Categories
SELANGOR

Penduduk Kuala Ampang Mahu Kerajaan Pusat Beri Perhatian Masalah Jalan Raya

HULU KELANG, 23 MAC : Penduduk Kuala Ampang di sini menggesa kerajaan pusat Umno-BN untuk memperbaiki mutu pembinaan jalan di sini yang sentiasa berlubang dan rosak walaupun kerap kali diturap.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Ampang, Patrick Ang berkata, jalan raya sepanjang empat kilometer yang menjadi laluan utama bagi penduduk kawasan itu telah dinaiktaraf beberapa bulan lalu oleh kerajaan Umno-BN.

Bagaimanapun, jelasnya, jalan raya tersebut hanya diturap separuh, manakala jalan-jalan lain di sekitar kawasan itu gagal diselenggara dengan baik.

Malah ujar Patrick, kenderaan berat yang sering keluar masuk melalui jalan-jalan tersebut mengakibatkan ia berlubang dan rosak teruk meskipun baru sahaja siap dinaiktaraf.

?Saya difahamkan, jalan raya berkenaan rosak dan berlubang berikutan ia dilalui oleh kenderaan berat (lori) yang melebihi had muatan. Setiap kali diturap, jalan raya itu mesti akan rosak semula.

?Namun, kami percaya jalan raya ini cepat rosak dan berlubang disebabkan pembinaannya yang tidak berkualiti. Ini kerana jalan ini baru sahaja dinaiktaraf baru-baru ini,? katanya.

Menurut beliau, meskipun keadaan jalan raya semakin teruk, namun pihak kerajaan pusat sekadar menampal sebahagian lubang-lubang jalan malah tiada sebarang tindakan untuk membaik pulihnya secara menyeluruh.

Beliau berkata, disebabkan jalan raya yang rosak dan berlubang, ia telah menyukarkan penduduk khususnya bagi penduduk yang menggunakan kenderaan kecil atau basikal.

?Kerajaan persekutuan tidak boleh lepas tangan terhadap masalah ini. Sudah beberapa kali aduan dibuat, namun masih tiada tindakan yang diambil.?

Categories
SELANGOR

Petaling Jaya Diberi Fokus Pembangunan Semula Bandar

SHAH ALAM 20 MAC : Kawasan usang di dalam bandar Petaling Jaya seperti Seksyen 5 dan 8 akan dibangunkan semula bagi mencapai matlamat Pakej Rangsangan Ekonomi negeri yang bermula pada tahun 2009.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew, kawasan di dalam Petaling Jaya juga merangkumi Seksyen 51, 51A dan 52.

“Bagi Majlis Bandaraya Shah Alam kawasannya adalah Pekan Subang, Kampung Baru Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang dan Kampung Padang Jawa.

“Manakala kawasan Majlis Perbandaran Klang pula melibatkan Jalan Kem Pelabuhan Klang, Jalan Baru, Pusat Bandar Klang dan Kampung Pandan,” katanya yang menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan,
Haniza Mohamed Talha.

Bagi kawasan Majlis Perbandaran Kajang pula, kawasan yang terlibat adalah Pusat Bandar Kajang, Batu 11 Balakong dan Kampung Sungai Ramal.

Kawasan lain adalah Taman Sri Keramat AU, Kampung Pandan Dalam, Seri Kembangan dan Serdang Lama.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga bersungguh-sungguh untuk merealisasikan agenda pembangunan semula kediaman, yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2025.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Akan Baiki Prasarana di Hulu Langat dan Lembah Jaya

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sejumlah dana bagi membaiki prasarana seperti jambatan dan jalanraya yang rosak di dalam banjir yang melanda beberapa kawasan di Hulu Langat dan Lembah Jaya kira-kira dua minggu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerja-kerja baikpulih tersebut dijangka mengambil masa sebulan dan akan dimulakan dalam waktu terdekat melalui peruntukan geran Selangorku .

Beliau berkata, usaha membaikpulih itu akan dilakukan oleh syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) yang mempunyai kepakaran dari segi pembinaan dan khidmat teknikal.

“Kerajaan negeri akan meminta syarikat GLC yang memiliki kepakaran dari segi pembinaan untuk memberi khidmat teknikal dengan melukis pelan dan sebagainya bagi urusan baikpulih prasarana di kawasan itu selain turut meminta kerjasama daripada penduduk setempat dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memantau pembinaan tersebut.

“Saya percaya dengan cara ini, semua pihak akan dapat memahami masalah hasil daripada perancangan bandar dan dengan itu masyarakat bersedia menerima cadangan supaya rizab sungai dapat diusahakan untuk mengelakkan banjir,” tegasnya.

Selain itu, menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri juga akan membina kolam takungan sebagai satu cara untuk mengurangkan masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan itu.

Beliau berkata, projek tersebut akan dikendalikan oleh dua Exco Selangor iaitu Rodziah Ismail dan Iskandar Abdul Samad.

“Kita akan terus memberikan sokongan kepada keluarga mangsa banjir dan telah meningkatkan wang tambahan supaya setiap keluarga menerima bantuan sejumlah RM1,000 sebagai kegunaan untuk menghadapi keadaan yang sukar ini,” katanya.

Dalam kejadian banjir yang berlaku pada 8 Mac lalu, lebih 700 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat selepas hujan lebat yang berlarutan selama empat jam.

Categories
SELANGOR

Khalid Samad: Ambil Alih Air S’gor Sangat Wajar

SHAH ALAM, 18 MAC: Rakyat Selangor perlu diingatkan semula kesan yang mereka bakal hadapi sekiranya menyerahkan kembali mandat kepada Umno-BN terutamanya dalam isu penswastaan konsesi air dan langkah pembatalan perjanjian ini wajar disokong oleh semua pihak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara konsistan berusaha sedaya upaya mengambil alih industri air Selangor sangat wajar dan bertepatan dengan wawasan Merakyatkan Ekonomi Rakyat Selangor.

Selain itu katanya, selama ini sumber air Selangor diperniagakan kepada rakyat demi kepentingan para kroni Umno-BN tanpa memikirkan bebanan rakyat.

Katanya, langkah kerajaan negeri bertemu dengan dua operator air antarabangsa untuk mendapatkan pandangan berhubung pengurusan air lebih cekap seperti yang ditetapkan Akta Industri Air Perkhidmatan Air 2006 disambut baik sebagai usaha untuk mengembalikan hak rakyat setelah sekian lama dinafikan Umno-BN.

“Rakyat Selangor perlu diingatkan sekiranya Umno-BN kembali memerintah Selangor maka Syabas melalui Puncak Niaga akan kembali berkuasa dan kadar air akan mereka naikkan seperti mana dalam perjanjian mereka dan ini akan memeberikan kesan sebanyak 71 peratus peningkatan berbanding kadar sekarang.

“Pada masa sama mereka akan mendapat pampasan oleh kerajaan Selangor di bawah Umno-BN jumlah sebanyak RM1 billion sepertimana yang mereka tuntut di dalam saman mereka,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Tambah Khalid, reaksi beberapa pihak sebelum ini yang mengatakan Selangor bakal mengahadapi krisis air pada masa akan datang merupakan satu rekaan semata-mata memandangkan taburan hujan yang tinggi sehingga mengakibatkan bencana banjir di beberapa kawasan.

Categories
SELANGOR

Isu Air: Selangor Minta Nasihat Pakar Antarabangsa

LONDON, 18 MAC: Kerajaan Selangor mendapatkan nasihat dari firma perundangan antarabangsa di London berhubung kebuntuan yang sedang dihadapi dalam usaha  mendapatkan semula hak menguruskan industri air di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengadakan pertemuan dengan sekumpulan peguan kanan untuk membincangkan peruntukan undang-undang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan kebuntuan rundingan yang akan memberi  manfaat kepada jutaan rakyat Selangor.

Kami amat serius untuk melaksanakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang digubal kerajaan Pusat Barisan Nasional. Akta ini membenarkan perjanjian konsesi ditamatkan sekali gus membolehkan kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air.

Kami kesal dengan keengganan Kerajaan Pusat bekerjasama untuk melaksanakan akta yang mereka sendiri gubal. Sikap yang ditunjukkan Kerajaan Pusat ini berbaur kronisme dan lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding  kebajikan rakyat.

Sebagai firma perundangan yang dihormati, kita berharap mereka dapat menggunakan pengalaman undang-undang untuk menguruskan situasi seperti ini,  kata Menteri Besar.

Tan Sri Khalid Ibrahim juga berbincang mengenai cabaran menghadapi industri perkhidmatan air di Selangor bersama sekumpulan sarjana di Pusat Pengajian Islam Oxford.  Pada majlis makan tengahari yang dihoskan fellow Dato’ Dr Muhammad Afifi al-Akiti, Menteri Besar telah menerangkan kegagalan penswastaan air di Selangor.

Kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi penyebab kepada kegagalan ini. Kontrak konsesi sepatutnya diberikan secara tender terbuka- satu istilah mudah tetapi sukar dilaksanakan jika tiada yang serius membanteras gejala rasuah.

Di Selangor, syarikat konsesi dipilih bukan kerana kepakaran dalam industri air mahupun kerana kewangan kukuh. Tidak hairanlah jika mereka gagal teruk.

Kerajaan Pusat cuba memperbetulkan keadaan ini menerusi WSIA tetapi selepas berlaku perubahan kerajaan negeri pada 2008, Kerajaan Pusat sengaja menangguhkan dan mensabotaj pelaksanaan akta ini. Ini bukti nyata kebajikan jutaan rakyat menjadi korban demi kepentingan politik,î katanya.

Menteri Besar juga bercakap mengenai isu ini  ketika berjumpa dengan pelajar Malaysia di London anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland (UKEC). Dialog Dari kaca mata Kerajaan Negeri Selangorí telah diadakan di London School of Economics, Jumaat lalu.

Rakyat Selangor terpaksa menanggung beban kewangan ekoran kegagalan penswastaan air. Selain memaksimumkan sumber kerajaan negeri yang menjadi hak rakyat, syarikat konsesi juga berkompromi dengan kualiti dan penyaluran air  di samping kerap mendesak kenaikan tarif air walaupun perkhidmatan yang diberikan teruk, ì kata Menteri Besar.

Pada 2007, tarif air dinaikkan dan syarikat konsesi mahu menaikkan lagi sapabila kerajaan negeri baharu mengambilalih Negeri Selangor. Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan eksploitasi secara terbuka terhadap rakyat yang merupakan satu lagi kes di mana syarikat swasta mendapat keuntungan tetapi rakyat menanggung kerugian.

Soalan asas yang perlu dijawab, adakah ini penswastaan (privatisation) atau lanun (piratisation)?

Tan Sri Khalid Ibrahim juga membuat kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Setiausaha Komanwel di London. Beliau berbincang dengan Pengarah Sekretariat pejabat berkenaan mengenai pembangunan politik dan cabaran menghadapi sistem pilihan raya Malaysia.

Malaysia merupakan negara anggota yang menggunapakai perundangan Komanwel.

Umno-BN Pinggir Rakyat Miskin Sekinchan

SEKINCHAN, 17 MAC: Beberapa kawasan kubu kuat Umno-BN di Sekinchan masih mengalami masalah kemiskinan namun sehingga kini masih belum dapat pembelaan.

Meskipun dijanjikan pelbagai bantuan namun semuanya tinggal janji semata-mata walaupun permohonan telah dibuat setiap kali aduan telah diajukan kepada pihak berwajib.

TVSelangor dan Selangor Kini sempat mengunjungi sebuah keluarga yang dihimpit kemiskinan ditambah dengan keadaan rumah yang kurang sempurna.

Osthman Abdullah, 68 sudah 20 tahun menetap di Kampung Penerangan Parit 5 menceritakan kesusahan yang dihadapinya ditambah dengan keadaan isteri, Siti Zaimah Awang Yusop, 73 yang uzur akibat sakit tua.

Beliau memohon bantuan membaik pulih bumbung zink dan siling rumah yang rosak. Lebih menyedihkan beliau terpaksa menghamparkan kain ke tingkap bagi mengelakkan tempias pada hari hujan.

“Saya mintak bantuan kepada Yb Noriah Ahli Parlimen Sungai Besar dan juga Khir Toyo. Mereka cakap nak bantu dan minta saya tunggu. Masalahnya sampai bila nak tunggu,” katanya.

Beliau merupakan bekas pengawal keselamatan Pusat Giatmara berkata, pada bulan Oktober tahun lalu beliau memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonannya di tolak.

Menurutnya lagi, beliau ada mendapat sumbangan zakat pada tahun lalu berjumlah RM600 namun tidak mencukupi.

Adun Sekinchan, Ng Swee Lim yang turut sama melihat sendiri kesusahan yang dihadapi penduduk setempat akan cuba membantu menyelesaikan perkara ini.

“Saya akan usahakan dan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKK) supaya mereka menyiasat keadaan ini dengan lebih terperinci.

“Kita akan buat gotong-royong membantu mereka dan langkah ini akan menjimatkan kos,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya akan menyediakan semua barangan termasuk zink dan kayu-kayu bagi membantu mereka yang memerlukan.

Sebelum itu, Swee Lim turut menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 100 orang pelajar dan bantuan berupa barangan keperluan kepada 120 orang ibu tunggal dan fakir miskin.

Categories
SELANGOR

Selangor Peruntukan RM30J Untuk Kg Tradisi

KUALA SELANGOR 11 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan RM 30 juta kepada setiap kampung tradisi di Selangor khusus untuk pembangunan setempat.

Menurut Abdul Khalid, dengan peruntukan tersebut diharap ketua-ketua kampung dapat menjalankan tanggungjawab menguruskan peruntukkan terbabit dengan cekap dan amanah.

“Peruntukan memang kita akan beri tetapi ada syaratnya. Saya tidak mahu anda semua menjadi seperti Umno/BN. Maka diharapkan wang yang diberi gunalah sebaik-baiknya untuk pembangunan bersama,” pesan Abdul Khalid dalam Majlis Penyerahan Surat Perlantikan Ketua Kampung Tradisi Negeri Selangor yang diadakan di Stadium Tertutup Kuala Selangor tengah hari tadi.

Selain itu, Abdul Khalid turut memberitahu Kerajaan Negeri akan menganjurkan kursus teknologi dan komunikasi kepada setiap ketua-ketua kampung demi melancarkan segala urusan berkaitan.

“Jadi segala urusan dapat dilakukan dengan cepat dan pantas melalui urusan online.

“Secara tidak langsung proses ini akan mempercepatkan juga proses penyelesaian masalah rakyat,” ujar Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.

Ternyata, usaha Kerajaan Negeri itu disambut baik oleh Ketua Kampung Olak Lempit, Selamat Amat Judi 63, dari Mukim Tanjung 12, Kuala Langat.

“Sebagai ketua masyarakat semestinya berita ini menggembirakan saya kerana dapatlah saya salurkan bagi perkara-perkara yang memerlukan.

“Sememangnya duit bukan segala-galanya tetapi jika ada duit insyaallah segala urusan pun dapat dilakukan dengan lancar dan tanpa tangguhan,” jelas Selamat yang sudah empat tahun bergelar Ketua Kampung.

Majlis tersebut meraikan 368 orang Ketua-ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dengan 331 daripadanya menerima lanjutan perkhidmatan untuk dua tahun lagi, sementara baki 37 adalah lantikan baru.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang juga Ketua Pembangkang Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Exco Negeri seperti Dr. Yaakob Sapari, Iskandar Abdul Samad, Dr. Ahmad Yunus Hairi.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad, Adun Sri Muda, Mat Shuhaimi Shafie serta Adun Bukit Melawati Muthiah Maniapillay.

Categories
SELANGOR

Gotong royong Bersama Penduduk Sek 24, Shah Alam

SHAH ALAM, 6 MAC: ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail menjayakan program gotong royong komuniti dan menanam pokok bersama pemimpin masyarakat Seksyen 24, Shah Alam pada Mac 3.

Program itu dihadiri Datuk Bandar Shah Alam Datuk Jaafar Atan, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam dan Ketua Kampung Seksyen 24.

Di dalam sebuah pertemuan berasingan dengan masyarakat flat Polis Diraja Malaysia di Seksyen 20, penghuni pangsapuri tersebut meminta pertolongan
Rodziah untuk membawa program CERIA ke kuarters mereka.

Program Kerajaan Selangor itu menolong penghuni flat mencat dan membaiki prasarana seperti lif dan saluran air di pangsapuri-pangsapuri di Selangor.

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 5 :Worldwide Holdings,Kelip-Kelip, SELCAT & Silat Harimau Berantai

Apa Khabar Selangor EPISOD 5 (Bhgn 1)

Sinopsis :

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 29 Februari 2012 pada pukul 12.00 tengahari hingga 2 petang menerusi laman sesawang http://www.selangorkini.net yang memaparkan 4 segmen utama dan di pecahkan kepada 2 tajuk kecil.

Segmen 1 : Pengurusan Tapak Pelupusan Sampah Worldwide Holdings w/ Dj Mansor, En. Imran Ishak
Segmen 2 : MDKS & Kawasan Kelip-Kelip Kg Kuantan w/ Marniza, Hjh Noraini Roslan

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 5 (Bhgn 2)

Sinopsis:

Segmen 3 : Kredibiliti SELCAT w/ Zubli, Dato’ Teng Chang Kim
Segmen 4 : Silat Harimau Berantai w/ Syed,

Sebarang cadangan, makluman, atau komen boleh dihantarkan kepada emel kami [email protected]

Stadium Shah Alam Akan Dibuka April Ini

SHAH ALAM 29 FEB : Setelah tiga bulan ditutup untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf, Stadium Shah Alam sedia dibuka bermula April ini.

Menurut Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, stadium yang mula ditutup awal Disember tahun lalu kini berada di fasa terakhir kerja-kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf yang menelan kos RM3.4 juta.

“Ada beberapa kerja utama dan antara yang ditumpukan adalah berkaitan padang dan rumput dimana harapan kita jangkakan ia sedia digunakan sebelum 6hb April.

“Rumput yang kita gunakan kali ini adalah jenis rumput lembut pantai yang kini sedang proses dipotong, dirawat dan dibaja serta disiram bagi hasil terbaik,” jelas Mohd Jaafar.

Selain padang dan rumput, fokus penyelenggaraan kali ini juga tertumpu kepada usaha memperbaiki bumbung yang rosak, penggantian kabel dan mentol lampu, menaik taraf bilik persalinan, bilik air, tangga, kerusi dan juga sistem bunyi.

Mohd Jaafar turut memberitahu segala kerja-kerja hampir 100 peratus selesai melainkan kerja pemasangan lampu yang baru mencapai 70 peratus memandangkan lampu yang akan diguna diimport dari Jerman.

“Bagaimanapun kerja-kerja pemasangan lampu ini akan siap sebelum 23hb Mac untuk proses ‘commissioning’ bagi menjamin kelancaran permainan yang akan diadakan di stadium ini,” ujar Mohd Jaafar.

Dalam pada itu, Mohd Jaafar turut mengumumkan perlawanan pertama yang bakal berlangsung merasmikan wajah baru stadium adalah perlawanan Liga Super antara pasukan Selangor dan Terengganu pada 7hb April nanti.

Selain Mohd Jaafar, turut serta dalam lawatan tersebut, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Jaafar, Pengerusi Jawatankuasa Tiket FAM, Datuk S. Sivasundaram dan juga ahli-ahli majlis MBSA.

Categories
SELANGOR

Prasarana Sukan Di Selangor Akan di Pertingkat

SHAH ALAM, 27 FEB : Infrastruktur dan prasarana sukan negeri akan dipertingkatkan untuk menyediakan kemudahan yang lebih baik bagi meningkatkan mutu pencapaian atlit tempatan, ujar Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Menurut Yunus, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM 30 juta untuk infrastruktur sukan di bawah Geran Selangorku.

“Di samping dana RM 30 juta ini, kita juga akan membantu menyediakan keperluan, naik taraf atau baik-pulih kemudahan-kemudahan sukan lain yang memang sangat memerlukan.

“Bagaimanapun, dalam Geran Selangorku ada Jawantankuasa Khas untuk menilai segala permohonan dan kita akan mengutamakan keperluan yang sangat mendesak,” ulas Ahmad Yunus ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra bersama Kontinjen Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012 bagi skuad Negeri Selangor pagi tadi.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Kerajaan Pakatan juga melaksanakan program ‘PBT Angkat’ di mana Pihak Berkuasa Tempatan berpeluang melibatkan diri dalam usaha memajukan industri sukan tempatan.

“Program ini kita terus perbaiki daripada semasa ke semasa kerana setiap acara Sukma itu berbeza acara yang dipertandingkan.

“Jadi kita agihkan PBT secara adil dimana setiap tahun mereka akan terlibat dengan sukan tertentu untuk dibantu dari segi kemudahan termasuk prasarana, pengangkutan, kumpulan sorak dan sebagainya,” jelas Yunus sambil memuji sikap kerjasama yang baik oleh setiap PBT.

Sementara itu, Selangor mensasarkan 70 pingat emas dalam kejohan Sukma 2012 yang akan berlangsung di Kuantan, Julai ini.

“Jika tidakpun, 65 pingat emas juga akan memudahkan kita bergelar juara.

“Sekiranya kurang daripada 60 saya kira agak sukar untuk kita mengambil balik kejuaraan daripada Negeri Terengganu,” beritahu Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Majlis Ramah Mesra yang diadakan di Bilik Seruling, Hotel Bluewave itu turut disertai wakil-wakil persatuan sukan negeri Selangor selain kehadiran Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor, Norzamri Ishak.

 

 

Categories
SELANGOR

Cadangan Skim Baikpulih Rumah Kediaman Luar Bandar

SABAK BERNAM, 26 FEB : Kerajaan Negeri akan dicadangkan mewujudkan satu lagi tabung khas sepertimana Skim Ceria bagi program membaikpulih rumah kediaman di kawasan luar bandar di Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya akan megemukakan cadangan itu kepada Kerajaan Negeri di dalam mesyuarat exco akan datang.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian sama sepertimana rumah kediaman di kawasan bandar di mana kebanyakan pangsapuri dibaikpulih menerusi skim Ceria atau Caring Goverment For Residence Improvement Aid dengan peruntukan RM9.7 juta.

“Kalau kita telah menunaikan tanggungjawab kita kepada mereka di bandar, mungkin kita perlu lihat satu program yang sama di luar bandar. Sekarang kita ada program rakyat termiskin iaitu juga CSR tetapi saya akan membangkitkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan satu lagi tabung untuk baik pulih sepertimana tabung bagi rumah-rumah di pangsapuri-pangsapuri.

“Saya melihat bahawa ada keperluan seperti Ceria ini tetapi di kawasan luar bandar,” katanya dalam sidang media selepas Program CSR Perbadanan Kemajuan Negeri Sselangor (PKNS) – Baikpulih Rumh Asnaf Fakir Miskin di Bagan Terap di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Peembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof; Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Sabak Bernam, Jasman Syazry Mohd Saari dan Setiausaha Majlis Daerah Sabak Bernam, Azril Hakim Nohd Yazid.

Dalam majlis itu, PKNS menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menyampaikan bantuan kepada asnaf fakir dan miskin kepada Zamri Sakiman, 39, di mana rumahnya dibaikpulih kembali.

Menyentuh perkara itu, Iskandar berkata, usaha PKNS itu wajar dipuji dan pihaknya merakamkan perhergaan terima kasih kepada PKNS di mana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi tujuan itu.

“Dalam program ini PKNS telah memperuntukkan RM396,000 untuk membaikpulih 22 buah rumah di daerah Sabak Bernam. Kawasan-kawasan yang dibaikpulih adalah di Tebuk Pulai, Kampung Bagan Terap, Kampung Tok Khalifah, Bagan Nira, Sepintas dan Jalan Masjid,” katanya.

Iskandar berkata, PKNS akan memberikan pengagihan dalam RM15,000 hingga RM118,000 bagi setiap sebuah rumah.

 Tahun ini juga, katanya, PKNS telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 juta wang zakat bagi program CSR untuk asnaf fakir dan miskin, muallaf dan fisabilillah.

Menurutnya, komitmen yang ditunjukkan PKNS dalam memberikan semula keuntungan kepada rakyat Selangor melalui aktiviti sosial dan kebajikan itu sangat dihargai dan ini membuktikan PKNS tidak pernah lupa menjalankan tanggungjawabnya walaupun perniagaan utamanya adalah dalam sektor hartanah.

Tambahnya, diharapkan langkah diambil PKNS itu akan dicontohi oleh perbadanan mahupun anak-anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

“Keseluruhan untuk rumah kos rendah sama ada pengurusan atau pembinaan dan subsidi, PKNS telah membelanjakan lebih kurang RM30 juta setahun.

“Cuma saya harap PKNS dapat melihat di kawasan seperti luar bandar ini ada usaha untuk kita membaiki lebih banyak kerana yang kita lihat masih ada banyak lagi rumah-rumah yang memerlukan baik pulih,” katanya lagi.