Categories
NASIONAL SELANGOR

2 Tapak Bazar Ramadan Baru Ganti Bazar Reko Kajang Sentral

bazar ramadan reko sentral lori MPKj 004

KUALA LANGAT 15 JULAI : Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan dua tapak bagi mengantikan bazar ramadan Reko Sentral Kajang yang ditutup awal minggu lalu.

Sehubungan itu, semua pihak yang berminat untuk menjalankan perniagaan bazar ramadan boleh berhubung terus dengan MPKj.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim menasihatkan semua pihak akur dengan keputusan MPKj menutup bazar ramadan di Jalan Reko Sentral 2 kawasan komersil itu dan tidak memanjangkan isu berkenaan.

“Saya telahpun mendapat maklumat daripada Yang Dipertua MPKj berkenaan dengan masalah bazar ramadan dimana di kawasan Reko telahpun ditutup dan ada dua kawasan di mana ada permohonan untuk menempatkan semula.

“Jadi saya nasihatkan supaya semua pihak yang berminat untuk menjalankan bazar ramadan ini berhubung terus dengan pihak Majlis dan akur kepada keputusan yang dibuat oleh Majlis,” ujarnya.

Sebelum ini, penutupan bazar ramadan mendapat cemuhan daripada penjaja setempat kerana mereka telah mengeluarkan modal dan membuat persiapan untuk menyertai bazar tersebut.

Bagaimanapun MPKj mempertahankan keputusan tersebut kerana mendapat aduan daripada pengurus kedai di kawasan komersil Reko Sentral Kajang.

Keputusan itu dilakukan bagi mengelak salah faham diantara pengurus kedai dan penjaja di bazar tersebut. Ia juga bagi mengelakkan kesesakkan lalulintas di kawasan komersil itu.

Mengulas lanjut, Chang Kim berkata, keputusan penutupan tapak berkenaan telah dilakukan di peringkat Exco Selangor pada tahun lalu.

“Jadi tahun ini kita akan ikut prinsip yang sama, ikut peraturan sama dan saya berharap semua pihak akur kerana YDP dan Ahli Majlis tahu apa yang terbaik untuk dilakukan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Isu bazar Ramadan Reko Sentral : Exco Selangor Tidak Pernah Campurtangan

tapak bazar ramadan reko sentral 05

SHAH ALAM 14 JULAI 2013 : Exco Kerajaan Selangor tidak pernah terlibat dalam keputusan menutup bazaar Ramadan di Reko Sentral Kajang yang cuba dieksploitasikan oleh pihak tertentu untuk dijadikan isu perkauman.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim, beliau memberi kepercayaan penuh kepada Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan Ahli Majlis untuk membuat keputusan terbaik untuk kawasan selian masing-masing.

“Saya berterima kasih kepada rakan Exco saya. Setakat ini mereka juga tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal di bawah bidang kuasa saya,” kata beliau ketika menjawab dakwaan bahawa exco Kerajaan Selangor mengarahkan penutupan bazar itu.

“Jadi segala tuduhan mengatakan saya campurtangan dalam isu ini adalah tuduhan yang melulu. Itu adalah satu fitnah.

“Saya berharap semua pihak yang kecewa dengan mana-mana keputusan MPKj, jangan salahkan saya. teng mugshot t shirt 01

?Saya tidak pernah campurtangan walau untuk satu kes pun khususnya dalam bulan Ramadan ini jagalah kata-kata. Itu fitnah maka tanggunglah dosa sendiri,? katanya ketika ditemui TVSelangor.

Pada 11 Julai lalu, Pegawai Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, keputusan menutup bazaar Ramadan itu dibuat selepas mendapat aduan daripada pengurus kedai di kawasan komersil Reko Sentral Kajang.

Menurut Kamarul Izlan, keputusan itu bagi mengelak salah faham antara pengurus kedai dan penjaja di bazar tersebut. Ia juga bagi mengelakkan kesesakkan lalulintas di kawasan komersial itu.

Ekoran daripada keputusan itu, penguatkuasa MPKj telah menutup Jalan Reko Sentral 2 bagi memastikan penjaja tidak dapat mendirikan gerai mereka dan menghalang sebarang usaha untuk menghidupkan kembali bazar itu.

Beberapa blog cuba mengeksploitasikan keputusan itu dengan mendakwa ia dibuat oleh Exco bukan Islam Kerajaan Selangor iaitu Teng, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh dan dua Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah dan Elizabeth Wong.

Di dalam responsnya hari ini, Teng berkata sejak mengalas tugas pada hari pertama, beliau telah berkali-kali berkata akan memberi kepercayaan penuh kepada PBT, Yang dipertua dan Datuk Bandar bagi menguruskan hal ehwal kawasan masing-masing.

“Setakat ini saya masih berpegang teguh kepada prinsip tersebut dan tidak pernah saya campurtangan dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh PBT,” katannya selepas program walkathon ‘Charity Walk – The World My Homeland’ di Taman Botani Negara di sini.

walkathon taman botani peserta cina 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Diarah Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Menara Biru

teng pc mbsa 5 jul 01

SHAH ALAM, 5 JUL : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Menara Biru Sdn Bhd berhubung kenyataan syarikat tersebut yang didakwa menjatuhkan kredibiliti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Tindakan itu berikutan syarikat berkenaan bersama firma guamannya didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada pihak media apabila mendakwa MBSA nyaris disita ekoran gagal membayar ganti rugi kepadanya.

Ia berhubung tuntutan ganti rugi dalam kes membabitkan  pembinaan 10 unit banglo sebagai kediaman rasmi pegawai MBSA di Seksyen 8.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, syarikat itu telah mengambil tindakan mahkamah terhadap MBSA, menuntut RM 3.53 juta. Manakala MBSA pula membuat tuntutan balas terhadap syarikat berkenaan dengan menuntut RM 631,348.91.

Tegasnya, prosiding berkenaan masih di peringkat timbang tara dan MBSA membuat permohonan untuk memberhentikan penimbang tara yang dilantik berikutan tidak berpuas hati dengannya.

Namun permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi.

“MBSA tidak berjaya dan diarahkan untuk membayar kos RM 30,000 untuk satu pihak, RM 10,000 untuk satu pihak lain serta kos untuk urusan, berjumlah kira-kira RM 40,000.

“Bererti, apa yang dituntut oleh Menara Biru itu adalah kos yang diperintahkan oleh mahkamah.

Antara satu kos, yang RM 10,000 sudah diperintahkan oleh mahkamah empat tahun lalu dan tidak ditutut.

“Sekarang, mereka tunggu empat tahun, mereka datang dengan perintah untuk menyita, ” katanya dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Semalam firma guaman yang mewakili syarikat itu pergi ke pejabat Datuk Bandar konnonnya untuk menyita premis tersebut. Bagaimanapun, MBSA membayar kos RM 10,000 menyebabkan syarikat itu tidak menyita pejabat tersebut.

Tambah Teng, apa yang dimaklumkan syarikat itu ialah MBSA gagal membayar gantirugi yang diperintahkan mahkamah, sedangkan prosiding sekarang adalah permohonan MBSA untuk mengetepikan penimbang tara yang masih belum dibicara dan diputuskan lagi.

Katanya, dalam kes tuntutan bersilang itu, belum ada keputusan pihak mana yang menang, justeru kenyataan syarikat itu adalah tidak berasas, tidak betul dan satu pembohongan.

“Tindakan mereka (Menara Biru) jelas berniat jahat dan ingin menjejaskan nama baik MBSA.

“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang lebih tegas kalau mereka ada hutang dengan MBSA,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Mahu Hukuman Penjara, Rampas Harta Untuk Pengusaha Kafe Siber Haram

MPK serbu snooker siber cafe haram 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Tindakan hukuman penjara atau rampasan harta sedang diteliti oleh Kerajaan Selangor bagi membendung kegiatan cafe siber haram atau mereka yang menjalankan mesin judi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim mengakui bahawa tindakan undang-undang sedia ada kurang berkesan dalam menghalang pemilik pusat siber haram daripada terus beroperasi.

“Sebelum ini, kita hanya menyita dan memberikan kompaun kepada pemilik premis, namun mereka tetap tidak mematuhi peraturan. Tindakan itu dilihat kurang berkesan.

“Jadi kita perlu membuat kajian terperinci untuk kita memberikan hukuman lebih kepada pemilik antaranya menaikkan kompaun, penjara atau rampasan harta,” katanya di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Teng berkata demikian semasa menjawab soalan lisan daripada Adun Lembah Jaya Khasim Abdul Aziz (Pas).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng : Kerajaan Negeri Jimat Lebih RM 50 Juta Setahun Apabila Kutip Sampah Secara Terus

Lori Kompaktor sampah 2

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil alih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, kaedah membolehkan PBT mengurus kutipan sisa pepejal secara terus dengan melantik kontraktor yang dahulunya menjadi sub-kontraktor kepada AFSB.

“Penjimatan dicatatkan dalam masa setahun adalah sebanyak RM53,876,942.41 iaitu 11 PBT mencatatkan kos pengurusan sebanyak RM166,827,402.82 berbanding ketika dikendalikan AFSB sebanyak RM220,704,345.23.

“Dengan pengurusan sendiri juga PBT dapat memantau kerja pengendalian sampah secara terus selain pegawai atau kakitangan PBT yang terlibat dapat mempelajari dan menangani masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.”

Teng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah proaktif untuk memastikan kutipan sampah berlaku secara efisyen adalah PBT mewujudkan talian hotline aduan sampah, skuad rayau dan Unit Tindakan Khas menjalankan kerja ‘back-up’ kutipan sampah.

Tindakan lain ialah perjumpaan PBT secara terus dengan kontraktor terlibat, pengezonan semula kawasan kendalian serta kutipan sampah dua kali dalam sehari di kawasan pusat bandar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekerjasama Dengan TNB Atasi Premis Judi

Teng Chang Khim

SHAH ALAM 3 JULAI : Kerajaan Negeri akan memikirkan cara holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah kebanjiran premis judi di sekitar negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata setakat ini terdapat beberapa cara untuk menangani isu itu antaranya membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis terbabit.

“Setakat ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan sebanyak 148 pemeriksaan dan mengeluarkan 77 saman serta melakukan 49 penyitaan.

“Sehingga kini, terdapat 929 premis judi dikenalpasti wujud dinegeri ini. Kita juga sudah membuat 70 permohonan kepada TNB dalam tempoh lima bukan pertama ini,” katanya yang menjawab pertanyaan Dr Rani Osman (Pas-Meru).

Teng menambah walaupun pihak PBT sering melakukan pemeriksaan namun pemilik premis yang lain akan membuka premis judi itu.

“Buat pemeriksaan satu hari, tutup satu, buka dua lagi esok. Jadi kita kena fikirkan satu cara yang lebih holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yaakob Sapari mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberi ganjaran kepada penduduk yang memberi maklumat mengenai kewujudan premis judi terbabit.

Categories
SELANGOR

Kuasa Selangor Terhad, Kerajaan Pusat Sepatutnya Lebih Tegas Banteras Judi

SHAH ALAM 29 NOV : Agensi Kerajaan Pusat disarankan supaya mengambil tindakan yang lebih tegas bagi memerangi pusat judi haram dengan memotong talian internet dan telefon premis-premis yang menjadi pusat aktitivit tersebut.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu berkata kuasa lebih menyeluruh untuk mengambil tindakan terhadap premis-premis perjudian ini dimiliki Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya boleh mengambil tindakan memotong perkhidmatan internet dan talian telefon premis-premis judi.

“Tanpa kedua-dua perkhidmatan ini, mereka (premis judi haram) pasti tidak dapat beroperasi lagi,” jelasnya.

Ronnie berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Adun Kota Damansara, Dr. Mohd Nasir Hashim pagi tadi di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mohd Nasir mendakwa pusat-pusat judi terus membuka operasi baru di kawasan Kota Damansara walaupun premis mereka diserbu dan sita oleh penguatkuasa tempatan.

Ronnie menjelaskan bahawa kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri adalah terhad dalam usaha menghapuskan kewujudan premis perjudian haram.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Kerajaan Pusat bertindak lebih tegas dalam menangani permasalahan ini.

“Malangnya, kita dapat lihat keadaan ini terus berlanjutan kerana kuasa PBT terhad, yang berkuasa pula lambat mengambil tindakan,” tegasnya.

Categories
SELANGOR

Ahli Majlis Dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis

SHAH ALAM 23 NOV : Setiap ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri Selangor akan dinilai melalui Laporan Prestasi Ahli Majlis yang turut merangkumi prestasi pengurusan perbelanjaan yang diperuntukkan kepada mereka,  kata, Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.

Ronnie menjawab soalan lisan  Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor berkenaan bagaimana Ahli-Ahli Majlis ini dinilai.

“Memang terdapat ahli majlis yang menunjukkan prestasi kurang memuaskan, tidak baik dan sebagainya.

“Mereka yang tidak kompeten ini akan diberi amaran dan jika masih tidak menepati kriteria kita, maka mereka akan diganti dengan orang baru,” jelas beliau.

Ronnie berkata, seseorang Ahli Majlis perlu berkebolehan dalam merancang penggunaan peruntukan yang diterima untuk tujuan sosial, program-program pembangunan dan kerja-kerja pembaikan kecil.

“Mereka juga perlu bijak menganggarkan jumlah perbelanjaan bulanan dan tidak menggunakan peruntukan di saat-saat akhir,” tegasnya.

Bagaimanapun, penilaian prestasi ahli majlis adalah berbeza berdasarkan sistem yang ditentukan setiap PBT.

Sebagai contoh, beliau memberitahu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menilai ahli majlis berdasarkan kriteria pengurusan program kemasyarakatan, pengurusan kewangan JKP dan pengurusan kerja-kerja segera.

Manakala bagi Majlis Daerah Kuala Langat pula dinilai berdasarkan kehadiran atau penglibatan orang ramai ke program yang dianjurkan.

Categories
SELANGOR

Lima PBT Selangor Terbaik Di Malaysia

SHAH ALAM 23 NOV : Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini utuh sebagai antara 11 PBT terbaik daripada 149 PBT seluruh Malaysia.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu memaklumkan sidang dewan hari ini, penilaian tersebut diputuskan melalui Sistem Star Rating Pihak Berkuasa Tempatan (SPR-PBT) di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Lima PBT tersebut adalah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dalam memastikan PBT sentiasa berada dalam keadaan konsisten dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa, pelbagai mesyuarat, taklimat, bengkel dan pertemuan diadakan dengan Kerajaan Negeri.

“Keadaan ini juga menjadi platform kepada Kerajaan Negeri memantau prestasi PBT sepanjang tahun,” jelas Ronnie menjawab soalan lisan daripada Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor mengenai prestasi PBT.

Ronnie turut menjelaskan, buat masa ini tiada keperluan lagi untuk mewujudkan kawasan PBT baru di Selangor.

“Bagaimanapun, PBT baru akan diwujudkan sekiranya mempunyai keperluan selaras dengan pertumbuhan pesat sesuatu kawasan,” jelasnya.

Beliau berkata, sesuatu kawasan itu juga akan dinilai berdasarkan kriteria yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan (MNKT) ke-60 pada 3 Jun 2008.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat

PETALING JAYA, 10 NOV : Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga lagi Tadika Rakyat di Serendah, Kapar dan Dengkil bagi membolehkan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah menerima pendidikan di peringkat awal.

Pembinaan tadika tersebut merupakan kesinambungan daripada dua tadika sedia ada iaitu di Taman Sentosa, Klang dan Kampung Lindungan di Petaling Jaya.

Oleh itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyeru ibubapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka kepada tadika-tadika ini.

“Tadikan ini terbuka kepada semua kaum. Justeru, penduduk di kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk mendaftar anak-anak anda.

“Selain bayaran yuran yang rendah, anak-anak juga akan terdedah dengan pendidikan asas di peringkat awal,” katanya lagi.

Katanya, pendidikan pra-sekolah adalah langkah awal untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan kelak.

“Berdasarkan kajian, masih terdapat 30 peratus kanak-kanak yang tidak mendaftar di mana-mana tadika kerana tidak mampu untuk membayar yuran bulanan.

Ekoran daripada itu, kebanyakan kanak-kanak ini ketinggalan dari aspek pendidikan seperti tidak tahu menulis, mengira ataupun membaca.

Hal ini menyebabkan mereka akan tercicir apabila masuk ke sekolah rendah nanti dan menimbulkan masalah serius untuk jangka masa panjang.

“Kurangnya pendedahan pendidikan di peringkat awal antara punca yang menyumbang kepada gejala sosial,” katanya semasa Majlis Perasmian Tadika Rakyat Kampung Lindungan di sini, pagi tadi.

Tadika Rakyat di Kampung Lindungan merupakan cawangan kedua yang dibina Kerajaan Negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO), Child Information, Learning and Development Centre (Child).

Tadika tersebut dikhaskan untuk keluarga berpendapatan bawah RM 1,500.

Di samping menyediakan pembelajaran selesa, murid-murid juga hanya dikenakan bayaran serendah RM 20 sebulan.

Tadika yang bernilai kira-kira RM 460,000 itu dilengkapi lapan buah kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 orang murid setiap kelas.

Kerajaan Negeri telah memberi RM 50,000 untuk setiap tadika itu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib.

Categories
SELANGOR

Lesen Peniaga Makanan Remeh Luar Sekolah Ditamatkan

SHAH ALAM, 17 MEI : Lesen bagi peniaga makanan di luar kawasan sekolah tidak akan diperbaharui, manakala mereka yang tidak mempunyai lesen diminta menghentikan aktiviti mereka dengan serta merta.

Keputusan ini susulan daripada mesyuarat bersama Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada April lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata mereka yang mempunyai lesen boleh meneruskan perniagaan sehingga lesen tamat.

“Ini disebabkan aduan daripada ibu bapa yang mengatakan pembelian bahan makanan tidak berkhasiat dari peniaga ini menyebabkan anak mereka mengalami obersiti atau kegemukan.

?Ia adalah satu usaha bagi mencegah kejadian tidak diingini seperti ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kerajaan Selangor di sini hari ini.

Menurutnya, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor telah dimaklumkan dan mereka tidak akan lagi mengeluarkan lesen bagi peniagaan tersebut.

“Lesen ini tidak akan disambung lagi selepas ini,” katanya.