Categories
NASIONAL

Isu Air Selangor: MB Bidas NGO Tidak Pro Pengguna

 

SHAH ALAM, 2 JUL: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melahirkan rasa kesal dan hairan apabila terdapat segelintir Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mengambil pendirian yang merugikan pengguna air di Lembah Klang.

Sebaliknya menurut Abdul Khalid, segelintir NGO terbabit mengambil sikap menyebelahi syarikat konsesi pengurusan air di negeri itu untuk terus mengaut keuntungan melampau dari hasil industri air Selangor.

“Ini politik. Ada NGO kononya berjuang untuk mempertahankan kepentingan pengguna, tetapi mempertahankan kemahuan syarikat konsesi pengurusan air menaikan tarif air,” sukar untuk dipercayai.

“Saya beritahu kepada NGO, NGO berjuangan untuk pengguna jadi sewajarnya mereka berjuang untuk mendapatkan harga terbaik untuk pengguna.

“Tentulah ini ada yang tidak kena,” kata Abdul Khalid dalam sidang medianya selepas merasmikan Dialog Bajet Selangor 2013 hari ini di Hotel Grand Dorsett, di Subang Jaya.

Beliau juga menggesa agar rakyat Selangor membuat pilihan yang tepat dalam menentukan pihak yang mana layak diberi hak untuk mengurus air Selangor.

“Ia mudah, kalau rakyat mahukan tarif air naik hingga 75 peratus, pilih mereka, tetapi kalau mahu tarif air rendah pilih kami, itu sahaja, mudah,” katanya merujuk kepada pilihan yang bakal dibuat oleh pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Abdul Khalid juga memberi jaminan tarif air di Selangor tidak akan dinaikkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat kecuali tidak melebihi 12 peratus dalam masa lima tahun.

Categories
NASIONAL

Ayah Tahanan ISA Merintih Minta Anak Dibebaskan

KUALA LUMPUR 28 JUN : Perhimpuan membantah tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) di depan bangunan Parlimen pagi tadi menyaksikan ayah seorang mangsa merintih meminta anaknya Fadulah Razak dibebaskan segera.

Menurut Razak Mohd, beliau dimaklumkan anaknya ditahan kerana mengancam keselamatan negara dan dinafikan hak untuk membela diri di mahkamah.

Perhimpunan hari ini disertai lebih kurang 50 wakil dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan turut kelihatan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Datuk Mahfuz Omar dan Tian Chua.

Ia bertujuan mendesak kerajaan membebaskan tahanan ISA yang bertindak mogok lapar untuk hari kelapan dengan segera ekoran tahap kesihatan tahanan semakin merosot.

Razak ketika ditemui menggesa pihak kerajaan perlu mengambil serius perkara ini dengan tidak menyembunyikan fakta sebenar.

“Orang hanya tahu bahawa ISA sudah dimansuhkan tetapi kenapa ada tahanan lagi, ini seolah-olah pihak kerajaan hanya untuk mengaburi mata masyarakat yang hanya untuk piliharaya,” kata Razak.

Tambah Razak lagi, beliau mendesak pihak Kem Tahanan Kamunting (Kemta) agar memberi penjelasan sebab anaknya dikurung sejak ditahan sejak 2010.

“Saya pernah cuba untuk menghubungi pihak Kemta, tetapi seolah-olah mereka tahu saya yang menghubungi dan ia tidak berjawab,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata Pakatan Rakyat mendesak pihak kerajaan untuk mengeluarkan senarai penuh tahanan yang belum dan sudah dibebaskan pada kadar segera.

“Kita mahu pihak kerajaan agar konsisten dalam pemansuhan ISA. Perdana Menteri wajib menjawab perkara ini dengan tindakan mogok lapar oleh tahanan ISA kepada pihak keluarga,” kata Izzah.

Dalam pada itu pihak Sekretariat Gerakan Mansuhkan ISA (GMI),Syukri Razak berkata pihak Menteri Dalam Negeri disaran memberi jaminan bahawa tahanan yang melancarkan mogok lapar tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

“GMI menuntut agar pihak keluarga,peguam dan doktor akan diberi akses kepada tahanan tanpa sebarang halangan oleh pihak Kemta,” katanya.

Peserta himpunan aman itu juga menunjukkan lukisan penyeksaan yang dilukis sendiri oleh tahanan ISA.

Categories
NASIONAL

MB: Forum Bagi Pastikan Usaha Beri Air Percuma Di Teruskan

KLANG 15 JUN : Forum air Selangor pada 12 Jun lalu diadakan adalah untuk mencari jalan terbaik mengurus air bagi memastikan bekalan air bersih di Lembah Klang mencukupi untuk rakyat Selangor pada harga yang berpatutan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum itu juga turut membincang masalah bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu.

“Forum itu bukan untuk membuat keputusan seperti yang didakwa Kerajaan Pusat tetapi ia hanya perbincangan,” katanya yang mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa penganjuran forum mengenai isu air oleh Kerajaan Negeri Selangor itu dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah rizab air terawat yang semakin berkurangan di Selangor.

Malah kata Noh, forum sedemikian tidak mampu membawa penyelesaian kepada masalah air terawat di Selangor yang menyebabkan kerajaan pusat dan Syabas enggan turut serta dalam perbincangan tersebut.

Khalid berkata Kerajaan Negeri juga mempunyai sebab tidak memanggil pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

“Saya ada jawapan kenapa mereka tidak dijemput, hal ini kerana Syabas mempunyai kes mahkamah dan kita tidak mahu Syabas menyertai forum itu.

“Yang kedua, forum itu merupakan perbincangan bukan keputusan, perbincangan untuk mencari penyelesaian dengan golongan profesional dan Kementerian tidak mahu menyertainya kerana dikatakan bukan keputusan,” katanya.

Beliau berkata selepas ini, Kerajaan Negeri akan membawa hasil perbincangan itu kepada Kementerian dan jika pihaknya tidak bersetuju, Kerajaan Negeri akan membuat satu forum awam.

“Apa yang boleh dikatakan, daripada forum itu kita sudah ada keputusan dan akan dibentangkan kepada Kementerian.

“Jika selepas ini mereka tidak bersetuju kita akan adakan satu forum awam. Forum ini akan melibatkan rakyat dan semua pihak.

“Pihak Syabas juga boleh menghantar wakil untuk menjelaskannya kepada rakyat berkenaan keputusan mereka begitu juga dengan Kerajaan Negeri. Sesiapun boleh bercakap dalam forum itu nanti,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri juga tidak gentar dengan Syabas walaupun pihaknya tahu Syabas dan Puncak Niaga ‘membayar’ pihak itu kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyokong mereka.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk rakyat. Rakyat mahu harga yang berpatutan dan jika Kementerian tetap dengan pendirian mereka, kita bincang serta bagi mereka alternatif,” katanya.

Katanya kerajaan negeri akan terus memperjuangkan isu air bagai memastikan usaha pemberian air percuma kepada rakyat dapat di teruskan di masa akan datang.

Categories
NASIONAL

Umno-BN Monopoli Penggunaan Balairaya Di Sungai Burong

TANJONG KARANG, 10 JUN : Tujuan utama pembinaannya adalah untuk kegunaan semua pihak tetapi lain pula ceritanya di DUN Sungai Burong di sini apabila balairaya yang dibina dimonopoli pembangkang Umno-BN untuk agenda politik mereka.

Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Burong, Mohamad Judi Sarjo berkata, pihak pembangkang(Umno-BN) di Selangor harus memahami kerajaan mewujudkan kemudahan awam seperti balairaya adalah untuk kepentingan semua dan bebas digunakan apabila diluluskan pihak berkuasa.

Menurutnya, Umno-BN tidak sewajarnya menganggap balairaya tersebut seperti kepunyaan mereka kerana ia menyalahi peraturan dan undang-undang sedia ada.

“Setelah diadukan perkara ini, kita memandang serius mengenainya dan akan merujuk kepada Pejabat Daerah untuk reaksi seterusnya. Kita berharap semua pihak dapat bekerjasama dalam perkara ini demi kepentingan bersama.

“Balairaya itu boleh digunakan semua pihak seandainya dibenarkan untuk berbuat demikian,” katanya kepada SelangorKini.

Isu balairaya di Kampung Sungai Kajang Baru mendapat perhatian orang ramai apabila didakwa digunakan Umno-BN sejak sekian lama untuk kepentingan sendiri. Ia dikatakan satu-satunya balairaya yang ada di kampung itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung, Khairon Dahalan berkata, pihaknya kesal dengan apa yang berlaku kerana Umno-BN cuba memonopoli balairaya tersebut.

Dakwanya, sebelum ini beberapa program yang ingin dijalankan menghadapi kesulitan dan ada yang terpaksa dibatalkan berikutan tidak dapat menggunakan balairaya tersebut.

“Umno-BN perlu memahami bahawa balairaya itu dibina bukan untuk mereka. Ia kemudahan untuk semua. Tidak kiralah sama ada untuk badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain termasuk parti politik.

“Kita harap pihak berkuasa dapat mengambil langkah sewajarnya bagi penyelesaian isu ini,” katanya.

Khairon menjelaskan Umno-BN juga menyalahgunakan balairaya itu apabila memasang dan mengibarkan bendera parti di bangunan dan di sekitar kawasannya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Geran RM5 Juta Diperuntuk Pelihara Alam Sekitar

PETALING JAYA 5 JUN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM5 juta dalam ‘Geran Selangorku’ pada tahun ini bagi melaksanakan pemeliharaan dan aktiviti penjagaan alam sekitar di negeri ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, geran alam sekitar diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan dalam melaksanakan program yang dirancang berkaitan alam sekitar.

“Jadi fasa pertama, Kerajaan Negeri telah memberi lebih RM250,000 kepada NGO-NGO terbabit.

“Dalam senarai juga ada lagi 10 lagi permohonan dan pada masa terdekat kita akan menilai kesemuanya dan jika menepati kriteria maka Kerajaan Negeri akan meluluskannya,” kata Elizabeth dalam sidang media selepas penyerahan cek untuk projek dan aktiviti alam sekitar di sebuah hotel di sini.

Elizebeth berkata, Geran Selangorku yang dikhususkan kepada projek alam sekitar itu tidak terhad kepada NGO sahaja malah pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga dialu-alukan mengemukakan cadangan bagi mendapatkan geran itu.

 

“Kita juga menggalakkan sebagaimana JKKK Sungai Chua Kajang yang mempunyai program, di mana di peringkat akar umbi kita mahu memupukkan kesedaran awam di lingkungan orang kampung berkenaan penjagaan alam sekitar,” ujar beliau.

Tambah Elizabeth, sempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut 5 Jun (hari ini) dengan tema ‘Ekonomi Hijau’, Kita ada tanggungjawab yang berat kerana pembangunan di negeri Selangor ini dapat juga memenuhi kriteria-kriteria hijau dalam penjagaan alam sekitar,” kata Elizabeth.

Dalam majlis itu, Elizabeth menyerahkan geran kepada empat NGO dan sebuah JKKK yang masing-masing diterima oleh wakilnya.

Turut hadir dalam majlis itu, isteri Menteri Besar, Puan Seri Salbiah Tunut dan Isteri Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Pegawai Komunikasi, The Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Wong Pui May berkata, persatuan itu berharap dengan penerimaan geran itu akan meningkatkan usaha dalam penjagaan hidupan liar di negara itu.

“Dengan Geran ini,maka usaha pihak persatuan akan digiatkan dalam menyebarkan maklumat dan info berkenaan penjagaan dan pemeliharaan hidupan liar khususnya di Selangor dan memberitahu masyarakat tindakan yang boleh dilakukan dalam menjayakan usaha itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal Resource Stewardship Consultants Sdn Bhd (RESCU) , Lim Teck Wyn berkata badan itu dengan penerimaan geran itu akan menumpukan kepada projek pemeliharaan hutan melalui usaha penjagaan pokok kayu bakau.

“Kebanyakkan hutan asli telah dilindungi dan dijadikan hutan simpan tetapi masih ada hutan bakau yang ada diluar hutan simpan, maka kami ada projek untuk pemetaan hutan bakau yang akan dimasukkan ke dalam pewartaan hutan simpan yang belum dilindungi,” katanya.

Categories
SELANGOR

A Samad Said Akan Lancarkan Buku Terbaru di Himpunan Belia Selangor

SHAH ALAM, 23 MEI : Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said akan lancarkan buku terbarunya, “Puisi Jadi Senjata 2” dalam program Himpunan dan Konvensyen Belia Selangor 2012 di Kompleks Belia dan Sukan, Seksyen 7 pada Jumaat ini.

Selepas majlis pelancaranya pada jam 9 malam, selebriti terkenal tanahair dan Pengerusi Bersama Bersih 3.0 itu akan turut mendeklamasikan sajak dari bukunya tersebut.

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata program dari Jumaat hingga Sabtu itu dianjurkan melalui Bahagian Pembangunan Belia, Majlis Sukan Negeri Selangor memberi pengertian bermakna dengan tajuk utama “Anak Muda Penentu Kepimpinan dan Pemacu Pembangunan Selangor dan Negara”.

Katanya, pihaknya menganggarkan seramai kira-kira 2,500 orang belia dan beliawanis dari seluruh Selangor akan menghadirkan diri dalam program tersebut.

Menurutnya, penyertaan bagi program itu adalah dari seluruh belia dan beliawanis, Pengerusi dan ahli jawatankuasa Penggerak Belia Tempatan (PeBT), belia dari badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia serta kalangan mahasiswa dan mahasiswi.

“Pelbagai program dan pengisian telah direncanakan bagi memberi peluang belia dan beliawanis Selangor berhimpun dan berbicara mencambah pengalaman, berkongsi pengetahuan dan pendapat.

“Kerajaan Negeri yakin golongan belia yang akan meneruskan agenda perubahan dan kemajuan di Selangor ke arah membentuk sebuah negeri idaman yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

“Belia dan beliawanis merupakan barisan kepimpinan masa depan negeri harus diberi penuh pendedahan dan pendidikan sebagai pemimpin masa depan negeri seterusnya negara,” katanya.

Antara aktiviti dijalankan adalah persembahan muzik, kugiran serta teater jalanan selain penjualan makanan dan pasar lambak. Selain itu sesi forum dan konvensyen turut dijalankan melibatkan panelis dari pelbagai persatuan belia dan NGO.

Acara kemucak program adalah ucaptama Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu jam 9 pagi. Tetamu kehormat lain yang terlibat adalah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Categories
SELANGOR

AMALNITA Mendepani Isu Wanita

SHAH ALAM, 19 MEI : AMALNITA akan menjadi satu platform untuk memimpin dan menangani isu berkaitan wanita di Malaysia dengan melaksanakan pelbagai program kebajikan.

Justeru, AMALNITA singkatan kepada Biro Wanita dan Keluarga bernaung di bawah NGO Yayasan Amal Malaysia (AMAL) ditugaskan untuk mendekati dan membantu golongan wanita yang menghadapi pelbagai masalah.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, penjenamaan semula AMALNITA bertujuan untuk memudahkan disebut dan lebih dekat dalam mempamerkan prinsip perjuangan AMAL itu sendiri.

“AMAL mahu memperjuangkan amal kebajikan kepada seluruh penduduk di Malaysia dengan pelbagai bantuan kemanusian telah disalurkan termasuk pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” katanya sambil menyatakan Kerajaan Selangor menyokong penuh pertubuhan itu.

Beliau hadir bersama Presiden AMAL, Husin Ismail dan Adun Meru, Dr Rani Osman selaku Naib Presiden AMAL di Majlis Pelancaran AMALNITA di Kompleks PKNS pagi ini.

Jelas Dr Halimah yang menghargai peranan AMALNITA selama ini menumpukan kepada misi bantuan kemanusian terhadap mangsa-mangsa peperangan dan bencana alam di serata dunia.

“Wanita merupakan mangsa yang paling teruk terjejas dan tugas yang dimainkan oleh AMALNITA adalah untuk memikirkan keperluan, kesihatan dan emosi mangsa-mangsa terlibat,” katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeriĀ  memperkenal satu formula pendidikan di dalam program Spiritual, Physical, Intellectual, Emotional, Social (SPIES) dan formula tersebut bertujuan untuk melahirkan insan yang mampu menjaga diri sendiri dan meningkatkan keupayaan diri masing-masing seterusnya mampu memberi bantuan kepada orang lain.

“Program SPIES yang kita perkenalkan lebih menjurus kepada pembentukan insan yang baik dari segi spiritual dan selaras dengan motto AMAL iaitu beramal kerana Allah,” katanya lagi.

Majlis Pelancaran AMALNITA pagi ini dihadiri seramai 100 orang dan turut memberi beberapa anugerah kepada wanita-wanita yang menjadi contoh kepada masyarakat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

SHAH ALAM, 14 MEI : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

“Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

“Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

“Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya. Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir,” katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Categories
NASIONAL

AMK: Tiada Pemimpin Umno-BN Yang Layak Perintah Negara

SHAH ALAM, 25 APRIL: Pemimpin Umno-BN mahupun penyokong mereka melalui suara NGO tidak perlu menimbulkan polemik mengenai isu moral dan salah laku hanya kerana ingin menambah kebencian terhadap individu bernama Anwar Ibrahim di mata masyarakat sebaliknya menilai kembali status moral pemimpin mereka sendiri.

Tindakan lapuk dan ketandusan modal dalam usaha meraih kembali keyakinan rakyat yang semakin terhakis jelas menunjukkan kegusaran pihak lawan menjelang pilihanraya umum ke-13.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, tindakan ini mencerminkan hakikat sebenar pemimpin Umno-BN yang selama ini mempunyai rekod salah laku moral yang hanya disembunyikan demi menjaga kepentingan masing-masing.

“Kalau nak berbicara mengenai isu moral saya fikir pemimpin Umno jauh lebih hebat dari segi masalah moral dan sehingga sekarang belum dibawa ke mahkamah untuk dibersihkan. Seperti kes yang melibatkan Perdana Menteri berhubung isu pembunuhan wanita Monggolia, ini adalah isu-isu yang tidak dijawab dan dibawa ke mahkamah untuk satu proses pengadilan diberikan.

“Saya percaya dalam hal ini GAPS sekadar ingin mencuri perhatian terutamanya Datuk Seri Najib dalam usaha mencari slot dalam pilihanraya.

“Pemimpin GAPS adalah pemimpin yang sedang mencari-cari perhatian Najib kerana Umno sendiri tidak menerima mereka.

“Tambahan sekarang sesiapa yang bertindak menyerang Anwar akan diberi perhatian oleh Najib. Mereka-mereka ini sedang menggadai harga diri untuk mengampu Najib,” katanya.

Semalam, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan beberapa NGO lain menyerahkan satu memorundum kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang bagi mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat kerana di dakwa terlibat dalam salah laku moral.

“Orang-orang ini tidak perlu dilayan kerana kalau dilayan akan menaikkan saham mereka di mata Najib. Biarkan mereka melalak menyalak bukit,” kata beliau

Beliau percaya, perkara ini tidak akan memberikan sebarang kesan memandangkan usaha sebegini telah dilakukan sejak dahulu dan sehingga kini mereka masih gentar dengan kebangkitan rakyat yang semakin menolak Umno-BN.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee: Usaha BERSIH Wajar Dipuji, Tak Perlu Sekat

Siri Wawancara Bersama Dr Maszlee Malik (siri akhir)

SHAH ALAM, 23 APR: Usaha NGO BERSIH 2.0 dalam menuntut pilihan raya yang telus dan adil wajar mendapat pujian masyarakat kerana kempen mereka adalah untuk kebaikan negara dan generasi akan datang.

Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata BERSIH 2.0 juga harus diberi kebebasan seperti yang termaktub dalam perlembangaan untuk menyuarakan kempen mereka.

“Kita patut puji orang-orang yang melakukan yang kita katakan usaha BERSIH ini kerana mereka melakukannya bukan hanya sekadar untuk diri mereka sahaja.

?Tetapi untuk seluruh masyarakat Malaysia dan bukan untuk waktu ini malah untuk masa akan datang.

“Apabila kita melihat adakah tidak ada cara lain BERSIH menyuarakan pendapatnya.

“Ya, BERSIH merupakan gabungan masyarakat sivil pertubuhan-pertubuhan NGO, individu-individu dan saya yakin banyak terdapat aktor bukan politik seperti peguam, orang seni dan lain-lain di dalamnya,? kata Dr Maszlee ketika diwawancara TVS baru-baru ini.

BERSH 2.0 merancang untuk mengadakan himpunan ke-tiga pada Apr 28 ini bagi mendesak kerajaan pusat untuk mengadakan pilihanraya telus dan bebas dari manipulasi.

Selain itu, menurut Dr Maszlee, memilih mengadakan rapat umum bagi menyuarakan pendapat mereka juga bukanlah sesuatu yang wajar untuk dijadikan isu.

Berliau berkata BERSIH 2.0 atau mana-mana pihak dalam negara ini mempunyai hak untuk berbuat demikian selaras dengan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Tak kiralah BERSIH atau isu lain, demontrasi iaitu hak bersuara atau mengemukakan pendapat, hak untuk berkumpul dijamin dalam artikel 10 perlembagaan persekutuan.

“Saya yakin tidak kiralah apa pun isunya ia menjadi hak kepada mana-mana individu, mana-mana warganegara yang bertanggungjawab untuk menyuarakan pendapat mereka berdasarkan kebebasan berpendapat selaras dengan peruntukan perlembagaan,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Negeri PR Mungkin Tidak Sertai PRU-13 Jika Isu Daftar Pemilih Masih Gagal

KUALA LUMPUR, 18 APR : Negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) berkemungkinan besar tidak akan menyertai Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) sekiranya ia diadakan dalam tempoh terdekat ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan itu berikutan rasa tidak berpuas hati dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang masih gagal membersihkan senarai daftar pengundi di seluruh negara yang diragui kesahihannya.

Menurutnya, biarpun perkara itu secara terperinci sudah dikemukakan ahli jawatankuasa di dalam Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihanraya (PSC) dan dibentangkan untuk dibahaskan namun jawapan yang diterima masih hambar.

“Kita amat kesal bahawa janji SPR untuk membersihkan nama daftar pengundi belum dilakukan dan nampaknya ada usaha untuk meneruskan cara kaedah penipuan yang amat dikesalkan. Kita bagi contoh umpamanya sehingga Disember 2011 di Selangor sahaja ada pertambahan hampir setengah juta pengundi baru. Dengan 398,300 pengundi, yang pindah masuk lebih 91,000 jadi jumlahnya 489,705. Ini merupakan 35 peratus undi di Selangor sahaja yang dilihat bukan isu penambahan tetapi unsur penipuan.

“Sekiranya pilihanraya ini diadakan dalam masa terdekat kemungkinan besar negeri di bawah Pakatan tidak akan turut serta terutamanya Selangor,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, Pakatan mahu menunggu daftar pemilih itu benar-benar bersih di mana SPR mengadakan perbincangan dengan Pakatan dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Myanmar sendiri sudah berubah dengan pembersihan daftar pengundi serta pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi dibenarkan berucap di dalam media.

“Dalam kategori ini maknanya Malaysia lebih parah daripada Myanmar,” katanya.

Mengenai Bersih 3.0 pada 28 April di Dataran Merdeka, katanya, pihaknya menyerus semua pemimpin dan ahli parti gabungan Pakatan hadir beramai-ramai bagi menyatakan sokongan terhadap gerakan dianjurkan NGO itu.

“Kita menyeru supaya semua hadir beramai-ramai di Dataran Merdeka pada 28 April ini bagi menyatakan sokongan walaupun parlimen dibubarkan sebelum ini. Kita tetap sokong perhimpunan Bersih 3.0,” katanya di majlis sidang Media di Parlimen petang tadi.

Turut bersama di majlis sidang media tersebut, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Categories
NASIONAL

Guan Eng: P.Pinang Tidak akan Naikkan Tarif Air

SHAH ALAM 18 APR : Kerajaan Pulau Pinang berjaya mencatatkan pengurangan penggunaan air domestik sebanyak 6 liter per kapita untuk tahun lalu dan ia merupakan penurunan yang pertama semenjak tahun 2004.

Jumlah itu, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, adalah jauh daripada sasaran yang ditetapkan pada tahun 2011 dan ia merupakan pencapaian yang membanggakan.

“Badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkata bahawa Pulau Pinang mengalami penggunaan air tertinggi kerana Pulau Pinang menikmati tarif air yang terendah dan tidak menghargai air.

“Tetapi di atas kertas, kita mencatatkan penggunaan air domestik (3.2 bilion liter) kepada 285 l/p/d pada tahun lalu dan ini jauh ketinggalan dalam penggunaan purata negara sebanyak 203 l/c/d.

“Ini juga lebih baik dari sasaran yang ditetapkan iaitu 233 l/c/d,” jelas Guan Eng dalam kenyataan medianya bersama Pengerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Kerajaan Pulau Pulau tidak berhasrat untuk menaikkan tarif air demi memastikan rakyat terus menikmati tarif air terendah di Malaysia.

“Walau bagaimanapun, WCS (Surcaj Pemuliharaan Air) mungkin akan dinaikkan jika tiada pengurangan ketara dalam penggunaan air.

“1.6 juta rakyat Pulau Pinang digesa untuk menggunakan air secara lebih bijak di rumah dan sekiranya tidak berbilion ringgit diperlukan untuk membina sumber air baru, takungan dan stesen pam serta meletakkan tambahan paip bagi memastikan air dapat disalurkan kepada semua,” tambah Guan Eng.

Tarif air domestik Pulau Pinang iaitu purata sebanyak RM0.31 bagi setiap 1,000 liter untuk 35,000 liter pertama sebulan adalah yang terendah di Malaysia.

Sebelum ini, NGO telah mengkritik Kerajaan Negeri kerana enggan menaikkan tarif air dan juga berkata bahawa Surcaj Pemuliharan Air (WCS) yang dikenakan ke atas mereka yang telah membazirkan air adalah tidak mencukupi.

Oleh itu, PBAPP memperkenalkan Surcaj Pemuliharaan Air (WCS) sebanyak RM0.24 untuk setiap 1000 liter bagi penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan untuk membendung pembaziran air domestik.