Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Manfaat Kutipan Hutang Talam Untuk Kesejahteraan Rakyat

SHAH ALAM, 30 NOV – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid menegaskan akan memanfaatkan hasil kutipan hutang Talam Corporation bernilai RM392 juta untuk kesejahteraan rakyat.

Bercakap pada sesi penggulungan Dewan Negeri Selangor(DNS), Abdul Khalid berkata tanah-tanah pembelian GLC ini mampu memberikan nilai pulanganyang tinggi menerusi projek pembangunan perumahan dan komersil yang dirancang pada masa depan.

“Keputusan dari kutipan ini kita menyelamatkan tanah-tanah ini daripada dirampas dan dijual oleh bank.

“Malah kita menggunakan aset-aset ini untuk mendapatkan semula hutang Talam kepada GLC menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI),” katanya.

Jelasnya, bagi memastikan hutang ini dijamin dapat dikutip, satu perjanjian penyelesaian menyeluruh ditandatangani bersama Talam.

Setakat ini, Nilai Pembangunan Kasar (GDV) secara keseluruhan bernilai RM4,146 juta untuk tanah-tanah yang dibeli oleh Perbadanan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Tanah-tanah tersebut adalah Bukit Beruntung (PKNS) bernilai RM133 juta, Bukit Beruntung (PNSB) bernilai RM2,378 juta dan di Bestari Jaya (PNSB) pula bernilai RM1,635 juta.

Jelas beliau lagi, penilaian terbaru Pejabat Tanah dan Galian Selangor pada 26 November lalu terhadap tanah di Bukit Beruntung mendapati tanah berkenaan dianggarkan bernilai RM475 juta berasaskan status tanah bercampur.

Keadaan ini sekaligus mencerminkan Kerajaan Negeri berjaya menghasilkan nilai ekonomi dan sosial menerusi pelunasan hutang-hutang Talam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tiada Pilihan Sekira Parlimen Bubar Mac 2012

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri tidak mempunyai pilihan lain selain turut membubarkan Dewan Negeri Selangor(DNS) sekirannya Kerajaan Pusat memilih membubarkan Parlimen pada Mac 2013.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyampaikan ucapan penangguhan DNS hari ini.

“Saya tak nampak Parlimen dibubarkan pada Disember ini, jadi kalau dibubarkan pada Mac depan Selangor tiada pilihan lain,” ujar beliau.

Terdahulu, Abdul Khalid dalam satu kenyataannya berkata, Kerajaan Negeri tidak ikut membubarkan DUN sekiranya Parlimen dibubarkan sebelum keputusan kajian dari program ‘Selangorku Bersih’ diperolehi.

Program Selangorku Bersih merupakan satu program yang mengkaji kesahihan pengundi-pengundi yang berdaftar di Selangor.

Sementara itu, Speaker, Datuk Teng Chang Kim ketika menutup persidangan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi dan kerjasama yang ditunjukan Adun-adun Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Prestasi Pembangkang Selangor Dalam PAC Lemah

SHAH ALAM, 30 NOV: Prestasi pembangkang(Umno-BN) dalam Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) didapati amat lemah apabila tidak hadir dalam kebanyakan mesyuarat yang dijalankan jawatankuasa itu.

Bertambah malang lagi, apabila wakil pembangkang Selangor juga menolak perlantikan sebagai Pengerusi PAC.

Demikian menurut Ng Sue Lim( DAP- Sekinchan), dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

“Amat berbeza ketika zaman saya dan Tuan Speaker, Datuk Teng Chang Kim jadi pembangkang dahulu, kami datang mesyuarat dan berikan pendapat kita,” kata beliau.

Menurut beliau, tindakan pembangkang menolak mandat tersebut membuktikan mereka tidak serius berkhidmat sebagai wakil kepada suara rakyat.

Pada 2010, DNS mencipta sejarah apabila buat pertama kali di Malaysia, Dewan Negeri meluluskan usul melantik wakil daripada Pembangkang sebagai Pengerusi PAC.

PAC merupakan sebuah salah satu jawatankuasa Dewan paling penting yang diberi tanggungjawab untuk menyiasat dan menyemak semua penyelewengan jabatan-jabatan kerajaan dan memastikan eksekutif bertanggungjawab terhadap Dewan melalui pengawalan perbelanjaan wang ringgit orang ramai.

Adun BN Batang Kali Didapati Bersalah Keluar Kenyataan Berbaur Seksis

SHAH ALAM, 30 NOV : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini mendapati Datuk Mohd Isa Abu Kasim (BN-Batang Kali) bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur seksis terhadap Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong pada 22 November lalu.

Ekoran itu, Isa dikenakan denda sebanyak RM1,000 melalui potongan Elaun Khas Ahli Dewan Negeri.

Keputusan itu ditetapkan Speaker DNS, Datuk Teng Chang Khim setelah mengambil kira persetujuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam usul pindaan berhubung mengenakan denda kepada Isa.

“Bahawasanya dewan yang mulia ini mengambil ketetapan untuk mengenakan denda RM1,000 yang akan dipotong dari Elaun Khas Ahli Dewan Negeri ke atas Adun Kawasan Batang Kali terhadap kenyataan seksis yang dikeluarkan oleh beliau terhadap Adun Bukit Lanjan pada 22 November 2012 semasa sesi penggulungan Yang Berhormat Bukit Lanjan yang berbunyi “…(Tapi) jangan sampai terlupa jaga hutan kita sendiri”,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan itu dipertikaikan Isa dengan mendakwa Speaker tidak berlaku adil terhadapnya ekoran kenyataannya tempoh hari tidak melanggar mana-mana peraturan tetap dewan.

Namun, Teng menegaskan tindakan itu adalah adil berdasarkan Peraturan 36(4) di mana Adun dilarang untuk menggunakan bahasa biadap.

“Bagi saya itu mencukupi untuk membuktikan kenyataan yang dikeluarkan adalah berbaur seksis,” ujarnya.

Usul berkenaan dibawa Gan Pei Nei (PKR-Rawang) dan disokong oleh kumpulan penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tidak puashati dengan keputusan usul tersebut Adun-adun BN bertindak keluar dewan sebaik Speaker membacakan keputusannya.

Categories
SELANGOR

RM80 Juta Menaiktaraf Jalan Reko Kajang – Bangi

SHAH ALAM 30 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM80 juta bagi menaiktaraf jalan dan pemasangan tiang lampu antara Jalan Reko Kajang ke Pekan Bangi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Dalam pada itu, Ronnie berkata, sumber elektrik kepada tiang lampu jalan di laluan jalan raya dari UKM ke Pekan Bangi Lama akan dimula dibekalkan selewat-lewatnya awal Disember ini.

Sebelum ini, sebanyak RM250,000 diperuntukkan melalui Geran Selangorku bagi pemasangan 70 buah tiang lampu jalan di laluan sejauh lima kilometer itu.

Pemasangan lampu jalan ini bertujuan bagi memudahkan penduduk di kawasan Bangi lama dan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan ini di waktu malam yang terdedah kepada pelbagai risiko kecelakaan.

Selain itu, Ronnie turut memberitahu DNS bahawa kerja-kerja menaiktaraf Jalan Reko dari Kajang ke UKM juga telah dimulakan pada 2 November 2012 lalu.

Categories
SELANGOR

Rizab PBT Catat Peningkatan Dalam Tempoh Lima Tahun

SHAH ALAM, 30 NOV : Rizab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari tahun 2007 hingga 2011 iaitu daipada RM83.25 juta kepada RM142.50 juta.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, PBT sentiasa berusaha memperbaiki serta memperkukuhkan kedudukan rizab masing-masing dari tahun ke tahun.

Justeru, pelbagai langkah proaktif diimplementasikan pihak PBT untuk memastikan rizab mereka terus stabil dan sentiasa bertambah.

Antaranya, mempertingkatkan kutipan cukai taksiran dengan menguatkuasakan tindakan di bawah Seksyen 148 Akta 171.

“PBT juga menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan pelaksanaan kutipan dan sasaran hasil dijalankan. Program insentif kepada kakitangan turut diberikan sekiranya mencapai sasaran kutipan hasil yang ditetapkan melalui Jawatankuasa Teras Hasil.

“Selain itu, PBT turut melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi meningkatkan prestasi kutipan hasil. Kaedah penjimatan, kawalan bajet dan kawalan kos dipraktikkan dari masa ke masa untuk menggalakkan jabatan membuat perbelanjaan berdasarkan keperluan dan keutamaan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung kedudukan rizab PBT di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi.

Tambahnya, pihak PBT juga membuat perbandingan faedah yang telah ditawarkan pihak bank bagi memastikan pelaburan simpanan tetap dibuat ke dalam bank yang menawarkan faedah kompetetitif.

“Semua PBT turut berusaha mencari hasil-hasil baru yang akan membantu menjana pendapatan mereka secara konsisten di masa akan datang,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Rangka Pelbagai Program Bela Ibu Tunggal

 

SHAH ALAM 28 NOV : Seramai 24,009 wanita bertaraf ibu tunggal di seluruh Selangor berpeluang membaiki taraf kehidupan apabila Kerajaan Negeri merancang pelbagai program untuk membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, insiatif itu diambil supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Antara program dijalankan ialah Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Budaya (PWB), Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (Mimbar), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

“Semua program dan skim ditawarkan itu menarik ibu tunggal di Selangor untuk bersama turut serta dan mendaftar bagi melibatkan diri mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Rodziah berkata, dari jumlah dinyatakan, ibu tunggal di kalangan bangsa Melayu mencatat bilangan tertinggi seramai 18,011 orang, India (1,574), Cina (792), Orang Asal (dua) dan lain-lain (3,630).

Beliau berkata, kajian beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa serta NGO mendapati antara masalah dihadapi golongan itu adalah masalah kewangan untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga.

Selain itu, tambahnya, ia turut melibatkan masalah berurusan dengan mahkamah seperti tidak mendapat pembelaan dari sudut penerimaan nafkah akibat perceraian di samping terpaksa melalui proses birokrasi mahkamah yang merumitkan dalam jangka masa panjang.

“Masalah dalam penjagaan sempurna anak-anak ketika mencari nafkah dan kesan psikologi khususnya dalam tempoh tiga bulan pertama menjadi ibu tunggal turut membelenggu mereka ini,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun PR Tidak Berminat Ambil Tanah Selangor

SHAH ALAM, 28 NOV : Adun Pakatan Rakyat tidak berminat untuk menggunakan kepentingan sedia ada bagi mendapatkan mana-mana tanah di negeri ini.

Pengisytiharan ini dinyatakan sendiri Adun Kajang, Lee Kim Sim pada sesi perbahasan Jawatankuasa Tanah Hulu Langat di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Menurutnya, permohonan tanah perlu diberikan kepada rakyat yang masih tidak memiliki tanah kediaman ataupun syarikat.

“Wakil rakyat PR tidak berminat untuk memiliki tanah.

“Hanya kita nak memastikan permohonan-permohonan untuk pelupusan tanah adalah diberikan kepada individu, perbadanan atau syarikat yang sepatutnya dapat,” katanya.

Tegasnya, setiap adun perlu turun ke padang bagi melihat sendiri setiap permohonan tanah yang dikemukakan agar gambaran sebenar lokasi permohonan diperoleh.

Melalui cara ini, ulasan semak dan imbang serta pertimbangan sesuai dapat dilakukan.

“Ada satu ketika di mana Adun diberikan peranan untuk memberikan ulasan terhadap permohonan-permohonan tanah termasuk Adun-Adun turun ke padang dan membuat siasatan di tapak tanah tersebut.

“Apa yang wujud di situ sama ada rumah ataupun terbiar dan sebagainya.

“Kalau kerajaan dapat meneruskan amalan di mana wakil rakyat diminta ulasan dalam permohonan-permohonan, maka mungkin satu proses dipanggil timbang tara boleh dapat dilakukan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Prestasi Bola Sepak Selangor Masih Membanggakan

SHAH ALAM, 28 NOV: Pencapaian pasukan bola sepak Selangor menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Malaysia 2012 disifatkan suatu pencapaian yang masih boleh dibanggakan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kejayaan pasukan Selangor itu lebih baik berbanding pasukan lain yang berbelanja tinggi tetapi tiada impak.

Walaubagaimanapun, bagi musim 2013 seramai 11 pemain baru diserapkan ke dalam skuad bola sepak ini yang terdiri daripada bekas pemain Harimau Muda, bekas pemain pasukan negeri lain dan bekas pemain Piala Presiden Selangor.

“Seramai 12 pemain lama dan kurang berkesan ditukarkan dan diganti dengan pemain baru bagi menggalas misi pada tahun hadapan,” katanya yang merupakan Adun Sijangkang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Shafie Abu Bakar (PAS-Bangi) ketika sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DNS) mengenai prestasi skuad bola sepak Selangor hari ini.

Dalam saingan Piala Malaysia 2012 lalu, pasukan Selangor tewas di peringkat separuh akhir kepada pasukan Kelantan.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut bersetuju akan memberikan insentif kepada pemain bola sepak Selangor jika berjaya mendapat sebarang piala dalam setiap kejohanan yang disertai.

Selain itu, Dr Ahmad Yunus turut menyifatkan penglibatan ahli politik dalam sukan bola sepak di negara ini tidak menjadi suatu kesalahan besar jika komitmen yang diberikan sepadan dengan tanggungjawab yang dipikulnya dalam pasukan itu.

“Jika ahli politik dapat memberikan komitmen yang tidak dapat diberikan oleh orang biasa, pada saya, ia tidak menjadi suatu kesalahan demi meningkatkan mutu permainan bola sepak sesuatu pasukan itu,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Adun BN Perlu Desak Kerajaan Pusat Salur Peruntukan Kepada JPS

SHAH ALAM, 27 NOV : Kerajaan Negeri menggesa Adun Umno-BN Selangor mendesak Kerajaan Pusat supaya menyediakan peruntukan secukupnya kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, JPS kini beroperasi dalam keadaan kekurangan dana dengan hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta setahun daripada Kerajaan Pusat.

Ekoran itu, JPS menghadapi kesukaran menjalankan tanggungjawab menyelenggara sistem saliran dan perparitan dengan baik di negeri ini.

“Difahamkan pada 2009, JPS hanya menerima sejumlah RM8 juta daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja penyelenggaraan, manakala tahun-tahun lain, JPS hanya menerima peruntukan tidak melebihi RM1 juta.

“Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana bernilai antara RM5 juta hingga RM8 juta setahun kepada JPS. JPS juga meminta peruntukan RM1.2 bilion untuk mengatasi masalah banjir di Klang daripada Kerajaan Pusat, namun sehingga kini dananya masih tidak sampai,” katanya.

Ronnie berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Lee Kim Sin (PKR-Kajang) ketika sesi perbahasan Belanjawan 2013 Peringkat Jawatankuasa di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) menggesa pihak JPS untuk mengambil tindakan proaktif dengan mengemukakan senarai keutamaan kepada Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Tertinggi Exco (MTES) untuk melaksanakan program tebatan banjir.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Kerajaan Negeri meneliti keperluan mendesak bagi pelaksanaan program tersebut.

“Sekiranya tindakan ini tidak diambil, ia akan membebankan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang terpaksa berhadapan masalah banjir yang semakin kerap berlaku di negeri Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Teng : Peraturan Sedia Ada Memadai Untuk Mengawal Kelakuan, Perkataan Tidak Sopan

SHAH ALAM 27 NOV : Dewan Negeri Selangor (DNS) berpendirian peraturan sedia bagi menangani istilah tidak sopan sudah memadai untuk mengawal disiplin dan kelakuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di dalam persidangan.

Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim berkata peraturan tersebut tidak perlu ditambah atau dipinda bagi mengambil tindakan terhadap Adun yang mengeluarkan kata-kata seksis.

“Saya rasa istilah atau kata seksis diucapkan boleh dianggap termasuk dalam istilah sama macam biadap dan semua Adun tahu mereka tidak boleh mengucapkan kata-kata seperti itu.

“Bagi saya sama. Jadi tidak perlu sebarang pindaan terhadap perkara 36(4) atau diwujudkan peraturan baru untuk tindakan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam sidang Khamis lalu, Datuk Mohd Isa Abu Kassim (BN – Batang Kali) mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong membuat pengulungan tentang status hutan simpan di kawasan Taman Templer.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan bahawa satu usul akan dikemukakan dalam sidang Parlimen untuk meminda peraturan parlimen bagi melarang Ahli Parlimen daripada membuat kenyataan seksis.

Dalam perkembangan lain, Teng menyatakan DNS sedang dalam perancangan membina laman sesawang sendiri dan ia dijangka dimulakan pada tahun depan.

Categories
SELANGOR

Lebih 75 peratus Warga Emas Di Selangor Didaftar Dalam Program SMUE

SHAH ALAM,27 NOV : Seramai 200,356 orang warga emas telah didaftarkan untuk program-program di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE) sehingga 31 Oktober 2012.

Jumlah tersebut merupakan 75.6 peratus daripada keseluruhan populasi golongan itu di dalam Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri tidak dapat mendaftar warga emas secara automatik kerana ketiadaan sistem pangkalan data tentang maklumat warga emas di Selangor.

Sistem tersebut terletak di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

Abdul Khalid berkata, berdasarkan analisa, terdapat kira-kira 236,000 warga emas yang sepatutnya boleh mendaftar untuk SMUE.

“Menurut peratusan sejak program ini dilancarkan sebanyak 75.6 peratus adalah layak mengikut syarat untuk menyertai dalam Skim Mesra Usia Emas,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) menjawab soalan dari Adun Batu Caves, Amirudin Shari.