Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

UKM duduki tangga ke-4 universiti terbaik Asia Tenggara

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 OKT: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila berada pada kedudukan keempat terbaik universiti, di Asia Tenggara.

Pencapaian itu diperoleh melalui ‘QS World University Rankings 2019’ yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kejayaan itu adalah hadiah buat Malaysia kerana penubuhan UKM sebahagian daripada proses perjuangan kemerdekaan negara.

“Ini adalah hasil semangat semua pihak termasuk pentadbir, pensyarah, pegawai, pelaksana dan paling penting semangat semua pelajar UKM yang begitu hebat, sekali gus menjadi penyumbang terbesar kejayaan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sebagai universiti awam, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab UKM untuk menggalas serta menjadi nadi juga tenaga penggerak utama bagi arus pembangunan negara.

“Kita juga harus menggembeleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan mahasiswa yang berjiwa patriotisme serta kental semangat nasionalisnya,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pensyarah perlu guna kaedah baru elak mahasiswa bosan

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 18 SEPT: Pensyarah disarankan meneroka kaedah baru sistem pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelajar tidak cepat bosan.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, langkah itu selaras dengan peredaran zaman yang semakin moden, hari ini.

“Kita perlukan pengajaran berkualiti dan inovatif, bukannya konvensional adalah selaras peredaran zaman,” katanya ketika Majlis Perjumpaan Naib Canselor UKM bersama Pensyarah Kursus Tahun 1 Sesi 2018-2019, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat UKM, Prof Dr Mohamad Abdullah dan Timbalan Naib Canselor.

Noor Azlan berkata, pensyarah perlu membuat persediaan rapi dan bersungguh-sungguh demi memastikan ilmu disampaikan dapat difahami dan dimanfaatkan pelajar.

Katanya, tenaga akademik juga perlu lebih berinovasi dalam usaha melahirkan graduan berinovasi.

“Anda (pensyarah) adalah harapan besar universiti. Kita bukan hanya mahukan pelajar yang cemerlang dalam akademik semata-mata tetapi mempunyai banyak kebitaraan (keistimewaan) lain,” katanya.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

3,653 penuntut baru bakal mendaftar di UKM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 3,653 penuntut baru bakal mendaftar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Sesi Akademik 2018/2019, bermula September ini.

Naib Canselornya, Prof Tan Sri Dr Noor Azlan berkata, ia membabitkan 13 fakulti di UKM Bangi, UKM Kampus Kuala Lumpur dan Perubatan UKM di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, daripada jumlah itu, 70 peratus adalah penuntut wanita manakala 30 peratus adalah lelaki.

“Sebanyak 73 program ditawarkan di peringkat ijazah sarjana muda dengan 47 daripadanya ialah program sains dan 26 program sastera.

“Buat pertama kalinya, UKM menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Citra dengan Kepujian kepada 100 calon mahasiswa baru,” katanya dalam kenyataan.

Noor Azlan berkata, konsep mentor mentee di antara pelajar baru dan pensyarah turut menjadi ‘highlight’ sempena minggu mesra mahasiswa.

Katanya, ia bagi membolehkan mereka berhubung dengan pensyarah sebelum sesi pembelajaran bermula, sekali gus memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran dan kehidupan di kampus berkenaan aspek akademik yang bakal dilalui.

“Saya berharap mahasiswa baru dapat mengambil peluang menggilap bakat dan potensi diri masing-masing bagi memenuhi citra universiti supaya mereka mempunyai ‘Payung Merah’ untuk terus cemerlang dalam pengajian di UKM,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pengasas UKM meninggal dunia

PETALING JAYA, 23 OKT: Bekas ahli Jawatankuasa Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Zainal Abidin Abdul Wahid meninggal dunia, pada jam 10 pagi tadi.

Allahyarham, 84, menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Seksyen 14, di sini, ekoran jangkitan paru-paru.

Jenazah dimandikan dan dikafankan di Masjid Tun Abdul Aziz sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara selepas solat Asar.

Allahyarham pernah menjadi pensyarah Sejarah di Universiti Malaya pada tahun 1962 dan kemudiannya dilantik sebagai profesor dan Ketua Jabatan Sejara,h pada 1970 hingga 1991 apabila UKM ditubuhkan.

*Sumber: BH Online

Categories
NASIONAL

‘Saya Bukan Hero, Saya Cuma Mahu Rakyat Dapat Pendidikan Percuma’

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 03

KUALA LUMPUR 18 JAN : Pendidikan adalah hak setiap rakyat sama seperti tempat tinggal dan makanan dan saya juga bukan hero yang perlu disanjung tinggi kerana saya percaya ramai lagi pejuang yang melakukan pelbagai usaha, lebih hebat dari saya demi rakyat, ungkap KS Bawani dengan rendah diri.

Bawani yang kini menuntut di tahun kedua jurusan Undang-undang di Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima pelbagai sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat atas keberaniannya menyuarakan idea pendidikan percuma dalam satu forum.

Rakaman forum tersebut menyaksikan bagaimana hujah Bawani dimatikan oleh tindakan moderator forum, Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang bertindak menarik mikrofon di hadapan Bawani yang sedang menyampaikan hujah-hujahnya.

Susulan insiden itu, beliau kini menjadi sebutan dan diangkat sebagai ikon mahasiswa yang dilihat berani dalam menyuarakan pandangan yang nyata bertentangan dengan polisi kerajaan pemerintah.

“Jangan pandang saya seolah-olah saya di langit kerana saya hanyalah insan kerdil yang hanya bersuara untuk menuntut keadilan buat semua.

“Saya yakin Malaysia mampu memberikan pendidikan percuma sepertimana yang dlaksanakan negara-negara seperti Cuba, Brazil, Argentina yang mempunyai pendapatan negara kurang daripada Malaysia.

“Pendidikan bukanlah satu bentuk perniagaan, komoditi atau barangan untuk dijual beli, ia adalah hak setiap insan,” tegas Bawani.

Beliau yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menghadiri sidang media anjuran pertubuhan yang dinaunginya sendiri, Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di sini pagi tadi.

Menurutnya lagi, mahasiswa perlu dibebaskan daripada kepompong pemerintah atau kerajaan bagi menjamin hak mahasiswa dalam menyuarakan pandangan serta idea baru demi kemajuan negara sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Ia perlu dilaksanakan dalam kehidupan sehari-hari kita dan bukan sekadar di atas kertas sahaja.

“Pihak universiti juga perlu neutral dan bebas tanpa diselimuti usaha-usaha ‘brainwash’ pihak tertentu.

“Biarkan mahasiswa sendiri menilai mana baik, mana buruk,” ujar Bawani.

Berusia 28 tahun, Bawani begitu konsisten dalam perjuangannya malah begitu aktif dalam pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak rakyat sejak berusia belasan tahun lagi.

Sejak terlibat dalam NGO seperti Communication Development Center (CDC); iaitu sayap utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada usia 19 tahun lagi, Bawani secara aktif memberi kelas tambahan secara percuma di estet-estet dan kampung-kampung.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 02

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 01

KUALA LUMPUR 18 JAN : Kumpulan mahasiswa daripada seluruh tanah air hari ini menyatakan sokongan terhadap KS Bawani yang semakin dikenali ekoran satu rakaman video petikan forum ‘Seiringkah Mahasiswa dan Politik?’ di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini pagi tadi, pelbagai wakil kumpulan mahasiswa memenuhi ruang sidang media ‘Solidariti Mahasiswa Bersama Bawani’ anjuran Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP) bagi menzahirkan sokongan padu terhadap pelajar tahun kedua jurusan Undang-undang UUM itu.

“Kami mengucap tahniah kepada saudari Bawani atas semangat sosialismenya yang tinggi dalam menentang budaya pembodohan yang dibentuk rejim kerajaan di pusat-pusat pengajian tinggi sejak sekian lama.

“Semangat beliau juga kita anggap sebagai salah satu pencetus kebangkitan rakyat secara seluruhnya untuk melawan kezaliman dan penindasan rejim,” ujar seorang aktivis mahasiswa, Khalid Ismath dalam ucapan solidaritinya pagi tadi.

Sementara itu, wakil Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA), Lee Kok Wai menuntut Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin memohon maaf secara terbuka kepada Bawani atas tindakannya merampas hak bersuara Bawani sebagai seorang mahasiswa.

“Kami menuntut beliau memohon maaf atas sikap sombong dan angkuhnya itu.

“Kami juga berharap agar mahasiswa seluruh negara mempunyai semangat yang sama seperti Bawani untuk menentang budaya ‘dengar’ ini,” jelas Kok Wai.

Bagaimanapun, Bawani dalam ucapannya berkata, secara peribadi beliau tidak pernah berniat menuntut sebarang permohonan maaf daripada Sharifah, malah beliau meminta agar komen-komen negatif terhadap Sharifah dihentikan.

“Ini bukan isu Bawani, bukan isu Sharifah dan saya minta tolong jangan kaitkan dengan isu perkauman pula.

“Sebaliknya, kita perlu bersatu untuk memperjuangkan isu yang lebih penting iaitu isu pendidikan percuma dan hak mahasiswa dalam bersuara,” tegas gadis yang turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Psikologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.

Baru-baru ini, warga maya khususnya dihidangkan dengan rakaman forum tersebut yang jelas menunjukkan Bawani dinafikan hak untuk bersuara serta menyatakan pandangannya ekoran tindakan kurang matang diperlihatkan Sharifah Zohra yang bertindak selaku moderator forum.

Susulan pendedahan rakaman itu, Sharifah Zohra menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk daripada Umno-BN sendiri yang menyifatkan tindakannya itu sebagai keterlaluan.

Sebaliknya, Bawani diangkat sebagai ikon mahasiswa, seterusnya menerima ribuan ucapan tahniah serta solidariti atas keberaniannya berhujah mengenai pendidikan percuma dalam forum anjuran bersama SW1M, yang dilihat sebagai satu bentuk program ‘brainwash’ golongan mahasiswa.

Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 04 Mahasiswa Malaysia Bersatu Bersama Bawani 05

Categories
SELANGOR

70 Lampu Jalan Atasi Risiko Kemalangan Ke Pekan Bangi

SHAH ALAM 6 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000 melalui geran Selangorku bagi pemasangan lampu jalan di laluan sejauh lima kilometer antara jalan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) ke Pekan Bangi Lama.

Sebanyak 70 lampu jalan dipasang bagi memudahkan penduduk Bangi Lama dan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini di waktu malam yang terdedah kepada pelbagai risiko kecelakaan.

Kelmarin, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar bersama wakil Jabatan Kerja Raya Selangor(JKR) meninjau bagi melihat pemasangan lampu jalan berkenaan.

Sementara itu, Dr Shafie berkata, JKR memaklumkan permohonan dibuat bagi memasang lampu di atas jalan itu pada bulan Julai tahun ini dan sebanyak 49 lampu sudah siap dipasang.

“Ini bermakna sebanyak 21 tiang perlu dipasang lagi hingga ke Pusat Penyelidikan Atom di Jalan UKM-Bangi dan ia akan disempurnakan dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak lima syarikat bertanggungjawab terhadap pemasangan lampu jalan ini iaitu Electric Setuah, Khidmat Jaya Engineering, Dinurai Trading, ANR Letrik Enterprise dan Zeksha.

Bagaimanapun, Nie Ching berkata, penyaluran bekalan elektrik ke lampu jalan akan mengambil masa lebih sebulan memandangkan perlu memohon lima akaun bagi laluan itu.

“Permohonan dikemukakan dan kita berharap pihak Tenaga Nasional Berhad(TNB) dapat meluluskan permohonan ini secepat mungkin,” katanya dalam satu laporan akhbar hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Calon Pilihan Raya Kampus UKM Dakwa Diugut Bunuh

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Enam calon Pilihanraya Kampus dari Pro Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (Pro-M UKM) hari ini menerima ugutan bunuh yang didakwa didalangi oleh Umno-BN.

Wakil Pro-M UKM, Ahmad Afif Zulkarnain berkata tindakan itu dilakukan supaya kampus UKM dikuasai oleh Pro Aspirasi yang ternyata memihak kepada parti itu.

Katanya, tujuan konspirasi itu dilakukan supaya meningkatkan moral Umno-BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke -13 akan datang.

“Ini juga jelas menunjukkan konspirasi Ops 2020 yang sedang giat berjalan di kampus-kampus di seluruh negara.

“Seperti yang kita tahu, Ops 2020 ini merupakan konspirasi campur tangan politik untuk menidakkan kebangkitan moral kepada pihak pembangkang,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd Nasir Zakaria.

Afif menambah, ugutan bunuh itu juga diberitahu kepada keluarga calon dengan tujuan untuk memaksa calon menarik diri daripada bertanding.

“Selain itu, beberapa kain rentang yang mewakili calon-calon yang bertanding juga disabotaj dengan penyimbahan cat merah.

“Jika kita lihat, modus operandi ini sama seperti yang berlaku dalam senarion politik masa kini. Contohnya, isu simbahan cat ke atas bas jelajah merdeka rakyat,” katanya.

Ekoran ugutan bunuh yang diterima itu, dua laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Kedah pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata konspirasi itu turut dicampur tangan oleh Pengerusi Majlis Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar, Prof Dr Othman A.Karim yang juga merupakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM.

Antaranya, beliau membenarkan calon-calon aspirasi bertanding sedangkan pencalonnya pernah dibatalkan sebelum ini selain memaksa calon ‘bidan terjun’ untuk bertanding.

“Kami juga mendapati konspirasi 2020 ini dicampur tangan pihak media khususnya Utusan Malaysia yang cuba memutar belitkan fakta. Buktinya, dalam akhbar itu pada 22 September lalu, mereka memanipulasi gambar perarakan Pro-M UKM,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Umno-BN supaya tidak campur tangan dalam urusan pemilihan pelajar dan memberikan autonomi kepada kampus.

Setakat ini, Pro – M memenangi tujuh kerusi tanpa bertanding daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Subsidi Bas Sekolah Tingkatkan Taraf Hidup Warga Ladang

 

SEMENYIH, 12 SEPT : Keluarga Harany Arikrishnan dan Danesh Jayabalan dulu bimbang akan masa depan anak mereka kerana sekolah yang terdekat bagi kedua-dua cahaya mata ini terletak kira-kira 20 km dari rumah mereka.

Walaupun bapa kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut bertekad mahu memberi pendidikan yang sebaiknya bagi anak mereka, realiti kehidupan di tengah-tengah ladang Dunadin menyukarkan rancangan mereka.

Ini kerana tambang bas ke sekolah tersebut mencecah RM 30 sebulan untuk seorang manakala bapa Harany, 12, misalnya hanya berkerja sebagai pembantu am di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Oleh itu mereka berasa amat syukur kerana mendapat bantuan subsidi bas sekolah dari Kerajaan Selangor yang berjumlah RM 30 sebulan kerana dapat meringankan beban mereka.

“Saya dan keluarga sudah lama tinggal di sini hampir 50 tahun sejak ayah saya lagi.

Saya harap dengan bantuan ini akan menyedarkan anak-anak saya supaya belajar dengan lebih tekun demi meningkatkan tarah hidup keluarga dan melanjutkan pelajaran ke universiti,” kata bapa Harany, yang bernama Y Arikrishnan, 46.

Seramai 40 anak penghuni Ladang Dunadin dan Oboka di sini baru baru ini menerima bantuan subsidi tambang bas sekolah yang disampaikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Dr Xavier berkata, bantuan subsidi tambang bas sekolah itu adalah salah satu program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak tiga tahun lalu bersesuaian dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

L Jayabalan, 38, gembira dengan bantuan yang diterima anaknya, Danesh, 12, kerana selama ini pihaknya tidak pernah menerima ganjaran seperti itu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang amat mengambil berat kesusahan rakyat. Saya amat gembira. Dah lama duduk di ladang inilah pertama kali dapat bantuan macam ini,” kata bapa tiga anak itu.

Xavier berkata skim tersebut membantu anak pekerja ladang berulang-alik daripada sekolah yang biasanya terletak jauh dari rumah mereka.

“Tujuan kita adalah bagi bantuan kepada anak-anak pekerja ladang ini untuk mereka berulang alik ke sekolah kerana seperti mana kita tahu kadar dikenakan bagi pengangkutan masa kini adalah tinggi dan mereka tidak mampu untuk membayarnya.

“Bila kita buat program ini ia mendapat maklum balas yang baik kerana sekarang ini kita juga mendapat permintaan dari keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Jadi kita sedang mengkaji perkara ini,” katanya.

“Hanya melalui pendidikan kita akan dapat meningkatkan taraf hidup kita dan semoga anak-anak pekerja ladang akan merealisasikannya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tawan Selangor : MPN Beri Harapan Palsu kepada Umno-BN

SHAH ALAM 30 JULAI : Hasil kedua-dua kajian yang dibuat oleh Majlis Profesor Negara (MPN) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengatakan bahawa Selangor akan jatuh ke tangan Umno-BN dilihat hanya memberi harapan palsu kepada Umno-BN.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafei berkata setiap hasil kajian dan rumusan itu hanya sebagai ‘info’ umum kepada rakyat.

Katanya, Umno-BN boleh memberi saingan sengit kepada Pakatan Rakyat bagaimanapun mereka mungkin akan kehilangan kuasa untuk memerintah di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Perak.

Beliau berkata harapan palsu itu akan membuatkan Umno-BN mengambil serius sehingga lupa pepatah ‘yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong berciciran’.

“Apa juga rumusan ia hanya sebagai info umum yang penting kita ada data berkenaan kelebihan dan kekurangan kedua-dua pihak.

“Hanya kami yang lebih mengetahui sama ada mereka (Umno-BN) mampu untuk merampas Selangor atau tidak. Ia satu perkara yang tidak berbaloi kepada MPN dan UKM yang memberikan harapan palsu kepada mereka,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Jelas Shuhaimi, terdapat beberapa perkara yang mungkin terlepas pandang dalam kajian itu antaranya orang yang terlibat dalam kajian itu dan ‘mood’ mengundi.

“Jika dilihat, masa kini Selangor diasak dan diputarbelitkan dalam beberapa isu oleh media arus perdana contohnya isu air dan sampah.

“Kajian itu dilakukan oleh pihak yang memihak kepada Umno-BN jadi ia tidak diiktiraf. Tetapi kalau kajian dibuat daripada badan bebas antaranya Merdeka Center atau badan-badan yang dikawal selia oleh agensi luar mungkin ia berbeza,” katanya.

Justeru, walau apa jua keputusan daripada kajian itu, Pakatan Rakyat sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum-13 akan datang.

“Kita sudah bersedia bukan sahaja dari segi fizikal, mental tetapi juga dari segi persediaan logistik bahan kempen bilik gerakan.

“Kita lakukan tanpa menunggu hasil kajian yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tetapi berasaskan apa yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihanraya Pusat dan Negeri. Kita tidak perlu mengambil serius perkara itu kerana apa yang penting kita terus memantapkan gerak kerja,” katanya.