Categories
NASIONAL

GST dikena walau belum dilaksana

Tian Chua parlimen 01

KUALA LUMPUR, 22 OKT : Sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur didakwa mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan tambahan enam peratus kepada orang ramai meskipun belum dilaksanakan lagi Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, mendakwa syarikat, SportsIn Sdn Bhd itu mula mengenakan GST kepada pengguna tempat letak kereta di situ kira-kira satu setengah tahun lalu.

Tian berkata, banyak syarikat tempat letak kereta di sekitar Lembah Klang juga mula melakukan perkara sama walaupun Kerajaan Pusat pernah mengatakan GST tidak akan dilaksanakan dalam bajet 2014.

“Persoalannya, adakah GST ini sampai kepada Kerajaan? Adakah Kerajaan mempunyai rekod penerimaan GST ini?

“Adakah DBKL menjalankan pemeriksaan audit ke atas syarikat ini? Jika ya, bagaimana perkara ini boleh terlepas?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terutamanya di kawasan bandar supaya menyemak resit pembelian masing-masing selepas membuat pembayaran untuk sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mengesan perkara itu supaya membuat aduan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

“Kerajaan digesa supaya mengambil serius perkara ini dan syarikat yang didapati mengenakan GST mesti dihukum,” katanya.

-EZY

Categories
SELANGOR

PR tangguh GST: Bantu tingkatkan pendapatan boleh guna rakyat

azan ismail

SHAH ALAM 21 OKT: Langkah menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 dilihat mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Peningkatan pendapatan boleh guna golongan itu menyebabkan kuasa membeli rakyat menjadi tinggi, sekali gus meningkatkan pengeluaran yang akhirnya memberi kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Pahang, Azan Ismail, berkata pelaksanaan GST secara langsung turut membantu mengukuhkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi 2014 sebanyak 5.2 peratus yang diramal PR.

“Penangguhan GST bukan sahaja membantu menjaga kepentingan rakyat, tetapi realitinya mampu merangsang ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Azan berkata demikian ketika diminta mengulas ringkasan Belanjawan Alternatif PR 2014 oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga pakar ekonomi berkata, perlaksanaan GST sering menjadi pilihan utama golongan menengah kerana menganggap GST kononnya mampu meringankan bebanan mereka membayar cukai kepada kerajaan.

“Golongan kaya anggap GST sistem ‘lebih adil’ kerana mahu memindahkan bebanan cukai kepada semua termasuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Realitinya golongan kaya sering mendapat pelbagai pengecualian cukai sama ada secara sah atau sebaliknya dengan pelbagai cara. Kita juga tahu ada syarikat besar yang mendapat pelepasan cukai sangat besar sebagai potongan ke atas sumbangan dana yang dihulurkan kepada Barisan Nasional (BN),” katanya.

Azan berkata, unjuran KDNK 5.2 peratus yang dibuat PR dibuat berdasarkan kajian dan ramalan peningkatan ekonomi global.

“Saya sendiri pada mulanya agak terkejut dengan ramalam 5.2 peratus, tetapi ini bukti memperlihatkan unjuran dibuat secara bertanggungjawab berdasarkan perkembangan ekonomi global dan demi pertumbuhan positif ekonomi negara, bukan sesuka hati,” katanya. -NFN-

 

Categories
SELANGOR

Penangguhan pelaksanaan GST mampu atasi beban rakyat

anwar belanjawan PR

KUALA LUMPUR 21 OKT: Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu ditangguhkan kerana bakal meningkatkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penangguhan itu perlu dilakukan sehingga pendapatan minimum isi rumah mencapai tahap yang dikira sesuai bagi menyerap sebarang kesan terhadap kuasa beli akibat pelaksanaan GST.

Beliau berkata, pendekatan itu perlu diambil memandangkan rakyat sedang berhadapan dengan kadar perbelanjaan dan tanggungan hutang isi rumah yang tinggi.

“Kita akan memastikan pelebaran ‘band’ cukai pendapatan terutama membabitkan golongan menengah bagi mengelakkan kemasukan mereka ke ‘band’ cukai lebih tinggi dalam tempoh singkat. PR juga mensasarkan pelepasan cukai lebih banyak yang harus diberikan kepada golongan ini.

“Selain itu, kajian berkenaan pertukaran cukai korporat atau peribadi dengan GST perlu dilaksana dan diperjelaskan kepada rakyat. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka dibebani pertambahan cukai akibat GST jika cukai korporat atau peribadi dikekalkan pada kadar sama,” katanya pada pembentangan Belanjawan Alternatif PR 2014, di Parlimen, hari ini.

Anwar berkata, PR akan memperkenalkan sistem cukai lebih adil melalui pengembalian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) pada tahap sebelum tahun 2007 bertujuan mengekang kegiatan spekulasi hartanah berlebihan.

“Tahap RPGT sebelum tahun 2007 membabitkan cukai berperingkat adalah pada kadar 30 peratus bagi tahun pertama sehingga cukai terendah lima peratus bagi perjualan tahun kelima. Pelaksanaan sistem cukai ini akan bersifat lebih saksama kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar : Protes seluruh negara jika Pusat laksana GST

Anwar-GSTSHAH ALAM 6 OKT : Protes seluruh negara akan diadakan jika Kerajaan Pusat melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Belanjawan 2014 yang diumumkan pada 25 Oktober ini Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat (PR) menentang keras sebarang usaha kerajaan Umno-BN itu untuk pelaksanaan GST yang hanya akan membeban rakyat.

“Kerajaan telah meningkatkan harga petrol, GST akan menambahkan jumlah bebanan kepada rakyat,” kata Anwar dipetik dari The Star Online.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan Kerajaan Pusat berpotensi untuk menjimatkan RM28 bilion sekiranya berjaya menangani ketirisan, ketidakcekapan pengurusan dan rasuah bersandarkan Laporan Ketua Audit Negara.

Kerajaan Pusat tidak perlu melaksanakan GST yang membebankan rakyat jika berupaya mengurangkan ketirisan perbelanjaan wang negara dan membanteras rasuah.

Kira-kira 85 peratus daripada rakyat negara ini tidak memperolehi pendapatan yang layak bagi membolehkan  mereka membayar cukai.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Negara tiada wang, rakyat hadapi ‘malapetaka’ baru Umno-BN

mahfuz omar

SHAH ALAM 20 OGOS : Rakyat bakal berhadapan dengan ‘malapetaka’ baru selepas kemenangan Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke- 13 dengan kenaikan pelbagai cukai, harga barangan dan perkhidmatan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata, kerajaan pimpinan Umno-BN sudah ‘kehabisan’ wang sehingga sanggup akan melaksanakan pelbagai tindakan seperti mengenakan cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dan kenaikan tarif elektrik terhadap rakyat.

“Rakyat terperangkap dengan pemberian oleh kerajaan Umno-BN yang hanya dapat menghasilkan kenikmatan sementara dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pelbagai lagi.

“Kerajaan sebenarnya melakukan penipuan kepada rakyat dengan memberikan sesuatu yang nikmatnya hanya seketika,” kata Mahfuz ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, kenaikan tarif elektrik yang bakal dilaksanakan suatu yang tidak wajar walaupun dikatakan hanya sejumlah pengguna yang akan mengalami kesan daripada kenaikan itu.

“Bila harga elektrik naik maka harga barangan turut sama naik yang akan memberikan kesan kepada pengguna keseluruhannya.

“Ia merupakan malapetaka yang akan dihadapi rakyat dan rakyat akan dibimbangi dengan kadar kenaikan jenayah dan pada masa yang sama digodam oleh kerajaan yang akan meresahkan hidup rakyat,” kata beliau.

Tambah Mahfuz, kerajaan Umno-BN dalam keadaan sudah kekurangan dan ‘kehabisan’ duit ini dan akan melakukan pelbagai tindakan yang tidak pro-rakyat bagi mendapatkan semula duit daripada rakyat.

“Hutang negara dan hutang yang dijamin oleh kerajaan kini sudah melebihi RM600 bilion yang bermakna meletakkan pada kadar 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang ini membahayakan negara.

“Selepas ini GST akan dilaksanakan untuk membolehkan sepertimana yang disebut oleh Perdana Menteri apabila kerajaan akan mendapat sumber pendapatan yang baru.

“Apabila pengurangan subsidi terhadap barang-barangan keperluan hidup rakyat ini dilakukan bermakna rakyat akan terbeban sebanyak dua kali,” kata beliau.

Categories
SELANGOR

Tony Pua : Jangan Hukum Rakyat Dengan GST – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 06082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya menghukum rakyat dengan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sedangkan gejala rasuah, pembaziran dan ketirisan dibiarkan.

2. Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di gesa mengakji semula status projek terbengkalai yang disenarai hitamkan jika ia telah diambil alih oleh pemaju penyelamat dan berjaya dipulihkan.

3. Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM552,500 kepada 338 atlet pengurusan pasukan dan persatuan kontinjen Selangor yang memperoleh pingat dan mengharumkan Selangor dalam Sukan Malaysia (Sukma) ke-16.

Categories
NASIONAL

GST: Rakyat Tidak Setuju Kerana Menambah Kos Sara Hidup

gst grafik 01

SHAH ALAM 21 MEI :Rata-rata rakyat berpendapatan sederhana dan rendah tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Pusat untuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun ini.

Bagi Mohd Nazri Rahmat, 51, cukai GST hanya akan menambahkan beban yang sedia ditanggung oleh rakyat dan seharusnya Kerajaan Mohd Nazri Rahmat,51Persekutuan menyemak semula sistem ini supaya tidak menekan golongan berpendapatan rendah.

“Sebagai negara membangun, kita tak dapat elak daripada cukai, cukai pendapatan, GST dan lain-lain yang digunakan untuk pembangunan rakyat.

“Saya tak setuju kerana barangan seharusnya bebas daripada sebarang cukai.

?Saya ingat cukuplah dengan pelbagai cukai, tak payah bebankan orang lagi,” katanya ketika ditemubual TVSelangor di sekitar Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala baru-baru ini bercadang untuk memperkenalkan cukai GST sebanyak 7 peratus dengan menjadikan Singapura sebagai model perlaksanaan cukai berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menyangkal pelaksanaan cukai itu dengan mengatakan pendapatan perkapita rakyat di negara ini jauh lebih rendah berbanding Singapura.

Mohd Maamur Miftaf,51Sementara itu, Mohd Maamur Miftah, 52, pula berpendapat Kerajaan Persekutuan seharusnya mengamalkan sikap lebih bertanggungjawab selepas diberi mandat baru pada Pilihan Raya Umum ke-13(PRU-13) lalu.

“Saya tak setuju, kita ni kalau boleh nak ringankan beban rakyat, itu yang lebih penting. Tak perlu ada cukai-cukai jika pendapatan rakyat masih tidak berubah,” ujarnya yang bekerja sebagai ahli perniagaan.

Dalam pada itu, Raja Jamilah Raja Noor, 49, berkata GST hanya akan menambahkan beban rakyat kerana terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi tetapi manfaat daripada GST dikhuatiri tidak diterima oleh pembayar cukai sepertinya.

“Ia merupakan beban kepada saya yang berpendapatan rendah tetapi terpaksa pula membayar cukai GST ini dan saya memang tidak bersetuju sama sekali,” ujarnya yang bekerja sebagai kerani.

Manakala seorang surirumah, Roslina Tukiman, 45, merasa kecewa jika cukai berkenaan benar-benar dilaksanakan. Roslina Tukiman, 45

“Ia hanya menambah beban kepada kita sebagai surirumah dan juga yang lain-lain, sangat-sangat tidak patut dilaksanakan. Lagi-lagi kalau pada yang berpendapatan rendah,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahfuz: GST Buat BN Tersepit, Adakan PRU-13 Sebelum 11 Jun?

SHAH ALAM, 19 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini berada di dalam keadaan tersepit apabila dipaksa bergelut di antara membentangkan Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) secepat mungkin dengan tarikh sesuai untuk mengadakan pilihan raya.

Keadaan tersebut juga dikatakan akan mendorong Najib terpaksa membubarkan parlimen sekaligus memberi laluan untuk Pilihan Raya Umum ke-13 diadakan sebelum parlimen bersidang semula pada 11 Jun akan datang.

“Pilihan raya akan diadakan sebelum sidang parlimen yang sepatutnya berlangsung akan datang ini pada 11 Jun.

“Bermakna dia kena buat pilihan raya sebelum itu bagi membolehkan sekiranya kalau BN menang dia boleh panggil sidang parlimen lebih kurang seminggu atau berganjak seminggu.

“Selepas angkat sumpah, mereka panggil sidang parlimen bermula dan agenda pertama adalah GST dibentangkan untuk diluluskan.

“Dalam tempoh sebulan selepas itu ia akan dilaksanakanlah,” ujar Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar kepada TVS.

Menurut Mahfuz, ianya disebabkan kewangan kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) hari ini semakin parah akibat sikap boros pemimpin parti itu berbelanja.

“Jadi sebab itu mereka berada di dalam keadaan tersepit, nak buat sebelum pilihan raya, nanti akan menyebabkan rakyat marah sebab tertekan dan menyebabkan BN kehilangan undi.

“Nak tunggu lepas pilihan raya, keadaan kewangan negara berada dalam keadaan begitu terdesak disebabkan pemborosan dan pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan.

“Jadi sebab itu saya percaya pilihan raya akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini untuk membolehkan GST dibentangkan secepat yang mungkin,” kata beliau lagi.

Mahfuz juga memaklumkan kepada TVS, Najib sebelum ini turut mengakui GST akan dilaksanakan selepas pilihan raya umum akan datang ini.

“pembentangan usul Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih ada dalam aturan mesyuarat setiap kali persidangan parlimen, cuma dia berada di peringkat bawah.

“Semenjak pembentangannya kali pertama dia tak pernah ditarik balik cuma dia dikebelakangkan bermakna dia tak pernah terkeluar dari aturan mesyuarat.

“Sudah tentu sampai suatu ketika nanti ianya akan dibentangkan dan dah dimaklum bahawa Najib sendiri sudah mengaku bahawa GST akan dilaksanakan selepas pilihan raya,” ujar Mahfuz.

Dalam isu GST, Mahfuz turut menyamakan BN pada masa ini bagaikan seorang penyembelih yang sedang menaburkan beras untuk mengumpan ayam, tetapi pada  masa sama menyorokan pisau sembelihan di belakangnya.

“Mereka tahu, kalau mereka bentang sekarang bermakna mereka menyembelih leher mereka sendiri.

“Sebab itu pada masa ini mereka umpama menabur beras kepada ayam tetapi menyorokkan pisau dibelakang untuk menyembelih ayam-ayam tersebut.

“Inilah nasib yang akan diterima oleh rakyat sekiranya memilih BN dalam pilihan raya nanti,” ujarnya lagi.

Semalam, seperti yang dijangka, kerajaan sekali lagi menangguhkan bacaan Rang Undang-Undang GST buat kali ketiga selepas pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat semenjak tahun 2009.