Categories
NASIONAL SELANGOR

Perutusan Hari Krismas Menteri Besar Selangor

mbMasyarakat Malaysia terkenal dengan perayaan yang rencam. Sifatnya sebagai masyarakat yang majmuk telah menjadikan Malaysia sebagai antara negara yang unik di dunia dari segi budaya dan kepercayaan warganya. Dan sambutan Krismas merupakan salah satu daripada kerencaman kepercayaan tersebut.

Jika dilihat semangat positif yang boleh digarap sempena perayaan ini, Krismas membawa simbol semangat setiakawan dan kesatuan rakyat yang berbilang kaum di negara ini. Bahkan sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita, budaya kunjung-mengunjung, ziarah-menziarahi dan bantu-membantu telah tersemat sebagai agenda wajib dalam proses melahirkan apresiasi yang bersifat rentas agama dan budaya.

Tidak sekadar itu, perayaan yang diserikan dengan cuti umum ini telah mendatangkan kegembiraan yang bukan sedikit buat rakyat kebanyakan. Walaupun tidak disambut atas faktor beza kepercayaan, namun cuti yang diperoleh pastinya menjadi medan solidariti secara tidak langsung antara warga Kristian dan bukan Kristian dalam negara ini.

Dek kerana itulah Selangor sentiasa menjadikan hubungan harmoni antara kaum & kesentosaan hidup masyarakat beragama sebagai pasak kukuh yang harus diikuti dalam setiap agenda kerajaan negeri.

Setiap kemajuan dan pemeringkatan kualiti hidup rakyat disuluh sehingga ke akarnya agar ia tetap melestarikan implementasi nilai-nilai positif yang terkandung dalam setiap kepercayaan dan agama.

Tidak hairanlah jika di bawah pentadbiran kerajaan sekarang, selain menyediakan bantuan kepada pembangunan Islam, kita juga menyediakan peruntukan khas untuk membantu perjalanan rumah-rumah ibadat seperti gereja Kristian, kuil-kuil Buddha dan Hindu serta agama-agama yang lain.

Hal ini penting agar setiap rakyat di negeri Selangor ini memperoleh bantuan yang saksama dan adil. Inilah mekanisme yang telah digunapakai sepanjang kita diberi mandat. Mudah-mudahan ianya diterima rakyat dan terus diberi kepercayaan oleh rakyat, khususnya di Selangor.

Oleh yang demikian, saya mewakili kerajaan negeri Selangor berbesar hati untuk mengucapkan selamat bercuti untuk semua dan selamat menyambut Hari Krismas untuk warga Selangor yang beragama Kristian.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO? SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
Dato? Menteri Besar Selangor

Categories
SELANGOR

Talian Hotline Pantau Tanah Runtuh

SHAH ALAM, 12 DIS : Berikutan hujan lebat yang turun hampir setiap hari, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif menyediakan talian hotline bagi memudahkan orang ramai mengawasi dan melaporkan sebarang tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya tanah runtuh di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, talian bebas tol 1-800-88-2824 yang akan beroperasi bermula Isnin depan memberi kemudahan kepada orang ramai untuk melaporkan sebarang kejadian atau maklumat mengenai pergerakan tanah di kawasan mereka.

Menurutnya, kesemua aduan yang diterima akan dimaklumkan dengan segera kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak berkuasa lain yang akan menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Orang ramai boleh melaporkan jika mendapati air keluar dari permukaan tanah atau cerun; pagar; tembok penahan serta pokok semakin condong atau tumbang; rekahan semakin membesar di permukaan cerun atau permukaan turapan seperti jalan dan laluan kenderaan; paip air bawah tanah bocor dan dinding atau tangga menjadi semakin renggang,” katanya.

Demikian kata Abdul Khalid kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk setempat terutama yang tinggal di kawasan berisiko tinggi seperti di cerun dan bukit supaya mengadakan sistem amaran awal di kalangan komuniti termasuk pelan perpindahan sekiranya berlaku tanah runtuh.

“Kerajaan Negeri amat prihatin terhadap keselamatan rakyat dan menasihatkan rakyat Selangor supaya lebih peka dengan sebarang perubahan di sekeliling kerana persediaan awal boleh menyelamatkan nyawa dan harta,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

MB : Hasil Pasir Menjangkau RM150 Juta

 

SHAH ALAM 5 DIS : Hasil pendapatan daripada sumber pasir negeri telah menjangkau jumlah RM150 juta, demikian jelas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penjelasan tersebut sekaligus menyangkal dakwaan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd. Zin Mohamed kononnya Kerajaan Negeri hanya berjaya mengutip RM32.5 juta melalui hasil pasir dari 2009 hingga 2011.

“Jika dicampur kesemua peringkat hasil kutipan ini melebih jumlah tersebut.

“Apa yang dikatakan Mohd Zin itu tidak betul, apa sahaja yang dikatakannya sebelum ini semuanya tidak betul,” ujar beliau dalam satu sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung di sini petang tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan ketelusan dalam pentadbiran dan tidak pernah menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan rakyat.

“Jika dapat kita akan maklumkan, begitu juga andai kita tidak dapat (hasil), kita akan beritahu rakyat, tidak ada sorok-sorok,” katanya lagi.

Berdasarkan ringkasan Prestasi Tahun Kewangan 2008-2012 KSSB mencatatkan perkembangan positif terutama dari segi jumlah jualan.

Tahun 2011 mencatatkan jualan tertinggi dengan nilai RM84,413,801 hasil daripada jualan 8,030,801 tan metrik pasir.

Sebelum ini, KSSB mencatatkan jumlah jualan RM61,301,231 dengan 5,886,612 tan metrik pada tahun 2010 manakala pada tahun 2009 jumlah jualan yang dicatatkan adalah RM31,028,289 (1,771,792 tan metrik) dan hanya RM4,824,874 (220,139 tan metrik) pada tahun 2008.

Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Dicabar Melawat Tapak Skandal Tanah Di Selangor

SHAH ALAM,5 DIS : Ketua Biro Profesional Muda MCA Pusat, Datuk Chua Tee Yong dijemput melawat tapak 24 keping tanah milik Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan kepada Umno-BN sekitar tahun 2004 -2008.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata, Chua yang terlalu obses berkenaan ‘skandal tanah’ khususnya di Selangor perlu menerima tawaran jemputan ini.

Kata Tony, lawatan bersama ke 24 tapak tanah itu bagi mengesahkan samada tanah yang diberikan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan sememangnya digunakan untuk ‘komuniti’ atau untuk keuntungan parti dan kroni.

“Semasa lawatan bersama Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke kawasan tapak seluas 87.188 kaki persegi di Ara Damansara yang diberikan kepada Umno Bahagian Subang mendapati tidak wujud tadika atau dewan komuniti.

“Sebaliknya kita mendapati sebuah kondominium 200 unit – Kondominium Suria Damansara bernilai lebih daripada RM500 juta yang mula dilancarkan pada tahun 2006,” kata Tony.

Justeru, lawatan bersama itu juga bagi mengenalpasti keuntungan 23 daripada 24 tapak tanah itu yang diperolehi oleh anggota BN daripada tanah tersebut yang diperolehi pada harga murah daripada Kerajaan Negeri BN sebelum ini.

Ng Suee Lim yang dihubungi berkata, dakwaan Ketua Bahagian Umno Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menafikan pemilikan tanah oleh Umno Subang itu sebagai tindakan untuk melindungi diri semata-mata tanpa hujah kukuh.

Kata Suee Lim, geran tanah tersebut masih di atas nama Umno Bahagian Subang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat membina dewan serbaguna dan tadika.

“Sepatutnya beliau mengetahui wujudnya tanah ini yang mungkin berlaku sebelum beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Subang, sepatutnya beliau mempunyai rekod berkenaan perkara ini,” kata Suee Lim.

Jelas beliau, perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan juga laporan kepada polis akan dibuat dalam masa terdekat.

“Menteri Besar Selangor pun bersetuju perkara mengenai ini di bawa ke Selcat yang kini akan diteliti oleh Jawatankuasa Selcat,” katanya.

Categories
NASIONAL

MB : Tanah Selangor Bukan Untuk ‘Tauke Sewa’ – Detik Semasa

Sinopsis

DETIK SEMASA Untuk 29112012

Saksikan DETIK SEMASA sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) Selangor.

Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 29 NOVEMBER 2012 :

1. MB : Tanah Selangor Bukan Untuk ‘Tauke Sewa’
2. Adun PR Tidak Berminat Ambil Tanah Selangor

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

MB : Tanah Selangor Bukan Untuk ‘Tauke Sewa’

SHAH ALAM 28 NOV : Tanah untuk aktiviti komersial seperti perniagaan atau pertanian akan dijual pada harga pasaran supaya hasil penjualan itu dapat disalurkan kepada negeri dan rakyat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ini berbeza dengan pendekatan pentadbiran Umno-BN dahulu yang memberikan tanah tanpa penilaian yang berpatutan.

Abdul Khalid berkata tanah juga hanya akan diberikan kepada pemilik yang juga pengusaha atau owner-operator.

Ianya bukan untuk ?rentier? atau ?tauke sewa? iaitu mereka yang ingin memajak atau menyewakan tanah berkenaan kepada orang lain.

“Bukan seperti dahulu, tanah diberikan secara terlalu murah, kini kita akan menawarkan tanah mengikut dasar perniagaan dan harga semasa.

“Duit yang kita perolehi ini juga akan digunakan kembali untuk keuntungan rakyat,” ujar beliau menjawab soalan lisan daripada Adun Dengkil, Datuk Marsum Paing mengenai Lesen Menduduki Tanah Sementara (TOL) yang diberikan kepada pengusaha tanaman.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar Bangun Semula Industri Koko

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Negeri mensasarkan membangunkan semula industri tanaman koko berjumlah 10,000 ekar.

Perkara ini dinyatakan Exco Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Jelasnya, penanaman koko ini menjadi pemerhatian semula Kerajaan Negeri ekoran masalah yang dihadapi petani tanaman pisang nipah.

Menurutnya, setakat ini projek tanaman semula koko dibuat di Kampung Bukit Kerayong, Klang.

“Kita cuba meningkatkan koko bersama dengan Lembaga Koko Malaysia mensasarkan sekitar 10,000 ekar di Selangor ini tapi tidak boleh kerana kita tidak mempunyai tempat yang luas.

“Buat masa ini, ia ditanam dibawah pokok kelapa yang sedia ada.

“Asalnya kawasan ini untuk tanaman koko. Harga jatuh maka petani tukar kepada tanaman pisang nipah,” katanya.

Berhubung persoalan mengenai peruntukkan pula, Dr Yaakob menjelaskan dana untuk pembangunan berkenaan  disediakan di bawah Lembaga Koko Malaysia.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Selesaikan Masalah 10 Tahun Penduduk Lestari Perdana

SUBANG JAYA, 5 NOV : Sekumpulan 129 pemilik rumah di Lestari Perdana semalam bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berjaya menyelesaikan masalah hak milih tanah mereka yang berlanjutan lebih 10 tahun.

Kebanyakan pemilik rumah ditemui menjelaskan mereka menghadapi masalah untuk berurusan dengan pihak tertentu seperti institusi kewangan kerana tidak memiliki geran tanah.

Mereka menghadapi masalah selepas pemaju perumahan itu gagal membayar premium tanah kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Pekerja Swasta, Abdul Ghani Saari, 45, dari Zon 9 berkata ketiadaan geran tanah telah mencacatkan pembangunan di perumahan tersebut.

“Memang banyak masalah dari segi kebersihan, kemudahan infrastruktur serta landskap.

?Sebelum ini kami sudah membayar (premium) kepada pemaju dan dia kata akan serahkan surat hakmilik ini kepada kami tetapi selepas itu senyap sebegitu sahaja,? kata Abdul Ghani yang telah menetap di situ selama 10 tahun.

“Apa dilakukan Kerajaan Negeri ni bagus dan terima kasih,” katanya kepada TVSelangor selepas menerima surat hakmilik daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid menyerahkan dokumen hakmilik Kepada Pembeli Rumah Teres Zon 6, 7 dan 9 Lestari Perdana di satu majlis di Dewan MPSJ semalam.

Pengurus projek, Yusman Jusof, 40, dari Zon 6 yang menetap di situ kira-kira lapan tahun berkata, dia menghadapi masalah untuk mendapat pinjaman bank kerana tidak ada surat hakmilik.

“Satu usaha yang bagus dari Kerajaan Negeri bagi menjaga hak dan kepentingan pemilik rumah,” katanya.

129 pemilik rumah itu adalah daripada jumlah keseluruhan 303 orang yang telah membayar premium RM 1,460 seperti ditetapkan pihak berkuasa negeri.

Abdul Khalid dalam sidang media selepas itu menjelaskan masalah itu kerana pemaju Fast Creasent Sdn Bhd (Fast Creasent) gagal membayar premium sebanyak RM 12.19 juta mengikut nilaian tanah pada 2002.

“Pemaju tidak menjalankan tangungjawab dengan tidak membayar premium.
Penduduk yang memiliki rumah telah membuat permohonan untuk mendapatkan geran tanah iaitu sehingga kini lebih daripada 10 tahun.

“Mereka bersetuju dengan cara dikendalikan (Kerajaan Negeri) iaitu mereka menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri dan Kerajaan Negeri mengembalikan hartanah mereka dalam bentuk geran,” katanya.

Abdul Khalid berkata, masalah berlaku kerana Kerajaan Umno-BN dahulu yang tidak mengikut peraturan dan undang-undang ditetapkan Kanun Tanah Negara.

“Inilah buktinya (bekas Menteri Besar) Khir Toyo tidak menjalankan tugasnya.

?Kalau dia ikut cara yang kita lakukan ini, sudah tentu masalah tidak timbul pada hari ini.

?Masalah timbul ialah pentadbiran Kerajaan Negeri yang lepas tidak mentadbir mengikut tataracara yang dikehendaki di bawah Kanun Tanah Negara.

“Oleh sebab itu terdapat keadaan di mana akhirnya Pejabat Tanah dan Galian serta Pihak Berkuasa Tempatan menghadapi masalah untuk menyelesaikannya termasuk urusan pemilikan tanah.” katanya.

Menteri Besar berkata, melalui dasar kerajaan yang lama, kerja-kerja tanah dan pembangunan di atas tanah boleh dijalankan setelah kebenaran merancang serta pelan bangunan diluluskan PBT.

Ini berlaku walaupun premium dan dokumen hakmilik belum diselesaikan dan dikeluarkan.

Namun dasar tersebut, telah diberhentikan kerana ia mengakibatkan banyak projek perumahan terbengkalai.

Turut hadir, pada majlis semalam Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi dan Pengarah Tanah dan Galian Selangor, Kamarulzaman Jamil.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status Kemajuan Pembinaan Hospital Shah Alam Diragui

SHAH ALAM, 2 NOV: Status pembinaan hospital Shah Alam diragui apabila kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) ‘berjaya’ melaksanakan kerja-kerja yang dijangka akan mengambil 82 hari dalam masa 30 hari sahaja.

Menurut MP Shah Alam, Abdul Khalid Samad, projek tersebut telah lewat 33 hari dari jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun 30 hari kemudian, laporan terbaru projek itu menunjukkan kerja-kerja tersebut telah siap 19 hari lebih awal daripada jadual kemajuan yang dijangka.

“Adakah ini cuma laporan mainan sebab sukar percaya sebelumnya lewat 33 hari. Tetapi dalam masa 30 hari mereka boleh siapkan 82 hari punya kerja hingga mendahului ke  hadapan 19 hari.

“Adakah pembayaran ‘in advance’ ada dibuat untuk melajukan projek ini setelah saya tanya sebelumnya?

“Apa yang kita mahukan adalah status kemajuan pembinaan yang sebenar,” kata Abdul Khalid dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini Abdul Khalid pernah beberapa kali mengkritik kelewatan kerja pembinaan hospital ini yang sepatutnya disiapkan pada pada 2011 tetapi telah di tunda ke hujung 2013.

Beliau juga pernah hantar petisyen yang ditandatangani orang ramai kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menuntut satu tindakan konkrit bagi menyelesaikan masalah pembinaan hospital itu termasuk memecat Menteri Kerja Raya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Perlu Perjelas Lulus Kompleks Hiburan Di Padang Jawa

SHAH ALAM, 2 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini diminta menjelaskan mengapa permohonan IRDK Land untuk membina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif  di Padang Jawa diluluskan sedangkan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pernah bertitah agar tiada sebarang pusat hiburan dibina di Shah Alam.

Selain melanggar titah baginda sultan, Kompleks tersebut yang masih dalam pembinaan itu juga mendapat bantahan penduduk beberapa buah kampung di Padang Jawa.

Demikian menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad dalam sidang media yang diadakan di pejabatnya di sini.

Menurut Abdul Khalid, sebelum ini beliau ada dimaklumkan oleh pegawai MBSA bahawa pihak istana telah memberikan lampu hijau terhadap kompleks hiburan tersebut.

“Walaupun sebelum ini saya diberitahu pegawai MBSA secara lisan yang pihak istana beri kebenaran, tetapi MBSA harus beri jawapan bertulis secara rasmi kerana tidak mustahil ada pihak sengaja dan sesuka hati menggunakan nama istana.

“Kalau benarpun pihak istana beri kebenaran, pandangan penduduk Padang Jawa masih perlu diambil kira,” ujar beliau.

Bagaimanapun beliau juga dimaklumkan bahawa pihak MBSA masih belum mengeluarkan lesen operasi perniagaan kepada syarikat terlibat.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menyangkal dakwaan Adun Gombak Setia, Dr Hassan Ali dan pemimpin Umno-BN bahawa Shah Alam telah menjadi hub maksiat.

“Lesen perniagaan yang dikeluarkan dalam isu ini adalah spesifik seperti untuk tujuan perniagaan spa kecantikan dan urut refleksologi sahaja.

“Pemeriksaan di tempat pernigaan juga dijalankan dan syarat membaharui lesen juga dikenakan pemeriksaan, tetapi yang cuba jadikan Shah Alam pusat maksiat adalah Umno-BN sebab merekalah bina kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif di Padang Jawa,” ujar beliau lagi.

Menurut Abdul Khalid, syarikat IRDK Land yang memajukan projek kompleks panggung wayang dan lounge eksekutif tersebut dimiliki oleh pemimpin MIC yang juga merupakan bekas calon Pilihan Raya Umum ke 12 lalu bagi Dun di Negeri Perak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Lulus Pertukaran 12 Projek Rumah Kos Rendah Kepada Rumah Mampu Milik

BANGI 13 SEPT : Bagi memenuhi keperluan rumah rakyat Selangor, Kerajaan Negeri kini meluluskan 12 pertukaran projek rumah kos rendah kepada rumah mampu milik, jelas Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Jumlah ini katanya diluluskan daripada 23 permohonan yang diterima setakat ini manakala 11 lagi projek masih dalam perbincangan Kerajaan Negeri.

“Melalui 12 projek tersebut, sebanyak 3,347 unit rumah akan dibina dan dijangkakan 8,000 unit kesemuanya sekiranya semua permohonan terbabit diluluskan,” katanya ketika melawat tapak rumah mampu milik yang dibina Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi di sini.

Katanya, semua projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat tahun akan datang.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan kerjasama pemaju lain yang ingin menukar status projek rumah kos rendah kepada rumah mampu milik.

Projek pangsapuri 6 tingkat di Seksyen 6, Bandar Baru Bangi yang menempatkan 124 unit rumah dimulakan pada tahun 2011 dan dijangka siap pada Februari 2013.

Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dijangka diperoleh pada April 2013 sementara majlis penyerahan kunci pula akan dilangsungkan pada Mei 2013.

Setakat ini, kerja-kerja pembinaan siap 55 peratus.

Kos pembangunan projek ini ditanggung sepenuhnya oleh PKNS dengan keluasan 700 hingga 800 kaki persegi (kps) dan ia terletak di atas tanah pegangan bebas.

Harga jualan bagi seunit pangsapuri ini dalam lingkungan RM60,000 hingga RM99,000 dan dijangka tidak melebihi RM150,000.

Dalam tempoh 10 tahun (2011-2021), PKNS menjangkakan dapat membina 11,000 unit rumah mampu milik di daerah Shah Alam, Hulu Langat, Gombak, Petaling, Sepang dan Klang.

Selain pembangunan projek jenis pangsapuri, PKNS atan turut membangunkan rumah teres 1 tingkat dan ‘townhouse’.

Video Berkaitan: http://www.youtube.com/watch?v=lH9KAvOuexY

Categories
NASIONAL SELANGOR

65.95 Peratus Warga Ijok Mahu Kerajaan Negeri PR Selangor Kekal

SHAH ALAM 11 SEPT: Sejak pentadbiran negeri bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat(PR) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke -12 lalu, serangan demi serangan mula dihalakan kepada Kerajaan Negeri yang dipimpini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pelbagai cara dibuat untuk menampakkan kelemahan Abdul Khalid sehinggakan beliau didakwa sudah tidak mendapat sokongan daripada masyarakat di DUN Ijok yang diwakilinya sendiri.

Bagi mendapat gambaran sebenar wartawan mengambil inisiatif turun sendiri ke Ijok bagi menemui penduduk daan mendapatkan maklum balas sendiri berhubung pandangan mereka terhadap Abdul Khalid sebagai wakil rakyat kawasan mereka dan prestasi Kerajaan Negeri pimpinannya.

Menurut laporan tinjauan rambang itu, meskipun Kerajaan Negeri tidak putus dihujani serangan, 65.95 peratus masyarakat Ijok mendakwa berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Negeri yang ada sekarang dan mahukan Kerajaan Negeri semasa kekal mentadbir Selangor,

Manakala sebanyak 27.65 peratus pula menyatakan tidak berpuashati dan mahukan BN kembali mentadbir Kerajaan Negeri dan 6.38 peratus lagi menjawab tidak pasti.

Sementara itu, dalam laporan kaji selidik sama, sebanyak 55.31 peratus turut berpuashati dengan prestasi Adun Ijok iaitu Abdul Khalid sendiri berbanding 31.91 peratus tidak berpuas hati dan 8.51 peratus lagi tidak pasti.

Kajian tersebut juga mendapati sokongan tertinggi terhadap Kerajaan Negeri di DUN Ijok adalah dari kaum Melayu diikuti kaum Cina dan India.

Selain itu, seramai 40 responden berjaya menjawab dengan tepat, PKR merupakan parti peneraju Kerajaan Negeri Selangor berbanding lima responden yang masih percaya BN masih lagi mentadbir dan dua tidak pasti.

Tinjauan pendapat dalam laporan ‘Kaji Selidik Sokongan Masyarakat DUN Ijok Terhadap Kerajaan PR Selangor’ yang dijalankan oleh wartawan TVS itu di buat secara rambang dengan melibatkan seramai 47 orang responden dari pelbagai latar belakang kaum, sektor perkerjaan dan sosio ekonomi sebagai sampel kajian.