Categories
SELANGOR

Mangsa Ribut Gembira Kerajaan Selangor Bantu Baiki Rumah

SHAH ALAM 18 JUN : Penduduk di Pangsapuri Teratai, Taman Bukit Subang menarik nafas lega apabila kerja-kerja pembaiki bumbung di perumahan itu siap sepenuhnya.

Kerja-kerja membaiki bumbung pangsapuri ini dilakukan dibawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) selepas kejadian ribut yang melanda kawasan itu 7 Februari lalu.

 

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB), Shariful Noor Abd Ghaffar berkata, kerja membaiki itu siap sepenuhnya dua minggu lepas dan ia melibatkan bumbung, siling dan pendawaian semula dilakukan.

Katanya, dia amat bersyukur dan berterima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu memberi kesejahteraan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya tanpa bantuan dan keprihatinan Kerajaan Negeri, penduduk di kawasan tersebut mungkin tidak mampu membaiki kerosakan rumah akibat daripada bencana alam itu.

Selain itu, penduduk, Roshidah Daud, 35, bersyukur kerana keluarganya kini dapat tinggal di rumahnya semula.

Beliau sekeluarga sebelum ini tinggal di rumah jirannya yang terletak di tingkat tiga bangunan terbabit.

Menceritakan kejadian itu, Roshidah berkata dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, dia bersama tiga anaknya terpaksa bersembunyi dalam bilik untuk menyelamatkan diri ketika berlakunya ribut itu.

?Dalam keadaan yang mencemaskan itu saya bersama tiga anak berada di dalam bilik kedua ketika bumbung rumah tercabut. Saya tidak fikir apa-apa selain keselamatan anak-anak kerana suami tidak ada di rumah,? ceritanya yang ketika beliau mengandung sembilan bulan.

Beliau juga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan peribadi dan hanya memikirkan tentang keselamatan anak-anak.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Iskandar Samad ketika melawat pangsapuri Teratai, Melur, Melati dan Cendana yang sudah dibaik pulih.

Dalam kejadian ribut itu membabitkan lebih kurang 100 penghuni dan pangsapuri Teratai mengalami kerosakan paling teruk bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jelas Iskandar lebih RM200,000 dibelanjakan untuk baik pulih semua kerosakan itu.

Categories
SELANGOR

Lebih 100 Lagi Pangsapuri Bakal “Di-CERIA-kan”

 

SHAH ALAM 18 JUN : Sebanyak 100 lagi pangsapuri di Selangor bakal dicat semula dan mendapat kemudahan baru seperti lif, apabila mereka menyertai skim CERIA Kerajaan Negeri.

Majoriti pangsapuri-pangsapuri tersebut yang berada di dalam kawasan Petaling Jaya dan Shah Alam disasarkan akan menyertai skim tersebut selewatnya pada akhir tahun ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri, Iskandar Samad berkata sebanyak 70 buah pangsapuri yang sudah menyertai CERIA di seluruh Selangor akan dibaik pulih pada tahun ini.

Kerajaan Negeri akan membelanjakan RM8.5 juta untuk 70 bangunan tersebut.

Setakat ini, sebanyak 51 pangsapuri sudah siap dibaik pulih dengan kos RM15.19 juta.

“Saya berharap penduduk menggesa pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Persatuan Penduduk supaya berbincang dengan Kerajaan Negeri dan bersetuju untuk sertai skim ini.

“Projek baik pulih ini bukan hanya pembaikian dalam jangka masa pendek tetapi ia melibatkan jangka masa panjang,” katanya di dalam satu sidang media di semasa lawatan ke pangsapuri Teratai di Taman Subang di sini.

Melalui skim tersebut, kerajaan negeri akan melantik kontraktor untuk memperbaiki kemudahan yang rosak seperti saluran sisa buangan dan lif di pangsapuri yang terpilih.

Oleh kerana permintaan yang tinggi bagi menyertai skim tersebut, Iskandar berkata, kerajaan negeri telah memutuskan untuk membuka tender kepada kontraktor bagi kerja-kerja baik pulih.

Sebelum ini, kerja-kerja tersebut dijalankan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

?Tender akan dibuka dalam masa dua minggu lagi melalui PKNS dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS),? Iskandar berkata.

Katanya, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Exco baru-baru ini.

?Kerajaan Negeri melihat ia (CERIA) perlu dilaksanakan dalam tempoh masa yang cepat. Kami mahukan projek skim ini berjalan dengan lancar dan cepat.?

Kerajaan Selangor juga memutuskan bayaran deposit sebanyak lima peratus yang dikenakan kepada penghuni pangsapuri yang terlibat dengan skim itu boleh dibayar selepas kerja-kerja baik pulih siap.

Sebelum ini setiap pangsapuri perlu membayar deposit itu sebelum kerja baik pulih dijalankan.

“Mereka boleh membayar deposit itu selepas kerja-kerja baik pulih dijalankan dengan syarat penduduk perlu menandatangani surat Aku Janji.

?Selepas surat ditandatangani, kerja-kerja itu akan dimulakan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Air Percuma Melalui Program “Lapor Dan Dapat” Dibuka Kepada Pangsapuri Kos Rendah

SHAH ALAM 1 JUN: Penduduk kediaman berstrata di Selangor yang tidak memiliki meter inidividu kini boleh mendapat 20 meter air percuma dengan menyertai program ‘Lapor dan Dapat’.

Dengan program yang diperluaskan ini memberi peluang kepada penduduk pangsapuri kos rendah menikmati air percuma, kata Iskandar Samad dalam satu kenyataan.

“Bagi mendapatkan kemudahan ini penduduk hanya perlu melaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) jumlah unit kediaman berpenghuni di pangsapuri mereka.

“PBT kemudian akan memberitahu Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) akan jumlah ini dan Syabas akan melakukan potongan pada bil di meter pukal. Pihak yang menguruskan pangsapuri itu pula akan melakukan potongan pada bil-bil setiap kediaman di situ,” kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan itu.

Program “Lapor Dan Dapat” ini adalah satu lagi program dibawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Selain itu, program ini juga diperluaskan kepada pangsapuri kos sederhana.

“Pihak yang menguruskan kediaman berstrata kos sederhana seperti pemaju, agen pengurusan, JMB, MC atau persatuan penduduk boleh menghubungi Pesuruhjaya Bangunan (COB) di Pihak Berkuasa Tempatan mereka untuk menyertai program ini,”jelasnya.

Iskandar juga berharap dengan membuka membuka penyertaan kepada pangsapuri kos sederhana, lebih ramai rakyat Selangor akan menikmati skim air percuma di bawah program MES.

Beliau juga menyarankan kepada penduduk agar mendesak pengurus bangunan mereka membuat laporan kepada COB secepat mungkin. Tanpa kerjasama pengurus bangunan, Kerajaan Negeri tidak akan dapat membantu penduduk.

 

Categories
SELANGOR

SYABAS Digesa Sambung Segera Bekalan Air Di Taman Pandan Utama 2

SHAH ALAM 12 MEI : Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) digesa agar menyambung semula bekalan air dengan segera di Taman Pandan Utama 2 kerana tindakan itu menyusahkan penduduk, tegas  Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad.

“Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka (penduduk) untuk memberi tekanan ke atas pemaju,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Jelas  Iskandar, Syabas memotong bekalan air ke rumah-rumah kedai di Taman Pandan Utama 2 pada 8 Mei yang  lalu.

Ia disebabkan pemaju taman tersebut masih belum lagi membina tangki air utama untuk taman itu. Sebagai jaminan pemaju akan membina tangki air itu, Syabas menetapkan pemaju perlu menyediakan Bank Guarantee(jaminan bank) bernilai RM1.7 juta.

“Dengan itu, penduduk taman tersebut boleh mendapat bekalan air terus dari Syabas dan Pemaju pula perlu membina tangki air utama itu dalam masa setahun.

Tambah Iskandar, walaubagaimanapun pemaju gagal menyediakan Bank Guarantee itu dalam masa yang ditetapkan. Maka Syabas telah memotong bekalan air ke taman itu.

“Dalam hal ini, penduduk tidak bersalah. Menurut mereka (penduduk), bil-bil air telah mereka bayar. Syabas telah menghukum penduduk di atas kesalahan pemaju.

“Syabas sepatutnya mengambil tindakan ke atas pemaju seperti mengheret mereka (pemaju) ke mahkamah,” kata Iskandar.

Menurut Iskandar, bekalan air tidak perlu dipotong kerana penduduk tetap akan membayar air yang mereka gunakan.

“Saya menggesa Syabas menyambung semula bekalan air dengan segera dan berhenti menyiksa orang tua, orang sakit dan kanak-kanak di taman itu. Syabas tidak sepatutnya memperalatkan mereka untuk memberi tekanan ke atas pemaju,” ujarnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bantuan Kewangan, Hakmilik Tanah Masalah Utama Diajukan MB

KUALA LANGAT 11 MEI : Sesi kaunter aduan rakyat bersama Menteri Besar dan Exco Selangor sekali lagi disambut baik oleh penduduk Tanjung Sepat yang berasa lega masalah mereka diberi perhatian oleh pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

Seperti V.Jayaraman, 57, yang membawa masalah pemilikan tanah isterinya di Kampung Orang Asli Bukit Kemandol.

Katanya, beliau dan isterinya, Siah Junjung, 45, sudah menetap di kampung itu sejak 18 tahun lalu.

“Tanah kebun dan rumah itu berkeluasan empat ekar tetapi belum mempunyai geran lagi setakat ini, saya sudah berusaha sebelum ini tetapi tidak dapat.

“Kawan-kawan lain di kawasan itu semua sudah pindah, hanya tinggal kami sekeluarga sahaja.

?Sekarang saya sudah lega selepas bersua muka sendiri dengan Menteri Besar.

Tan Sri akan menyelesaikan masalah saya sama ada di tempatkan di kawasan lain dan dibayar pampasan atau lain bergantung kepada hasil siasatan mereka,” katanya ketika ditemui di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat di sini.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengetuai beberapa pemimpin tertinggi kerajaan Selangor dalam mengadakan kaunter aduan dan permohonan dalam sesi berjumpa rakyat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari dan exco Dr Yaakob Sapari, Rodziah Ismail, Dr Xavier Jayakumar, Dr Halimah Ali, Iskandar Samad dan Ean Yong Hian Wah.

Kira-kira 100 penduduk sempat mengadu masalah perumahan dan memohon pelbagai bantuan kewangan dan pemilikan tanah dalam sesi yang berlangsung selama dua jam itu.

Seorang lagi A. Danom, 62, mengemukan permohonan bantuan kewangan kepada Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail.

Beliau yang merupakan penduduk Tanjung Sepat, berkata sudah empat tahun menumpang di rumah anaknya.

“Hidup saya susah, saya tidak dapat bekerja kerana menghidap kencing manis. Kini saya tinggal bersama anak perempuan saya.

?Rumahnya pun sudah dipotong bekalan elektrik kerana tidak mampu membayar bil.

“Jika boleh saya tidak mahu menyusahkannya kerana anak pun mempunyai masalah sendiri dan tidak bekerja.

?Sekarang sudah dapat jumpa sendiri Yb, sangat lega kerana Yb akan melawat saya dan anak serta akan memberi bantuan kewangan kerana katanya, saya layak untuk menerima,” katanya.

Manakala bagi Misnan Ahmad, 60, peluang bersua muka sendiri dengan Menteri Besar adalah cara yang terbaik bagi menyuarakan masalah penduduk kampungnya.

Beliau yang merupakan Ketua Kampung Kg Jenjarum berkata masih terdapat penduduk termasuk beliau yang tidak dapat hak milik tanah walaupun sudah menetap lebih 20 tahun.

“Sekarang masalah sudah diadukan dan masalah ini juga sudah terus diambil tindakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat, saya harap ianya akan dipertimbangkan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tangani Pencemaran Projek Ternakan Khinzir

KUALA LANGAT 11 MEI : Kerajaan negeri akan segera selesaikan masalah pencemaran alam yang berpunca daripada projek ternakan khinzir, di daerah ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pencemaran air dan bau itu akan ditangani segera demi keselesaan penduduk tanpa merugikan penternak.

“Kita akan mengambil kira keseluruhannya dan saya yakin masalah ini boleh diselesaikan kerana kerajaan negeri memandang serius masalah ini.

“Apabila masalah ini selesai, kita yakin harga tanah akan melonjak lebih tinggi kerana rakyat merasakan tempat ini bersih dari segi alam sekitar, pentadbiran dan cara pengurusannya,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Juga hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, pekerja ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pegawai Kerajaan Perlu Turun Sendiri Laksana Dasar Dan Program

KUALA LANGAT 11 MEI : Penjawat awam Selangor di bawah Pentadbiran Pakatan Rakyat harus mengurus dan terlibat secara langsung di dalam perlaksanaan dasar dan program kerajaan.

Seperti Menteri Besar dan barisan exco-nya yang sendiri turun membuka kaunter aduan di setiap daerah, penjawat awam sendiri harus memastikan setiap program dilaksanakan dan tidak hanya mengharap kepada kakitangan di bawah mereka.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata konsep yang ditanamkan kepada penjawat awam dan exco itu juga merupakan perbezaan diantara corak pemerintahan Umno-BN dan Pakatan.

Katanya, ahli pemimpin kerajaan negeri bukan sahaja perlu mengeluarkan perintah semata-mata tetapi juga perlu terlibat secara langsung dalam melaksanakan perintahannya.

Beliau berkata selepas Pakatan menerajui Selangor, pelbagai usaha dilakukan untuk membuat perubahan.

“Apa yang paling penting ialah bagaimana untuk membuat perubahan. Oleh itu, ianya berbeza dengan PR dan Umno-BN.

“Kerajaan sebelum ini hanya mentadbir. Bagi mengurus mereka menyerahkannya kepada rakyat. Kita tidak mahu penyelewengan berlaku.

?Bagi PR kita mahukan kedua-duanya supaya rakyat tahu mereka dijaga.

“Saya berharap semua penjawat awam dan exco menerima usaha baru ini kerana dalam masa yang sama kita akan meningkatkan simpanan tunai negeri,” katanya dalam ucapannya di Program Khas Terima Kasih Rakyat, Tanjung Sepat.

Di dalam program tersebut, Menteri Besar dan beberapa exco membuka kaunter aduan supaya penduduk Selangor boleh terus mengemukan masalah mereka kepada kerajaan.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohammad Hafiz Shaari, Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari.

Turut hadir Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Exco Pendidikan dan pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad dan Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah turut kelihatan.

Categories
SELANGOR

Dewan Komuniti Adalah Milik Rakyat, Bukan Parti Politik

PANDAN JAYA, 17 APRIL: Semua dewan komuniti di Selangor yang dahulunya digunakan oleh Umno-BN untuk kepentingan politik akan dimanfaat untuk kegunaan pembangunan masyarakat seperti pembinaan Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya.

Perubahan polisi ini selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat (Pakatan) yang mahu setiap bangunan yang selama ini digunakan untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menafikan hak masyarakat dikembalikan semula kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pembinaan perpustakaan komuniti sebegini merupakan sebahagian daripada program Pangsapuri Bersih, Ceria dan Harmoni (CERIA).

Ini memandangkan kawasan ini merupakan kawasan pangsapuri yang mempunyai lokaliti penduduk yang padat.

“Perpustakaan ini pada asalnya adalah dewan orang ramai yang telah digunakan oleh pihak Umno bahagian Pandan sebagai bilik gerakkan.

?Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih, kita melihat bangunan ini berpotensi dan mencadangkan agar bangunan ini dijadikan perpustakaan komuniti,” katanya.

Apabila ia siap nanti, perpustakaan ini akan menyediakan dewan serbaguna dengan hawa dingin yang boleh memuatkan 100 orang. Ia juga akan menyediakan bilik kuliah dan seminar untuk 50 orang.

Perpustakaan itu turut menyediakan tujuh buah komputer dengan teknologi skrin sesentuh dan jalur lebar internet selain bilik bacaan kanak-kanak, surau, kafeteria dan ruang santai untuk ibu bapa menunggu.

Perpustakaan ini akan beroperasi setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang dan 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada hari Sabtu (kecuali Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima) dan ditutup pada hari Ahad.

Iskandar yang juga Adun Cempaka menambah, pembinaan perpustakaan ini turut terkandung dalam menifesto pilihanraya Dun Cempaka dimana Pakatan akan membina satu pusat pembelajaran untuk kemudahan remaja di kawasan ini.

Katanya, pihaknya akan cuba berbincang dengan Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali bagi meningkatkan pembinaan perpustakaan kominiti.

Ini memandangkan penduduk pangsapuri kurang tempat khusus bagi remaja belajar dan mengisi masa lapang oleh kerana unit pangsapuri yang mereka duduki agak kecil dan tidak selesa.

Kawasan Pandan Jaya mempunyai 50 unit blok pangsapuri dengan 300 unit setiap blok.

Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya yang mula dibina pada 22 Julai 2011 berada dibawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ia dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mei selepas kerja-kerja akhir selesai.

Kos pembinaan struktur bangunan perpustakaan bernilai RM159,000 sementara RM250,000 lagi kos untuk peralatan seperti perabot dan kelengkapan lain.

PPAS mensasarkan pembinaan 20 buah perpustakaan komuniti dengan kos sebanyak RM6 juta. Sebelum ini, perpustakaan komuniti pertama telah dibina di kawasan Lembah Jaya.

Perpustakaan Pandan Jaya merupakan perpustakaan kedua yang dibuka di kawasan ini selepas Perpustakaan Desa di Kampung Pandan yang telah dibuka pada tahun 2008.

Categories
SELANGOR

Penduduk Terima Geran Selepas 14 Tahun Menunggu

SHAH ALAM, 16 APR: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan.

“Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya.

“Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat  Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini,” ujar beliau.

Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman.

“Dalam negara ini, hanya dua negeri yang telah mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyerahkan geran kepada pembeli rumah dan dua kerajaan negeri tersebut adalah Selangor dan Pulau Pinang.

“Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang.

Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula  memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri.

Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli.

Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah.

Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya.

Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

“Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran,” katanya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar.

Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan.

Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud.

Categories
SELANGOR

Iskandar: Pembaikan Pangsapuri Teratai Dipantau MBSA

SHAH ALAM, 12 APR : Kerajaan Selangor akan meletakkan seorang jurutera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memantau kerja-kerja membaik pulih kerosakan bumbung dan rumah akibat ribut Februari lalu di Pangsapuri Teratai, Seksyen U16, Taman Bukit Subang, di sini sehingga selesai.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri selepas mengadakan mesyuarat tempoh hari bersama Penasihat Persatuan Penduduk, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Teratai, MBSA, Lembaga Perumahan dan Hasil Negeri (LPHS) serta wakil Ahli Parlimen Shah Alam.

Iskandar berkata, pihak JMB juga diminta untuk memberi kerjasama dengan memaklumkan kepada jurutera bertugas tentang pembaikan yang masih belum dilaksanakan.

“Berdasarkan hasil mesyuarat yang dilakukan pada 5 April lalu, kerajaan negeri mengarahkan pihak kontraktor untuk menyiapkan kerja-kerja di Blok 1 dan 2 serta memantau ke blok-blok lain dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dalam masa dua minggu (19 April),” katanya.

Iskandar juga memaklumkan, pihak kontraktor tidak dibenarkan untuk membuat sebarang tuntutan sehingga semua kerja-kerja selesai.

Beliau berkata, sekiranya masih terdapat sebarang permasalahan, penduduk boleh melaporkan terus kepada pegawai LPHS, Mohd Azuan di talian 016-2262484.

“Penduduk-penduduk Blok 1 dan 2 yang mengadakan demonstrasi sebelum ini tidak dimaklumkan bahawa pihak JMB telah menerima arahan berhubung kerja-kerja pembaikan tersebut.

‘Kerja-kerja pembaikan juga dianggarkan hanya sekitar RM160,000 sahaja dan bukan RM480,000 seperti yang didakwa,” tegasnya.

Pada 5 Februari lalu, Blok 1 dan 2 di Pangsapuri Teratai yang dimiliki swasta mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan rumah akibat ribut petir.

Bagaimanapun atas keprihatinan terhadap permasalahan penduduk, kerajaan Selangor menawarkan pembaikan bumbung melalui Skim Ceria dengan mengarahkan MBSA untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.

Categories
NASIONAL SELANGOR

CERIA : Kerajaan Pusat Jangan Main Politik

SHAH ALAM, 9 APRIL : Kerajaan Selangor berharap program CERIA yang dilancarkan semula oleh Kerajaan Pusat dijalankan secara ikhlas dan tidak bertindih dengan program CERIA Kerajaan Selangor.

“Matlamat program membaikpulih ini adalah untuk membantu rakyat dan bukan untuk sebarang kepentingan politik yang sempit,” ujar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad dalam kenyataan media hari ini.

Sebelum ini Kerajaan Selangor memperuntukan nisbah 80:20 bagi menanggung kos pemulihan kemudahan pangsapuri seperti lif, saluran kumbahan dan papan tanda.

Mengikut nisbah tersebut, kerajaan negeri menanggung 80 peratus kos pemulihan manakala selebihnya dibiayai oleh penduduk pangsapuri tersebut.

Iskandar berkata Kerajaan Pusat akan lancar semula program CERIA tersendiri dengan nisbah 90:10.

Akan tetapi, di dalam perlaksanaan program CERIA Selangor, didapati pangsapuri yang hendak dibaikpulih oleh Kerajaan Selangor tiba-tiba didatangi kontraktor yang tidak dikenali.

“Kerajaan Negeri telah memulakan kerja-kerja baikpulih iaitu mengecat di bawah program CERIA tetapi Kerajaan Pusat pula juga menghantar kontraktor untuk mengecat,” katanya yang juga Adun Cempaka.

Iskandar merujuk kepada kes yang berlaku di pangsapuri Taman Samudera, Gombak, dimana Kerajaan negeri telah memulakan kerja mengecat tetapi Kerajaan Pusat pula menghantar kontraktor yang lain.

Beliau juga berkata Kerajaan Selangor bersedia berkongsi maklumat berkenaan kawasan-kawasan pangsapuri kos rendah yang memerlukan bantuan membaikpulih.

Categories
NASIONAL

Pampasan RM73,000 Flat Kg Kerinci Tak Wajar

SHAH ALAM,5 APRIL : Tindakan hanya memberikan pampasan berjumlah RM73,000 kepada penduduk Flat Kampung Kerinchi di Lembah Pantai dilihat satu tindakan kejam, dakwa Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Samad.

Beliau berkata sedemikian setelah membuat lawatan semalam ke flat yang akan dibangunkan semula oleh sebuah pemaju swasta.

Seramai 35 keluarga masih bertahan di kediaman mereka kerana tidak bersetuju dengan pampasan yang ditawarkan.

“Unit kediaman yang sama di kawasan pinggir bandar seperti di Pandan Indah bernilai sekurang-kurangnya RM75,000. Oleh yang demikian nilai bagi kawasan di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur seperti Kampung Kerinci sudah tentu berkali-kali ganda,” kata Iskandar yang dipetik dalam blognya.

Beliau juga memberitahu difahamkan bahawa pembangunan yang akan dibangunkan di atas tapak flat itu adalah bernilai tinggi yang sudah tentu akan memberi pulangan beratus-ratus juta Ringgit Malaysia.

“Unit kediaman yang mempunyai keluasan yang sama dengan flat penduduk mungkin akan dijual dengan harga melebihi RM500,000. Maka sudah tentu pemaju mampu menawarkan pampasan yang lebih tinggi,” ujarnya.

Flat tersebut telah dibina oleh PKNS pada lewat 70’an dan telah dijual kepada orang ramai.

“Apabila terdapat cadangan untuk membangunkan semula tapak flat itu, PKNS telah turut membuat tawaran. Tetapi tawaran PKNS ini telah tidak berjaya. Sebuah pemaju swasta telah terpilih,” katanya.