Categories
SELANGOR

MySikap RM200 juta satu lagi projek pembaziran BN

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 14 NOV : Kegagalan sistem MySikap bagi menangani masalah kebanjiran pengguna berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah satu lagi bukti projek pembaziran Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri, berkata beliau kesal dengan kegagalan sistem berharga RM200 juta itu berfungsi dengan sempurna sehingga menyusahkan pengguna.

“Kita berharap JPJ memperbaiki sistem yang menjadi rungutan apabila kaunter di seluruh negeri tidak dapat memberikan khidmat dengan baik dengan sempurna.

“Seharusnya, JPJ perlu memperhalusi keberkesanannya sebelum memperkenalkan sistem MySikap ini,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, semalam.

Media turut melaporlan portal MySikap menghadapi masalah menangani kapasiti beban besar daripada pengguna yang menggunakan sistem itu yang menyebabkan masalah teknikal menjejaskan berjuta pengguna dan mengikut rekod Malaysia mempunyai kira-kira 14 juta pemandu dan 24 juta kenderaan didaftarkan di bawah JPJ.

Yahya berkata, kerajaan perlu bertegas mengambil tindakan mendenda syarikat kontraktor yang dilantik mengendalikan operasi MySikap.

“Apa yang berlaku menyusahkan penggunadan kita mengharapkan supaya kerajaan pusat bertindak dengan menamatkan khidmat mereka dan melantik kontraktor lain. Pengguna yang berhadapan dengan masalah itu perlu memberikan komen dan aduan secara terus kepada laman sesawang JPJ dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

yahya saari batik songkok 01“Berikan aduan yang dihadapi di semua kaunter JPJ seluruh negara supaya tindakan segera dapat diambil kerajaan,” katanya.

Komen pengguna Facebook, Iean Nizar, berkata, kerajaan harus mengkaji secara menyeluruh dan menyediakan pelan keselamatan sebelum MySikap diperkenalkan.

“Perlu ada pelan kecemasan A, B, C, D jika perlu bila berlaku ‘server breakdown’ dan sebagainya, bukan bila sudah laksana dan dijalankan secara menyeluruh baru ada pelan kitu. Sebab utama adalah MySikap membabitkan ramai pihak daripada pelanggan hingga pejabat JPJ sendiri,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

ASTRO tidak wajar naik caj pakej sedia ada

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 12 NOV  : Kenaikan caj yang dikenakan ASTRO adalah tidak wajar ekoran perkhidmatan yang ditawarkan tidak sepadan dengan harga yang perlu dibayar pelanggan.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata syarikat terbabit juga dlihat perlu menaiktaraf perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan sebelum caj dinaikkan.

Katanya, siaran berulang dan gangguan perkhidmatan ketika hujan juga perlu diberi penambahbaikan kerana harga bayaran tidak setimpal dengan apa yang ditawarkan ASTRO.

“Kita anggap tindakan itu tidak wajar kerana menindas pengguna secara terus. Kebanyakan pengguna merungut kerana tidak mendapat perkhidmatan yang berkualiti dan tidak sepadan dengan caj yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.yahya shari 01

Yahya berkata, kerajaan pusat juga perlu menamatkan monopoli ASTRO dan meluluskan lesen khidmat televisyen berbayar kepada syarikat lain.

Katanya, pelaksanaan itu bagi mewujudkan persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan seperti yang berlaku antara pembekal perkhidmatan komunikasi bagi membolehkan pengguna membuat pilihan.

“ASTRO sudah untung besar dan memonopoli pasaran. Jadi, tidak wajar caj perkhidmatan kepada pengguna dinaikkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan tegas bagi menghalang kenaikan itu dan pengguna juga diminta untuk tidak melanggan ASTRO sebagai tanda protes kepada syarikat terbabit.

Sebelum ini, ASTRO memaklumkan bakal mengenakan tambahan caj RM2 bagi pakej keluarga dan RM6 bagi pakej sukan, bermula 24 November ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gula punca kantin sekolah naik harga makanan dan minuman

Gula naikSHAH ALAM 31 OKT : Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima aduan beberapa kantin sekolah sekitar Lembah Klang menaikkan harga makanan dan minuman.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata pihaknya menerima aduan itu selepas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik balik subsidi gula sebanyak 34 sen.

Katanya, selain kantin sekolah, peniaga gerai turut menaikkan harga makanan dan minuman dengan bayaran dikenakan hampir sama dengan kopitiam.

“Kita ada terima banyak aduan berkenaan peniaga gerai dan kantin sekolah yang bertindak menaikkan harga makanan dan minuman di kedai premis mereka.

“Tiga anggaran minimum sehari aduan kenaikan harga yang diterima kami. Bagaimanapun, pengadu tidak memberikan maklumat terperinci dan menyebabkan kami tidak dapat membuat pemantauan,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor, di sini, hari ini.

Yahya berkata, terdapat empat sekolah yang menaikkan harga makanan dan minuman mengikut aduan yang diterima daripada ibu bapa pelajar.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinngi membuat pemantauan dan tindakan terhadap kantin sekolah di seluruh negara supaya tidak menaikan harga makanan dengan sewenangnya.

“Harga makanan dan minuman tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana pihak pengusaha kantin terikat dengan perjanjian kontrak harga makanan, jadi pihak kerajaan perlu memantau masalah ini.

“Kita juga mahu kerajaan pusat membuka ebih banyak peluang dalam industri gula supaya tidak hanya memberikan peluang kepada syarikat duopoli bagi mewujudkan peluang persaingan harga pasaran gula.

Beliau turut menyarankan pengguna supaya membuat aduan kepada Biro Kepenggunaan PKR jika terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah, Hamzah Omar berkata, pihaknya akan memastikan pengusaha kantin tidak menaikkan harga makanan dan minuman disebabkan kenaikan harga gula sebanyak 34 sen kerana sudah termaktub dalam perjanjian kontrak bahawa mereka tidak boleh menaikkan harga sesuka hati. -NFN-

Categories
NASIONAL

‘Satu Undi Untuk Noh Omar Bermakna Undi Untuk Perkasa’

Jangan Sokong Noh Omar 02

TANJONG KARANG 3 MEI : Pengundi di Parlimen Tanjong Karang digesa menolak politik perkauman sempit yang dibawa pimpinan Umno-BN, tegas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

“Satu undi untuk Datuk Seri Noh Omar bermakna satu undi untuk pihak Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), satu undi untuk Umno bermakna satu undi untuk politik perkauman, kita tidak boleh bawa politik perkauman,” kata Azmin.

Beliau menggesa masyarakat Tionghua untuk tidak lagi takut kepada perjuangan PAS kerana pimpinan mereka adalah kalangan yang mempunyai integriti dan bermoral tinggi.

“Anda perlu takut kepada Umno, orang PAS dia baik tidak menzalimi rakyat tetapi ini orang Umno betul dia Melayu tetapi dia curi tanah rakyat.

“Satu undi kepada Calon Permatang, Yahya Sahri dan bermakna satu undi untuk mewujudkan satu keluarga besar,” ujar Azmin.

Beliau berkata demikian semasa Ceramah bersama Penduduk Kampung Baru Tiram Jaya di sini yang dihadiri kira-kira 200 orang.

Jelas Azmin, beliau mahu semua kaum hidup dalam keadaan aman damai dan bekerjasama dengan menolak konsep 1Malaysia yang tidak menghayati konsep sebenar kerjasama antara kaum.

Katanya, pengundi perlu berani membuat perubahan pada 5 Mei ini untuk memilih calon Pakatan Rakyat agar rakyat dipimpin oleh mereka yang dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

“Jika tuan dan puan mahu suara di DUN Permatang ini didengari di Sidang Dewan Undangan Negeri maka orangnya ialah Yahya Sahri yang akan membawa suara rakyat dan yang akan membawa pembangunan di sini.

“Rakyat Tanjong Karang biarlah dijaga oleh pemimpin amanah,” kata Azmin.

Jangan Sokong Noh Omar 01

Categories
NASIONAL

Pakatan Tembus Kubu BN Tanjong Karang, Permatang, Sungai Burong

yahya saari permatang 30 apr 01

TANJONG KARANG 30 APRIL : Calon DUN Permatang Yahya Sahri yakin Pakatan Rakyat ada peluang cerah menawan Parlimen Tanjong Karang serta DUN Permatang dan DUN Sungai Burong.

Katanya, keyakinan itu disandarkan jentera Pakatan yang berjaya menembusi kawasan yang dikategorikan tegar kepada Umno-BN pada Pilihan Raya Umum ke-12 lepas.

“Walaupun ada penduduk yang memasang bendera besar Barisan Nasional namun mereka menjemput masuk datang ke rumah dan memberikan signal sokongan.

“Saya minta satu undi daripada tuan dan puan di sini untuk memberikan sokongan kepada saya,” kata Yahya semasa Program Minum Petang yang diadakan di Restoren Nasi Ambeng di sini.

Katanya, berdasarkan laporan yang beliau perolehi, sokongan pengundi kepada Pakatan mendahului sokongan kepada Umno-BN.

“Kita mengharapkan saudara-saudara semua untuk terus kekal dan meneruskan gerak kerja serta memperbanyakkan doa dan munajat agar segala penipuan yang dilakukan  Umno-BN akan dapat di atasi,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Dakwa Geran Tanah Kg Tiram Jaya Diselesai BN, Noh Omar Tipu Orang Kampung’

Geran Tanah Kg Tiram Jaya

SHAH ALAM 2 APRIL : Kenyataan Noh Omar bahawa Umno-BN  yang membantu mendapatkan geran tanah penduduk Kampung Tiram Jaya di Permatang dan menafikan ia usaha Kerajaan Negeri tidak ubah seperti mengangguk di air keruh.

Kenyataan itu juga dilihat sebagai usaha Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu untuk mengelirukan dan memperbodohkan orang-orang kampung, ujar Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri.

“Sepatutnya beliau bercakaplah sebagai seorang menteri, dan bukannya mengeluarkan kenyataan seperti budak sekolah rendah, bercakap juga biarlah dengan hujah dan fakta serta bukti jelas, bukan sekadar cakap-cakap kosong.

“Kenyataan yang dikeluarkan itu sangat kebudak-budakan, sangat tidak bijak, bodoh dan sombong, tidak setaraf dengan status dirinya sebagai seorang menteri dan Ahli Parlimen yang berpengalaman lima penggal,” tegas Yahya yang dihubungi Selangor Kini.yahya-shari-01

Sebaliknya, Yahya menjelaskan kebijaksanaan, ketelusan dan kecekapan Kerajaan Pakatan hari ini berjaya menyelesaikan pelbagai isu pemilikan tanah di Selangor yang berpuluh tahun tidak berjaya disempurnakan Kerajaan BN.

“Ini kerana, kerajaan dulu pentadbirannya bobrok dan berkepentingan, malah terdapat usaha jahat untuk memiliki tanah yang sepatutnya milik rakyat,” ulasnya lagi.

Pada 12 Mac lalu, seramai 139 penduduk Kampung Seri Tiram Jaya menerima geran tanah daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Yahya mencabar Noh menyelesaikan isu tanah di Kampung Lembah Pantai, Sungai Kajang yang sudah berlarutan lebih 40 tahun.

“Itu dalam kawasan beliau, dalam dua minggu ini, jika benar beliau jaguh rakyat yang hebat seperti di uar-uarkan, selesaikanlah masalah ini,” cabarnya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dalam satu ‘posting’ di laman sosial ‘Facebook’ menyatakan Kerajaan Negeri hanya mengeluarkan geran kepada penduduk, tetapi usaha dan pembayaran premium dilakukan sewaktu zaman BN lagi.

Categories
SELANGOR

Tokoh Ibu Tunggal Besarkan 15 Anak Dengan Jualan Kuih

salbiah tunut ibu mithali permatang 01

TANJUNG KARANG 30 MAC : Kegigihan dan kesabaran mendidik 15 orang anak sehingga berjaya walaupun kehilangan suaminya, telah mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS).

Semalam Miskanah Harun, 67, dianugerahkan Tokoh Ibu Tunggal Unggul, atas bakti dan jasanya membesarkan anak-anaknya dengan hasil jualan kuih di kawasan sekitar Seri Tiram Jaya di sini.

salbiah tunut hari wanita permatang 02Miskanah berkata kesusahan membesarkan 15 orang anak setelah suaminya meninggal 26 tahun lepas sangat memeritkan.

“Tuhan sahaja tahu kesusahan hidup yang dialami. Saya berusaha jual kuih muih untuk menampung perbelanjaan keluarga. Kini anak-anak saya semua sudah berjaya,” katanya ketika ditemui.

Selain Miskanah, dua lagi wanita menerima anugerah masing-masing iaitu Tokoh Ibu Mithali, Tusiah Kajar, 63 dan Tokoh Ibu Rumah Tangga, Musirah Dollah, 62.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang Dipertua PEKAWANIS, Puan Sri Salbiah Tunut. Hadir sama, Penyelaras Dun Permatang, Yahya Sahri.

Menurut Tusiah pula, perkara pertama yang diterapkan dalam diri anak-anak adalah pendidikan agama kerana ia tunjang kehidupan seseorang individu.

“Saya mempunyai 11 orang anak, kesemua berjaya dalam bidang masing-masing,” katanya yang berasal dari Kampung Sungai Yu.

salbiah tunut hari wanita permatang 03Turut menerima anugerah ialah Wanita Usaha Tani, Rozita Askur; Wanita Usaha Niaga, Sarimah Salim dan Wanita Usaha Ternak, Salmi Ismail.

Sementara itu, Salbiah menasihati wanita khususnya di luar bandar supaya berusaha meningkatkan pendapatan sebagai suri rumah.

“Sekarang kita ada membuat program Laman Dapur yang mana kita boleh jana pendapatan pertanian.

“Disamping itu kita juga dapat memanfaatkan hasil bumi (tanah) dengan baik,” katanya yang juga isteri kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor menggalakkan suri rumah menjadi usahawan.

Categories
SELANGOR

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti : Ibu Bapa Tuntut Penyelesaian Kementerian Pelajaran

Harga Makanan Mahal Tidak Berkualiti 01

PETALING JAYA, 15 JAN: Ibu bapa dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menuntut Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyelesaikan isu harga jualan makanan dan minuman di kantin sekolah yang disifatkan mahal dakwa, Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri.

Selain itu, mutu kualiti makanan yang rendah turut menjadi rungutan ibu bapa.

Yahya berkata, harga makanan dan minuman di semua kantin sekolah perlu diselaraskan dengan kualiti yang standard.

Keadaan ini sekaligus dapat memastikan keselesaan pelajar dan meredakan tekanan yang dihadapi ibu bapa.

“Sebagai contoh, beberapa sekolah menjual seketul nugget goreng dengan harga RM0.50 sedangkan di pasar malam boleh didapati pada harga RM1.00 untuk empat atau tiga ketul.

“Segelas air pelbagai perisa yang dibancuh pula dijual dengan harga RM1.00.

“Bila ibu bapa ajukan soalan kepada peniaga kantin mereka menyatakan apa nak buat semua harga barang dah naik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tegas Yahya, perkara ini dapat diselesaikan sekiranya pihak kementerian yang terlibat serta pihak sekolah berbincang secara baik memandangkan perkara ini melibatkan perbelanjaan ibu bapa dalam menguruskan sesi persekolahan anak-anak.

“Bagi mengurangkan kos peniaga, kos sewa kantin boleh dibayar dengan harga cukup minima, kos bil elektrik dan air boleh ditanggung oleh Kemeterian Pelajaran,” ujarnya lagi.

Turut dibangkitkan bersama adalah isu pembelian buku latihan persekolahan bersaiz besar A4 yang wajib dibeli pelajar sedangkan buku tulis rampaian digunakan bagi menyalin nota dan latihan.

Beberapa wakil PIBG menyatakan bahawa pembelian wajib empat buah buku berkenaan dengan harga RM2.40 setiap satu semata-mata demi mencari keuntungan kerana pembekal, Edaran Pro Dinasti didakwa mempunyai hubungan baik kepada Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM).

Penjualan buku ini juga turut mendapat keizinan dan lampu hijau daripada JPN dan KPM.

“Mengikut maklumat yang kami terima, penjualan buku ini melibatkan semua sekolah menengah di seluruh Malaysia dan sebagaian sekolah rendah.

“Mereka memberi anggaran kiraan setiap tahun bilangan pelajar sekolah menengah lebih 2.3 juta, maka anggaran jualan buku yang diterima adalah berjumlah RM19.2 juta dengan anggaran kiraan 2 juta pelajar x RM9.60 (4xRM2.40),” katanya.

Projek Hospital Terbengkalai K Selangor, Satu Lagi Janji “Tidak Ditepati” Umno-BN

hospital tanjng karang demo 01

TANJONG KARANG, 4 JAN : Dua jam untuk hanya mengambil nombor giliran untuk berjumpa doktor dan ruang menunggu yang sesak dan panas, adalah antara kekurangan yang terpaksa dihadapi penduduk di sini apabila ke Hospital Tanjong Karang.

Malah penduduk seperti Norfaezah Ismail, 51, kadang-kadang terpaksa berdiri sambil menunggu untuk mendapat rawatan di hospital yang sudah berusia 46 tahun.

Lebih mengecewakan adalah kesedaran bahawa penduduk di Tanjong Karang, Sabak Bernam dan Kuala Selangor sepatutnya tidak perlu lagi mengharungi situasi tersebut kerana Kerajaan Persekutuan Umno-BN pernah berjanji akan membina hospital baru.

Akan tetapi, selepas 13 tahun, tapak seluas 60 ekar bagi projek hospital baru tersebut di Kampung Sungai hospital tanjong karang 02Terap, Kuala Selangor masih lagi merupakan sebuah ladang kelapa sawit.

Sebuah papan tanda di ladang tersebut yang bertulis “Cadangan Tapak Hospital Kuala Selangor” adalah satu-satunya indikasi yang tapak itu sepatutnya mempunyai sebuah hospital.

Penyelaras Dun Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata Kerajaan Umno-BN sedar mengenai ketidakmampuan Hospital Tanjong Karang yang dibina pada 1966 dan telah merancang untuk membina hospital baru di bawah Rancangan Malaysia Ke-8 pada 1998.

Namun, Yahya berkata, janji pembinaan hospital ini sudah melewati 13 tahun dan masih tidak ada pembinaan di tapaknya yang telah diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Hospital Tanjong Karang yang sedia ada sudah tidak dapat menanggung permintaan populasi penduduk di Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam yang semakin padat.

Kata Yahya, antara rungutan lain adalah kesesakan lalulintas, ruang parkir yang tidak mencukupi, waktu menunggu yang lama dan Kekurangan khidmat pakar.

hospital tanjong karang 01“Kapasiti hospital yang mempunyai 114 buah katil ini terlalu rendah dan hanya memberikan rawatan biasa seperti bersalin dan rawatan bagi pesakit luar.

“Untuk mendapatkan khidmat rawatan lanjut, pesakit perlu pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang ataupun dirujuk ke Hospital Sungai Buloh yang mengambil masa selama sejam perjalanan daripada Tanjong Karang,” katanya ketika ditemuramah di luar hospital berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Misran Serman, 56, berkata pesakit kronik dan warga emas mengalami kesukaran untuk mendapatkan rawatan di hospital sedia ada.

“Pesakit kanser perlu mendapatkan khidmat rawatan susulan di hospital lain kerana hospital ini hanya menyediakan rawatan asas seperti ‘hemodialisis’ dan ‘x-ray’.

?Doktor pakar pula hadir pada waktu tertentu sahaja,” katanya yang tinggal di Sungai Burong, Tanjong Karang.

Mereka mendesak supaya Kerajaan Umno-BN menunaikan janji dan meneruskan projek hospital baru di hospital tanjong karang 03Kampung Sungai Terap.

Selain itu, Yahya turut mendakwa terdapat unsur salah guna kuasa di antara pihak yang terlibat dengan projek hospital baru tersebut kerana ladang kelapa sawit itu masih mengeluarkan hasil walaupun tanah itu telah diberikan kepada kementerian.

Categories
SELANGOR

Pembinaan Dataran Anak Muda Diharap Lahir Jaguh Sukan Negara

TANJONG KARANG, 8 DIS : Pembinaan Dataran Anak Muda di Kampung Parit Serong di sini diharapkan mampu melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang berkaliber dan mampu mengharumkan nama negara.

Penyelaras Pusat Khidmat DUN Permatang, Yahya Sahri berkata, sebelum ini di kampung berkenaan muncul jaguh bolasepak negeri dan negara walaupun tiada kemudahan sukan yang memuaskan.

Sebelum ini, Amri mewakili Selangor sejak tahun 2001 dan digelar sebagai budak emas apabila menjaringkan gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 menentang Sabah dan pada 2005, Amri membantu Selangor memenangi tiga piala.

Kehebatan Amri terserlah selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan Manchester United pada 18 Julai 2009.

“Walaupun dulu tiada padang dan gelanggang futsal di sini tetapi boleh adanya jaguh sukan.

“Hari ini kita sediakan gelanggang futsal maka kita mahu melihat dalam tempoh lima tahun ada jaguh yang muncul di sini,” kata Yahya.

Ujar beliau, anak muda perlu berani turun ke gelanggang dan bukan hanya melihat apa sahaja yang berlaku.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata, pembinaan dataran anak muda di seluruh Dewan Negeri Selangor (DNS) melalui Geran Selangorku bagi menggalakkan aktiviti sihat di kalangan generasi muda.

“Dataran Muda ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh semua dengan aktiviti bermanfaat yang boleh digerakkan oleh pemimpin setempat dan penggerak belia tempatan,” kata Yunus.

Beliau berkata demikian semasa ucapan di Program Santai Desa D’ Parit Serong yang diadakan di Dataran Anak Muda DUN Permatang Kampung Parit Serong di sini.

Beliau juga mengharapkan kemudahan ini ditambah dengan sistem wifi percuma dan pelbagai program boleh diadakan di sini seperti program siaran secara langsung acara sukan dan program-program keagamaan.

Pengerusi JKKK Kampung Parit Serong, Azahari Mardzuki berkata, Dataran Anak Muda yang dibina di sini penting untuk pembangunan sukan belia di sini yang sebelum tiada kemudahan tersebut.

Ujarnya, dengan siapnya dataran anak muda itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk menggerakkan generasi muda melaksanakan aktiviti yang berfaedah.

“Polisi yang prorakyat ini memberikan manfaat kepada masyarakat di kampung ini,” katanya.

Dataran Anak Muda di situ dibina dengan peruntukkan RM160,000 yang menyediakan kemudahan gelanggang sepak takraw, badminton, bola tampar, futsal, pentas dan tandas.

Categories
SELANGOR

Selangor Perluaskan ‘Natural Farming’, Jana Lebih Keuntungan Untuk Petani

BESTARI JAYA, 8 OKT : Kaedah pertanian ‘natural farming’ atau pertanian semula jadi yang diperkenalkan Jabatan Pertanian Selangor akan diperluaskan bagi meningkatkan pendapatan golongan petani di Selangor.

Pada masa ini, Selangor satu-satunya negeri yang melaksanakan kaedah pertanian ini yang dimulakan di Korea Selatan.

Kaedah itu mampu mengurangkan kos pertanian sehingga sehingga 70 peratus.

Selain itu ia juga dikatakan baik untuk kesihatan disebabkan menggunakan teknik semulajadi untuk menghalang serangan serangga dan memastikan penggunaan bahan kimia pada tahap minima berbanding pertanian konvensional.

Demikian menurut Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam Dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dalam ucapannya ketika melawat ladang penanaman tembikai batu di Taman Agroteknologi Bestari Jaya hari ini.

Menurut Dr Yaakob, kaedah tersebut selain sesuai untuk penanaman tembikai batu, ianya turut sesuai untuk jenis pertanian lain.

“Kita telah berjaya di sawah. Sebahagian dari sayuran kita dan di sawah secara kecil-kecilan tidak menggunakan racun lagi,” kata Dr Yaakob.

Dr Yaakob juga menyatakan, kerajaan negeri mensasarkan kaedah ‘natural farming’ ini akan diaplikasikan oleh seluruh petani di negeri ini dalam jangkamasa tiga tahun lagi.

Menurut Dr Yaakob, kaedah pertanian semulajadi itu juga memberikan penjimatan kos yang tinggi bagi setiap musim dan lebih bernilai berbanding pemberian ‘one-off’ sperti BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia).

Menurut seorang pengusaha tanaman tembikai batu Norhisham Ramlan, beliau hanya mengeluarkan kos RM 300 sahaja setiap musim untuk ladangnya.

Berbanding dahulu, di mana beliau terpaksa membelanjakan
RM 1,500 untuk racun dan baja kimia bagi satu musim yang mengandungi 1,200 pokok.

Terdahulu, dalam majlis yang dihadiri oleh kira-kira 50 orang itu, Dr Yaakob turut sempat melawat ladang penanaman tembikai batu yang diusahakan Norhisham.

Dalam sama dalam lawatan setengah hari itu, beliau turut diiringi Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dun Permatang, Yahya Sahri.

Categories
SELANGOR

Tingkat Rondaan Bagi Cegah Kecurian Alatan Pertanian

SHAH ALAM, 5 OKT : Polis disaran meningkatkan kekerapan rondaan dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan kampung di  ekoran aduan penduduk bahawa berlaku peningkatan kes kecurian barangan pertanian seperti baja, racun dan alat bersawah.

Penyelaras Pusat Khidmat DUN Permatang, Yahya Sahri berharap polis dapat mengadakan pondok-pondok kawalan yang ditempatkan di kawasan strategik di kawasan kampung bagi meningkatkan pemantauan dari masa ke semasa.

“Kita minta polis selepas mendapat tambahan peruntukan Belanjawan 2013 agar dapat mengadakan pondok-pondok itu yang dapat bertindak pantas,” katanya.

Yahya berkata, beliau mencadangkan agar Kerajaan Pusat dapat menerima cadangan daripada Kerajaan Negeri untuk mewujudkan Polis Bantuan sendiri bagi meningkatkan keselamatan aset-aset  negeri dan juga keselamatan rakyat.

Dalam masa yang sama juga Yahya berharap masyarakat kampung juga boleh mengambil inisiatif sendiri untuk mengaktifkan Biro Keselamatan Kampung bagi mengatasi masalah itu.

“Apabila Biro Keselamatan Kampung ini diaktifkan, kita berharap polis dapat memberikan pengiktirafan dan sokongan daripada segi kemudahan peralatan dan latihan.

“Ada baiknya mereka yang terlibat dalam Biro Keselamatan ini diberikan sedikit imbuhan,” kata Yahya ketika dihubungi TVSelangor.

Jelas Yahya, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan bantuan kepada pesawah supaya dapat meringankan bebanan yang mereka hadapi.

Sebelum ini, media melaporkan 30 pesawah menanggung kerugian kira-kira RM60,000 di kawasan Tanjong Karang apabila input pertanian seperti baja dan racun dicuri setiap kali tiba musim menanam padi.

Difahamkan, pesawah bimbang memandangkan insiden kecurian kerap berlaku pada siang hari setiap kali musim menanam padi bermula.

Pesawah mendakwa, pencuri licik mencuri input pertanian yang disimpan di luar dan dalam rumah ketika mereka menjalankan kerja mencalit atau menabur benih pada petak sawah pada siang hari.