Categories
NASIONAL SELANGOR

K-Pop: Jawatankuasa perlu ambil tanggungjawab bersama

Tony Pua Wancara 01

KUALA LUMPUR 22 OKT : Isu perbelanjaan RM1.6 juta bagi membayar artis K-Pop tidak harus ditanggung bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerana keputusan itu dibuat secara bersama membabitkan penubuhan jawatankuasa.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata pihak bertanggungjawab tidak boleh mengelak daripada kesalahan mereka dengan mengalihkan tanggungjawab kepada keputusan jawatankuasa.

Beliau berkata, jika benar keputusan berkenaan diputuskan secara jawatankuasa tanpa sebarang pimpinan daripada sesiapa, tindakan perlu diambil ke atas semua ahli yang mengambil bahagian dalam jawatankuasa terbabit.

“Jawapan kementerian menunjukkan pihak jawatankuasa yang membuat keputusan untuk menjalankan konsert terbabit pada Hari Belia walaupun tiada sebarang komitmen kukuh diberikan pihak penaja.

“Ini adalah satu keputusan tidak bertanggungjawab dan tindakan disiplin atau surcaj perlu diambil,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, kerajaan akan terus dipersalahkan dan tidak serius dalam menangani isu terbabit jika pihak swasta yang kononnya berjanji untuk menaja program itu tidak dihukum.

Katanya, maslaah sama akan terus berlaku membabitkan kementerian yang menyebabkan peruntukan bajet setiap tahun tidak dipatuhi dan memerlukan belanjawan tambahan untuk membiayai perbelanjaan melampau.

Beliau berkata, kementerian bertanggungjawab juga perlu mendesak supaya kos dikembalikan kepada kerajaan memandangkan syarikat yang terbabit untuk menaja konsert memberikan komitmen kukuh, sebelum acara berlangsung.

“Jika syarikat swasta itu enggan menerima keputusan ini, kerajaan perlu ambil tindakan mahkamah ke atas mereka kerana janji mulut juga boleh dikuatkuasakan.Kementerian akan dilihat sengaja mencipta alasan untuk mengelakkan kesalahan, jika tindakan tidak diambil kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Sehubungan itu, Pua yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyokong tindakan Shabery untuk memberi penjelasan secara siaran langsung dan mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat Parlimen Perkara 85 diubahsuai supaya hasrat Shabery itu dapat direalisasikan. -NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Cemerlang SPM DUN Sementa terima hadiah istimewa

Dr Daroyah Alwi pelajar cemerlang

SHAH ALAM 22 OKT : Pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa bakal menerima hadiah istimewa.

ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi, berkata ganjaran yang dijanjikan itu sebagai peransang kepada calon SPM untuk berusaha dan fokus dalam menghadapi peperiksaan yang akan berlangsung, pada November ini.

Katanya, ganjaran itu akan diberikan kepada pelajar seluruh DUN berkenaan yang berjaya mendapatk keputusan A untuk semua mata pelajaran.

“Sesiapa pelajar SPM dari DUN Sementa tidak kira bangsa Melayu, India atau Cina yang berjaya mendapatkan keputusan A untuk semua mata pelajaran, perlu berjumpa saya untuk mendapatkan hadiah istimewa yang dijanjikan itu.

“Selepas keputusan SPM dikeluarkan nanti, mereka boleh terus pergi ke Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sementa untuk memberi butiran terbabit dan kejayaan mereka akan diraikan.

“Sebagai ADUN, kejayaan yang mereka kecapi adalah kebahagiaan saya dan dorongan ini diharap bakal memotivasikan mereka serta membakar keazaman yang tinggi untuk terus berusaha demi mencapai apa dicita-citakan,? katanya dalam ucapan penutup bagi program Seminar Fastrack SPM 2013 di Dewan Kuliah, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), baru-baru ini.

Seminar satu hari anjuran Biro pendidikan dan PKM DUN Sementa itu turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, G Manivanan dan berjaya mengumpulkan kira-kira 120 calon SPM dari seluruh sekolah kawasan berkenaan di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata inisiatif kerajaan negeri meluluskan peruntukan bagi melaksanakan PTRS terbabit dilihat sangat relaven dan bijak.

“Bukan semua keluarga mampu menghantar anak mereka mendapatkan kelas tuisyen. Dengan adanya PTRS, kita dapat membantu mengurangkan beban mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Pendidikan generasi muda pelapis negara adalah keutamaan kepada kerajaan negeri demi melahirkan modal insan cemerlang yang akan menyambung legasi kejayaan di Selangor,? katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Program basmi kemiskinan bandar MPSJ berjaya tingkat pendapatan peserta

MB MPSJ 01

SUBANG JAYA 21 OKT: Langkah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengadakan program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PKB) menunjukkan perkembangan positif apabila hasil kajian mendapati pendapatan purata peserta program terbabit meningkat.

Hasil kajian MPSJ terhadap peserta program terbabit mendapati jumlah purata pendapatan bulanan mereka meningkat kepada RM1,153 berbanding kira-kira RM793 sebulan sebelum menyertai program berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata program itu wajar diteruskan dan dicontohi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain, sekali gus meningkatkan taraf hidup serta pendidikan keluarga peserta program.

MB MPSJ 02

“Usaha ini wajar dicontohi PBT lain kerana kita mesti cari jalan bagi membantu mereka tingkatkan pendapatan seperti ibu tunggal. Anak setiap peserta PBT pula, perlu kita pantau supaya mereka mendapat pendidikan sempurna,” kata Abdul Khalid dalam Majlis Anugerah Kesejahteraan Masyarakat Bandar MPSJ 2013 di Hotel Sunway Resort & SPA, di sini, semalam.

Program PKB membabitkan kelas bimbingan dan latihan kemahiran bagi membantu penduduk kawasan pentadbiran PBT terbabit meningkatkan pendapatan sampingan keluarga dengan menjual barangan yang mampu diusahakan secara kecil-kecilan tetapi memberi impak positif kepada mereka.

Antara latihan yang disediakan termasuk bengkel jahitan, jahitan manik, membuat tudung saji berhias, membaiki komputer, usahawan jambu, penyediaan kek cawan, penyediaan kek dan roti serta Program Kembali Ke Sekolah.

MB MPSJ 04

Pada 2009, MPSJ menyediakan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan program terbabit dan jumlahnya ditambah kepada RM300,000 sejak 2010 sehingga sekarang.

Pada majlis sama, pengusaha perniagaan jahitan manik, Noor Ashikin Ramli dan pengusaha tudung saji berhias, Rabitah Yusuf dianugerahkan Peserta Kesejahteraan Masyarakat Bandar MPSJ 2013.

Noor Ashikin berkata, bengkel jahitan manik itu memberi manfaat dalam mempelbagaikan rekaan jahitan yang menarik, sekali gus menarik minat pelanggan untuk membeli.

Sementara itu, Rabitah pula berkata, dia tidak menyangka perniagaan tudung saji berhias yang diusahakan secara kecil-kecilan mampu menjana pendapatan yang memuaskan untuk keluarganya.

Penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan harian yang bernilai RM100 kepada 20 anak-anak yatim, ibu tunggal dan golongan kurang berkemampuan turut diadakan pada majlis berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : 3 juta rekod tanah ganti sistem fail elak penipuan – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 21102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor berjaya merekodkan sejumlah tiga juta fail pemilikan tanah di negeri itu kepada sistem digital berkomputer bagi memastikan sistem penyimpanan dan pencarian yang lebih efektif.

2. Kerajaan Negeri akan melaksanakan Skim Bantuan Khas Orang Kelainan Upaya (OKU) sebagai galakan kepada golongan itu supaya mampu berdikari meningkatkan taraf hidup lebih baik.

3. Belanjawan Alternatif 2014 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan fokus kepada usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

350 penduduk Sementa terima baucer Jom Shopping

Jom Shopping Deepavali

KLANG 20 OKTOBER : Seramai 350 penduduk di Dun Sementa menerima bantuan baucer Jom Shopping Deepavali, di pasaraya Econsave Persiaran Hamzah Alang, di sini.

Program terbabit dilaksanakan menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut bulan depan yang merupakan kesinambungan program Jom Shopping yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Rata-rata penerima teruja dan gembira dengan pemberian daripada Kerajaan Negeri itu.

Penerima, K.Kanniama, 51, berkata pemberian itu dapat menampung perbelanjaan dapur semasa perayaan.

“Saya ini daripada keluarga yang susah, kesihatan pun tidak begitu memuaskan, jadi saya sangat-sangat berterima kasih,” katanya ketika ditemui.

Bagi P.Alaki, 55, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berusaha membantu golongan berpendapatan rendah.

“Walaupun dengan jumlah macam sedikit, tapi sekurang-kurangnya kami sekeluarga gembira dengan pemberian ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi berkata pihaknya bercadang untuk meminta baucer lebih daripada Kerajaan Negeri ekoran permintaan yang tinggi.

“Kawasan saya merupakan kawasan India yang ramai dan juga ramai yang berpendapatan rendah. Ramai yang memohon, kami terpaksa memilih sedangkan ramai yang layak.

“Jadi, saya akan panjangkan perkara ini sebelum Deepavali. Mungkin kita boleh gunakan baucer daripada Dun yang tidak habis menggunakan pemberian ini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : 3 juta rekod tanah ganti sistem fail elak penipuan

MB_yellow

SHAH ALAM 20 OKT : Kerajaan Selangor berjaya merekodkan sejumlah tiga juta fail pemilikan tanah di negeri itu kepada sistem digital berkomputer bagi memastikan sistem penyimpanan dan pencarian yang lebih efektif.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata melalui kaedah ‘Bank Tanah’ itu masalah kehilangan dan kesukaran mencari fail hak milik tanah dapat diatasi malahan kini dapat mencarinya dengan pantas dan tepat.

Abdul Khalid berkata, sistem itu yang dilaksanakan sejak setahun lepas juga turut membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti tanah yang dimiliki dan juga merancang pembangunan tanah dengan lebih baik.

“Sekarang kita dapat mengetahui jumlah sebenar tanah yang dimiliki Kerajaan Negeri yang sebelum ini tidak diketahui,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Tanah dan Perbandaran Kebangsaan yang diadakan di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini.

MB_yellow 2

Abdul Khalid berkata, pengurusan tanah menggunakan amalan sistem fail diubah kerana tidak menguntungkan rakyat dan membuka ruang berlakunya penipuan.

“Fail sebanyak tiga juta itu sudah diletakkan di Stadium Shah Alam, jadi hilang fail sudah tidak ada dan kita dapat tahu lebih cekap.

“Kita terbuka dan telus dalam isu pemilikan tanah. Semua orang berhak tahu siapa pemilik tanah. Kerana itu rekod pemilikan tanah sangat penting,” kata beliau.

Kira-kira 300 orang hadir dalam konvensyen itu yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sidang Media bersama Hannah Yeoh

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk PJS 9 keliru pertukaran poskod baru

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 1

SUBANG JAYA 18 OKT: Penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS) 9 keliru dengan perubahan poskod yang dikeluarkan Pos Malaysia bagi kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pos Malaysia, awal bulan ini, poskod baru untuk kawasan Subang Jaya yang turut membabitkan PJS 9 dan PJS 11 adalah 47500.

Perubahan itu berlaku disebabkan pecahan kawasan Pilihan Raya yang menetapkan kawasan PJS 7, PJS 9 dan PJS 11 yang terletak di kawasan Bandar Sunway berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 4

Sementara itu, kawasan Desa Mentari yang membabitkan kawasan PJS 8 dan PJS 10 pula berada di bawah DUN Seri Setia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Mohamad Noor, berkata beliau keliru dengan perubahan poskod berkenaan apabila kad pengenalannya masih menggunakan poskod 46150 di bawah kawasan Subang Jaya, manakala poskod sama yang tercatat dalam lesen memandu didaftarkan dalam kawasan Petaling Jaya.

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 2

“Perubahan baru kepada poskod 47500 Subang Jaya ini bakal membebankan penduduk sekitar terutama dalam urusan alamat surat menyurat,” katanya pada sidang media di Padang PJS 9/14, di sini, hari ini.

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 3

Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Goh Hai Thun, pula berkata, kad pengenalan dan lesen memandunya masih menggunakan poskod 46150 yang didaftarkan di kawasan Petaling Jaya dan boleh dihubungi untuk urusan surat menyurat

“Sebagai jawatankuasa penduduk, kami ingin tahu sebab utama pertukaran poskod ini berlaku tanpa memaklumkan kepada penduduk. Kami tinggal di PJS yang membawa maksud Petaling Jaya Selatan dan jika mahu meletakkan di bawah kawasan Subang Jaya, ia perlu ditukar kepada SS.

hannah yeoh

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata, pengumuman terbaru itu mengelirukan penduduk terutama membabitkan dokumen penting kerana terpaksa memaklumkan pertukaran poskod kepada beberapa agensi.

“Kita mempunyai sistem Mykad yang canggih dan penduduk tidak perlu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar poskod, sebaliknya JPN perlu memaklumkan pertukaran itu secara automatik.

“Pos Malaysia seharusnya memaklumkan perubahan ini kepada penduduk, namun sehingga kini kita tidak tahu sama ada mereka melakukannya atau tidak, termasuk memaklumkan kepada agensi penting seperti Bank Negara dan Pejabat Tanah supaya menukar poskod dalam sistem mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

PKNS diminta ambil tindakan atasi masalah sistem pepejal

niksampah

niksampah1PETALING JAYA SELATAN, 17 OKT :  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diminta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah sistem pepejal yang dihadapi penduduk Pangsapuri PKNS di PJS 6 di sini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata sehingga kini masih belum ada kata sepakat berhubung masalah pengurusan sisa pepejal ekoran berlakunya percanggahan bidang kuasa  di antara PKNS dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan timbulnya masalah kesihatan kepada penduduk di pangsapuri itu.

“Kita sudah turun melihat keadaan sampah yang serius, Kita bawa wakil PKNS dan MBPJ. Setakat ini belum ada penyelarasan.

“Oleh sebab pangsapuri ini besar dan saya bimbang masalah kesihatan lain akan timbul,” katanya.

Tinjauan TVSelangor mendapati rumah sampah kecil yang dikhaskan untuk pembuangan sisa pepejal gagal diuruskan dengan baik memandagkan terdapat pembuangan sisa domestik seperti barangan rumah dan rangka kenderaan.

Situasi ini mengundang rasa tidak selesa penduduk dan membawa kepada pembiakan tikus yang boleh mengancam kesihatan penduduk setempat.

Seorang penduduk tempatan Mohd Zulkifli Mohd Nasir yang tinggal di Blok 5 berkata, masalah longgokan sampah ini telah berlaku hampir dua tahun lalu sehingga mengakibatkan pembiakan tikus.

“Saya harap jika ada bantuan daripada pihak kerajaan dan kerjasama diantara penduduk, keharmonian ini dapat dikekalkan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Sambutan Aidiladha di Selangor meriah – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 16102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Lebih 5,000 umat Islam bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

2. Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangopr (PKPS) membuka ladang penanaman sawit seluas 335 hektar yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.

3. Sistem pemilihan “satu bahagian satu undi” yang dipraktikkan dalam Pemilihan Umno 2013 tidak menzahirkan kehendak majoriti ahli akar umbi parti itu.

Sambutan Aidiladha 1434H bersama Sultan Selangor


 

Sinopsis

Lebih 5,000 umat Islam bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Sebanyak 39 ekor lembu termasuk dua sumbangan baginda dikorbankan di masjid ini, seterusnya diagihkan kepada semua asnaf yang layak di sekitar Shah Alam.

Manakala, Kerajaan Negeri menyumbangkan 753 ekor lembu yang bernilai RM2.25 juta untuk diagihkan ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri bantu keluarga C Sugumar

C Sugumar

HULU LANGAT, 15 OKTOBER: Kerajaan Negeri Selangor menghulurkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada keluarga C Sugumaran yang meninggal dunia semasa di tahan polis.

Sumbangan diserahkan sendiri oleh Exco Kebajikan Selangor, Rodziah Ismail kepada ibu mendiang Sugumaran, Manaigalai Kuppamuthu, baru-baru ini di kediaman keluarga mangsa di Taman Sri Nanding.

Kunjungan Rodziah itu ditemani Adun Dusun Tua, Razaly Hassan.

“Saya menggesa Menteri Dalam Negeri berhati-hati dan bersifat berperikemanusiaan bila beliau bercakap mengenai isu keselamatan dan nyawa rakyat. Apakah menteri memikirkan nyawa di tangan beliau sehinggakan mengeluarkan kenyataan kalau berlaku begini, kita tembak dahulu? Apakah dengan tembak itu penyelesesaian terbaik?” soalnya.

“Bagi saya pembelaan kepada rakyat adalah bila mana kesaksamaan itu dilakukan tidak kira beliau itu siapa, kalau pihak itu salah, tampilkan ke muka pengadilan supaya dapat dibuktikan dengan sewajarnya,” katanya.

Rodziah berkata Pejabat Dun Sungai Tua dicadang menguruskan pendaftaran ibu mangsa di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Sementara itu, sepupu mendiang Sugumaran, K Anantha Kannan yang ditemui berharap mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian mendiang dibawa ke muka pengadilan dan didakwa dibawah Seksyen 302.

Menurutnya, sekatat ini kes belum difailkan di mahkamah sivil dan pihak keluarga menolak inkues yang dilakukan polis.

“Polis telah mendapatkan semua dokumen yang lama mengatakan dia pesakit psikatri untuk mengaibkan mendiang C Sugumar. Kita rasa macam terhina sebab ini salah polis,” kata Anantha dengan nada sedih.

“Polis dah gari kemudian palit serbuk kari dekat muka dia. Dia jatuh dan orang berhampiran kedai kopi datang pukul. Polis hanya memerhatikan sahaja. Setakat ini hanya satu saksi disoal di Mahkamah Majisterit Kajang,” katanya.

Katanya lagi terdapat beberapa saksi yang akan dipanggil untuk memberikan keterangan pada pendengaran kes selepas Hari Raya Aidiladha.

Sugumar, seorang pengawal keselamatan ditahan Januari tahun ini selepas didakwa mengalami masalah mental dan merosakkan harta awam.

Bedah siasat melaporkan beliau meninggal kerana sakit jantung, namun saksi semasa penahanan itu mendakwa seorang anggota polis memijak leher mendiang semasa  digari.

Gambar kejadian juga menunjukkan wajah mangsa dipalit serbuk kunyit.

Saksi mendakwa kira-kira 20 orang dari restoran berhampiran turut membantu polis menahan dan kemudian membelasah mendiang beramai-ramai.