Categories
SELANGOR

15 Tahun MPS: MB Gembira Pencapaian MPS

SELAYANG, 31 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melahirkan rasa gembira terhadap pencapaian 15 tahun Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

Selain mengucapkan tahniah kepada warga MPS, menurut Khalid, rekod pentadbiran selama 15 tahun MPS telah membuktikan iltizam yang amat tinggi MPS meningkatkan kualiti perkhidmatan di Selayang.

“MPS juga menunjukkan iltizam untuk meningkatan mutu penyampaian perkhidmatan awam melalui aktiviti-aktiviti kualiti yang diamalkan.

“Antaranya, penubuhan jawatankuasa kualiti peringkat jabatan, aktiviti kumpulan inovatif dan kreatif, perlaksanaan ISO 9001:2008 dan penyediaan pelan startegik 2011-2015.

“Dalam hal ISO saya difahamkan MPS sudah pun mendokumenkan sebanyak 31 skop utama yang hampir kesemuanya meliputi keseluruhan aktiviti kerja MPS.

“Saya gembira kerana usaha tersebut melambangkan semangat kakitangannya untuk melaksanakan tugas mengikut standard yang diiktiraf,”katanya ketika berucapap dalam Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulangtahun ke-15 MPS  di Ideal Convention Centre, Taman Prima Selayang malam tadi.

Sepanjang 15 tahun majlis perbandaran itu ditubuhkan, ia turut berjaya meningkatkan jumlah pegangannya (holdings).

“Daripada stastistik yang ditunjukkan, sepanjang 15 tahun MPS berjaya mencatatkan kenaikan jumlah pegangan.

“Pada 1997, jumlah pegangan berjumlah 65,581 dan meningkat ke 182,570 pegangan pada awal 2012, iaitu pertambahan sebanyak 178 peratus,” kata beliau lagi.

Ketika mengingatkan matlamat utama untuk meningkatkan usaha memberi bantuan kepada masyarakat, beliau turut membidas sesetengah pihak yang hanya mengambil kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dan menyalahkan pihak lain.

“Pihak swasta pula hanya hanya memikirkan keuntungan semata-mata manakala pihak NGO pula hanya pandai menunding jari menyalahkan pihak lain.

“Ingatlah, matalamat utama kita adalah untuk memberi bantuan dan kebajikan kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama mahupun dukungan politik,” ujarnya.

Demi meningkatkan mutu perkhidmatannya, MPS turut mengambil beberapa langkah proaktif agar lebih memudahkan masyarakat berurusan dengan majlis perbandaran itu.

“Saya gembira kerana MPS berusaha gigih memberi kemudahan khususnya kepada orang ramai yang berurusan dengan MPS.

“Antaranya menerusi di pejabat tiga cawangannya, kemudahan bayaran secara online, penyediaan kaunter bergerak dan kaunter pandu masuk,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua MPS, Dato’ Zainal Abidin A’ala turut mengucapkan tahniah kepada warga MPS yang mendapat pengiktirafan empat bintang untuk penilaian Sistem STAR Rating (SSR) baru-baru ini.

“Dan yang terbaru ialah MPS telah mendapat anugerah empat bintang untuk penilaian SSR tahun 2010/2011 yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Sukacita dimaklumkan MPS termasuk di kalangan 21 PBT di seluruh negara yang memperoleh empat bintang.

“Ini adalah merupakan peningkatan di mana penilaian SSR pada 2008, MPS hanya mendapat tiga bintang.  Tahniah kepada semua warga MPS,” ujarnya.

Malam tadi MPS telah mengadakan majlis makan malam sempena Sambutan ulang tahun ke-15 dan Pelancaran Pelan Startegik 2011-2015 di Ideal Convention Centre, Selayang.

Di samping kehadiran kira-kira 800 warga kerja MPS dalam majlis penuh gemilang itu, turut sama ialah Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Selain ucapan MB Selangor dan YDP Selayang, majlis itu turut dimeriahkan  dengan pertandingan Akhir ‘Pop Yeh Yeh’ MPS Idol 2012 dan artis jemputan, Angah Raja Lawak dan Mie Raja Lawak.

Categories
SELANGOR

Pusat Siber Di Semenyih Membimbangkan Penduduk

SEMENYIH, 27 MAC : Kewujudan pusat siber dan permainan video termasuk snuker yang dipercayai beroperasi tanpa lesen kini menimbulkan kebimbangan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih di sini khususnya di kawasan bandar.

Ketua Biro Publisiti Dun Semenyih, Wan Zahari Majid berkata, pihaknya menyedari masalah itu berikutan rungutan orang ramai yang sering memberikan respon mengenainya dan berharap perkara itu mendapat perhatian pihak berkuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, bagi membendung masalah itu, pihaknya sering mengingatkan orang ramai supaya tidak mengunjungi premis perniagaan itu kerana ia memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

“Kita sering mengadakan sesi penerangan kepada orang ramai khususnya golongan muda supaya menjauhi premis perniagaan seperti itu kerana ia tidak membawa kebaikan dalam kehidupan. Malah ia lebih banyak membawa keburukan termasuk masalah sosial di dalam kehidupan masyarakat.

“Gejala ini perlu dibendung segera kerana apa yang kita lihat pusat dipercayai beroperasi tanpa lesen ini masih banyak terdapat di kawasan ini khususnya di bandar,” katanya.

Wan Zahari berkata, Pusat Khidmat Dun Semenyih memberi perhatian di dalam perkara ini dan pihaknya membuat pemantauan berterusan mengenainya.

Beliau berkata, setakat ini penerangan kepada orang ramai giat dilakukan di kawasan penempatan penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.

Tambahnya, sesi motivasi juga diadakan bagi memberi kesedaran khususnya kepada golongan muda supaya tidak mengunjungi  pusat siber dan permainan video tanpa lesen itu.

“Kita sering mengingatkan orang ramai supaya memilih premis berlesen yang sah dan mengunjungi premis tersebut dengan tujuan yang baik serta berfaedah.

“Masalah premis tanpa lesen ini sewajarnya mendapat perhatian pihak berkuasa bagi menanganinya segera. Ia banyak membawa kesan negatif di dalam kehidupan masyarakat kerana ia membuang masa dan melekakan,” katanya.

Sementara itu Penolong Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung, Ariffin Mohammad menjelaskan perkara itu menimbulkan kerisauan kepada penduduk di kawasan ini.

Menurutnya, diharapkan masalah itu diatasi segera dan dapat dikawal supaya bilangannya tidak bertambah pada masa akan datang.

Categories
SELANGOR

Banteras Pusat Hiburan Haram Secara Bersepadu

SHAH ALAM, 22 MAC : Operasi pemeriksaan pusat hiburan haram telah dilakukan beberapa kali mengikut keperluan dan juga merancang operasi secara berkala dengan kerjasama daripada agensi-agensi luar seperti Polis, JAIS dan Agensi Dadah Kebangsaaan.

“Operasi penguatkuasaan secara bersepadu merupakan salah satu kaedah terbaik dalam menangani masalah yang melibatkan pusat hiburan haram,”.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Sementa, Abd Rahman Palil berkaitan kekerapan operasi membanteras pusat hiburan haram di Selangor.

Sehubungan itu, ahli Exco dan Adun digalakkan turun padang untuk menyertai operasi penguatkuasaan ke atas pusat hiburan haram yang terdapat di sekitar Selangor.

Akan tetapi, kuasa yang diberikan kepada PBT terhad untuk membanteras pusat hiburan haram kerana ianya perlu melibatkan kebenaran daripada TNB  untuk pemotongan elektrik dan sebagainya.

“Pemotongan air dan elektrik adalah tindakan yang berkesan tetapi pemotongan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana perlu melalui organisasi  tertentu seperti TNB dan lain-lain,” ujar Ronnie ketika menjawab soalan tambahan dari Abdul Rahman berkaitan pemotongan elektrik dan air di pusat hiburan haram.

Selain itu, Ronnie juga menyatakan ahli-ahli majlis PBT boleh menyertai operasi tetapi tidak diberikan kuasa kerana tidak mahu berlaku salah kuasa dikalangan ahli majlis.

Categories
SELANGOR

ADUN Seri Serdang Cetek Pengetahuan Tentang Hotel Bajet

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor tidak teragak untuk mengambil tindakan terhadap hotel bajet yang melanggar undang-undang, tetapi pada masa yang sama, pentabiran negeri faham yang hotel tersebut memenuhi permintaan pasaran.

Oleh itu Exco Selangor Ronnie Liu Tian Khiew berkata adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk menuduh hotel bajet adalah sarang maksiat.

“Tidak adil kepada pengusaha hotel bajet yang melakukan aktiviti sihat di negeri ini jika ADUN Seri Serdang, Datuk Mohamad Satim Diman menyalahkan kesemua hotel bajet menjalankan aktiviti maksiat,” kata Ronnie yang menyandang portfolio Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Ronnie berkata demikian di luar Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi manyangkal dakwaan yang diutarakan Mohamad Satim di dalam DNS hari ini.

Katanya, trend hotel bajet ini berlaku di seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Perak dan negeri-negeri lain.

“Beliau kena faham, bukan semua orang mampu mendapatkan perkhidmatan hotel mewah. Banyak lagi golongan yang kurang berkemampuan terpaksa menginap di hotel bajet termasuk pelancong.

“Maksiat juga berlaku di pangsapuri, rumah, hotel mewah dan kondominium. Jadi ianya tidak adil kepada pengusaha hotel bajet kerana ada juga pengusaha hotel bajet yang menjalankan aktiviti sihat,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sudah menyediakan garis panduan kepada semua pengusaha hotel bajet.

“Mereka kena mengikut syarat-syarat yang sudah ditetapkan jika tidak lesen mereka akan digantung atau ditarik balik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“PBT atau pihak polis boleh menahan mereka dan membawa ke mahkamah, jadi ini isu penguatkuasaan, tak kan Adun Seri Serdang tidak faham,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tempoh Daftar Kilang Haram Dilanjutkan

SHAH ALAM 20 MAC : Kerajaan Selangor melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Pemutihan Kilang Haram sehingga 31 Disember depan.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Hitam, Ean Yong Hian Wah berkata tempoh itu dilanjutkan berikutan kejayaan Kerajaan Negeri dalam menangani masalah kilang haram.

Ean Yong berkata sehingga Mei tahun lalu, sebanyak 1,021 lot tanah iaitu 45.48 peratus daripada jumlah 2,250 lot tanah pertanian telah mengemukakan permohonan tukar syarat tanah kepada Kerajaan Negeri.

“Pecahan permohonan tukar syarat tanah mengikut daerah pula, Petaling sebanyak 47.61 peratus, Klang 58.99 peratus, Gombak 70.45 peratus, Hulu Langat 29.34 peratus, Kuala Langat 41.15 peratus, Sepang sebanyak 38.64 peratus, Hulu Selangor 47.06 peratus dan Kuala Selangor sebanyak 50 peratus,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Ean berkata sebanyak 857 permohonan telah diluluskan dan jumlah premium tambahan yang berjaya dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM112,261,194.34.

” Bagi kilang haram yang tidak mengambil bahagian dalam program pemutihan itu, mereka boleh diambil tindakan dibawah Kanun Tanah Negara dan juga undang-undang kecil PBT masing-masing,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Baiki Prasarana di Hulu Langat dan Lembah Jaya

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana bagi membaiki prasarana seperti jambatan dan jalanraya yang rosak di dalam banjir yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat dan Lembah Jaya kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerja-kerja baikpulih tersebut dijangka mengambil masa sebulan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat melalui peruntukan geran Selangorku .

Beliau berkata, usaha membaikpulih itu akan dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang mempunyai kepakaran dari segi pembinaan dan khidmat teknikal.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat GLC yang memiliki kepakaran dari segi pembinaan untuk memberi khidmat teknikal dengan melukis pelan dan sebagainya bagi urusan baikpulih prasarana di kawasan itu selain turut meminta kerjasama daripada penduduk setempat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau pembinaan tersebut.

“Saya percaya dengan cara ini, semua pihak akan dapat memahami masalah hasil daripada perancangan bandar dan dengan itu masyarakat bersedia menerima cadangan supaya rizab sungai dapat diusahakan untuk mengelakkan banjir,” tegasnya.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri juga akan membina kolam takungan sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata, projek tersebut akan dikendalikan oleh dua Exco Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Iskandar Abdul Samad.

“Kita akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa banjir dan telah meningkatkan wang tambahan supaya setiap keluarga menerima bantuan sejumlah RM1,000 sebagai kegunaan untuk menghadapi keadaan yang sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian banjir yang berlaku pada 8 Mac lalu, lebih 700 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat selepas hujan lebat yang berlarutan selama empat jam.

Categories
SELANGOR

Kutipan Sampah Terkawal, Kerajaan Negeri Sedia 50 Buah Mesin Kompaktor

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan 50 buah mesin kompaktor baru untuk kegunaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan urusan pengendalian kutipan sisa pepejal di seluruh negeri menjadi lebih efisyen.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu memaklumkan, pembelian ini dibuat memandangkan beberapa kontraktor yang mendapat tander kutipan sampah namun tidak mempunyai kompaktor memandangkan jumlah sampah yang tinggi di beberapa kawasan.

Pembelian ini sebagai langkah memantapkan gerak kerja kutipan sisa pepejal yang dilakukan oleh PBT bermula 1 Mac tahun ini.

Menurutnya kompaktor yang ditempah akan tiba pada April ini dan kadar sewa yang akan diberikan juga berpatutan.

“Kerajaan negeri akan menentukan harga yang berpatutan,” katanya.

Jelasnya pembelian kompaktor ini dibuat kerana terdapat aduan bahawa ada usaha mensabotaj kontraktor yang tidak mempunyai kompektor apabila dikenakan caj sewaan yang tinggi sehingga RM16,000 sebulan.

Situasi ini akan mengakibatkan peningkatan kos kepada kontraktor sehingga mereka tidak mampu untuk melakukan tugas dengan baik.

Berhubung lanjutan masa pengutipan sampah sehingga jam 11.00 malam, langkah ini diambil ekoran terdapat beberapa kawasan yang mengalami masalah kutipan sampah terutama perumahan yang dikawal oleh pegawai keselamatan persendirian.

Biasanya kawasan ini sukar mendapat kerjasama daripada pengawal keselamatan sekaligus menyukarkan kontraktor menjalankan tugasnya.

Turut dimaklumkan kutipan sampah di kawasan pangsapuri mula beroperasi selama enam hari seminggu kecuali hari ahad selain mensasarkan untuk membuat kutipan sampah sebanyak dua kali sehari untuk kawasan komersil.

Beliau menambah, stesen pemindahan sampah Shah Alam di bawah kendalian World Wide mula beroperasi dan sehingga kini menguruskan sejumlah 1,200 tan sampah sehari.

Selain itu, semua PBT juga diberikan peluang membentuk pasukan sendiri untuk menjalankan operasi kutipan sampah dengan syarat tidak melebihi 15 peratus jumlah keseluruhan kontraktor yang ada. Dengan syarat mereka mempunyai kompektor dan beberapa alatan yang diperlukan.

Langkah ini mula dipraktikan oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Ujarnya lagi, kerajaan negeri turut memberikan bantuan kewangan untuk semua PBT bagi menambah kawasan ‘Zon Bersih’.

Ronnie menegaskan, masalah kutipan sampah kini berada dalam keadaan terkawal dan pihak bertanggungjawab masih memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap aduan yang diajukan dapat diselesaikan secepat mungkin.

Beliau turut memaklumkan, pihaknya memohon Jabatan Audit Negara untuk menyemak semua sistem tender terbuka yang dilakukan bagi memastikan proses pemberian tander kutipan sisa pepejal ini dapat dilakukan secara telus.

 

 

 

Categories
SELANGOR

Dasar Penswastaan Air Di Malaysia Bebankan Rakyat

MARSEILLE, PERANCIS,15 MAC : Dasar penswastaan air di Malaysia gagal kerana disalahguna untuk manfaatkan golongan ‘rentier’ menggunakan kos yang ditanggung pengguna, beritahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Forum Air Sedunia kali ke enam di sini.

Bercakap pada sesi Pihak Berkuasa Tempatan dan Serantau sempena Forum Air Sedunia kali ke enam di Marseille, Perancis, Abdul Khalid berkata, walaupun terdapat kes kejayaan penswastaan air di peringkat antarabangsa, namun keadaan sedemikian tidak berlaku di Malaysia.

“Ini adalah contoh klasik kegagalan percubaan menswastakan kemudahan awam yang diburukkan dengan dua faktor iaitu pertembungan antara politik dan perniagaan di mana keuntungan kepada individu diutamakan di samping konflik kepentingan politik,” kata Abdul Khalid.

Beliau menegaskan teori penswastaan tidak salah kerana antara lain bertujuan menggurangkan beban kerajaan dan meningkatkan kecekapan sekali gus menambahkan daya saing.

“Namun di Selangor, syarikat konsesi swasta yang dipilih untuk merawat dan menyalurkan air kepada pengguna tidak mahir dan tidak berpengalaman dalam industri perkhidmatan air. Tanpa suntikan kewangan, syarikat-syarikat ini mula berkompromi dengan kualiti air dan penyampaian perkhidmatan air, memaksa tarif air yang tinggi kepada pengguna,” katanya.

“Separuh daripada 13 negeri berdepan kewangan defisit dalam operasi air yang dianggarkan berjumlah RM1 bilion. Melantik pihak luar untuk menguruskan perkhidmatan industri air bukan saja mengurangkan kecekapan malah soal pembiayaan tidak ditangani sebaiknya,” katanya yang menambah kelemahan syarat perjanjian konsesi juga antara punca kegagalan penswastaan air.

Saran beliau, perjanjian ini sepatutnya memasukkan fasal secara spesifik dan terperinci mengenai denda kepada konsesi yang gagal mematuhi syarat. Dalam kes kita(Malaysia), penjanjian konsesi sangat lemah. Apabila syarikat konsesi berdepan masalah kewangan, Kerajaan Pusat akan menanggung hutang-hutang ini.

Bagi beliau, perjanjian antara negeri dan syarikat swasta sepatutnya mengandungi klausa yang melindungi kedua-dua pihak selain butiran terperinci bahawa perbelanjaan modal oleh kerajaan dengan peraturan jelas serta telus berhubung pemberian kontrak untuk projek-projek utama. Pada masa kini penswastaan perkhidmatan air di Malaysia banyak silapnya.

Sebagai penyelesaian jelasnya, kerajaan negeri berusaha merawat air secara holistik dengan merujuk kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang digubal untuk menggabungkan industri air di mana pembubaran penswastaan merupakan satu kemungkinannya.

“Walaupun akta ini diluluskan peringkat persekutuan, Kerajaan Persekutuan yang dikuasai BN keberatan melaksanakannya ekoran kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya Mac 2008.

“Apabila tiba masa kerajaan negeri membeli saham syarikat konsesi (seperti yang ditetapkan dalam akta), Kerajaan Pusat bertindak balas dengan menunjukkan sikap bermusuhan,” katanya.

Sehingga kini kerajaan negeri telah membuat tawaran rasmi melalui tiga kali rundingan, tetapi syarikat konsesi menuntut pampasan tinggi bagi penjualan saham serta ekuti dan keadaan ini tiada perubahan sehingga kini.

Kerajaan Pusat mendesak kerajaan negeri segera membeli syarikat konsesi air sebagai cara penyelesaian holistik, tetapi pada masa sama melanjutkan tempoh pajakan kepada syarikat konsesi ini.

“Walaupun atas nama Persekutuan, kuasa kerajaan negeri dinafikan sejak sekian lama. Ini kerana Kerajaan Persekutuan di Malaysia mengawal polisi utama dan ini menambah kesukaran kepada kami sebagai sebuah kerajaan negeri untuk membuat keputusan terhadap sumber yang menjadi milik kami,” katanya.

Abdul Khalid antara tujuh ketua negeri yang dijemput menyampaikan ucapan pada sesi itu yang bertemakan ‘Towards Better Water Governance’ yang dihoskan Region United (FOGAR) sempena Forum Air Sedunia.

Ini kali pertama kerajaan negeri membangkitkan isu air di peringkat antarabanga selepas lebih dua tahun berunding untuk mengambil alih industri perkhidmatan air.

Abdul Khalid dijangka berucap mengenai isu yang sama ketika berada di London pada Jumaat ini.

Categories
SELANGOR

Serdang Bandar Biomass Pertama

SHAH ALAM, 14 MAC : Dalam usaha menyokong usaha kerajaan untuk mengurus sisa buangan domestik daripada penempatan penduduk dan kawasan pusat komersial khususnya di sekitar Serdang, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) tampil menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di negara ini dalam perlaksanan ‘Bandar Biomass’ yang akan dilancarkan pada Mac ini.

Perlaksanan Bandar Biomass yang memilih Bandar Serdang itu mendapat kerjasama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan penyelidik daripada Kementerian Perikanan dan Perhutanan negara Jepun.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata inisiatif itu dilakukan dalam usaha untuk menangani sisa buangan seperti makanan atau organik yang perlu dirawat kerana jika tidak, ia akan memberi impak kepada pencemaran alam sekitar dan pemanasan sejagat.

Katanya, ianya juga selaras dengan tagline baru MPSJ iaitu ‘Vibrant City’ yang mana mahu menjadikan MPSJ sebagai sebuah perbandaran yang mampan.

” Program ini bukan sahaja melibatkan MPSJ tetapi juga melibatkan jabatan-jabatan kerajaan di Persekutuan, berdasarkan daripada kerjasama ini, kita akan menjadi salah satu PBT yang terawal melaksanakan bandar biomass.

” Saya harap program ini akan dapat menjadikan bandar Serdang bukan saja sebgai bandar Biomass tapi juga akan dipertandingkan di peringkat negeri sebagai bandar zon bersih MPSJ untuk tahun 2012,” katanya selepas Majlis Melafaz Ikrar dan menandatangani Pengakuan Menerima Jawatan Ahli Majlis MPSJ.

Majlis Perlancaran itu akan diadakan pada 17 Mac ini di Taman Tasik Sri Serdang bermula 7.30 pagi hingga 5 petang.

Pelbagai aktiviti serta pameran dirancang bagi memeriahkan majlis itu antaranya, aktiviti konvoi berbasikal, demonstrasi pengasingan sisa bagi Medan Selera Awam dan Pasar Awam dan pameran pelbagai daripada agensi kerajaan.

Categories
SELANGOR

Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MDKL

KUALA LANGAT 14 MAC : Ahli Majlis yang baru dilantik dinasihat agar lebih proaktif dalam memberi pandangan serta nasihat dan bukan sekadar menyampaikan aduan rakyat kepada Pihak Berkuasa Tempatan(PBT), demikian pesan Pemangku Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari.

“Kita memang mengalu-alukan penyampaian aduan itu. Tetapi Ahli Majlis mempunyai tugasan yang lebih berat dan besar lagi dengan memfokuskan fungsi dan peranan menggubal dasar dan polisi bagi kemajuan bersama,”  katanya ketika berucap di Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis bagi sesi 2012-2013 yang diadakan di Bilik Cempaka Kuning MDKL di sini.

Selain itu, Hafiz yang merupakan Setiausaha MDKL turut mengumumkan untuk sesi tahun ini juga, peruntukkan bertambah daripada

RM16,000 kepada RM20,000 yang akan diaudit serta dipantau perbelanjaannya oleh pihak MDKL.

“Diharapkan dengan peruntukan tambahan ini, dapatlah Ahli Majlis gunakan untuk program-program yang dapat mendekatkan diri dengan penduduk seterusnya mendapatkan ‘first source information’ untuk diteliti dan dinilai sebelum membuat sebarang keputusan,” ujar Hafiz sambil menambah separuh daripada Ahli Majlis bagi sesi kali ini merupakan lantikan baru.

Sementara itu, Rizuan Rahmat dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 3 menyatakan rasa gembira dan berterima kasih di atas pertambahan peruntukan tersebut yang dirasakan dapat melancarkan lebih banyak lagi program yang bermanfaat.

“Sesi lepas peruntukan lebih kecil, jadi banyak program yang kita hendak buat itu tidak dapat dilaksanakan.

“Alhamdulillah dengan adanya peruntukkan tambahan ini dapatlah kita jalankan program kemasyarakatan dengan lebih banyak lagi,” beritahu Rizuan yang menerima lantikan kali ke-empat semenjak pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor.

Manakala bagi muka baru Basuki Yusof dari Zon 7 pula, berkata, misinya adalah bekerja penuh komited untuk membantu

menyempurnakan misi MDKL untuk menjadi sebuah Majlis Perbandaran yang cekap.

“Apabila bergelar Majlis Perbandaran tentunya ruang dan peluang kepada kakitangan dan penduduk setempat akan terbuka luas, contohnya peluang infrastruktur bagi daerah ini,” ujar Basuki.

Majlis Angkat Sumpah pagi tadi turut dihadiri Adun Sijangkang yang juga Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

MBPJ Perlu Segera Atasi Masalah Sampah di PJ Selatan

PETALING JAYA, 14 MAC : Kotor, berbau, malah menyakitkan mata sesiapa yang memandangnya.

Itulah antara situasi kurang menyenangkan yang dapat digambarkan tentang keadaan di sekitar pasar borong dan kawasan perumahan di Taman PJS 1, PJS 2 dan Taman Sri Manja di sini.

Walaupun pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah menyediakan tong sampah di setiap kawasan perumahan, namun ia tidak mampu menampung timbunan sampah yang semakin bertambah saban hari.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan, Haniza Talha, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk berhubung masalah kutipan sampah yang menjadi antara isu paling ketara yang berada di bawah pemantauannya.

Beliau berkata, isu ini menjadi semakin serius sejak dua minggu lalu ekoran pertukaran kontraktor sampah yang kini sedang diambil alih oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun jelasnya, perkara ini telah diajukan kepada pihak MBPJ untuk tindakan susulan dengan jaminan ia akan diselesaikan dalam jangka waktu terdekat.

“Sebenarnya masalah sampah telah lama diperkatakan di kawasan Taman Medan dan Petaling Jaya. Saya telah menemui pihak MBPJ baru-baru ini dan mereka memberi jaminan akan menguruskan serta menyelesaikan pengurusan sisa pepejal di sini dengan segera.

Pihak MBPJ memaklumkan bahawa masalah sampah berlaku ekoran pertukaran kontraktor lama (Alam Flora) yang kini diambil alih oleh PBT. Saya berharap penduduk setempat boleh bersabar sementara menunggu perkara ini diselesaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan pihak MBPJ supaya menyediakan lebih banyak tong sampah bersaiz besar di setiap kawasan perumahan untuk mengelakkan masalah sampah daripada terus berulang.

Ujarnya, penduduk juga dinasihatkan untuk bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan sekitar bagi mengatasi serangan haiwan perosak seperti lalat dan tikus yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Saya telah menyediakan peruntukan untuk menjalankan operasi tangkap tikus bersama pihak MBPJ. Ia mungkin akan dilaksanakan dalam masa terdekat di mana penduduk amatlah digalakkan untuk menyertai operasi ini.

Cadangannya, bagi sesiapa yang dapat menangkap tikus akan diberi ‘upah’ atau bayaran. Ia masih berada dalam perbincangan dan akan dimaklumkan sekiranya boleh dilaksanakan,” jelasnya.

 

Categories
SELANGOR

Prasarana Sukan Di Selangor Akan di Pertingkat

SHAH ALAM, 27 FEB : Infrastruktur dan prasarana sukan negeri akan dipertingkatkan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi meningkatkan mutu pencapaian atlit tempatan, ujar Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut Yunus, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 30 juta untuk infrastruktur sukan di bawah Geran Selangorku.

“Di samping dana RM 30 juta ini, kita juga akan membantu menyediakan keperluan, naik taraf atau baik-pulih kemudahan-kemudahan sukan lain yang memang sangat memerlukan.

“Bagaimanapun, dalam Geran Selangorku ada Jawantankuasa Khas untuk menilai segala permohonan dan kita akan mengutamakan keperluan yang sangat mendesak,” ulas Ahmad Yunus ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra bersama Kontinjen Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 bagi skuad Negeri Selangor pagi tadi.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Kerajaan Pakatan juga melaksanakan program ‘PBT Angkat’ di mana Pihak Berkuasa Tempatan berpeluang melibatkan diri dalam usaha memajukan industri sukan tempatan.

“Program ini kita terus perbaiki daripada semasa ke semasa kerana setiap acara Sukma itu berbeza acara yang dipertandingkan.

“Jadi kita agihkan PBT secara adil dimana setiap tahun mereka akan terlibat dengan sukan tertentu untuk dibantu dari segi kemudahan termasuk prasarana, pengangkutan, kumpulan sorak dan sebagainya,” jelas Yunus sambil memuji sikap kerjasama yang baik oleh setiap PBT.

Sementara itu, Selangor mensasarkan 70 pingat emas dalam kejohan Sukma 2012 yang akan berlangsung di Kuantan, Julai ini.

“Jika tidakpun, 65 pingat emas juga akan memudahkan kita bergelar juara.

“Sekiranya kurang daripada 60 saya kira agak sukar untuk kita mengambil balik kejuaraan daripada Negeri Terengganu,” beritahu Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Majlis Ramah Mesra yang diadakan di Bilik Seruling, Hotel Bluewave itu turut disertai wakil-wakil persatuan sukan negeri Selangor selain kehadiran Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Norzamri Ishak.