Anwar akui ‘terlanjur’ tegur pentadbiran Abdul Khalid

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Teguran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertujuan untuk penambahbaikan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

2. Kerajaan negeri disaran mengenakan bayaran kepada warga asing bagi perkhidmatan bas awam percuma.

3. Universiti Selangor (UNISEL) menjadi universiti pertama di Malaysia yang mewujudkan Televisyen (TV) internet iaitu TV UNISEL.

4. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan kenaikan 300 peratus kadar Cukai Taksiran Nilaian Tahunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai keterlaluan.

5. Selangor tidak berhasrat mengikuti langkah Kelantan, Kedah dan Johor menjadikan Jumaat dan Sabtu sebagai hari cuti mingguan menggantikan Sabtu dan Ahad.

6. Masyarakat disarankan mempertingkatkan penjagaan kebersihan bagi mengelakkan penularan wabak demam denggi.

7. Tindakan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Panjang) merujuk‘hansard’ Dewan Negeri Selangor (DNS) yang lama bagi mengulas isu kutipan hasil pasir disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

8. Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan satu Pusat Dialisis Rakyat (PDR) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi memenuhi keperluan rakyat.

9. Kira-kira 164 penjaja pasar pagi di Taman Sri Muda akan di pindahkan ke pasar baru yang akan dibina Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dalam masa terdekat.

Categories
NASIONAL

Peguam Negara Perlu Tumpu Kes Jenayah Bukan Dakwa Pemimpin PR

Anwar PC

PETALING JAYA 29 JULAI :Peguam Negara didakwa melakukan pendakwaan terpilih apabila secara langsung terlibat dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan ini dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Tan Sri Abdul Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila pemimpin PR didakwa di mahkamah.

Tegas Anwar, tanggungjawab asal Peguam Negara ialah menangani kes-kes yang lebih besar seperti salah guna kuasa dan keganasan jenayah.

“Adalah kurang wibawa Jabatan Peguam Negara, saya rasa ada motif tidak sihat dan mereka mahu melafazkan dendam kesumat apabila semua kes baik di pihak sebelah sana atau sini, semuanya hendak diuruskan dan menyinggungkan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang medianya di Ibupejabat PKR pagi tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke didakwa gagal mematuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad untuk memperoleh kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok.

Mereka didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan Black505 itu.

Menurut Anwar, dakwaan hari ini yang dikenakan terhadap 33 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan adalah contoh lain terhadap penyalahgunaan kuasa yang dilakukan secara jelas dan terang-terangan oleh Peguam Negara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kuota Jualan Bumiputera Datum Jelatek Lebih Tinggi Daripada Projek Kerajaan Persekutuan

MB DATUM JELATEK pc blue 01

SHAH ALAM 3 JULAI : Kuota jualan kepada pembeli bumiputera di projek kondominium bercampur Datum Jelatek oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) lebih tinggi daripada kuota bumiputera yang ditawarkan oleh projek yang dikendalikan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan bahawa Datum Jelatek tidak memberi keutamaan kepada rakyat asing malah PKNS sudah menetapkan sebanyak 50 peratus daripada unit akan dijual kepada Bumiputera.

“Walaupun projek Datum Jelatek bersebelahan dengan Kuala Lumpur tetapi terdapat projek bersebelahan dengan Datum Jelatek yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kerajaan Persekutuan.

?Tetapi tawaran 30 peratus sahaja diberikan kepada Bumiputera. Namun, Kerajaan Negeri meminta PKNS menetapkan lebih 50 peratus ditawarkan kepada Bumiputera yang terdiri daripada 337 unit.

?Setakat ini, sebanyak 1,029 permohonan Bumiputera diterima untuk dinilai,” katanya yang menjawab pertanyaan mulut daripada Adun Sri Muda Shuhaimi Shafei (PKR) di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Abdul Khalid menyangkal dakwaan bahawa komuniti Melayu di kawasan Jelatek, Kuala Lumpur terpinggir akibat projek pembangunan bercampur itu.

Sebaliknya penduduk Melayu yang menjual unit pangsapuri kos rendah mereka kepada PKNS untuk memberi laluan kepada Datum Jelatek menerima keuntungan berlipat kali ganda apabila dibayar RM 300,000.

Manakala harga asal pangsapuri kos rendah mereka hanya sekitar RM 20,000.

Selain itu Abdul Khalid juga berkata Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan permohonan 14 pemilik asal rumah kos rendah itu yang tidak bersetuju dengan tawaran harga daripada PKNS.

Pembayaran kepada peneroka asal sudah dilakukan, namun terdapat 14 pemilik tidak bersetuju walaupun sudah diluluskan oleh mahkamah.

“Terdapat 14 pemilik yang asalnya tidak bersetuju tapi saya rasa mereka sudah tentu akan membuat permohonan supaya harga yang ditawarkan kepada mereka sama dengan mereka-mereka (pemilik) yang sudah dapat,” katanya

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga mengarahkan PKNS untuk memberikan penjelasan kepada penduduk berhubung projek itu secara berterusan.

Categories
NASIONAL

Harris: Desak Polis Bebas Segera Tahanan

KUALA LUMPUR 24 JUN : Pengerusi Asalkan Bukan Umno(ABU) Harris Ibrahim mengesa polis membebaskan rakan-rakan mereka yang berhimpun di depan bangunan Parlimen pagi tadi,

“Kita akan sediakan guaman dan sekiranya mereka yang ditahan masih belum dilepaskan oleh polis, kita akan mengadakan bantahan di hadapan Balai Polis Jinjang, malam ini,” katanya.

blackout505 padang merbok

Dalam demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen tadi, kira- kira 26 individu ditahan polis termasuk seorang perempuan.

Bantahan yang disertai kira-kira 150 orang lagi mengadakan protes dengan berbaring di atas jalan berkenaan sejak jam 10 pagi ini.

Keadaan bertukar tegang kira-kira sejam kemudian apabila kumpulan tersebut, yang antara lainnya dipimpin aktivis siswa Adam Adli, cuba melepasi sekatan polis yang berkawal di kedudukan kira-kira 800 meter dari pintu pagar Parlimen.

Dalam pada itu, Harris menjelaskan perkhemahan Blackout 505 sebulat suara untuk menghentikan aktiviti perkhemahan di Padang Merbok yang mendesak pimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletak jawatan.

Menurut Haris pihaknya dan beberapa pertubuhan NGO yang lain akan membincangkan tindakan seterusnya dalam masa beberapa hari lagi.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak bermakna NGO terbabit mengalah dengan pihak berkuasa.

harris ibrahim“Pagi tadi kira-kira jam 4.30 pagi, pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama polis bertindak merampas khemah kami.

“Tetapi kami tenang sebab kami sudah sebulat suara untuk menamatkan perkhemahan ini. Kami izinkan mereka mengambil khemah tanpa sebarang tentangan,” katanya kepada Tv Selangor ketika ditemui di Padang Merbok.

Semalam DBKL mengarahkan peserta perhimpunan itu menanggalkan khemah mereka kerana tindakan mendirikan khemah di tempat awam, menyalahi Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 iaitu berkumpul tanpa permit dan kesalahan mendirikan khemah mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Bagaimanapun, peserta masih lagi mendirikan khemah semula sebelum DBKL bertindak merampas kira -kira 50 khemah pagi tadi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Keluarga Mendiang Dharmendren Terharu Dikunjungi Abdul Khalid

MB ziarah balu dramendren

BANDAR TUN RAZAK, 16 JUN: Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid meluangkan masa meziarahi keluarga mendiang N Dharmendran yang meninggal dunia ketika di dalam tahanan polis bulan lalu.

Kehadiran Abdul Khalid disambut isteri mendiang, Marry Maria Susay serta ahli keluarga di kediaman mereka bertempat di PPR Taman Mulia.

Beliau yang ditemui sejurus lawatan berkenaan menyatakan kesedihan dengan apa yang berlaku dan berharap kes berkenaan mendapat pembelaan sewajarnya.

Apa yang penting menurut Abdul Khalid, pembelaan untuk masa depan anak dan keluarga perlu diberikan keutamaan.

“Satu perkara yang saya lihat dan penting adalah masa depan anak dan keluarga. Kedua penempatan mereka oleh kerana mereka duduk di sini atas ihsan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan menyewa disini.

“Mereka mesti dapat pendapatan supaya dapat meneruskan kehidupan di sini,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Sementara itu, Marry Maria yang ditemui melahirkan rasa terharu di atas kesudian Tan Sri Abdul Khalid mengunjungi keluarga beliau memandangkan mereka masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Menurutnya, cara kehidupan beliau dan keluarga berubah selepas kematian Dharmendran yang selama ini memikul tanggungjawab keluarga terutama dalam urusan perbelanjaan.

“Dulu suami saya jaga kesemuanya. Sekarang dia tiada susah sikit.

“Dia (Dharmendran) tidak pernah susahkan saya. Sedikit demi sedikit kena tukar cara hidup,” katanya.

Tambah Marry, beliau sedang mempertimbangkan untuk mencari pekerjaan untuk menampung perbelanjaan bulanan selain terpaksa membayar sewa rumah berjumlah RM124.

Buat masa ini perbelanjaan beliau dibantu oleh pihak keluarga.

Dharmendran dilaporkan ditahan polis selepas membuat laporan polis susulan satu pergaduhan yang melibatkan dirinya pada 11 Mei.

Isteri dan ibu bapanya hanya mengetahui mengenai penahanan tersebut pada 19 Mei dan mengunjungi Dharmendran di lokap polis.

Beliau sepatutnya dibebaskan dengan jaminan pada 21 Mei namun Marry Mariay Susay (isteri) menerima panggilan yang menyatakan bahawa Dharmendran telahpun meninggal dunia.

Categories
NASIONAL

Rafizi Dakwa DBKL Tunduk Tekanan Politik Umno-BN

rafizi perhimpunan

SHAH ALAM 11 JUN : Tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tidak memberikan jawapan jelas mengenai penggunaan Padang Merbok pada 23 Jun depan didakwa kerana terpaksa tunduk kepada tekanan politik Umno-BN.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, acara pada 23 Jun tidak melibatkan Padang Merbok dengan bermula dan berakhir di Dataran Merdeka, maka tidak ada alasan untuk tidak membenarkan himpunan aman #black505 berlangsung di Padang Merbok pada 22 Jun.

Katanya, Sekretariat Pakatan mendapat makluman bahawa DBKL menolak permohonan menggunakan padang itu melalui surat yang difakskan.

“Saya dan rakan-rakan Pakatan Rakyat akan hadir berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur pada 14 Jun, tetapi kami tidak akan berganjak dari keputusan mengadakannya di Padang Merbok pada 22 Jun.

“Apatah lagi apabila terbukti padang itu tidak digunakan pada hari Sabtu dan Ahad minggu itu,” kata Rafizi dalam kenyataan medianya.

olympiccouncilfbKatanya, sebelum ini alasan permohonan itu ditolak bahawa Padang Merbok diperlukan pada 22 Jun sebagai persiapan kepada satu acara yang dianjurkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada keesokan harinya iaitu 23 Jun.

Ujarnya, pendirian pimpinan Umno-BN bahawa perhimpunan aman hanya boleh diadakan di tempat tertutup seperti stadium adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan hak berhimpun secara aman di semua tempat-tempat awam

routeJika pendirian pimpinan Umno-BN ini digunapakai, maka tidak ada majlis atau acara yang boleh dibuat di tempat terbuka dan akta itu perlulah ditukar namanya menjadi ‘Akta Perhimpunan Aman Dalam Stadium Sahaja’.

“Alasan bahawa perhimpunan akan menyebabkan kesesakan jalan raya tidak boleh dipakai kerana Larian Olimpik McDonald akan menyebabkan jalan-jalan ditutup di sekitar kawasan.

“Jika pihak berkuasa boleh menutup jalan untuk mempermudahkan larian itu, saya pasti pihak berkuasa juga boleh menutup jalan untuk perhimpunan aman #black505 pada 22 Jun,” kata Rafizi.

 

Categories
NASIONAL

Rafizi : Himpunan Blackout 505 Dianjak Ke 22 Jun

DSC_5441

PETALING JAYA 10 JUN : Pakatan Rakyat (PR) memutuskan mengadakan perhimpunan aman Blackout 505 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini berikutan tiada program lain dijalankan di kawasan itu pada tarikh berkenaan.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata pihaknya mengambilkira pandangan pihak terlibat di mana pada tarikh asal iaitu 15 Jun, terdapat program karnival dan majlis perkahwinan akan diadakan di kawasan itu dan berhampirannya.

Sehubungan itu, PR memberikan notis untuk mengadakan perhimpunan aman #blackout 505 dalam tempoh 10 hari kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti ditetapkan.

“Permohonan kepada DBKL untuk menggunakan Padang Merbok pada 22 Jun telahpun dibuat pada Jumaat 7 Jun lalu. DBKL juga mengesahkan tiada mana-mana pihak membuat permohonan mengadakan acara di padang itu pada tarikh tersebut.

“Oleh itu tiada lagi alasan untuk DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bermain politik dengan melengah-lengahkan permohonan ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa majoriti rakyat Wilayah Persekutuan bersama PR maka DBKL dan Tengku Adnan diminta menghormati hasrat rakyat selain Padang Merbok adalah milik rakyat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kutipan Parkir Meragukan Di Giant Taman Connought

parkir haram taman connought 01

KUALA LUMPUR 17 MAC: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digesa mengambil tindakan terhadap pemungut bayaran parkir di pasaraya Giant Taman Connought, Cheras yang didakwa menjalankan aktiviti itu secara haram sejak tiga tahun lalu.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau menerima banyak rungutan daripada orang awam yang marah dan tidak puas hati terhadap tindakan beberapa individu yang mengutip bayaran parkir untuk ke pasaraya itu.

Menurut Abdul Khalid, pihak berkenaan didakwa sengaja mengambil kesempatan terhadap orang awam yang ingin ke pasaraya tersebut dan akan mengugut untuk melakukan sesuatu terhadap kenderaan yang enggan membayar bayaran kepada mereka.

“Mr Chin (pegawai MP Bandar Tun Razak) beritahu ramai yang ‘complain’, jadi dia kadang-kadang takut tak bayar.

?Sebab kalau tak bayar, takut kereta dia calar, atau orang datang berhenti dan mintak, jadi dia dalam keadaan tak tenteram.

“Makin lama makin tak ada ramai orang yang datang ke mari untuk nak berurusniaga, sebab mereka fikir tempat ini kena bayar,

?Jadi ada tempat-tempat lain supermarket lain tak ada tempat yang kena bayar, percuma,” katanya dalam satu sidang media pasaraya berkenaan hari ini.

majlis perkahwinan taman desa cheras 01

Tinjaun di kawasan parkir Giant Taman Connought mendapati sekumpulan individu mendirikan khemah di jalan ke pintu masuk kawasan parkir pasaraya itu.

Perbuatan itu mengecilkan laluan kenderaan dengan meletakkan penghadang jalan yang diperbuat daripada plastik.

Seorang remaja belasan tahun dilihat mengutip bayaran sebanyak RM 1 daripada pemandu kenderaan yang ingin ke pasaraya itu.

Sementara itu, Abdul Khalid turut mencadangkan supaya pihak pasaraya Giant dan peniaga-peniaga di sini supaya membuat satu laporan kepada DBKL supaya perkara sedemikian dapat diatasi secepat mungkin.

“Saya difahamkan tempat-tempat letak kereta disini adalah percuma. Jadi sebab itu saya ingin menekankan tidak perlu mereka-mereka yang letak kereta di sini tak perlu letak bayaran,” jelasnya lagi.

Pada majlis yang berlainan, Abdul Khalid yang juga Menteri Besar Selangor sempat menghadiri majlis perkahwinan di Taman Desa Cheras, antara Fazly Abdullah Lutfi dan pasangannya Nurul Ezaika Ayob.

mb Bandar tun razak sarapan mac 17 01

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa Bekas Pegawai Tinggi Polis Miliki Aset Mewah

pc

PETALING JAYA 18 DIS : PKR mendakwa seorang bekas pegawai tertinggi polis memiliki aset hartanah hampir RM3 juta di sekitar Kuala Lumpur dan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kenyataan berhubung perkara ini.

Pengerusi Biro Kepenggunaannya, Mohd Yahya Mat Sahri berkata hasil carian dibuat pihaknya mendapati individu yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mempunyai pelbagai aset dari peringkat rendah hingga mewah seperti rumah pangsa dan kondominium di kawasan bandaraya itu bermula 1999.

Menurutnya, antara kawasan dikenal pasti melibatkan bekas pegawai polis itu ialah Wangsa Maju, Taman Sri Rampai, Taman Sri Sentosa, Taman Miharja dan Sri Kenangan.

“Isu penyelewengan ini berkaitan dengan aset iaitu bagaimana pegawai tertinggi polis mempunyai aset yang begitu banyak yang tidak diisytiharkan sebagaimana diperlukan. Ini carian yang kita buat di mana tercatat pada 1999 dan aset ini hanya melibatkan di Kuala Lumpur sahaja serta belum meliputi negeri lain seperti melaka atau selainnya.

“Kita minta DBKL sendiri supaya memberikan jawapan mengenainya dan bagaimana bekas pegawai polis berjawatan tinggi ini boleh memiliki punya aset yang di luar jangkaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nor Manuty.

Bekas pegawai polis ini dikatakan memiliki semua aset ini menggunakan nama isterinya dalam beberapa bentuk unit rumah dari nilai rendah hingga mewah.

Mohd Yahya berkata, pihaknya mempersoalkan perkara itu disebabkan orang awam begitu sukar untuk membeli dan memiliki rumah di kawasan bandaraya hingga terpaksa menunggu lama sedangkan individu tersebut mudah mendapatkannya dalam bilangan yang banyak.

“Aset dimiliki banyak dari rumah pangsa hingga kondominium mewah dengan nilai yang begitu besar. Kita kemukakan 10 aset miliknya pada kali ini.

“Nilai tahunan dicatatkan dari serendah RM4,800 hingga ke RM25,000 berdasarkan nilai pada 1999. Jika dilihat pada masa ini ia meningkatkan berlipat kali ganda dengan ada antara aset ini kini bernilai hingga RM400,000 hingga RM600,000,” katanya.