Categories
SELANGOR

JP-PADAT bincang isu Kerajaan era BN jual tanah Orang Asal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 SEPT: Pada tahun 1999, Kerajaan Negeri di era Barisan Nasional (BN) memutuskan menjual tanah di Kampung Orang Asal Bukit Tunggal kepada sebuah syarikat pemaju untuk dibangunkan sebagai Bukit Unggul Golf Resort.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) Berhubung Perwartaan Tanah dan Penempatan Orang Asli di Negeri Selangor, Mohd Shafie Ngah berkata, keadaan itu menyebabkan proses mewartakannya sebagai kawasan tanah adat Orang Asli tergendala.

“Kita dapat maklum balas hari ini, puncanya adalah data kepunyaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) tidak spesifik seperti yang terdapat di Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan ini meninggalkan kesan kepada cadangan kerajaan untuk mewartakan tanah Orang Asal.

“Bila gagal diwartakan, Orang Asal mengatakan Kerajaan Negeri tidak bertanggungjawab, sedangkan yang menjadi punca masalah ini adalah data pihak JAKOA tidak konsisten kerana kita perlu mendapat persetujuan mereka,” kata Mohd Shafie.

SHAFIEBeliau berkata demikian selepas mempengerusikan Pendengaran Tertutup JP-PADAT berhubung isu perwartaan tanah / penempatan orang asal di Negeri Selangor di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Beliau berkata, JAKOA seharusnya mengambil langkah proaktif untuk turun padang bagi mendapatkan jumlah keluasan sebenar, keluasan yang diguna pakai, jumlah keluarga Orang Asal untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa peringkat negeri.

Katanya, Orang Asal di kawasan terbabit turut menolak pampasan yang ditawarkan dan menuntut supaya hak mereka dihormati.

“Jawatankuasa melihat perkara ini penting, harus dihormati dan pihak JAKOA mesti bertanggungjawab kerana mereka adalah jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan Orang Asal.

“Saya jangkakan kami akan bentangkan satu penyata di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada sesi November ini yang perkara dasarnya hak Orang Asal perlu dijaga dan dihormati,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelbagai program sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 1 OKT: Sebanyak 15 program dilaksanakan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2016.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, penganjuran program diharap mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan institusi muzium dalam pembangunan masyarakat.

Katanya, ia juga sebagai usaha menyantuni masyarakat dan memberi peluang kepada orang ramai mengenali muzium dengan lebih dekat.

“Kita mengambil inisiatif menganjurkan sambutan secara bergilir-gilir di semua muzium di negeri ini.

“Tahun ini, kita memilih Muzium Sejarah Kuala Selangor sebagai lokasi bertuah,” katanya ketika Majlis Perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Selangor di sini, hari ini.

kpeMajlis disempurnakan Exco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Sambutan bermula pada 20 September lalu dengan program ‘Muzium ke Sekolah’ (School Attack) di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Sungai Buloh, Bukit Rotan.

Program lain termasuk Bengkel Permuziuman (Model Making Workshop), Pertandingan Seni Khat Jawi Kanvas, Jom Makan Nasi Ambeng, Eksplorasi Bukit Malawati dan Ceramah Perdana.

Selain itu, terdapat juga persembahan ‘Lestari Budaya dan Warisan’, Jom Teropong Angkasa, Jom Naik Rumah Api, Larian Muzium dan Bengkel Permuziuman (Taksidermi) serta Kembara Muzium.

Pengunjung juga berpeluang mengunjungi pameran dan gerai cekur Padat serta pelbagai agensi lain.

-AA-

Categories
SELANGOR

Usaha kekalkan permainan tradisional

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 15 OGOS: Pertandingan gasing pangkah yang berlangsung di Kampung Bukit Kapar, di sini bertujuan memastikan kelangsungannya sebagai salah satu permainan tradisional di Selangor.

Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) dalam kenyataannya, berkata penganjurannya bagi mempopularkan kembali permainan tradisional itu supaya setanding dengan permainan moden yang muncul pada masa kini.

“Kejohanan ini juga berperanan melahirkan lebih ramai pelapis muda bagi pemain gasing pangkah terutamanya dalam kalangan warga muda.

“Ia adalah pertandingan permainan tradisional kedua di peringkat Selangor,” katanya berkenaan Kejohanan Gasing Pangkah Terbuka Selangor 2016 yang diadakan selama dua hari.

Ia disertai 50 regu dari Selangor, Pahang dan Johor.

Sebelum itu, Padat menganjurkan pertandingan permainan tradisional pertama iaitu Pertandingan Wau Kapal Terbuka Selangor pada 31 Julai lalu.

PADATSelain pertandingan gasing pangkah, katanya, turut diadakan majlis sambutan 100 tahun pembukaan Kampung Bukit Kapar.

Pertandingan terbabit dirasmikan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Dr Abdul Rani Osman manakala penyampaian hadiah oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Mohd Faizul Fitri Muslil.

Pertandingan itu dijuarai regu Bukit Kapar D (Selangor) yang membolot wang tunai RM1,800 manakala naib juara, Bukit Desak A (Pahang) (RM1,300) dan ketiga, Kuala Medang B (Pahang) (RM700).

-AA-

Categories
SELANGOR

Silang Budaya meriahkan Muzium Sultan Alam Shah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 MEI: Orang ramai dijemput mengunjungi Muzium Sultan Alam Shah sempena program ‘Silang Budaya’ bermula 11 Mei hingga 9 Jun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program julung kali itu bertujuan mempromosi persembahan kebudayaan tradisi dari enam negeri menerusi pameran bergerak.

Katanya, ia akan bermula di Perak, Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Kedah dan berakhir di Pulau Pinang.

YUNUS HAIRI“Menariknya program ini berkonsepkan pertukaran budaya di mana setiap negeri terlibat akan menonjolkan budaya mereka di setiap lokasi.

“Ini pastinya dapat mendekatkan seni budaya kepada masyarakat kita yang mungkin kurang mengenali keistimewaan budaya negeri lain,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Silang Budaya di Muzium Sultan Alam Shah yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Mohd Faizul Fitri Muslil.

Program anjuran bersama PADAT dengan Persatuan Muzium Malaysia itu antara lain memuatkan persembahan kebudayaan Ghazal Party (Pulau Pinang), Wayang Kulit Asun (Kedah), Tarian Dabus (Perak), Gambus (Kuala Lumpur), Muzik Campuling (Selangor) serta Zapin Johor (Johor).

Antara aktiviti di Muzium Sultan Alam Shah adalah Sembang Dabus pada 18 Mei, Ketuk-ketuk Campuling (25 Mei) dan persembahan kebudayaan lain.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web PADAT di www.padat.gov.my.

-AA-

Categories
SELANGOR

Budaya dan Warisanku himpun pelbagai seni warisan

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 20 NOV: Orang ramai dijemput memeriahkan Temasya PADAT: Budaya dan Warisanku anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT, yang akan berlangsung hingga 22 November ini.

Program selama tiga hari itu diadakan bagi mencetus minat masyarakat terhadap warisan dan budaya khususnya warga Selangor yang bertempat di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

SeniTemasya itu akan menghimpunkan pelbagai seni warisan seperti silat, tarian, masakan tradisional Selangor, pakaian dan permainan tradisional dan muzik cempuling.

Turut disediakan gerai jualan, bengkel, pertandingan tarian piring, motosikal klasik, pakaian tradisional dan wow kapal, dam aji, sepak raga bulatan serta congkak.

Program akan dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Maklumat lanjut boleh menghubungi unit korporat PADAT 03-55190050 atau layari laman sesawang rasmi di www.padat.gov.my.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Masyarakat ‘dahaga’ artifak unik, PADAT harus main peranan

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 JUN: Program dan pameran berterusan wajar dijalankan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bagi menarik minat orang ramai mengunjungi muzium di Selangor.

PADAT perlu menjalankan promosi supaya masyarakat tempatan dan luar mengetahui akan sejarah dan khazanah bangsa dimiliki Selangor, bahkan muzium harus dijadikan destinasi kunjungan utama.

faizulMohd Faizul Harun, 33, dari Subang Jaya, berkata dengan pendekatan itu muzium yang ada seperti Muzium Sultan Alam Shah akan lebih diketahui dan mendapat perhatian umum.

“Saya yakin dengan cara ini muzium akan dikunjungi orang ramai tidak terhad ketika diadakan program tertentu seperti Hari Muzium Antarabangsa.

“Persembahan seperti tayangan mini teater juga boleh dibuat secara kerap supaya menimbulkan minat orang ramai untuk datang mengetahui sejarah dan kelebihan Selangor,” katanya kepada Selangor Kini.

Kamal Ibrahim, 45, dari Perak, berkata keunikan bahan koleksi berharga seperti artifak unik dan kelebihan sejarah yang ada di Selangor perlu ditonjolkan PADAT secara meluas supaya negeri itu menjadi tumpuan ramai.

kamal“Saya yakin dengan segala kelebihan dimiliki, Muzium Sultan Alam Shah dan muzium lain di Selangor akan menjadi kunjungan umum dari semasa ke semasa.

“PADAT boleh menjalankan aktiviti kemasyarakatan termasuk pendedahan sejarah Selangor bagi terus memupuk minat masyarakat terutama di kalangan anak muda,” katanya.

Selain Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, Selangor mempunyai enam muzium lain iaitu Muzium Timah (Gedung Raja Abdullah) Klang, Muzium Pertanian dan Perikanan (Sabak Bernam), Muzium Sejarah (Kuala Selangor), Muzium Permainan Tradisional (Kuala Selangor), Muzium Insitu Jugra dan Istana Bandar di Kuala Langat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pameran permainan antik serata dunia sehingga 31 Disember ini

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 DIS: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) menganjurkan “Pameran Nostalgia Permainan Kanak-kanak: Keseronokan Bermain dan Berfikir” sempena cuti persekolahan bermula 4 November hingga 31 Disember ini.

Pegawai Komunikasi Korporat, Farhani Shamsudin berkata, antara tarikan menarik pameran yang diadakan di Muzium Sultan Alam Shah itu adalah kira-kira 1000 koleksi alat permainan antik yang dihasilkan sekitar tahun 1919 hingga 1970-an.

IF8A3711Katanya, semua alat permainan yang dipamerkan adalah koleksi peribadi seorang peminat barangan antik, Mohamad Mohd Taib yang dikumpul, sejak 35 tahun lalu.

“Objektif utama penganjuran pameran ini adalah bagi mempamerkan keunikan alat permainan antik yang jarang-jarang sekali dapat diperolehi di Malaysia yang mana kebanyakannya didatangkan dari negara luar seperti Belanda, German, Belgium, dan England dan lain-lain.

“Antara tarikan utama pameran ini adalah alat permainan gerabak keretapi lama yang dihasilkan sebelum perang dunia ke-2 serta koleksi landasan keretapi miniatur yang disusun seolah-olah seperti laluan keretapi yang terdapat di sebuah pekan kecil dilengkapi dengan gerabak dan stesen keretapi, bangunan, pokok, kereta dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pameran itu adalah sebahagian daripada program sempena sambutan 25 tahun Muzium Sultan Alam Shah dan ia mensasarkan kunjungan daripada masyarakat umum terutamanya golongan kanak-kanak dan pelajar.

IF8A3720Pameran itu dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut kategori alat permainan iaitu bangunan minatur, gerabak dan kepala keretapi, kenderaan seperti kereta klasik, lori, motorsikal, basikal dan bot.

“Selain itu, terdapat juga koleksi anak patung, alat permainan di dalam rumah, komponen enjin dalam permainan, alat telekomunikasi dan lain-lain,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pameran itu, orang ramai boleh boleh lawati laman sesawang  PADAT di www.padat.gov.my atau hubungi unit korporat PADAT di 03-55190050.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kembali Sihat, Menteri Besar Menghabiskan Masa Melawat Muzium, Memanah

mb istana bandar 23 jun memanah 01

KUALA LANGAT 22 JUN : Setelah dilanda insiden terlelap beberapa saat ketika di sidang media semalam, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini kelihatan kembali sihat dan bersemangat menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Beliau ditemui di Majlis Perasmian Program Temasya Adat dan Warisan sempena Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Istana Bandar di sini pagi tadi.

mb istana bandar 22 jun 03

Mengulas insiden berkenaan yang turut disiarkan di media perdana malam tadi, Abdul Khalid mengakui mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkannya terlelap.

“Kadangkala memang berlaku begitu kerana kesihatan, namun saya akan pastikan ianya tidak akan berlaku dalam persidangan DUN (Dewan Undangan Negeri).

“Sudah pasti dalam persidangan DUN, saya akan menumpukan sepenuh fokus dan perhatian terhadap perbincangan dan usul yang dibahaskan,” jelas Abdul Khalid.

Terdahulu, beliau menyempurnakan upacara simbolik perasmian majlis dengan memanah belon sebelum dibawa melawat ke ruang pameran di dalam istana.

Beliau yang juga Adun Pelabuhan Klang itu kemudiannya berpeluang menyaksikan beberapa demonstrasi pelbagai jenis silat dan permainan tradisional gasing, walaupun di bawah sinaran panas matahari.

Setengah jam kemudian, beliau turut meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran dan bermesra dengan hadirin sebelum dipelawa untuk menjamu makanan tengah hari yang disediakan secara gotong royong oleh penduduk kampung.

mb istana bandar 22 jun 05

Turut hadir dalam majlis pagi tadi ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr. Ahmad Yunus Hairi yang juga Pengerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).

Mengenai insiden terlelap itu, Ahmad Yunus, yang merupakan seorang doktor perubatan, menjelaskan bahawa Menteri Besar mengalami masalah kekurangan tenaga semalam.

“Dia (Abdul Khalid) tidak mengambil sarapan pagi semalam. Sebab itu badannya tidak mempunyai gula dan tenaga yang mencukupi, hingga menyebabkannya terlelap,” jelas Adun Sijangkang itu.

Semalam, Abdul Khalid dilaporkan terlelap seketika ketika sidang media diadakan sejurus selesai Majlis Upacara Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri.

 

Categories
SELANGOR

Program Bertemu Pelanggan: Rapatkan Hubungan Kerajaan Negeri Dan Rakyat

Mohamad Khusrin Munawi potong 01

KLANG, 13 APRIL : Bagi memudahkan orang awam mendapatkan informasi, perkhidmatan, khidmat nasihat, pertanyaan dan aduan secara terus, satu program bertemu pelanggan diadakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK).

Program yang berlangsung bermula 12 April hingga 14 April itu diadakan di Aeon Jusco Bukit Tinggi yang bermula pada jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sebanyak 13 jabatan dan agensi mengambil bahagian dalam program itu, antaranya Pejabat SUK bahagian Koporat, Pejabat Daerah Tanah Klang, Tabung Warisan Anak Selangor, Perbadanan Adat dan Warisan Negeri (PADAT) dan Jabatan Pertanian negeri.

Turut mengambil bahagian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri dan Tourism Selangor serta lima badan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terdiri daripada Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Klang, Ampang Jaya, Sepang dan Majlis Daerah Kuala Langat.

Bahagian Urusetia SUK memaklumkan pihaknya menyasarkan kira-kira 1, 000 pengunjung akan hadir di program itu.

Serentak dengan program itu juga turut berlangsung program Jejak Inovasi negeri bagi tahun 2013.

Program terbabit merupakan salah satu program di bawah gerak kerja pembudayaan inovasi dalam perkhidmatan awam negeri.

Ia diadakan sebagai program perintis dan sokongan kepada perlaksanaan Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi negeri yang akan diadakan pada November depan.

” Lima PBT itu menyertai pameran inovasi terbabit. Antaranya mereka mempamer produk-produk inovasi, aktiviti interaktif, demonstrasi dan pertunjukkan produk inovasi dan pendaftaran terbuka Rakan Inovasi Selangor (RAINS), ” katanya.

Pengunjung, Norhafizah Selamat, 32, berkata cara pendekatan turun padang bertemu dengan pelanggan merupakan cara terbaik untuk memudahkan pelanggan.

” Dengan cara ini, memudahkan kita daripada datang sendiri ke pejabat. Mungkin kita sebagai pelanggan mempunyai aduan, pertanyaan atau sebagainya untuk dikongsi dengan mereka, jadi dengan cara ini lebih memudahkan,” katanya.

Program itu dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi.

Categories
SELANGOR

Teater Tattoo Gestapo suntik kesedaran bahaya dadah

SHAH ALAM, 31 OKT : Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negari Selangor akan mementaskan teater bertajuk Tattoo Gestapo di Free.Space@Kakiseni di SS Two Mall, Petaling Jaya pada 22-25 November ini.

Teater itu diarahkan oleh Wan Azli Wan Jusoh yang pernah mengarahkan Filem Budak Kelantan yang menimbulkan fenomena pada 2008.

Wan Azli yang mesra di panggil Wae pernah mengarah teater yang kemudiannya dibawa ke filem oleh Nam Ron, Agi Ni Jadi Jjaha? (2006), Supertui! Dan Transit Kaler Magenta (2006), Cikgu Mizi (2006) dan Asrar (2010) juga Asrar2 (2011).

Exco Kebudayaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail akan menaja separuh daripada kos pementasan tersebut dan seterusnya menjadi salah satu program kesedaran rakyat Negeri Selangor mengenai risiko pengedaran dadah dan hukuman mati.

Wae bersama Rumah Anak Teater kini memulakan latihan pementasan teater itu yang dianggotai pelakon Benjy, Pekin Ibrahim, Azman Hassan dan pelakon baru Doul.

Rumah Anak Teater memilih beliau untuk mengarah Teater Tattoo Gestapo atas kewibawaan beliau selama ini dan telus dalam membawa sesuatu naskah itu.

Sebelum ini, Teater Asrar 2 yang dipentaskan pada 2011 juga ditaja sepenuhnya oleh PADAT dan Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Selangor.(PADAT).

Produksi ini adalah hasil dan projek Rumah Anak Teater atau dikenali sebagai RAT Production iaitu sebuah kumpulan yang diasaskan oleh Nam Ron untuk penggiat seni persembahan.

Teater ini mengisahkan tentang kehidupan dan konflik dalam masyarakat, ia berkisar cerita mengenai dilema banduan-banduan dalam penjara yang akan dijatuhkan hukuman mati.

Categories
SELANGOR

Generasi Muda Perlu Terus Warisi Tradisi Permainan Kompang

SHAH ALAM, 30 OKT : Seni Kompang yang menjadi salah satu budaya kesenian masyarakat Melayu di negara ini perlu dikekalkan agar warisan ini tidak pupus ditelan kemajuan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata, Negeri Selangor perlu mempunyai identiti cara permainan kompangnya yang tersendiri agar keunikan itu dapat dijelmakan dalam kepelbagaian seni permainannya di negara ini.

Katanya, beliau akan terus mendukung usaha aktiviti-aktiviti memartabatkan budaya kompang ini agar terus berkekalan menjadi identiti unik masyarakat Melayu.

Malahan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) disaran terus melaksanakan aktiviti penulisan dan pendokumentasian berkaitan budaya kompang agar dapat dimanfaatkan oleh semua.

“Diharap kita dapat terus berusaha memartabatkan seni kompang ini supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

“Melalui bengkel ini diharap peserta dapat menimba ilmu dan bukan sekadar program sekali sahaja dan dapat diperkembangkan ke peringkat daerah-daerah di negeri Selangor supaya dapat menghidupkan budaya kompang,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 peserta Bicara Seni Kompang Tradisi Melayu yang diadakan di Dewan Raja Lumu Muzium Sultan Alam Shah di sini.

Turut hadir dalam majlis itu Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar.

Dr Yunus juga berkata, tradisi pembuatan kompang juga perlu dihidupkan oleh generasi muda agar dapat memupuk semangat mencintai kesenian Melayu disamping memperkembangkan permainan itu di peringkat yang lebih luas.

“Kita mahu terus menghidupkan kebudayaan masyarakat Melayu yang juga sebagai alat perpaduan masyarakat.

“Diharap selepas ini lebih ramai anak-anak muda dan juga belia terus dapat memainkan kompang dan bukan hanya orang-orang veteran,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Penjawat Awam Perlu Motivasi Diri Untuk Cemerlang

SHAH ALAM 10 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya memotivasikan diri secara berterusan agar pembangunan negeri terus rancak membangun.

Mengambil contoh buku yang berjudul ‘The Seven Habits Of Highly Effective’ oleh Stephen R.Covey, Abdul Khalid menyarankan penjawat awam supaya mengikut saranan tujuh perkara dalam buku itu.

Antaranya, bersikap proaktif, bermula di akhir fikiran, mendahulukan yang penting, berfikir dengan adil dan saksama, berusaha untuk memahami, bekerjasama dan berusaha memperbaiki kelemahan diri.

Beliau berkata perkara terbabit digalakkan diikuti supaya penjawat awam mempunyai jati diri dalam usaha meningkatkan keupayaan diri.

“Kita mesti ingat bahawa negeri ini merupakan pemangkin pembangunan negara daripada pelbagai sumber pendidikan, pembuatan, perkhidmatan dan sebagainya.

“Oleh itu, ia tanggungjawab kita jika kita mahu Malaysia terus membangun. Buka fikiran kita, kita bukan hanya mentadbir dengan baik tetapi memberi ruang besar untuk pembangunan negara,” katanya dalam ucapannya di perhimpunan bulanan penjawat awam di SUK.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan negeri (PADAT), Azlina Azman.