Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Demo Gesa SYABAS Pulih Bekalan Air – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 11012013

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 11 JANUARI 2013 :

1. Lebih 50 penduduk sekitar Pandan berhimpun di Wisma Rozali semalam bagi menggesa Syabas memulihkan bekalan air di kawasan terbabit yang terputus bekalan sejak dua minggu lalu.

2. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sekali lagi membuktikan kemampuan pentadbirannya apabila berjaya melangsaikan janji lapuk Umno-BN pada kempen Pilihan Raya Umum ke 12 lalu dengan membina Jejantas kos RM1.35 juta berbanding RM3 juta yang dijanjikan Umno-BN.

3. Kerajaan Selangor mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan penggunaan kalimah Allah dalam lagu Selangor sebagai suatu isu yang besar kerana tiada unsur penghinaan dan penyalahgunaan kalimah tersebut.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Unsur Sabotaj Isu Air : Hayat Mahu SPRM Siasat SPAN, SYABAS

Demo Depan Syabas 05

SHAH ALAM 10 JAN : Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mahu satu siasatan terperinci dijalankan terhadap Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam isu krisis bekalan air di Ampang.

Presidennya, Arshad Ahmad berkata siasatan itu perlu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis bagi memastikan kejadikan bekalan air yang terputus itu bukan satu sabotaj yang dilakukan oleh mana-mana pihak yang berniat untuk memburukkan Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Syabas mendakwa lima pam air di Wangsa Maju rosak menyebabkan penduduk sekitar Ampang dan Cheras terputus bekalan air sejak dua minggu lalu.

“Kami tidak boleh terima alasan yang diberikan oleh Syabas kerana ia adalah tanggungjawab Syabas membuat perancangan dan pemantauan secara berkala.

“Kegagalan demi kegagalan kepada sistem Syabas dalam tempoh kebelakangan ini menimbulkan pelbagai tanda tanya contohnya kegagalan fungsi rumah pam Wangsa Maju dan rumah pam Pudu Hulu.

“Mengapa semua pam itu rosak? Adakah ia satu sabotaj dari mana-mana pihak untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menyalahkan Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas membuat satu bantahan aman terhadap Syabas di Wisma Rozali.

Kira-kira 50 penduduk di sekitar Ampang hadir mendesak Syabas menyelesaikan masalah itu.

Antara kawasan yang terlibat Taman Dagang, Taman Cahaya, Pandan Jaya, Taman Nirwana dan Ampang Mewah.

Categories
SELANGOR

Penduduk Demo Gesa SYABAS Pulih Bekalan Air

Demo Depan Syabas 01

SHAH ALAM 10 JAN : Lebih 50 orang penduduk di sekitar Pandan hari ini berhimpun di Wisma Rozali di sini bagi menggesa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) memulihkan bekalan air di kawasan terbabit yang terputus bekalan sejak dua minggu lalu.

Penduduk bersama badan bukan kerajaan (NGO), Hak Air Untuk Rakyat (Hayat) mula berkumpul di Wisma Rozali pada jam 12 tengah hari bagi menghantar memorandum kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Rozali Ismail.

Mereka turut membawa sepanduk yang tertera antaranya ‘Syabas terbabas’, ‘Syabas tidak boleh harap’, ‘kembalikan hak rakyat’ dan ‘disebabkan Syabas anak kami tidak ke sekolah’ serta ‘disebabkan Syabas peniaga tidak dapat berniaga’.

Pengerusi Hayat, Arshad Ahmad berkata rata-rata penduduk di sekitar Ampang tidak berpuas hati dengan Syabas kerana tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik.

Katanya, Syabas dilihat cuba mempolitikkan isu air demi kepentingan pihak lain dan menyalahkan Kerajaan Negeri.

“Penduduk kesal dengan apa yang berlaku, Syabas tidak sepatutnya membangkitkan kemarahan rakyat.

“Kami juga mendesak Syabas supaya menyerahkan pengurusan air kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Lebih memburukkan keadaan, Arshad mendakwa Syabas hanya menghantar lori bekalan air kepada penduduk hanya sekali dalam tempoh dua minggu ini.

Beliau menambah penduduk tidak teragak-agak untuk menyaman Syabas sekiranya bekalan air tidak dipulihkan dengan segera.

Penduduk, Lee Shok Jing, 32, berkata penduduk tidak boleh menerima alasan-alasan yang diberikan Syabas kerana sudah menjadi tanggungjawab syarikat itu melakukan perancangan dan persediaan agar penduduk mendapat air tanpa gangguan.

“Bekalan air yang terputus ini menyebabkan penduduk bergaduh sesama sendiri, contohnya semalam, penduduk tertekan hingga bergaduh sesama sendiri untuk mendapatkan air yang dihantar, kami tidak mahu perkara ini terus berlaku,” katanya.

Memorandum yang diambil oleh wakil Syabas iaitu Pengarah Eksekutifnya, Ismail Hashim.

Sebelum ini, masalah bekalan air itu didakwa berpunca daripada lima pam air di Wangsa Maju mengalami kerosakkan menyebabkan beberapa kawasan terputus bekalan air antaranya di kawasan sekitar Ampang dan Cheras.

Demo Depan Syabas 04 Demo Depan Syabas 02 Demo Depan Syabas 03

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Berusaha Selesaikan Gangguan Air Dalam Seminggu

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM : Kerajaan Selangor akan bekerja keras bagi memastikan bekalan air yang terjejas di Cheras, Gombak dan Ampang akan disambungkan dalam tempoh seminggu.

Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemantau Bekalan Air Selangor sudah mengadakan mesyuarat harian bersama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bagi menyelesaikan masalah gangguan itu.

Walaupun gangguan itu adalah kegagalan Syabas dalam melaksanakan tanggungjawabnya, namun Kerajaan Negeri akan tetap membantunya menyelesaikan masalah yang telah berlangsung selama hampir dua minggu.

?Kita tahu semua pergerakkan Syabas. Kita akan selesaikan masalah pam air Wangsa Maju ini dalam satu minggu,? kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mesyuarat Exco pafa 9 Januari.

?Ini lah komitmen Kerajaan Selangor kepada rakyat,? kata Abdul Khalid.

Mengikut perjanjian dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, Syabas bertanggungjawab bagi pengedaran air terawat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Gangguan bekalan tersebut berlaku setelah lima pam air di rumah pam di Wangsa Maju rosak dan gagal berfungsi hampir dua minggu lalu.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata gangguan itu boleh dielak sekiranya Syabas menyelenggara pam di rumah pam sejak dari awal tahun lepas dan bukan apabila berlaku gangguan bekalan air.

Manakala dalam kenyataan 9 Januari, Abdul Khalid berkata sebab-sebab yang diberikan oleh Syabas mengapa pam air Wangsa Maju gagal berfungsi tidak boleh diterima.

Rumusan tersebut dicapai setelah Kerajaan Negeri memanggil semua pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah pam tersebut termasuk jurutera, pereka dan kontraktor.

Siasatan mendapati Syabas gagal menyelenggara dengan baik sistem VSD yang digunakan di dalam operasi pam-pam itu.

?Kerajaan Negeri mendapati dakwaan Syabas bahawa alat gantian yang terlibat perlu diimpot dari Finland tidak benar kerana pembekal mengesahkan bahawa alat itu boleh didapati daripada China dengan perkhidmatan courier?.

Abdul Khalid juga menyeru kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempercepatkan pengambilaliah industri air oleh Kerajaan Selangor bagi mengelakkan masalah seperti ini berulang.

?Kita menggangap masalah gangguan air ini sebagai masalah yang perlu diberi perhatian segera oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia membuktikan kegagalan projek penswastaan air yang diberi kepada syarikat yang tidak berkelayakan dan kompeten.?

Syabas Menggunakan Isu Ketidakcukupan Air Timbulkan Suasana Panik – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 04102013

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 4 JANUARI 2013 :

1. Syabas menggunakan isu ketidakcukupan air untuk menimbulkan suasana panik di kalangan pengguna.

2. Kerajaan Negeri menyediakan pelan bantuan dengan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bersiap sedia bagi mengatasi gangguan bekalan air dibeberapa kawasan di negeri ini.

3. Kementerian Kesihatan didakwa gagal menunaikan janji mereka dalam melaksanakan pembinaan hospital dan klinik yang mencukupi mengikut jumlah penduduk masa ini.

4. Unisel Sediakan Kediaman Sementara Bagi Pelajar Bestari Jaya.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Sedia Pelan Bantuan Atasi Gangguan Air

Miter_air_Syabas

SHAH ALAM, 2 JAN : Kerajaan Negeri menyediakan pelan bantuan dengan meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bersiap sedia bagi mengatasi gangguan bekalan air dibeberapa kawasan di negeri ini.

Menurut Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, Kerajaan Negeri meminta Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk menghantar lori-lori tangki air ke kawasan terlibat di Bandar Tun Razak, Hulu Langat dan Ampang.

Sehingga kini, sebanyak tujuh lori tangki air dihantar oleh PBT-PBT di Selangor ke Wilayah Persekutuan khusus ke kawasan yang terjejas teruk akibat kegagalan Syabas menyelenggara rumah pam air dan membuat pemeriksaan berkala.

“Menteri Besar juga meminta Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor untuk memantau pembekalan air di seluruh negeri dan Wilayah Persekutan Kuala Lumpur serta Putrajaya.

“Pelan bantuan juga disediakan termasuk menghantar lori-lori tangki air ke kawasan yang bermasalah,” katanya.

Gangguan bekalan air ini juga menurut Faekah membuktikan bahawa Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak mampu untuk menguruskan pembekalan air kepada seluruh negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Ini juga akibat projek penswastaan industri air yang tidak dilakukan secara berhemah oleh kerajaan BN Selangor.

“Konsesi air bukan diberikan kepada syarikat yang mampu dari segi pengalaman mengurus dan kemampuan kewangan tetapi atas dasar mahu mengkayakan kroni.

“Rakyat yang akhirnya menanggung beban, beban membayar harga yang tinggi dan risiko catuan air yang tidak menentu,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Ujar beliau, ini menguatkan azam Kerajaan Negeri untuk terus mendesak Kerajaan Pusat melaksanakan tanggungjawab mereka di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Setakat ini, Kerajaan Pusat sengaja melambat-lambatkan proses penstrukturan semula industri air yang dicadangkan Kerajaan Negeri.

Jelas Faekah, gangguan bekalan air dijangka berlarutan dan menjejaskan lebih 100,000 akaun pengguna.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Zuraida kecewa SYABAS Gagal Selenggara Pam Air

Zuraidah Kamaruddin pink 01

PETALING JAYA 2 JAN : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) digesa memberi respon segera berhubung masalah ketiadaan bekalan air di beberapa kawasan Selangor.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata masalah ketiadaan air itu berlaku di kawasan Ampang, Gombak dan Pandan.

Katanya, banyak rungutan yang diterima oleh penduduk yang meminta Syabas membuat penjelasan terperinci berhubung masalah itu yang kini berlarutan selama seminggu.

“Bekalan air terputus sejak minggu lepas iaitu bermula 28 Disember dan pada 31 Disember kembali pulih, bagaimanapun, pada 1 Januari hingga hari ini, bekalan air terputus lagi.

“Apabila dihubungi pihak Syabas memaklumkan bahawa lima buah pam air di Wangsa Maju mengalami kerosakkan dan tidak boleh digunakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Zuraida mempersoalkan tindakan Syabas yang tidak membuat penyelenggaraan serta pemeriksaan secara berkala terhadap rumah pam itu sehingga ia rosak serentak.

Jelasnya, ia membuktikan bahawa Syabas sebenarnya tidak mengambilkira perancangan jangka panjang dalam aspek penyelenggaraan, sistem naiktaraf, pemantauan berkala, sistem sokongan yang lebih efektif dan pengurusan berwibawa.

“Jika begini cara Syabas menguruskan bekalan air, seeloknya pengurusan air ini dikembalikan kepada Kerajaan Negeri Selangor. Sepatutnya Syabas memperuntukkan sebahagian pendapatan syarikat untuk kerja baikpulih dan penyelenggaraan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Kayangan Lega Dapat Meter Individu

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 30 DIS : Penantian penduduk Pangsapuri Kayangan di sini untuk mendapatkan meter individu dan menikmati 20 meter padu air percuma dari Kerajaan Negeri menjadi kenyataan apabila proses pertukaran itu dijalankan Disember ini.

Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada Mac 2008 dan mengumumkan pemberian istimewa itu, Pengurusan Badan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut tidak ketinggalan membuat permohonan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi proses penukaran meter pukal kepada meter individu.

Setiausaha JMB pangsapuri berkenaan, Moi Hoy Meng berkata, apa yang diperoleh penduduk di kawasan itu adalah hadiah penuh bermakna sempena perayaan Krismas dan tahun baru 2013 yang akan menjelang.

“Saya begitu gembira kerana apa yang kita tunggu akhirnya menjadi nyata dan ia hadiah penuh makna kepada semua penduduk di pangsapuri ini.

“Semoga kita semua akan beroleh faedah dengan pemberian air percuma daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam majlis meraikan acara itu semalam yang turut berterima kasih kepada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam usaha merealisasikan proses migrasi meter berkenaan.

Proses migrasi tersebut melibatkan 192 daripada 236 rumah di pangsapuri itu dijalankan Syabas dan berakhir baru-baru ini.

Seorang penghuni, Amirul Salleh, 33, menjelaskan dengan pertukaran meter akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk terutama dari segi kewangan lebih menjimatkan.

“Dengan pertukaran meter kita akan mendapat air percuma dan bayaran bil akan berkurangan. Ia akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk dengan cara berjimat,” kata kakitangan kerajaan ini.

Nik Nazmi berkata, dengan kejayaan proses migrasi dari meter pukal kepada individu, diharap penduduk pangsapuri kawasan itu akan menikmati kemudahan disediakan Kerajaan Negeri yang selama ini memberikan pelbagai ganjaran menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau berkata, biarpun proses tersebut memakan masa namun dengan kerjasama semua pihak, ia akhirnya dapat dijayakan dan penduduk memperoleh manfaat seperti dijanjikan.

“Dengan kesungguhan pengurusan JMB dan semua pihak terlibat memperjuangkan perkara ini maka penduduk dapat menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan Negeri menerusi pegangan aset tunai melebihi RM2 bilion ketika ini akan terus memberikan banyak kemudahan kepada rakyat di Selangor,” ujarnya.

Turut hadir, Penasihat JMB, Michael Lim dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam, Izham Hashim.

Categories
SELANGOR

Iskandar Kecewa SYABAS Gagal Pulih Bekalan Air

Iskandar lori Syabas 01

PANDAN JAYA, 30 DISEMBER: Exco Perumahan, Pengerusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad kesal dengan kelewatan bantuan lori tanker Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) ekoran masalah ketiadaan air di beberapa pangsapuri dan perumahan di Dun Cempaka.

Situasai ini nyata mengecewakan dan menyukarkan pengguna melaksanakan aktiviti seharian termasuk mengganggu kelancaran majlis kenduri perkahwinan.

“Tapi sejak tengah malam tadi, tiada tanker yang sampai. Paling teruk di Pangsapuri Seri Cahaya dan rumah teres Taman Bakti yang ada majlis kenduri kahwin.

“Saya tidak boleh terima alasan booster pump di Wangsa Maju rosak. Kenapa tidak ada alat ganti? Kenapa perlu berhari-hari untuk baikpulih?,” kata Adun Cempaka ini dalam satu pesanan ringkas kepada TV Selangor.

Hampir keseluruhan kawasan Dun Chempaka memerlukan bantuan tanker air termasuklah di Pangsapuri Pandan Jaya, rumah teres Pandan Jaya, Taman Bakti, Taman Dagang, Taman Chempaka, Kampung Pandan dan Taman Cahaya

Jelasnya, tanker air yang dihantar tidak mencukupi dan menyeluruh bagi menampung keperluan penduduk.

“Saya telah minta jadual penghantaran tanker dari Syabas supaya dapat saya beritahu kepada penduduk supaya mereka tidak tertunggu-tunggu. Tetapi tiada reaksi balas dari Syabas,” ujarnya lagi.

Iskandar menegaskan, keadaan ini membuktikan betapa pentingnya penstrukturan semula industri air Selangor sekaligus memberikan kuasa mengurus mutlak kepada Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Air Percuma Pangsapuri : Syarat SYABAS Sukarkan Penduduk

KLANG 9 DIS : Tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam menetapkan syarat ketat untuk permohonan proses migrasi meter pukal kepada individu merupakan punca utama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan penduduk pangsapuri tidak dapat menikmati pemberian air percuma oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Berkongsi pengalaman dalam menguruskan permohonan itu, Pengerusi JMB Pangsapuri Bukit Kuda, Ahmad Ibrahim berkata Kerajaan Negeri sebenarnya banyak memudahkan urusan migrasi itu namun Syabas tidak memberikan kerjasama yang sepenuhnya selain meletakkan prosedur yang ketat.

Katanya, antara syarat yang dikenakan Syabas ialah memerlukan persetujuan 100 peratus dari pemilik ia termasuk membuat permohonan baru melalui borang SMP(borang kebenaran tukar meter) bagi setiap individu dan menyediakan RM130 setiap rumah untuk membayar deposit meter air.

Selain itu, penduduk juga dikenakan syarat membayar jumlah keseluruhan bil tunggakan dan segala kos pembaikan paip serta pengubahsuaian meter ditanggung pemilik.

“Syarat yang ditetapkan itu sangat menyusahkan. Sewajarnya mereka (Syabas) faham, untuk melaksanakan semua syarat itu bukan mudah, banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk dan JMB sendiri.

“Pengalaman saya dalam menguruskan permohonan itu memakan masa setahun baru ia selesai itu selepas ditolak beberapa kali oleh Syabas sehinggakan saya terpaksa ke Ibu Pejabat Syabas untuk berusaha mendapatkan air percuma,” katanya kepada TV Selangor ketika ditemui.

Menceritakan lanjut, Ahmad berkata JMB pangsapurinya terpaksa mengeluarkan wang tabung pengurusan itu sebanyak RM15,000 untuk didahulukan bagi membayar bil tunggakan.

Katanya, tidak cukup dengan itu, beliau terpaksa mencari pemilik sebenarnya setiap unit rumah untuk mendapatkan persetujuan daripada mereka.

“Saya hantar sendiri notis kepada sebanyak 450 unit rumah untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka, banyak masalah yang saya hadapi. Itu pun pada mulanya, hanya setengah sahaja yang berjaya saya cari, tetapi akhirnya saya berjaya mengumpulkan semuanya selepas beberapa langkah susulan diambil,” katanya.

Selain itu, jelasnya, penduduk terpaksa membayar RM45 bagi setiap unit rumah untuk mengubahsuai meter mereka manakala JMB mengeluarkan sebanyak RM5,000 untuk membaiki meter.

“Jika dihitung, kos mengubahsuai meter yang ditukar 450 unit rumah itu menelan belanja yang besar iaitu sebanyak RM20,200. Itu kita lakukan sendiri, jika kita memanggil pihak kontraktor sudah tentu harganya dua kali ganda,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan syarat yang dikenakan Syabas itu menyebabkan penduduk pangsapuri lain lambat menikmati pemberian air percuma 20 meter padu itu selain mereka tidak mendapat kerjasama dari penduduk sendiri.

“Setiap penduduk harus faham, begitu juga dengan JMB, jangan menyalahkan Kerajaan Negeri, mungkin permohonan yang dihantar kepada Syabas itu tidak lengkap,” katanya.

Sementara itu, penduduk Hartila Md Daud, 42, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa prihatin terhadap rakyatnya.

“Saya mengharapkan rakyat Selangor terus menyokong Kerajaan Negeri yang sedia ada untuk mentadbir negeri seterusnya ke Putrajaya kerana apa yang saya lihat dan merasainya sendiri, Kerajaan Negeri banyak meringankan beban keluarga saya,” katanya.

Penduduk lain, Imran Ismail, 44, berharap Kerajaan Negeri berterusan membela rakyat yang dilihat semakin dibebankan kerana kos hidup yang tinggi.

“Dengan adanya, pemberian air percuma dan banyak program bantuan yang lain, sedikit sebanyak ia mampu mengurangkan beban kami rakyat Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Laporan Status Bekalan Air di Selangor Rabu Ini

SHAH ALAM, 3 DIS : Kerajaan Negeri akan mendedahkan laporan status bekalan air di seluruh Selangor sejurus Rabu ini selepas Mesyuarat Exco, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, status itu berdasarkan pemerhatian Jawatankuasa Pemantauan Air yang diketuai setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Khusrin Munawi.

“Kita memberi kepercayaan kepada Jawatankuasa ini untuk membuat penelitian selain menerima laporan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) yang menjadi salah satu agensi.

“Boleh jadi pada hari Rabu ini selepas Mesyuarat Exco, saya akan memberikan status terakhir tentang penyaluran air di seluruh Selangor,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai gangguan bekalan air yang melanda sebilangan besar penduduk di kawasan SS15, Subang Jaya, Abdul Khalid berkata, beliau akan merujuk perkara itu kepada Mohd Khusrin untuk tindakan lanjut.

Semalam, stesyen televisyen TV3 melaporkan sebilangan besar penduduk di SS15, Subang Jaya berdepan gangguan bekalan air yang berlarutan sejak dua minggu lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Puashati Perjalanan Dewan, Yakin Selesai Isu Air Melalui Perbincangan

SHAH ALAM 30 NOV : Kerajaan Negeri berpendirian Loji Langat 2 dan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor hendaklah dibincangkan bersama Kerajaan Pusat bagi mencapai persefahaman dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat perlu berbincang secara menyeluruh dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik.

Katanya, perkhidmatan air semasa yang tidak holistik akan terus menyumbang kepada pengurusan air yang tidak cekap dan membebankan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak lagi berupaya mengendalikan pengagihan air kerana menanggung defisit kewangan dan berhutang dengan operator rawatan air melebihi RM400 juta serta gagal membayar royalti air mentah kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM3 juta,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas ucapan penutup sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) hari ini.

Beliau turut menyeru rakyat Selangor supaya terus menyokong usaha penstrukturan industri perkhidmatan air bagi memastikan bekalan air lebih cekap pada harga munasabah.

Dalam pada itu, beliau turut berpuas hati terhadap perjalanan sidang DNS yang bukan sahaja membuktikan Kerajaan Negeri berjaya membentangkan belanjawan berimbang malah berjaya menyerahkan Kertas Putih hutang Talam dan laporan status penstrukturan industri air.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli dewan yang mengambil bahagian dalam perbahasan, saya terima cadangan, kritikan serta hujah yang boleh memberi penambahbaikan kepada Kerajaan Negeri.

Saya mengucapkan terima kasih terima kasih kepada Speaker, Datuk Teng Chang Khim kerana mengendalikan persidangan Dewan penggal kelima dengan baik dan lancar,” katanya lagi.