Categories
NASIONAL

Budaya Ganas Umno Mula Menular di Universiti

PUCHONG 25 SEPT: Politik ganas yang menjadi budaya Umno sejak kebelakangan ini dilihat sudah menjadi ikutan mahasiswa universiti.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin berkata budaya politik ganas seperti ini yang dianggap mempunyai persamaan dengan insiden membaling kasut ke dalam masjid dan cat yang didakwanya didalangi samseng Umno.

Beliau yang lebih dikenali Chegu Bard berkata nyata kesal dengan insiden ini memandangkan mahasiswa merupakan aset masa depan negara.

“Jika kita perhatikan, situasi politik semasa dalam negara akan memberikan refleks kepada mahasiswa umumnya,” kata Badrul.

Awal pagi ini menyaksikan Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional Universiti Malaya, Edikoup Lakip Sediyanto dibelasah ketika pulang berkempen.

Dalam insiden 4 pagi itu, Edikoup dipukul sekumpulan lima orang samseng ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Seksyen 17, Petaling Jaya.

Setakat ini, satu laporan polis berkaitan kejadian tersebut dibuat dan Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaya sedang berlangsung.

Categories
NASIONAL

SAMM Dakwa Umno-BN Turut Terima Dana Asing

SHAH ALAM 13 SEPT : Pendedahan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) membongkar isu pembelian kapal selam Scorpene yang mengancam pemimpin negara menyebabkan organisasi bukan kerajaan itu diserang pelbagai pihak.

Dakwaan bahawa Open Society Institute yang diasaskan oleh George Soros menyalurkan dana lebih AS$180,000 (RM558,556.92) Suaram sepanjang tempoh 2007 hingga 2010 seakan melengkapkan serangan untuk melumpuhkan Pertubuhan Bukan Kerajaan(NGO) itu.

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia(SAMM), Badrul Hisham Shahrin berkata ancaman itu dilihat sebagai cubaan menutup pendedahan skandal Scopene yang didalangi Umno-BN.

Malah, Umno-BN seharusnya sedar bahawa mereka juga menerima dana asing yang melibatkan banyak program kementerian.

Beliau berkata mengikut rekod, beberapa organisasi yayasan besar luar negara turut merekodkan bahawa parti kompenan Umno-BN terlibat dalam penyaluran dana itu.

“Jadi memperolehi dana dari luar merupakan satu tuduhan yang amat dangkal.

“Bantuan dana ini juga datang daripada badan korperat, yayasan besar dunia dan pelbagai pihak sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Jadi sudah tentu, Suaram yang tidak mendapat dana daripada Umno-BN menerima dana dari luar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, di Malaysia terdapat NGO yang mempunyai hubungan dengan negara Israel dan mempunyai laman internetnya sendiri.

Bagaimanapun, Umno-BN bertindak mendiamkan diri kerana mempunyai kepentingan dalam hal terbabit.

Jelas beliau yang lebih dikenali sebagai Che Gu Bard berkata George Soros sudah diterima baik dalam negara termasuk pihak kerajaan dan pembangkang termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menemui beliau (Soros) sebagai sahabat.

Selain itu, Che Gu Bard berkata pendaftaran Suaram tidak di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bukan satu isu yang baru.

“Ini kerana banyak lagi organisasi bukan kerajaan memilih bergerak di bawah SSM bukan pendaftar pertubuhan.

“Ia berlaku kerana terlalu banyak sangat birokrasi dan campur tangan tekanan politik boleh berlaku jika bergerak dibawah pendaftaran pendaftar pertubuhan,” katanya.

Justeru, SAMM akan bersama Suaram untuk menjelajah seluruh negara untuk memperjelaskan isu scandal Scopene.

Categories
SELANGOR

SAMM Alu-Alukan Saranan Datuk Bandar Kuala Lumpur Tidak Tutup Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 30 OGOS: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengalu-alukan saranan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib agar Dataran Merdeka tidak ditutup bagi memberikan laluan kepada sambuatan ambang kemerdekaan malam ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam, SAMM turut berharap agar Ahmad Phesal mempertahankan pendirian beliau dari tekanan pemimpin Umno-BN yang dianggap berfikiran sempit dan takut kepada perubahan.

Dalam kenyataan media sama, SAMM mempertahankan pendirian hak rakyat negara ini untuk menyambut kemerdekaan tanpa mengira apa warna pakaian yang dipakai untuk tujuan tersebut.

“Merujuk kepada kenyataan Ketua Balai Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad yang tidak memberikan ‘lampu hijau’, SAMM juga menegaskan bahawa tiada keperluan ‘lampu hijau’ dari mana-mana pihak untuk mana-mana rakyat yang ingin menyambut hari kemerdekaan.

“Rakyat punya hak untuk sambut kemerdekaan dengan apa warna sekalipun. Menutup Dataran Merdeka pada malam merdeka adalah satu malapetaka buat regim pemerintah.

“Apakah rasionalnya Dataran Merdeka ditutup bagi menghalang rakyat menyambut ambang kemerdekaan?” menurut kenyataan pertubuhan yang dipimpin oleh Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard itu.

Sebelum ini dalam satu kenyataan, ACP Zainuddin dipetik Bernama berkata, tiada sebarang kebenaran diberikan oleh pihak polis kepada penganjur kerana Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2011 mensyaratkan penganjur memberi notis 10 hari sebelum perhimpunan diadakan kepada polis, namun perkara itu gagal dilakukan oleh penganjur.

Gabungan Janji Bersih bakal mengadakan himpunan semasa ambang merdeka selama dua jam mulai jam 10 hingga 12 malam ini bagi meraikan ulangtahun ke 55 kemerdekaan negara.

Dalam perhimpunan yang tidak mendapat ‘restu’ pihak keselamatan itu, penganjur turut menggalakkan orang ramai agar mengenakan pakaian serba kuning bagi menyatakan tuntutan rakyat negara ini yang ingin melihat negara ini bebas dari cengkaman demokrasi palsu termasuk mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Categories
NASIONAL

Guru Pondok Fatwa Haram Undi DAP Terima Sumbangan RM2 juta Dari Umno

SHAH ALAM 17 OGOS: Laporan dan foto pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah sedang menerima sumbangan RM2 juta dari Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang semakin hangat diperkatakan di ruang siber mencetuskan pelbagai tanggapan negatif terhadap guru agama tersebut.

Beliau yang sebelum ini mengeluarkan fatwa kontroversi, mengharamkan pengundi Islam mengundi DAP itu baru-baru ini didapati menerima sumbangan bagi membiayai perbelanjaan sekolah agama yang diasasnya itu.

Malah, beliau turut menggelarkan parti itu sebagai kafir harbi.

Menurut laporan beberapa akhbar arus perdana semalam, majlis penyerahan sumbangan itu diadakan pada Selasa, 14 Ogos iaitu kira-kira hampir seminggu selepas beliau mengeluarkan fatwa kontroversi itu.

Menurut satu laporan Utusan Online semalam, peruntukan RM2 juta tersebut diluluskan oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan berdasarkan kepada permintaan jawatankuasa pondok berkenaan.

Pondok berkenaan dikatakan hanya mempunyai seramai 25 orang pelajar sahaja pada masa ini.

Menurut pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang turut dikenali sebagai Chegu Bard hari ini, fatwa yang dikeluarkan oleh Abdullah itu memberi imej buruk kepada agama Islam hari ini.

“Mula-mula dia keluarkan fatwa haram orang Islam sokong DAP, lepas tu umum mengetahui dia terima RM2 juta dari Umno sekali gus memberi tanggapan bahawa guru-guru agama ini boleh digunakan dengan wang,” kata beliau kepada TVS hari ini.

Menurut Chegu Bard, lebih memburukan keadaan apabila fatwa yang dikeluarkan ini didapati boleh mengancam keselamatan dan menghuru-harakan negara.

“Malah, keamanan yang ada boleh terancam kalau umat Islam di Malaysia mengambil serius fatwa yang dikeluarkan, seolah menggambarkan Islam menghalalkan darah ahli DAP.

“Kalau kita kaji era kejatuhan Islam di barat ketika zaman gelap di eropah, keadaan ini jug mampu melemahkan pengaruh Islam sendiri di negara ini,” kata Chegu Bard.

Categories
NASIONAL

KPN Perlu Tegur Regim Umno-BN Dahulu

SHAH ALAM 12 OGOS: Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar disaran menegur kerajaan Umno-BN terlebih dahulu kerana menggunakan hari kemerdekaan untuk kepentingan politik mereka.

Saranan tersebut dibuat oleh pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dalam satu kenyataan balas terhadap gesaan Ismail agar tidak mengadakan ‘Himpunan Janji BERSIH’ di malam ambang merdeka 30 Ogos akan datang.

Beliau yang lebih popular dengan gelaran Chegu Bard mendakwa Umno-BN telah mengambil kesempatan sempena sambutan hari kemerdekaan di negara ini bermula pada tahun 1957 lagi, tetapi tidak pernah ditegur oleh mana-mana KPN.

“Sambutan ulang tahun kemerdekaan sudah lama ditunggang oleh Umno-BN demi kepentingan politik mereka, tetapi tahun ini terlalu melampau kerana tema hari kebangsaan itu sendiri terus disalin tampal dari tema yang digunakan dalam jelajah BN iaitu Janji Ditepati.

“Lagu yang digunakan pula jelas digunakan dalam program BN bagi menghentam seteru politiknya kemudian diubah sedikit sahaja liriknya.

“lebih parah lagi dengan kemunculan logo kemerdekaan yang ‘buruk’ dan kemudian ditarik balik oleh menteri dengan mengatakan kita tidak punya logo rasmi,” kata beliau.

Chegu Bard turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang hanya menonjolkan beberapa tokoh sahaja termasuk bekas-bekas Presiden Umno sebagai pejuang kemerdekaan.

“Selama ini sambutan kemerdekaan hanya mengenengahkan 5-6 sahaja tokoh kemerdekaan negara iaitu terdiri dari Presiden Umno sahaja.

“Ya, Tunku Abdul Rahman terlibat dengan ulangtahun kemerdekaan negara, tetapi apa kena mengena usaha memerdekakan negara dengan baki Presiden Umno selepas itu? soal beliau.

Chegu Bard juga memberitahu, pengiraan detik 12.00 malam oleh ‘Himpunan Janji BERSIH’ yang dirancang di Dataran Merdeka itu bukanlah suatu acara berasingan, tetapi ia melibatkan pemimpin dan orang ramai yang berada di situ.

Terdahulu, Ismail, sambil menganggap tindakan 26 NGO menganjurkan Himpunan Janji BERSIH di malam ambang merdeka sebagai tindakan mempolitikkan sambutan Hari Kemerdekaan, beliau juga mahu himpunan itu dibatalkan.

Categories
NASIONAL

SAMM Cadang Boikot Sambutan Kemerdekaan Ke-55

SHAH ALAM, 27 JULAI : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menyeru warga Malaysia terutama anak muda dan rakyat prihatin supaya memboikot sambutan kemerdekaan ke 55 tahun ini yang menjadi medan politik kepartian regim Umno-BN dengan menampilkan tema “Janji Ditepati”.

Pengasas SAMM, Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard berkata, pihaknya membuat cadangan itu berikutan sambutan Hari Kemerdekaan kali ini telah dicemari oleh kepentingan politik kepartian yang melampau buat pertama kali dalam sejarah negara.

Menurutnya, tema “Janji Ditepati” yang diambil daripada tema jelajah Umno-BN dilihat SAMM sebagai sangat keterlaluan maka adalah lebih baik sekiranya regim tersebut terus menggunakan tema “Undilah BN” sempena menghampiri tempoh matang bagi Parlimen dibubarkan dan seterusnya Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) dijalankan.

“Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan sepatutnya disambut oleh semua rakyat dalam negara ini merentasi batasan agama dan bangsa, apatah lagi warna kepartian. Namun sambutan tahun ini begitu memualkan apabila regim Umno-BN yang telah benar-benar terdesak melacurinya dengan menjadikan sambutan sebagai pentas kempen dengan tema kepartian. Bagi SAMM, ini semakin melengkapkan syarat kejatuhan sesebuah regim.

“Hari bersejarah negara ini ukan untuk disambut oleh segelintir penyokong sesebuah parti. Maka Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (Pakatan) harus menerajui rakyat bertindak keras di atas kecelaruan yang ditimbulkan regim Umno-BN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Badrul Hisham berkata, SAMM juga menyeru kepada semua negeri Pakatan supaya sambutan hari kebangsaan dengan tema dan logo mengarut itu tidak dibenarkan dan ia seharusnya seharusnya diwarnakan semula dengan lebih murni dan patriotik.

Beliau menambah, selama ini juga sambutan Hari Kebangsaan disadur dengan sejarah kemerdekaan separuh masak yang hanya menampilkan tokoh Umno-BN sedangkan sejarah menuntut kemerdekaan itu berlaku jauh lebih awal sebelum wujudnya parti tersebut.

“Malangnya hanya Umno wujud dalam sejarah jasa negara sedangkan banyak bukti persekongkolan Umno dengan penjajah British dan pihak yang jelas melawan dengan garis keras dilihat penjenayah dalam sejarah. Kini pula keadaan menjadi lebih parah apabila sambutan kemerdekaan itu dihiasi dengan tema syok sendiri dan logo sampah,” katanya lagi.

Katanya, jika kecelaruan dan pencabulan Hari Kebangsaan dibenarkan berlaku pada tahun ini maka yakinlah ia akan menjadi tradisi dan amat tidak baik bagi semangat pembinaan negara ini.

Categories
NASIONAL

‘Sekarang Kita Dikuasai Mafia’

SELAYANG 7 JULAI : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan pemimpin di negara ini mentadbir kerajaan dengan cara ala ‘mafia’.

Katanya, pentadbiran di Malaysia kini dicemari dengan budaya rasuah dan jenayah yang semakin menular.

“Ini masalah besar yang dihadapi oleh kerajaan Umno-BN ketika ini iaitu rasuah dan penyelewengan.

“Hadirin sekalian, rasuah campur jenayah dicampur gerakan mafia antarabangsa inilah yang menguasai pentadbiran Malaysia sekarang. Bolehkah lagi kita bernaung di bawah pemerintah yang dikuasai oleh mafia?

“Dulu negara-negara Amerika Latin dikuasai oleh mafia dadah. Sekarang kita dikuasai oleh mafia. Terdedah perbincangan hal Scorpene, rasuah di Parlimen Malta, terdedah di Hong Kong, di sini (Malaysia) kita tidak tahu apa-apa,” katanya yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam ceramah Merdeka Rakyat, di sini, semalam.

Jelasnya, persoalan-persoalan sebegini seharusnya didedahkan kepada rakyat di negara ini kerana rakyat berhak tahu bagaimana wang negara dibelanjakan.

“Kini, Umno-BN sudah tiada modal dan tertekan serta terdesak oleh kerana itu mereka tiupkan api perkauman. Semua cerita yang keluar mesti berkisar mengenai perkauman. Tetapi saya rasa rakyat sudah tahu sekarang,” katanya.

Kira-kira 3,000 hadirin yang hadir dalam ceramah Merdeka Rakyat itu.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Soladariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin atau Chegubard, Adun Teja Chang Lih Kang dan Timbalan Pengerusi DAP, A.Sivanesan.

Sementara itu, Adun Teja Chang Lih Kang berkata Umno-BN bukan sahaja tidak membela Melayu malah menjadikan Melayu golongan termiskin di negara ini.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata 75 peratus rakyat termiskin adalah orang Melayu.

“Sekiranya Umno-BN membela orang Melayu seperti yang dilaungkan, mengapa sudah lebih 50 tahun orang Melayu tetapi miskin malah menjadi golongan termiskin.

“Kalau bela betul-betul, benda ini tidak akan berlaku,” jelasnya.

Categories
NASIONAL

SAMM: Najib Perlu Saman The Phnom Penh Post

SHAH ALAM, 7 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus segera membersihkan nama negara di atas pendedahan seorang wartawan yang berpengkalan di Kemboja yang mengatakan beliau telah dipertemukan dengan Altantuya Shaaribu oleh Razak Baginda di Paris.

Turut didedahkan ialah pembahagian skandal rasuah sebanyak USD160 juta antara Najib, Razak dan beberapa pemimpin Umno.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mendesak Najib di atas kapasiti Perdana Menteri, menyaman akhbar The Phnom Penh Post serta penulis artikel di ruangan Regional Insider – Roger Mitton.

“Pendedahan beliau bukan sahaja memalukan negara ketika skandal rasuah berskala tinggi melibatkan kelengkapan pertahanan negara semakin memuncak, malah mengundang persepsi sangat buruk terhadap kredebiliti seorang Perdana Menteri beragama Islam yang sebelum ini pernah bersumpah kononnya tidak mengenali penterjemah yang dibunuh tanpa motif iaitu Altantuya Shaaribu.” kata beliau dalam satu kenyataan media.

Katanya, Najib sebagai seorang ketua negara tidak harus berdiam diri kerana artikel kenyataan yang dilempar oleh wartawan The Phnom Penh Post adalah sangat serius dan telah dilulus-terbit untuk tatapan seluruh dunia.

“Keadaan ini mengundang persepsi bahawa Malaysia mempunyai seorang perdana menteri yang terpalit jenayah rasuah, termasuklah jenayah pembunuhan. Ini kerana sikap berdolak-dalik Najib dalam membicarakan statusnya terhadap Altantuya kini menjadi persoalan yang besar.

“Jika Najib sudah tidak mampu lagi meneraju negara ini dengan kredibiliti yang bersih, maka SAMM sangat berbesar hati jika Najib mengambil langkah mengundurkan diri daripada terus memalukan negara.

“Mungkin Muhiyuddin boleh memangku sementara waktu sebelum PRU13 menjelang. Ini bukan lagi persoalan politik domestik tetapi persoalan maruah negara di peringkat antarabangsa.

“Yang memalukan negara bukan demonstrasi rakyat tetapi imej negara akan terjejas kerana beberapa pemimpin negara yang terpalit skandal jenayah terus menerajui negara tanpa ada keberanian membersihkan imejnya.” kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Categories
NASIONAL

SAMM, PKR Kutuk Sikap Menteri Sukan Dalam Kemalangan Drag Putrajaya

 

SHAH ALAM, 28 MEI: Menteri Belia dan Sukan serta pihak penganjur perlu bertanggungjawab terhadap kemalangan yang berlaku dalam Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya semalam hingga menyebabkan 17 penonton cedera termasuk empat parah.

Naib Presiden PKR, N. Surendran berkata, penganjur sepatutnya menyediakan penghadang bagi melindungi keselamatan dan bukannya menyalahkan penonton mahupun peserta.

Sementara itu, Solidariti Anak Muda Malaysia pula mendakwa penganjur menghalang berita kejadian itu tersebar luas dengan merampas kamera mangsa dan penonton yang mengambil gambar kejadian.

“Kita minta satu siasatan terperinci dilakukan memandangkan perkara ini amat serius dan melibatkan keselamatan awam,? Surendran berkata.

?Kita minta undang-undang mengenai keselamatan awam pada acara di tempat awam dikaji semula untuk memastikan perkara sebegini tidak berlaku kerana saya rasa standard keselamatan acara awam tidak
“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Ianya bukan satu kemalangan yang berlaku begitu sahaja tetapi ianya adalah kecuaian daripada pihak penganjur dan pihak kerajaan perlu menyiasat perkara ini,” katanya.

Dalam kejadian di Lebuh Wadi Ehsan, Presint 19 tengah malam semalam, seramai 22 orang penonton cedera apabila sebuah kereta yang mengambil bahagian dalam perlumban itu terbabas ke tebing pembahagi jalan.

Pengerusi SAMM Badrul Hisham Shaharin pula berkata kenyataan Menteri Belia dan Sukan seolah-olah melepaskan batok di tangga kerana menganggap kes kemalangan boleh berlaku di mana-mana.

?Sebagai menteri bertanggungjawab, kenyataan (Datuk) Ahmad Shabery Cheek harus lebih bijak dan berhemah selain daripada ‘menyalahkan tuhan’,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM Desak Polis Ambil Tindakan Ke Atas Anggota Yang Merusuh Semasa BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR, 7 MEI :  Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)  mendesak polis untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap beberapa anggota mereka yang melakukan rusuhan ke atas orang awam semasa perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung 28 April lalu.

Pengerusinya, Badrul Hisham Shaharin berkata, pihaknya tidak menyalahkan mana-mana  anggota polis yang bertugas semasa perhimpunan itu, namun tindakan perlu diambil bagi menjaga hubungan polis dan orang awam.

Menurutnya, polis juga perlu memberi jaminan untuk menyiasat pihak-pihak tertentu yang dilihat cuba membuat dakwaan tidak berasas ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0.

“Kami tidak menyalahkan anggota polis semasa perhimpunan itu. Apa yang berlaku ialah polis dan orang awam menjadi mangsa.

?Kami tidak halang polis menjalankan proses tindakan undang-undang jika berlaku jenayah, tetapi kami desak pihak polis ambil tindakan kepada anggota yang merusuh pada hari itu,” kata Badrul Hisham atau yang juga dikenali sebagai ?Chegubard?.

Perkara itu dinyatakan Badrul Hisham semasa menyerahkan memorandum ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini bagi mendesak pihak polis yang melakukan kekerasan supaya menyerah diri.

Memorandum itu antara lain turut mengandungi beberapa keping gambar yang menunjukkan anggota polis mengkasari peserta himpunan BERSIH 3.0.
“Polis perlu menyiasat khabar angin yang kononnya mendakwa ada anggota polis meninggal dunia semasa perhimpunan itu. Para blogger Umno yang menyebarkan perkara itu perlu dipanggil dan disiasat,” jelasnya.

Dalam pada  itu, suasana penyerahan memorandum hari ini menjadi tegang apabila kumpulan anti-BERSIH 3.0, cuba menghalang SAMM. Kumpulan anti-BERSIH 3.0 itu meluangkan sorakan “pengkhianat negara” dan kata-kata kesat terhadap aktivis SAMM.

Bagaimanapun, anggota polis menghalang dua-dua kumpulan tersebut daripada saling mendekati.

 

Categories
NASIONAL

Kes Scorpene: Zahid ‘Cakap Tak Serupa Bikin’

SHAH ALAM, 25 APR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini disaran agar mengotakan kata-kata beliau yang sebelum ini mendakwa bersedia berkerjasama untuk menegakkan keadilan berhubung isu yang membabitkan isu komisen kapal selam scorpene.

Menurut Badrul Hisham Shahrin atau dikenali sebagai Chegu Bard yang merupakan Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, Zahid telah mengeluarkan kenyataan tersebut apabila isu ini dibangkitkan pada tahun lalu.

Sebaliknya semalam Zahid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan hadir ke mahkamah di Perancis samada dibiayai kerajaan mahupun dengan menggunakan wang dari poket sendiri.

“Dalam pertengahan tahun lepas bila isu scorpene ini dibangkitkan, dia seolah-olah bongkak di dalam negara.

“Dia kata tak ada masalah kalau diperlukan di mana juga mahkamah, dia akan berikan kenyataan, sanggup beri kerjasama, kononnya tiada benda yang nak diselindungkan dan berikan mahkamah tegakan keadilan.

“Tetapi yang terbaru sekali, bila kes ini betul-betul disebut di mahkamah Perancis ternyata dia pulak takut dengan alasan tak ada sebab nak gunakan duit sendiri untuk pergi ke mahkamah Perancis.

“Kata mahu mahkamah tegakkan keadilan tetapi tak mahu beri kerjasama,” beritahu Chegu ketika dihubungi hari ini.

Menurut Chegu Bard keengganan Menteri Pertahanan itu untuk hadir dalam inkues di mahkamah Perancis akan memalukan rakyat dan menjejaskan imej negara.

“Kita difahamkan bahawa mahkamah Perancis telah menerima Najib dan Zahid selaku saksi dalam kes tersebut.

“Oleh kerana itu, jika Najib dan Zahid mengelak untuk hadir ketika dipanggil, menurut sumber perundangan, mahkamah Perancis boleh memanggil surat panggil atau waran tangkap kepada Najib yang suatu ketika dahulu adalah Menteri Pertahanan dan juga Menteri Pertahanan sekarang.

“Lebih penting lagi sekiranya ianya berlaku ia bukan sahaja menjejaskan soal imej negara tetapi juga soal keselamatan negara.

“Apakah rasanya sebagai rakyat Malaysia apabila PM kita menjadi buruan di peringkat antarabangsa? Tentu memalukan kita.

“Ia tak mustahil, jika tak hadir sudah tentu waran tangkap boleh dikeluarkan melalui rangkaian Interpol dan sebagainya dan ini pernah berlaku terhadap diktaktor Augusto Pinochet,” yang ditangkap oleh rangkaian interpol di hospital,” ujar beliau yang juga merupakan Ketua PKR Cabang Rembau.

Terdahulu pada 29 Mei, 2011, ketika menjawab soalan wartawan dalam isu yang sama, di samping mahukan ketelusan dalam siasatan beliau juga mahukan mahkamah menentukan kebenaran.

Zahid turut memberitahu bahawa beliau bersedia untuk ke mahkamah sekiranya diminta berbuat demikian oleh mahkamah.

?Mereka boleh cabar kita di mahkamah. Kita mahu lebih telus. Berhubung dakwaan mereka, biar mahkamah tentukan kebenaran,?

“Saya sedia ke mahkamah jika diminta berbuat demikian tetapi, syaratnya mesti diluluskan oleh kabinet.

“Jika kabinet tidak benarkan, maka saya tidak perlu pergi,? menurut Zahid ketika itu yang jelas bertentangan dengan kenyataan terbaru beliau yang enggan berkerjasama untuk mahkamah membuktikan kebenaran.” ujar beliau.

Skandal pembelian scorpene oleh kerajaan Malaysia menimbulkan pelbagai kontraversi termasuk dikaitkan dengan pembunuhan warga monggolia, Altantuya Shaariibu.

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.