Categories
NASIONAL

JAIS Boleh Siasat Izzah Untuk Lerai Kekeliruan

SHAH ALAM 7 NOV : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalu-alukan siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung dakwaan menyokong kebebasan beragama.

Dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO petang tadi, beliau menganggap ia langkah positif untuk membuka perbincangan sesama Islam dan menguatkan persefahaman ummah.

“Menjadi tanggungjawab JAIS untuk pro-aktif dan memahami maksud sebenar kenyataan Nurul Izzah seterusnya menyelesaikan sebarang kekeliruan supaya tiada perbezaan pemahaman.

?Satu perkara yang jelas ialah tiada orang Islam yang mahukan saudara Islamnya meninggalkan agama kerana adalah menjadi tanggungjawab orang Islam untuk menjaga masyarakat Islam lain dengan lebih baik,? katanya lagi.

Beliau juga menyokong dan memuji kesediaaan Nurul Izzah untuk berjumpa JAIS bagi menerangkan maksud sebenar di sebalik ucapannya yang didakwa diputar belitkan oleh media dan penulis blog.

?Saya dapati ada sesetengah laporan berita yang lari konsep awal (maksud sebenar) termasuk Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan seolah-olah kenyataan Nurul Izzah itu ke arah ?kenerakaan?.

?Pada saya ini perkara ini tidak betul dan kita perlu selesaikan dengan baik demi kebaikan umat Islam bersama,? katanya.

Izzah sebelum ini, dalam satu forum di Subang Jaya didakwa berkata bahawa tiada paksaan wajar dikenakan dalam beragama.

Susulan kenyataan tersebut, Pengarah JAIS, Marzuki Husin berkata tindakan boleh dikenakan ke atas Izzah jika didapati bersalah mengeluarkan kenyataan yang boleh memesongkan akidah.

Categories
SELANGOR

756 Ekor Lembu Diagih Seluruh Selangor

 

SHAH ALAM 23 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan kira-kira 756 ekor lembu untuk diagihkan di seluruh negeri sempena Hari Raya Aidil Adha tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 389 ekor lembu disediakan untuk seluruh masjid-masjid di Selangor.

“Kerajaan negeri turut menyumbangkan lembu-lembu korban kepada badan-badan bukan kerajaan seperti PERKIM, ABIM, Hidayah Center, Brigade Amal Selangor, PANTAS, Anak Syarikat Negeri, PPR Lembaga Perumahan, JAIS dan penduduk Asal yang beragama Islam,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Lembu Korban Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah (JAIS) di sini.

Menurut Abdul Khalid, lembu-lembu itu disumbangkan oleh anak-anak syarikat kerajaan negeri daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Turut menyumbang juga adalah Worldwide Holding Bhd (WHB), Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Abdul Khalid berkata, kerajaan berharap disebalik penyerahan lembu-lembu korban itu dapat menimbulkan kesedaran kepada umat Islam agar lebih mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memperbanyak ibadah korban.

“Umat Islam perlu mengorbankan gaya hidup yang mengutamakan kemewahan dan kesenangan duniawi semata-mata.

“Sebaliknya mengamalkan kehidupan yang sederhana dan berusaha mengelakkan pembaziran dan sikap boros,” kata Abdul Khalid.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Pantau Ajaran Sesat

SELAYANG 24 SEPT : Kerajaan Negeri akan menjalankan pemantauan berterusan ke atas program bercorak keagamaan supaya aktiviti penyebaran ajaran sesat di Selangor dapat dibendung daripada berleluasa.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bagi tujuan itu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarah berusaha meningkatkan kefahaman agama Islam di kalangan rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerja pencegahan dan pemantauan oleh JAIS adalah rutin biasa yang dijalankan dari masa ke semasa.

“Perkara ini memang biasa dan untuk mengingatkan masyarakat Islam dan JAIS ada satu jabatan iaitu Jabatan Dakwah yang memantau perkara ini.

“Bagaimanapun cara dilakukan bukan secara agresif tetapi cara mengingatkan semua pihak serta masyarakat Islam mengenai cara yang betul dalam menjalankan aktiviti keagamaan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Festival Jalanan Daerah Gombak dan Festival Silat Selangor di sini semalam.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai mengulas laporan terbaru terdapat 30 ajaran sesat di Selangor baru-baru ini.

Beliau seterusnya berkata, Kerajaan Negeri juga memaklum terdapat sebahagian program keagamaan dijalankan menggunakan golongan fakir miskin bagi tujuan kebajikan dan pihaknya sudah mengkaji perkara berkenaan.

Tambahnya, pemantauan turut dilakukan JAIS terhadap aktiviti bercorak kebajikan demi memastikan program tersebut adalah betul supaya usaha mengembangkan agama Islam dilakukan menerusi cara yang dipraktikkan di Selangor.

“Kalau ada keadaan yang dirasakan kita perlu pantau dan sekat baru kita lakukan tetapi Jabatan Mufti dari masa ke semasa mengingatkan masyarakat Islam supaya berjaga-jaga dan dapat melakukan ajaran mengikut lunas-lunas agama yang dipersetujui Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pembinaan Masjid Baru Kota Kemuning Akan Dimasukkan Dalam Bajet 2013

SHAH ALAM 18 SEPT: Penduduk Islam di sekitar Kota Kemuning diharap bersabar untuk melihat sebuah masjid dibina di kawasan berkenaan kerana peruntukkan pembinaannya akan dimasukkan dalam Bajet Negeri Selangor 2013.

Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata masjid baru Kota Kemuning akan diberi keutamaan dalam Bajet 2013 Kerajaan Negeri yang akan dibentangkan November ini dan penduduk diminta menggunakan dahulu surau yang diberikan kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat buat sementara waktu.

“Saya sedia maklum keperluan penduduk, kerana itulah saya dan tujuh pengerusi surau menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kota Kemuning (JPMKK) sejak akhir 2009.

“Namun demikian, keutamaan pembinaan masjid ketika ini didahulukan kepada penduduk di Taman Sri Muda kerana memohon masjid baru sejak 28 tahun lepas dan Kampung Johan Setia yang sudah memohon sejak 25 tahun lepas berbanding Kota Kemuning yang baru memasuki 11 tahun,” katanya kepada TVSelangor hari ini.

Shuhaimi berkata, sebanyak tiga buah surau di kawasan Kota Kemuning diberikan kebenaran solat jumaat yang diluluskan pada tahun 2010 dan 2011 lalu.

“Kerana keperluan penduduk, maka saya sokong surau Al-Firdaus dan Surau Al-Hijrah dan Surau Kemuning Utama untuk diberi kebenaran solat Jumaat bagi menampung lebih 10,000 penduduk di kawasan ini,” katanya.

Menurutnya, JPMKK sehingga kini masih mengutip derma yang diberi kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga tempohnya tamat.

“Saya menyeru JPMKK agar meneruskan usaha mereka dan bekerjasama lebih erat dengan pejabat saya dan pejabat Ahli Parlimen dalam usaha mendapatkan dana tambahan bagi pembinaan masjid baru itu,” ujarnya.

Isu ini dibangkitkan sebuah akhbar harian yang menyiarkan laporan usaha membina masjid itu terbantut berikutan dana tidak mencukupi walapun cadangan pembinaannya diluluskan lebih setahun lalu.

Sehingga kini dilaporkan JPMKK menerima sumbangan sebanyak RM500,000 daripada pelbagai pihak dengan kos pembinaan masjid baru dianggarkan berjumlah RM5 juta.

Ketika mengulas perkara itu, Shuhaimi berkata, hak mendirikan masjid tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri bersama Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), JAIS, MAIS dengan pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Jawatankuasa pembinaan masjid hanya boleh mengusulkan cadangan, Kerajaan Negeri melalui MAIS akan memutuskan perkara itu,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Ibu Bapa perlu Ambil Berat Pendidikan Rohani Anak-Anak

 

BALAKONG 17 SEPT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengingatkan ibu bapa untuk mengambil berat pelajaran anak-anak terutama pendidikan rohani dan modal insan demi menjana kesinambungan kemajuan negeri ini di masa hadapan.

Beliau menyampaikan amanat tersebut ketika memberi ucapan sewaktu mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Sekolah Rendah Agama Taman Tun Perak di sini petang tadi.

Tambahnya, selain pendidikan jasmani dan kifayah, pendidikan rohani yang kukuh pada setiap anak-anak juga penting bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang, terlalu banyak anasir-anasir yang tidak sihat yang hanya boleh ditangani melalui keteguhan jati diri rohani dan pendidikan Islam yang kuat.

“Anak-anak yang mempunyai asas pendidikan rohani yang baik juga pasti mempunyai kefahaman, kepercayaan dan terlatih untuk tidak terlibat dengan sesuatu yang merosakkan.

“Kesemua kriteria ini penting bagi menjamin harta negeri Selangor di masa hadapan ini adalah yang terbaik untuk menyokong pembangunan negeri kelak,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Ini merupakan kali ketiga Menteri Besar melakukan lawatan kerja rasmi ke sekolah berkenaan, kali pertama pada 2008 ketika proses awal mewartakan tanah dijalankan serta kali kedua pula pada 2010 ketika sekolah memulakan pembinaan.

SRA Taman Tun Perak ini siap dibina pada April tahun ini dan mula digunakan untuk sesi pembelajaran pada Jun lalu dengan pendaftaran seramai 284 murid.

Sekolah ini menelan belanja melebih RM7 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Ia mempunyai 30 bilik darjah yang mampu menempatkan 1, 200 pelajar dalam satu sesi selain turut dilengkapi kemudahan fasiliti lain seperti perpustakaan, surau, bilik guru berasingan lelaki dan perempuan, bilik kesihatan serta kantin.

Kira-kira 1000 tetamu yang hadir memeriahkan lawatan rasmi tersebut turut berpeluang menikmati jamuan dengan lebih sepuluh gerai makanan disediakan.

Categories
SELANGOR

JAIS Tahan Lapan Individu Dalam Ops Peminta Derma

 

SHAH ALAM 10 OGOS : Seramai lapan peminta derma menggunakan sijil pendaftaran madrasah dan tahfiz bagi meraih simpati ditahan dalam satu operasi oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di sekitar bandaraya Shah Alam dan Petaling Jaya, di sini semalam.

Operasi selama tiga jam di sekitar bandar itu diketuai Penolong Pengarah Unit Perundangan dan Kesalahan Jais, Zaaba Zakaria dengan membabitkan kira-kira 15 anggota penguatkuasa.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasa Jais, Hardi Mohamad Sadali berkata, kesemua individu yang ditahan berusia antara 16 hingga 50 tahun, di mana tiga daripadanya disahkan warga asing.

Menurut Hardi, kegiatan ini biasanya tertumpu di kawasan awam seperti pam minyak, restoran dan kaki lima permis perniagaan.

Beliau berkata, kegiatan itu semakin rancak dijalankan sepanjang Ramadan hasil daripada pemantauan penguatkuasa dan aduan orang ramai sebulan yang lalu.

“Jais mendapati ada antara peminta derma yang ditahan ini tidak memiliki kebenaran atau lesen sah daripada Majlis. Ada di antara mereka terlibat dengan sindiket menggunakan kanak-kanak sebagai mangsa.

“Kita juga mengenalpasti bahawa mereka ini biasanya akan mula beroperasi sekitar pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam dan didapati ‘menjual’ barang-barang tidak bersesuaian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Jais, di sini.

Di bawah Enakmen 106 Pentadbiran Agama Islam Negeri, Jais berkuasa merampas wang hasil kutipan derma dan diserahkan kepada Baitulmal.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Mahu Umat Islam Tidak Berpecah Belah

HULU LANGAT 26 JUL : Rakyat diseru agar tidak mengamalkan sikap berpuak-puak dan pilih kasih dalam bermasyarakat terutamanya bagi yang beragama Islam.

Teguran itu dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat serta Majlis Perasmian Masjid Sungai Ramal Luar di sini petang tadi.

“Beta tidak ingin dengar ada aktiviti Solat Tarawikh berasingan disebabkan oleh perbezaan fahaman politik atau tidak bersetuju dengan imam yang dilantik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Sekiranya ini berlaku, umat Islam akan berpecah dan dipandang rendah masyarakat lain,” titah baginda tegas di hadapan ratusan tetamu dan rakyat yang hadir.

Baginda turut menyatakan kebimbangan akan usaha yang dijalankan pihak tertentu dalam menganggu-gugat keutuhan agama Islam.

“Terdapat usaha jahat yang menyentuh sensitiviti Umat Islam dengan mempersenda junjungan Nabi Muhammad melalui penerbitan risalah, karikatur, filem mahupun lagu.

“Oleh itu, beta menyeru pihak-pihak bertanggungjawab untuk memantau perkara ini seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mempersenda Islam,” titah baginda.

Baginda turut perkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 125 orang anak yatim, serta 218 asnaf fakir dan miskin dan 125 orang asnaf mualaf hasil sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Turut mengiringi baginda pada majlis berkenaan ialah Raja Muda, Tengku Amir Shah ibn Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Juga hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin dan Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor : AJK Masjid Perlu Laksana Tugas Dengan Hati Yang Bersih

SEPANG 26 JULAI : Pagawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) di seluruh Selangor diperingatkan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan bekerja secara ikhlas dan hati yang bersih.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semasa merasmikan Masjid Kampung Meranti, Sepang di sini.

“Beta berkenan supaya seluruh rakyat terutamanya umat Islam agar melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik dan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat,” titah Sultan Sharafuddin.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kira-kira hampir 1,500 masyarakat di Kampung Pulau Menanti di sini bersama-sama dengan Tuanku untuk majlis berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.

Masjid baru di Kampung Pulau Meranti,Sepang yang dibina pada tahun 2006 dengan kos RM6.1 jutadan baginda berkenan mencemar duli merasmikan masjid berkenaan.

Masjid ini di namakan dengan nama Masjid Meranti.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dalam ucapannya berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited dalam memberikan bantuan kepada asnaf faqir dan miskin bagi daerah ini.

“Adalah diharapkan selepas menerima sumbangan ini dapat meringankan beban yabng ditanggung oleh penerima-penerima tersebut untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” kata Marzuki.

Pada majlis yang sama itu, Sultan Sharafuddin turut menyerahkan bantuan ramadan dan hari raya kepada 230 asnaf fakir miskin, 125 asnaf mualaf dan seramai 136 anak yatim.

Categories
SELANGOR

Masjid Negeri Edarkan Bubur Lambuk Sepanjang Bulan Ramadan

SHAH ALAM 21 JULAI : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menasihatkan supaya menggunakan kesempatan Ramadan tahun ini untuk membina jati diri.

Katanya, ia perlu dilatih dengan memanfaatkan setiap detik amalan-amalan murni dan bermanfaat supaya dapat melaksanakan segala perintah Allaw SWT.

Jelasnya, ia penting disamping bermanfaat kepada pembangunan diri, keluarga dan masyarakat.

“Bulan yang penuh keberkatan ini merupakan masa gembira kepada orang yang beriman kerana setiap saat ada ganjaran pahala yang berganda-ganda melebihi yang biasa.

“Jika bagi saya, ia satu pelaburan yang akan mendapat pulangan yang banyak serta berlipat kali ganda,” katanya ketika berucap di Majlis Pengagihan Bubur Lambuk dan Buah Kurma di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengimarahan Jemaah MSSAAS, Datuk Abu Bakar Abdul Hamid, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin, Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Azib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dan Imam Besar MSSAAS, Ahmad Mustafa Mohd Sidin.

Selain itu Abdul Khalid menambah, pengimarahan masjid di negeri dilihat berkembang setiap tahun.

“Ini adalah satu usaha yang kita mahu dan ditunjukkan oleh pemimpin dan masyarakat. Ini menunjukkan perkembagan yang sangat baik untuk agama Islam,” katanya.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid mengagihkan bubur lambuk dan kurma kepada jemputan khas dan jawatankuasa masjid sebagai melancarkan agihan bubur lambuk dalam Program Ihya Ramadan MSSAAS.

Agihan bubur lambuk dan kurma dilakukan sepanjang bulan Ramadan di MSSAAS kepada 1,000 orang.

Categories
SELANGOR

Bangunan Lama JAIS Klang Diwartakan Bangunan Warisan


KLANG, 6 JULAI : Landskap seni bina bandar Klang akan diperkayakan lagi dengan satu lagi bangunan lama yang akan diwartakan sebagai bangunan warisan oleh Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).

Bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang di Jalan Dato Hamzah berusia genap 100 tahun akan dipelihara kerana sejarah dan seni binanya yang unik.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin berkata, bangunan tersebut dibina pada tahun 1912 dan mengalami pelbagai proses perubahan pentadbiran.

Menyingkap kembali sejarah bangunan tersebut Marzuki berkata, bangunan ini pada asalnya merupakan Istana Hinggap Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Suleiman yang merupakan Sultan Selangor pada ketika itu.

“Namun begitu, pada tahun 1941, bangunan ini berpindah milik dan dijadikan markas pemerintahan Jepun dan dikenali sebagai JUNTAI,” katanya.

Katanya, pada tahun 1949, Pejabat Lembaga Bandaran Klang mengambil alih bangunan ini sebagai pejabatnya dan akhirnya pada tahun 1965 diserahkan kepada JAIS.

Walaubagaimanapun, JAIS diarahkan berpindah ke Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada tahun 1977 dan bangunan lama ini dijadikan Pejabat Agama Islam Daerah Klang dan Mahkamah Tinggi/Rendah Syariah sehingga tahun 2010.

Marzuki berkata demikian di dalam ucapan ajlis penyerahan bangunan ini kepada PADAT di sini hari ini.

Majlis bersejarah ini dihadiri Orang Kaya Maha Bijaya Klang, Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir, Pengerusi PADAT, Dr Shafie Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Azlinda Azman dan Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Klang, Abdul Malek Ramli.

Pengerusi PADAT, Dr Shafie berkata, usaha akan dijalankan bagi memulihara bangunan ini sebagai suatu warisan sejarah yang tidak ternilai harganya.

“Bangunan ini barangkali sudah ditinggalkan beberapa tahun dan terdapat keuzuran dan kerosakan yang perlu dibaikpulih dan perlu dipelihara sebagai suatu sejarah kerana keunikkannya,” katanya yang juga Adun Bangi.

Selain itu, majlis bersejarah ini juga menyaksikan upacara pertukaran dokumen dan pemberian kunci bangunan diantara JAIS dan PADAT sebagai simbolik kepada penyerahan bangunan ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

223 Pelajar Tahfiz Dapat Biasiswa Yayasan Selangor

BANTING 25 JUN : Penghormatan dan keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah maahad tahfiz diharap mampu meningkatkan tahap kecemerlangan akademik dan sahsiah golongan pelajar tersebut.

Demikian harapan dilontarkan Pengetua Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITIB), Anas Ayob dalam satu Majlis Penyerahan Biasiswa Yayasan Selangor kepada 223 pelajarnya di sini pagi ini.

“Usaha ini menunjukkan komitmen yang baik daripada Kerajaan Negeri kepada anak-anak tahfiz.

“Semoga dengan bantuan sebegini, golongan pelajar yang berlatarbelakangkan pendidikan Al-Quran mampu menjadi golongan professional pada masa akan datang seterusnya dapat menjelmakan mimpi kami menjadi nyata,” ujar Anas.

Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Baharudin Ali Masrom dalam ucapannya berkata, pihaknya memperuntukkan RM 3 juta yang akan diberi kepada 2, 516 pelajar seluruh Selangor dalam bentuk biasiswa.

“Dengan bantuan seperti ini, diharap pelajar dapat memacu kecemerlangan akademik dan sahsiah diri mereka bagi membentuk generasi masa depan yang lebih berketerampilan.

“Susulan daripada biasiswa hari ini juga, insyaAllah kita akan merangka satu kem motivasi bina semangat bagi pelajar-pelajar MITIB yang akan dianjurkan dalam semester ini juga,” ujar beliau.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali yang turut hadir menyempurnakan majlis penyerahan biasiswa tersebut berkata Kerajaan Pakatan komited untuk membantu setiap golongan pelajar yang berpotensi tanpa mengamalkan sebarang sikap prejudis.

“Sebab itu kita meminta agar Yayasan Selangor melakukan penjenamaan semula dan jangan hanya fokus pada sekolah-sekolah aliran utama sahaja sebaliknya pandanglah sekali pelajar-pelajar sekolah tahfiz ini yang mana kesemua mereka ini adalah pelajar cemerlang, terpilih dan terbukti terbaik,” jelas Dr. Halimah dalam ucapannya.

Penyerahan biasiswa ini merupakan sebahagian daripada program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) yang dilancarkan pada tahun ini.

MITIB juga bertuah apabila dipilih sebagai sekolah pertama yang akan menerima kemudahan seperti biasiswa, tajaan kelas bimbingan, program akademik dan pembangunan sahsiah di bawah program tersebut.

Sebanyak 223 pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 dari MITIB menerima sumbangan biasiswa yang keseluruhannya berjumlah RM 172,000. Namun, setiap pelajar menerima jumlah berbeza bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga pelajar.

MITIB ditubuhkan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 untuk mendidik dan membentuk generasi Al-Quran dan ia bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk pembiayaan kos operasinya.

Categories
NASIONAL

PAS Tak Keluarkan Arahan Kuasai Masjid dan Surau

SHAH ALAM 25 JUN : Pas Selangor tidak pernah keluarkan arahan untuk menjadikan masjid dan surau di seluruh Selangor sebagai tapak ceramah politik sepanjang Ramadan akan datang.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata dakwaan tersebut merupakan fitnah terhadap parti tersebut yang tidak mempunyai kuasa terhadap pentadbiran masjid dan surau.

Kuasa tersebut terletak di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), kata Dr Rani, yang juga ADUN Meru.

“Dakwaan itu tidak betul. Sesiapa yang buat tohmahan itu, saya harap tolong beritahu siapa yang beritahu, kemukakan bukti.

“Kami dari Pas Selangor tidak pernah mengeluarkan arahan-arahan begitu melalui JAIS, MAIS atau sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Jelasnya, Pas turut tidak bersetuju jika terdapat ceramah-ceramah yang menyebut mengenai parti politik.

“Pada kita, masjid dan surau merupakan tempat yang neutral dan penting.

Kalau mahu bincang pasal politik itu tidak benar, jika ada mana-mana penceramah yang lebih kepada politik kita juga tidak galakkannya untuk menyampaikan ceramah begitu,” katanya.

Kelmarin, akhbar pro Umno-BN mendakwa Pas sedang merangka strategi bagi menguasai lebih 2,500 masjid dan surau di Selangor untuk dijadikan ‘tapak ceramah’ sepanjang Ramadan.

Akhbar tersebut juga mendakwa Pas mahukan tazkirah Ramadan disampaikan pemimpin Pas dan bukan pegawai agama bertauliah MAIS.

Pas juga didakwa campur tangan secara langsung dalam sesi pemilihan ahli jawatankuasa masjid dan surau terutama melibatkan jawatan nazir, imam I serta II, sekali gus menolak pilihan ahli kariah.

Mengulas lanjut perkara itu, Rani berkata semua pihak perlu berbalik semula kepada mesyuarat dan syarat-syarat yang ditetapkan Jais.

“Jais tidak pernah duduk dalam Pas, ia bukan dibawah kita. Isu itu tidak timbul kerana Jais sudah memberi penjelasan. Biasalah orang yang kalah mesti tidak puas hati,” kata Abdul Rani.