Categories
NASIONAL SELANGOR

Pekawanis anjur program Pencarian Keluarga Harmoni

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 3

KLANG 28 OKT : Keluarga yang harmoni dan holistik serta mempunyai nilai jati diri yang kuat dan teguh adalah diperlukan bagi meneruskan kejayaan sesebuah masyarakat.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menganjurkan program Pencarian Keluarga Harmoni khusus bagi masyarakat di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 1

Program itu bertujuan bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat supaya menghargai dan menjaga kebersihan, keindahan persekitaran rumah serta meningkatkan ilmu pengetahuan perusahaan bermula daripada rumah bagi menambah pendapatan keluarga.

Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut, berkata pertandingan ini memfokuskan kepada ciri-ciri nilai sejagat seperti jujur, amanah, ikhlas, saling hormat menghormati, berkasih sayang, bekerjasama, bertanggungjawab serta penghayatan jati diri yang tinggi sesama keluarga.

“Setiap keluarga yang terlibat dalam pertandingan ini perlu melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, bersama memakmurkan usaha menaik taraf sosio-ekonomi setempat dan kawasan persekitaran tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 4

Beliau berkata demikian di program perasmian program itu di Dewan Orang Ramai Hamid Tuah MPK, Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Ehsan Mukri, isteri-isteri Adun, serta lebih 300 orang masyarakat setempat.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata, program pembangunan keluarga adalah sangat diperlukan bagi menentukan kejayaan sesebuah masyarakat itu.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 2

Katanya, sokongan semua pihak terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperlukan bagi membantu usaha itu demi kemakmuran semua rakyat khususnya di Selangor.

“Program pembangunan keluarga adalah sangat diperlukan untuk kejayaan, dalam keadaan ini, itu sebabnya kita mesti sabar dan buat program yang teratur.

“Untuk itu saya meminta PBT Klang untuk menunjukkan kesediaan dalam menyokong usaha ini, antaranya meningkatkan kebersihan di kawasan itu, betulkan semua longkang yang tersumbat dan sebagainya,” katanya.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 5

-EZY

Categories
SELANGOR

41 waris DUN Ijok terima SMUE fasa ke-2

dr-idris1

dr-idrisBESTARI JAYA, 27 OKT : Seramai 41 orang waris Skim Mesra Usia Emas (SMUE) menerima baki bayaran khairat kematian RM1500 yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok, Dr Idris Ahmad.

Bayaran ini merupakan fasa ke-2 skim itu dan diberikan dalam satu majlis kecil di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ijok.

Dr Idris berkata, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk menyampaikan bantuan kepada mereka yang berhak tanpa mengira perbezaan politik, agama dan warna kulit.

“Pilihanraya sudah berlalu, sekarang masa meneruskan kecemerlangan membantu kebajikan dan meningkatkan taraf hidup rakyat walaupun ada sesetengahnya berbeza parti politik,” kata beliau.

Untuk rekod dari April hingga September 2013, 85 kematian didaftarkan dan bayaran RM1,000 telahpun diserahkan kepada keluarga waris.

Justeru beliau menyeru agar mana-mana pihak yang masih belum mendaftar dengan program MES untuk tampil segera berbuat demikian.

“Kalau ada yang belum mendapatkan bantuan SMUE, Tawas dan sebagainya, boleh datang ke pejabat saya ini. Ada permasalahan rakyat,kita boleh berbincang. Datanglah berjumpa saya,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan SMUE yang berlangsung di Pusat Rakyat Dun Ijok.

Menjelang sambutan Deepavali, seramai 30 orang miskin dan Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan wang tunai RM100 daripada Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) yang disampaikan Mariah Abdul Karim, isteri kepada Adun Ijok.

Seorang penerima Michael a/l Rayappen, 51, melahirkan rasa terharu dengan bantuan itu.

“Dari pembentangan belanjawan 2014 semalam mereka (Kerajaan) banyak yang menipu rakyat.Baru 5 bulan berlalu selepas pilihanraya, rakyat dapat hadiah pelbagai kenaikan harga.Dulu kata nak bagi BRIM RM1000, tak disebut pula.

“Tapi, lihatlah Selangor, dari kecil sampai tua dan mati, rakyat tetap dibantu,ini yang kami (rakyat) suka,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Abdul Khalid : Tubuhkan suruhanjaya bagi tingkatkan keupayaan kerajaan

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat perlu menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk melaksanakan kajian agar kos pentadbiran dan birokrasi dalam kerajaan dapat dikurangkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia perlu kerana didapati setiap tahun terdapat kenaikan perbelanjaan kerajaan dan pada masa yang sama tidak menunjukkan hasil peningkatan.

“Belanjawan ini masih menunjukkan bahawa cara dan strategi bajet Kerajaan BN masih berada di tahap yang lama.

“Oleh sebab itu kita perlu mengkaji semula bagaimana bukan sahaja hasil dapat ditingkatkan tapi kos dan perbelanjaan dapat disekat daripada banyak meningkat,” kata Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Parlimen di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sehingga pendapatan rakyat dipertingkatkan dan berlakunya pengagihan kekayaan negara dengan adil.

“Jadi kalau kos sudah lima peratus dapatan kerajaan hanya bertambah satu peratus, Kalaupun kita nak laksanakan, kita punya kadar mesti untuk meningkatkan pendapatan bukan untuk pengurusan GST,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tujuh projek baru Selangor bernilai RM38.22 bilion

khalid dunSHAH ALAM 25 OKT : Ekonomi Selangor dijangka terus berkembang melalui tujuh projek pembangunan membabitkan tanah seluas 3,771.81 hektar dengan nilai perbangunan kasar dianggarkan berjumlah RM38.22 bilion.

Tujuh projek pembangunan itu sudah diluluskan Majlis Perancangan Fizikal Negara membabitkan tanah milik kerajaan dan swasta yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam satu mesyuarat, pada 17 Oktober lalu.

Projek pembangunan yang dirancang itu membabitkan pembangunan bercampur di Bandar Bukit Raja, Kapar (Sime Darby), pembangunan bercampur di Rawang (Kundang Properties), resort golf 18-lubang di Batang Kali (Mines Gold & City Sdn Bhd) dan pembangunan bercampur di Beranang, Hulu Selangor (Riverside Hills Sdn Bhd).

Selain itu, antara projek lain adalah projek perumahan dan komersil di Dengkil, Sepang (Tristar Acres Sdn Bhd), projek perumahan di Semenyih, Hulu Langat (UEM Land Berhad) dan pembangunan semula kawasan Institut Penyelidikan Getah Malaysia di Sungai Buloh (Kwasa Ldn Sdn Bhd).

Jabatan Perancangan Bandar dam Desa dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES), semalam turut mengesahkan sebanyak 85,415 unit rumah akan dibina melalui pembangunan terbabit untuk didiami 403, 700 orang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri akan terbabit secara aktif dalam projek berkenaan kerana  memberi kesan yang besar dan faedah secara langsung kepada rakyat.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat mingguan itu turut mengarahkan kakitangan kerajaan dan agensi negeri memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi persekutuan yang terbabit dalam pembangunan projek berkenaan.

Abdul Khalid berkata, syarikat air yang akan dilantik kerajaan negeri selepas penstrukturan semula air diselesaikan akan memainkan peranan penting bagi membekalkan air bersih secara cekap sebagai perkhidmatan utama kepada penduduk di kawasan baru berkenaan.

“Kerajaan Selangor sangat komited untuk menyelesaikan penyusunan semula industri air dan berharap pengambilalihan ini selesai, akhir tahun ini seperti yang ditetapkan menteri.

?Pasukan kami terdiri daripada kumpulan profesional yang pakar dan berpengalaman dalam pengurusan air bersedia. Tugas mereka yang pertama adalah mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW),? katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pagi ini.

Categories
SELANGOR

Pelajar Sekolah Sri Cempaka lawat DUN Selangor

hannah yeoh pc syabas 02SHAH ALAM 25 OKT : Seramai 60 murid dan tiga guru Sekolah Sri Cempaka, Subang Jaya, mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Kunjungan berkenaan disambut Speaker DUN merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh, pada sesi lawatan yang bermula kira-kira jam 11.30 pagi itu.

Rombongan berkenaan dibawa melawat Dewan Selcat dan murid yang berusia 14 hingga 17 tahun amat teruja apabila memasuki dewan berkenaan.

Hannah kemudian memulakan sesi lawatan dengan ucapan penerangan berkenaan tanggungjawabnya sebagai speaker wanita pertama di sidang DUN dan julung kalinya di Malaysia.

Beliau turut mendedahkan tanggungjawab dan tugas sebagai Speaker dan ADUN, sebelum kumpulan murid terbabit dibawa melawat tempat persidangan DUN dan Hannah turut memberi penerangan berkenaan proses perbahasan berlansung.

Mereka kemudian dibawa melawat gambar sidang DUN sejak awal pertubuhan hingga kini dan mengambil foto kenangan, selain diberi peluang berinteraksi serta mengambil tandatangan Hannah yang dianggap sebagai lambang wanita berjaya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang bergerak selangkah perkukuh demokrasi

Kerajaan PR Selangor dan P

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor dan P.Pinang yang bergerak selangkah lagi memperkukuhkan demokrasi dalam radar pentadbiran mereka.

18 September lalu Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan secara prinsipnya peruntukan kepada ADUN pembangkang di Pulau Pinang (baca : Barisan Nasional) dan lanjutan kelulusan Mesyuarat Exco ini akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri P.Pinang 2014.

Manakala 10 Oktober lepas Kerajaan PR Selangor pula mengumumkan elaun khas dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Bagi SAMM ini usaha berani dalam memperkukuh dan mendidik erti demokrasi sebenar di Malaysia namun memahami dalam searah panjang penindasan dalam menterjemah sistem demokrasi ala Barisan Nasional tentu tindakan seperti ini sukar diterima oleh beberapa pihak dalam PR itu sendiri.

Namun jika kita bercakap soal demokrasi matang, inilah masa terbaik menunjukkan PR berbeza dengan politik penindasan Bn. Kita lihat selama ini bagaimana wakil rakyat PR khususnya ahli parlimen dinafikan hak untuk berkhidmat kepada rakyat dengan satu sen pun peruntukan tidak disalurkan melalui wakil rakyat PR yang diangkat dengan undi rakyat.

Kini satu tamparan hebat buat ADUN Bn di Pulau Pinang. Adakah mereka mahu menerima peruntukan yang diberikan kepada mereka walaupun mereka pembangkang ?

Jika mereka menerima maka mereka memperakui bahawa amalan Kerajaan Bn di negeri lain dan Bn peringkat Pusat sendiri adalah salah dengan tidak menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang diangkat oleh rakyat atau jika menolaknya maka mereka akan terus dikenang dengan politik kepartian sempit dan mereka tidak boleh mengeluh lagi depan pengundi mereka yang mereka tidak ada peruntukan.

Melalui Kerajaan Pulau Pinang, PR membuktikan bahawa pertembungan parti politik hal yang lain tetapi dalam urus tadbir negeri demokrasi maka pilihan rakyat harus dihormati dan PR Pulau Pinang telah mengiktirafnya.

Jawatan Ketua Pembangkang dalam dewan (sama ada dewan rakyat atau dewan undangan negeri) amat penting. Namun sejak merdeka Malaysia tidak pernah menghormati seperti mana negara – negara demokrasi matang mengiktiraf jawatan tersebut.

Kerajaan PR Selangor mengorak langkah apabila memberikan elaun khas RM8,260 sebulan dengan perbagai keistemewaan lain kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dengan ini jawatan yang juga diangkat melalui proses demokrasi suara rakyat ini boleh digunakan untuk sama membangunkan negeri. Ketua pembangkang boleh punya sebuah pejabat yang efisyen lengkap dengan pegawai penyelidik yang cukup dan mampu untuk membahaskan dan membuat teguran membina kepada kerajaan negeri yang akhirnya menguntungkan rakyat.

Persoalanya kini juga muncul adakah Ketua Pembangkang yang datang dari Bn di Selangor menerima elaun dan keistimewaan tersebut atau dia menolak dengan pemikiran politik kepartian sempit.

Jika menerimanya juga maka dia mengakui sendirinya bahawa adalah amalan yang salah apabila Kerajaan Pusat dan Negeri dibawah Bn menidakkan peranan Ketua Pembangkang di dewan yang diangkat oleh rakyat.

Seharusnya beginilah politik negara dibawa kepada persaingan polisi dan persaingan dalam penambahbaikan yang akhirnya memperkukuh demokrasi dan menguntungkan rakyat.

Besar harapan SAMM ingin melihat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan yang menjadikan perkataan ‘transformasi’ sebagai zikirnya tiap hari dalam membentangkan Buget 2014 Jumaat ini mampu benar benar menyambut langkah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang.

Langkah ini juga positif dan semua harus bergerak dalam memperkukuh demokrasi dengan mengiktiraf peranan ahli parlimen PR dengan mengambil kira penyaluran peruntukan melalui mereka yang dipilih rakyat dan mengangkat peranan Parlimen Malaysia dengan mengiktiraf keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Malaysia.

Jika tidak zikir ‘transformasi’ itu akan terus menjadi retorik bahan ketawa mainan dalam dan luar negara.

Badrul Hisham Shaharin
Solidariti Anak Muda Malaysia

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Tindakan terhadap pegawai kerajaan negeri jika bersalah kes seksual

Kes Seksual

SHAH ALAM 23 OKT: Tindakan tegas akan diambil terhadap ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang berdepan dakwaan seksual termasuk diarah melepaskan jawatan jika polis mendapati individu itu bersalah.

Dipetik Malaysia Kini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri sedang memantau kes seksual itu dan kerajaan Selangor tidak campur tangan dalam siasatan polis.

“Kita mesti bersikap adil. Jika ia adalah satu laporan jenayah, maka polis, perlu bertindak mengenai dalam perkara itu kerana kerajaan tidak mempunyai kapasiti untuk menyatakan ia satu kesalahan.

“Kami sedang memantau situasi ini. Kami mahu mengenal pasti hak individu bagi mempertahankan kedudukan mereka,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Shah Alam petang ini.

Khalid juga mengarahkan Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim untuk mengambil tindakan bersesuaian jika individu itu didapati bersalah atas tuduhan.

“Ini kerana kita perlu memberi hak yang adil kepada ahli majlis. Sekiranya (kejadian seperti didakwa benar-benar berlaku), maka kerajaan negeri akan mengarahkan beliau melepaskan jawatannya,” katanya.

Kata Khalid, ahli majlis itu buat masa ini masih menghadiri majlis rasmi kerana belum terbukti bersalah dan kes berkenaan masih dalam siasatan.

Categories
SELANGOR

Penghantaran memorandum, MB amal sikap terbuka dan telus

khalidSHAH ALAM 23 OKT : Penghantaran memorandum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan memberikan tekanan kepada pentadbiran beliau dan kerajaan negeri.

Abdul Khalid berkata, beliau terbuka untuk menerima memorandum daripada pelbagai pihak dan sebelum itu sudah menerima banyak memorandum yang dihantar kepadanya dan kerajaan negeri.

Katanya, beliau mengamalkan sifat terbuka, telus dan bertanggungjawab supaya pembangunan serta pengurusan dana kerajaan negeri diurus dengan baik.

“Saya terbuka dengan memorandum yang dihantar daripada pelbagai pihak. Untuk isu tanah, saya sudah terima lebih 170 memorandum dan itu adalah lumrah bagi setiap pemimpin.

“Kerana mengamalkan pentadbiran telus dan terbuka, saya perlu menjawab bukan sahaja kepada rakyat dan pembangkang negeri tetapi kepada rakan ‘sepasukan’,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, teguran dan saranan yang dikemukakan daripada ADUN, Ahli Parlimen dan rakyat adalah budaya baru di Selangor.

“Adakala, ADUN dan Ahli Parlimen menulis surat individu kepada saya dan menerimanya yang mewakili kumpulan dan kawasan mereka serta NGO yang disertai.

“Semua pihak harus sedar, keputusan kita tidak 100 peratus betul, tetapi disebabkan kita menerima ketelusan maka kita perbetulkan apa yang silap,” katanya.

-NFN-

Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Caves mula operasi di Taman Amaniah

Amirudin1SHAH ALAM 23 OKT: Dalam usaha menjamin kepentingan masyarakat Taman Amaniah Mulia dan kawasan berhampiran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari, membuka Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di kawasan terbabit.

Amiruddin berkata, pejabat baru yang terletak berhampiran belakang Masjid Jamek Taman Amaniah dan bersebelahan Pasaraya Speedmart 99 itu juga bakal memberi keselesaan golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk berurusan, berbanding perlu menaiki tangga di lokasi sebelum ini.

Katanya, pembukaan pejabat baru itu diharap dapat melicinkan lagi perkhidmatan beliau terhadap penduduk di kawasan itu.

“Justeru, saya harap dengan pertukaran lokasi ini akan memudahkan masyarakat setempat untuk hadir berurusan dengan kami, terutama warga emas dan OKU kerana terletak di aras bawah,” katanya selepas Program Ziarah Korban di Taman Jasa Utama, baru-baru ini.

Beliau berkata, pejabat PKM itu akan beroperasi dari Isnin hingga Khamis bermula jam 9 pagi hingga 5 petang kecuali pada waktu rehat iaitu jam 1 tengahari hingga 2 petang, manakala Jumaat pula dari jam 9 pagi hingga 12.30 tengahari, sebelum dibuka semula pada jam 2.30 petang.

“Persetujuan menggunakan pejabat yang asalnya adalah Dewan Masyarakat itu diperolehi hasil perbincangan antara saya dan Persatuan Penduduk,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

PR muafakat pertahan kemenangan DUN Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menzahirkan permuafakatan dalam mempertahan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pendirian itu dilihta melalui permuafakatan pemimpin PKR yang berkampung di Sungai Limau mulai semalam untuk memberi sokongan penuh kepada calon PAS, Azam Samad, pada hari penamaan esok.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman antara pemimpin yang menyertai ceramah perdana dan majlis pengumuman calon di Markas Utama PAS Jerai, malam tadi.

Menurut laporan Keadilan Daily, Azmin bersama Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung bergandingan dalam program Ramah Mesra Bersama Aktivis dan Anggota Cabang Alor Setar dan Kuala Kedah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut serta dalam program itu adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Program berkenaan diteruskan di Kampung Setia Jaya, Sedaka, Yan dengan pelancaran Bilik Gerakan Utama PKR Negeri dan jentera parti yang turut dihadiri Adun Bakar Arang, Simon Oii, kira-kira jam 5 petang.

Esok mereka juga sepakat akan berarak ke Pusat Penamaan di Pejabat Daerah Yan bagi mengiringi Azam, sebelum berkempen selepas itu. -NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor sasar 35,000 unit RMM dalam lima tahun

iskandar speech red RMM 02

SHAH ALAM 22 OKT: Kerajaan Selangor mensasarkan pembinaan sebanyak 35,000 unit rumah mampu milik (RMM) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka, Iskandar Abdul Samad, berkata kerajaan akan menambah bilangan rumah mampu milik dengan membinanya melalui Housing & Development Board (HDB) atau membeli rumah mampu milik sedia ada dan diletakkan di bawah HDB.

Beliau melalui laman HarakahDaily berkata, peruntukan RM450 juta yang disasarkan membabitkan pembinaan 5,000 hingga 7,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun berkenaan.

“Daripada keseluruhan projek syarikat swasta dan anak syarikat kerajaan negeri, kita mensasarkan 35,000 unit rumah mampu milik dibina di Selangor dalam tempoh berkenaan.

“Kita tidak jual semua unit berkenaan kerana sebahagiannya akan disewakan kepada rakyat yang tidak mampu membeli rumah,” katanya.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri memfokuskan kepada syarikat swasta dengan meletakkan syarat perlu membina rumah mampu milik, pada penggal pertama pemerintahan Pakatan Rakyat.

“Masalah perumahan ini bukan dari segi harga rumah tetapi pendapatan rakyat yang rendah. Jadi untuk menampung bilangan mereka yang tidak mampu membeli rumah, kita akan wujudkan rumah untuk disewa seperti ‘council home’,” katanya. -NFN-

Mangsa Kebakaran Terharu Terima Bantuan ADUN

SAMSUNGBATU CAVES 22 Okt: Mangsa kebakaran di Kampung Laksamana, dekat sini, melahirkan rasa terharu atas keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amiruddin Shari, yang menyalurkan bantuan kepada mereka.

Mangsa, Adiani Abu Akmal, berkata ketika kejadian kebakaran itu berlaku sekitar jam 3 petang, dia dan keluarga tidak berada di rumah kerana menghadiri kenduri kahwin, sebelum dimaklumkan jiran menerusi panggilan telefon.

Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan dua buah rumah dan yakin punca kejadian disebabkan kilang besi buruk yang beroperasi berdekatan kawasan perumahan terbabit.

?Saya ada minta ganti rugi daripada kilang berkenaan, namun pengurusannya enggan dan menuduh punca kebakaran disebabkan anak saya, tetapi kami tidak ada di rumah ketika kejadian itu berlaku,? katanya pada majlis bantuan daripada Pejabat ADUN Batu Caves yang disampaikan Jawatankuasa Penduduk Zon (JKP) 8, Zuhudi Ahmad, di sini, semalam.

Adiani berkata, kerugian yang ditanggung lebih RM50 ribu dan dia sudah membuat laporan polis bagi proses tuntutan ganti rugi daripada kilang yang tidak mempunyai nama itu.

Amirudin-ShariAdiani berkata, mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu.

“Saya juga ada meminta bantuan UMNO Cawangan Kampung Laksamana, namun sangat terkilan dan kecewa keraba permohonan tidak dipedulikan mereka.

?Sehingga kini, saya hanya menerima bantuan ehsan daripada Ketua Kampung dan ADUN Batu Caves. Dengan sumbangan diberikan dapat membantu saya membeli barang keperluan dua anak yang masih bersekolah.

Sementara itu, Amiruddin yang melawat kawasan kebakaran mengucapkan takziah kepada semua mangsa atas musibah yang menimpa dan meminta kilang yang didakwa menjadi punca kebakaran itu disiasat. -NFN-