Categories
SELANGOR

Jejantas Baru Persiaran Tujuan Legakan Penduduk USJ 11 Dan USJ13

Hannah Yeoh - Binaan Jejantas hadapan Sekolah SMK USJ13 Subang Jaya 01

SUBANG JAYA 6 FEB : Penantian penduduk USJ 13 dan USJ 11 di sini sejak empat tahun lalu untuk mendapat kemudahan jejantas bakal berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan kemudahan itu melalui Geran Selangorku.

Projek pembinaan jejantas penjalan kaki sepanjang kira-kira 21 meter yang bernilai RM435,660 kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap dua bulan akan datang.

Jejantas terbabit akan menghubungkan penduduk USJ 11 ke USJ 13, berhadapan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 13.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata pembinaan itu dilaksanakan kerana khuatir dengan situasi yang boleh mengundang kecelakaan terutamanya kepada pelajar sekolah.

Hannah Yeoh - Binaan Jejantas hadapan Sekolah SMK USJ13 Subang Jaya 02“Persiaran Tujuan itu merupakan jalan utama yang paling sibuk di kawasan Subang Jaya selain Persiaran Kewajipan.

“Jika waktu puncak, kira-kira tujuh hingga 10,000 kenderaan akan melalui jalan ini kerana jalan ini juga merupakan jalan pintas ke Kuala Lumpur dan Puchong, jadi keselamatan penduduk dan pelajar sekolah sangat membimbangkan,” katanya ketika ditemui di lokasi pembinaan.

Sehubungan itu, beliau berharap ibu bapa dapat memberi kerjasama supaya tidak memberhentikan kenderaan ditepi jalan untuk mengambil dan menghantar anak mereka ke sekolah selepas pembinaan ini siap.

Sementara itu, wakil Rukun Tetangga USJ 13, Wilymn Lee, 53, berkata terdapat kemalangan kecil berlaku, namun setakat ini tidak melibatkan pelajar sekolah terbabit.

“Selama ini saya cukup risau keselamatan pelajar. Ada pelajar berbasikal menyeberang jalan ini, jadi jika ada jambatan ini, mungkin pelajar tidak perlu lagi menggunakan basikal.

“Kami bersyukur setelah menunggu begitu lama, akhirnya kami memperoleh jejantas sendiri. Pembinaannya akan dapat memastikan para pelajar sekolah ini melintas jalan dengan selamat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pangsapuri Kos Rendah SS19 Nikmati Wifi Percuma

wifi 1

SUBANG JAYA 6 FEB : Perkhidmatan wifi secara percuma kini dapat dinikmati sebahagian daripada warga Subang Jaya sejak Disember tahun lalu, yang disediakan di bawah peruntukan Geran Selangorku.

Mengambil kira faktor kepadatan dan pendapatan sederhana penduduk, penghuni Pangsapuri Kos Rendah SS19 di sini berpeluang memanfaatkan perkhidmatan tersebut.

“Ia juga sebagai kemudahan kepada kanak-kanak dan guru sebuah tadika yang terdapat di kawasan perumahan ini.

“Sejak adanya wifi percuma ini, sambutan daripada warga penduduk terutamanya remaja begitu menggalakkan dan ini satu respon yang baik,” ujar pegawai Pusat Khidmat DUN Subang Jaya, Khai Kien.

wifi 2Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berharap agar sumbangan material dan moral dapat diberi kepada tadika berkenaan dalam usaha menjadikan warga kanak-kanak sebagai celik internet.

“Kami sangat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberi sumbangan komputer mahupun mengadakan kelas komputer kepada kanak-kanak tadika.

“Ini seterusnya bagi memastikan agar perkhidmatan yang diusahakan Kerajaan Negeri ini dapat memberi manfaat kepada rakyat sedari awal usia lagi,” ujar Hannah.

Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk memberi sumbangan boleh menghubungi Pejabat DUN Subang Jaya.

Perkhidmatan wifi percuma tersebut menggunakan talian Unifi dengan pakej Biz berkelajuan 5 MBPS dengan harga langganan sebulan adalah sebanyak RM 119.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Syabas Yang Gagal Mahu Dibantu, Kerajaan Selangor Yang Berjaya Diabaikan – INFO 12

Sinopsis

Info 12 Untuk 04022013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 4 FEBRUARI 2013 :

1. Bantuan RM 120 juta kepada Syabas oleh Kerajaan Persekutuan bukti jelas bahawa syarikat konsesi itu gagal mengurus dana yang diberikan kepadanya sebelum ini.

2. Unisel percaya kepimpinan negara yang telus dan tidak mengamalkan sistem kapitalis sebenarnya mampu merealisasikan pendidikan percuma di negra ini.

3. Sudah tiba masanya sistem pendidikan negara diperkasakan dari terus mewarisi dasar pendidikan penjajah yang sekular.

Categories
NASIONAL

KTMB Jadi Alat Propaganda BN, Tidak Layan PR Sewa Ruang Iklan

Sayangi Selangor KTM 02

SUBANG JAYA, 31 JAN: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang merupakan sebuah syarikat pengangkutan awam tidak wajar dijadikan alat propaganda Umno-BN dengan hanya menempatkan iklan mempromosikan gagasan itu pada gerabak keretapi.

Tindakan tersebut jelas menunjukkan Umno-BN menjadikan KTMB sebagai alat kepentingan politik apabila permintaan DAP Selangor untuk menyewa ruang iklan yang sama bagi DAP dan Pakatan Rakyat (PR) tidak mendapat layanan sama.

Menurut Bendahari DAP Selangor, Hannah Yeoh dalam sidang medianya hari ini, pihaknya sebelum ini telah menghantar surat menyatakan minat DAP dan PR untuk menyewa ruang iklan pada koc komuter KTMB.

“Pada 8 Januari lalu, kami ada hantar surat kepada Presiden KTMB, Datuk Elias Kadir melalui tangan dan surat itu sudah diterima dengan terdapat akuan penerimaan pada salinan surat itu sebagai bukti penerimaan.

“Tujuannya adalah untuk mengadakan pertemuan dengan pegawai bertugas untuk mendapatkan sebut harga tapak iklan dan sebagainya seperti mana BN.

?Tetapi malangnya tiada sebarang jawapan dari KTMB,” ujar Hannah yang juga merupakan Adun Subang Jaya.

Hannah turut mempertikaikan keengganan KTMB menjawab persoalan yang pernah ditimbulkan sebelum ini, iaitu samada KTMB mengenakan sebarang bayaran kepada Umno-BN untuk iklan mereka.

Dalam isu sama Hannah turut menempelak Datuk Seri Mohd Zin Mohamed agar lebih bijak membezakan antara jawatan Kordinator BN Selangor dengan Pengerusi KTMB yang kedua-duanya disandang beliau.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Umno-BN menjalankan propaganda politik mereka menerusi iklan ‘Sayangi Selangor’ di stesen dan gerabak KTMB.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jejantas Kewajipan : Janji Tidak Ditepati BN Dilangsai Kerajaan PR Selangor

Perasmian Jejantas di Persiaran Kewajipan USJ 01

SUBANG JAYA, 10 JAN: Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor sekali lagi membuktikan kemampuan apabila berjaya melangsaikan janji membina jejantas pejalan kaki di Persiaran Kewajipan yang gagal ditunaikan Umno-BN dalam kempen Pilihan Raya Umum ke 12 lalu.

Jejantas berkenaan siap pada Disember lalu dengan kos RM1.35 juta berbanding RM3 juta yang dijanjikan Umno-BN.

Pembinaan ini dibuat oleh Aminsa Bina Sdn Bhd yang memenangi tender terbuka selaras dengan dasar Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum merasmikan Jejantas Pejalan Kaki di Persiaran Kewajipan di sini pagi tadi berkata, jejantas yang dibina ini adalah antara yang termurah dibina di Selangor tetapi tidak menjejaskan kualitinya, sama dengan jejantas lain kerana kita buat tender terbuka.

“Dahulu, kalau BN, perlukan peruntukkan lebih RM3 juta untuk bina jejantas, tetapi PR dengan RM3 juta boleh buat dua jejantas,” ujar Menteri Besar.

Dalam majlis sama, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh memberitahu, janji yang dibuat bekas calon BN bagi Parlimen Kelana Jaya, Datuk Lee Hwa Beng dan bekas calon Subang Jaya, Ong Chong Swen itu dibuat dalam satu kenyataan media pada Febuari 2008.

Bagaimanapun selepas tewas pada PRU 2008, Hannah berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Kementerian Kerja Raya, bahawa projek itu tidak akan diteruskan atas alasan ia adalah janji peribadi Datuk Seri S.Samy Vellu yang pada ketika itu merupakan Menteri di Kementerian berkenaan.

“Disebabkan ketiadaan Sammy Vellu dan Datuk Lee selepas tewas dalam PRU, maka pihak Kementerian mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek pembinaan jejantas tersebut. Saya kemudiannya meminta bantuan daripada Kerajaan Selangor untuk mendapatkan peruntukan walaupun projek ini bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Selepas 4 tahun menunggu janji yang dibuat oleh Umno-BN dan lebih daripada 1600 tandatangan dikumpulkan dalam petisyen, pada Mei 2012 Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan peruntukan negeri untuk membiayai jejantas ini,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri PR Selangor turut mengambil langkah melaksanakan beberapa janji yang tidak ditepati BN dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke 12 lalu.

Antaranya, termasuklah projek pembinaan Jambatan ke tiga Klang yang menelan belanja sebanyak RM300 juta.

Perasmian Jejantas di Persiaran Kewajipan USJ 02 Perasmian Jejantas di Persiaran Kewajipan USJ 03

Categories
SELANGOR

Hannah : Minta KTMB Sedia Pelan Alternatif Kepada Pengguna Komuter Di Subang

Hannah KTM 01

SUBANG JAYA, 2 JAN : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini mempersoal tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bercadang menutup stesen KTM Subang Jaya buat sementara waktu tanpa mengeluarkan notis kepada orang ramai.

Beliau berkata, sehingga kini, KTMB masih gagal menjelaskan isu terbabit kepada orang ramai, malah tidak memberikan sebarang notis rasmi makluman pemandu teksi dan orang ramai.

“Pada 5 Disember lalu, saya mengadakan satu perjumpaan bersama Persatuan Teksi Subang Jaya untuk membincangkan mengenai beberapa perkara bagi membaikpulih infrastruktur di stesen tersebut. Berdasarkan perbincangan itu, kita ada mengemukakan beberapa cadangan dan satu surat rasmi dihantar kepada KTMB.

“Malangnya, pada 13 Disember lalu, pihak KTMB memaklumkan bahawa semua cadangan itu terpaksa ditolak berikutan stesen Subang Jaya akan ditutup bulan ini untuk pelaksanaan sambungan LRT. Apabila kita tanya bila stesen itu akan ditutup atau sama ada notis itu telah diberikan, mereka tidak dapat jawab,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Hannah, pihak KTMB digesa untuk memberikan notis lengkap bagi rujukan orang awam berikutan sebilangan besar penduduk menggunakan stesen itu untuk ke tempat kerja.

Katanya, KTMB juga perlu menyediakan pelan alternatif bagi memindahkan pengguna ke stesen lain sebaik sahaja stesen tersebut ditutup tidak lama lagi.

“Sekiranya KTMB ingin menutup stesen itu, mereka perlu sediakan satu pelan supaya pengguna termasuk pemandu teksi dan bas tidak menghadapi kesukaran kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Subang Jaya, Che Ei Mohamad berharap supaya KTMB mempertimbangkan semula keputusan untuk menutup stesen itu kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka seharian.

Beliau berkata, ia juga akan menyebabkan peniaga-peniaga kecil di kawasan itu berdepan kerugian dan hilang mata pencarian.

“Kebanyakan daripada peniaga dan pemandu teksi telah berada di kawasan itu lebih 15 tahun. Kami terasa teraniaya kerana tidak dipanggil untuk berbincang. Saya berharap pihak KTMB akan memberi penjelasan berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

TNB Kenakan Caj 200% – 500% – INFO 12

Sinopsis

Info 12 Untuk 26122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 26 DISEMBER 2012 :

1. TNB Kenakan Caj 200-500%

Awas, anda mungkin akan terperangkap dengan tindakan TNB ekoran pemasangan meter digital di rumah anda.

Caj yang akan dikenakan nanti adalah antara 200% hingga 500%. TV Selangor mendedahkan sikap tidak prihatin TNB ini

Layari http://www.selangorkini.net

hannah

Categories
SELANGOR

Caj Elektrik Penghuni Subang Jaya Naik Sampai Lima Kali Ganda

hannah yeoh bil elektrik 01
SUBANG JAYA, 22 DIS : Penghuni dan pemilik premis perniagaan di sekitar Subang Jaya mendakwa kadar tarif elektrik mereka naik sehingga lima kali ganda setelah menukar meter analog ke digital awal September lalu.

Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Mohamad Noor Ahmad berkata, beliau merasa teraniaya terhadap tindakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengenakan caj terlalu tinggi berbanding sebelum ini.

Lebih buruk katanya, TNB hanya menukar meter tersebut di kediaman tertentu sahaja dan tidak mengeluarkan sebarang surat rasmi bagi menjelaskan perkara tersebut.

“Sekiranya meter itu sememangnya perlu ditukar, maka semua penduduk perlu menukar meter mereka kepada digital.

?Penduduk yang tidak menukar meter masih dikenakan caj sama (rendah), tetapi yang telah tukar, cajnya naik dua kali ganda.

“Saya hanya seorang pesara dan tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil yang terlalu tinggi ini.

?Saya rasa tertipu dengan tindakan TNB ini. Mereka perlu beri penjelasan,” katanya kepada TV Selangor.

Hal sama turut diluahkan Ari Krishna yang merupakan seorang pengusaha restoran di Bandar Sunway di sini yang berpendapat kenaikan tarif elektrik begitu tinggi berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, caj elektrik yang dikenakan meningkat lebih dua kali ganda daripada RM 648 pada Jun lalu kepada RM 3,246 pada September setelah menukar meter digital.

Katanya, beliau telah membuat aduan kepada pihak TNB, namun tiada tindakan diambil sehingga kini.

“Apabila aduan dibuat, TNB terus memotong elektrik di premis perniagaan pada pukul 5 petang iaitu waktu yang sama restoran saya mula beroperasi.

?Saya tidak mempunyai pilihan selain menjelaskan bil tersebut kerana bimbang perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Saya juga mendapati meter tersebut ditukar sesuka hati oleh TNB tanpa meminta izin atau mengeluarkan sebarang notis kepada pemilik premis perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh menggesa pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk memaksa TNB mendedahkan peratusan peningkatan keuntungan yang diperolehi daripada penukaran meter baru ini.

Selain itu katanya, TNB juga perlu menubuhkan jawatankuasa bebas supaya penduduk boleh membuat aduan atau pertanyaan mengenai kesesuaian penukaran meter tersebut.

“Kita terima aduan bil tidak datang setiap bulan tetapi bil yang dikeluarkan hanyalah satu anggaran.

?Peningkatan caj elektrik itu antara 50 hingga 100 peratus. Penduduk perlu mendapat keadilan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : Sokong PR Untuk Pacu Pembangunan

 

BANDAR SUNWAY, 9 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa rakyat Selangor untuk terus menyokong kepimpinan Pakatan Rakyat(PR) agar dapat memacu pembangunan negeri dalam suasana aman dan gembira.

Menurutnya, sebagai keluarga besar, rakyat di negeri ini tidak boleh dipinggirkan dalam setiap pembangunan kerana setiap kejayaan yang diperoleh negeri merupakan kejayaan bersama.

“Saya harap anda dapat memberikan sokongon agar kita dapat gerakkan negeri menjadi sebuah negeri untuk semua.

“Sambutan perayaan ini menjadi sebahagian (acara) rakyat Selangor kerana berbilang kaum.

“(Sambutan perayaan) bukan hanya menyatu rakyat Selangor, tapi kita adalah keluarga besar.

“(Justeru) kita tidak mahu tinggalkan mereka dalam pembangunan kerana kejayaan kita adalah kejayaan bersama,” katanya pada Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor di Sunway Piramid Resort di sini semalam.

Menurutnya lagi, pihak Kerajaan Negeri sudah semestinya akan melaksanakan setiap bentuk pembangunan dengan penuh bertanggungjawab termasuk melaksanakan projek yang ditinggalkan oleh pentadbiran Umno-BN dahulu.

“Kita ada belanjawan berimbang (tahun 2013), tetapi kita juga ada rizab simpanan besar kerajaan iaitu melebihi RM2.5 bilion.

“Salah satu kegunaan rizab ini adalah untuk rakyat selangor.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan tidak lebih RM500 juta untuk pembangunan rakyat Selangor dalam pembinaan jambatan baru Klang.

“Saya rasa rakyat Klang akan dapat jambatan yang dijanjikan BN pada 4 Mac 2008. Kita patut lakukan kepada rakyat.

“Kita akan buat jambatan yang sama, model yang sama dengan perbelanjaan tidak melebihi RM200 juta,” katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, Ean Yong Hian Wah, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Subang Jaya, Hanna Yeoh dan Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Dalam majlis sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan Peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam berjumlah RM30,000 kepada Church of Shekinah Glory.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada empat buah sekolah iaitu PIBG SJKT Puchong dengan jumlah RM30,000, PIBG SJKT Ladang Tumbok, Sepang, RM15,000, PIBG SJKT Teluk Merbau Sepang, RM15,000, dan RM10,000 kepada PIBG SJKT Tun Sambathan, Petaling Jaya.

Tidak ketinggalan, sembilan rumah kebajikan dimana masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM2,500.

 

Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Dicabar Melawat Tapak Skandal Tanah Di Selangor

SHAH ALAM,5 DIS : Ketua Biro Profesional Muda MCA Pusat, Datuk Chua Tee Yong dijemput melawat tapak 24 keping tanah milik Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan kepada Umno-BN sekitar tahun 2004 -2008.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata, Chua yang terlalu obses berkenaan ‘skandal tanah’ khususnya di Selangor perlu menerima tawaran jemputan ini.

Kata Tony, lawatan bersama ke 24 tapak tanah itu bagi mengesahkan samada tanah yang diberikan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan sememangnya digunakan untuk ‘komuniti’ atau untuk keuntungan parti dan kroni.

“Semasa lawatan bersama Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke kawasan tapak seluas 87.188 kaki persegi di Ara Damansara yang diberikan kepada Umno Bahagian Subang mendapati tidak wujud tadika atau dewan komuniti.

“Sebaliknya kita mendapati sebuah kondominium 200 unit – Kondominium Suria Damansara bernilai lebih daripada RM500 juta yang mula dilancarkan pada tahun 2006,” kata Tony.

Justeru, lawatan bersama itu juga bagi mengenalpasti keuntungan 23 daripada 24 tapak tanah itu yang diperolehi oleh anggota BN daripada tanah tersebut yang diperolehi pada harga murah daripada Kerajaan Negeri BN sebelum ini.

Ng Suee Lim yang dihubungi berkata, dakwaan Ketua Bahagian Umno Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menafikan pemilikan tanah oleh Umno Subang itu sebagai tindakan untuk melindungi diri semata-mata tanpa hujah kukuh.

Kata Suee Lim, geran tanah tersebut masih di atas nama Umno Bahagian Subang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat membina dewan serbaguna dan tadika.

“Sepatutnya beliau mengetahui wujudnya tanah ini yang mungkin berlaku sebelum beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Subang, sepatutnya beliau mempunyai rekod berkenaan perkara ini,” kata Suee Lim.

Jelas beliau, perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan juga laporan kepada polis akan dibuat dalam masa terdekat.

“Menteri Besar Selangor pun bersetuju perkara mengenai ini di bawa ke Selcat yang kini akan diteliti oleh Jawatankuasa Selcat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Harus Segerakan Pilihanraya PBT


SHAH ALAM 21 NOV : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh mendesak Kerajaan Negeri supaya tidak menangguhkan perlaksanaan Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

Katanya, beberapa tahun yang lalu, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan wang untuk membuat kajian perlaksanaan pilihanraya Kerajaan Tempatan di negeri ini.

Bagaimanapun, hasil kajian itu dan anggaran kos untuk perlaksanaan itu tidak diketahui.

Beliau berkata Pulau Pinang sudah dalam proses melaksanakan pilihanraya Kerajaan Tempatan dalam bulan Januari tahun depan.

“Sehubungan itu, wajar sekiranya Kerajaan negeri yang merupakan negeri yang kaya dan maju tidak menangguhkan perkara itu kerana penduduk setempat mempunyai kuasa untuk memilih ahli majlis mereka.

“Pilihanraya Kerajaan Tempatan akan memastikan ?the best person is picked? untuk berkhidmat di dalam Pihak Berkuasa Tempatan.

?Oleh itu, janganlah Kerajaan Negeri menangguh perlaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

Gotong Royong Bersih Kawasan Perumahan Erat Hubungan Kejiranan

SUBANG JAYA, 27 OKT : Bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes dan menghijaukan kawasan sekitar, penduduk di Jalan USJ 3/2 di sini berganding bahu menyertai program gotong-royong di taman perumahan mereka awal pagi tadi.

Program itu dianjurkan penduduk setempat bersama-sama Komuniti Bomba Subang Jaya dan turut dihadiri Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh dan Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Dr Loi Kheng Min.

Ia disertai kira-kira 30 penduduk setempat termasuk golongan muda.

Hannah dalam ucapannya berkata, program gotong-royong itu mendapat sambutan menggalakkan daripada daripada penduduk sekitar dan memberi pelbagai manfaat kepada mereka.

“Walaupun ramai umat Islam pulang ke kampung halaman, tetapi penduduk lain masih bersemangat membersihkan kawasan sekitar. Bagi aktiviti hari ini, MPSJ menyediakan tong roro untuk kerja-kerja pembersihan.

“Program seumpama ini mampu mewujudkan kerjasama erat sesama penduduk tanpa mengira bangsa atau fahaman politik dan juga dengan MPSJ selaku pihak berkuasa di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, bagi pelaksanaan aktiviti seumpama itu, DUN Subang Jaya tmemperuntukkan sebanyak RM5000 tahun ini untuk manfaat penduduk.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya aktiviti ini dapat diteruskan oleh masyarakat di masa akan datang.

“Pendekatan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar bersama penduduk jarang sekali dilihat diamalkan oleh masyarakat dalam bandar dan kita harap melalui program seperti ini ia dapat menghidupkan kembali semangat hidup bermasyarakat di bandar,” katanya lagi.

Selain gotong-royong, penduduk turut diberi demonstrasi cara-cara pemadaman api oleh Komuniti Bomba.