Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh J/Kuasa Profesional, Elak Persempadanan Tidak Adil

azmin

SHAH ALAM, 2 JULAI: Selain penipuan dan penyelewengan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada persempadanan bahagian pilihan raya yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara tidak adil.

Antara contoh persempadanan yang tidak adil menurut Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, perbezaan jumlah pengundi yang sangat besar antara DUN Seri Serdang, 72,769 pengundi berbanding DUN Permatang yang cuma memiliki seramai 19,636 pengundi sahaja.

Ini berlaku menurut Azmin lagi, apabila urusan persempadanan semula yang dilakukan selama ini tidak bersandarkan kriteria-kriteria tetap sejajar dengan lunas demokrasi.

Justeru, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menerajui usaha untuk melantik dan menubuhkan satu jawatankuasa yang professional dan berkredibiliti untuk meneliti dan memberikan syor-syor berkenaan urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dalam Negeri Selangor.

“Peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor-syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR,” kata Azmin ketika membahaskan Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor dalam Persidangan Penggal Pertama di Dewan Negeri Selangor (DNS) ke 13 di sini semalam.

Azmin berkata, ‘Boundary Commission for England’ diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap lima tahun.

Menurutnya lagi, jawatankuasa tersebut boleh mencontohi kriteria yang menjadi pertimbangan dalam ‘Boundary Commission for England’ iaitu peraturan lima peratus kuota pilihan raya, saiz geografi, geografi pertimbangan khas, sempadan kerajaan tempatan, sempadan kawasan yang sedia ada dan hubungan tempatan sebagai garis panduan menetapkan sempadan pilihan raya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ketua Pembangkang Selangor Terkedu Gagal Kemuka Fakta

Samsuddin Lias Sungai burong

SHAH ALAM, 1 JULAI: Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias terkedu apabila diminta menyatakan mana-mana perkara daripada Perlembagaan Negara atau undang-undang negara ini yang menghalang rakyat negara ini melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Sebaliknya apabila ditanya Mohd Khairuddin Othman (PAS, Paya Jaras) beliau (Shamsudin) cuba berdalih.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang, boleh jelaskan fasal mana satu yang dilanggar?” soal Khairuddin selepas diberikan laluan untuk mencelah.

“Ia hanya secara prinsip saya sahaja,” jawab Shamsudin ringkas ketika membahaskan titah ucapan DYMM Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Sebelum itu, Shamsuddin dilihat gagal mengemukakan fakta yang sahih dalam ucapannya.

Shasudin turut mengecam pemimpin politik yang terlibat dengan perhimpunan aman #Blackout505 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Menurut Shamsudin kedua-dua tindakan tersebut sebagai tidak menghormati undang-undang negara.

Shamsudin sekali lagi tidak terkata apa-apa apabila Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut meminta beliau menjelaskan samada hak rakyat untuk berhimpun secara aman itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

azmin pc kongres ke 9 PKR 06

SHAH ALAM, 1 JULAI: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950,  Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Azmin mendesak  Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

pilihanraya

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi  mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pilihan Raya Tempatan Tidak Bercanggah Perlembagaan Persekutuan

teng chang kim

SHAH ALAM, 1 JULAI : Rang Undang-undang berhubung pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan digubal Kerajaan Negeri tidak bercanggah mahupun melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, pihaknya mempunyai penasihat undang-undang negeri untuk mengkaji pelaksanaanya sebelum ia dibentangkan dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS) pada tahun depan.

Katanya, penggubalan rang undang-undang pemilihan ahli majlis itu juga sama sekali berbeza dengan undang-undang pilihan raya di majlis PBT.

“Penasihat undang-undang negeri akan menggubal rang undang-undang pemilihan ahli majlis PBT ini dengan cara di mana ia tidak bercanggah atau melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kerajaan Tempatan.

“Penasihat ini juga akan sedaya upaya menggubal undang-undang mengikut kehendak Kerajaan Negeri. Saya ada keyakinan ke atas mereka,” katanya ketika ditemui selepas sesi DNS, di sini hari ini.

Terdahulu, Teng ketika menjawab pertanyaan lisan daripada R Rajiv (DAP-Bukit Gasing) berhubung pilihan raya Kerajaan Tempatan.

Katanya, pilihan raya tersebut adalah suatu proses untuk mengembalikan hak demokrasi kepada rakyat di negeri ini.

Sebelum ini, Teng dilaporkan berkata pilihan raya tempatan pertama negeri itu akan dilaksanakan sebelum penghujung tahun depan.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dalam kenyataannya mendakwa Kerajaan Negeri Selangor tidak boleh mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan pertama kerana ia bertentangan dengan Perkara 95A-95 E, Perlembagaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bonus Untuk Staf Pusat Khidmat DUN

khalid dun 5

SHAH ALAM 1 JULAI :  Kerajaan Negeri bakal memberi bonus kepada kakitangan pusat khidmat DUN yang mencapai target dalam menjayakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pemberian itu bertujuan mempertingkatkan penglibatan masyarakat terhadap program MES selain memastikan golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Katanya, pemberian bonus ini sebagai satu galakan agar keberkesanan kerajaan prihatin akan dapat dicapai dan jumlahnya akan dibincangkan nanti.

“Tetapi kita dapati adakalanya maklumat program MES tidak sampai kepada rakyat dan kita merencanakan beberapa pendekatan untuk memperhebat hubungan itu ,” katanya menjawab pertanyaan lisan Hasbullah Mohd Ridwan (PAS-Gombak Setia) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Selain itu, Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri sentiasa mencuba mengenal pasti dan mengambil langkah-langkah proaktif dalam menambah baik program MES termasuk syarat-syarat bagi memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua golongan.

“Oleh itu, pentadbiran Kerajaan Negeri sentiasa memantau perlaksanaan setiap program dari masa ke semasa bagi memastikan ia berjalan lancar melalui laporan yang dikemas kini dari masa ke semasa kepada Kerajaan Negeri.

“Kita juga sentiasa menerima dan mengambil kira segala cadangan atau apa juga teguran yang diterima bagi sebarang penambahbaikan,” katanya.

Antara program MES yang diperkenalan sejak 2008 ialah air percuma, Tabung Anak Warisan Selangor (Tawas) dan yang terbaru insentif perkahwinan kepada belia berumur 35 tahun ke bawah, tidak ketinggalan bantuan untuk golongan warga emas serta banyak lagi program.

Info berkaitan program MES disediakan di portal rasmi MES iaitu mes.selangor.gov.my , di pusat khidmat DUN, pengedaran risalah di setiap daerah, promosi melalui billboard dan kaunter-kaunter penerangan MES di gerai pameran majlis Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Enakmen SELESA Agenda Reformasi Dewan Negeri Selangor

Speaker Hannah Yeoh

SHAH ALAM 21 JUN : Gandingan Speaker dan Timbalannya yang baru, Hannah Yeoh dan Nik Nazmi Nik Ahmad, optimis bahawa Enakmen Dewan Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA) akan berjaya direalisasikan pada penggal kali ini.

Hannah berkata, perlaksanaan Rang Undang-Undang tersebut merupakan antara agenda reformasi yang dijangka mampu membawa perubahan serta meningkatkan lagi mutu persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kita jangkakan apabila enakmen tersebut diluluskan, kita akan membekalkan lebih banyak fasiliti kepada sidang DNS.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mereka melakukan kajian-kajian dengan lebih baik sebelum sesuatu isu dibahaskan.

“Perkara ini semestinya akan menjadikan mutu perbahasan itu lebih berkualiti, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” jelas Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Beliau bercakap demikian dalam satu sidang media di Bangunan Annex, SUK di sini sejurus selesai Majlis Mengangkat Sumpah Adun pagi tadi.

Nik Nazmi yang turut hadir dalam sidang media pula menjelaskan enakmen SELESA penting untuk dilaksanakan agar satu pasukan pentadbiran yang bebas dan profesional di bawah arahan Speaker dapat diwujudkan.

Timb Speaker Nik Nazmi

Enakmen tersebut akan menjadikan kuasa kerajaan kepada tiga bahagian iaitu, kuasa eksekutif di bawah Menteri Besar; badan kehakiman di bawah kuasa Persekutuan dan undang-undang negeri;  kuasa perundangan/legislatif terletak penuh di bawah DNS.

“Apabila DNS bebas daripada pengaruh eksekutif kelak, pemantauan dan semakan pentadbiran dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa sebarang sekatan dan birokrasi yang melampau,” ujar Nik Nazmi.

Katanya lagi, Rang Undang-Undang ini bukan satu amalan baru kerana sebelum dimansuhkan pada 1992, di peringkat Parlimen juga mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen yang menguruskan perjalanan kerja-kerja harian dan pengurusan kewangan Dewan Rakyat tanpa campur tangan kuasa eksekutif.

Draf Enakmen SELESA yang mula digubal sejak tahun 2009 kini sedang dikaji secara terperinci oleh barisan Exco Kerajaan Negeri serta penasihat undang-undang Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Exco Selangor Perlu Isytihar Harta

DSC_4743

KLANG 30 MEI : Kerajaan Negeri akan mengarahkan semua Exco Selangor membuat pengsytiharan harta sebelum sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dimulakan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pengisytiharan harta tersebut melibatkan exco yang baru dilantik serta bekas Exco.

Beliau berkata, usaha tersebut adalah kesinambungan terhadap apa yang dilakukan bermula pada tahun lalu.

“Tahun lepas kita sudah ada apa yang dipanggil pengisytiharan yang mana kita akan teruskan mengikut cara yang kita buat.

“Jadi setiap penambahan aset semasa exco itu bertugas, dia akan diminta melaporkan. Ia turut termasuk exco yang lama,” katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah Exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar menjelaskan pengisytiharan harta tersebut hanya melibatkan exco dan tidak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

“Saya ingat yang penting ialah Exco dahulu (pengisytiharan harta) kerana mereka mempunyai tugas yang dipanggil eksekutif,” katanya.

Abdul Khalid turut menyatakan upacara angkat sumpah semua Adun termasuk Speaker dan Timbalan Speaker akan diadakan pada 21 Jun depan seterusnya sidang DNS pertama pada 28 Jun.

Categories
NASIONAL

DNS Dibubar, Rakyat Kini Jadi Hakim – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 04042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Dewan Negeri Selangor dibubarkan secara rasminya hari ini apabila Warkah Pembubaran ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan Menteri Besar serta Ahli-Ahli Dewan Diraja yang hadir.

2. Pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, rakyat Malaysia diseru agar memilih pemimpin yang patuh kepada rakyat dan bukan pemimpin yang berlagak seperti pembesar dahulu kala.

3. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil atau BERSIH 2.0 melancarkan kod etika dan garis panduan kerajaan sementara sejajar dengan pembubaran Parlimen

4. Kegagalan Kerajaan Pusat Pimpinan Datuk Seri Najib Razak mengeluarkan laporan terperinci atau kertas putih berhubung isu pencerobohan di Lahad Datu awal Februari lalu mengundang pelbagai persepsi rakyat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengumuman DUN Bubar Selepas Mesyuarat Hari Ini – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 26032013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Disaat rakyat menanti pembentangan manifesto daripada Barisan Nasional, gagasan itu sebaliknya merangka untuk melancarkan serangan salahlaku seks terhadap parti lawan, Pakatan Rakyat.

2. Ketika Umno-Barisan Nasional melancarkan manifesto lucah mereka, Pakatan Rakyat pula diyakini mampu menzahirkan hasrat melaksanakan pendidikan percuma yang dimuatkan dalam manifesto gagasan itu.

3. Pucuk pemimpin Pakatan Rakyat pusat akan mengadakan pertemuan hari ini bagi membincangkan tarikh pembubaran Dewan Negeri Selangor(DNS).

4. Dengan pelbagai isu dan tekanan yang tidak memihak kepada Barisan Nasional berhubung sokongan rakyat diantara sebab yang memungkinkan Perdana Menteri tidak akan membubarkan Parlimen bagi di adakan pilihanraya umum ke-13.

Categories
NASIONAL SELANGOR

DNS Tetap Akan Dibubar Akhir Mac Sekiranya …

suk pakatan selangor

KUALA LUMPUR 17 MAC: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan Dewan Negeri Selangor (DNS) tetap akan dibubarkan hujung bulan ini sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak tidak membubarkan Parlimen pada masa yang sama.

Abdul Khalid berkata, sehingga kini beliau masih menunggu pengumuman Najib sebelum membuat keputusan untuk membubarkan DNS bagi mendapat mandat baru daripada rakyat Selangor.

“I am waiting for the PM. Tapi saya akan buat keputusan jika tidak berlaku pembubaran dewan Parlimen sebelum akhir bulan Mac, saya akan lakukan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya pemberita sewaktu mengadakan sidang media membantah pemungut parkir yang didakwa tidak berlesen di pasaraya Giant Taman Connought, Cheras hari ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid pernah menyatakan Kerajaan Negeri merancang untuk membubarkan DNS pada hujung bulan ini.

Akhir bulan lalu, beliau turut mengesahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menyatakan persetujuan dan tiada halangan untuk pembubaran DNS.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Kerajaan Negeri Sedia Bubar DUN Akhir Mac Ini

suk pakatan selangor

SHAH ALAM 11 MAC : Kerajaan Negeri sedia bubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selewat-lewatnya akhir Mac ini bagi mendapat mandat baru daripada rakyat Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri bersedia untuk tujuan itu dan satu keputusan telah dicapai bagi pembubaran DNS.

“Sudah buat keputusan tetapi belum (boleh) diumumkan,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya tiada halangan kemungkinan pembubaran itu akan berlaku pada akhir bulan Mac.

Sebelum ini, Menteri Besar pernah menyatakan Kerajaan Negeri merancang untuk membubarkan DNS selepas sambutan Chap Goh Meh.

Akhir Februari lalu, Abdul Khalid turut mengesahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menyatakan persetujuan dan tiada halangan untuk pembubaran DNS.

Categories
SELANGOR

Program Jom Shopping Diteruskan Ketika Pilihan Raya

khalid

PUNCAK ALAM 23 FEB : Program Jom Shopping akan terus berjalan tanpa halangan walaupun berlakunya pembubaran Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Parlimen.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia diteruskan kerana dana untuk program tersebut sudah diperuntukkan.

“Sebab ia program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) walaupun hari pilihan raya pun boleh ada jika tidak ada wakil rakyat tetapi boleh dihadiri oleh pegawai kerajaan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian selepas Program Jom Shopping Warga Emas untuk siri ke-19 bagi DUN Ijok yang diadakan di Pasaraya Econsave Alam Jaya di sini.

Seramai 135 orang warga emas terlibat dalam program itu yang berobjektifkan untuk memupuk semangat kemesraan antara rakyat dan pemimpin.

“Dengan cara ini kita dapat mengenali mereka dan dapat merasai kemajuan kewangan Negeri Selangor.

“Dan saya nampak penerimaan warga emas untuk program ini sangat baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai di DUN Ijok, Abdul Rahman Moharam berkata, kira-kira lebih 2,000 warga emas di DUN Ijok sudah menyertai program Jom Shopping sejak ia dilancarkan.

“Sekurang-kurangnya ada tiga siri lagi DUN Shopping,” katanya.

Ujarnya, Program Jom Shopping yang melibatkan kira-kira 300 ibu tunggal di DUN Ijok akan dilaksanakan dalam masa terdekat.