Categories
NASIONAL SELANGOR

MB lawat projek perumahan SP Setia Bhd

SP Setia Bhd 01

SETIA ALAM, 30 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluangkan masa lebih setengah jam meninjau perkembangan terkini projek perumahan pangsapuri menggunakan teknik ‘pasang siap’ yang diusahakan syarikat pemaju hartanah terkemuka, SP Setia Berhad.

Dalam kunjungan ke tapak projek berkenaan, Abdul Khalid yang diiringi Exco Negeri Selangor diberikan penerangan terperinci berkenaan projek perumahan itu oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SP Setia, Datuk Voon Tin Yow.

Projek perumahan itu antara lain dibina berhampiran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Jalan Meru, Klang dengan keluasan rumah dianggarkan kira-kira 850 kaki persegi.

Sebanyak 3,960 unit pangsapuri setinggi 11 tingkat ditawarkan dengan harga pasaran RM220,000 dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik mandi juga kemudahan lain seperti kolam renang.

SP Setia Bhd 02

Projek pangsapuri kos sederhana yang mula dilaksanakan lebih setahun lalu itu mensasarkan golongan berkeluarga dengan pendapatan isi rumah kira-kira RM3,000 sebulan.

Difahamkan, projek perumahan itu sudah habis dijual kepada orang ramai.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

PNSB bantu eratkan Kerajaan Negeri dengan swasta

PNSB

SHAH ALAM 29 OKT: Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjaya memainkan peranannya dengan berkesan dalam mewujudkan kerjasama baik antara Kerajaan Negeri dengan sektor korporat khususnya pihak swasta di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu membantu Kerajaan Negeri dalam meningkatkan sumber pendapatan negeri demi kebaikan rakyat.

“Tumpuan kerajaan negeri bukan hanya membantu meningkatkan pendapatan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat tetapi juga memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri membantu memajukan Selangor,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi di Majlis Makan Malam sempena Pertandingan Golf Persahabatan anjuran PNSB baru-baru ini.

Abdul Khalid berkata, melalui peranan yang dimainkan PNSB, Kerajaan Negeri dapat mendekati sektor swasta dengan lebih berkesan.

“Kejayaan PNSB membantu Kerajaan Negeri melalui pertandingan begini merupakan laluan terbaik bagi membolehkan sektor swasta menyumbang ke arah meningkatkan aset Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Abdul Khalid berkata, selain membawa masej ketelusan dan profesional dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada rakyat, anak syarikat Kerajaan Negeri turut digalakkan mengambil peluang bagi meningkatkan imej serta membantu Kerajaan Negeri.

Sementara itu, Pertandingan Golf Persahabatan yang dianjurkan PNSB buat kali keempat ini melibatkan Pejabat-pejabat Daerah di Selangor dan sektor swasta.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

MPK sita papan iklan haram

iklan haram 2

KLANG 28 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita 37,564 iklan haram termasuk 9,064 iklan ‘ah long’ di Bulatan Berkeley dan jalan utama lain, di sini.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom, berkata tindakan itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan MPK 2007 atas kesalahan mempamerkan iklan tanpa kebenaran pihak berkuasa, manakala penurunan iklan dilakukan di bawah UUK 21 (2).

Katanya, iklan haram itu kebanyakannya berbentuk banting dan poster yang dipaparkan menggunakan saiz iklan gergasi serta menghalang penglihatan orang ramai.

?Kita mengalu-alukan maklumat daripada orang awam dalam usaha membanteras iklan haram seperti ini yang bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi turut menjejaskan kebersihan setempat.

?Selain itu, sesetengah iklan haram ini juga mengganggu penglihatan pengguna jalan raya dipamerkan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan majlis,? katanya dalam satu kenyataan media, di sini, baru-baru ini.

iklan haram 01

Andry berkata, antara lokasi yang menjadi tumpuan pihak tertentu menampal iklan haram adalah di Bukit Tinggi, Bayu Perdana, Taman Sentosa, Pekan Kapar, Meru dan Pelabuhan Klang.

Katanya, MPK juga sentiasa membuat pemantauan terhadap iklan haram itu dari masa ke masa dalam usaha mengatasi masalah menganggu menutup penanda arah jalan.

“MPK turut mengharapkan kerjasama masyarakat setempat supaya segera melaporkan kepada kami jika terlihat iklan haram di kawasan mereka,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status pembinaan SJKT Ladang Castlefield akan dibincang dalam mesyuarat MTES

MB SUK grey

SHAH ALAM 28 OKT : Kontroversi berhubung status pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Castlefield, Puchong, di lokasi baru akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan melalui MTES bertujuan untuk merekodkan sebarang keputusan dan persetujuan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kami akan bincang dalam mesyuarat MTES sama ada minggu ini atau minggu depan kerana mahu Kementerian Pendidikan dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) untuk mendapat ketetapan mereka.

“Itu sebab kita adakan perjumpaan di MTES supaya ada rekod persetujuan yang kita lakukan,” katanya sebagai respon kepada pendirian Kerajaan Negeri berhubung perkara itu di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, sebelum ini mendesak Abdul Khalid untuk memberi jawapan segera berhubung pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan pembinaan SJKT Ladang Castlefield di lokasi baru.

Difahamkan, tanah di lokasi baru itu diperuntukkan kerajaan negeri selepas timbul bantahan apabila sebahagian padang sekolah di tapak lama diambil bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jajaran transit aliran ringan (LRT).

Gobind berkata, perkara berkenaan perlu segera dipertimbangkan kerana akan timbul masalah lain termasuk menjejaskan kerja pembinaan LRT sekiranya persetujuan kerajaan negeri lewat diperoleh.

Kerajaan Negeri sebelum ini memutuskan memperuntukkan tanah seluas 1.6 hektar di Taman Wawasan untuk memindahkan sekolah berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pekawanis anjur program Pencarian Keluarga Harmoni

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 3

KLANG 28 OKT : Keluarga yang harmoni dan holistik serta mempunyai nilai jati diri yang kuat dan teguh adalah diperlukan bagi meneruskan kejayaan sesebuah masyarakat.

Sehubungan itu, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menganjurkan program Pencarian Keluarga Harmoni khusus bagi masyarakat di Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 1

Program itu bertujuan bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat supaya menghargai dan menjaga kebersihan, keindahan persekitaran rumah serta meningkatkan ilmu pengetahuan perusahaan bermula daripada rumah bagi menambah pendapatan keluarga.

Yang Dipertua Pekawanis, Puan Sri Salbiah Tunut, berkata pertandingan ini memfokuskan kepada ciri-ciri nilai sejagat seperti jujur, amanah, ikhlas, saling hormat menghormati, berkasih sayang, bekerjasama, bertanggungjawab serta penghayatan jati diri yang tinggi sesama keluarga.

“Setiap keluarga yang terlibat dalam pertandingan ini perlu melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan, bersama memakmurkan usaha menaik taraf sosio-ekonomi setempat dan kawasan persekitaran tempat tinggal masing-masing,” katanya.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 4

Beliau berkata demikian di program perasmian program itu di Dewan Orang Ramai Hamid Tuah MPK, Telok Gong, Pelabuhan Klang di sini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Ehsan Mukri, isteri-isteri Adun, serta lebih 300 orang masyarakat setempat.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata, program pembangunan keluarga adalah sangat diperlukan bagi menentukan kejayaan sesebuah masyarakat itu.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 2

Katanya, sokongan semua pihak terutama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperlukan bagi membantu usaha itu demi kemakmuran semua rakyat khususnya di Selangor.

“Program pembangunan keluarga adalah sangat diperlukan untuk kejayaan, dalam keadaan ini, itu sebabnya kita mesti sabar dan buat program yang teratur.

“Untuk itu saya meminta PBT Klang untuk menunjukkan kesediaan dalam menyokong usaha ini, antaranya meningkatkan kebersihan di kawasan itu, betulkan semua longkang yang tersumbat dan sebagainya,” katanya.

Pekawanis anjur program Keluarga Harmoni 5

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Masyarakat perlu amal budaya kebersihan dan penjagaan alam sekitar

budaya amal kebersihan dan penjagaan alam 1

SHAH ALAM 27 OKT : Masyarakat disarankan untuk sentiasa menjaga kebersihan yang merupakan teras kepada kesejahteraan keluarga dalam mewujudkan budaya masyarakat bertanggungjawab kepada penjagaan alam sekitar.

budaya amal kebersihan dan penjagaan alam 3

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata usaha menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua yang perlu dilaksanakan khususnya dalam masyarakat di perbandaran.

Kata beliau, masyarakat perlu mempunyai sikap memastikan keluarga dan jiran hidup suasana sekeliling yang bersih dan alam sekitar yang terpelihara.

“Kerajaan Selangor akan terus memberikan sokongan kepada usaha dan aktiviti mencintai persekitaran hijau dan bersih,” kata Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata, aspek penjagaan kebersihan adalah mengatasi kepentingan politik yang perlu digarap oleh semua ahli masyarakat tanpa mengira latar belakang.

budaya amal kebersihan dan penjagaan alam 4

Beliau berkata demikian semasa ucapan perasmian pada program “Enchancement of IQ vs the Strengtening of Immunity” yang diadakan di Setia City Convention Centre di sini.

Kira-kira 500 orang hadir dalam program itu yang turut dihadiri Pengerusi Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai dan Naib Presiden SP Setia, Datuk Khor Chap Jen.

Program itu anjuran tiga syarikat Top Glove Corporation Berhad, SP Setia Berhad dan Khind Holding Berhad sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu dalam menjaga alam sekitar yang lebih hijau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Laksana GST, makin banyak rakyat kena tanggung

Gst biasa

SHAH ALAM, 27 OKT : Pelaksanaan GST hanya akan meningkatkan harga barangan dan beban cukai yang perlu ditanggung pengguna walaupun selepas pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, Kerajaan Umno-BN mengelirukan rakyat dengan memberi gambaran bahawa kebanyakan harga barangan dan cukai yang dibayar oleh pengguna akan dikurangkan selepas pengenalan GST.

“Yang benar adalah bahawa perkara yang dikenakan cukai di bawah SST adalah jauh kurang daripada apa yang dikenakan cukai di bawah GST,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Kian Ming berkata, antara perkara yang didakwa tidak di bawah cukai jualan tetapi akan di bawah GST termasuk banyak barangan bukan mewah seperti susu, kopi, teh, air mineral , buah-buahan dalam tin , surat khabar , alat tulis, beg sekolah, dan kotak .

Katanya, penggunaan elektrik di atas 200kWh (mana-mana amaun yang melebihi RM50) juga akan dikenakan GST. Harga barang-barang ini pasti akan meningkat selepas GST kerana penghapusan SST mempunyai kesan ke atas harga.

Pada masa ini cukai jualan adalah terhad kepada restoran-restoran tertentu dan perkhidmatan profesional yang diberikan oleh akauntan , arkitek, perkhidmatan kenderaan motor dan pusat-pusat pembaikan, perkhidmatan telekomunikasi , perkhidmatan keselamatan , ejen hartanah, operator perkhidmatan letak kereta ruang dan firma perkhidmatan .

“Liputan yang lebih luas di bawah GST bermakna lebih perkhidmatan akan dikenakan GST berbanding dengan cukai perkhidmatan semasa. Ini bermakna bahawa lebih banyak perkhidmatan hargaya akan meningkat.

“Yang benar adalah bahawa GST akan menaikkan harga majoriti barangan dan perkhidmatan walaupun selepas penyingkiran GST dengan beban kewangan rakyat akan meningkat,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Umno-BN boros, rakyat tanggung GST dan pengurangan subsidi

GST Grafik Baru

SHAH ALAM,27 OKT : Pengurangan subsidi dan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan Umno-BN berbelanja.

Ketua Penerangan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perlaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan Umno-BN mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasinya dan bukannya ianya terus berboros dengan duit rakyat.

Katanya, rakyat tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila ia diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus bermula 1 April 2015.

“Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian,” katanya dalam satu kenyataan.

Tuan Ibrahim berkata, di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

“Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

“Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minima perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal,” katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan kerajaan mengenakan GST tidak mampu menyembunyikan kegagalan mereka mengawal perbelanjaan berlebihan dengan defisit terus kekal.

Lebihan dalam kutipan cukai yang dinyatakan dalam Laporan Ekonomi 2013/14 sepatutnya membantu mengurangkan defisit kronik itu kepada 2.6 peratus tetapi sebaliknya kekal tidak berubah pada unjuran empat peratus.

“Walaupun kerajaan mengumpul jauh lebih tinggi daripada hasil yang dijangkakan, defisit untuk 2013 kekal pada RM39.3 bilion.

“Ini bermakna hampir setiap sen pendapatan tambahan yang dikutip kerajaan terus segera dibelanjakan, bukannya menyumbang ke arah mengurangkan hutang,? katanya.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Shah Alam bakal terima pelaburan RM35 bilion

Abdul Khalid merasmikan Jejambat Cahaya SPK 4

SHAH ALAM , 27 OKT : Pelabur luar negara bakal membuat pelaburan berjumlah RM35 bilion di Shah Alam dalam tempoh lima tahun akan datan dalam pelbagai bidang seterusnya merancakkan ekonomi Selangor.

Abdul Khalid merasmikan Jejambat Cahaya SPK 1

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata unjuran itu berdasarkan maklum balas positif yang diberikan para pelabur ketika sesi lawatan beliau ke Singapura baru-baru ini.

“Shah Alam bakal menjadi bandar yang paling menonjol di Malaysia sebagai bandar yang paling berpotensi untuk dimajukan,” kata beliau.

Abdul Khalid merasmikan Jejambat Cahaya SPK 3

Abdul Khalid berkata, justeru bagi memastikan kemajuan ini maka kecekapan pengangkutan awam perlu dipertingkatkan bagi mengurangkan kadar kesesakan lalu lintas.

“Sebarang pembinaan pada masa akan datang perlu menitik beratkan aspek kemudahan pengangkutan awam. Sudah tiba masanya untuk kita menggunakan pengangkutan awam berbanding dengan pengangkutan sendiri.

“Pengangkutan sendiri sudah menjadi tidak efektif memandangkan masa yang telah kita habiskan bagi dalam kesesakan lalu lintas,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian jejantas jejambat Cahaya SPK dan “Flag Off 5km Fun Run” di Kelab Cahaya SPK di sini.

Abdul Khalid berkata, perancangan masa panjang kerajaan negeri adalah membaik pulih jaringan kemudahan pengangkutan awam ke tahap yang lebih baik.

Abdul Khalid merasmikan Jejambat Cahaya SPK 2

“Pada masa ini, jaringan kemudahan pengangkutan awam yang ada adalah kurang dari 7 peratus. Kita akan berusaha untuk memperbaikinya sehingga ia akan mencecah sehingga ke tahap 60 peratus dalam masa 10 tahun akan datang,” kata beliau.

Sebelum itu, Abdul Khalid merasmikan Jejambat Cahaya SPK sepanjang 536 meter yang menelan belanja sebanyak RM12 juta siap pada awal 2013 bagi mengurangkan kesesakan trafik di kawasan itu dan memberikan kemudahan kira-kira 20,000 penduduk.

Turut hadir dalam majlis itu Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Jaafar Mohd Atan dan Pengarah Eksekutif Group Cahaya SPK,Saiful Aznir Shahabudin.

-EZY

Abdul Khalid merasmikan Jejambat Cahaya SPK

Categories
SELANGOR

RM20 juta perbaiki asrama UNISEL, siap Jun 2014

asrama-unisel-bestari-jayaBESTARI JAYA 26 OKT : Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta bagi tujuan penambahbaikan asrama Universiti Selangor (Unisel) dan dijangka siap selewat-lewatnya pada bulan Jun tahun hadapan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited membaikpulih bangunan asrama yang tidak boleh digunakan lagi itu bagi tujuan kemudahan infrastruktur pelajar institusi pengajian tinggi berkenaan.

“Blok bangunan itu sudah tidak boleh pakai dan kita akan adakan program penambahbaikan ‘Repairs and Maintenance’ dan peruntukan diberikan kepada pihak universiti untuk bergerak pada pembaikan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas Istiadat Konvokesyen Unisel Ke Lapan di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya di sini.

Turut hadir, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad.

Seramai 2,003 graduan bakal memperolehi ijazah masing-masing termasuk tujuh orang menerima ijazah kedoktoran falsafah dan profesional.

Manakala 34 orang menerima ijazah sarjana dan 1,024 orang menerima ijazah sarjana muda dan 937 orang menerima diploma.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata masyarakat diharap tidak beranggapan bahawa graduan Unisel sebagai ‘graduan pasang siap’ iaitu kemampuannya terbatas.

“Saya mahu dan bahkan seluruh rakyat Selangor mahu, bahawa Unisel ini sebenarnya sentiasa mengeluarkan graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran berfikir, budiman, pencinta ilmu dan berperibadi mulia.

“Kesepaduan jasmani, emosi, rohani dan intelek adalah kriteria penting untuk menjadi graduan cemerlang,” ujarnya.

Abdul Khalid berkata, Unisel sehingga kini mampu mengekalkan status sebagai antara graduan yang tertinggi memperolehi pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan pengajian.

“Hal ini dilaporkan dalam media massa dan Kementerian Pendidikan 2012, saya percaya para graduan sedia maklum mengenai pencapaian dan kejayaan universiti ini serta pelbagai pengiktirafan yang diterima, sama ada dalam mahupun luar negara,” katanya lagi.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Bukan masa untuk laksana GST

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014

KUALA LUMPUR 24 OKT : cadangan kerajaan ntuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan satu langkah bijak kerana ia adalah cukai regresif apabila golongan berpendapatan rendah terpaksa membayar cukai lebih tinggi.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk memastikan pelaksanaan sistem cukai progresif daripada perspektif perkongsian lebih adil dalam pelarasan beban fiskal yang perlu ditanggung lebih oleh golongan kaya dan kumpulan berpendapatan tinggi.

Dengan tidak memperkenalkan GST, Pakatan Rakyat mencadangkan inisiatif lain untuk mempelbagaikan asas pendapatan kerajaan persekutuan dan memperluaskan sumber pendapatan ,terutama cukai langsung serta hasil bukan cukai.

Sistem cukai sedia ada dilihat mengalihkan beban cukai daripada pemilik modal dan golongan berpendapatan tinggi dengan kecenderungan lebih tinggi mendatangkan kesukaran kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

PR turut menegaskan pendapatan minimum isi rumah negara perlu mencapai tahap yang dianggap perlu dan mencukupi bagi menyerap kejutan terhadap kuasa beli rakyat, khususnya di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana sebelum GST dilaksanakan.

Belanjawan itu juga mencadangkan kerajaan mewujudkan suruhanjaya atau jawatankuasa reformasi cukai yang akan mengkaji semula mekanisme sedia ada dan mencadangkan langkah sesuai selepas proses perbincangan dengan semua pihak berkepentingan bertujuan mengukuhkan keupayaan sistem percukaian negara yang lebih mencerminkan piawaian antarabangsa serta amalan terbaik demi kesejahteraan rakyat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan: Dasar Pendidikan Kebangsaan disemak semula

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014

KUALA LUMPUR 24 OKT : Pelajar di 1,854 Sekolah Janaan Rakyat (sekolah vernakular) seluruh negara akan menerima bantuan tambahan sebanyak RM300 setiap tahun melalui pembentangan Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat.

Bantuan tambahan membabitkan peruntukan sebanyak RM220 juta itu adalah satu bentuk pelaburan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah berkenaan, termasuk kos penambahan bangunan serta membaik pulih infrastruktur serta kemudahan.

PR juga mensasarkan lima sekolah menengah teknik dan vokasional iaitu tiga di Semenanjung, manakala satu di Sabah dan Sarawak sebagai ‘pilot project’ penambahbaikan kelengkapan dan usahasama dengan sektor swasta bagi penawaran peluang pekerjaan membabitkan peruntukan RM20 juta bagi setiap sekolah.

Selain itu, PR juga bercadang menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM6 bilion setahun untuk mengambil alih hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menampung 10 peratus kos di Institusi Pengajian Tinggi (IPTA), elaun sara hidup untuk 500,000 pelajar dan tabung untuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Di bawah dasar sama, PR berhasrat menubuhkan Jawatankuasa Khas ‘Teacher Recruitment Unit and Specialist Team’ (TRUST) di setiap negeri untuk memilih guru di kalangan 30 peratus terbaik bagi setiap kumpulan dengan peruntukan sejumlah RM10 juta setahun.

Tenaga pengajar juga akan diberikan elaun khas perguruan sebanyak RM500 setiap bulan dengan kos keseluruhan RM2.4 bilion setahun.

PR turut berhasrat melaksanakan satu program khas untuk melatih guru komuniti di kalangan orang asli serta kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dengan kos RM10 juta setahun, selain penubuhan sekolah perdana bagi keperluan khusus kanak-kanak istimewa dengan peruntukan RM20 juta. -NFN-