Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Selesaikan Projek Rumah Terbengkalai PJS1

PETALING JAYA, 22 JULAI : Keresahan lebih 260 pembeli rumah kos rendah Blok E Petaling Jaya Selatan (PJS) Satu di sini dijangka berakhir apabila Kerajaan Selangor bertindak mengambilalih projek itu yang terbengkalai lebih sembilan tahun.

Rata-rata pembeli yang sekian lama menduduki kawasan setinggan berhampiran dengan tapak projek, melahirkan kegembiraan dengan tindakan Kerajaan Selangor itu.

Bagi peniaga, Mat Saperi Lebai Ayob, 57, tindakan kerajaan Selangor yang mahu mencari jalan penyelesaian wajar dipuji.

“Sebagai pembeli yang rumah sudah terbengkalai lebih sembilan ke sepuluh tahun, (saya) beranggapan isunya akan selesai tak lama lagi.

?Memang perkara ini sudah lama sangat dan pembeli amat sedih dan kecewa. Ada yang sudah uzur, tua dan ada yang sudah meninggal dunia.

“Dengan kehadiran Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) berdialog bersama semua pembeli, saya rasa satu keputusan yang baik akan diperolehi nanti oleh kita semua.”

Beliau ditemui TVSelangor selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama pembeli RKR Blok E Unit PJS Satu di Bangunan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam.

Projek itu melibatkan pembinaan 262 unit pangsapuri kos rendah yang dimulakan pada 2003.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS Satu, M Sugumaran berharap Kerajaan Negeri dan mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jawatankuasa penduduk secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ini kali kedua Menteri Besar datang bagi sesi dialog dan kita harap satu keputusan akan dapat dicapai sebagaimana yang dikatakan oleh beliau.

?Saya yakin sebagai kerajaan yang prihatin dan berkebajikan, maasalah kami ini akan dapati diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam sidang media berkata, satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan bagi mencari penyelesaian dalam perkara itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslam Sakiman, jawatankuasa penduduk dan pihak-pihak berkaitan.

“Saya telah mengaarahkan Iskandar bersama Datuk Bandar dan wakil penduduk mengadakan perbincangan dan dalam bulan puasa ini sekurang-kurang dua kali supaya semua perkara dapat diseleesaikan.

?Tujuannya apabila kita lancarkan projek perumahan untuk mereka yang akan mendapat rumah-rumah ini maka tiada lagi perkara yang mengelirukan berbangkit.

“Kita mesti selesaikan sebab sudah lama sangat orang tunggu. Bagaimanapun keputusan hanya akan boleh dibuat selepas proses pengambilalihan tanah bagi menjayakan projek tersebut,” katanya.

Penduduk Kecewa Aduan Tidak Dipedulikan JKR

AMPANG 6 JULAI : Penduduk Taman Kencana kecewa aduan mengenai kerosakan lampu jalan di Jalan Bunga Raya, di sini sejak tiga bulan lalu tidak diambil peduli oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Seorang penduduk, Osman Ali, 65 berkata, ketiadaan lampu jalan menyebabkan kawasan rumahnya tidak selamat dan menjadi sasaran pencuri.

“Kereta anak saya dicuri di hadapan rumah ini dan keadaan kawasan ini yang gelap pada waktu malam kerana lampu jalan di jalan utama rosak,” katanya.

Sementara itu, ketiadaan lampu jalan di satu selekoh tajam di persimpangan laluan ini ke Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) mengundang bahaya kepada pengguna pada waktu malam.

Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Supiramany Sinnapayal berkata, beliau sudah mengajukan masalah ini kepada JKR tetapi pelbagai alasan diberikan.

“JKR memberitahu kelewatan ini disebabkan tiada alat mencukupi bagi memperbaiki lampu jalan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, JKR seharusnya bertanggungjawab dengan menyediakan lampu jalan sementara sehingga lampu jalan ini diperbaiki memandangkan jalan ini dibawah pengurusan JKR sendiri,” katanya lagi.

Adun Teratai, Jenice Lee pula mendakwa JKR lepas tangan dan bersikap sambil lewa kerana perkara ini boleh dibincangkan bersama MPAJ.

“MPAJ menawarkan diri untuk membantu dalam masalah ini tetapi tiada tindakan selanjutnya diambil oleh JKR,” katanya yang juga Setiausaha Publisiti DAP Selangor.

Seorang lagi penduduk, Asiah Jusoh, 58, berkata, jalan ini turut menjadi laluan pelumba haram pada setiap hujung minggu.

Selain itu, dalam isu berlainan, Jenice berkata, jalan ini yang baru diturap oleh JKR dua minggu lalu tidak memenuhi spesifikasi kerana terlalu nipis.

“Spesifikasi yang ditetapkan adalah 40 milimeter(mm) tetapi kenapa JKR hanya menurap kira-kira 20mm sahaja?” soalnya.

Categories
NASIONAL

Rasuah Parti Politik Boleh Dikurangkan Dengan Pemberian Dana

SUBANG JAYA, 3 JULAI : Rasuah dalam parti politik boleh dibanteras dengan pemberian dana yang berpatutan kata Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Sehubungan itu, Rafizi mencadangkan supaya Kerajaan Selangor menimbangkan pemberian dana yang bersesuaian kepada parti politik di negeri ini termasuk Umno-BN, supaya rasuah dapat dikurangkan.

“Nak berpolitik memerlukan bajet kerana banyak program politik memerlukan wang dan jika mereka mendapat peruntukan yang sewajarnya, rasuah dapat dikurangkan.?

Beliau berkata, dengan peruntukan yang mencukupi, gejala rasuah dapat dibendung kerana ahli-ahli politik diberikan dana yang bersesuaian.

Rafizi berkata, di negara-negara yang mengamalkan politik matang, ia menjadi pelaburan yang baik jika peruntukan diberikan kepada parti politik.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan tajuk ‘Ke arah Pendemokrasian Pilihanraya-Mitos atau Realiti?’ di Dialog Bajet Selangor 2013 di Hotel Grand Dorsett Subang, hari ini.

Sesi dialog dua hari ini bertujuan mendapatkan input dan menetapkan dasar serta hala tuju Bajet Negeri Selangor 2013.

Ia dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Ahli-ahli Parlimen, Adun-adun, Pihak Berkuasa Tempatan, Ahli-ahli Majlis, Ketua Kampung serta golongan professional.

Peruntukkan tersebut membolehkan parti politik menggajikan pakar dan golongan cerdik pandai untuk membantu membentuk dasar parti yang berkualiti.

Katanya, rakyat turut mendapat manfaat jika pelaburan diberikan kepada parti politik yang memperjuangkan hak rakyat.

“Setiap kali pilihanraya, rakyat akan dibentangkan dengan manifesto parti politik seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (Pakatan) dan sudah semestinya ia menguntungkan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tengok Bola Bersama PeBT Dapat Sambutan

SHAH ALAM, 2 JULAI : Program tonton bolasepak final Euro 2012 anjuran Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Restoran Hakim, Seksyen 7 di sini pagi tadi mendapat sambutan hebat dengan hampir 1,000 orang menghadirinya.

Ia adalah di luar dugaan kerana pihak penganjur menjangkakan hanya sekitar 500 orang akan hadir dalam program tersebut.

Pengerusinya, Muriza Azrul menjelaskan berikutan sambutan hebat itu, pihaknya menambah tiket cabutan nombor bertuah sehingga lebih 900 keping bagi memberi peluang mereka yang hadir terlibat dengan aktiviti dijalankan ketika program itu berlangsung.

“Kita mengadakan aktiviti sampingan antaranya cabutan nombor bertuah, kuiz dan sepakan penalti supaya program ini menjadi lebih meriah. Ini kerana majoriti yang hadir adalah golongan belia di bawah 40 tahun.

“Program tonton bolasepak final Euro 2012 ini mendapat sambutan hebat kerana ia adalah perlawanan akhir menampilkan dua pasukan terkuat, Sepanyol dan Itali. Kita berpuashati dengan sambutan diterima dan kita merancang mengadakan lebih banyak lagi program seperti ini contohnya Liga Super Malaysia dan Liga EPL 2012/13 yang akan bermula nanti,” katanya kepada TVSelangor.

Program tonton bolasepak final Euro 2012 itu juga dijalankan dengan kerjasama Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Muriza berkata, tonton bolasepak final Euro 2012 itu adalah yang ke 10 di mana program sebelumnya tetap mendapat sambutan dengan kehadiran antara 200 hingga 500 orang.

Seorang penonton, Mohd Hafiz Mohd Zain, 23 dari Seksyen 18 berkata dia tidak melepaskan peluang menyaksikan acara final Euro itu kerana dilangsungkan empat tahun sekali.

“Saya datang untuk menonton bersama kawan-kawan. Ia bertambah meriah bila acara seperti ini diadakan dengan semua penonton dapat berkumpul di satu tempat yang strategik. Saya puji usaha PeBT ini dan saya akan menyokong bila acara lain diadakan selepas ini,” katanya.

Begitu juga Azidah Zamli, 23, dari seksyen sama yang merasakan suasana pada pagi itu amat meriah bila ramai yang hadir dalam program berkenaan.

“Hebat rasanya dapat hadir kali ini. Kalau menonton di rumah tentu tak semeriah ini. Lokasi yang dipilih juga saya rasa amat sesuai dengan program ini dan PeBT diharapkan akan lebih aktif dengan acara lain demi kemajuan belia di Selangor,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Masalah Banjir Kilat Taman Indah Perdana Berakhir

SELAYANG, 2 JULAI: Penduduk Taman Indah Perdana kini mampu menarik nafas lega apabila masalah peparitan yang tidak sempurna diakhiri dengan siapnya kerja baikpulih parit yang lebih bersistematik.

Demikian menurut Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer, Mohamad Abd Rahman kepada TV Selangor.

“Sebelum ini, setiap kali hujan lebat air akan naik dengan cepat hingga memasuki rumah-rumah di sini sebab sistem peparitan yang tidak sempurna.

“Lebih memburukan keadaan, air yang mengalir itu bercampur dengan air dari loji Indah Water berhampiran.

“Sekarang syukur, longkang yang dibaikpulih ini dapat mengalirkan air turun ke parit utama,” kata beliau ketika melawat lokasi kerja membaikpulih longkang itu dijalankan.

Menurut Mohamad, penduduk Taman Indah Perdana terpaksa menghadapi masalah banjir kilat dan air busuk dari loji Indah Water ini semenjak hampir sepuluh tahun lalu.

“Sebenarnya ini bukanlah masalah besar sangat, cuma masalah peparitan tak sempurna sahaja dan boleh diatasi dengan cepat, tetapi masa BN mentadbir dahulu, masalah infrastruktur tak diambil berat.

“Disebabkan kecuaian Umno-BN dahulu memandang rendah masalah ini, maka penduduk di sini sengsara setiap kali hujan lebat, sedangkan pejabat MCA jaraknya cuma kurang 100 meter sahaja dari sini” ujar Mohamad.

Kerja baikpulih itu telah memakan belanja sebanyak RM19,000.

Mohamad turut memberitahu PKM Dun Taman Templer mengambil tindakan serta-merta apabila mendapat tahu masalah ini agar kesengsaraan penduduk perumahan terbabit dapat ditamatkan segera.

Ketika wartawan dibawa ke tapak kerja baikpulih tersebut dijalankan, didapati sehelai kain rentang yang tertera ucapan terima kasih dari penduduk terhadap usaha yang dijalanakan oleh PKM Taman Templer.

Menurut dua warga asing pekerja pembinaan projek itu, kain rentang tersebut telah dinaikkan oleh beberapa penduduk Taman Indah Perdana pada sebelah pagi hari yang sama.

Categories
NASIONAL

Takut PR Kuasai Putrajaya, Mahathir Mula Gelisah

SABAK BERNAM 20 JUN : Kenyataan mantan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau takut Pakatan Rakyat(PR) akan menyalahgunakan kuasa sekiranya menguasai pentadbiran negara selepas menang dalam pilihan raya umum akan datang menunjukkan kegelisahan pemimpin Umno-BN dan penyokongnya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Mahathir mungkin bimbang dan takut atas kesalahan yang dilakukan dalam tempoh pemerintahan kerajaan dahulu.

“Mahathir takut kemungkinan beliau buat salah ketika memimpin dulu dan akan dikenakan tindakan apabila PR memerintah kelak,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Sabak Bernam, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri itu dalam blognya, baru-baru ini mengatakan bahawa beliau tidak bimbang jika pembangkang menguasai pentadbiran negara dalam pilihan raya umum akan datang tetapi takut penyalahgunaan kuasa oleh PR.

Mahathir juga menjangkakan nasibnya akan sama dengan Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak dan Presiden Libya, Muammar Gaddafi.

“Dia (Mahathir) fikir macam mana dia salah guna kuasa jadi orang lain pun akan salah guna kuasa. Inilah otak pemimpin Umno-BN termasuk bekas pemimpin mereka,” katanya.

Mahfuz menambah apa yang dikemukakan oleh PR sekarang menunjukkan bahawa PR mahu meringankan beban rakyat.

“Ini berbeza dengan pemimpin Umno-BN yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka bukannya masa depan rakyat dan negara. Ini dapat dilihat pelbagai fitnah yang dilemparkan kepada pemimpin PR,” katanya.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor,
Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S.Kesavan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Siasat Akaun Saya, Najib, Muhyiddin dan Mahathir Sekali

SABAK BERNAM 20 JUN : Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kesemua akaunnya, isterinya dan anak-anaknya di samping bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

Katanya siasatan tersebut akan membuktikan beliau tidak mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion seperti yang didakwa Umno-BN.

Beliau berkata, selain akaun miliknya, SPRM juga turut siasat akaun anak-anaknya di dalam dan luar negara.

“Itu cerita lama, tahun 1998, apabila keluar cerita mengenai perkara itu, saya tiada masalah. Siasatlah. Siasat akaun saya, isteri dan anak-anak dalam negeri dan luar negara.

“Tetapi siasat juga akaun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Muhammad.

?Kajilah rekod saya termasuk (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam ceramah Merdeka Rakyat di Stadium Sabak Bernam.

Hadir sama Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, MP Ampang, Zuraida Kamaruddin, MP Kapar, S. Manikavasagam dan Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon.

Turut hadir Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, ADUN Hutan Melintang, S. Kesavan, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari dan ADUN Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Anwar berkata SPRM dan Kerajaan Pusat hanya mampu mengeluarkan fitnah kerana tidak berani untuk menyiasat akaunnya dan pemimpin Umno-BN.

“Sebelum ini, Badan Pencegahan Rasuah (BPR) yang dikenali sekarang sebagai SPRM sudah menyiasat kes itu serta akaun di Kuala Lumpur, Singapura dan London.

?Laporan mahkamah juga sudah dikeluarkan dan mendapati tiada kebenaran bagi tuduhan itu.

“Mereka ini hanya ulang cerita kerana mereka mahu kita membuang masa, tetapi saya tidak takut,” katanya.

Dakwaan ini dibuat Bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang pernah membuat akuan bersumpah mengenai akaun RM3 bilion yang beliau percaya membabitkan Anwar pada 1999.

Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali dilaporkan tidak menolak kemungkinan kes tersebut pernah dirujuk kepada BPR dan polis ketika itu.

Categories
SELANGOR

POGSB Jangka Keuntungan Lebih RM7 Juta Untuk Pelaburan Gas Petroleum Cecair

SHAH ALAM, 12 JUN : Perangsang Oil and Gas Sdn Bhd (POGSB) menjangkakan keuntungan antara RM7 hingga RM8 juta setahun dalam bentuk dividen menerusi Perjanjian Langganan Saham dan Pemegang Saham dengan NGC Consolidated Holdings Sdn Bhd dan NGC Energy Sdn Bhd (NGC Energy).

POGSB yang juga merupakan anak syarikat Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) menandatangani perjanjian bagi pelaburan dalam perniagaan gas petroleum cecair melalui pemerolehan 40 peratus (RM40 juta) kepentingan ekuiti (NGC Energy).

Perjanjian yang berlangsung di Hotel Quality di sini, petang semalam turut disaksikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Exco Selangor.

Hadir sama, Pengerusi NGC Consolidated Holdings Sdn Bhd, Sheikh Abdulla Suleiman Hamed Al-Harthy, Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin dan Pengarah POGSB, Suhaimi Kamaralzaman.

Sementara itu, Pengerusi Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamarudin berkata, peluang untuk melabur dalam NGC Energy adalah kepentingan bermakna dalam perniagaan beruntung yang diminati kebanyakan organisasi.

Katanya, kepentingan ekuiti itu juga akan menyumbang secara positif kepada keuntungan Perangsang Selangor mulai tahun 2014.

“Melalui perniagaan gas petroleum cecair yang menguntungkan dengan aliran wang tunai yang teguh, jangkaan dividen yang dibayar oleh NGC Energy akan membolehkan POGSB mendapatkan balik kos pelaburan dan menyediakan wang aliran tunai tambahan bagi pelaburan lain,” katanya.

Perniagaan gas petroleum cecair yang diperoleh oleh NGC Energy daripada Shell merupakan pembekal gas petroleum cecair kedua terbesar di Semenanjung Malaysia dengan lebih 90 pengedar dan jualan tahunan melebihi 22 peratus bahagian pasaran domestik.

FOKUS ISU : Relevankah Tol Batu 3 & Sungai Rasau Dihapuskan?


Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan Secara Langsung Pada Hari Jumaat 1 Jun 2012 Jam 9 Malam. Tajuk Fokus Isu-Relevankah Tol Batu 3 & Sungai Rasau Dihapuskan. Saksikan Hujah Ketua AMK Selangor AZMIZAM ZAMAN HURI menjawab isu yang dilontarkan.

 

Artikel Berkaitan:

Demontrasi Di Plaza Tol Batu Tiga dan Sg Rasau pada Mei 13

300 Orang Desak Tol Batu Tiga-Sungai Rasau Dihapuskan

Categories
SELANGOR

Econsave Alam Jaya Diceriakan Dengan “Bonus Selangorku”

KUALA SELANGOR 6 MEI : Rata-rata penerima ‘Bonus Selangorku’ di Econsave, Alam Jaya, di sini tiada kata-kata selain mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mengadakan program tersebut.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana dengan adanya bantuan ini saya dapat membeli barangan keperluan untuk anak saya,” kata penerima Bonus Selangorku, Rozaini Harun, 35.

Beliau amat terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri kerana bantuan RM100 kepada anaknya itu dianggap amat besar.

Seorang lagi penerima, Abdul Karim, berpuas hati seratus peratus dengan bantuan itu yang sedikit sebanyak membantu membeli barangan keperluan anaknya, Aizat Azwan, 4.

“Saya amat bersyukur kerana kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat di negeri ini tanpa mengira keturunan mereka,” katanya.

Penerima lain, Izuddin, 35, berkata walaupun jumlah itu tidak seberapa banyak tetapi ia membantu keluarga membeli keperluan anak masing-masing.

“Sebagai rakyat negeri ini, saya berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif ini dan saya gembira dengan hadiah hari lahir untuk anak saya, Danish Aqiff, 4, daripada Menteri Besar ini.

Sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program tersebut.

Bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diperuntukan kepada peserta Tabung Anak Warisan Selangor (TAWAS) yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

Kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir selepas 2008 yang belum mendaftar supaya mendapat manfaat program itu.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan mempelbagaikan program untuk anak-anak yang berdaftar dari masa ke semasa.

Salah satunya program penanaman pokok dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pasaraya Econsave, Giant dan Tesco.

Kerajaan negeri menyasarkan sebanyak 1 juta pokok akan ditanam mengikut setiap kawasan yang dibahagikan.

“Program itu akan berkonsepkan kekeluargaan. Kita mahu anak-anak Tawas menikmati kehijauan suasana pada masa akan datang bagi mengantikan banyak pokok-pokok yang ditebang akibat projek perumahan dan sebagainya,” katanya di majlis itu.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Simbah Cat Di Billboard Taktik Murahan dan Bacul

KUALA LANGAT, 27 APR: Pemimpin Pakatan Rakyat Kuala Langat mengecam tindakan menyimbah cat pada billboard dan banner program Kerajaan Selangor dan menyifatkan perbuatan itu sebagai taktik bacul menjelang pilihanraya.

Pihak tidak bermoral didapati menyimbah cat ke billboard mahupun banner khususnya yang mengandungi program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Tinjauan Tv Selangor di sekitar jalan utama menghala ke Banting mendapati, beberapa papan iklan disimbah cat bewarna merah dan kuning terutamanya pada gambar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MP Kuala Langat Abdullah Sani dan ADUN Telok Datok, Philip Tan Choon Swee.

Antara kawasan lain yang menjadi sasaran ialah di persimpangan Morib, di lampu isyarat sekitar Jenjarum, persimpangan Sungai Manggis dan kawasan hadapan bangunan Majlis Daerah Kuala Langat sendiri.

Apabila dihubungi, Abdullah berkata pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dalam menghadapi provokasi sebegini dan beliau percaya rakyat sedang memerhati dan boleh menilai dengan bijak.

“Situasi ini jelas menunjukkan kebaculan pihak tertentu sebelum bertarung di gelanggang sebenar lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya. Papan iklan disimbah cat kemudian diletakkan longgokkan sampah dibawahnya.

Adun Telok Datok, Philip Tan Choon Swee pula terkejut apabila dihubungi oleh orang awam berhubung kejadian ini dan beliau terus memaklumkan perkara ini kepada MDKL.

“Bilboard disana diletakkan hampir setengah tahun lalu sehingga sekarang. Kita tidak tahu siapa buat dan ini merupakan cara yang tidak baik. Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara ini,” katanya.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Langat semalam.

Ahli Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), dari PAS, Abdul Rahman Amir menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tindakan tidak bermoral.

?Kemungkinan perbuatan kotor begini dijalankan pada waktu malam,” jelas Rahman.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perbuatan khianat tersebut berasaskan pemikiran politik sempit namun beliau tidak mengesyaki mana-mana pihak.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tersebut dan berharap ianya tidak berulang kembali kerana ia menjejaskan imej awam selain melibatkan penggunaan dana rakyat,” ujar Rahman.

Categories
SELANGOR

MBPJ Rancang Banyak Pembangunan Untuk Keselesaan Penduduk

KOTA DAMANSARA 7, APRIL : Selaras dengan pengiktirafan empat bintang daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan pada tahun 2011, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan melaksanakan beberapa projek bagi kemudahan warga Petaling Jaya untuk tahun 2012.

Antaranya, Program Basikal Lane di sepanjang 56 kilometer (km) di kawasan ‘Green Corridor’ yang menghubungkan antara satu taman ke taman lain.

Selain itu, turut dibangunkan program bandaraya ‘Low Carbon City’, rebat cukai taksiran, pemasangan lampu LED di lorong belakang, sistem tadahan air hujan, mewujudkan PJ Walk, program pembangunan urban dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM10 bilion.

Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata, MBPJ juga akan meningkatkan peranan ‘Road Gang’ bagi memantau jalan di sekitar Petaling Jaya supaya berada dalam keadaan baik.

Katanya, bagi suku tahun pertama ini, MBPJ meluluskan 18 projek dengan keluasan keseluruhannya 3.5 juta kaki persegi dan nilai GDVnya mencecah RM1.7 bilion.

Beliau berkata, projek itu akan dilaksanakan bagi membangunkan kawasan Petaling Jaya sebagai bandaraya ‘non capital city’.

“MBPJ juga akan meneruskan kempen kutu sampah di kawasan Zon Bersih. Semua pemilik kedai dan masyarakat akan dikenakan denda jika membuang sampah merata-rata,” katanya di Majlis Perlancaran Zon Bersih Peringkat MBPJ 2012.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, MP Subang, R Sivarasa dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Tambahnya, seramai 150 kontraktor dilantik bagi menguruskan sisa pepejal selepas MBPJ mengambil alih pelaksanaan kutipan sampah bermula Mac lalu.

“Seramai 60 pegawai khas dilantik MBPJ bagi mengawasi kontraktor terbabit yang mana kontraktor itu diberikan percubaan selama tiga bulan,” katanya.

Sehubungan itu, MBPJ akan mengatur semula kerja-kerja pembersihan di kawasan komersial yang mana kontraktor yang dilantik akan memulakan kerja pembersihan seawal 4 pagi bagi mengelakkan daripada gangguan dan kesesakan lalu lintas.

“Keadaan ini berbeza dengan kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Pusat sebelum ini,”katanya.

Dalam majlis itu juga, Dataran Sunway dipilih sebagai Zon Bersih peringkat MBPJ 2012.

Program Zon Bersih bertujuan menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah negeri bersih berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.