Categories
NASIONAL

Khalid Samad Saman Balas Hasan Ali

SHAH ALAM 4 MEI : Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad hari ini mengumumkan akan memfailkan saman balas terhadap Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.

Menurut Khalid, beliau kini dalam usaha memfailkan saman terhadap Dr. Hasan melalui peguamnya, Hanifa Maidin berhubung dakwaan menggelarnya parasit dalam PAS.

“Saya dalam proses ‘compiling’ bagi kes saman balik ini. Insya-Allah dalam masa dua minggu lagi peguam saya akan memfailkannya di mahkamah.

“Tindakan ini juga diambil ekoran saman yang dikemukakan terhadap saya oleh Dr. Hasan Ali,” jelas Khalid dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu menerima surat saman daripada Dr. Hasan pada 27 April lepas di pejabatnya.

“Saman itu berkenaan dengan kenyataan saya sebelum ini yang memohon penjelasan daripadanya mengenai siapa taja beliau yang mana pada waktu itu menjadi perbualan hangat.

“Pertanyaan itu sekadar ingin memberi peluang kepadanya untuk menjelaskan dari mana sumber dia dapat untuk melakukan road tour dan juga perlancaran pertubuhan ‘Jati’ di SACC (Shah Alam Convention Centre).

“Kita maklum bahawa kesemua itu memerlukan perbelanjaan yang besar, jesteru itulah kita memohon penjelasan darinya, bukannya menuduhnya menerima tajaan dari mana-mana pihak,” ujar Khalid sambil menambah jumlah saman tidak dinyatakan sebaliknya akan ditentukan oleh mahkamah.

Dr. Hasan dipecat dari PAS awal tahun ini kerana dilihat sering mengeluarkan pandangan yang bertentangan dan merugikan PAS. Beliau kemudian digugurkan dari jawatan Exco Negeri Selangor sebelum bertindak menubuhkan Jati yang didakwanya untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan Raja-raja.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad: Penjawat Awam Mesti Merdekakan Jiwa Dari Umno-BN

SHAH ALAM, 27 APR: Penjawat awam disaran supaya setia kepada negara dan kerajaan bukan atas dasar parti yang sedang berkuasa dan tidak perlu takut untuk melaksanakan agenda perubahan.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata, tidak menjadi masalah sekiranya kakitangan kerajaan menegur atau menolak pemimpin Umno-BN pada pilihanraya akan datang sekiranya mereka melihat sendiri penyelewengan yang berlaku.

“Mungkin kakitangan kerajaan berasa dalam keadaan sedikit dilema sama ada mereka adalah sepatutunya setia kepada kerajaan atau kepada agenda perubahan.

?Oleh kerana dengan segala latihan seperti BTN (Biro Tata Negara) dan sebagainya, mereka tidak dapat bezakan antara (jentera) kerajaan dengan Umno-BN,” katanya di dalam satu sidang media di pejabatnya di sini.

Tambah Khalid, sebagai orang yang terdedah dan melihat sendiri salahguna kuasa seperti pendedahan dari sumber dalaman Kastam berkaitan cincin bernilai RM24 juta, mereka disaran agar tidak mengambil sikap bersubahat.

Jelas beliau, kekeliruan yang membelengu sesetangah penjawat awam kerana
belum belaku perubahan tampuk pemerintahan di peringkat persekutuan dan mereka masih keliru diantara kerajaan dan parti pemerintah.

Dalam pada itu, orang Melayu diingatkan supaya tidak terpedaya dengan dakyah yang dimainkan oleh Umno-BN supaya tidak menyokong Pakatan Rakyat yang membangkitkan penipuan di dalam daftar pemilih.

Menurutnya, kuasa orang Melayu dalam pentadbiran masih kekal sekiranya Pakatan menerajui kerajaan.

“Ianya tidak ada kena mengena mengenai survival menyelamatkan politik orang Melayu tetapi untuk menyelamatkan Umno.

?Kedudukan orang Melayu tetap sama cuma bezanya adalah jenis orang Melayu yang memerintah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad : Sertai Bersih Untuk Tolak Politik Kotor

BANDAR TUN RAZAK, 27 APR: Perhimpunan Bersih 3.0 esok bukan untuk menjatuhkan pemimpin Melayu tetapi untuk menjatuhkan ahli politik melayu yang rakus dan kotor seperti pemimpin Umno-BN.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata penolakan rakyat terhadap pemimpin terbabit mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih daripada rasuah, bebas penyelewengan, adil dan membela nasib rakyat.

Katanya, selama ini orang Melayu khususnya, hanya dimomok-momokkan dan ditakut-takutkan oleh Umno-BN kononnya jika tidak mengundi Umno-BN, Melayu akan mati.

“Mereka turun ke kampung-kampung untuk menyebarkan fitnah demi fitnah kononnya nak selamatkan Melayu. Mereka bohong kerana mereka tahu yang rakyat sudah tolak mereka,” katanya dalam ceramah menjelang BERSIH 3.0.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bekas Menteri Kabinet, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Justeru Khalid menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menyertai Himpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan esok di Dataran Merdeka.

“Kita akan pastikan dengan kepimpinan politik melayu yang baru nanti akan berakhlak dan bertanggungjawab.

?Orang Melayu jangan kita takutkan lagi, kita akan jauhkan budaya politik kotor, rasuah, dan kita akan corakkan pemimpin politik melayu yang sebenar,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata cukup penting untuk rakyat membanjir bandaraya Kuala Lumpur dengan baju yang berwarna kuning supaya rakyat memberitahu Umno-BN bahawa rakyat sudah tidak mahu ditipu lagi.

“Katakan yang kita sudah tahu mereka menipu dan rakyat sudah meluat dengan pemimpin seperti mereka.

“Jika dulu Umno-BN dilahirkan sebagai parti demokrasi tetapi kini ianya tidak lagi, bukan pada pemimpin kini,” katanya, yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Ummo.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad : Azmin,Tian Persenda Raja Melayu Adalah Bohong

SHAH ALAM, 18 April : Dakwaan seorang pegawai perubatan, Dr Rahman Kadir menerusi laman web sosial kononnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mempersendakan Raja-Raja Melayu semasa majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, Rabu lalu dipertikai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Khalid berkata, beliau mempersoalkan dakwaan itu kerana didapati beberapa kenyataan yang dikeluarkan Rahman mengenai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presiden parti itu, Tian Chua sebagai mengelirukan.

Katanya, beliau yang duduk sebaris dengan Azmin manakala Tian Chua dibarisan depan Azmin.

Menurutnya, yang menimbulkan persoalan ialah apabila Rahman mendakwa duduk di depan Tian Chua tetapi boleh mendengar perbualan antara Azmin dan Tian Chua kerana jarak agak jauh memandangkan kerusi antara satu sama lain yang agak besar.

?Mungkin dia (Rahman) ada buat pembedahan plastik surgeri ke apa,hingga boleh mendengar sebab jarak antara kami adalah jauh kerana saiz kerusi tersebut agak besar.

?Saya duduk di kerusi bernombor tujuh sebaris dengan Azmin (tiga) tetapi tidak mendengar apa-apa yang didakwa oleh Rahman,? katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Khalid berkata, beliau turut mempersoalkan kebenaran dakwaan itu kerana Rahman mengatakan dia duduk di depan barisan ahli Parlimen pembangkang sedangkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut duduk di situ.

Jelas beliau, gambaran diberikan oleh Rahman itu sebagai ?pembohongan’ dan Khalid mempersoalkan sama ada Rahman hadir atau sebaliknya.

?Kenyataan dia (Rahman) mengelirukan apabila mengatakan duduk di depan ahli parlimen pembangkang padahal kita tidak duduk asing malah bercampur bersama ahli parlimen BN.

?Jadi saya pertikaikan sama ada dia hadir dan sekiranya ya maka apakah nombor kerusi dan barisnya?,? katanya.

Beliau menegaskan adalah mustahil Azmin dan Tian Chua mengeluarkan kenyataan seperti didakwa itu kerana ia boleh mengakibatkan ahli Parlimen lain menggunakan kesempatan itu untuk menjadikannya isu.

” Isu ini ditimbulkan adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat khususnya masyarakat Melayu daripada isu penyelewengan, penipuan SPR dan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing serta pelbagai isu yang kita timbulkan, dan pihak mereka (Umno-BN) hendak tenggelamkan dengan isu yang bersifat emosi.

“Sejarah yang menunjukan bahawa Umno sendiri yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu apabila meminda perlembagaan dengan mengurangkan kuasa sultan dan Agong,” kata Khalid.

Categories
NASIONAL

SPRM,Audit Negara Diminta Siasat Isu Tanah UITM Perlis

SHAH ALAM,18 APRIL : Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara diminta untuk menyiasat isu pembelian tanah yang melibatkan penggunaan wang daripada Universiti Teknologi Mara (UITM) Arau Perlis.

Ahli Parlimen Shah Alam,Khalid Samad berkata tanah yang dibeli oleh UITM Arau Perlis di Langkawi untuk pembinaan kampus itu didakwa menggunakan duit daripada Dana Penyelidikan UITM Perlis digunakan atas nama peribadi.

” Ini dilakukan dengan tujuan supaya akhirnya ia dijual kembali kepada UITM dengan keuntungan berlipat kali ganda. Mereka beli tanah ini dengan harga hampir RM1 juta, tetapi akan menjualkannya kepada UITM yang memang ada rancangan untuk membuat kampus di situ dengan harga RM25 juta,” kata Khalid.

Tambah beliau,pendedahan awal ini sudah dilaporkan kepada Ketua Audit Negara dan serta laporan kepada pihak SPRM Selangor pada 15 Mac 2012 berhubung perbuatan itu.

” Kita harap semua pihak yang terbabit untuk memberikan respons dan memberikan penjelasan tentang apa yang diberikan oleh pemberi maklumat itu,” katanya semasa sidang media di pejabat beliau di sini.

Jelas Khalid, jika benar dakwaan itu ia akan merugikan pihak UITM yang boleh membeli tanah tersebut dengan harga rendah.

” Individu tersebut tidak ada apa-apa kaitan dengan UiTM Arau Perlis atau UiTM Pusat, beliau adalah seorang broker tanah yang menggunakan duit Dana Penyelidikan UiTM, bagi kita perbuatan ini adalah satu pengkhianatan,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Rani: Serangan Nazir Masjid Di Bangi Di Dalangi Umno

SHAH ALAM,18 APRIL : PAS Selangor mengecam tindakan serangan ke atas Nazir Masjid As-Solehin Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Abdul Basir Alias yang mana tindakan itu dikenalpasti di dalangi oleh pemimpin Umno setempat.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata tindakan tersebut perbuatan tidak bertamadun yang membangunkan budaya samseng di mana akan menjejaskan keharmonian masyarakat.

“PAS Selangor mengharapkan agar pihak polis dapat melakukan siasatan dan pemantauan terhadap laporan tersebut dengan lebih serius,” ujar Dr Rani dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini.

Dr Rani berkata Umno-BN kini semakin terdesak disebabkan semakin kehilangan kuasa dan sokongan sehingga sanggup mengambil tindakan kekerasan yang ganas terhadap pemimpin-pemimpin masyarakat.

” Apakah tindakan samseng ini natijah daripada hasrat Presiden Umno yang mahu merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat dengan apa cara sekalipun,” ujar beliau.

Kejadian tersebut berlaku semasa nazir masjid baru memulakan mesyurarat agung tahunan pemilihan jawatankuasa masjid apabila beliau didatangi oleh pemimpin Umno setempat.

Seterusnya,salah seorang penyokong Umno telah menghantukkan kepala kepada Abdul Basir sehingga menyebabkan mata beliau lebam dan bengkak.

Bimbang atas keselamatan dirinya, maka Abdul Basir telah membuat laporan polis kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Categories
SELANGOR

Setelah 50 Tahun Menunggu, SJK(T) Ladang Midlands Kini Berwajah Baru

SHAH ALAM, 15 APR : Setelah sekitar 50 tahun murid-murid sebuah sekolah Tamil di sini belajar di dalam bilik darjah dinding papan dan lantai simen, mereka akhirnya mendapat bangunan dan dewan baru.

Bangunan dan kemudahan baru seperti makmal komputer dan perpustakaan yang tidak pernah dirasai murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Midlands itu sebelum ini, dibina dengan lebih RM4.7 juta.

Sebanyak RM 3 juta disumbangkan Kerajaan Selangor, manakala RM 1.7 juta dikumpulkan oleh jawatankuasa PIBG.

Pembinaan sekolah tersebut tidak menggunakan satu sen pun dari Kerajaan Pusat.

Bangunan sekolah baru itu boleh menempatkan kira-kira 2,000 murid-murid, sementara bangunan lama di kawasan bersebelahan akan dirobohkan untuk dijadikan padang bagi aktiviti kokurikulum.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata, pembinaan bangunan sekolah serba moden bernilai lebih RM3 juta itu merupakan hadiah buat rakyat menerusi perolehan hasil kekayaan negeri.

Menurutnya, pembinaan sekolah dan dewan serbaguna itu adalah bukti kesungguhan dan ketelusan kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat (PR) dalam membantu nasib rakyat tidak kira bangsa dan agama untuk merasai pembangunan negeri.

“Pembinaan bangunan sekolah dan dewan ini merupakan satu penterjemahan daripada hasil negeri yang kita beri kepada rakyat dan pertama kali dalam sejarah.

?Polisi kerajaan PR, kalau hendak beri bantuan, sediakan dahulu baru cakap.

?Di bawah Belanjawan Selangor, kita memperuntukkan berjuta-juta ringgit untuk pembangunan sekolah Tamil dan kita akan teruskan pemberian hasil negeri ini sekiranya diberi mandat untuk memerintah Selangor lagi, ” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri upacara perasmian bangunan SJK(T) Ladang Midlands dan Midlands Concention Centre di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, MP Shah Alam, Khalid Samad, MP Subang, R.Sivarasa, MP Gombak Azmin Ali, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Sekolah yang didirikan atas tanah seluas empat ekar itu memiliki 24 buah kelas, dewan perhimpunan, bilik mesyuarat, bilik komputer, perpustakaan, kantin dan bilik guru.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menyelar kegagalan kerajaan Umno-BN untuk memberi pembelajaran selesa kepada pelajar khususnya anak-anak ladang sehingga mengakibatkan mereka tercicir dari aspek pendidikan.

Ujarnya, peruntukan pendidikan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat juga gagal diurus dengan baik sehingga hari ini.

“Kerajaan pusat menjanjikan tanah untuk pembinaan sekolah, tetapi mereka tidak buat malah peruntukan yang sepatutnya ada untuk pendidikan juga tidak sampai kepada rakyat.

?Kerajaan pusat mengutip cukai daripada rakyat untuk membuat kemajuan di negara ini, tetapi ke mana hasil itu pergi?

?Walaupun kerajaan Selangor berbelanja besar untuk diberikan kepada rakyat, tetapi simpanan tunai kita tetap meningkat,” jelasnya.

 

 

 

Categories
NASIONAL

Protes Anti Lynas Berlangsung Secara Aman di Shah Alam

SHAH ALAM, 13 APR : Protes terhadap kilang pemprosesan nadir bumi Lynas Corporation berlangsung petang tadi di Dataran Bandaraya Shah Alam di sini sebagai sebahagian daripada himpunan anti-Lynas yang berlaku serentak di seluruh negara.

Himpunan yang di anjurkan Solidariti SeMalaysia Himpunan Hijau dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada beberapa pemimpin tempatan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Demonstrasi aman itu dimulakan dengan laungan ‘Henti Lynas, Hidup Rakyat’ oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau di sokong oleh individu dari 31 badan bukan kerajaan (NGO) seperti Badan Bertindak Anti Nadir Bumi(Badar), Stop Lynas Coalition (SLC), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU) dan lain-lain.

Dalam ucapannya, Mat Sabu menegaskan projek tersebut hanya akan membawa kemusnahan, kesan buruk kepada alam sekitar sekaligus menyebabkan penderitaan.

Beliau berkata, projek nadir bumi itu juga hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu di samping merugikan rakyat.

“Ini bukan berkenaan kepentingan Umno-BN, tapi ia berkaitan hal kemanusiaan. Kita akan menentang projek ini secara berterusan kerana ia membawa kesan buruk dan berbahaya kepada rakyat,” katanya. 

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula mendedahkan syarikat yang menjalakan projek tersebut diberi hak istimewa dan kedudukan luar biasa sehingga tidak perlu membayar cukai selama 12 tahun walaupun menerima keuntungan berbilion ringgit.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan pusat yang seolah-olah lepas tangan terhadap keselamatan rakyat walaupun sudah sedia maklum projek bernilai jutaan ringgit itu akan menghasilkan sisa radioaktif.

“Kerajaan tidak akan menutup kilang ini sehingga kita membuktikan kilang itu tidak selamat. Nak buktikan macam mana lagi? Nak tunggu sehingga rakyat mati baru terbukti?

?Patutnya, kalau terbukti ia selamat, baru dibuka, bukan sebaliknya. Ada satu penjelasan yang boleh memberi penerangan kenapa kerajaan bertindak sedemikian rupa iaitu pihak-pihak tertentu telahpun menerima duit dan sogokan.

?Pada pandangan saya, mereka telah diberikan duit atau dijanjikan duit berterusan sehingga kerajaan tidak sanggup untuk menukar keputusan yang dibuat,” selarnya.

Turut serta dalam himpunan itu adalah Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Ketua Penerangan PAS Selangor, Saari Sungib dan Pengerusi Solidariti Hijau SeMalaysia, Zulkefly Mohamad Omar.

Juga hadir Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Mohamad Safwan Anang dan wakil ABU, Haris Ibrahim.

Himpunan yang sama turut berlangsung di 10 lokasi lain seperti di Pahang (Masjid Al-Fatah, Batu 3, Kuantan), Perak (Tapak kilang ARE Bukit Merah, Menglembu), Sarawak (Masjid At Takwa, Miri) dan Kelantan (Dataran Ilmu, Kota Bharu).

Lokasi lain yang turut terbabit adalah Negeri Sembilan (Taman Tasik Seremban), Kedah (Dataran Jam Besar, Sungai Petani), Johor (Masjid Daerah Batu Pahat), Melaka (Masjid Al Azim), Terengganu (Masjid Pengadang Baru, Kuala Terengganu), Pulau Pinang (Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh).

Kilang bernilai RM700 juta di Gebeng, Kuantan oleh itu diusahakan oleh Lynas Malaysia Sdn Bhd, anak syarikat Lynas Corporation dari Australia.

Ia menimbulkan kontroversi kerana didakwa akan menghasilkan sisa radioaktif yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Categories
NASIONAL

Penyenaraian FGVH Rugikan Peneroka

SHAH ALAM, 28 MAC : Penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia didakwa akan menyebabkan Felda mengalami defisit pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang akan merugikan generasi kedua Felda untuk jangka masa panjang.

Situasi ini menyebabkan Felda hanya akan memperolehi pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehingga RM508 juta, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan Dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli.

“Dengan pendapatan hanya sekitar RM750 juta setahun berbanding kos operasi mencecah RM2 bilion adalah dikhuatiri Felda akan gagal beroperasi dengan stabil.

“Apabila Felda menjadi agensi yang rugi maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung akibatnya,” kata Naquib yang juga mewakili Angkatan Muda Keadilan Selangor dalam sidang media di Pejabat MP Shah Alam, Khalid Samad di sini.

Prorakyat berpendirian akan menentang sebarang usaha untuk menyenaraikan FGVH ke Bursa Saham Malaysia dan akan bersama seluruh rakyat Malaysia dan  warga Felda untuk berhimpun dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri pada Jumaat, 30 Mac ini jam 3 petang.

“Hasrat Felda untuk memajak 350 ribu hektar tanahnya selama 99 tahun kepada FGVH bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956 kerana FGVH tiada hak ke atas tanah peneroka itu,” dakwa beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Warga Felda Prihatin, Mohd Kamil Yasin berkata, penyenaraian FGVH ini akan merugikan generasi kedua Felda sepertimana yang berlaku dalam penjualan tanah di Felda Sendayan yang nasib mereka kini semakin terhimpit.

Beliau turut mempersoal kerana saham yang diberi itu nanti tidak boleh ditunaikan.

“Kalau hendak dikatakan orang Felda ini mempunyai saham yang tinggi ia sudah banyak kali diperkatakan,kita mahu perkara ini dengan telus,” katanya.

Sementara itu ,Pengerusi Biro Peneroka PKR, Suhaimi Said berkata, penyerahan memorandum di Pejabat Perdana Menteri akan diiringi dengan kain putih ditandatangi warga Felda dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad : Rakyat Selangor Sedar Nasib Malang Jika Bawah Umno-BN

SHAH ALAM 19 MAC : Rasuah, kenaikan harga air dan pemesongan harta awam antara implikasi yang rakyat Selangor bakal terima jika Umno-BN kembali memerintah selepas pilihan raya yang akan datang.

Sambil mengatakan peluang untuk Umno-BN menakluk kembali Selangor adalah gelap, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad berkata rakyat kini bijak menilai dan tidak akan tertipu dengan kata-kata Umno-BN.

“Rakyat sedar jika peluang diberi kepada BN, maka berulanglah kembali amalan rasuah dan ketidaktelusan pentadbiran.

“Rakyat juga tahu implikasi yang bakal mereka terima dari segi kenaikan tarif air untuk menampung kerugian kroni BN iaitu Syabas.

?Rakyat juga secara keseluruhannya sedar jika BN kembali bertahta, maka segala harta milik rakyat akan difaraidkan kepada mereka sahaja,” jelas Khalid apabila dihubungi.

Khalid berkata demikian untuk menyangkal kenyataan terkini Pengerusi Umno-BN Datuk Seri Najib Razak yang gagasan itu yakin akan menakluk kembali pemerintahan Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah kerap kali membuat kenyataan seumpama itu di dalam lawatan mereka ke beberapa kawasan di dalam Selangor.

Khalid berkata peluang BN juga dilihat gelap memandangkan mereka kekurangan calon berkaliber untuk mencabar integriti cemerlang pimpinan Pakatan.

“Ini merupakan antara cabaran terbesar mereka kerana barisan kepimpinan negeri ini sekarang sememangnya sukar dicabar oleh barisan mereka.

“Tambah pula dengan prestasi Kerajaan Negeri yang bukan sahaja di tahap terbaik malah semakin dekat di hati setiap rakyat negeri ini,” ujar Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Categories
SELANGOR

Khalid Samad: Ambil Alih Air S’gor Sangat Wajar

SHAH ALAM, 18 MAC: Rakyat Selangor perlu diingatkan semula kesan yang mereka bakal hadapi sekiranya menyerahkan kembali mandat kepada Umno-BN terutamanya dalam isu penswastaan konsesi air dan langkah pembatalan perjanjian ini wajar disokong oleh semua pihak.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara konsistan berusaha sedaya upaya mengambil alih industri air Selangor sangat wajar dan bertepatan dengan wawasan Merakyatkan Ekonomi Rakyat Selangor.

Selain itu katanya, selama ini sumber air Selangor diperniagakan kepada rakyat demi kepentingan para kroni Umno-BN tanpa memikirkan bebanan rakyat.

Katanya, langkah kerajaan negeri bertemu dengan dua operator air antarabangsa untuk mendapatkan pandangan berhubung pengurusan air lebih cekap seperti yang ditetapkan Akta Industri Air Perkhidmatan Air 2006 disambut baik sebagai usaha untuk mengembalikan hak rakyat setelah sekian lama dinafikan Umno-BN.

“Rakyat Selangor perlu diingatkan sekiranya Umno-BN kembali memerintah Selangor maka Syabas melalui Puncak Niaga akan kembali berkuasa dan kadar air akan mereka naikkan seperti mana dalam perjanjian mereka dan ini akan memeberikan kesan sebanyak 71 peratus peningkatan berbanding kadar sekarang.

“Pada masa sama mereka akan mendapat pampasan oleh kerajaan Selangor di bawah Umno-BN jumlah sebanyak RM1 billion sepertimana yang mereka tuntut di dalam saman mereka,” katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Tambah Khalid, reaksi beberapa pihak sebelum ini yang mengatakan Selangor bakal mengahadapi krisis air pada masa akan datang merupakan satu rekaan semata-mata memandangkan taburan hujan yang tinggi sehingga mengakibatkan bencana banjir di beberapa kawasan.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad: Hukum MP Sabak Bernam Tak Bererti Kehakiman Bebas

SHAH ALAM, 29 FEB : “Walaupun Datuk Abdul Rahman Bakri adalah Ahli Parlimen Umno-Barisan Nasional (BN) tetapi dia masih lagi ikan kecil berbanding dengan yang lebih besar iaitu jerung-jerung yang masih lagi tetap bebas,” begitu komen Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Khalid berkata demikian apabila mengulas keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini yang mendapati Ahli Parlimen Sabak Bernam itu bersalah atas lapan tuduhan membuat tuntuan palsu berjumlah RM80,000.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor berkata, keputusan diumumkan itu berkemungkinan bermotifkan politik.

Katanya keputusan tersebut tidak melambangkan institusi kehakiman dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di negara ini bebas kerana banyak lagi kes lain yang “dilepaskan” serta tidak disiasat.

Menurut Khalid, Umno-BN selaku kerajaan mungkin bertindak begitu bagi menggambarkan imejnya yang bersih dengan menjadikan Abdul Rahman sebagai “korban”.

“Ianya kemungkinan mempunyai motif politik di mana Datuk Abdul Rahman ini dijadikan sebagai korbanlah demi memperlihatkan imej Umno-BN itu.

“Ini di antara tindakan yang mungkin dilakukan untuk menunjukkan bahawa instituti kehakiman di negara ini bebas tetapi hakikatnya tidak.

“Masih banyak lagi kes-kes yang jelas tidak disiasat sampai ke akar umbi. Maka dengan ini, institusi kehakiman dan SPRM masih lagi tidak boleh dikatakan bebas dengan sepenuhnya,” katanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan Abdul Rahman, 47, bersalah selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwa.

Abdul Rahman dituduh membuat lapan tuntutan palsu dengan nilai RM10,000 setiap satu yang berjumlah RM80,000 daripada peruntukan kawasannya berhubung majlis yang tidak pernah dijalankan.

Dia dituduh membuat tuntutan itu di antara 21 Januari dan 4 Februari 2008 ketika menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ayer Tawar.