Categories
NASIONAL SELANGOR

Duduk Di Rumah Tetapi Bil Air Umpama Perniagaan


AMPANG 01 OKT : Seramai 26 penduduk pangsapuri di Pandan Jaya membantah tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang didakwa bertindak menukar status meter air mereka daripada “kediaman” kepada “perniagaan”.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata mengikut laporan penduduk, perkara itu berlaku sejak tahun lalu. Kes terbaru berlaku dua bulan kebelakangan ini.

Katanya, penukaran itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar bil air empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Mereka juga tidak mendapat air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata penduduk turut mempertikaikan mengapa Syabas bertindak demikian sedangkan mereka sudah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun.

“Jika sebelum ini mereka membayar minimum RM0.57 sahaja, kini dinaikkan kepada minimum RM2.07. Jumlah itu menjadikan bil mereka dicaj sehingga RM80 hingga lebih RM100 sebulan.

“Setakat ini, kita baru menerima laporan 26 penduduk ini, namun kita percaya perkara sedemikian mungkin berlaku dibeberapa kawasan lain di sekitar negeri,” katanya dalam sidang media di Pandan Jaya, hari ini.

Jelasnya, dalam perbincangan dengan pihak Syabas baru-baru ini, Syabas meminta penduduk yang mahu menukar kembali ke meter asal untuk memohon pengesahan dari pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Mereka turut memberikan alasan yang saya tidak terima. Dakwa mereka (Syabas) menukar meter itu berdasarkan status tanah, bagaimanapun terdapat juga sebaliknya,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk supaya membuat aduan kepada Adun atau Ahli Majlis di kawasan masing-masing supaya memudahkan urusan menghantar senarai nama kepada MPAJ.

Katanya, pihaknya turut mendesak Syabas supaya membayar rebet kepada penduduk selepas meter itu ditukarkan kepada asal.

“Ini kerana ada yang terlibat sudah hampir setahun, ia merugikan penduduk. Jika Syabas tidak boleh mengembalikan rebet, kita meminta Syabas memotong bayaran pada bil mereka yang akan datang ini.

“Perkara ini melibatkan ribuan penduduk dan melibatkan banyak kediaman daripada perniagaan. Saya harap kerjasama daripada penduduk supaya mereka dikenakan caj yang betul (kediaman) bukannya perniagaan.

“Perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, kita tidak mahu pihak Syabas berterusan mempolitikkan isu air ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

INFO 12 – Kerajaan Selangor : Rundingan Untuk Ambilalih Operasi Air Dalam Tempoh Tujuh Hari.


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 20092012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga KHAMIS setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 20 sept 2012 :

Rundingan Untuk Ambilalih Operasi Air Dalam Tempoh Tujuh Hari,
Kerajaan Perlu Nilai Semula Mahu Mansuh Kelas Peralihan,
JMB, MC Boleh Salur Aduan Di Majlis Himpunan Perdana,
MPK Akan Terus Serbu Rumah Urut Tanpa Beri Notis.

Categories
SELANGOR

JMB, MC Boleh Salur Aduan Di Majlis Himpunan Perdana

SHAH ALAM 19 SEPT : Badan Pengurusan Bersama(JMB) dan Jawatankuasa Pengurusan(MC) berpeluang berkongsi cadangan dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyelesaikan masalah yang berkaitan di kawasan mereka.

Bertempat di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor(KUIS) Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan akan menganjurkan Himpunan Perdana JMB/MC Siri ke 2/2012 pada 22 September ini di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Majlis yang turut mendapat kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor itu juga khusus dianjurkan untuk JMB dan MC dari kawasan-kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

Dalam satu kenyataan media Exco Selangor, Iskandar Samad berkata antara isu-isu yang dijangka akan dibincangkan adalah kelulusan dan perlaksanaan program CERIA serta migrasi kepada meter pukal kepada meter individu.

“Isu lain ialah pengurangan 25 peratus cukai pintu bagi Pangsapuri Kos Rendah,” umum beliau dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco negeri di sini sebentar tadi.

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan wakil JMB dan MC daripada PBT lain dalam majlis himpunan tersebut.

Menurutnya lagi, antara program utama dalam majlis itu ialah penyampaian taklimat dalam hal pengurusan bangunan, penyelenggaraan bangunan, keselamatan dan perundangan.

“Maskot CERIA juga akan dilancarkan pada perhimpunan hari Sabtu minggu ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

PKNS bina rumah mampu milik mesra OKU


BANGI 12 SEPT: Prihatin dengan kemudahan Orang Kelainan Upaya (OKU),  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tampil membina rumah kos rendah yang mesra golongan berkenaan.

Sebagai permulaan terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi sebanyak empat unit rumah dibina khas untuk OKU dan konsep ini mendapat pujian dari Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Beliau yang ditemui selepas mengadakan lawatan tapak bagi melihat perkembangan projek ini berkata idea ini akan digunakan untuk beberapa projek perumahan mampu milik yang akan dibina kelak.

“Tahniah saya ucapkan kepada PKNS dan pihak arkitek kerana memikirkan konsep ini dengan menampilkan beberapa kemudahan kepada OKU.

“Reka bentuk disini lebih luas berbanding rumah kos rendah. Tedapat balkoni bagi setiap rumah serta disediakan tempat santai dan berkumpul untuk orang ramai di tingkat atas,” katanya.

Katanya, setakat ini Kerajaan Negeri masih berbincang untuk memperuntukkan beberapa unit rumah kepada OKU dalam projek perumahan akan datang.

Konsep ini sebenarnya difikirkan hasil perbincangan secara menyeluruh melibatkan pihak Kerajaan Negeri, pemaju dan swasta.

Projek pangsapuri enam tingkat di Seksyen 6,  Bandar Baru Bangi mempunyai 124 unit rumah dimulakan pada tahun 2011 dan dijangka siap pada Februari 2013.

Setakat ini, kerja-kerja pembinaan siap 55 peratus.

Kos pembangunan projek ini ditanggung sepenuhnya oleh PKNS dengan keluasan 700 hingga 800 kaki persegi (kps) dan ia terletak di atas tanah pegangan bebas.

Harga jualan bagi seunit pangsapuri ini dalam lingkungan RM60,000 hingga RM99,000 dan dijangka tidak melebihi RM150,000.

BEE Dijangka Siap Pada November

AMPANG, 29 OGOS : Gangguan harian yang terpaksa diharungi penduduk pangsapuri M13 di sini akan berakhir apabila kerja pelebaran jalan di MRRII Link akan siap dua bulan dari sekarang.

Menurut syarikat konsesi lebuhraya, Besraya, projek yang dinamakan Besraya Eastern Extension (BEE) tergendala kerana menunggu kelulusan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Pengurus Teknikal Besraya Ir Tan Chee Yen menjangkakan projek ini akan siap pada November.

“Kita sudah dapat kelulusan daripada Syabas pada pertengahan Julai lalu.

“Pelebaran di bahagian akhir ini melibatkan kerja-kerja pengubahan dan penanaman paip dari bahagian tengah ke tepi.

?Bila proses ini siap, kita boleh lakukan kerja pelebaran jalan dan piling di bahagian tengah,” katanya selepas sesi lawatan tapak di Pandan Jaya di sini.

Projek BEE membabitkan lima komponen iaitu MRRII Link, Pandan Link, Besraya Link, Istana Link dan MainLane.

Projek MRRII Link dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan sementara keseluruhan projek BEE akan selesai pada Januari 2014.

Secara keseluruhan, lanjutan jalan ini sejauh 13.2KM.

Jelas Chee Yen lagi, kelewatan sebelum ini ekoran beberapa siri perbincangan denga Syabas yang melibatkan beberapa skop kerja pengalihan beberapa paip utama.

Sementara itu, Exco Perumahan dan Pengurusan Bangunan, Iskandar Abdul Samad berharap projek ini dapat disiapkan mengikut jangka masa yang ditetapkan.

Ini kerana sebelum ini terlalu banyak rungutan daripada penduduk setempat yang terganggu akibat bunyi bising kerja-kerja pemasangan paip.

Categories
SELANGOR

FOKUS ISU : Isu Bukit Botak – Lembu Punya Susu, Sapi Tumpang Nama – ISKANDAR ABDUL SAMAD


 

Sinopsis:

Saksikan Fokus Isu bersama Exco Selangor, Iskandar Abd Samad mengupas sikap pemimpin Umno-BN yang suka menumpang kredit kejayaan Kerajaan Negeri

Categories
NASIONAL

Kerajaan Selangor Serah Notis Ambil Alih Syabas

KUALA LANGAT, 19 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor telah menyerahkan notis pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau, dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui hari ini.

Notis tersebut telah diserahkan oleh delegasi Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Selain itu turut serta dalam delegasi tersebut termasuklah Exco Kerajaan Negeri lain, Iskandar Samad, Ronnie Liu dan Dr Halimah Ali.

Penyerahan notis tersebut merupakan tindakan yang selaras dengan Klausa 32 dalam perjanjian konsesi air antara Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan dan Syabas.

“Kita telah disambut oleh Saudara Nicholas iaitu Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di kementerian itu, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

“Kita telah menjelaskan isu ini kepada dia, dia pun faham dan dia terima sekali kertas kerja yang kita hantar.

“Dia orang mintak kertas kerja, itu pun kita dah hantar sekali.Dia akan beri kepada menteri, tetapi masa saya dalam perjalanan ke sini tadi ada berita bahawa Menteri KeTTHA umum bahawa sekarang bukan bawah kuasa dia.,” ujar Dr Xavier ketika ditemui TVS dalam Majlis Sesi Dialog Bajet Selangor 2013 Peringkat Daerah Kuala Langat hari ini.

Ekoran kerajaan Selangor bertindak untuk memantau perjalanan operasi Syabas, hari ini kerajaan persekutuan telah membentuk Jawatankuasa Khas kabinet bagi menanganani isu Air di Selangor, Wailayah Persekutuan dan Putrajaya

“Kabinet telah wujudkan satu jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan beberapa Menteri dalam jawatankuasa itu termasuk dari Selangor,” katanya lagi.

Menurut Dr Xavier lagi, Kerajaan Negeri akan diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

Selain Khusrin, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk menghantar wakil di kalangan Ahli Exco atau Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri.

Sementara itu, Majlis Sesi Dialog Bajet Selangor 2013 Negeri Selangor yang diadakan di Dewan Seri Jugra di sini telah dihadiri kira-kira seratus peserta dari pelbagai latar belakang.

Perbincangan dan rumusan dari dialog tersebut akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk diputuskan sebelum Bajet 2013 Negeri Selangor dibentangkan pada September nanti.

Video Rangkuman Himpunan Hijau Ke Putrajaya (Kuala Selangor)

Himpunan Hijau Kuala Selangor 15072012 – Mohamad Sabu

 
Himpunan Hijau Kuala Selangor 15072012 – Teresa Kok

 
Himpunan Hijau Kuala Selangor 15072012 – Iskandar Abdul Samad

 
Himpunan Hijau Kuala Selangor 15072012 – Tan Sri Abd Kadir Sheikh Fadzir

 
??Himpunan Hijau Kuala Selangor 15072012 – Datuk Seri Dr Wan Azizah

 
 

Sinopsis:

Program ini telah telah disiarkan secara langsung pada 15 Julai 2012, bermula 9 malam melalui web http://bm.selangorku.com/ Ceramah inibertempat di Stadium Kuala Selangor.

 

Categories
NASIONAL

Kalau Saya Rakyat Malaysia Nescaya Saya Juga Ahli PAS, Kata Sheikh Ismail

KUALA SELANGOR, 17 JULAI: “Kalau saya rakyat Malaysia nescaya saya menjadi salah seorang ahli Parti PAS,” demikian kata Masu’l Tarbiah Bahagian Hubungan Luar Parti Ikhwan Muslimin dari negara Mesir.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya dalam Perhimpunan Hijau menuju ke Putrajaya yang diadakan di Stadium Kuala Selangor malam tadi.

Semangat kira-kira lebih 6,000 audien di stadium itu turut dibakar lagi dengan kata-kata semangat tokoh yang mula bangkit menentang pentadbiran kuku besi Hosni Mubarak sejak peringkat awal di Dataran Tahrir lagi.

“Tiada seorang pun dari kami dapat menyangka bahawa kami dapat keluar dari kezaliman ini dan tiada siapa yang menyangka kami mampu untuk bangkit menghadapinya.

“Kami telah bangkit dengan revolusi dan Allah telah membantu kami mencapai kejayaan.

“Jalan menuju perubahan terlalu hampir kepada kita dan kini telah pun sampai ke Timur Tengah dan ia akan sampai ke negara kamu, Insyaallah,” ujarnya lagi.

Selain itu beliau turut memberitahu, sama seperti di negara ini, meskipun beberapa pemimpin Ikhwan Muslim pernah dipenjara ianya tidak mematahkan semangat mereka untuk menumbangkan rejim Hosni Mubarak.

Sebelum itu, dalam perhimpunan sama, Ahli Jawatankuasa Lajnah Pertanian PAS, Mohamad Maksom Ramli menyerahkan deklarasi pesawah kepada Timbalan Yang Dipertua II PAS Selangor, Iskandar Samad.

Deklarasi tersebut mengandungi janji Pakatan Rakyat yang akan menjaga kebajikan pesawah sekiranya berjaya menawan Putrajaya dan menubuhkan Kerajaan Pusat yang baru.

Dalam perhimpunan itu menyaksikan tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan turut menyerahkan borang keahlian untuk menyertai PAS.

Mereka adalah bekas Pegawai Tadbir Diplomatik(PTD) selama 33 tahun yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang, Abd Rahman Taib.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bukit Botak: Umno Cuba Rampas Kejayaan Pakatan, Beri Tawaran Palsu

KAJANG, 2 JUL: Gara-gara dengki dengan kejayaan Pakatan Rakyat  Selangor menyelesaikan masalah Projek Perumahan Bukit Botak, pemimpin Umno Selangor sekali cuba merampas kejayaan tersebut dengan menawarkan harga yang tidak munasabah kepada peserta skim itu.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad, ADUN dari Umno Selangor sekarang berlumba-lumba untuk menonjolkan diri sebagai wira bagi menyelesaikan apa yang mereka sendiri gagal selesaikan selama lebih 20 tahun,

“Apa yang saya tahu, ada ADUN Umno tawarkan harga antara RM60 ribu hingga RM70 ribu. Lepas tu ada lagi seorang lagi ADUN Umno menawarkan RM42 ribu.

“Saya bimbang nanti ada pula YB Umno yang tawarkan harga RM10 ribu pula, jadi macam sarkis.

“Ini bukannya jual beli ikan, tetapi melibatkan berjuta-juta ringgit, lagipun harga yang kita tawarkan jauh lebih rendah dari harga sebenar,” kata Iskandar ketika ditemui selepas Majlis Dialog Bersama Penduduk Pangsapuri Anggerik di sini baru-baru ini.

Masalah Projek Perumahan Bukit Botak yang lebih 20 tahun terbengkalai dan gagal diselesaikan oleh pentadbiran Umno-BN yang lama akhirnya berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang lima tahun setelah Pakatan Rakyat menerajui Selangor.

Kerajaan Selangor menawarkan harga RM99,000 kepada peneroka asal kawasan ini dan jauh lebih rendah berbanding harga sebenar yang mencecah lebih RM160,000.

Pengurangan harga dibayar subsidi sebanyak RM 79.6 juta oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Iskandar turut mengingatkan pembeli unit kediaman Projek Perumahan Bukit Botak agar tidak termakan dengan tawaran palsu Umno.

“Saya harap penduduk tak percaya sebab dah lebih 20 puluh tahun, mereka tak buat apa, tak diselesaikan.

“Bila kita berjaya selesaikan dalam masa tak sampai lima tahun pentadbiran Pakatan Rakyat, mereka tawarkan macam-macam pula,” ujarnya lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Iskandar : Surat Faekah Tidak Arah GLC Terima

AMPANG, 25JUN: ‘Surat sokongan’ yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin kepada sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) bukanlah suatu arahan, tetapi ia hanyalah cadangan berdasarkan kelayakkan yang dimiliki syarikat terlibat.

Demikian menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad ketika diminta memberikan komen berhubung isu yang cuba disensasikan oleh beberapa akhbar arus perdana.

“Pendapat saya surat tu bukan suruh lantik, tetapi itu cuma surat cadangan sahaja, bukan arahan sebab tidak ada pun tulis wajib terima syarikat yang disebut itu.

“Ia surat agar dipertimbangkan sekiranya syarikat itu memenuhi syarat-syarat dan selari dengan polisi pihak tuan.

“Kalau sokongan, kita tulis ‘kita menyokong sila beri atau lantik dan sebagainya, tetapi ini tidak dan ini maknanya ini bukan satu arahan supaya terima,” kata Iskandar.

Berdasarkan pengalaman Iskandar, syarikat GLC dan Pihak Penguat Berkuasa Tempatan (PBT) tidak terikat untuk menerima cadangan yang dikemukakan dalam surat dari Adun, sebaliknya mereka bertanggungjawab dengan membuat keputusan yang profesional.

“Bukan tanggungjawab PBT atau GLC untuk terima ikut surat yang dicadangkan.

“Sebenarnya surat cadangan saya sendiri banyak tak diterima pun. Macam-macam orang datang pada kita minta sokongan, kita pun tak kenal siapa dan syarikat itu lebih banyak ditolak dari diterima,” katanya lagi.

Iskandar turut memberitahu, sebelum ini lagi beliau telah memaklumkan kepada PBT dan GLC bahawa sebarang surat yang dikeluarkan pejabatnya hendaklah dilayani dan dipertimbangkan sama seperti pemohon atau penender lain.

Categories
SELANGOR

RM20 Ribu Bina Wakaf Mampu Tingkat Hubungan Masyarakat

AMPANG 24 JUN: Kewujudan wakaf komuniti yang menelan kos RM20,000 di Taman Dagang diharap akan meningkatkan lagi hubungan sesama penduduk di sini.

Demikian menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad ketika merasmikan Wakaf Rakyat Taman Dagang pagi ini.

“Dengan adanya wakaf ini, saya percaya pelbagai kegiatan dapat dijalankan di sini sekaligus dapat lebih menceriakan dan mengeratkan silaturahim antara sesama penduduk.

“Pembinaan wakaf ini adalah sebahagian dari usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Selangor termasuklah bagi masyarakat yang mendiami pangsapuri,” ujar beliau.

Menurut Iskandar program ‘Bersih, Ceria dan Harmoni’ ini akan diteruskan di seluruh Selangor.

Selain fokus untuk pembinaan wakaf, program ini turut menyediakan peruntukan untuk sudut belajar dan membaca dan pejabat yang lebih selesa untuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk mentadbir.

Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui berharap wakaf yang siap pembinaannya pada Mei lalu, dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan penduduk Taman Dagang.

“Saya harap dengan adanya wakaf ini, pelbagai program dapat dijalankan sekaligus merapatkan penduduk tak kira parti politik.

 

“Di sini kita boleh berbincang dengan lebih santai,” menurut seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Zarina.

Aziz Ismail pula berkata wakaf ini turut sesuai dijadikan tempat untuk beristirahat setelah letih berkerja seharian.

“Kerajaan menggalakan masyarakat negara ini supaya lebih erat tak kira bangsa dan agama.

“Selain mengadakan program, sebelah petang kami masyarakat di sini boleh berehat dan bertemu atara satu sama lain, dari tak kenal dah jadi kenal,” ujar Aziz.