Categories
SELANGOR

Selangor Sasarkan 50 Pingat Emas Dalam SUKMA

Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kontijen Selangor berupaya memenangi pingat emas di dalam semua acara dan menjadi juara keseluruhan SUKMA.

?Kita mengharapkan kita akan dapat (mencapai sasaran). Kalau kita berjaya memperoleh 55 pingat emas bererti kita berada dalam kedudukan selesa untuk menjadi juara (keseluruhan).

?Kita cuba,? kata Dr Ahmad Yunus selaku Ketua Kontinjen Selangor.

Dalam kejohanan kali ini, pasukan Selangor yang berjaya merangkul pingat emas menerima insentif berjumlah RM3,500 yang akan dibayar secara ‘on the spot’.

SUKMA akan berlangsung di Pahang pada 1 hingga 16 Julai.

Selain itu, Program Bapa Angkat pasukan kontinjen SUKMA 2012 sekali lagi dilaksanakan bagi memastikan seluruh negeri terlibat dalam menyumbang kearah pembangunan sukan negeri ini.

Program ini melibatkan barisan Exco kerajaan negeri dan Yang diPertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Adun Jenderak, Datuk Mohamad Jaafar menjadi bapa angkat untuk kontinjen Selangor di Pahang sementara Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang (LKPP) bertindak selaku jabatan angkat.

Dianggarkan seramai 650 orang yang terdiri daripada pengurus pasukan, jurulatih, atlet, pegawai-pegawai sukan dan petugas dalam Kontinjen Selangor, SUKMA 2012.

Categories
SELANGOR

Pertandingan Fotografi Cungkil Bakat Penduduk Kampung Baru

SHAH ALAM, 10 MEI : Pertandingan fotografi anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru berjaya mencungkil bakat peserta dalam bidang itu khususnya di kalangan penduduk kampung baru.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program seumpama itu bukan sahaja berupaya menambah ilmu pengetahuan, bahkan turut meningkatkan kemajuan serta taraf hidup penduduk luar bandar.

Abdul Khalid turut menyifatkan pertandingan itu sebagai salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengekalkan ingatan serta memori terhadap kampung baru.

“Secara tidak langsung ia dapat mempromosi keunikan serta kepelbagaian budaya di kampung-kampung baru (bagan atau tersusun) di negeri Selangor kepada rakyat bukan Cina serta pelancong dari dalam atau luar negara.

“Syabas saya ucapkan kepada semua peserta pertandingan fotografi pada musim ini,” ujarnya.

Beliau berkata, pertandingan itu juga dapat membuka peluang kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira usia untuk lebih mengenali kampung halaman mereka.

Tambahnya, menerusi program ini, kenangan di kampung dapat diabadikan dalam bentuk fotografi untuk tatapan generasi sekarang dan generasi berikutnya.

“Pada tahun 2011, kerajaan negeri sudah melancarkan laman web rasmi Kampung Baru Cina di negeri Selangor. Saya berharap gambar-gambar hasil pertandingan fotografi ini dapat dimuat naik ke laman web itu untuk tatapan umum,” katanya.

Abdul Khalid berkata, demikian semasa menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi di Bangunan SUK hari ini.

Pertandingan julung kali yang berlangsung selama dua bulan itu turut mendapat kerjasama daripada Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Unit Perancang Ekonomi Negeri.

Pertandingan itu diselenggarakan di tiga buah kampung terpilih di negeri ini dan seramai 13 peserta dipilih sebagai pemenang.

Hadir sama, Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Rodziah Ismail, Ronnie Liu dan Elizabeth Wong.

Sementara itu, salah seorang peserta, Nguan Wee Yong, 50, melahirkan kegembiraan apabila dipilih menjadi antara pemenang bagi kategori fotografi cemerlang.

Wee Yong yang menggunakan tema makanan tradisi Cina dalam fotografinya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500 beserta sijil penghargaan.

“Fotografi merupakan minat saya sejak muda lagi. Selain daripada menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan, saya turut meluangkan masa menjadi jurukamera bebas.

Saya berharap kerajaan negeri dapat menganjurkan pertandingan seperti ini lagi di masa-masa akan datang supaya lebih banyak bakat dapat dicungkil,” katanya.

Tidak ketinggalan, Lew Chee Leong, 40, turut berkongsi kegembiraan sama apabila dipilih sebagai finalis dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200 beserta sijil.

“Walaupun tidak dipilih sebagai pemenang, tetapi saya tetap gembira apabila disenaraikan sebagai finalis. Saya pasti akan menyertainya di masa akan datang sekiranya kerajaan negeri menganjurkannya lagi,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Isu Pasang Bendera: MDKL Akan Ambil Tindakan

KUALA LANGAT 25 APR : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) akan mengenakan kompaun terhadap mana-mana pihak yang menaikkan bendera parti di kawasan awam di luar waktu yang dibenarkan.

Dalam Mesyuarat Ahli Majlis pagi tadi, Pemangku Yang Di Pertua MDKL, Muhammad Hafiz Shaari bagaimanapun berkata, memandangkan bendera-bendera tersebut dipasang bukan diwaktu kempen pilihanraya akan menjadi suatu kesalahan dibawah undang-undang PBT.

“Kita akan berbincang lebih lanjut dan akan memperhalusi setiap jumlah cadangan yang dirasakan sesuai dikenakan terhadap pesalah.

“Apapun, kita akan terlebih dahulu meminta wakil pihak parti politik yang berkenaan untuk menurunkan bendera bagi mengelakkan tindakan penguatkuasa,” jelas Hafiz.

Buat masa sekarang, pihak MDKL hanya menurut garis panduan yang diberi oleh Kerajaan Negeri berkenaan isu bendera ini.

“Seperti yang dipersetujui Majlis Mesyuarat Exco Negeri, bendera hanya boleh dipasang 2 hari sebelum dan selepas sesuatu program parti politik.

“Jadi, sebarang keputusan atau tindakan yang dibuat tidak seharusnya bertentangan dengan keputusan Kerajaan Negeri,” ujar Hafiz sambil memberitahu tindakan MDKL terhadap pesalah ketika ini adalah menyimpan sebarang bendera yang dirampas.

Ketika diminta mengulas pemasangan bendera di kawasan kedai atau rumah persendirian, beliau menjelaskan perkara tersebut di luar bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita hanya boleh mengambil tindakan untuk kawasan awam, bagi kawasan persendirian mereka berhak untuk meletakkan bendera apa sahaja mengikut kemahuan mereka,” kata Hafiz.

Categories
SELANGOR

Grand Final Futsal Jelajah Selangor, 5 Mei

SHAH ALAM 24 APR : Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan Negeri akan menganjurkan Peringkat Akhir Kejohanan Futsal Jelajah Selangor 2012 yang menyaksikan 24 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita daripada seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal berentap merebut gelaran.

Kejohanan tersebut akan berlangsung pada 5 Mei nanti bertempat di Sports Planet Ampang, Ampang Jaya.

Exco Belia dan Sukan, Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata penganjuran yang masuk tahun ke-empat ini merangkumi perlawanan di peringkat PBT sebelum dua pasukan terbaik bagi setiap PBT dipilih bagi memasuki peringkat akhir.

“Bagi peringkat PBT, penganjur kejohanan ini adalah Penggerak Belia Tempatan (PeBT) dengan seliaan dari pihak PBT.

“Setiap pasukan bertanding dikenakan yuran sebanyak RM 100 selain sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM 10, 000 bagi setiap PBT untuk melaksanakan kejohanan tersebut,” jelas Dr. Ahmad Yunus dalam satu sidang media sebentar tadi.

Beliau turut memberitahu, beberapa perlawanan istimewa antara pasukan jemputan juga disusun pada hari tersebut.

“Antaranya kita mempunyai pasukan artis yang akan berentap dengan pasukan TVSelangor sebagai perlawanan pertunjukan.

“Selain itu, kita juga akan menjemput pasukan daripada Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan untuk memeriahkan acara,” ujar beliau lagi sambil menambah motto kejohanan pada tahun ini ialah ‘Mencari Bintang’.

Untuk peringkat PBT, setiap pasukan menerima medal dan sijil penghargaan selain Johan dan Naib Johan masing-masing menerima RM 1,000 dan RM 500.

Sementara itu, untuk Kejohanan Peringkat Akhir nanti, Johan kategori pasukan lelaki akan menerima RM 5,000 berserta medal, sijil, Piala Iringan dan Piala Pusingan.

Bagi kategori wanita pula, Johan akan membawa pulang RM 3, 000 juga bersama dengan medal, sijil, Piala Iringan dan Piala Pusingan.

Penganjuran Kejohanan Peringkat Akhir turut mendapat kerjasama dari Pasukan Bolasepak Selangor (FAS) dan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS).

MPSJ Kemuka Rayuan Di Mahkamah Untuk Baiki Tembok Penahan

SUBANG JAYA, 19 APR: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menghantar permohonan rayuan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya berkaitan kerja-kerja memperbaiki tembok penahan yang runtuh di Jalan Puteri 9/2A, Bandar Puteri 9, Puchong.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Jabatan Undang-Undang MPSJ, Anita Jalil berkata, dua penghuni rumah terlibat berjaya mendapatkan perintah injuksi mahkamah berkaitan tanah milik mereka yang digunakan sebagai laluan alternatif.

” Penduduk terlibat berjaya mendapatkan perintah mahkamah seterusnya menghalang pihak pemaju untuk melakukan kerja baik pulih tembok penahan yang runtuh tersebut,” ujarnya ketika sidang media di Bangunan MPSJ hari ini.

Katanya, tindakan mereka ini hanya akan memburukkan keadaan kerana pihaknya sudah memberi jaminan tembok pagar rumah mereka akan dibaiki semula seperti sediakala selepas proses memperbaiki tembok penahan ini selesai.

Terdahulu, notis di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) diberikan kepada empat pemilik lot rumah banglo terlibat bagi memberi kebenaran untuk dirobohkan pagar bagi pembinaan laluan alternatif sementara pihak pemaju memperbaiki tembok penahan tersebut.

Mengikut Akta 133, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikan kuasa untuk menyelenggara dan membaiki jalan-jalan awam dengan memberikan notis bagi meruntuhkan binaan dalam masa yang ditetapkan dan mengambil langkah-langkah yang difikirkan wajar oleh PBT.

Sementara itu, laluan alternatif yang telah siap pada 16 April lalu akan digunakan oleh 57 penghuni rumah. Manakala  pemaju, IOI Sdn Bhd akan melakukan kerja baikpulih.

Namun, dua penghuni rumah terbabit berjaya mendapatkan perintah injuksi mahkamah pada 17 April lalu bagi menghalang pihak MPSJ membuka laluan alternatif tersebut.

Sebelum ini, wujud pihak tidak bertanggungjawab mengadakan bantahan mengenai laluan alternatif tersebut dan turut bertindak menghalang jalan tersebut dengan meletakkan kereta dan batu bata.

MPSJ Menuju Ke Arah Bebas Rasuah

SUBANG JAYA, 19 APR : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini melancarkan Kempen ‘MPSJ Benci Rasuah’ 2012 dan Pameran Anti Rasuah sebagai inisiatif terhadap usaha menuju ke arah bebas rasuah di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sehubungan itu, pelancaran kempen yang merangkumi Komitmen Integriti MPSJ  ini adalah salah satu usaha dalam usaha memerangi gejala rasuah di kalangan warga kerjanya dan orang awam.

Jesteru itu, Komitmen Integriti ini bertujuan memainkan peranan yang aktif untuk menyedarkan warga MPSJ dari semasa ke semasa dengan beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh warga kerjanya.

Menurut Timbalan Yang Di Pertua MPSJ, Abdullah Marjunid berkata, kepercayaan dan pandangan orang ramai terhadap badan pentadbiran awam bergantung kepada integriti organisasi tersebut.

Tambahnya, MPSJ kini menuju ke arah suatu perubahan yang lebih positif dengan melakukan beberapa transformasi penambahbaikkan konsep yang diamalkan sekarang.

” Jika kita tidak mengamalkan konsep integriti, MPSJ khususnya dipandang rendah dan secara tidak langsung sokongan orang ramai terhadap kita akan berkurangan,” katanya dalam ucapan di Dewan Kenanga MPSJ hari ini.

Selain itu, dengan adanya inisiatif ini, warga MPSJ dapat mempelajari konsep sebenar integriti seterusnya dapat mewujudkan masyarakat yang bermoral dalam memberikan perkhidmatan kepada penduduk.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohammad dan turut dihadiri oleh pengarah, ahli-ahli majlis serta pegawai dan kakitangan di Dewan Kenanga MPSJ.

Categories
NASIONAL

Pasang Bendera Parti Langgar Undang-Undang Pilihanraya

KUALA LUMPUR, 19 APR: Kegairahan Umno-BN menggantung bendera dalam usaha meraih kembali sokongan rakyat sehingga sanggup memperalat agensi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)  sebenarnya telah mencabul undang- undang pilihanraya.

Exco Selangor, Teresa Kok berkata, mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),  semua kempen bermula hanya selepas Parlimen dibubarkan.

Tindakan ini jelas melanggar peraturan pilihanraya namun  sehingga kini tidak ada sebarang tindakan atau arahan yang dikeluarkan supaya bendera tersebut diturunkan atau ditarik semula.

Beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya semua bendera parti dalam program Pakatan Rakyat hanya boleh digantung 48 jam sebelum dan selepas program.

“Bagi kerajaan Selangor,  kita telah mengeluarkan arahan kepada semua PBT yang mana bendera parti Pakatan Rakyat hanya boleh digantung selama 48 jam sebelum atau selepas sesuatu program. Kami mahu mengikuti undang-undang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh  menambah, pelanggaran undang-undang ini  bukan sahaja berlaku di kawasan yang dikalsifikasikan sebagai harta awam sebaliknya mereka turut menggunakan lebuhraya sebagai kawasan untuk ‘berkempen’.

“Kita lihat mereka juga menggunakan lebuh raya. Mereka memberikan alasan lebuh raya dibawah penguatkuasaan kerajaan pusat. Waktu pilihanraya masih belum tiba untuk mereka mengedarkan bendera-bendera ke rumah pangsapuri dan kos rendah serta menggantungnya adalah satu kesalahan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi KTMB Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang juga koordinator BN Selangor menafikan mengeluarkan arahan bendera dipasang di seluruh 28 stesen di Selangor yang kini ditadbir oleh Pakatan Rakyat.

Berdasarkan laporan portal Malaysiakini, tujuh stesen Komuter bermula di laluan Kuala Lumpur-Pelabuhan Klang mendapati dua stesen dekat Shah Alam sudah dipasang dengan bendera BN. Kelihatan lebih 30 bendera di pasang, kebanyakannya di kawasan pagar di stesen Batu Tiga dan sekurang-kurangnya 10 bendera lagi dipasang di stesen Shah Alam.

Bagaimanapun, di Batu tiga, selain di pagar Komuter, kelihatan beberapa rumah sepanjang landasan kereta api juga kelihatan dipasang dengan bendera parti sama.

MPSJ Beri Jaminan Tembok Pagar Rumah Akan Dibaiki Semula

SUBANG JAYA, 17 APR : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memberi jaminan bahawa tembok pagar banglo yang di robohkan di Jalan Puteri 9/2A Bandar Puteri 9, Puchong akan dibaiki semula.

Menurut Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, tembok pagar yang dirobohkan bagi pembinaan laluan sementara di kawasan itu akan dibaiki semula selepas tempoh enam bulan.

Beliau berkata, laluan alternatif tersebut penting bagi pemaju untuk menjalankan kerja-kerja memperbaiki tembok penahan yang runtuh bagi mengukuhan semula struktur tanah.

Laluan sementara yang berukuran lima meter lebar dan 70 meter panjang ini akan digunakan oleh 57 buah penghuni rumah lain agar tidak mengganggu proses membaikpulih kawasan yang terlibat.

“Laluan sementara ini akan digunakan bagi menjamin keselamatan pengguna Jalan Puteri 9/2 dan Jalan Puteri 9/2A untuk ke unit kediaman mereka tanpa melalui kawasan pembinaan,” katanya di sidang media di Bangunan MPSJ hari ini.

Selain itu, notis di bawah Akta 133 diserahkan kepada empat pemilik lot rumah terbabit supaya membenarkan pihak pemaju menjalankan kerja-kerja membuat jalan alternatif di kawasan itu.

Menurut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikan kuasa untuk menyelenggara dan membaiki jalan-jalan awam dengan memberikan notis bagi meruntuhkan binaan dalam masa yang ditetapkan dan mengambil langkah-langkah yang difikirkan wajar oleh PBT.

Sehubungan itu, laluan alternatif yang menggunakan sebahagian halaman rumah No.1, Jalan Puteri 9/2A dimulakan pada 6 April 2012 dan siap diturap pada 16 April 2012.

Sebelum ini, pihak yang tidak berpuas hati dengan pembinaan laluan alternatif itu bertindak dengan meletakkan kereta dan batu-bata bagi menghalang jalan tersebut.

Categories
SELANGOR

Dalamkan Sungai,Elak Banjir di Ampang

SHAH ALAM, 16 APR : Kesemua sungai utama di sekitar Ampang perlu didalamkan semula sebagai alternatif jangka masa panjang bagi mengelakkan kejadian banjir kilat dari terus berulang.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Datuk Mohammad Yacob, pendalaman kesemua 12 sungai di kawasan itu kali terakhir dilakukan pada 2005 dengan peruntukan melebihi RM5 juta.

Beliau berkata, tindakan itu perlu dilaksanakan segera memandangkan taburan hujan di Ampang adalah tidak menentu yang ada kalanya melebihi paras normal, 70 milimeter (mm).

Jelasnya, penurunan hujan yang direkodkan pada 7 Mac lalu adalah 164mm, di mana melebihi paras maksimum sistem perparitan (longkang) yang dibina.

“Sejak 2006, sistem perparitan dan longkang diselenggara oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Peruntukan ini kebiasaannya didahulukan PBT dan kemudiannya dibayar semula oleh kerajaan negeri.

Untuk jangka masa pendek, MPAJ telah membaiki kebanyakan longkang di Ampang dengan kos melebihi RM27 juta. Kita tidak mampu untuk membaiki kesemua sistem perparitan secara serentak kerana ia menelan belanja tinggi. Bagaimanapun, kita akan terus membaiki serta menambah sistem saliran supaya dapat menampung hujan yang turun,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Selangor (SELCAT) berhubung usaha MPAJ untuk mengelak banjir di kawasan berkenaan.

Tambahnya, pihak MPAJ turut mengenakan syarat ketat kepada pemaju untuk membina sistem perparitan teratur terutama di kawasan perumahan baru.

Ia merujuk kepada konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) yang diperkenalkan pihak Jabatan PJPS  sebagai garis panduan kepada setiap pembinaan perumahan baru.

“Pada tahun 2000, JPS memperkenalkan kaedah ini yang perlu digunapakai oleh setiap pemaju di Selangor. Saya juga meminta pihak JPS untuk melihat keadaan sungai di Selangor dan mencadangkan supaya kolam takungan dibina dengan lebih banyak,” jelasnya.

Pada 7 Mac lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang antaranya Kampung Lembah Jaya Utara, Kampung Melayu Ampang serta Kampung Pinggir Tiga ditenggelami air akibat hujan lebat tanpa henti selama empat jam.

Hujan lebat itu turut mengakibatkan banjir teruk di beberapa kawasan lain di Kuala Lumpur seperti Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Tun Razak dan Bukit Bintang.

Categories
SELANGOR

MB Hargai MPSJ Bukukan Pelan Strategik

SHAH ALAM 16 APR : Buku Pelan Strategik Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 2012-2020 dijangka menjadi pencetus budaya perkhidmatan awam yang lebih cemerlang di kalangan warga kerja Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyempurnakan majlis pelancarannya pagi tadi berkata, komitmen yang ditunjukkan MPSJ harus diteladani Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain.

“Saya menghargai atas inisiatif dan usaha MPSJ membukukan pelan strategik mereka untuk diaplikasikan dalam usaha mentransformasikan perkhidmatan awam.

“Ini menunjukkan bukti usaha dan kesungguhan MPSJ dalam mempertingkatkan kualiti sistem penyampaian kepada pelanggan yang mana PBT lain haruslah mencontohi rancangan jangka panjang sebegini,” ucap Abdul Khalid dalam majlis yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini.

Sementara itu, Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi ketika diminta mengulas lanjut mengenai pelan strategik berkenaan memberitahu ianya dibentuk melalui perbincangan bersama kumpulan masyarakat.

“Kita mengadakan perjumpaan dengan 99 buah kumpulan untuk mengumpulkan input dan kehendak mereka untuk dilaksanakan dalam pelan strategik ini.

“Kehendak mereka ini kita zahirkan dalam enam teras strategik iaitu tadbir urus, perbandaran hijau, ekonomi dan kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi, komuniti dan penyertaan masyarakat serta infrastruktur dan kemudahan awam,” jelas Asmawi sambil menambah salinan pelan berkenaan akan diedarkan ke kuarters dan kumpulan masyarakat sekitar Subang Jaya.

Selain Majlis Pelancaran Pelan Strategik MPSJ, turut diadakan adalah Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPSJ kepada 110 kakitangannya selain penganugerahan sijil MS ISO 9001:2008 kepada MPSJ yang kesemuanya disampaikan Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

MB: Ahli Majlis PBT Wajib Turun Padang

SHAH ALAM, 10 APR : Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor diwajibkan untuk terus aktif melakukan program turun padang dan meluangkan masa bersama masyarakat setempat.

Sehubungan itu, ahli Majlis dapat dijadikan penghubung untuk menyampaikan dan menyelesaikan urusan berkaitan penduduk, menerima maklum balas atau aduan terhadap mutu perkhidmatan yang disediakan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian di dalam ucapan perasmian sempena Persidangan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Selangor bagi penggal 2012/2013.

Katanya, ahli-ahli Majlis yang dilantik ini bertujuan untuk mengurangkan kelemahan dalam pentadbiran serta membanteras penyelewengan dan rasuah.

“Ahli-ahli yang dilantik diseru untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kerana ini adalah amanah yang telah diberi kepada kita semua,” ujar Abdul Khalid.

Turut hadir di majlis ini ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi dan barisan Exco-Exco Selangor iaitu Yaakob Sapari, Ronnie Liu Tian Khiew, Xavier Jayakumar.

Menurut Abdul Khalid, ahli Majlis PBT merupakan platform untuk merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri yang melancarkan zon bersih sejak 2009.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu pula menyatakan ahli-ahli majlis yang dilantik semula mempunyai banyak pengalaman dan pengajaran yang dipelajari untuk digunakan pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri lebih menekankan latar belakang calon-calon ahli majlis sebelum pelantikan dibuat agar penambahbaikan terhadap mutu perkhidmatan ahli majlis PBT dapat ditingkatkan,” jelas Ronnie ketika memberi ucapan.

Sementara itu, bagi penggal 2012/2013 sebanyak 33 peratus ahli Majlis merupakan ahli-ahli yang baru dilantik.

Menurut Ronnie, ahli Majlis akan dinilai dari segi pencapaian mereka sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus bagi menentukan pencapaian yang telah berjaya dilaksanakan.

Categories
SELANGOR

Wang Tunai RM60,150 Menanti Pemancing Di Klang

KLANG: Hadiah wang tunai RM60,150, 50 hamper, empat televisyen LCD 32 inci dan
500 kemeja-T menanti pemancing dalam Pertandingan Memancing GP Selangor 2012
pusingan ketiga di Esplanade Tanjung Harapan, di sini Ahad ini.

Pertandingan itu anjuran kerajaan negeri Selangor dengan kerjasama Majlis
Perbandaran Klang (MPK), dikendalikan oleh Wakjali Event Management selaku
pengurus acara. Ia menawarkan hadiah wang tunai RM35,000 untuk juara, kedua
RM12,000 dan ketiga RM6,000. Pemenang keempat menerima RM1,200, dan kelima
RM600. Pemenang keenam hingga kesepuluh menerima RM200, kesebelas ? 25
(RM150) dan ke-26 hingga 40 (RM100).

Penganjur turut menawarkan empat cabutan bonanza televisyen LCD 32 inci
dan 500 kemeja-T untuk peserta yang mendaftar awal. Yuran penyertaan RM90 satu
joran dan setiap peserta dibenar mendaftar dua joran sahaja serta layak menang
satu hadiah bagi setiap pusingan. Kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi
pertandingan bermula jam 10 pagi Sabtu (14 April).

Sebagai simbolik pertandingan, MPK menyampaikan penajaan 500 kemeja-
T dan 30 hamper kepada wakil penganjur. Sumbangan disampaikan Pemangku Yang
Dipertua MPK, Mohd Ikhsan Mukri. Kepada Pengarah Urusan Wakjali Event, Md Zali
Kasran.Turut menyampaikan sumbangan, Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Suhaimi
Mohamad Nor yang menaja kain pemidang dan hamper untuk pemenang.

Md Zali berkata, penajaan daripada MPK dan Penyelaras DUN Pelabuhan Klang
banyak membantu dalam menjayakan acara itu.

?Ini tahun kedua berturut-turut menaja kemeja-T dan hamper untuk pemenang
pertandingan GP Selangor. Acara ini yang diadakan sempena Cabaran Tanjung
Harapan, iaitu acara memancing tahunan anjuran MPK, sering mendapat sambutan
khususnya daripada penggemar memancing kategori pantai.

?Kami berharap, penajaan seperti ini akan dapat menarik minat lebih ramai
peserta mengambil bahagian dalam pertandingan ini,?? katanya.

Menurut Md Zali, selain acara memancing pada Ahad, pihaknya juga akan
menganjurkan acara memancing malam minggu yang menawarkan hadiah RM700
untuk juara, kedua RM300 dan ketiga RM200. Pemenang keempat hingga kesepuluh
menerima RM100 dengan yuran penyertaan RM25.

Pertandingan memancing GP Selangor menawarkan hadiah utama sebuah
kereta Proton Persona bernilai RM55,000, kedua RM10,000, ketiga RM5,000 manakala
keempat hingga sepuluh masing-masing menerima RM1,000.

Acara itu akan diadakan sebanyak 12 pusingan di semua Pihak Berkuasa
Tempatan (PBT) di Selangor dengan matlamat mempromosikan industri pelancongan
domestik.

Selepas ini, GP Selangor akan diadakan Taman Tasik Cyberjaya (Sepang),
Tasik Kota Puteri (Ijok), Pantai Sungai Lang (Sabak Bernam), Pantai Remis (Kuala
Selangor), Ban Canal, Tg Karang (Kuala Selangor), Lombong Buaya (Puchong), Tasik
Taman Banting Baru (Banting), Tasik Millenium (Kuala Kubu Baru) dan pusingan akhir
di Tasik Shah Alam (Shah Alam).

Pertanyaan mengenai pertandingan ini hubungi 013-3588206, 016-2937741 dan
013-3838655.

Caption: Mohd Ikhsan (dua dari kanan) menyampaikan kemeja-T kepada Md Zali
sambil diperhatikan Suhaimi (kanan) dan Ahli Majlis MPK.