

Tony turut mengulangi cabaran kepada Chua untuk berdebat bagi membuktikan kebenaran tentang isu ini.

“Walaupun Chua menolak tawaran debat saya, saya berharap bahawa dia akan menimbang semula tawaran itu untuk membahaskan hutang Talam yang dia bangkitkan atau mungkin sekurang-kurang boleh mengajar saya tentang perakaunan yang sepatutnya,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Amaran Kepada MCA Henti Fitnah Isu Talam Atau Berdepan…

PETALING JAYA 13 JULAI: Pimpinan MCA diminta menghentikan fitnah berhubung isu Talam Corporation atau berdepan pendedahan perkaitan BN dengan syarikat berkenaan yang pernah menjadi anak emas Umno-MCA satu ketika dahulu.

Amaran keras ini diberikan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli memandangkan hutang Talam merupakan antara siri penyelewengan kerajaan Umno-MCA yang akhirnya terpaksa diselesaikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Katanya, sekurang-kurangnya 4,259 ekar tanah dipindahmilik kepada Talam Corporation di zaman pemerintahan BN sehingga mereka membiarkan syarikat berkenaan tidak membayar cukai tanah dan premium kepada Kerajaan Negeri selain tanah berkenaan dicagarkan oleh Talam Corporation kepada bank.

“Jumlah tanah dan harta yang dirampas dari Talam Corporation oleh pentadbiran Pakatan Rakyat mencecah RM648 juta. Dari jumlah berkenaan, RM292 juta digunakan melangsaikan hutang bank dan pemiutang lain untuk membebaskan tanah-tanah tersebut daripada gadaian.

“Hasil bersih berjumlah RM392 juta adalah bersamaan dengan hutang-hutang Talam Corporation yang akhirnya berjaya dikutip,” katanya.

Jelas beliau, kiraan ini sebenarnya cukup mudah namun Ketua Biro Profesional Pemuda MCA, Datuk Chua Tee Yong cuba untuk mengaburi rakyat.

Kerajaan Selangor sebelum ini memutuskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap MCA dan semua pihak yang terbabit terhadap tuduhan penyelewengan RM1 bilion berhubung isu Talam Corporation Bhd.

Sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan MCA boleh terus mengkritik penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) meskipun Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan fakta sebenar.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan saman terhadap MCA berhubung kes itu.