Categories
SELANGOR

MB : Gaji ADUN berbaki RM500 tanpa pelarasan gaji

Oleh : Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 4 DIS : Gaji yang diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor hanya berbaki RM500 dan tidak mencukupi bagi menampung keperluan keluarga masing-masing jika pelarasan gaji tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan, baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perkara itu berlaku apabila perbelanjaan berbentuk sumbangan harus dihulurkan wakil rakyat terbabit kepada masyarakat setempat yang diwakili mereka.

Khalid Ibrahim“ADUN bergaji RM6,000 dan hampir setiap minggu perlu dibelanjakan RM500 untuk sumbangan orang kahwin, orang datang pejabat dan orang meninggal dunia. Keseluruhan sumbangan sebulan mencecah RM2,000 dan hanya tinggal RM4,000.

“Bayar kereta, rumah dan bayaran lain mencecah RM2,000, manakala kena beri kepada parti RM1,000. Beli baju kalau yang mementingkan gaya sudah RM500, tinggal RM500 duit untuk anak sekolah dan perbelanjaan keluarga. J

“Jadi, bagaimana dia ingin berbelanja dan sebab itu saya menaikkan gaji kerana susah untuk ADUN bekerjaa,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel Kenali Kampungku/Bagan/Tersusun bagi peringkat Hulu Selangor dan Sabak Bernam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, hari ini.

DSC_0054aAbdul Khalid berkata, keputusan menaikan gaji mampu mengurangkan risiko pembabitan pemimpin kerajaan yang sering terdedah dengan gejala rasuah.

“Saya tidak mahu ADUN kekurangan duit untuk menjaga masyarakat setempat. Nanti, kalau dia pergi pula minta pada tauke atau sana sini. Hal ini akan menjadi sangat susah dan negeri juga akan turut terpalit dengan masalah terbabit,” katanya.

Sebelum ini, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, langkah menaikkan gaji mampu membendung Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan ADUN Selangor terjebak dengan gejala rasuah mengikut perspektif Islam.

“Kalau soal akauntabiliti itu sudah ditekankan dan kemudian dinaikkan gaji sebagai salah satu langkah mengangkatnya, maka itu tidak menjadi masalah. Tidak kira sama ada Menteri Besar, ADUN atau Ahli Parlimen boleh dinaikkan gaji kalau benar terbukti mereka tidak pernah ambil sebarang keuntungan lain, selain gaji yang diterima,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penyertaan aktif ADUN pembangkang positif untuk demokrasi

Oleh : Lizawati Madfa

PETALING JAYA 3 DIS : Penyertaan aktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sepanjang persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) lalu dilihat sebagai perkembangan sihat yang dinantikan, sejak 2008.

Exco Kanan Negeri yang juga mantan Speaker, Datuk Teng Chang Khim, berkata perkembangan itu juga membuktikan bahawa usaha yang dilaksanakan Pakatan Rakyat (PR) dalam menyubur demokrasi di Selangor akhirnya membuahkan hasil.

10aKatanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan penyertaan sepenuhnya daripada setiap ADUN sama ada daripada pihak kerajaan atau pembangkang sejak penggal pertama lagi.

“Pada penggal kedua ini, nampaknya pembangkang tergerak hati untuk lebih aktif dan proaktif dalam usaha mereka memastikan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa dikawal, diselia dan dipantau dewan.

“Ini memang bagus kerana setiap ahli dewan itu mempunyai peranan yang sama atas nama demokrasi yang sebenarnya,” katanya.

Beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor berkata demikian bagi mengulas berhubung penyertaaan 12 ADUN BN dalam sidang DNS yang berakhir, 2 Disember lalu.

Katanya, kerajaan negeri melalui DNS dalam proses untuk meminda peraturan tetap bagi mewajibkan pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) disandang ketua pembangkang.

“Sebenarnya sebelum ini, dua kali kita usulkan untuk ketua pembangkang mempengerusikan PAC namun ditolak. Jadi kita terpaksa meminda peraturan supaya tawaran jawatan itu tidak boleh ditolak lagi,” katanya.

Semalam, Speaker Dewan, Hannah Yeoh dalam sidang media bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut memuji penyertaan baik ADUN BN terutama Shahrum Mohd Sharif (Dengkil) sepanjang sidang DNS dan komitmennya menyediakan salah satu laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JPK-ABAS).

-NFN-

Sambutan Aidiladha 1434H bersama Sultan Selangor


 

Sinopsis

Lebih 5,000 umat Islam bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menunaikan solat sunat Aidil Adha di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang bermula kira-kira jam 8.30 pagi.

Sebanyak 39 ekor lembu termasuk dua sumbangan baginda dikorbankan di masjid ini, seterusnya diagihkan kepada semua asnaf yang layak di sekitar Shah Alam.

Manakala, Kerajaan Negeri menyumbangkan 753 ekor lembu yang bernilai RM2.25 juta untuk diagihkan ke setiap daerah, masjid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di seluruh negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno-BN hanya Beri Geran Tanah Kepada Penyokong

william

RAWANG : 26 APRIL : Rakyat di kawasan Batu Arang terpaksa berdepan sentimen ‘politik ugut’ yang diamalkan pimpinan Umno-BN berhubung pemberian milikan geran tanah di kampung itu sejak berpuluh tahun lamanya.

Ini kerana, Umno-BN didakwa hanya akan menyerahkan geran tanah kepada mana-mana pihak yang menyokong parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU).

Menurut Ketua Kampung Batu Arang, Rosli Mohd Sharif, tindakan itu sama sekali berbeza dengan pendirian Pakatan Rakyat (PR) yang tidak menilai berdasarkan fahaman politik bagi menyelesaikan isu tersebut.

“Kita dapati banyak geran tidak dikeluarkan sejak tahun 2000 kerana Umno-BN mengamalkan politik ugut di mana geran hanya akan dikeluarkan semasa PRU dan diserahkan kepada sesiapa yang menyokong parti itu sahaja.

“Apabila PR sudah berjaya memerintah Selangor, beratus-ratus geran tanah berjaya dikeluarkan kurang dalam tempoh lima tahun pemerintahan. PR bantu rakyat tanpa kira kaum dan parti,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan PKR Batu Arang, di sini.

Tambahnya, sejak PR mengambil alih tampuk pemerintahan di Selangor, lebih 500 geran tanah berjaya diserahkan kepada penduduk setempat, manakala 600 permohonan lagi bakal selesai dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, penyandang Parlimen Selayang, William Leong berkata, teknik bancian dari rumah ke rumah digunakan bagi mengenalpasti penduduk atau pemilik tanah yang mendiami kawasan itu sebelum diserahkan geran.

Jelasnya, masalah yang berlarutan lebih 20 tahun ini berjaya diselesaikan PR dalam tempoh singkat dan turut membabitkan beberapa kawasan lain di seluruh Selayang.

“Oleh sebab itu, Menteri Besar mengarahkan semua ahli Parlimen dan Adun untuk membuat bancian siapa yang layak menerima geran tanah dan benar-benar menetap di situ,” ujarnya.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim Siang Chai  sebelum ini mendakwa penduduk di kawasan Batu Arang berdepan masalah permohonan geran tanah meskipun lama memohon kepada Kerajaan PR.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 10,000 Masalah Pemilikan Tanah Berjaya Diselesai Kerajaan PR Selangor

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 01

TANJONG KARANG 12 MAC : Lebih 10,000 masalah berhubung pemilikan tanah berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sejak lima tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, permohonan pemilikan tanah juga makin meningkat ekoran penambahbaikan dalam sistem permohonan yang lebih cekap dan efisien dengan menggunakan sistem komputer.

Kini katanya, sistem berkenaan sudah difahami secara keseluruhannya bagaimana ia berjalan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang yang diadakan di Dewan Seri Tiram Jaya di sini.

Dalam majlis itu sebanyak 188 geran hakmilik diberikan kepada 139 penduduk Kampung Seri Tiram Jaya yang keseluruhannya melibatkan keluasan 204 ekar tanah.

“Masyarakat di Kampung Seri Tiram Jaya diperingatkan untuk menjaga pemilikan harta tanah itu dengan dengan baik bagi kepentingan masa depan keluarga mereka dengan tidak menjualnya tanpa mempunyai perancangan yang baik,” kata Abdul Khalid.

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 02Turut hadir dalam majlis itu, ADUN Bukit Melawati, Ir Muthiah Pillay dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan.

Menurut Ketua JKKK Kampung Seri Tiram Jaya, Mohamad Feroji Kemat berkata, penduduk menyatakan kesyukuran dengan pemberian hakmilik tanah yang diteroka pada tahun 1970-an.

Ujarnya, pemberian hakmilik ini membuktikan keupayaan Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah yang berlarutan itu hasil kesungguhan mereka bagi menghargai hasil pengorbanan para peneroka yang membuka kawasan itu.

“Kita rasa bangga dengan ketekunan pegawai pentadbir yang prihatin dengan masalah tanah itu di mana dengan usaha tidak sampai lima tahun akhirnya penduduk dapat hak milik tanah sendiri.

“Jika tiada kesungguhan para pegawai maka geran itu tidak akan siap,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri berkata, penyelesaian masalah pemilikan tanah itu membuktikan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh dalam memberikan keutamaan kepada hak kebajikan rakyat.

Ujarnya, keupayaan Pejabat Tanah Dan Daerah Kuala Selangor mempercepatkan proses menyelesaikan masalah tanah ini adalah disebabkan tidak wujud campurtangan politik yang memudahkan urusan itu diselesaikan segara.

“Pemberian hakmilik ini diberikan kepada yang berhak tanpa sebarang kepentingan politik yang mana mereka menerokanya sebelum ini, ia menunjukkan ketelusan dan keikhlasan Kerajaan Negeri dalam memberikan hak milik tanah.

“Kita memilih tarikh 12 Mac ini sebagai genapnya Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar lima tahun lepas yang menunjukkan ini adalah sebuah kerajaan reformasi yang melaksanakan perubahan dalam pentadbiran,” kata Yahya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Bincang Bubar Dun Awal

suk pakatan selangor

SHAH ALAM, 13 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid akan mengadakan pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat minggu ini bagi membincangkan cadangan pembubaran Dun Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei.

Menurut Abdul Khalid, hasil perbincangan akan diumumkan kelak memandangkan kepimpinan negeri mula kembali bertugas selepas perayaan Tahun Baru Cina.

“(Pengesahan pembubaran dan pertemuan) belum lagi (diputuskan), itu akan diumumkan selepas perjumpaan dalam minggu ini,” jawabnya ringkas.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menaytakan hasrat akan membubarkan DUN Selangor lebih awal jika Kerajaan Persekutuan masih tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai tarikh parlimen akan dibubarkan.

Kerajaan Negeri berpendirian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak boleh dilengah-lengahkan lagi dan sedia membubarkannya lebih awal memberikan mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baru.

Sebelum ini Abdul Khalid berkata tujuan Kerajaan Negeri hendak bubar lebih awal adalah untuk memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengumumkan pemburan lebis awal.

Adun BN Batang Kali Didapati Bersalah Keluar Kenyataan Berbaur Seksis

SHAH ALAM, 30 NOV : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini mendapati Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong pada 22 November lalu.

Ekoran itu, Isa dikenakan denda sebanyak RM1,000 melalui potongan Elaun Khas Ahli Dewan Negeri.

Keputusan itu ditetapkan Speaker DNS, Datuk Teng Chang Khim setelah mengambil kira persetujuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usul pindaan berhubung mengenakan denda kepada Isa.

“Bahawasanya dewan yang mulia ini mengambil ketetapan untuk mengenakan denda RM1,000 yang akan dipotong dari Elaun Khas Ahli Dewan Negeri ke atas Adun Kawasan Batang Kali terhadap kenyataan seksis yang dikeluarkan oleh beliau terhadap Adun Bukit Lanjan pada 22 November 2012 semasa sesi penggulungan Yang Berhormat Bukit Lanjan yang berbunyi “…(Tapi) jangan sampai terlupa jaga hutan kita sendiri”,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu dipertikaikan Isa dengan mendakwa Speaker tidak berlaku adil terhadapnya ekoran kenyataannya tempoh hari tidak melanggar mana-mana peraturan tetap dewan.

Namun, Teng menegaskan tindakan itu adalah adil berdasarkan Peraturan 36(4) di mana Adun dilarang untuk menggunakan bahasa biadap.

“Bagi saya itu mencukupi untuk membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah berbaur seksis,” ujarnya.

Usul berkenaan dibawa Gan Pei Nei (PKR-Rawang) dan disokong oleh kumpulan penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tidak puashati dengan keputusan usul tersebut Adun-adun BN bertindak keluar dewan sebaik Speaker membacakan keputusannya.

Categories
SELANGOR

Teng : Peraturan Sedia Ada Memadai Untuk Mengawal Kelakuan, Perkataan Tidak Sopan

SHAH ALAM 27 NOV : Dewan Negeri Selangor (DNS) berpendirian peraturan sedia bagi menangani istilah tidak sopan sudah memadai untuk mengawal disiplin dan kelakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di dalam persidangan.

Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim berkata peraturan tersebut tidak perlu ditambah atau dipinda bagi mengambil tindakan terhadap Adun yang mengeluarkan kata-kata seksis.

“Saya rasa istilah atau kata seksis diucapkan boleh dianggap termasuk dalam istilah sama macam biadap dan semua Adun tahu mereka tidak boleh mengucapkan kata-kata seperti itu.

“Bagi saya sama. Jadi tidak perlu sebarang pindaan terhadap perkara 36(4) atau diwujudkan peraturan baru untuk tindakan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam sidang Khamis lalu, Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN – Batang Kali) mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong membuat pengulungan tentang status hutan simpan di kawasan Taman Templer.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan bahawa satu usul akan dikemukakan dalam sidang Parlimen untuk meminda peraturan parlimen bagi melarang Ahli Parlimen daripada membuat kenyataan seksis.

Dalam perkembangan lain, Teng menyatakan DNS sedang dalam perancangan membina laman sesawang sendiri dan ia dijangka dimulakan pada tahun depan.

Categories
SELANGOR

Penduduk Pulau Ketam Terima Pemeriksaan Mata

PELABUHAN KLANG 24 NOV : Penduduk Pulau Ketam khususnya warga emas menerima pemeriksaan mata secara percuma melalui program yang dianjurkan oleh Pusat Perubatan Pakar KPJ Klang dengan kerjasama CIMB Berhad pada hari ini.

Program yang diadakan di balai raya Pulau Ketam itu dihadiri kira-kira 200 penduduk serta kakitangan KPJ yang terdiri daripada doktor, pegawai perubatan, dan pegawai CIMB.

Pengurus program, Zaharah Osman berkata, sokongan dan penglibatan kakitangan KPJ Klang memberikan impak yang besar terhadap program berkataan.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu dan memberikan kesedaran kepada mengenai penjagaan mata dan kesihatan secara keseluruhan.

“Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk bagi mendapatkan pemeriksaan mata.

“Kami merasa gembira kerana semua kakitangan memberikan komitmen yang baik terhadap program ini,” katanya ketika ditemui.

Program ini dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali yang juga merupakan Adun Selat Klang.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri ingin melihat lebih banyak lagi syarikat-syarikat swasta memberikan khidmat sosial kepada penduduk khususnya di kawasan padalaman.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PM Tak Payah Tunggu Pilihanraya Nak Batalkan Projek Kondo Batu Caves

SHAH ALAM, 19 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak boleh terus membatalkan projek kondominium di Batu Caves tanpa perlu menunggu saat mengambilalih pentadbiran Selangor.

Sekiranya Najib benar-benar jujur, beliau boleh menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memberhentikan projek itu kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew.

“Beliau boleh membatalkan permit penjualan dan iklan projek (sales and advertising permit) sebab projek pembinaan 29 tingkat kondominium ini adalah “service apartment”.

“Kalau Perdana Menteri benar-benar jujur dan ikhlas mahu memberhentikan projek ini, dia hanya perlu membatalkan permit berkenaan.

“Atau cara yang lain, dia boleh memberi arahan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membatalkan lesen pemaju.

“Setiap pemaju perlukan lesen sebelum membuat sebarang projek pembinaan.

“Dalam perkara ini bila menteri berkaitan menerima arahan dari Perdana Menteri maka tiada sebarang projek boleh dijalankan,” katanya dalam sidang media selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Ronnie menjelaskan Najib tentunya memaklumi akan perkara itu atau sengaja “buat tak tahu” akan perkara itu.

Projek pembinaan kondominium 29 tingkat itu telah diluluskan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semasa pentadbiran Umno-BN pada 2007.

Pada bulan lalu, masyarakat Hindu mengadakan demonstrasi di kompleks kuil Batu Caves dan mendesak agar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat membatalkan projek itu.

Dalam majlis sambutan Deepavali di Batu Caves pada 13 November lalu, Najib mengumumkan Umno-BN akan membatalkan projek tersebut sekiranya gagasan itu kembali mentadbir Selangor.

Dalam masa sama, Ronnie, yang juga Adun Pandamaran berkata, Kerajaan Negeri memang berhasrat untuk membatalkan projek tersebut tetapi ia perlu mengikut prosedur yang betul.

Categories
SELANGOR

Skim Ceria : 71 Pangsapuri Terima Manfaat

SHAH ALAM 19 NOV : Sejak diperkenalkan pada 2011, sehingga kini Skim Ceria memberi manfaat kepada 71 pangsapuri seluruh Selangor yang melibatkan kos sejumlah RM 9.7 juta.

Exco Perumahan,Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) pagi tadi memberitahu Skim Ceria tersebut diaplikasikan kepada dua jenis pangsapuri iaitu Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah.

Bagi Fasa Satu pada tahun 2011, hanya 17 pangsapuri kos rendah menerima bantuan program Skim Ceria.

Manakala untuk Fasa Kedua tahun 2012 pula, sebanyak 43 pangsapuri kos rendah dan 9 pangsapuri kos sederhana rendah menerima manfaatnya.

Sementara bagi Fasa Ketiga tahun ini melibatkan dua pangsapuri kos sederhana rendah.

Selain itu, Iskandar ketika menjawab soalan daripada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai skim ini memberitahu Kerajaan Negeri juga merangka beberapa program menaiktaraf skim ini.

“Antaranya, Kerajaan Negeri menganjurkan program turun padang berbentuk pendidikan kepada pemilik pangsapuri iaitu Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni bertemakan Anti Vandalisme.

“Khusus bagi penjagaan lif yang telah dibaikpulih, Kerajaan turut melaksanakan kaedah pemasangan CCTV dan program bancian lif dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP),” jelas Iskandar yang juga Adun Cempaka.

Skim Ceria merupakan satu skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Skim ini juga bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap unit dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa yang panjang.

Categories
NASIONAL

Pulau Pinang Luluskan Undang-undang ‘Anti Lompat Parti’

GEORGETOWN, 1 NOV : Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang telah meluluskan Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 untuk membanteras budaya lompat parti di negeri itu.

Undang-undang tersebut memperuntukan bahawa seseorang ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia melepaskan atau dilucutkan keahliannya, atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa jua sebab.

Ia juga menyatakan seorang ahli yang dipilih sebagai calon bebas hendaklah mengosongkan kerusinya sekiranya dia menyertai suatu parti politik.

Ia juga memperuntukkan sekiranya seorang ADUN bertukar parti politik, kerusinya akan dianggap kosong secara automatik.

Bila ini berlaku, Yang di-Pertua Dewan hendaklah memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya akan kekosongan itu.

Berucap di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata pindaan tersebut bagi menegakkan integriti dan akauntabiliti awam serta memulangkan kuasa demokratik untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat kepada rakyat.

“Rakyat berhak untuk memilih ataupun untuk menolak sesebuah kerajaan atau seseorang wakil rakyat melalui pilihan raya yang bebas dan adil.

“Siapa menjadi wakil rakyat dan siapa membentukkan kerajaan, inilah perkara-perkara yang hendaklah diputuskan oleh rakyat dalam pilihanraya yang bebas dan adil,” kata Guan Eng.

Pindaan tersebut mengecualikan keadaan di mana seorang ADUN berhenti daripada menjadi ahli parti politiknya akibat pembubaran atau pembatalan pendaftaran partinya.

Atau seorang ADUN melepaskan keahlian partinya atas sebab pemilihannya sebagai Yang di-Pertua Dewan.