Anwar: Pemimpin Perlu Amanah

KUALA SELANGOR 11 MAC : Pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat seharusnya menjalankan tanggungjawab mentadbir dan mengurus dengan cekap dan amanah serta perlu dibuktikan di atas kertas, bukan retorik semata-mata, demikian ujar Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Amanat itu disampaikan beliau dalam Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ketua-ketua Kampung Tradisi yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor tengah hari tadi yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Tanggungjawab bukanlah keistimewaan, sebaliknya ia adalah suatu amanah yang harus dijaga.

“Ini tidak, setengah pimpinan itu diberi amanah, ambil saham masuk poket, diberi projek pun masuk poket, diberi amanah lagi lembu diberi kepada suami, ” sindir Anwar sambil disambut sorakan oleh hadirin.

Justeru, Anwar berkata sikap yang telus dan amanah harus menjadi identiti ketua-ketua kampung yang disifatkan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan fizikal dan insaniah masyarakat setempat.

“Mudah-mudahan kita dapat gunakan jawatan kita sebagai ketua kampung kerana kita mempunyai tanggungjawab yang besar yang menjadi sandaran rakyat hampir dalam segala hal dari kecil sampai besar.

“Jadi jika ketua kampung dapat menyelami hati nurani rakyat dan dapat menyampaikan mesej pimpinan negeri dengan baik, maka selamatlah kampung itu,” pesan Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor.

Anwar juga sempat menyatakan pujian dan rasa bangganya dengan kejayaan dan perubahan yang dikecapi Negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya menyokong penuh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pertamanya kerana personal Integriti beliau. Maknanya, saya tidak runsing langsung sifat amanah beliau.

“Yang kedua kerana sifat prihatinnya terhadap rakyat bawahan termiskin walaupun beliau hidup senang sebagai seorang tokoh korporat,” puji Anwar.

Categories
SELANGOR

“Kalau Bawah Umno Dulu Kena Belanja, Sekarang Bawah Pakatan Dapat Senang Saja”.

KUANG 10 MAC : Setelah 30 tahun menanti, impian Yahaya Said untuk memiliki tanah yang sekian lama diduduki keluarganya secara sah akhirnya tercapai pagi ini.

Pesara tentera berumur 60 tahun itu antara 137 penduduk Kampung Melayu Sri Kundang menerima geran tanah daripada kerajaan Selangor yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Yahaya ternyata tidak dapat sembunyikan perasaan gembira dan terharu ketika ditemubual sejurus selepas menerima geran tersebut.

“Alhamdulillah, akhirnya sempat juga kami dapatkan hak ini secara sah sebelum kami menutup mata. Sekurang-kurangnya kami lega adalah harta yang kami dapat wariskan ke atas anak-anak cucu kami kelak,” ujar pesara tentera itu.

Menurut Yahaya lagi, pengalaman duduk di bawah pentadbiran Umno-BN dulu dan pentadbiran Pakatan Rakyat kini jauh berbeza.

“Dahulu di bawah Umno, kami perlu belanja minum dulu, berhibur dulu untuk mendapatkan ruang agar permohonan kami diproses. Yang tidak sebulu dengan mereka langsunglah tidak diendahkan.

“Tetapi sekarang ini jauh berbeza. Kerajaan Pakatan bekerja tanpa mengira sesiapapun. Malah orang Umno pun ada yang terima geran pada hari ini,” beritahu Yahaya sambil menambah program kebajikan pentadbiran Pakatan bukti keikhlasan sebenar sesebuah kerajaan membela rakyat.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata kerajaan akan berusaha menolong penerima yang tak mampu membayar premium tanah.

“Bagi mereka yang tidak mampu menjelaskan jumlah premium, kita akan tolong jelaskan. Tetapi rakyat perlulah lakukan tugas-tugas kebajikan,” jelas Abdul Khalid yang turut memberitahu hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk melihat setiap rakyat negeri ini memiliki tanah sendiri.

Majlis Penyerahan Hak Milik pagi tadi diadakan di Balai JKKK Kampung Sri Kundang. Sebahagian lagi menerima Borang Notis 5A untuk mendapatkan status hak milik.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Permodenan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Selayang yang juga Penyelaras Dun Kuang, William Leong Jee Keen, dan juga Pegawai Daerah Gombak, Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah: Tekanan PR Paksa Najib Batal SPBA

SHAH ALAM, 8 MAC: Kesan tekanan hebat dari Pakatan Rakyat yang mahukan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SPBA) dihapuskan kerana tidak membantu golongan berpendapatan rendah akhirnya tercapai apabila Perdana Menteri bertindak memansuhkannya hari ini.

MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata PKR mengalu-alukan pembatalan skim terbabit dengan mengguna pakai kembali Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Katanya pembatalan ini jelas menunjukkan kegagalan berterusan Kerajaan Umno-BN dalam mengambil kira pendapat golongan yang terkesan sebelum merangka dan mengumumkan sesuatu dasar.

“Kegagalan Kerajaan Umno-BN untuk prihatin akan kewujudan jurang pendapatan yang menekan penjawat awam yang di tangga yang paling rendah, iaitu di antara gred 1 hingga 54, benar-benar mempamerkan sikap sambil lewa dan elitis pemerintah. Ini berlaku di persekitaran di mana jurang pendapatan antara gaji terendah dan tertinggi yang pada waktu ini dianggarkan pada 19.5 kali.

“Hanya setelah didesak menerusi kritikan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat berserta wakil-wakil pekerja CUEPACS barulah tindakan seraya ?sudah terhantuk baru terngadah? diambil oleh Perdana Menteri hari ini.” Jelas beliau yang juga Naib Presiden PKR.

Nurul Izzah turut menggariskan lima prinsip yang seharusnya diterima pakai bagi membantu nasib golongan pekerja.

1) SSM yang lebih adil dan saksama dengan mengutamakan golongan peringkat bawahan dahulu sebelum peringkat atasan. Kenaikan gaji bagi golongan penjawat awam gred terendah haruslah membolehkan mereka menerima gaji “sara hidup” (“living wage”), dengan jumlah sekurang-kurangnya RM1,100 seperti yang dicadangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2012

2) SSM yang mengambil kira prinsip merapatkan jurang dan mengutamakan majoriti, tetapi dengan kenaikan atau apa yang sepatutnya dipanggil penyelarasan gaji minima perkhidmatan awam.

3) SSM yang lebih komprehensif termasuk perancangan peningkatan produktiviti yang melibatkan perbincangan dengan semua pihak secara terbuka dan bukan secara tertutup dan kemudian diumum secara serang hendap seperti sebelumnya.

4) SSM yang mengambil kira beberapa prinsip penilaian prestasi dan piawaian perkhidmatan termasuk usaha mengurangkan pembaziran, ketirisan dan amalan rasuah wang rakyat dengan menggalakkan penggunaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat serta pemberian saguhati di atas laporan salah laku kewangan didalam kerajaan.

5) SSM akan disemak secara interim setiap lima tahun, dan semakan utama setiap sepuluh tahun; semakan harus melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam siri perbincangan dan keahlian jawatankuasa kecil dan teknikal semakan skim saraan.

Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat pengumuman membatalkan SPBA yang dijangka dilaksanakan Januari lalu dan menerima kembali SSM.

Categories
NASIONAL

NFC: PKR Akan Heret Ramai Pemimpin BN Ke Mahkamah

PETALING JAYA 7 MAC: Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin dan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengemukakan pembelaan terhadap tuntutan saman berjumlah RM100 juta yang dikemukakan oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil pada hari Jumaat ini, 9 Mac 2012 di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Menurut Zuraidah, beliau dan Rafizi telah membincangkan secara mendalam mengenai strategi pembelaan sekiranya tuntutan saman ini diteruskan juga oleh Dato? Seri Shahrizat Jalil, selepas mahkamah mendengar pembelaan yang akan dikemukakan Jumaat ini.

“Antara lain, saya dan Saudara Rafizi bercadang untuk memanggil kesemua pimpinan kanan negara yang pernah terlibat di dalam membuat keputusan berhubung NFC atau pernah memberikan komen mengenai NFC untuk dipanggil sebagai saksi memberikan keterangan.

“Saya juga yakin bahawa apabila Dato? Seri Shahrizat Jalil dipanggil menjadi saksi dan disoalsiasat, beliau terpaksa mengaku bahawa beliau sendiri pernah menghabiskan masa di kondominium mewah yang dimiliki oleh keluarga mereka dan dibeli menggunakan dana awam.

” Itu menimbulkan persoalan besar sama ada beliau betul-betul tidak tahu menahu bahawa keluarga beliau telah menyalahgunakan dana awam untuk membeli harta peribadi, seperti keterangan beliau di dalam tuntutan saman.” kata beliau melalui kenyataan media yang di keluarkan petang ini.

Menurut Zuraidah, pihaknya yakin rakyat Malaysia begitu teruja agar kes saman ini dapat dibicarakan secepat mungkin, supaya kesemua pimpinan kanan Barisan Nasional dapat diheret untuk memberikan keterangan.

Pekan Semenyih Perlu Lampu Jalan

SEMENYIH 7 MAC : Ketiadaan lampu jalan di sepanjang laluan utama pekan ini menimbulkan kebimbangan dari segi soal keselamatan pengguna selain kejadian jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat pelbagai usaha dilakukan pihaknya dan DUN untuk memohon lampu jalan namun kesemuanya tidak berhasil.

“Alasan yang kita terima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) ialah tiada permohonan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jadi buat masa ini kita cuma bergantung harap pada lampu-lampu kedai sekitar sini dan juga lampu masjid. Namun sampai waktu tertentu keadaan menjadi gelap gelita bilamana kesemua lampu ini tadi sudah tertutup,” jelas Dr Che Rosli.

Sementara itu, Penyelaras DUN, Nor Azlan Mohamad berkata, keadaan gelap di sini ketika malam menyebabkan banyak kemalangan jalan raya dan ada antaranya kemalangan maut.

“Selain itu, kita juga risau keadaan gelap begini memberi ruang kepada kejadian jenayah yang berleluasa,” ujar Nor Azlan yang ditemui ketika tinjauan lokasi di sepanjang jalan utama sepanjang kira-kira 3 kilometer itu.

Bagi Fazil Zakaria ,40, penduduk dari Kampung Sungai Macang berkata, pekan ini sudah lama wujud dan kini laluan ini semakin sibuk. Jadi lampu jalan itu sepatutnya diadakan.

“Terutama waktu pagi penduduk keluar untuk bekerja, ibubapa hantar anak ke sekolah, keadaan yang gelap memang mampu mengundang bahaya,” beritahu Fazil.

Categories
SELANGOR

Pejabat Tanah Perlu Percepat Proses Hak Milik

SEMENYIH,6 MAC: Senarionya rumah sudah lama dibina, bergenerasi sudah mendiaminya, namun tanah itu masih tanah tumpangan kerajaan.

Disebabkan itulah penduduk Kampung Batu 3, Jalan Bangi mendesak agar proses pemberimilikan tanah tersebut dipercepatkan.

Menurut Ketua Kampung, Abdul Saman Kamid,60, sudah dua kali penduduk kampung mengemukakan permohonan tanah kerajaan tersebut melalui Pejabat Daerah Hulu Langat bagi Mukim Semenyih.

“Kali pertama ialah pada 2004, kemudian pada tahun 2009. Kos sudah melebihi RM 1,000 setiap penduduk tetapi tiada hasil lagi buat masa ini.

“Tetapi ini bukan soal wang semata tetapi lebih kepada usaha penduduk yang sekian lama bermastautin di sini untuk mendapat kebenaran mendiami di sini secara hitam putih,” ujar Saman sambil memberitahu terdapat lebih daripada 100 buah rumah di kampung tersebut di atas tanah berkeluasan lebih kurang 200 ekar.

Sehubungan itu, Saman mewakili penduduk di situ mendesak dan merayu pejabat daerah untuk mempercepatkan proses tersebut.

“Kebanyakan dari kami sudah berpuluh tahun tinggal di sini. Berapa lama lagi kami harus menanti, berapa generasi lagi kami perlu menunggu untuk mendapatkan hak kami.

“Kesemua proses yang diperlukan kita sudah penuhi. Jadi diharapkan pihak pejabat daerah boleh bekerjasama merealisasikan impian kami,” ujar Saman.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat ketika diminta mengulas mengenai hal ini memberitahu beliau sendiri sudah menemui Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr, Xavier Jayakumar untuk berbincang hal ini.

“Namun apa yang kita dimaklumkan ialah proses itu tersangkut di Pejabat Daerah, maka ia tidak dapat diproses di peringkat Negeri.

Categories
NASIONAL

Mahfuz: Pemimpin Umno Berfikiran Sempit, Takut Debat

SHAH ALAM, 1 MAC : Pemimpin Umno perlu menerima perubahan dalam landskap politik di negara ini sepertimana diinginkan rakyat dan harus bersedia tampil berdebat secara terbuka demi kepentingan semua.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin dari parti utama dalam BN itu tidak seharusnya mengelak dengan memberikan pelbagai alasan kerana tindakan itu dilihat menghina rakyat negara ini yang sudah boleh berfkir secara matang dan terbuka.

Menurutnya, pendekatan diamalkan Umno bagaikan memberi gambaran pemimpin parti itu sendiri tidak mahu berubah dan terus berfikiran sempit dengan cara politik lama yang tidak relevan.

“Umno cuba memberikan alasan kononnya kita (rakyat) belum sampai ke tahap kematangan berpolitik. Kerana itu debat tidak boleh diadakan.

“Ia satu penghinaan dan merendahkan corak berfikir masyarakat Malaysia hari ini yang saya kira sudah merentasi satu corak pemikiran yang ortodok sepertimana diamalkan oleh pemimpin Umno di mana mereka berfikir cara zaman batu iaitu berpolitik berasaskan kekuatan fizikal. Maka hari ini berlakunya budaya keganasan politik,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, sewajarnya Umno menerima perubahan itu sebagaimana transformasi yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, sekiranya transformasi politik mahu dipraktikkan maka pemimpin Umno harus berlapang dada dan menerima perubahan itu.

“Sepatutnya kalau transformasi politik, kita harus pergi berdebat melalui pentas terbuka. Itu untuk memperlihatkan daya pemikiran pendebat dan idealisme dimiliki melalui parti politik diwakili di negara ini antara pemerintah dan pembangkang.

“Masyarakat masakini sudah jauh ke hadapan, jadi saya berharap mereka (pemimpin Umno) harus bersedia berdebat khususnya antara Ketua Kerajaan (Najib) dan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Itu yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sekiranya debat perlu diadakan antara pihak yang lebih rendah tahapnya terlebih dulu, maka Mahfuz mengulangi cadangannya supaya debat antara dirinya dan Datuk Seri Hishammudin Husein yang tertangguh sekian lama, diadakan semula.

Katanya, debat itu adalah cabaran dibuat Hishammuddin kepadanya ketika masing-masing berperanan sebagai Ketua Pemuda Umno dan Pas.

“Jadi apa salahnya pada hari ini dihidupkan kembali debat yang tertangguh tersebut iaitu debat antara Naib Presiden Pas dan Naib Presiden Umno. Orang yang sama tetapi jawatan berbeza.

“Ini ke arah membudayakan politik baru dalam Malaysia. Pemimpin Umno tidak harus takut,” katanya.

Categories
NASIONAL

Johari Abdul: Umno Jadi Samseng Kerana Terdesak

SHAH ALAM, 1 MAC 2012 – Budaya samseng yang diamalkan Umno sejak dahulu lagi kini dilihat semakin menjadi-jadi ekoran terdesak bagi meraih undi menjelang pilihanraya akan datang.

Hal ini dilihat banyak berlaku di program Pakatan Rakyat sehingga menyebabkan kecederaan dikalangan penyokong Pakatan tetapi kelakuan mereka hanya dibiarkan polis.

MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menyifatkan perbuatan melampau itu di sebabkan Umno/BN sebagai sebuah parti yang mula hilang sokongan seterusnya mula gelabah untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga sanggup menjadi samseng.

Katanya, pemimpin Umno hanya berani berkelakuan sedemikian di kawasan majoriti kecil pihak pakatan seperti Pulau Pinang bukannya kawasan besar seperti di Selangor dan Kuantan.

“Di kawasan kecil mereka berani bertindak sedemikian tetapi bukan di kawasan besar kerana mereka takut.

” Tindakan mereka itu seolah-olah sebagai isyarat mengugut rakyat untuk memberitahu semua bahawa mereka mempunyai samseng, jadi rakyat akan berasa selamat dan mengundi Umno,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi.

Beliau turut menyelar tindakan Perkasa yang dilihat sebagai ‘Gedebe’ dan ‘samseng pekan’ untuk mendapatkan kepercayaan rakyat dengan harapan Umno akan memberi kerusi kepada mereka bagi membolehkan mereka bertanding.

” Mereka sanggup memilih menjadi samseng untuk mendapatkan kerusi bertanding daripada Umno, rakyat boleh lihat mereka ini akan berkeliaran dan kemudian akan dapat duit ‘kopi’,” katanya.

Johari berkata taktik pemimpin Perkasa hanya lakonan semata-mata supaya mendapat nama dan terkenal dalam arena politik tanah air.

” Kita cuma memberi amaran kepada puak-puak Umno ini, pihak kita tidak akan mengikut jejak mereka kerana jika kita melakukan perkara yang sama ianya hanya dilihat sebagai pemusnah bangsa.

” Orang yang lazimnya berlagak dan menunjukkan dirinya samseng ini adalah seorang yang tidak mempunyai kekuatan ilmiah, mereka ini hendak berhujah ilmu tetapi ilmu tiada, jadi mula tunjuk samseng, seperti suami pukul isteri, jadi hal sebegini kita tidak terkejut.

” Tetapi peringatan kepada mereka, kita tidak bertindak kerana bukan budaya kita, jangan anggap kita semua pondan, berpada-pada kalau hendak tunjuk samseng,” katanya.

Sebelum ini terdapat beberapa tindakan samseng dilakukan oleh samseng Umno dan Perkasa.

Antaranya, Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Mohd Nazri Ismail cedera di tangan dan bajunya koyak ketika menghalang samseng yang cuba mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sembrong.

Kejadian yang sama turut berlaku kepada Nurul Izzah Anwar dalam ceramah di Felda Lepar Hilir, Gambang apabila seorang samseng Umno mengacu penumbuk, beberapa inci sahaja dari wajahnya selain kereta Datuk Seri Anwar Ibrahim dibaling batu dalam ceramah di parlimen Sembrong, menyebabkan cerminnya retak manakala bahagian sisi kenderaan kemek.

Turut berlaku apabila sekumpulan samseng Umno naik ke pentas ketika Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sedang memberi ucapan sempena Himpunan Hijau 2.0 di Padang Kota, Pulau Pinang dan anggota Perkasa telah mencetuskan kekecohan yang mengakibatkan dua petugas media cedera, Ahad lalu.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad: Hukum MP Sabak Bernam Tak Bererti Kehakiman Bebas

SHAH ALAM, 29 FEB : “Walaupun Datuk Abdul Rahman Bakri adalah Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi dia masih lagi ikan kecil berbanding dengan yang lebih besar iaitu jerung-jerung yang masih lagi tetap bebas,” begitu komen Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Khalid berkata demikian apabila mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini yang mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam itu bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntuan palsu berjumlah RM80,000.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, keputusan diumumkan itu berkemungkinan bermotifkan politik.

Katanya keputusan tersebut tidak melambangkan institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negara ini bebas kerana banyak lagi kes lain yang “dilepaskan” serta tidak disiasat.

Menurut Khalid, Umno-BN selaku kerajaan mungkin bertindak begitu bagi menggambarkan imejnya yang bersih dengan menjadikan Abdul Rahman sebagai “korban”.

“Ianya kemungkinan mempunyai motif politik di mana Datuk Abdul Rahman ini dijadikan sebagai korbanlah demi memperlihatkan imej Umno-BN itu.

“Ini di antara tindakan yang mungkin dilakukan untuk menunjukkan bahawa instituti kehakiman di negara ini bebas tetapi hakikatnya tidak.

“Masih banyak lagi kes-kes yang jelas tidak disiasat sampai ke akar umbi. Maka dengan ini, institusi kehakiman dan SPRM masih lagi tidak boleh dikatakan bebas dengan sepenuhnya,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan Abdul Rahman, 47, bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.

Abdul Rahman dituduh membuat lapan tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ayer Tawar.

Categories
NASIONAL

Dr Dzulkifly: Lebih Baik Kerjasama Dengan DAP Dari Umno

SHAH ALAM, 29 FEB: “Lebih baik saya minum kopi dengan DAP daripada minum arak dengan Umno,” demikian tempelak Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ruslan Kassim.

Menurut Dr Dzulkefly, meskipun Umno dianggotai oleh orang-orang Melayu, tetapi parti itu mengamalkan budaya yang mampu merosakkan rakyat dan negara ini.

“Walaupun DAP dianggotai majoriti sahabat kita bangsa Cina yang bukan Islam tetapi mereka tak ajak saya edar video lucah, luluskan lesen judi, ambil rasuah, kroni, salah guna kuasa dan macam-macam lagi.

“Tetapi dengan Umno, mereka suruh edar video lucah, rasuah, galakkan rakyat main judi, samseng dan macam-macam budaya lain yang merosakkan rakyat dan negara ini.

“Jadi mana lebih baik? Saya berkawan dengan Melayu Umno atau Cina DAP?,” ujar Dr Zulkefly.

Terdahulu dalam pusingan soal jawab, Ruslan Kassim telah bertanyakan kepada Dr Dzulkefly mengapa Pas memilih untuk berkerjasama dengan DAP yang majoritinya dianggotai orang Cina tetapi bukannya orang Melayu dalam Umno.

Selain Dr Dzulkefly dan Ruslan Kassim, wacana Sinar Siri ke-11 yang membincangkan tajuk ‘Mengapa Undi Melayu Berpecah’ itu turut menampilkan Ahli Parlimen Pandan, Ong Tee Keat dan Pengerusi PKR Johor dan Datuk Chua Jui Meng.

Categories
NASIONAL

Tee Keat, Perkasa Sokong Debat Anwar-Najib

SHAH ALAM, 29 FEB: Cadangan debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disokong sebulat suara oleh para panelis Wacana Sinar termasuk Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (PERKASA), Ruslan Kassim ketika diajukan pertanyaan dalam isu terbabit.

Isu debat antara dua pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat (Pakatan) dan Umno-BN itu timbul apabila ianya dicadangkan moderator wacana yang bertajuk ?Mengapa Undi Melayu Pecah?? Dr Maszlee Malik di sini.

“Saya rasa ianya dipersetujui oleh semua panelis bahawa menjelang pilihan raya tak kira Melayu, Tionghua, India dan lain-lain mahu buat keputusan yang baik.

“Kita perlu calon PM dari BN dan Pakatan untuk berdebat membincangkan hala tuju negara ke mana hendak dibawa negara ini, adakah panel kita setuju?,” soal Maszlee yang disambut dengan persetujuan para panelis.

Ruslan, tanpa mengulas panjang dalam isu debat Anwar-Najib, sekali lagi memberikan persetujuan menyokong debat itu diadakan apabila sekali lagi wartawan bertanyakan soalan sama kepada beliau.

Persetujuan para panelis wacana bagi memberikan sokongan terhadap cadangan debat Anwar-Najib itu diadakan juga mendapat tepukan gemuruh oleh wartawan dan orang ramai dalam sidang media itu.

Selain Ruslan, Wacana Sinar Siri ke-11 itu turut menampilkan MP Pandan dari Umno-BN, Datuk Seri Ong Tee Keat, MP Kuala Selangor dari Pas, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng sebagai ahli panel.

Mengulas isu sama, Tee Keat menganggap ianya satu cadangan yang relevan untuk membantu pengundi membuat pilihan yang tepat dalam pilihan raya yang akan datang.

“Ia memang satu cadangan yang tepat dan memang relevan. Memang kita harap-harapkan majlis sedemikian rupa dianjurkan, tetapi pada masa yang sama janganlah kita jadikan satu wadah berceramah,” kata beliau.

Sebelum ini, cabaran debat yang diajukan oleh Anwar kepada Najib tidak mendapat reaksi positif dari Najib.

Categories
NASIONAL

Perpecahan Undi Melayu Beri Manfaat Untuk Rakyat, Negara

SHAH ALAM, 29 FEB: Perpecahan undi Melayu yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu dianggap sebagai satu perkembangan yang sihat dalam politik negara.

Senario itu juga berlaku disebabkan masyarakat Melayu mulai sedar bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk membantu masyarakat kaum itu memajukan diri untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam Wacana Sinar Siri Ke 11 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau yang juga merupakan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, pemikiran orang-orang Melayu sebelum alaf baru telah ditanam dengan mitos bahawa Umno merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk orang-orang Melayu.

“Hakikatnya undi Melayu telah berpecah semenjak pilihan raya pertama dahulu tetapi ianya tak ketara seperti sekarang kerana pada masa itu minda orang-orang Melayu telah ditanam dengan mitos bahawa hanya Umno yang perjuangkan nasib Melayu.

“Tetapi zaman sekarang adalah zaman pencerahan, Melayu sudah mula celik politik, semakin bijak, tahu bahawa Umno bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Maka undi Melayu yang dahulu majoriti sokong Umno dengan cuma sedikit ke parti pembangkang, sekarang dah mula beralih sokongan mereka dalam PRU-12 lalu.

“Sekarang orang Melayu dah nampak dan jelas bahawa perpecahan undi itu adalah sesuatu yang positif dalam mematangkan politik orang-orang Melayu dan banyak beri manfaat kepada rakyat dan negara ini,” beritahu beliau,” katanya dalam siri wacana bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ itu.

Beliau juga menganggap perpecahan undi di kalangan orang Melayu tidak harus dijadikan isu oleh Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sebenarnya perpecahan undi orang Melayu ini tidak menimbulkan pertikaian akademik pun tetapi isu sebenarnya ialah mengapa undi Umno berlaku penguncupan.

“Lalu Umno jadikan isu ini sebagai satu senjata dengan memainkan politik ketakutan terhadap orang-orang Melayu agar terus menyokong Umno supaya Umno terus dapat berkuasa,” ujar Dr Dzulkefli lagi.

Selain Dr Dzulkefli wacana yang dihadiri kira-kira 500 orang itu turut menampilkan panelis Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat, Ketua Penerangan Pertubungan Peribumi Perkasa, Ruslan Kasim dan Pengerusi PKR negeri Johor, Datuk  Chua Jui Meng.