Categories
SELANGOR

Kerana Dituduh Pencuri Air, SYABAS Disaman RM 2.5 Juta

SHAH ALAM, 12 OKT : Seorang penduduk Kampung Kerdas, Gombak memfailkan saman terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana mendakwa ia gagal menyediakan perkhidmatan air terbaik kepada kediamannya sejak empat tahun lalu.

Plaintif, Hashim Maon yang memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur juga menuntut ganti rugi sejumlah RM 2.5 juta daripada Syabas kerana menuduhnya sebagai ‘pencuri air’.

Hashim memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 September lalu melalui syarikat guaman Roland and Co.

Menurutnya, tuntutan itu dibuat berasaskan kecuaian dan kegagalan defendan melaksanakan tanggungjawab dan tugas membekalkan air kepada pengguna.

Kecuaian tersebut kata plaintif, bertentangan dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 53, 54, 57 dan 58 Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta Seksyen 40 dan 41 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas dan am, faedah, kos dan relif yang difikirkan perlu.

“Saman itu akan didengar di depan hakim pada 15 Oktober depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Saya saman fitnah kepada defendan sebanyak RM2 juta tidak termasuk tuntutan khas seperti tuntutan ganti rugi dan kos-kos lain yang jumlah keseluruhannya kia-kira RM 2.5 juta,” katanya.

Sebelum ini, Hashim mendakwa dia dan keluarga berdepan tekanan air rendah. Sebaliknya air yang dibekalkan Syabas kepada kediamannya juga tidak bersih kerana paip saluran yang digunakan sudah lama, berkarat dan perlu diganti.

Perkara itu berulang kali diajukan kepada Syabas, namun mereka menyatakan kerja-kerja pembaikan tidak dapat dilakukan akibat kekangan kewangan Syabas.

Ekoran itu, beliau mengambil inisiatif sendiri melakukan penyambungan baru di luar bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan ke rumahnya.

Tetapi tindakan itu menyebabkan Syabas menuduhnya sebagai pencuri.

Beliau berkata, tekanan air di rumahnya kini bertambah baik selepas campur tangan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) yang mengarahkan Syabas membuat sambungan baru daripada paip utama kepada meter air di kediamannya.

Namun begitu katanya, tuntutan saman akan tetap diteruskan kerana Syabas telah memfitnah beliau sekeluarga sehingga merosakkan reputasi mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Haniza : Demonstrasi Air Taman Medan Dusta Semata-mata

SHAH ALAM, 11 OKT : Kesemua penghuni flat Taman Medan Cahaya PJ2, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya telah menikmati skim air percuma Kerajaan Selangor sejak akhir tahun lepas.

Oleh itu dakwaan sebuah NGO di dalam sebuah akhbar pada 8 Okt bahawa 3,000 penduduk di flet tersebut tidak menerima skim air percuma adalah dusta dan berbaur politik, kata Adun Taman Medan Haniza Talha.

Menurutnya, rebat air juga telah diperoleh apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Orang-orang yang buat tuntutan itu semuanya penduduk yang telah menerima air percuma.

Penduduk yang duduk di flat yang mengatakan mewakili 3,000 orang sebenarnya hanya ada lebih 1,000 orang dan semua mereka dari blok dari A hingga H sudah menerima potongan rebat air daripada SPNB.

“Tuntutan mereka itu hanya berbaur politik kerana ia jelas mereka sudah mendapat perkhidmatan itu tetapi mendakwa kononnya tidak dapat,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor mengulas laporan media mengenai demonstrasi sebahagian penduduk di flat itu Ahad lalu yang mendakwa tidak mendapat air percuma 20 metre padu.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat dalam demonstrasi itu telah digunakan demi kepentingan politik Umno-BN.

“Saya mempunyai dokumen daripada Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang mengatakan mereka sudah mendapat rebat itu dari Julai lepas atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Gagal Siap Laporan Bertulis MTUC Gesa Kerajaan Tangguh Bayar Faedah Persaraan Hakim

KUALA LUMPUR, 4 OKT : Kegagalan Hakim Mahkamah Rayuan, Datin Paduka Zaleha Zahari mengemukakan keputusan bertulis dalam kes semakan kehakiman Malaysian Trade Union Congress (MTUC) melawan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas).

Oleh itu, MTUC meminta badan kehakiman untuk menunda pembayaran faedah persaraan kepada Hakim Zaleha yang akan bersara beberapa minggu lagi.

Dalam kes ini MTUC memohon untuk mengekses laporan audit dan dokumen perjanjian konsesi air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor dan Syabas pada Disember 2004.

Zaleha yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa responden tidak berhak untuk mengakses laporan audit dan dokumen perjanjian konsesi air tersebut.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, langkah ini perlu kerana Zaleha didakwa melanggar aturan ‘Judges Code of Ethics 1994’ apabila gagal mengemukakan keputusan bertulis bagi kes yang didengar pada 25 Feb tahun lalu.

Klausa (f) kod etika itu menyatakan hakim tidak boleh: “dengan sengaja dan tanpa alasan munasabah menunda penyelesaian kes, membuat keputusan dan menulis alasan bagi keputusan yang dibuat.”

Charles berkata, Zaleha berjanji untuk mengemukakan keputusan bertulis, yang memihak kepada defendan, dalam masa sebulan.

“Kes ini tertunda di mahkamah rayuan selama 19 bulan.

“Adalah sangat penting bagi keputusan bertulis itu dikemukakan segera kerana Zaleha akan bersara dalam masa beberapa minggu lagi,” kata Charles pada sidang media di lobi Parlimen.

Charles yang juga koordinator NGO Gabungan Menentang Penswastaan Air (Coalition Against Water Privatisation) berkata tujuh surat dihantar setakat ini kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan presiden mahkamah rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, bagi meminta penyelesaian, tetapi belum ada maklum-balas diterima.

Beliau menegaskan bahawa kes tidak boleh difailkan di peringkat Mahkamah Persekutuan selagi keputusan bertulis oleh Zaleh belum dikemukakan.

Categories
SELANGOR

Penswastaan Air Haruslah Berkualiti, Berkekalan dan Harga Berpatutan


KUALA LUMPUR 28 SEPT : Penswastaan utiliti awam seperti air seharusnya menepati empat elemen agar ia memberi faedah kepada masyarakat, menurut seorang pakar undang-undang dari Britain.

Empat elemen tersebut adalah perkhidmatan tersebut dapat dinikmati oleh semua orang (access), berkualiti (quality), pada harga berpatutan (affordability) dan berkekalan (sustainable).

Mengambil contoh program penswastaan air di United Kingdom (UK) pada tahun 1989, David Watkins berkata penswastaan air juga berkeupayaan meningkatkan mutu perkhidmatan air kepada pengguna.

“Bagi mencapai semua elemen ini, syarikat korporat perlu memainkan dua peranan.

?Pertama sebagai pembekal air di mana mereka perlu berorientasikan prestasi komersial, mekanisme pasaran seperti harga, sistem perdagangan air, subsidi dan sebagainya selain mementingkan pengagihan yang efektif.

“Keduanya, mereka juga perlu menjadi pengguna dengan mengutamakan kemampanan penggunaan air dan komunikasi yang baik dengan komuniti dalam usaha meningkatkan kualiti dan agihan air,” ujarnya yang kini bertugas di Firma Slaughter & May, Hong Kong.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Undang-undang Antarabangsa Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)  pagi tadi dengan tajuk ‘Peranan Syarikat Korporat Dalam Merealisasikan Hak Asasi Terhadap Air’.

Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan agihan air terawat daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Usaha itu dimulakan setelah Kerajaan Negeri mendapati penswastaan perkidmatan air terawat kepada Syabas pada 2004 telah mengakibatkan harga air naik secara berterusan walaupun peratusan air yang bocor dan hilang semakin meningkat.

Mengulas lanjut, Watkins yang ditemui TVSelangor, sejurus forum selesai bersetuju bahawa nilai harga yang perlu dibayar pengguna merupakan elemen yang penting dalam program penswastaan utiliti awam ini.

“Kebanyakan penswastaan akan mengambil kira kesemua kos termasuk pentadbiran, penyelenggaraan dan sebagainya agar satu nilai yang mampu dibayar oleh setiap pengguna dapat dicapai.

“Misalnya, di UK setiap syarikat korporat akan mengendalikan proses rawatan, bekalan dan agihan air untuk mengurangkan kos.

“Jika proses ini dilakukan oleh syarikat yang berasingan, kos sudah pasti lebih tinggi dan pengguna juga perlu membayar lebih,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, monopoli satu syarikat korporat dalam penswastaan air berkemungkinan tidak mampu menggalakkan peningkatan kualiti agihan dan bekalan air.

“Sebaliknya, jika terdapat persaingan beberapa syarikat korporat, kualiti dan perkhidmatan kepada pengguna sudah pasti akan meningkat dari semasa ke semasa.

?Itulah yang seharusnya berlaku dalam sektor swasta,” ujarnya.

Syabas vs. Selangor


Sinopsis:
Isu air Selangor sebenarnya mudah untuk difahami dan diselesaikan jika semua pihak sedar dan faham apa sebenarnya yang diperjudikan disini sekiranya konsesi Syabas terus memperdagangkan air kepada rakyat Selangor.

Edisi Penuh Lagi Terperinci : http://www.youtube.com/watch?v=WmneS7VpUmI

Categories
SELANGOR

MB : KeTTHA Didakwa Ingkari Tanggungjawab Penuhi Kepentingan Awam

SHAH ALAM, 26 SEPT : Kerajaan Selangor mendakwa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) mengingkari tanggungjawab untuk melibatkan diri dalam usaha mengambil alih operasi bekalan air terawat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanggungjawab in seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) Akta Perkhidmatan Air.

Menurut Bahagian 7 (Pemindahan Perniagaan) Akta tersebut tiada sesiapa berhak membuat perjanjian atau perkiraan yang akan mengakibatkan pertukaran dalam kawalan, penjualan, pelupusan atau pindah milik.

Sebarang penyatuan, percantuman atau penyusunan semula pemegang lesen juga tidak boleh dibuat melainkan dengan kelulusan Menteri. Menteri tersebut adalah Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Menurutnya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Selangor (Span) juga didakwa menyalahguna budi bicara apabila memberi tempoh lanjutan kepada syarikat-syarikat konsesi untuk beroperasi dari bulan ke bulan.

Tindakan ini jelasnya memperlekeh kewajaran syarikat-syarikat konsesi berkenaan supaya mematuhi kemahuan Kerajaan Negeri Selangor.

“Oleh kerana Kerajaan Persekutuan telah menerima cadangan penyusunan holistik dan merupakan pemegang Saham Emas dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), maka wajar syarikat konsesi lain menerima tawaran yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri,? kata Abdul Khalid Kepada pemberita.

“Sekiranya syarikat konsesi tidak bersetuju dengan tawaran yang akan dikemukakan, mereka boleh merujuk kepada Badan Timbang Tara Bebas Antarabangsa dan Kerajaan Negeri akan akur apa jua keputusan yang dibuat oleh badan berkenaan.”

Abdul Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Bangunan SUK hari ini.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan menjemput Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk membincangkan pelaksanaan penyusunan semula industri perkhidmatan air dan pembinaan Loji Rawatan Langat 2.

Beliau berkata, perbincangan itu dijangka akan membawa keputusan positif kepada industri air negeri serta rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Saya akan memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin bahawa usaha penyelesaian penyusunan industri air secara holistik di Selangor masih terbantut akibat sikap berdolak dalih syarikat konsesi dan keengganan Kerajaan Pusat untuk melaksanakan kuasa-kuasa berkanun di bawah Akta 655,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

PKR Selar Iklan Fiksyen “Krisis Air Selangor”

 

SHAH ALAM 25 SEPT : Pemimpin PKR hari ini terus menyelar usaha untuk memburukkan imej kerajaan negeri dengan iklan yang kononnya bekalan air di Selangor tidak cukup.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkata tindakan itu hanya akan menambah kebencian rakyat kepada gabungan Umno-BN yang beliau dakwa membiayai iklan tersebut.

Manakala naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata penggambaran itu dan kenyataan Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini mengesahkan yang Umno-BN menggunakan taktik kotor untuk rampas Selangor.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata keburukkan Umno-BN terserlah apabila ia memperalatkan orang awam dan pelakon yang dipercayai diupah bagi ‘menjayakan’ video tersebut.

“Sebagai sebuah parti ‘antik’ yang mempunyai pelan politik, AMK negeri merasakan Umno-BN sedang benar-benar goyah dan hanya menunggu masa untuk dikuburkan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya, AMK negeri sedia menyambut sebarang bentuk kempen politik yang matang, tetapi menolak jika Umno-BN bersikap penakut dengan menggunakan orang awam.

Semalam, sebuah produksi dikesan menjalankan penggambaran berbentuk rekaan yang kononnya wujud krisis bekalan air di Selangor.

Penggambaran yang dijalankan di sebuah pangsapuri yang terletak di Petaling Jaya itu melibatkan kira-kira 300 pelakon yang majoritinya bukan penduduk di situ.

Iklan pendek yang berdurasi 40 saat itu memaparkan adegan orang ramai yang sedang berbaris panjang ditengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.

Beberapa orang di antara mereka berlakon dengan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Tujuan iklan tersebut seolah-olah untuk membentuk satu persepsi yang bekalan air di Selangor kerap menghadapi ganguan. Walhal di lokasi pengambaran tersebut, tidak ada langsung masalah bekalan air.

Sebelum ini, Umno-BN cuba wujudkan persepsi bahawa Selangor dilanda krisis air kerana bekalan tidak mencukupi.

Ekoran itu, Kerajan Selangor telah membuktikan bahawa bekalan air mentah lebih daripada mencukupi.

Masalahnya berpunca daripada pengedaran, di mana, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak menyelengara tugasnya dengan baik sehingga ada pangsapuri di Sri Kembangan dan Cheras mengalami ganguan air terawat.

Sementara itu, Nurul Izzah, apabila ditemui di Dewan Rakyat, menyelar kenyataan Adnan yang Pahang akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor sekiranya Projek Langat 2 tidak diteruskan.

Nurul Izzah berkata, usaha bersungguh-sungguh Umno-BN itu bagi memastikan projek yang mampu memberi pulangan tinggi kepada mereka dapat dijalankan seperti Projek Langat 2.

Categories
NASIONAL

Produksi ‘Diupah’ Buat Filem Cipta Situasi Catuan Air Burukkan Selangor

PETALING JAYA 24 SEPT: Sebuah produksi hari ini dikesan menjalankan penggambaran yang menggambarkan situasi krisis air bagi memburukkan Kerajaan Negeri Selangor.

Penggambaran yang dijalankan di sebuah pangsapuri yang terletak di Petaling Jaya itu melibatkan kira-kira 300 pelakon yang majoritinya bukan penduduk di situ.

Menurut beberapa pelakon, mereka dibayar RM50 setiap orang.

Malah beberapa di antara mereka termasuk beberapa krew juga tidak mengetahui tujuan penggambaran tersebut dibuat.

Selain itu menurut bekas Pengerusi JMB, Dr S Paramanathan, bekalan air di rumah mereka pada masa ini berada dalam keadaan baik, tidak seperti yang cuba digambarkan.

“Air di sini okey saja. Dulu ada juga tapi disebabkan masalah pam atau kegagalan JMB bayar air kepada Syabas(Syarikat Bekalan Air Selangor),” kata beliau.

Beliau juga memberitahu penduduk di situ berasa kesal keputusan JMB memberi kebenaran penggambaran di buat di kawasan kediaman mereka.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Jenny mendakwa beliau dimaklumkan pihak JMB dibayar sebanyak RM15 ribu oleh produksi sebagai sewa tapak lokasi pengambaran.

Tinjauan TV Selangor di lokasi penggambaran mendapati beberapa orang yang terlibat tidak mengetahui tujuan penggambaran tersebut dibuat.

Beberapa penduduk yang ditemui juga melahirkan rasa kesal dengan tindakan JMB yang memberikan kebenaran penggambaran itu dijalankan di kawasan kediaman mereka.

Berdasaran peralatan yang digunakan oleh produksi tersebut, ia dipercayai menelan kos yang besar.

Di lokasi penggambaran mendapati sekurang-kurangnya sebuah kren, beberapa lori pengangkut peralatan termasuk generator besar, tandas bergerak turut digunakan dalam penggambaran tersebut.

Berita penuh menyusul selepas ini

Categories
NASIONAL SELANGOR

92% Pangsapuri Kos Rendah Terima Air Percuma

SHAH ALAM 21 SEPT : Sejak program pemberian air percuma dilancarkan pada Jun 2008, sehingga kini lebih satu juta penduduk yang menggunakan meter individu menikmati air percuma termasuk penghuni pangsapuri kos rendah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid berkata, usaha memastikan pemberian air percuma dapat dinikmati penghuni pangsapuri kos rendah dilakukan sejak Jun 2010 lagi dan akan di teruskan selagi Pakatan Rakyat memerintah Selangor.

“Usaha tersebut dilakukan kerana kita tidak mahu rakyat miskin di rumah bertingkat kos rendah menjadi mangsa Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang merumitkan proses penukaran meter pukal kepada individu.

“Antara lain kita mewujudkan Skim Safwa (Skim Rebet Air Percuma) untuk membolehkan penghuni pangsapuri kos rendah mendapat manfaat air percuma,” jelasnya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Rekabentuk Rumah Mampu Milik Selangor 2012 di sini petang tadi.

Sejak skim tersebut dilancarkan pada Julai 2010, sehingga Julai 2012 lebih RM 6 juta dibelanjakan untuk air percuma kepada penghuni pangsapuri kos rendah.

Rekod Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) juga melaporkan sebanyak 92 peratus atau 214 kawasan melibatkan 58, 049 unit pangsapuri kos rendah menerima air percuma menerusi Skim Safwa.

Manakala baki 18 kawasan atau 6, 666 unit lagi gagal melaksanakan tuntutan rebet air percuma kerana Badan Pengurusan Bersama (JMB) kekurangan tenaga kerja.

Katanya lagi, Skim Safwa turut ditambah baik menerusi ‘Lapor dan Dapat’ di mana setiap pangsapuri yang tercicir boleh terus mendaftar di Unit Pesuruhjaya Bangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuat tuntutan secara terus kepada Syabas.

Bagi penghuni pangsapuri bukan kos rendah pula, mereka perlu memohon daripada Syabas untuk proses migrasi meter pukal kepada meter individu.

“Kerajaan Negeri turut menubuhkan pasukan khas bagi membantu proses migrasi ini bagi para penghuni pangsapuri bukan kos rendah untuk membantu melancarkan dan mempercepatkan proses tersebut,” ujarnya.

Mengulas saman terbaru yang dikemukakan terhadap Kerajaan Negeri berkenaan isu pemberian air percuma, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri menghormati hak rakyat Selangor untuk mendapatkan tindakan undang-undang.

“Kita akan kaji perkara ini tetapi kita percaya mereka ini telah diperdaya dengan maklumat palsu atau tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai program air percuma ini,” ujar beliau.

Categories
SELANGOR

Rundingan Untuk Ambilalih Operasi Air Dalam Tempoh Tujuh Hari

SHAH ALAM, 19 SEPT : Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula industri air Selangor dan mengambilalih operasi air terawat dalam tempoh tujuh hari.

Proses ini termasuk memulakan rundingan dengan syarikat konsensi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membeli balik saham di dalam syarikat tersebut.

Justeru itu, Kerajaan Pusat diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemukan bantahan terhadap proses itu.

Sekiranya Kerajaan Pusat tidak membuat apa-apa bantahan, Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada kerajaan pusat menerusi surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Sept.

“Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi

Walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

“Saya juga menyatakan keengganan Menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga komited bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Air Percuma : MB Tidak Halang Rakyat Bawa Ke Mahkamah

 

SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Negeri tidak menghalang sekiranya pengguna air di pangsapuri di negeri ini mahu memfailkan saman berhubung kegagalan menerima subsidi air percuma yang diberikan kepada semua rakyat.

Mengulas lanjut isu tuntutan saman yang difailkan oleh 711 pengguna air, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia merupakan satu kes percubaan yang akan memberikan pandangan mengenai kebajikan rakyat.

Katanya, dengan saman ini membolehkan Kerajaan Negeri mengetahui masih terdapat rakyat yang tidak menikmati air percuma kerana tidak mengikut syarat yang ditetapkan.

“Sekiranya seseorang tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan ia boleh dibenarkan untuk menerima peruntukkan? itu pihak mahkamah boleh berikan jawapan.

“Penukaran meter pukal kepada meter individu tidak memerlukan kos yang tinggi, ia cuma memerlukan persetujuan daripada penghuni dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) setuju untuk membenarkan penukaran dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Sebelum ini, seramai 711 pengguna air memfailkan saman menuntut ganti rugi hampir RM500,000 terhadap tiga pihak termasuk Abdul Khalid, atas kegagalan menerima subsidi air percuma di bawah Skim Air Percuma yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Semalam Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa pemberian percuma hanya diberikan kepada penghuni yang mempunyai meter individu.

“Oleh kerana itu, saya sudah memaklumkan bahawa penghuni supaya cepat menukarkan meter pukal kepada meter individu supaya dapat menikmati pemberian ini.

“Kadang-kadang sesetengah orang tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=uUAfkbQBqhE

Categories
SELANGOR

Boros Punca Syabas Gagal Salurkan Air Dengan Baik

BISTARI JAYA 02 Sept : Mengubahsuai pejabat dan membeli kereta baru.

Ini antara cara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membelanjakan wang yang sepatutnya diguna untuk menyelenggara pam dan loji rawatan air.

Pam dan loji yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan air bersih tidak dapat disalurkan dengan cekap kepada pengguna di Selangor dan Lembah Klang.

Ini didedahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengulas isu air Selangor di dalam ucapan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Ijok, di sini, semalam.

Di bawah akta Konsensi Air 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, diberi tanggungjawab mengurus rawatan dan saluran air bersih di seluruh Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Abdul Khalid berkata Syabas memberi alasan ?tiada wang yang cukup? apabila ditanya mengapa mereka tidak menyelenggara pam dan loji rawatan air.

Katanya, punca utama itu diketuai selepas disiasat oleh Jawatankuasa Pemantau Air yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

“Bila saya tanya mengapa tiada wang, mereka (Syabas) memberitahu wang untuk keperluan itu mereka gunakan untuk mengubahsuai pejabat dan membeli kereta baru”.

Pada bulan Ogos, Kerajaan Selangor telah diberi mandat untuk mengambilalih operasi tersebut daripada Syabas kerana mendapati syarikat itu gagal mengurus bekalan air bersih walaupun kerap kali meminta harga air dinaikkan.

Abdul Khalid menambah, sekiranya Syabas tidak mampu, Kerajaan Negeri Selangor boleh mengeluarkan wang untuk kerja penyelenggaraan itu.

“Kita boleh bagi duit dan kita juga boleh membaikinya dengan harga yang rendah kerana kita boleh mencari kontraktor yang berkebolehan dan harga yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu Abdul Khalid akan turun melawat ke kawasan kampung sekitar negeri bagi meninjau masalah air dan pembuangan sampah.

Katanya, walaupun kini isu sampah jarang didengari kerana masalah itu dapat ditangani oleh Kerajaan Negeri, namun beliau tetap mahu meninjau.

“Saya akan pergi ke kampung-kampung dan tanya sendiri mereka mengenai kedua-dua isu ini.

“DYMM Sultan pun ada berbincang tentang isu ini dengan saya dan memuji bahawa masalah sampah sudah kurang,” katanya.