Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid : Buat RCI Tentang Pengundi di Selangor Juga

SHAH ALAM, 3 JUN 2012 : Bukan Sabah sahaja, Selangor juga perlu satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berikutan pertambahan pemilih yang mendadak di dalam daftar pengundi terbaru Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menimbulkan banyak persoalan.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata, pertumbuhan pemilih baru disifatkan luarbiasa dan di luar jangkaan.

“Itulah di antara sebab mengapa kita melihat pertambahan yang begitu mendadak dan luarbiasa di Selangor di mana disebutkan hampir lebih 400 ribu pengundi baru dari 2008 hingga sekarang.

?Kita juga banyak dengar bahawa orang Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Filipina yang telah diberikan kerakyatan  dengan sewenang-wenangnya supaya mereka menyokong calon-calon Barisan Nasional (BN),” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Khalid berkata kebanjiran warga asing yang mendapat kerakyatan semasa pilihanraya di Selangor dan di seluruh Semenanjung Malaysia mungkin akan berlaku seperti di Sabah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan penubuhan RCI di Sabah bagi menyiasat kebanjiran warga asing tanpa izin yang dipercayai diberikan kerakyatan semasa pilihanraya 1994.

Bernama melaporkan suruhanjaya tersebut dijangka akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam lawatannya ke Sabah sempena Pesta Kaamatan pada 9 Jun ini.

Menurutnya, penubuhan RCI di Sabah itu disokong MP Pakatan Rakyat (Pakatan). MP BN sendiri tidak menafikan perkara itu berlaku apabila isu tersebut dibahaskan dalam sidang Parlimen lalu.

“Ini untuk kita jamin pilihanraya di negara ini menjadi pilihanraya yang bersih kerana hanya rakyat sebenar yang memilih kerajaan.

?Maka dengan ini, satu RCI untuk menjalankan siasatan berhubung warga asing diberikan kerakyatan ini perlu ditubuhkan dan perlu disegerakan sebelum pilihanraya umum diadakan,” katanya.

Abdul Khalid berkata, perkara itu amat serius kerana ia melibatkan jabatan dan agensi kerajaan yang mendaftarkan warga asing berkenaan.

“Sebagaimana didedahkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bahawa SPR bersama Jabatan Pendaftaran Negara serta Majlis Keselamatan Negara telah bekerjasama untuk mendaftarkan warga-warga asing ini.

?Apabila perkara ini didedahkan, kita melihat pihak yang disebutkan itu tidak memberikan satu menafian yang kukuh dan bersungguh-sungguh. Maka adalah diyakini perkara ini memang sedang berlaku,” katanya.

Categories
NASIONAL

Budaya Samseng Bukti Umno-BN Berpemikiran Kolot

SHAH ALAM, 28 MEI: Budaya samseng dan pendekatan ketinggalan zaman yang digunakan Umno-BN untuk cuba menakutkan rakyat mencerminkan hakikat sebenar bahawa gagasan berkenaan tidak mampu berhadapan dengan kekalahan jika ditakdirkan Putrajaya menjadi milik Pakatan Rakyat pada PRU-13 akan datang.

Tindak-tanduk kegusaran jelas kelihatan apabila mereka semakin ghairah mengganggu selain mencetuskan provokasi yang boleh membawa gejala pergaduhan dalam siri ceramah umum Pakatan membuktikan BN sedang berada dalam keadaan amat terdesak.

Beberapa siri ganguan dan cubaan mencetuskan pergaduhan dibeberapa lokasi ceramah pakatan rakyat juga memperjelaskan mentaliti kolot dikalanganm ahli dan pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dalam reaksinya berkata, pemikiran di zaman tahun 60an seperti penggunaan Pemuda Tahan Lasak yang diamalkan kini bakal menjerat mereka sendiri.

“Saya rasa Umno fikir macam berada di zaman 60an dimana penggunaan Pemuda Tahan Lasak yang digunakan begitu meluas sekali untuk mengugut dan menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyokong selain daripada mereka.

“Saya rasa pendekatan tersebut tidak akan berjaya dan ketinggalan zaman kerana kita sudah berada dalam keadaan aman. Ini membuktikan bahawa mereka semakin menyedari bahawa rakyat tidak bersama mereka. Oleh sebab itu mereka terpaksa menggunakan kaedah keganasan dan kekerasan,” katanya.

Minggu lalu menyaksikan ceramah umum Pakatan Rakyat di Pantai Dalam, Bangsar diganggu oleh kumpulan provokasi dengan balingan telur dan batu sehingga mengakibatkan beberapa individu yang hadir cedera selain sabotaj bekalan elektrik.

Perkara sama turut berlaku di Kuala Kangsar apabila beberapa buah kereta disimbah cat biru pada bahagian lampu ketika Ahli Parlimen Bukit Gantang, Nizar Jamaluddin mengadakan ceramah di sana.

Jelas Khalid, Umno-BN dinasihatkan supaya kembali kepada isu dasar pemerintahan dengan menunjukkan contoh amanah dan bertanggungjawab untuk menawan rakyat berdasarkan prestasi mereka sendiri.

Ujar beliau lagi, sebenarnya Umno-Bn tidak mampu untuk menawarkan sebarang bentuk program untuk membantu rakyat dan hanya mengulangi laungan kononnya huru hara tercetus sekiranya Pakatan menang dalam pilihanraya akan datang.

“Kalau mereka sendiri bercadang untuk mencetuskan huru-hara apabila mereka kalah maka saya yakin rakyat akan menolak mereka. Ugutan sebegini hanya akan merosakkan imej mereka yang semakin terjejas,” katanya.

Beliau percaya, rakyat akan semakin menolak Umno-BN sekiranya unsur kekerasan dan keganasan terus digunapakai dan hanya memperlihatkan wajah sebenar mereka.

Categories
SELANGOR

40 Tahun Menanti Hak Milik Tanah Berakhir Hari Ini

SHAH ALAM 27 MEI : Impian Robani Affandi untuk mendapat hak milik tanah kebunnya di Kampung Bukit Cherakah akhirnya tercapai dan peneroka itu bersyukur kerana beliau sekarang mempunyai harta untuk diwarisi oleh kelima-lima ananknya.

Katanya, beliau kini tidak perlu bimbang lagi kerana dengan pemilikan itu masa depan anaknya juga terbela.

“Dengan hasil pertanian diatas tanah kebun inilah saya membesarkan anak-anak sehingga ke peringkat universiti. Ini semua untuk anak-anak saya.

?Sekurang-kurangnya saya mempunyai harta untuk diwarisi oleh lima orang anak saya dan isteri apabila saya tiada nanti,” katanya ketika ditemui, kata Robani, 49.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor di atas keprihatinan yang diberi kepada peneroka.

Robani antara 27 peneroka Kampung Bukit Cherakah yang mendapat surat hak milik tanah mereka hari ini yang disampaikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rata-rata penerima melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana penantian mereka selama 40 tahun berakhir.

Penerima juga bergambar mesra dengan Menteri Besar sambil membawa sepanduk yang tertera ‘Tahniah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor’ atas penyerahan hak milik kepada peneroka.

Turut hadir MP Shah Alam, Khalid Samad, Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari serta Adun Meru, Dr Rani Osman.

Seorang penerima lain, Fouziah Ismail, 47, berkata beliau dan suami sudah berkali-kali memohon hak milik daripada pentadbiran Umno-BN dulu.

Katanya, keluarganya hampir berputus asa tetapi selepas kerajaan negeri bertukar tangan beliau bagaimanapun mencuba sekali lagi dan akhirnya berjaya.

“Sudah ramai yang dapat sebelum ini tetapi pemilihan yang layak hanya dipilih. Kami ini hanya peneroka yang tercicir,” katanya.

Dalam majlis terbabit, Abdul Khalid turut menyerahkan surat kelulusan lanjutan tempoh pajakan tanah ke 99 tahun bagi sekitar Petaling Jaya dan Shah Alam. Bagi fasa pertama seramai 183 menerima surat lanjutan pajakan.

Penerima, Ee Chew Lee, 66, berkata lanjutan itu membantu beliau dan keluarga dalam mengharungi kos sara hidup yang kian meningkat.

“Ia dapat menyelesaikan masalah rakyat memiliki hartanah dengan hanya membayar premium RM1,000,” katanya.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata pegawai daerah di seluruh negeri perlu turun padang mengenal pasti peneroka asal yang masih belum mendapat hak milik tanah.

“Kita mahu mereka membantu peneroka ini kerana saya tidak mahu masih ada yang tercicir. Itu tanggungjawab kita untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Tambahnya, rakyat berhak mendapatkan hak milik tanah mereka.

“Jika ingin menjadi pemerintah kita perlu adil dan memberinya kepada semua bukan secara pemilihan,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Kecam Serangan ‘Malam Berdarah Lembah Pantai’

SHAH ALAM 26 MEI : PKR menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Umno kerana mengganggu program Ceramah Perdana PKR Lembah Pantai yang berlangsung di Apartment Pantai Permai pada 24 Mei lepas.

Dalam kenyataan media bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan provokasi samseng Umno yang membaling batu bata, telur dan botol air mineral mengakibatkan dua orang yang menghadiri ceramah PKR mengalami kecederaan.

“Beberapa pegawai Ahli Parlimen Lembah Pantai diugut sebelum dan sewaktu program ceramah ini berlangsung dan tayar kereta Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang diletakkan di tapak berdekatan dengan tapak tempat ceramah juga telah ditoreh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan media itu.

PKR menggesa supaya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur(DBKL) menyiasat bagaimana kuarters tersebut dibenarkan untuk diguna pakai pihak Umno.

PKR melihat tindakan provokasi Umno bukan sahaja pada malam itu tetapi pada insiden-insiden sebelum ini di Merlimau, di Felda Lepar Hilir dan banyak lagi sebagai satu taktik yang cukup terdesak oleh sebuah parti politik yang cukup ghairah untuk terus memegang kuasa dengan apa cara sekalipun.

“PKR menggesa pihak Polis untuk menyiasat insiden ini dan juga insiden-insiden seumpanya dengan sepenuhnya, agar mereka yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan,” jelas kenyataan media itu.

Categories
NASIONAL

Muzakarah Dengan Umno: PAS Nafi Bercanggah Pendapat

 

SHAH ALAM 14 MEI : Pimpinan PAS hari ini menafikan dakwaan bahawa berlakunya percanggahan pendapat antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berhubung isu bermuzakarah dengan Umno-BN.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata secara dasarnya, PAS sanggup bermuzakarah, berbincang, berdebat dan berdialog dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN.

Bagaimanapun, berdasarkan pengalaman sebelum ini, Khalid yakin bahawa Umno-BN tidak akan bersetuju berhubung perkara tersebut malah tidak ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.

“Kita tahu Umno-BN memang tidak ikhlas walaupun mereka melakukan perkara yang salah tetapi tetap mahu mempertahankannya. Maka, Datuk Mahfuz itu bercakap berlandaskan pengalamannya dan PAS sendiri,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Perkara sama turut dipersetujui Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyangkal dakwaan wujudnya percanggahan kenyataan sesama pimpinan PAS berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, muzakarah yang dimaksudkan Presiden PAS itu adalah bagi memberi penjelasan sebenar terhadap isu-isu negatif yang dibangkitkan media arus perdana dan kerajaan Umno-BN terhadap parti itu.

“Isunya bukan muzakarah PAS bergabung dengan Umno-BN, tetapi muzakarah kepada isu yang berbangkit antaranya PAS membuat kenyataan bercanggah dengan Majlis Fatwa, tuduhan kafir terhadap Mursyidul Am PAS, Datuk Seri Nik Abdul Aziz dan beberapa isu negatif yang cuba menjatuhkan kredibiliti PAS,” ujarnya.

PAS dalam satu sidang media di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur semalam mengumumkan sedia bermuzakarah dengan mana-mana pihak termasuk Umno-BN bagi menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya.

Namun, kenyataan yang dimaklumkan Abdul Hadi itu kemudiannya disanggah Mahfuz yang mencelah ‘kecuali Umno’.

Categories
NASIONAL

300 Orang Desak Tol Batu Tiga-Sungai Rasau Dihapuskan

SHAH ALAM 13 MEI : Hampir 300 rakyat berkumpul di Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di sini bagi menyertai demonstrasi mendesak Kerajaan Pusat menghapuskan kedua-dua tol terbabit.

Demonstrasi aman anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor itu mencuri tumpuan pengguna lebuh raya itu apabila mereka membunyikan hon sebagai tanda sokongan dan mengambil pelekat kereta dengan slogan ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’.

Peserta demonstrasi juga membawa kain rentang bertulis ‘Hapuskan Tol Baru Betul’, ‘Hapuskan Tol Demi Rakyat’ selain laungan ‘Hidup Rakyat’, ‘Hapuskan tol’, ‘Undi Pakatan Rakyat Tak Bayar Tol’, dan ‘Undi BN Bayar Tol’. 

“Kami dapat simpulkan kehadiran rakyat berbilang kaum pada hari ini sebagai gerakan rakyat secara bersepadu untuk bersama-sama mendesak Kerajaan Pusat berhenti dari terus membebankan rakyat.

?Sedangkan pulangan modal yang sepatutunya mereka perolehi sudahpun mereka dapatkan lama dulu,” jelas Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin.

Turut hadir Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dan Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan MP Shah Alam Khalid Samad di Tol Batu Tiga di sini.

Sementara di plaza tol Sg Rasau, pemimpin Pakatan Selangor dan kira-kira 100 individu turut mengadakan sebuah lagi demonstrasi bagi tujuan yang sama.

Kumpulan itu turut dipimpin Exco Selangor Ronnie Liu dan Dr. Yaakob Sapari, Kapar MP S. Manikavasagam dan ADUN Kota Alam Shah M. Manoharan.

Khalid berkata kedua-dua tol tersebut sepatutnya sudah lama dihapuskan.

 “Laluan ini memang sudah lama wujud dan mereka (syarikat konsesi) sekadar melebarkannya daripada dua ke enam lorong.

?Pengguna pula terus dikenakan bayaran sehingga ke hari ini selepas kira-kira dua puluh tahun kutipan tol dimulakan.

“Mengambil kira kenderaan yang semakin banyak, sehari sahaja PLUS (Projek Lebuhraya Usahasama Berhad) mampu mengutip ratusan ribu. Bayangkanlah untuk beberapa tahun ini, memang inilah paling mengarut sekali,” jelasnya sewaktu ditemubual TVSelangor.

Salah seorang peserta demonstrasi mencuri tumpuan apabila beliau mengangkat palang di satu lorong plaza tol Batu Tiga menyebabkan beberapa kenderaan melepasinya tanpa perlu membuat bayaran.

Bagaimanapun, Dr Xavier yang berada di situ segera mengarahkan palang tersebut diturunkan dan beliau berjanji untuk membayar ganti rugi yang ditanggung pihak PLUS.

Categories
NASIONAL

“Haram Jadah” Najib Pecah Belahkan Masyarakat

SHAH ALAM 10 MEI : Ungkapan ‘haram jadah’ Datuk Seri Najib Razak terhadap peneroka yang menentang penyenaraian Felda Global Ventures Holding(FGVH) ke bursa saham menunjukkan Perdana Menteri gagal menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin negara, kata Khalid Samad.

Label ini diberi Najib semasa mengumumkan pemberian RM15,000 kepada setiap peneroka Felda hasil penyenaraian itu di Felda Jengka 8 baru-baru ini.

“Haram jadah mereka itu jangan terima kebaikan daripada penyenaraian itu.. saya nak tengok muka-muka ini, durian runtuh itu mereka hendak terima atau tidak..haram jadah saya tak redha mereka ini menerima,” Najib dipetik berkata..

Jelas Khalid, Najib tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan itu bagi memaki hamun peneroka yang tidak bersetuju dengan penyenaraian FGVH.

Katanya, setiap keluarga peneroka berhak mendapat habuan mereka kerana tanah mereka dicagarkan.

“Sebelum ini, ramai pihak tidak bersetuju dengan penyenaraian itu kerana tanah Felda digunakan sebagai cagaran tetapi mereka teruskan juga.

“Apabila mereka teruskan, jadi secara tidak langsung peneroka berhak mendapat duit mereka, kalau sudah dicagarkan kenapa duit tidak boleh ambil, duit itu pun bukan duit bapak dia (Najib),” katanya dalam satu sidang media, di pejabatnya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu menambah, sebagai Perdana Menteri, Najib seharusnya bersikap adil tanpa mengira kedudukan pembangkang atau penyokongnya.

“Memilih bulu itu bukan cara untuk menyatupadukan rakyat,” katanya.

Malah, niat Najib dalam kenyataan mahu membubarkan parlimen selepas pemberian itu juga menunjukkan ia politik semata-mata.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rahim Noor Bukti Produk Umno-BN Tanamkan Kebencian Terhadap Pembangkang

 

SHAH ALAM 10 MEI : Sikap Tan Sri Rahim Noor yang melabelkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘bapa kafir’ menunjukkan mantan Ketua Polis Negera itu produk Umno-BN yang giat menanam kebencian kepada kakitangan awam supaya membenci pihak pembangkang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata hal itu juga membuktikan pemikiran pegawai kerajaan dirosakkan Umno-BN sehingga mereka tidak dapat bertindak secara profesional.

Katanya, sebagai pegawai kerajaan dan bekas Ketua Polis Negara beliau seharusnya bersikap neutral.

“Umno-BN sudah menanamkan kebencian kepada pegawai-pegawai kerajaan terhadap pembangkang sehingga kami (pembangkang) dianggap sebagai musuh. Itu tindakan zalim terhadap mereka yang bersama kita dalam apa jua perkara.

“Sikap berpihak kepada sesuatu pihak tidak sepatutnya ditunjukkan dalam institusi kerajaan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya.

Tambahnya, sebagai negara demokrasi berparlimen, pembangkang mempunyai hak untuk dihormati.

“Sistem itu juga memungkinkan berlaku pertukaran kerajaan. Jadi jangan kerana Umno-BN mula sedar rakyat sudah menolak mereka, mereka mula menukar fakta dan meningkatkan propaganda bagi mengekalkan jawatan Perdana Menteri kepada keluarga lain yang diamalkan secara turun temurun itu.

“Jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, kita akan bebaskan mereka dari pengaruh politik. Kita tidak akan gunakan polis sebagai satu sayap parti untuk menentang pembangkang,” katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menambah hubungan polis dan rakyat kini tegang selepas perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

“Ini kerana polis sudah menganggap rakyat sebagai musuh dan pemberontak. Kita tidak mahu kefahaman ini diamalkan oleh mereka,” katanya.

Rahim sebelum ini didapati bersalah memukul separuh mati Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Aman pada tahun 1999.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad : Perlu Selidik Sebelum Keluar Fatwa

SHAH ALAM 10 MEI : Majlis Fatwa Kebangsaan perlu adil dan melakukan kaji selidik sebelum mengeluarkan sebarang fatwa kepada umum bagi mengelak ia dipandang rendah dan mengeluarkan fatwa atas desakan Kerajaan Pusat semata-mata.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, seharusnya institusi itu mengeluarkan sesuatu fatwa berdasarkan kebenaran dan keadilan bukan sekadar menyokong tindakan Umno-BN.

“Sepatutnya mereka keluarkan fatwa dengan kemas supaya tidak ada sebarang pertikaian,” katanya ketika mengulas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang memutuskan penglibatan individu dalam Bersih 3.0 sebagai haram.

Selepas itu barulah Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman menyatakan jawatankuasa itu sedia berbincang semula berkenaan perkara itu.

Tambah Khalid, dalam keputusan itu juga Majlis Fatwa sepatutnya memanggil kedua-dua pihak termasuk Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0), Datuk A Samad Said.

“Ini sudah keluarkan fatwa, hendak berbincang buat apa? sepatutnya bincang dahulu sebelum kuarkan, kemudian nanti apabila dapat maklumat baru bincang semula.

“Jadi apa pandangan masyarakat berkenaan institusi itu nanti? Bukan kita yang menghina majlis fatwa tapi kalau majlis fatwa tidak bertindak dengan teliti maka akhirnya majlis fatwa akan dipandang hina,” katanya.

Jelas Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pihaknya boleh menerima fatwa itu sekiranya benar perhimpunan itu berniat untuk merusuh.

“Tetapi perhimpunan itu bukan untuk merusuh atau merosakkan harta awam. Kita pelik apabila keluar kenyataan dari tiga bekas Ketua Polis Negara, fatwa kemudian orang lain, ini seolah-olah diatur dan dirancang,” katanya.

Khalid kemudianya menyoal Majlis Fatwa berkenaan isu pilihanraya.

“Pilihanraya yang menipu rakyat, adakah ia halal atau haram? dan mahu adakan pilihanraya yang bersih adakah halal atau haram?.

“Bertindaklah dengan cara menjaga martabat Majlis Fatwa. Sebelum ini pun, Mufti Perak keluarkan fatwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turun ke Thaipusam di Batu Caves adalah haram tetapi esoknya, apabila jumpa Najib ubah fatwa mengatakan ia harus. Ini jelas mereka tidak selidik dahulu,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM 1 Juta Diperuntukkan Untuk Karnival Anak Muda Selangorku

SUBANG, 7 MEI : Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 1 juta untuk menjayakan Karnival Anak Muda Selangorku khusus untuk mengembangkan bakat dan kebolehan anak muda dengan cara yang sihat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri peka akan keinginan dan naluri anak muda untuk mencuba sesuatu yang baru termasuk berlumba motosikal dan aktiviti-aktiviti lasak.

Beliau berkatanya demikian ketika merasmikan upacara penutup Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” pusingan pertama di Speedway Plus Circuit Elite USJ semalam.

Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” ini memberi ruang kepada golongan muda yang meminati sukan perlumbaan bermotor mengembangkan bakat di tempat yang sah serta diiktiraf badan sukan permotoran tempatan.

Menurut Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, program ini bertujuan memberi impak kepada pembangunan serta mengembalikan kegemilangan sukan perlumbaan motor.

“Karnival ini julung-julung kali diadakan dan persedian penganjuran selama tiga tahun bagi mendapat kerjasama Automobile Association of Malaysia (AAM) dan Motorsports Association of Malaysia (MAM),” katanya ketika memberi ucapan di majlis yang sama.

Perlumbaan ini disertai hampir 300 pelumba dan kepada semua jenis model motosikal yang menggunakan sistem engin empat dan dua lejang berkuasa 150cc ke bawah.

Bagi kategori Marco Simoncelli Cup empat lejang pengubahsuaian penuh, tempat pertama dimenangi oleh Mohd Adib Rosli yang membawa pulang hadiah RM2,500. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Rizal Shahril dengan hadiah RM1,500 manakala tempat ketiga dimenangi Suhaizarul Suhaizat yang mendapat RM1,000.

Hadiah kesemua kategori disampaikan oleh Abdul Khalid diiringi Dr Yunus Hairi serta Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari dan MP Shah Alam, Khalid Samad.

Selain itu, karnival ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang turut memberikan kuliah santai sejurus selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Karnival tiga hari ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti pameran motorshow dan cabutan plat nombor bertuah serta turut memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda melalui pameran perniagaan.

Pusingan kedua Karnival Selangorku “Selangor Motor Race 2012” akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun 2012 di litar yang sama.

Categories
SELANGOR

Azhar Idrus Jelaskan Hukum Lumba Haram, “Clubbing”

SUBANG, 7 MEI : Sempena dengan “Selangor Motor Race 2012”, penceramah agama popular, Ustaz Azhar Idrus mengadakan Kuliah Santai yang mencuit hati para kaki motor yang datang ke Speedway Plus Circuit Elite USJ di sini, semalam.

Sesi soal jawab bersama Azhar kali ini tertumpu kepada isu yang melibatkan sukan bermotor dan tuntutan agama Islam.

Antara soalan yang dikemukakan hadirin adalah apakah hukum menonton perlumbaan haram?

Azhar menjawab:

“Lumba haram bermaksud perlumbaan yang tidak dibuat di trek dan memudaratkan diri sendiri, hukum tengok lumba haram tidak haram tetapi haram jika tengok tidak memakai seluar kerana menunjukkan aurat”.

Soalan lain juga menanyakan apakah hukum jiran sebelah rumah yang membunyikan motor sehingga mengganggu solat.

Azhar lalu menjawab:

“Tiada hukum dalam hadis mengatakan ekzos motor itu haram namun yang ada haram menyakiti dan menyusahkan orang lain serta haram membuat bising ketika melalui rumah orang”.

Selain itu, ada juga soalan bertanyakan hukum ‘clubbing’ (mengunjungi kelab malam) tetapi tidak minum arak.

Azhar menjawab:

“Clubbing tidak haram tetapi suasananya yang menjadikannya haram kerana ada wanita tidak menutup aurat dan sebagainya, jadi lebih baik kita ‘clubbing’ di rumah bersama isteri kerana isteri memang ditugaskan untuk melayan kita dan halal”.

Sementara itu, Azhar berkata, sukan sudah wujud di zaman Nabi Muhammad kerana Khalifah Umar Al Khattab suka perlawanan gusti dan juga terdapat lumba unta di waktu itu.

“Islam nak memperkenalkan bahawa hobi dan minat boleh asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak.”

“Main dam boleh tetapi tak bolehla main dari pukul dua petang sampai tiga pagi,” ujarnya.

Katanya, main dam dibenarkan tetapi tidak sampai mengganggu tugasan harian yang lain seperti mencari rezeki dan beribadat.

Majlis penyerahan hadiah “Selangor Motor Race 2012” turut dihadiri Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi dan MP Shah Alam Khalid Samad.

 

 

Categories
NASIONAL

Scorpene: Keengganan Najib Bukti Beliau Bersalah

SHAH ALAM 4 MEI : Keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk tidak hadir ke mahkamah Perancis berhubung skandal pembelian dua kapal selam Scorpene akan memberikan impak yang besar terhadap kredibiliti pemimpin tertinggi negara tersebut di mata dunia.

Selain itu tindakan tersebut juga akan memberikan gambaran yang menunjukkan beliau seorang pemimpin yang tidak bertanggungjawab, tidak amanah dan menyalah guna kuasa.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata keengganan itu juga akan membuktikan Najib sebenarnya terlibat dalam skandal terbabit seperti yang didakwa sebelum ini.

“Ianya akan menimbulkan andaian dan tanggapan banyak pihak bahawa beliau sebenarnya bersalah dan terlibat dalam amalan rasuah itu,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata apabila kerajaan Perancis mengambil tindakan seperti itu, ianya menunjukkan satu usaha yang baik untuk menangani masalah rasuah termasuk amalan kontraktor dan pembekal membayar pihak tertentu untuk mendapatkan kontrak.

“Walaupun ianya boleh menguntungkan ekonomi mereka tetapi kerajaan Perancis tidak mahu amalan itu dilakukan oleh kontraktor dan pembekal Perancis kerana bagi mereka jika mahu mendapatkan kontrak sekalipun biar atas sebab merit bukan atas sebab rasuah,” katanya.

Justeru, Najib dan kerajaan pusat sepatutnya memberikan sokongan yang sepenuhnya untuk membantu kerajaan Perancis itu untuk menentukan amalan perdagangan yang bersih dan bebas rasuah.

“Dalam usaha seperti itu, walaupun kerajaan Perancis mendapatkan keuntungan dari segi ekonominya kerana kontrak itu tetapi usaha yang murni itu sepatutnya Najib memberikan sokongan penuh.

“Hal ini juga akan menunjukkan jika kita ingin bersaing di pentas antarabangsa, ekonomi syarikat-syarikat kita tidak akan mampu bertahan kerana budaya rasuah menjadi amalan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab untuk Najib enggan hadir ke mahkamah Perancis kerana ianya melibatkan keuntungan ekonomi negara kita masa akan datang.

“kalau mahu membeli barang, tidak perlu rasuah orang dan tidak payah beli dengaan harga yang tinggi. Kalau dikatakan ianya menjadi satu amalan biasa maka akhirnya ekonomi kita juga akan terjejas kalau nk bersaing di pentas antarabangsa pun kita akan kalah.

“Sememangnya di negara kita wujud keperluan pihak ketiga dalam urusniaga pembelian tetapi mengapa kerajaan perlu membayar dengan harga yang tinggi,” katanya.

Semalam, Pendakwa awam Perancis yang menyiasat urusniaga pembelian senjata Perancis-Malaysia mendakwa menemui bukti bahawa menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak meminta AS$1 bilion (RM3 bilion) untuk syarikat tempatan Perimekar daripada DCNI – anak syarikat pembuat kapal Perancis DCN.

Menurut kertas pendakwaan yang didedahkan oleh NGO Suaram, terdapat satu faks menunjukkan bahawa Najib didakwa meminta jumlah itu untuk Perimekar sebagai syarat bagi mengadakan pertemuan dengan beliau pada 14 Julai 2001.

Faks bertarikh 1 Jun 2001 dari Francois Dupont, wakil Malaysia untuk syarikat swasta Thales Asia International, kepada D Arnaud.

Dokumen itu, satu daripada 153 yang ditunjukkan kepada Suaram, telah dirampas oleh polis Perancis dari pejabat Henri Gide, seorang pegawai Thales.

Malah, Waran tangkap antarabangsa boleh dikeluarkan oleh hakim Perancis jika saksi enggan membantu sesuatu siasatan selepas sepina dikeluarkan.

Menurut peguam Perancis, Joseph Breham, yang mewakili NGO Suaram dalam aduan awam berhubung dakwaan membabitkan sogokan jutaan ringgit dalam urusniaga pembelian senjata, “amaran merah” boleh dihantar kepada Interpol sebagai langkah terakhir.

“Jika saksi itu enggan mematuhi sepina tersebut, mahkamah boleh mengeluarkan notis mandat d’amener, memaksa saksi hadir di mahkamah.

“Jika saksi (masih) tidak mahu mematuhinya, maka waran tangkap boleh dikeluarkan.

“Waran tangkap berkenaan berkuatkuasa dalam wilayah Perancis, dan mungkin diantarabangsakan, jika hakim merasakannya perlu,” katanya.

Bulan lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau atau sesiapa sahaja dari kementeriannya, tidak akan membantu siasatan di Perancis itu.

Zahid dinamakan dalam senarai tujuh orang saksi yang dicadangkan oleh Suaram, yang telah diterima oleh hakim siasatan Perancis, Roger Le Loire.