Categories
NASIONAL SELANGOR

BLACK505 : Penganjur Mengalu-alukan Kerjasama Polis – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 21062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Urusetia Black 505 mengalu-alukan kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi yang akan membantu penganjuran himpunan Black 505 esok.

2. Angkatan Muda Keadilan membidas PDRM yang bercadang meminta campurtangan tentera menangani himpunan Black 505 di ibu negara, esok.

Shamsul menyifatkan kenyataan itu sebagai melampau dan satu bentuk ugutan.

3. Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri termasuk 12 wakil daripada BN hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri Selangor sesi ke-13, Jumaat depan.

4. Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini mencipta sejarah apabila mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri wanita pertama di negara ini.

5. Dewan Undangan Negeri Selangor akan menawarkan Ketua Pembangkang daripada Barisan Nasional Datuk Mohd Shamsuddin Lias supaya mempengerusikan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri.

Categories
NASIONAL

AMK Gesa PR Asak ROS Luluskan Pendaftaran PR

kongres PKR 3

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa agar Pakatan Rakyat (PR) mengasak Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya segera meluluskan pendaftaran PR sebagai sebuah entiti.

Ini kerana menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kegagalan berbuat demikian hanya menyukarkan untuk PR bergerak sebagai sebuah entiti sehingga berlaku pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Ia masih menunjukkan kelemahan PR untuk menjamin kesatuan dan kerjasama dalam memfokuskan sasaran dengan menumbangkan satu sahaja musuh; BN.

“Sehubungan itu, sudah sampai masanya, bagi PR terus menggasak ROS bagi meluluskan PR sebagai sebuah entiti dengan fokus ‘satu parti, satu bendera, satu pengerusi dan satu manifesto,” ujar Shamsul dalam ucapan dasarnya dalam Kongres AMK di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Sebelum ini, PR mengemukakan permohonan pendaftarannya pada 2010 namun menghadapi halangan yang mana ROS mengkehendaki ia didaftar sebagai ?Pakatan Rakyat Malaysia?.

ROS turut menolak pendaftaran PR dengan alasan Datuk Zaid Ibrahim yang ketika itu bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran tersebut sudah keluar dari PR.

PR selepas itu memasukan pendaftaran baru dengan menamakan Datuk Kamaruddin Jaffar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja PR yang baru.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada 3 Januari lalu, sehingga kini RoS masih tidak  memberikan sebarang jawapan terhadap permohonan tersebut.

Categories
NASIONAL

AMK Minta SPR Jawab 10 Soalan

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggariskan 10 persoalan yang perlu dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai syarat bagi sayap parti itu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang  berlangsung pada 5 Mei lalu.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, antara persoalan yang perlu dijelaskan SPR, isu daftar pemilih yang gagal dibersihkan dan isu penggunaan dakwat kekal yang boleh dihilangkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

“Secara faktanya, menurut laporan Akhbar Focus Malaysia keluaran minggu ke 23/2013, dilaporkan pengakuan pengerusi SPR sendiri bahawa terdapat 42,000 nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih terkini.

“Dikebanyakkan negara, keseluruhan keputusan pilihan raya akan diisytiharkan tidak sah sekiranya daftar pemilih itu tidak dibersihkan,” kata Shamsul dalam ucapan dasarnya di Kongres AMK dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Isu lain yang perlu dijelaskan SPR, laporan ejen-ejen pilihan raya yang tidak dibekalkan borang 14, dakwaan bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi, terdapat peti undi dibawa masuk di saat akhir, dakwaan terdapat pengundi diberikan kertas undi tidak dicop dan nombor siri direkodkan.

Shamsul turut meminta SPR memberikan penjelasan berhubung isu dakwaan kertas undi pengundi luar negara yang mempunyai kesan bertanda, liputan yang adil dari media elektronik yang dibiayai pembayar cukai, isu keselamatan peti undi pengundi awal yang disimpan dalam lokap dan pembetulan lokaliti yang didakwa menyukarkan pengundi.

“(Pengerusi SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof perlu bertanggungjawab bukan hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Shamsul lagi.

“Sejumlah RM400 juta duit pembayar cukai digunakan untuk mengendalikan PRU-13, merupakan tertinggi dalam sejarah dan tentunya rakyat Malaysia menuntut kepada satu penjelasan yang mengesankan dan bukan penafian semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum itu, Kongres AMK dan Wanita yang dihadiri hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan jemputan khas itu dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sementara Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lepas pula akan dilangsungkan keesokkan hari di dewan sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bagi BR1M Tetapi BN Gagal Kawal Barang Naik

Shamsul Iskandar Md Akin Treler 02

BANTING, 7 APRIL : Walaupun menawarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia(BR1M) tetapi BN masih gagal menghalang kenaikan harga barang.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, BN tidak layak menobatkan parti mereka dengan gimik politik ‘Better Nation’ kerana parti itu lebih sinonim dengan ‘Barang Naik’ ekoran kegagalan dasar-dasar mereka mengekang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pasca pilihan raya.

Sebaliknya beliau mengatakan dasar program ekonomi yang dibentangkan Pakatan Rakyat(PR) bagi membantu rakyat lebih menyeluruh bagi membantu semua kelompok masyarakat.

Tambahanya, tawaran yang dikemukakan PR dalam manifestonya kepada rakyat adalah lebih baik daripada apa yang ditawarkan BN di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya berjanji akan menaikkan pemberian BR1M kepada RM1,200.

Shamsul Iskandar Md Akin Treler 01“Jika tahun 1966 ekonomi negara kita pendapatan perkapita rakyat negara ini adalah USD350 yang lebih baik daripada Korea Selatan, Taiwan dan Singapura tetapi kini pendapatan perkapita rakyat adalah USD22,000.

“Tetapi berbanding dengan Korea Selatan kini pendapatan perkapita rakyat sudah mencecah USD35,000 dan jauh meninggalkan kita jadi bagaimana BN boleh mengatakan mereka negara ini ‘Better Nation’ jika ekonomi sudah jauh ketinggalan,” kata Shamsul.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Jelajah Demi Rakyat yang diadakan di Pantai Morib di sini yang turut dihadiri oleh Mantan Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani dan Mantan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Kata Shamsul, tawaran manifesto PR yang menjanjikan penurunan harga minyak dan kereta, penghapusan bayaran tol, pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penurunan barangan dan perkhidmatan akan mengurangkan bebanan rakyat.

Jelasnya, sekurang-sekurangnya sebanyak RM600 sebulan dapat dikurangkan dalam perbelanjaan rakyat apabila dasar ekonomi Pakatan Rakyat dapat dilaksanakan.

“Sebab itu Pakatan Rakyat berani membentangkan program ekonomi ini apabila kerajaan baru dibentuk kerana kita komited dalam membantu rakyat untuk semua kelompok masyarakat merasai kekayaan ekonomi negara.

“Pakatan Rakyat juga berkemampuan melaksanakan manifesto yang dijanjikan,” kata Shamsul.

Sebelum ini, BN berjanji untuk menaikkan kadar BR1M kepada RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang bagi menangani kos sara hidup, jika parti komponen itu terus diberi mandat memerintah.

BN dalam manifestonya yang bertajuk ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’ yang dilancarkan Najib di Stadium Bukit Jalil malam tadi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Chegu Bard Umum Tak Tanding PRU, Sedia Jadi Jentera Biasa

badrul hisham chegubard ceramah yelow 01

SHAH ALAM, 31 MAC : Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13.

Sebaliknya menurut aktivis anak muda yang semakin popular itu, beliau bersedia bergerak sebagai jentera biasa bagi membangkitkan kesedaran rakyat melawan regim Umno-BN.

“Mengajak semua peringkat pro perubahan bersatu dan menolak prasangka, saya dengan ini menegaskan untuk tidak bertanding dalam PRU-13 dan sedia menjadi jentera biasa.

“Komrad SAMM percaya anak muda cita-citanya harus tidak singkat hanya untuk bergelar YB. Tetapi cita-cita kami ialah mencipta secara perubahan total yang akan dibaca generasi mendatang,” ujar Badrul Hisham.

Pada masa ini menurut Badrul Hisham, SAMM akan meneruskan pelbagai program yang telah dirancang termasuk menyusun kerja dan startegi golongan muda untuk berdepan dengan Umno-BN dalam pilihan raya nanti.

“Saya tidak punya jawatan dalam parti politik cuma anggota biasa dalam PKR, namun sedar tetap terikat dengan disiplin parti.

“Apa keputusan parti dan keperluan parti untuk peranan yang saya harus mainkan dalam PRU ke 13, saya akur,” katanya lagi.

Dalam pertarungan di Parlimen Rembau, PRU-12 pada 2008 lalu, Badrul Hisham meskipun tewas kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, beliau berjaya mengecilkan majoriti yang dimenangi BN dari 18,656 pada 2004 kepada 5,746.

Beliau kemudiannya tewas dalam perebutan Ketua AMK menentang penyandang jawatan, Shamsul Iskandar Md Akin dalam Pemilihan PKR 2010.

Selepas itu beliau menubuhkan SAMM, sebuah pertubuhan yang dilihat berjaya mengisi kekosongan dalam menyediakan platform bagi golongan muda yang ingin bergerak sebagai aktivis badan bukan kerajaan yang mahu menentang Umno-BN.

Chegu Bard dalam SAMM terus aktif dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan golongan anak muda sehingga sesetengah pemerhati menganggap pertubuhan NGO itu lebih menangkap pemerhatian anak muda berbanding parti politik.

Antara penglibatan besar SAMM termasuklah penganjuran demontrasi BERSIH 2.0 dan 3.0, Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013, siri jelajah penerangan dan beberapa pembongkaran isu yang melibatkan pemimpin BN.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Rakyat Berlawan Dengan Tauke Arak Dan Judi Dalam PRU Ke13

Ceramah Anwar 04

RAWANG 23 MAC : Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan dalam pilihan raya kali ini rakyat bukan sahaja terpaksa berdepan dengan Umnp-BN serta jentera kerajaaan tetapi rakyat terpaksa berdepan dengan ‘tauke-tauke’ besar yang terdiri daripada golongan pemodal kapitalis.

Ceramah Anwar 07“Semalam adik Najib iaitu Nazir mengumumkan agar rakyat menyokong kerajaan abangnya, jadi sekarang ini kita (rakyat) terpaksa lawan dengan pihak ‘bank’ dan ‘tauke’ besar dan ‘tauke’ judi dan arak seperti yang dimiliki keluarga Mahathir.

“Maknanya kita perlu kekuatan dan kita perlu bersedia kerana mereka (Umno-BN) boleh membuat apa sahaja,” ujar Anwar yang juga Ketua Pembangkang

Ujarnya, rakyat perlu memberikan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk membuat perubahan total politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) ini ekoran kebejatan politik yang dibawa Umno-BN selama ini.

Ceramah Anwar 02“Kita yakin Insya Allah menang dan tawan Putrajaya, kena hendak menang dengan kasih dan yakin rakyat kepada kita dan untuk angkat martabat rakyat dan ini yang akan kita lakukan.

“Malahan doa daripada Dr Yusof Al-Qaradawi juga mendoakan kemenangan Pakatan Rakyat, ini soal kesedaran rakyat yang mahu merdeka, keadilan, mahu hak mereka dan rakyat bangkit, sebab itu kita katakan ini satu kebangkitan rakyat, ” kata Anwar.

Beliau juga membidas dakwaan fitnah yang direka untuk mengaibkannya dengan pengedaran gambar yang tidak senonoh dalam serangan terbaru untuk memburukkan peribadinya.

Ceramah Anwar 03Selain itu, Anwar juga yakin peralihan kuasa akan berlaku secara aman dan lancar apabila keputusan PRU-13 memihak kepada Pakatan Rakyat(PR).

Hal itu bersandarkan keyakinan yang diberikan daripada empat mantan kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua mantan kepimpinan tertinggi polis yang menyertai PR.

“Tanggungjawab bekas Jeneral ini dan anggota kanan polis ialah untuk memastikan Pakatan Rakyat menang dalam PRU-13 ini dan peralihan kuasa berlaku dengan aman dan tenteram, Insya Allah.

Ceramah Anwar 05“Tanggungjawab saudara-saudara semua adalah untuk mempertahankan kemenangan di Selangor dan saya ucap terima kasih kerana memberikan kemenangan dalam PRU-12 dan perlu menang lagi khususnya di kawasan DUN Kuang ini,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian semasa Ceramah Jelajah Merdeka Rakyat diadakan di Bandar Tasik Puteri di sini.

Anwar juga mengumumkan dalam ceramah itu Ahli Parlimen Selayang, William Leong akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya lalu.

Sebelum ini dalam PRU 12, William mengalahkan calon daripada MCA-BN, Lee Li Yew dengan memperolehi undi sebanyak 30,701 berbanding lawannya yang mendapat 27,134 undi.

“Oleh demikian pimpinan PKR memaklumkan kepada pimpinan Pakatan Rakyat bahawa kita minta saudara-saudara semua untuk memberikan sokongan kepada William Leong kekal sebagai Ahli Parlimen Selayang,” kata Anwar.

Dalam program itu kira-kira 5,000 hadir yang turut dihadiri Ahli Parlimen Selayang, William Leong, Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin serta artis, Man Kadir lebih dikenali Pak Jabit yang membintangi filem Hantu Mak Limah.

Categories
NASIONAL

Serangan Lahad Datu Melenyapkan Pendedahan Bala

Lahad Datu

SHAH ALAM 1 MAC: Serangan polis ke atas kubu kumpulan penceroboh dari selatan Filipina hari ini dipercayai bermotifkan politik dengan cubaan Kerajaan Umno-BN melenyapkan pendedahan P. Balasubramaniam berkenaan misteri pembunuhan Altatunya.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin, tanggapan rakyat akan ke arah ini kerana Kerajaan Pusat seharusnya tidak membenarkan perkara ini berlanjutan jika tindakan diambil daripada awal.

“Kerajaan Umno-BN tidak boleh menyalahkan rakyat dengan persepsi ini, kelemahan ketara dalam kabinet apabila Menteri Luar, Datuk Anifah Aman gagal menggunakan saluran diplomatik menyelesaikan isu ini sehingga mengancam keselamatan rakyat Sabah.

“Dan rakyat berhak menyatakan tindakan serangan ini sebagai sesuatu yang dirancang ditengah-tengah kehangatan manifesto Pakatan Rakyat dan kepulangan penyiasat persendirian Bala yang mahu mendedahkan siapa sebenarnya terlibat dalam pembunuhan wanita Monggolia Altantuya Shariibu,” kata Iskandar.

Tambahnya, tidak timbul ia berlaku secara kebetulan atau tidak, masa yang diambil terlalu lama dan kesan akibat serangan ini amat besar terhadap rakyat Sabah khususnya yang ada kaitan kuat dengan Kesultan Sulu.

“Kini rakyat cemas, saya dimaklumkan pada ketika ini beberapa sekatan polis berlaku di daerah Papar terhadap penduduk yang ada pertalian darah tadi. Perkara ini tidak baik untuk negara.

“Saya sanjung tinggi usaha polis menjaga keamanan, tetapi saya tidak dapat lari daripada berasa simpati dan bersedih dengan kematian yang berlaku. Dan saya ingin tegaskan sekali lagi Kerajaan Pusat terutama Menteri Dalam Negeri perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan,” katanya.

Hari ini menurut laporan Bernama, dua komando polis Malaysia terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata  dari selatan Filipina.

Mereka terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu daripada pos di sekitar Kampung Tanduo.

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Sambut Baik Gagasan Anak Muda, Tetapi Minta Penambahbaikan

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 02

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Dua gerakan mahasiswa hari ini menyambut baik Lima Gagasan Anak Muda atau disebut sebagai Dokumen Merah yang dilancarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu.

Menurut Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, gagasan tersebut dilihat turut menyentuh ekonomi makro dan mikro golongan anak muda.

“Contohnya, cadangan teksi motor pelancongan, mungkin nampak kecil, tetapi ianya memberi peluang kepada orang-orang yang tercicir dari sistem untuk dapat peluang perkerjaan,” ujar beliau dalam Majlis Diskusi Gagasan Anak Muda petang tadi.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 01Antara perkara yang dijangka menarik perhatian anak muda dalam gagasan itu termasuk caruman takaful anak muda bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah yang melibatkan 6.5 juta golongan muda seluruh negara.

Gagasan itu juga menawarkan tabung masa depan anak muda dan tabung pemberhentian kerja yang memberikan elaun RM 500 sebulan dalam tempoh tertentu sehingga mendapat perkerjaan.

AMK turut meletakan sasaran untuk melancarkan ‘teksi motor pelancongan’ bagi membuka peluang pekerjaan untuk anak muda menganggur sekiranya PR menang dalam pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang, gagasan itu patut memasukkan jaminan membebaskan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari cengkaman badan politik.

“Bukan mahasiswa sahaja, tetapi saya kira semua warga IPT mahu universiti atau kolej mereka bebas membuat keputusan sendiri.

“Tidak dipengaruhi kuasa politik tidak kira dari BN atau PR termasuklah dalam melantik jawatan tertinggi seperti naib canselor,” kata Safwan.

Majlis yang diadakan di dalam suasana agak santai itu dihadiri Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 03Shamsul Iskandar berkata gagasan tersebut merupakan sebahagian dari manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat (PR).

“Saya juga nak tekankan gagasan ini yang kita akan serapkan dalam manifesto PR yang akan dilancarkan pada 25 Febuari ini.

“Kita bimbang mungkin ada yang menganggapnya satu retorik politik, jadi kita nak tegaskan ianya boleh dan akan dilaksanakan,” kata Shamsul.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa wakil mahasiswa dari IPT sekitar Lembah Klang.

Gagasan itu menyentuh lima isu utama iaitu pemberdayaan pendidikan anak muda, kualiti hidup anak muda, kesaksamaan politik dan demokrasi anak muda, perumahan startegik anak muda dan merakyatkan kebudayaan dan sukan anak muda.

Categories
NASIONAL

SUHAKAM Digesa Siasat Malam Berdarah Lembah Pantai

KUALA LUMPUR: MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar telah menghantar satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berhubung keganasan politik pada ?malam berdarah Lembah Pantai? pada 24 Mei lalu.

Beliau berkata keganasan politik pada malam itu, di mana batu, telur dan botol air dilontarkan ke penonton ceramah Pakatan Rakyat, merupakan satu deklarasi perang terhadap demokrasi dan rakyat.

Seorang warga emas cedera dibahagian kepala dipercayai terkena batu yang dilemparkan ke arah hadirin yang berkumpul di ceramah tersebut di flat Pantai Permai, Lembah Pantai.

Ceramah yang bertajuk ?Halatuju Politik dan Ekonomi Negara? itu memaparkan ucapan dari Nurul Izzah, MP Batu Tian Chua, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam memorandum itu Nurul Izzah menuntut satu siasatan menyeluruh untuk mengenalpasti jika wujud satu perancangan sistematik intimidasi politik melalui insiden-insiden keganasan politik.

Siasatan itu juga untuk mengenalpasti pihak disebalik kempen ganas itu yang menafikan hak rakyat berpolitik dan mengancam demokrasi.

Setakat ini, enam laporan polis telah dibuat berhubung kejadian provokasi yang pernah berlaku di kawasan Lembah Pantai terutamanya melibatkan program-program Pakatan Rakyat.

MP Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Senator Datuk Raja Nong Chik dijemput untuk hadir ke Suahakam bagi bersama-sama menyerahkan memorundum tersebut. Namun tiada wakil dari kedua-dua pihak yang hadir.

Memorandum tersebut diterima pesuruhjaya SUHAKAM James Nayagam. MP Cheras Tan Kok Wai dan MP Segambut Lim Lip Eng turut hadir bagi menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut Nurul Izzah, jika Pakatan terus diganggu untuk mengadakan program aman, perkara ini akan menyekat usaha demokrasi memandangkan Malaysia mempunyai pelbagai parti politik.

Katanya, kejadian sebegini bukan sahaja mendatangkan risiko kepada ahli politik, tetapi turut melibatkan orang awam yang hadir untuk mendengar penerangan isu semasa.

Beliau menambah, perkara ini merupakan antara fokus utama untuk dibangkitkan dalam sesi Parlimen yang akan berlangsung Jun ini.

“InsyaAllah sekiranya Datuk Seri Najib tidak mahu memanggil pilihanraya lagi kita akan bangkitkan isu ini.

?Perkara ini berlaku secara berterusan dan saya berasa sedikit gerun kerana ini bukan sepatutnya budaya yang harus dihadapi. Kita mahu semua ahli politik menolak budaya samseng sebegini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK: PTPTN Di Jadikan Isu Perkauman Oleh UMNO

SHAH ALAM, 11 APR : Isu perkauman yang cuba ditakut-takutkan oleh Kerajaan Umno-BN jika PTPTN dimansuhkan jelas sekali membuktikan  Umno-BN ketandusan isu dan tidak mengkaji Perlembagaan Malaysia.

Ketua Angkatan Muda KeAdilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin berkata kenyataan yang dibuat oleh Umno-BN jika memansuhkan PTPTN akan menyebabkan orang-orang Melayu semakin mundur dan ketinggalan adalah tidak masuk akal.

” Isu pemansuhan PTPTN telah menjadi modal politik Umno-BN untuk mencetuskan isu perkauman dikalangan orang Melayu dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” jelas beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut Perkara 153 Perlembagaan Malaysia, menjadi tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan Bumiputera.

Sehubungan itu, artikel ini juga menyebut, Kerajaan Pusat ditugaskan untuk melindungi kepentingan Bumiputera dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Justeru itu, telah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk menyediakan pendidikan yang sepatutnya dinikmati oleh golongan Bumiputera.

Beliau turut berkata, sistem pendidikan yang digunapakai sekarang ini jelas membebankan pelajar kerana dibebani hutang  yang tinggi selain akan turut mempengaruhi masa depan pelajar terbabit.

” Pelajar akan dibebani hutang sehingga 20 tahun kerana melanjutkan pelajaran sedangkan matlamat pendidikan itu sendiri untuk menyediakan setiap rakyat yang mempunyai ilmu pengetahuan,” tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut menyatakan AMK akan menyokong Perhimpunan amam Mansuhkan PTPTN yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 14 April ini.

“Seluruh jentera AMK di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan akan bersama mahasiswa untuk menyertai perhimpunan  aman ini,” katanya.