Categories
SELANGOR

CASTE Adakan Kempen Pupuk Kesedaran Memilih Kedai Makan Bersih


SUBANG JAYA, 20 OKT: Dalam meningkatkan kesedaran orang ramai, sekumpulan anak muda telah memulakan kempen advokasi tentang pentingnya memilih kedai makan yang bersih sebagai tempat menjamu selera.

Kempen yang dinamakan Projek CASTE (Creating Awareness In Society About Terrible Eateries) ini diadakan berikutan berlakunya beberapa kes kerancunan makanan di kawasan Subang Jaya semenjak dua tahun lalu.

Antara aktiviti yang diadakan oleh kumpulan enam anak muda itu termasuklah bertemu orang ramai di beberapa restoren yang mengambil bahagian untuk memberikan penerangan dan risalah berhubung isu kebersihan kedai makan.

Ahli kumpulan Projek CASTE, Shaneal Diiren, 17 tahun memberitahu masyarakat hendaklah menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna bagi mengubah tabiat pengusaha restoren yang tidak menjaga kebersihan.

“Bila orang ramai tak mengunjungi kedainya kerana tak jaga kebersihan akan menyebabkan mereka terpaksa berubah,” kata Shaneal.

Beliau turut menggalakan orang ramai menyertai projek kempen ini dengan menghubungi Pejabat Adun Subang Jaya.

Menurut ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh Kerajaan Selangor mengeluarkan sejumlah peruntukan bagi membiayai kos mempromosi kempen yang disalurkan melalui Pejabat DUN Subang Jaya.

“Setakat ini ada tiga buah restoran yang menerima sijil kebersihan ‘A’ yang ambil bahagian, tetapi kita harap lebih banyak yang berminat untuk mengambi bahagian.

“Tanggapan bahawa kedai makan tak bersih mampu menyajikan makanan yang sedap adalah salah, kena ubah dan boleh menyebabkan anda terkena keracunan makanan,” ujar beliau dalam satu sidang media yang diadakan di Restoren Hailam Kopitiam di Seksyen 15 di sini.

Restoran tersebut adalah antara premis yang telah menyertai kempen itu.

Pengusahanya KH Chong berkata beliau amat mementingkan soal kebersihan penyediaan makanan sehingga membolehkan restorannya mendapat sijil ‘A’ dalam kategori kebersihan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Kerajaan Pusat Gagal Semak Harga Rumah di Selangor – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 19102012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 19 OKTOBER 2012 :

Susunan Tajuk
1. Kerajaan Pusat Gagal Semak Harga Rumah di Selangor

2. Hannah : Minta JKR Jelas Siapa Bertanggungjawab Selenggara Jejambat Banjir

3. Unisel – Kerajaan Negeri Peruntuk RM248 Juta Untuk Pembangunan

Categories
SELANGOR

Hannah : Minta JKR Jelas Siapa Bertanggungjawab Selenggara Jejambat Banjir

SUBANG JAYA 18 OKT : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menuntut Kementerian Kerja Raya untuk menjelaskan kepada umum status projek Subang-Kelana Jaya Link yang mula beroperasi sejak Jun 2009.

Desakan itu dibuat beliau ekoran kejadian banjir di Jejambat Jalan Kemajuan Subang dua hari lalu sehingga menyebabkan sebuah kereta terperangkap.

Hannah memberitahu, respon daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menyatakan lebuhraya yang menelan kos RM 315.46 juta itu masih belum diserahkan kepada pihak JKR Pusat walaupun tempoh liabiliti kecacatan sudah tamat pada 30 Jun 2011.

Tambah beliau, kontraktor lebuhraya tersebut, Ahmad Zaki Resources Berhad (AZRB) juga diberi tempoh sehingga 15 Oktober 2011 untuk melakukan pembaikan beberapa kecacatan.

“Namun difahamkan, JKR masih tidak mengambil alih laluan berkenaan, kenapa (JKR tidak mengambil alih) dan kita juga kini dalam proses mendapatkan senarai kecacatan yang dinyatakan JKR kepada pihak AZRB sebelum ini.

“Kita minta supaya JKR jelaskan beberapa perkara mengenai pihak yang bertanggungjawab menyelenggara laluan tersebut, adakah AZRB dan adakah bayaran penuh dilakukan kepada mereka,” ujar beliau dalam sidang media di pejabatnya di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Hannah tidak menolak kemungkinan masalah banjir di jejambat tempoh hari berpunca daripada laluan air yang tersumbat.

“Kali ini dengan banjir di jejambat, ia sememangnya tidak harus terjadi dan sebab itulah kita perlu tahu pihak yang bertanggungjawab atas laluan ini,” tegas beliau.

Subang-Kelana Jaya Link merupakan lebuhraya bertingkat tertinggi di Subang yang menghubungkan Subang dengan Sultan Abdul Aziz Shah Airport Highway, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE).

Ia dibina pada tahun 2005 oleh JKR dengan kontraktor utamanya, AZRB dan mula dibuka pada laluan umum pada 2009.

Categories
SELANGOR

Kesesakan Jalanraya, Warga Asing dan Bandar Hijau Perlu Diberi Perhatian

SUBANG JAYA, 26 JULAI : Kesesakan jalanraya, perbandaran hijau dan kebanjiran warga asing menjadi topik utama dalam sesi dialog bajet Selangor 2013 peringkat Subang Jaya.

Warga Subang Jaya rata-rata mengutarakan pelbagai cadangan bagi memperbaiki isu-isu berhubungn perkara di atas termasuk permintaan untuk memperbanyakkan rumah kos rendah dan rumah mampu milik.

Menyelesaikan kesesakan jalan raya dianggap bertepatan berikutan pertambahan penduduk dan pembangunan pesat di Subang.

Wakil Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 18, Subang Jaya, Shia Chi Chin berkata, satu kaedah terbaik diperlukan bagi mengatasi masalah kesesakan jalanraya supaya memberi keselesaan kepada pengguna jalanraya di kawasan ini.

“Rata-rata wakil persatuan penduduk disini bersepakat bahawa kesesakan jalanraya perlu diatasi.

?Selain itu Kerajaan Negeri diharap dapat membantu Subang Jaya menjadi bandar hijau terlaksana,” katanya ketika ditemui di bangunan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sini hari ini.

Katanya, antara cadangan yang dikemukakan ialah jalan perlu diselenggara dengan baik, mewujudkan sistem ‘intelligent traffic light’, memperbanyak sistem keretapi MRT dan LRT, dan menjalankan kajian menyeluruh sistem jaringan jalan raya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga diharap dapat mempertimbangkan pelan strategik bagi mewujudkan bandaraya hijau dan menjalinkan kerjasama bersama Program ASEAN Centre bagi melaksanakan program teknologi hijau.

Selain itu, Kerajaan Negeri disarankan supaya mengeluarkan garis panduan pemilikan serta penyewaan rumah untukwarga asing.

Terdapat juga cadangan menetapkan kuota peluang pekerjaan dan perniagaan kepada warga asing bagi memberi keutamaan kepada rakyat tempatan mendapat pekerjaan.

Isu penambahan bilangan rumah kos rendah di Subang Jaya khususnya turut diberi perhatian dan cadangan memastikan rumah kos rendah diberi kepada pemohon yang menepati syarat.

Jesteru itu, Kerajaan Negeri juga diminta untuk menyediakan kemudahan keselamatan, menambahbaik kebersihan dan penyelenggaran rumah sedia ada bagi kemudahan penduduk.

Sesi dialog ini dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada wakil-wakil persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta warga kerja MPSJ.

Majlis Dialog Bajet ini dirasmikan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Abdullah Marjunid dan ahli-ahli Majlis.

Hannah berkata, sesi ini diadakan sejak dua tahun lalu dan masih diteruskan usaha ini bagi mendapatkan maklumbalas daripada rakyat.

“Dalam proses menyediakan bajet negeri, maklumbalas serta input dari rakyat berhubung penambahbaikan dan pelaksanaan aktiviti sosio-ekonomi di kawasan PBT adalah sangat diperlukan bagi menjana ekonomi negeri secara bersepadu,” kata Hannah.

Categories
NASIONAL

‘Road Gang’ Kurangkan Kos Penyelenggaraan

SUBANG JAYA 2 JULAI : Cadangan mewujudkan ‘Road Gang’ dalam melaksanakan projek yang mampan serta penyelenggaraan jalan raya secara ‘In House'(dalaman) dilihat mampu mengurangkan kos penyelenggaran.

‘Road Gang’ itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan awam yang dilaksanakan sendiri secara jabatan dengan mengambil kira pengurusan skop, kos, masa dan kualiti bagi mencapai hasil kerja yang berkualiti, cepat dan berpatutan dengan wang yang dilaburkan.

Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor, Shukri Ishak dalam perbentangannya menerangkan pengurangan kos itu di ambil kira dari segi perbezaan penyelenggaraan oleh kontraktor dan pihak jabatan.

Katanya, kerja perlaksanaan ‘Patching’ di peringkat jabatan hanya akan menelan belanja sebanyak RM26.38 bagi satu meter persegi berbanding dengan perlaksanaan kontraktor sebanyak RM90.97 meter persegi.

“Manakala bagi kerja-kerja membaharu muka yang dilakukan oleh jabatan akan menelan belanja sebanyak RM200 per tan berbanding yang dilakukan oleh kontraktor iaitu sebanyak RM251.40 per tan,” katanya ketika membentangkan Dialog Bajet Selangor 2013 bertajuk ‘Pengurusan projek yang mampan menjamin pengimbangan kualiti, kos, skop dan masa di samping membudayakan penyelenggaraan jalan raya secara In House’.

Jelasnya, tiga perkara utama yang perlu ada dalam perlaksanaan ‘Road Gang’ itu antaranya melibatkan sumber manusia iaitu secara teknikal dan bukan teknikal serta mesin dan peralatan selain keperluan bahan mentah.

“Ia penting bagi memastikan kerja-kerja yang akan dilakukan mengikut spek kajian yang betul.

“Selain itu, perlu ditekankan juga empat perkara penting dalam pengurusan kawalan kualiti iaitu latihan teknikal kakitangan terlibat, mengenalpasti piawaian teknikal yang digunakan, mengguna pakai sistem pengurusan kualiti dan pengawalan kualiti bahan mentah,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, bagi penubuhan ‘Road Gang’ itu, pihak jabatan perlu menyediakan peralatan mesin untuk kerja-kerja pembaikian dan pembinaan jalan kira-kira sebanyak RM3.2 juta.

Sementara itu, Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abd Rahman berkata tiga masalah utama yang timbul dalam perlaksanaan itu ialah peralatan yang tidak mencukupi, kakitangan yang tidak terlatih dalam pengendalian kerja-kerja dan kos penyelenggaraan tinggi.

Bagaimanapun, ia boleh diatasi dengan meningkatkan latihan amali dan kursus teknikal kepada pekerja, menambah kakitangan kontrak, menyewa peralatan yang melibatkan kos yang tinggi sekiranya dibeli, memberi intensif elaun panas kepada kakitangan dan melakukan secara berperingkat mengikut kemampuan jabatan.

Penubuhan ‘Road Gang’ itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ia diwujudkan kerana melihat penswastaan penyelenggaraan jalan yang giat dijalankan dalam masa beberapa tahun ini.

Hadir sama, Abdul Khalid, Yang diPertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status Tanah Berubah Selepas Jumpa Pemaju?

SHAH ALAM 28 JUN : SELCAT yang bersidang hari ini didedahkan bahawa kehadiran pemaju berjumpa dengan bahagian Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) didakwa mengubah status kawasan ‘zoning’ yang sudah digazetkan sebagai rekreasi dan tanah lapang di padang SS7 Kelana Jaya.

Kenyataan saksi daripada bekas Pengarah Perancangan Bandar MBPJ, Noraini Roslan dan Penolongnya, Faiwos Abdul Hamid menimbulkan spekulasi bahawa keputusan penukaran kawasan zoning dipengaruhi oleh pihak pemaju.

Difahamkan, arahan penukaran status berlaku selepas pemaju hadir pada 24 Ogos tahun lalu bagi membuat permohonan memajukan tanah berkenaan dan status tanah itu berubah selepas perjumpaan berkenaan tetapi tiada tarikh khusus yang dinyatakan bila ia berubah.

Oleh yang demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), Datuk Teng Chang Kim meminta Noraini menyediakan dokumen berkaitan bagi mengetahui tarikh dan siapa yang terbabit dalam pertukaran status tanah tersebut.

Khamis depan ditetapkan oleh Teng bagi Noraini mengemukakan maklumat tersebut.

Sebelum itu, Noraini dalam kenyataannya mendakwa beliau memperolehi maklumat berkenaan potensi kawasan itu untuk dimajukan daripada pihak pemaju ketika beliau masih memegang jawatan itu.

Menurutnya, pemaju berkenaan membuat permohonan untuk memajukan kawasan tersebut namun pada ketika itu, zoning masih lagi diwartakan sebagai kawasan rekreasi dan tanah lapang.

Bagaimanapun, ketika disoal Teng, mengapa permohonan itu wujud dan perlu dilayani, Noraini sekadar mendiamkan diri.

Ekoran itu, seorang lagi ahli SELCAT, Hannah Yeoh mempersoalkan samada perjumpaan bersama pihak pemaju itu yang mempengaruhi keputusan penukaran status zoning terbabit kepada tanah komersial.

“Jadi, selepas kamu berjumpa dengan pemaju, pemaju yang bagi maklumat pada kamu bahawa tanah ini adalah tanah komersial dan boleh dimajukan?

“Ini kerana selepas perjumpaan itu barulah timbul cetakan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2(RTPJ2) versi MBPJ yang mengatakan kawasan itu sebagai komersial berbeza dengan apa yang telah diwartakan sebelum ini,” kata Hannah.

Bagaimanapun tiada jawapan untuk soalan itu walaupun berulang kali disoalkan.

SELCAT juga dimaklumkan Datuk Bandar MBPJ tidak dijemput dalam mesyuarat penyelarasan pindaan bersama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa(JPBD).

Noraini menjawab Datuk Bandar tidak perlu dimaklumkan kerana menurut beliau, pada peringkat perbincangan terbabit hanya melibatkan pegawainya sahaja selain menganggap ia tidak penting untuk dimaklumkan.

Categories
SELANGOR

SPR, Pos Malaysia Harus Atasi Masalah Bekalan Borang Pemilih


Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 22 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pos Malaysia digesa supaya memastikan borang pendaftaran pemilih mencukupi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata tinjauan oleh pihaknya di pejabat Pos sekitar Subang Jaya mendapati borang tersebut sudah kehabisan selama dua bulan.

“Pejabat Dun terima aduan penduduk yang memberitahu bila mereka pergi ke pejabat pos Seksyen 15, Subang Jaya untuk mendaftar sebagai pemilih SPR, borang dah habis, ak boleh daftar sudah dua bulan.

“Bila saya hubungi SPR, SPR kata Pos Malaysia kurang beri kerjasama,” kata Hannah.

Menurut Pembantu Adun Subang Jaya, Timothy Ho Sze Ye pula, beliau juga telah melawat Pejabat Pos di Pasaraya Mydin di Seksyen 1 dan Seksyen 15 pada 14 Jun untuk mendapatkan maklum balas berhubung aduan itu.

“Di Pejabat Pos Mydin, saya diberitahu oleh petugas kaunter, borang pendaftaran baru sahaja masuk pada awal bulan Mei,” kata Timothy.

“Selepas itu saya ada menghubungi Pengurus Cawangan, Puan Farah dan dia mengesahkan borang dah sampai pada 11 Mei. Tetapi bila saya pergi pada 15 Jun, petugas kaunter maklumkan borang dah habis untuk selama dua, tiga bulan.

“YB Hannah sendiri juga periksa di Pejabat Pos Cawangan Giant Putra Heights dan diberitahu tiada bekalan.

“Saya percaya ada Pejabat Pos lain juga hadapi kehabisan bekalan borang pendaftaran SPR,” ujar Timothy.

Menurut Hannah, masalah ketiadaan borang akan menyebabkan hasrat golongan muda untuk mendaftarkan diri mereka sebagai pemilih akan terbantut.

“Bila seseorang anak muda pergi ke Pejabat Pos untuk mendaftar, itu adalah satu langkah besar yang telah diambil.

“Bagaimanapun apabila sampai di sana dan tidak dapat mendaftar kerana tiada borang, ini akan merencatkan hasrat anak muda tadi disebabkan perkara yang tak sepatutnya berlaku,” kata Hannah.

ends

Categories
SELANGOR

Dua Minggu Sahaja Untuk Permohonan Dengan Pejabat Tanah

PETALING JAYA 6 JUN : Segala urusan di Pejabat Tanah di Selangor akan mengambil masa dua minggu sahaja untuk diproses, demikian ikrar yang dikeluarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menjawab soalan dari penduduk yang mengadu kelewatan Pejabat Tanah memproses permohonan berkenaan urusan tanah, Abdul Khalid menjelaskan Kerajaan Negeri akan melakukan penguatkuasaan berhubung perkara tersebut demi kepuasan pembayar cukai.

“Seharusnya segala urusan dilayani berdasarkan prinsip ‘First In First Out’ tetapi sebaliknya pula berlaku apabila ada yang memotong barisan sehingga menyebabkan mereka yang di hadapan terpaksa di belakangkan urusannya dan menunggu lebih lama.

“Tempoh masa urusan yang sama di Singapura cuma seminggu, jadi di sini mengambil kira penduduk yang ramai kita akan beri tempoh dua minggu kepada Pejabat Tanah untuk proses segala urusan.

“Jika masih lewat, maka pejabat tanah yang akan diminta membayar kepada rakyat yang membuat urusan tersebut,” ucap beliau dalam satu dialog bersama penduduk di Dewan Sivik di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata seharusnya rakyat juga tidak perlu lagi bersusah payah mengunjungi Pejabat Tanah untuk membuat urusan, sebaliknya Pejabat Tanah yang harus mengunjungi rakyat.

“Mindset ini yang kita harus ubah. Seharusnya kita yang pergi berjumpa pembayar cukai dan menyelesaikan masalah mereka, bukan mereka yang dah bayar kita tapi kemudian perlu susah payah pulak jumpa kita.

“Dengan cara ini, kita pun dapat melakukan kerja dengan cepat, masalah rakyat pun dapat kita selesaikan dengan lebih cepat dan menyeluruh,” jelas Abdul Khalid disambut tepukan gemuruh hadirin.

Majlis Dialog Skim Pemilikan Tanah Dan Tabung Amanah Perkuburan dengan Menteri Besar malam tadi turut dihadiri Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Norasiah Bee Mohd Hanif.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Pusat Tidak Ada Dana, Kerajaan Selangor Yang Akhirnya Tolong

SUBANG JAYA,5 MEI : Kerajaan Selangor memperuntukkan lebih RM1.3 juta untuk membina jejantas jalan kaki di Pesiaran Kewajipan SS14 di sini setelah kerajaan pusat gagal melaksanakan projek tersebut dengan alasan ?ketiadaan dana?.

ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata walaupun Kerajaan Selangor mempunyai kekangan kewangan, namun ia dapat mencari dana bagi melaksanakan projek itu demi kesalamatan penduduk untuk melintas kawasan yang trafik tinggi.

Sebelum ini penduduk terpaksa bertarung nyawa dengan melintas jalan yang sibuk itu bagi mengunjungi dua tempat ibadat yang bersebelahan, iaitu sebuah kuil Hindu Sri Varatharaja Perumal dan Rumah Ibadat Persatuan Penganut Buddha Subang Jaya.

?Sebelum ini kita telah mengumpulkan lebih 1,600 jumlah tandatangan daripada pelawat penganut agama Buddha dan lebih daripada 1,000 daripada penganut Hindu. Kesemuanya dihantar kepada Perdana Menteri dan pihak Jabatan Kerja Raya.

“Melalui dua surat, pihak kerajaan pusat mengata mereka tidak mempunyai dana kewangan untuk membina jejantas pejalan kaki itu,” kata Hannah.

Projek ini dijangka akan siap pada 24 Disember tahun ini, jelas Hannah di hadapan kira-kira lebih 1,000 penganut agama Buddha di Subang Jaya yang turut meraikan Hari Wesak.

Hannah juga berkata, tapak letak kereta dan jalan perhubungan di sekitar kawasan dua kuil tersebut juga akan diperbaiki di masa akan datang.

Dalam ucapannya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penggunaan dana kewangan oleh kerajaan negeri semakin baik dan effektif dalam mengurangkan ketirisan dalam melaksanakan projek-projek pembangunan.

“Sekarang kita dapat melaksanakan dua buah projek di mana sebelum ini kita hanya dapat melaksanakan hanya satu projek dengan jumlah dana kewangan yang sama,” kata Abdul Khalid di Majlis Pecah Tanah Jejantas Pejalan Kaki di sini.

Tambah Abdul Khalid, kerajaan negeri mempunyai jumlah simpanan rizab tunai yang semakin meningkat dan lebihan daripada belanjawan negeri yang dijimatkan akan digunakan untuk pembangunan rakyat melalui program Geran SelangorKu.

“Kerajaan Selangor juga akan menyediakan 10,000 kaki persegi di Subang Jaya untuk pembinaan kuil bagi penganut Sikh yang telah menunggu hampir 10 tahun,” kata Abdul Khalid.

Projek jejantas ini akan menelan belanja RM1,352,213.15 yang akan dilaksanakan oleh kontraktor, Aminsa Bina Sdn Bhd, yang sudah memulakan kerja-kerja awal sejak 27 Disember 2011 lepas.

Sementara itu penduduk yang temui, Lai Chee Phang, 54,  berkata beliau gembira dan menyatakan terima kasih kepada kesungguhan kerajaan negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak beberapa tahun lepas.

“Masalah untuk menyeberang bagi pejalan kaki sudah lama dan kawasan ini memang bahaya untuk melintas kerana banyak kenderaan lalu lalang, saya hari amat gembira dengan pelaksanaan projek ini,” katanya.

Menurut Ylow Ne, 20, berkata dengan pelaksaaan projek ini akan memudahkan penduduk kawasan ini melintas kerana sebelum ini pernah berlaku kemalangan.

“Ianya amat dinanti-nantikan penduduk di sini untuk mereka mudah melintas kerana jalan di sini terlalu sesak dan bahaya jika melintas,kami sangat gembira selepas menunggu sejak sekian lama,” katanya.

ends

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kes Hannah Yeoh Sekali Lagi Menunjukkan Polis Berat Sebelah

SHAH ALAM, 22 APR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi didakwa bertindak berat sebelah kerana memanggil pemimpin Pakatan Rakyat untuk memberi keterangan hanya kerana mempersoalkan program Umno-BN.

Sehubungan itu MP Puchong, Gobind Singh Deo menyarankan agar PDRM bertindak adil dan saksama dengan tidak memihak kepada pemimpin gagasan Umno-BN.

MP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, PDRM seharusnya mengambil kira fakta terhadap sesuatu isu dan bukannya bertindak melulu jika ia melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Polis seharusnya membuat siasatan dahulu berkaitan isu membabitkan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang didakwa memfitnah MCA,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Gobind mengulas tindakan PDRM memanggil Hannah ke Balai Polis SS17, Subang Jaya semalam untuk memberi keterangan tentang kenyataannya yang mempersoalkan satu program MCA di kawasannya baru-baru ini.

Pada permukaannya, program tersebut memberi perkhidmatan kesihatan percuma, akan tetapi Hannah mendakwa MCA menggunakannya untuk tujuan yang lain.

Sejurus selepas kenyataannya dikeluarkan menerusi laman blognya, MCA membuat laporan polis terhadap Hannah dan beliau dipanggil PDRM.

Gobind dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan wakil-wakil penduduk adalah antara orang yang menemankan Hannah ke balai polis tersebut.

Selepas beliau memberi kenyataan kepada PDRM, Hannah menulis di dalam blognya dan mengatakan beliau mewakili penduduk Subang Jaya dan boleh mempersoalkan sebarang perkara yang menimbulkan syak wasangka.

Beliau juga menyoal sejak bila MCA menjadi kebal kepada undang-undang.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan mempersoalkan sikap polis yang seolah-olah lepas tangan terhadap laporan jenayah yang dibuat oleh pemimpin gagasan itu.

Contohnya, ADUN Sekinchan Ng Suee Lim pernah dipukul oleh samseng semasa membuat lawatan ke Tanjong Karang pada 4 Nov 2010 tetapi sehingga sekarang tidak ada apa-apa tindakan daripada PDRM.

Pada Februari lepas, seorang wartawan di Pulau Pinang cedera apabila sekumpulan ahli Umno menyerang sebuah himpunan bagi membantah loji Lynas di Georgetown.

Begitu juga serangan sekumpulan 50 orang berbaju hitam terhadap perkhemahan aktivis di Dataran Merdeka minggu lalu di mana anggota PDRM yang ada di situ didakwa melihat sahaja perkara itu berlaku.

Gobind Singh berkata PDRM seharusnya menyiasat laporan yang dikemukakan NGO Bersih 2.0 yang menuntut Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) membersihkan senarai nama pengundi yang meragukan.

“Jika polis menggunakan undang-undang untuk semua pihak, seharusnya polis menjalankan siasatan terhadap laporan mengenai senarai pengundi yang meragukan,” jelasnya lagi.

“Jika polis hendak siasat Hannah Yeoh, polis juga semestinya menyiasat pelbagai perkara lain contohnya isu Bersih 3.0,” katanya.

Categories
SELANGOR

Adun BN Dilantik Sertai Jawatankuasa Dun

SHAH ALAM 27 MAC : Sidang Dewan Rakyat hari ini menerima beberapa usul penting berhubung perlantikan Ahli Jawatankuasa Khas Kerajaan Negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Usul pertama adalah perlantikan Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) yang melibatkan Adun Kajang, Lee Kim Sin sebagai Pengerusi Jawatankuasa menggantikan Adun Sungai Burong, Mohd Shamsudin Lias (BN) seterusnya mengekalkan Shamsudin sebagai Ahli Jawatankuasa.

Sementara itu, Adun Meru, Dr. Abd Rani Osman turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa menggantikan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Kerajaan.

Bagi Usul Kedua pula, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) bagi menggantikan mendiang Adun Bukit Gasing, Edward Lee.

Seterusnya, Sidang Dewan menyaksikan perlantikan Adun Sungai Air Tawar, Raja Ideris Raja Ahmad (BN) sebagai Ahli Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah untuk menggantikan Adun Taman Templer, Datuk Sri Subahan Kamal (BN).

Kesemua perlantikan dilakukan berdasarkan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Program MES DiSabotaj Melalui SMS DiLapor Polis

SHAH ALAM 27 MAC : Unsur sabotaj melalui pesanan ringkas SMS yang dilakukan oleh Umno-BN berhubung Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dikenal pasti dan akan diambil tindakan sewajarnya.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dalam pergulungannya di Dewan Undangan Negeri hari ini berkata perkara itu sudah dilaporkan pada Polis.

Katanya, banyak program MES telah disabotaj antaranya program Jom Shopping dan Skim Kesejahteraan Rakyat.

Sebelum ini katanya, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan didatang orang ramai di Pusat Khidmat beliau kerana terdapat SMS yang dihantar kepada mereka supaya datang mengambil baucher RM1,000 di Pejabat beliau.

Bagaimanapun katanya, skim itu tidak pernah diumumkan tetapi isu itu dibuat secara berleluasa di akhbar media pembangkang yang menggunakannya sebagai medium perantaraannya.

“Saya telah banyak menerima aduan. Isu ini telah dihebohkan secara berleluasa. Yang sebenarnya media mereka sentiasa memberi fakta-fakta yang salah dan ada unsur-unsur sabotaj supaya rakyat negeri ini akan keliru,”katanya.

Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata baru-baru ini terdapat hebahan di Sistem Pesanan Ringkas (SMS) mengenai program Jom Shopping.

“SMS itu mengatakan sesiapa sahaja layak untuk menerima bantuan dalam program itu, maka akhirnya menimbulkan kacau bilau di pasaraya.

“Begitu juga minggu lalu, ramai rakyat beratur seawal jam lapan pagi di Pejabat Penyelaras DUN Paya Jaras kononnya mendapat SMS bahawa mereka akan menerima RM800 ringgit sebagai saguhati,”katanya.

Justeru katanya, beliau mencabar pihak pembangkang supaya berani berlawan di gelanggang secara betul dan telus.

“Saya mncabar pembangkang dan saya ingin juga melihat, kalau berani sebagai anak jantan masuk gelanggang secara betul..kita akan tengok nanti.

“Pada saya jangan ingat rakyat selangor ini tidak pandai..saya kesian melihat rakyat selangor yang sentiasa dimain-mainkan dengan fakta yang tidak betul. Kita mahu supaya rakyat ini dapat informasi yg betul, tepat, dan biar mereka yg tentukan sapakah yg bakal mereka pilih untuk mewakili mereka di dun masing-masing.

“Jadi isu telah mnjadi satu budaya yang sepatutnya semua rakyat renung-renungkan siapakah yang wajar dipilih akan datang,” katanya.