Categories
SELANGOR

Dr Ahmad Yunus dilantik Ahli MAIS 2015-2017

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 JAN: Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dipilih menganggotai Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sesi 2015-2017 dalam majlis pengurniaan watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi itu bersama empat ahli MAIS baharu yanglain menerima watikah pelantikan daripada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

kayangan AEmpat ahli terbabit adalah mantan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kassim; Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Datin Paduka Saudah Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings), Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Semua mereka menganggotai MAIS bersama 15 ahli lain dipengerusikan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor serah sumbangan LZS, MAIS pada 645 asnaf

Oleh : AFEEQA AFEERA

SABAK BERNAM, 17 JULAI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Abrar, Batu 2 Sepintas, dekat sini, semalam.

Pada masa sama, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilftri kepada lebih 600 individu daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan fakir, miskin, anak yatim dan mualaf.

r4Sejumlah RM169,500 disumbangkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 339 fakir dan miskin, sementara RM153,000 diperuntukkan kepada 306 orang anak yatim dan mualaf oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Baginda serta hadirin kemudiannya menunaikan solat Maghrib dan berbuka puasa bersama rakyat seterusnya menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

Turut hadir mengiringi baginda adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta beberapa pimpinan negeri.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri disaran ambil alih kuasa pelaksanaan MAIS

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 27 JUN: Kerajaan Negeri disaran untuk mengambil kuasa pelaksanaan yang diberikan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebelum ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata langkah itu penting bagi memastikan segala keputusan dilaksanakan selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat melalui pilihan raya.

“MAIS patut serahkan pelaksanaan kepada badan eksekutif Kerajaan Negeri melalui Exco agamanya, jadi Exco akan keluarkan arahan secara hikmah dan bijaksana.

“Kalau pelaksanaan diserahkan kepada eksekutif pilihan rakyat, pendekatan mungkin berbeza kerana kerajaan tahu batas-batas apabila berkaitan urusan dengan bukan Islam,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di sini petang tadi.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataannya sebelum ini bersama tiga lagi Ahli Parlimen PAS mencadangkan Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) supaya melakukan pindaan terhadap enakmen yang memberi kuasa eksekutif kepada MAIS.

Pada masa sama, Khalid juga menolak dakwaan beliau mahu bidang kuasa Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam di negeri ini dihapuskan.

“Kita mahu institusi diraja diselamatkan, demi kepentingan Sultan Selangor sendiri.

“Saya juga percaya Sultan Selangor pasti mahu segalanya dilakukan dengan baik, tertib dan penuh hikmah selaras dengan Islam sebenar,” katanya lagi.

MAIS ditubuhkan di bawah Seksyen 5, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1952 bertujuan menasihatkan Sultan Selangor dalam hal ehwal Islam dan adat Melayu.

EZY

Categories
SELANGOR

Sekolah Bina Insan tidak akan ditutup, operasi seperti biasa

SHAH ALAM, 25 JUN: Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata Sekolah Bina Insan (SBI) yang beroperasi di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) tidak akan ditutup hujung tahun ini.

Memetik Sinar Harian, Adzib berkata, MAIS mengambil keputusan menunda keputusan menutup SBI sehingga pelajar sedia ada menyelesaikan pengajian mereka di sekolah terbabit.

Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa“Keputusan penangguhan itu dilakukan selepas memperhalusi dan meneliti semua isu serta cadangan yang dikemukakan.

“MAIS menangguhkan penutupan SBI sehingga pelajar sedia ada menamatkan pengajian,” katanya.

 

Mohamad Adzib berkata, pihaknya membuka peluang kepada ibu bapa memberi sebarang cadangan untuk kebaikan semua termasuk lokasi pengajian baru bagi sekolah itu.

Sebelum ini, MAIS memutuskan untuk menutup SBI kerana masalah kewangan dan perancangan perniagaan kolej itu meningkatkan kemasukan pelajar ke intitusi berkenaan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

MAIS dan keluarga Zarena nafi serbuan

Satu pertemuan telah diadakan pada hari ini, 10 Jun 2014 di antara MAIS dan Puan Zarena Binti Abdul Majid serta wakil keluarga berhubung isu siasatan JAIS semasa majlis resepsi perkahwinan Puan Zarena pada 1 Jun 2014 di perkarangan sebuah kuil di Petaling Jaya.

Pertemuan ini dipengerusikan oleh YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS dan turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha MAIS, Timbalan Pengarah JAIS dan Pegawai-pegawai Penguatkuasa JAIS.

Dalam pertemuan ini, pihak Puan Zarena menzahirkan penghargaan kepada pihak MAIS dan JAIS yang mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan ini yang bertujuan untuk mengesahkan perkara sebenar yang berlaku.

MAISEncik Arun Dorasamy, wakil keluarga yang turut hadir mengakui bahawa proses siasatan oleh pihak JAIS telah dilaksanakan dengan penuh rasa hormat tanpa menyinggung perasaan ahli keluarga dan tetamu yang hadir.

Pihaknya turut kesal dengan istilah serbuan yang sengaja disensasikan oleh pihak media sehingga menimbulkan ketegangan awam.

Menurut pihak JAIS pula, siasatan yang dibuat mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Puan Zarena serta ahli keluarga beliau.

Dalam perbincangan tersebut, turut dibincangkan isu berhubung pengesahan status agama Puan Zarena dan MAIS telah menasihati beliau agar memfailkan permohonan pengesahan status agamanya di Mahkamah Tinggi Syariah kerana isu pengesahan status agama terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

MAIS dan JAIS akan membantu mempercepatkan proses pendengaran permohonan kes beliau di Mahkamah Tinggi Syariah.

DATO’ SETIA HJ MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA
PENGERUSI MAIS

ZARENA BINTI ABDUL MAJID

Categories
SELANGOR

MAIS tangguh tutup Sekolah Bina Insan

SHAH ALAM 23 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memutuskan untuk menangguhkan keputusannya untuk menutup Sekolah Bina Insan (SBI) sehinggalah pelajar sedia ada menamatkan pengajian mereka.

mais logoDalam satu kenyataan hari ini, Setiausahanya, Datuk Bakhtiar Hussin berkata keputusan penangguhan itu dibuat selepas memperhalusi dan meneliti semua isu dan cadangan yang dikemukakan.

“MAIS menangguhkan penutupan SBI sehingga pelajar sedia ada menamatkan pengajian di SBI,” katanya.

MAIS juga, tambahnya, terbuka kepada sebarang cadangan daripada ibu bapa untuk kebaikan semua pihak, termasukk cadangan menempatkan SBI di tempat lain.

Sebelum ini, MAIS membuat keputusan untuk menutup operasi SBI kerana kekangan kewangan dan perancangan perniagaan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) untuk menambah pelajar KUIS kepada 10,000.

JURNAL BERITA – MB cemerlang jana pendapatan ekonomi

1. Abdul Khalid : Rakyat penting demi kelangsungan pentadbiran Selangor –

2.Abdul Khalid penting dalam pentadbiran Selangor selepas PRK Kajang- Anwar –

3.Anwar : Prestasi Abdul Khalid cemerlang, jana pendapatan ekonomi Selangor –

4.Nurul Izzah alu-alukan Abdul Khalid dilantik Pengarah PRK Kajang –

5.Anwar tumpu pelbagai isu termasuk masalah peniaga Melayu di Kajang

6.Anwar ‘mengaku kalah’ jika lawan Lee Chong Wei

7.PRK DUN Kajang: AMK wujud pemantau khas media sosial dekati anak muda

8.UMCEDEL: Anwar dijangka menang majoriti besar PRK DUN Kajang

9.Anwar di DUN Kajang elak rampasan kuasa Perak berulang

10.PRK DUN Kajang: SPR perlu bidas rancangan Umno-BN guna taktik keji, lucah

11.Pengundi alu-alukan Anwar tanding di Kajang

12.Khalid Samad sedia sertai debat kalimah Allah anjuran SAMM

13.Khalid Samad : MAIS patut amal dasar syura bagi selesai isu Islam

14.AKTIVITI YB: 28 waris DUN Dengkil terima Skim Mesra Usia Emas

15.Khalid Samad : Tindakan Chin Cheh jauh beza berbanding fenomena lompat parti 2009

16.Iskandar : Polis perlu serius banteras budaya samseng di Kampung Pandan

17.Rakyat perlu waspada anasir jahat untuk timbul ketegangan

18.Program Pembasmian Kemiskinan Bandar: MBPJ jejak golongan miskin

19.Contract for Service MBPJ bantu ibu tunggal, golongan miskin raih peluang kerja

Categories
SELANGOR

Khalid Samad : MAIS patut amal dasar syura bagi selesai isu Islam

Oleh : LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 JAN: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengesyorkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk mengamalkan dasar syura dalam mencari jalan penyelesaian terbaik dalam isu berkenaan Islam.

Khalid berkata, MAIS harus mengamalkan syura bukan sahaja atas dasar undang-undang mewajibkannya tetapi ia adalah pendekatan terbaik seperti disarankan Allah di dalam Al-Quran.

khalid samad white pc 02Katanya, dengan ada perbincangan dan syura, maka satu tindakan tepat serta dipersetujui pihak berkenaan dapat dicapai seterusnya mengelakkan sebarang kesilapan yang mampu menggugat kesejahteraan masyarakat berbilang kaum juga agama.

“Dengan syura, ia dapat menjamin matlamat kerajaan pilihan rakyat, selain institusi agama dan raja diselaras serta dijayakan bersama.

“Ini akan menghasilkan perpaduan dan kesatuan, bahkan seharusnya itu yang diinginkan dan bukan sebaliknya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya, di sini, hari ini.

mais logoPengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa baru-baru ini menyangkal kenyataan Khalid bahawa mereka diperalatkan pihak tertentu termasuk Umno dalam isu rampasan kitab Bible di Damansara Kim, Petaling Jaya.

Khalid dalam sidang media sama menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkannya adalah satu teguran dan peringatan bukan tuduhan seperti dinyatakan Adzib.

Pada 2 Januari lalu, premis Persatuan Bible Malaysia di Damansara Kim diserbu dan 351 kitab Bible versi bahasa Melayu dan Iban dirampas kerana menggunakan kalimah Allah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB: KUIS sasar capai status Universiti 2016

mb kuis

BANGI, 10 SEPT : Bagi melanjutkan usaha memartabatkan ilmu, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) giat menuju ke arah mencapai taraf universiti penuh menjelang tahun 2016.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebagai langkah merealisasikan rancangan itu, penawaran program pasca siswazah sarjana dan kedoktoran sedang diusahakan.

“Usaha ini akan dimulakan dengan kerja-kerja menaik taraf dan menambah beberapa program baru di peringkat sarjana muda agar lebih berdaya saing dan seiring dengan perubahan zaman.

“Selain itu, pelajar diploma dan sarjana muda juga diharap akan menjadikan KUIS sebagai institusi pilihan mereka bagi melanjutkan pelajaran dalam sarjana dan doktor falsafah,” jelasnya Abdul Khalid yang juga merupakan Pengerusi KUIS.

Abdul Khalid berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Konvokesyen KUIS bagi Sidang Pertama kali ke-16, hari ini.

KUIS yang dimiliki sepenuhnya oleh MAIS ditubuhkan pada tahun 1995. KUIS menawarkan lebih daripada dua puluh kursus meliputi pelbagai bidang seperti pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, bahasa dan komunikasi, teknologi maklumat dan komunikasi, multimedia, kejururawatan dan pendidikan.

KUIS kini giat memperbaiki mutu pembelajaran di institusi itu selaras dengan sasaran kemasukan 6,000 pelajar pada tahun hadapan.

Edisi kali ini menyaksikan seramai 1,896 orang pelajar daripada enam fakulti layak menerima sijil Diploma dan Ijazah masing-masing yang disampaikan Abdul Khalid.

Turut hadir dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali, Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri, Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain kehadiran keluarga dan ibubapa pelajar.

Konvokesyen kali ini turut memberi penganugerahan diploma kepada 500 orang guru kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dari sekitar Selangor yang teah mengikuti program Diploma Perguruan.

Program Diploma Perguruan untuk guru-guru KAFA ini adalah antara usaha berterusan KUIS dalam memartabatkan pendidikan agama Islam untuk anak-anak Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah : Umno Khianati Melayu, Mahathir Membisu

faekah-husin-22

Surat Terbuka Faekah Kepada Tun Dr Mahathir

Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed di Klang baru-baru ini saya kira telah melampaui batas dan lebih bersifat liabiliti kepada slogan 1Malaysia yang cuba dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir menuduh kononnya masa depan dan hak keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam akan terancam sekiranya Pakatan Rakyat terus berkuasa di Negeri Selangor.

Kenyataan beliau menunjukkan bahawa beliau telah tertinggal jauh dari perkembangan politik tanahair.

Dr Mahathir masih menyanyi lagu lama; lagu perkauman dan menakut-nakutkan orang Melayu serta mahu menyegarkan pertembungan kaum setelah bibit-bibit kebencian terhadap kaum dan penganut agama lain beliau tanam di kalangan rakyat di sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Dr Mahathir sepatutnya sedar ketika beliau mengungkapkan kata-kata penghinaan mengenai agama Islam tersebut, beliau berada di Bandar Di Raja Klang, Bandar kebanggaan Sultan-Sultan di Selangor.

Pentadbiran Pakatan Rakyat menyerahkan hal ehwal agama Islam kepada Majlis Agama Islam Selangor ( MAIS ) dan Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) tanpa campur tangan politik.

Sesungguhnya, Ketua Agama Islam di negeri ini adalah DYMM Sultan Selangor sendiri dan baginda begitu menjaga kesucian agama Islam serta sentiasa mempertahankan kepentingan umat Islam.

Pentadbiran kerajaan negeri pula akur, patuh dan menghormati apa sahaja keputusan DYMM Sultan Selangor berkenaan kesucian dan pembangunan agama Islam. Mana mungkin di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kesucian agama Islam boleh terancam. Tohmahan Dr Mahathir ini merupakan keceluparan melampau hatta menghina Institusi Agama dan Raja di negeri ini.

Di Selangor, JAIS memperolehi peruntukan yang paling tinggi di dalam Belanjawan Negeri; melebihi RM130 juta setahun. Dari segi pembangunan, kita membelanjakan lebih RM405 juta untuk membina masjid dan sekolah agama dan lebih RM46 juta untuk baik pulih masjid dan sekolah agama sepanjang tempoh 2008-2012.

MB guru Kafa SAR 02

Kita juga telah menaikkan elaun guru-guru Sekolah KAFA dari RM400 ketika pemerintahan Dr Mahathir kepada RM1300 hari ini. Pengiktirafan yang kita berikan ini antara salah satu cara kita meningkatkan ilmu agama di kalangan anak-anak Melayu Islam sebagai pelaburan modal insan.

Sebaliknya pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, Sekolah-sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Tahfiz seringkali diugut dengan pembubaran. Pelbagai alasan dangkal yang diberikan Dr Mahathir.

Banyak juga kenyataan menghina yang dikeluarkannya ketika itu antaranya; anak-anak Melayu yang bersekolah kebangsaan waktu pagi dan ke sekolah agama sebelah petangnya akan keletihan dan lemah dalam pelajaran. Sedangkan tidak banyak faedah bersekolah agama di sebelah petang, sekadar menghafal doa makan dan masuk tandas sahaja.

Pada Dr Mahathir, amalan berjaga malam untuk berqiamulail hanya menjadikan anak-anak Melayu ini kurang tidur lantas melemahkan sel-sel otak mereka, lembab dan tercicir di dalam pelajaran.

Rakyat di negeri ini masih belum lupa penghinaan tersebut dan jika mahu disebut satu persatu perlakuan Dr Mahathir terhadap agama Islam serta penghinaan terhadap umat Islam, kita sendiri yang akan terasa malu dengan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam kerana ada di antara kita bersikap jelek begitu. Tiba-tiba hari ini Dr Mahathir cuba menjadi jaguh agama.

Memang benar kata-kata seorang ulama terkenal di negara ini yang menyatakan jika seseorang itu telah bergelar ?Mantan? ini bermakna kata-kata serta pandangannya sudah tidak relevan lagi. Jangan diambil pusing, elok sahaja dibiarkan melalak tanpa perhatian.

Ini sangat bertepatan sekali dengan situasi Dr Mahathir ketika ini. Nampaknya beliau masih berilusi dan mengalami sindrom penafian bahawa beliau sudah menjadi mantan hampir 10 tahun lamanya.

Dr Mahathir juga membuat tuduhan jahat kononnya nasib orang Melayu akan tergadai jika pembangkang memerintah Selangor. Mahathir perlu tahu Umno adalah pembangkang di Selangor; melatah dan tersasul sememangnya sifat seorang mantan 10 tahun yang gagal menerima hakikat bahawa kuasa sudah bukan miliknya lagi.

Kita tidak menafikan Dr Mahathir meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamat asalnya membantu orang Melayu. Malangnya dasar itu ternyata gagal dalam pelaksanaannya kerana agihan kekayaan yang tidak adil dan tidak telus.

Amalan kronisme; memperkaya suku sakat sangat berleluasa dan ?dihalalkan? atas dasar menjaga kepentingan Melayu. Sasaran 30 peratus ekuiti orang Melayu tidak tercapai kerana salah guna kuasa dan kecurangan yang diamalkan.

Hanya segelintir Melayu yang mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno menikmati keistimewaan tersebut manakala masyarakat Melayu teramai ketinggalan dan kekal di takuk lama.

Pada Dr Mahathir, Melayu bererti Halim Saad, Tajudin Ramli, Syed Mokhtar dan beberapa kerat nama lagi termasuk Mokhzani dan Mukhriz Mahathir. Adakah yang dimaksudkan Dr Mahathir menjaga kepentingan Melayu adalah untuk menjaga kepentingan segelintir nama di atas?

Bukan dasar kita membongkar apa yang telah dilakukan Umno sepanjang pemerintahan mereka di Selangor. Kita maklum kerana kerakusan mereka merompak hasil negeri ini maka mereka terhukum pada 2008.

Namun, tuduhan melampau Dr Mahathir menjadikan saya teruja untuk mendedahkan sedikit apa yang dikatakan ?menjaga kepentingan Melayu? itu. Melalui semakan rambang, kita dapati ratusan ekar tanah dimiliki Umno Selangor atas dasar Melayu dan Bumiputera.

ng suee lim sapu tanah satu malaysia SAT1M

Apabila perkara ini didedah di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, mereka dengan angkuh mengatakan apa salahnya mereka mengambil tanah rakyat ini kerana kononnya merekalah yang telah membangunkan negeri ini !!

Ratusan ekar tanah mereka perolehi hanya dengan membayar premium paling minima RM100 setiap ekar. Kebanyakan tanah tersebut kini telah dimajukan dan dijual dengan harga ratusan juta kepada syarikat swasta yang bukan milikan Bumiputera.

Saya tidak bermaksud mempersoal pemilikan tanah oleh bukan bumiputera tetapi sikap hipokrasi UMNO begitu menjengkelkan. Peliknya, ketika menjual hartanah tersebut kepada syarikat swasta dengan keuntungan berlipat ganda, tidak pula mereka bertempek ?Hidup Melayu?!!

Mengapa Dr Mahathir tidak menghalang pimpinan Umno ini dari menggadai tanah-tanah orang Melayu ini kepada orang bukan Melayu? Mana perginya kedaulatan, maruah dan harga diri orang Melayu yang dilaung-laungkan?

Kita juga mendapati ketika pemerintahan Umno di Selangor, ribuan ekar Tanah Rezab Melayu yang terletak di bandar telah ditarik keluar dan dijadikan milikan bebas. Diganti pula dengan tanah di hujung kampong seperti di Panchang Bedena, Sabak Bernam serta di Hulu Selangor.

Maka terletaklah Tanah Rizab Melayu jauh dari kota kerana pada Umno, orang Melayu layaknya hidup terperosok di kampung-kampung.

Kerana itu jugalah, apabila kerajaan Pakatan Rakyat berusaha meningkat taraf hidup orang Melayu dengan memberi peluang memiliki aset bertaraf dunia seperti pembangunan Datum Jelatek, hiruk pikuk Umno membantah pembangunan tersebut. Umno mahu Melayu kekal berniaga di warung-warung dengan bermentaliti pemilik gerai.

Dr Mahathir juga antara manusia yang bertanggungjawab memperkenalkan konsep penswastaan di negara ini. Seperti DEB, penswastaan juga bermatlamat murni namun pelaksanaan tempang dan curang telah menjadi beban kepada rakyat tetapi syurga kepada kroni dan pimpinan Umno.

Contoh terdekat bagi negeri Selangor ialah penswastaan konsesi air. Meskipun tidak mempunyai kepakaran dan kemampuan kewangan namun oleh kerana beliau adalah Bendahari Umno Selangor, seorang Melayu maka konsesi industri air yang bernilai berbilion ringgit diserahkan kepadanya.

Akhirnya beliau menikmati kekayaan melampau di atas kesengsaraan rakyat menanggung bil air yang tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan. Tidak terdengar satu ayatpun dari Dr Mahathir ketika rakyat Selangor berjuang berhabisan mempertahankan hak air mereka. Dr Mahathir berpura-pura seolah-olah hidup di dunia berbeza.

Talam KR

Mana pergi suara Dr Mahathir ketika kita membongkar pengkhianatan Umno yang memberikan ribuan ekar tanah serta ratusan juta ringgit kontrak kepada Tan Sri Chan Ah Chai melalui Syarikat Kumpulan Talam? Mengapa Mahathir senyap sunyi apabila kita dedahkan Talam berhutang RM392 juta kepada rakyat Selangor hampir sedekad lamanya dan gagal dituntut oleh UMNO?

Tahu atau tidak Dr Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang mempunyai kekuatan politik untuk mengutip hutang-hutang tersebut? Sedarkah Dr Mahathir kerajaan Pakatan Rakyat telah pulangkan jumlah RM390 juta tersebut kepada rakyat miskin di negeri ini yang sebahagian besar adalah orang Melayu?

Tidak terbayang di minda kita bagaimana beliau boleh menuduh Pakatan Rakyat akan menghancurkan orang Melayu kecuali kita menerima hakikat bahawa faktor usia telah melemahkan daya pemikiran beliau.

Seawalnya saya cuba untuk tidak mengingati kerosakan yang telah dilakukan Dr Mahathir pada kebanyakan institusi penting Negara selama 22 tahun pemerintahannya.

Polis, Kehakiman, Perkhidmatan Awam menjadi kucar kacir dan hilang intergriti. Tetapi memandangkan beliau ghairah untuk beraksi selaku ?de facto? Perdana Menteri mungkin kerana Perdana Menteri hari ini begitu lemah dan gagal maka rakyat terutama orang Melayu yang ?mudah lupa? perlu diingatkan bahawa insan bernama Mahathir yang telah memporakperandakan kesatuan orang Melayu khusus ketika peristiwa hitam Badan Kehakiman 1988 dan insiden Mata Lebam 1998.

Ini belum lagi menyentuh bagaimana Malaysia kehilangan berbilion ringgit dalam permainan mata wang oleh orang kepercayaan beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.

Pendedahan Barry Wain (mendiang) dalam bukunya bahawa ketika pemerintah Dr Mahathir, Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM100 billion kerana rasuah dan salah guna kuasa masih gagal dijawab oleh beliau sehingga ke hari ini.

Malah perkara terbaru yang begitu serius ialah apabila Siasatan Suruhanjaya DiRaja Kewarganegaraan Sabah mendedahkan penglibatan langsung Dr Mahathir menjual kewarganegaraan kepada bangsa asing (yang pastinya bukan Melayu) semata-mata mahu kekal berkuasa.

Tanpa rasa malu mahupun berdosa terhadap rakyat dan bangsa Malaysia Dr Mahathir mengakuinya dan sanggup pula mengheret Almarhum Tunku Abdul Rahman ke dalam isu tersebut.

Rasanya tiada perkataan yang sesuai dan layak diungkapkan terhadap insan bernama Mahathir ini apabila kita mengimbau segala kerosakan yang telah dilakukannya. Jauh di sudut hati saya terfikir, pastinya Dr Mahathir bersyukur Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan di negara ini. Kekadang terdetik juga, alangkah baiknya jika sebaliknya .. !!!

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA YAB DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
SELANGOR

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran 01

SHAH ALAM, 22 JAN : Jumlah kutipan zakat harta dan fitrah di Selangor pada tahun 2012 melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM451 juta berbanding RM394.1 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa pada sidang media khas yang diadakan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Menurut Adzib, jumlah kutipan ini melebihi daripada sasaran RM430 juta yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kenaikan sebanyak 14 peratus dan perbezaan sejumlah RM59.6 juta.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM432.2 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM18.8 juta daripada zakat fitrah.

“Pada tahun 2012, LZS mengutip zakat harta sebanyak RM432.2 juta, berbanding RM376.1 juta pada tahun sebelumnya. Jumlah kutipan zakat terbesar mengikut segmen disumbangkan oleh Zakat Pendapatan (RM260.5 juta), diikuti Zakat Perniagaan (RM85 juta); Zakat Simpanan (RM30.5 juta); Zakat KWSP (RM7.8 juta); Zakat Saham (RM7.8 juta); Zakat Emas dan Perak (RM2.1 juta); Zakat Harta (RM34.6 juta); Zakat Tanaman (RM2.6 juta), Zakat Ternakan (RM0.03 juta) dan Qada Zakat (RM1.4 juta).

“Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lalu ialah seramai 210,723 orang (meningkat 17 peratus) berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, seramai 44,488 orang merupakan pembayar baru di LZS,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi tahun 2012, Mais melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM18.8 juta, berbanding RM18 juta pada tahun 2011.

Tambahnya, LZS turut meletakkan sasaran kutipan zakat bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM470 juta iaitu kenaikan sebanyak 4 peratus berbanding pencapaian tahun lalu.

Katanya lagi, program pencarian fakir dan miskin yang dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diperkenalkan sejak 2011 juga kini telah mendaftarkan seramai 932 keluarga untuk menerima pelbagai bantuan.

Dalam pada itu, LZS juga akan melaksanakan beberapa inisiatif baru pada tahun ini antaranya Klinik Bergerak dan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor(KPJ).

“Manakala pusat jagaan warga emas yang bertempat di Jalan Kebun, Shah Alam itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini. Pusat jagaan ini akan memberi perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan bagi warga emas lelaki dan wanita,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : Beri Peluang Bekas Penagih Kembali Kepada Masyarakat

Rodziah Mic Kuning 01

SHAH ALAM 29 DIS : Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar tidak meminggirkan bekas-bekas penagih dadah atau mereka yang bergelar Orang Kena Pengawasan (OKP).

Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, golongan tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya agar mereka dapat membina jati diri untuk kembali bermasyarakat dan tidak ketinggalan dalam era pembangunan negeri mahupun negara.

Beliau menyampaikan amanat tersebut sewaktu ucapan perasmiannya di Seminar Pemantapan Sahsiah Diri Bekas Pengguna Dadah yang diadakan di Wisma PKPS di sini pagi tadi.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha agar semua pihak mendapat tempat dalam masyarakat, tanpa mendiskriminasikan golongan tertentu sekalipun golongan OKP.

“Mereka ini wajar diberikan peluang untuk membuktikan bahawa diri mereka sudah berubah dan bersedia untuk menyahut cabaran bersaing seperti orang lain dalam sektor pekerjaan dan sebagainya.

“Inilah cabaran paling besar golongan ini tetapi kita yakin, dengan adanya keazaman dan kerjasama semua pihak, perkara ini pasti dapat diatasi,” tegas Rodziah yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Seminar tersebut merupakan sebuah program motivasi anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan Pemadam, Pengasih dan pertubuhan Budi.

Dalam pada itu, Pengerusi Bahagian Pemulihan Al-Riqas MAIS, Hafizatul Akmal Abd Jalil berkata pihaknya akan menambah peruntukan bantuan kepada golongan OKP pada tahun hadapan.

“Program bantuan sudah dimulakan Mac tahun ini dan sehingga kini kita telah peruntukan dana melebihi RM1 juta bagi membantu golongan ini dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

“Antara lain kita memberi bantuan kewangan dan sara hidup kepada yang layak, bantuan pusat-pusat pemulihan selain turut membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan,” jelas Hafizatul lag.

Selain Rodziah dan Hafizatul, turut hadir ialah Pengerusi Pengasih Selangor, Che Pei Omar, Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Norfazli Ismail serta Adun Meru yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman.

Seminar satu hari itu mensasarkan penyertaan 300 golongan OKP daripada semua daerah di Selangor dan terbuka kepada semua kaum.