Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Diarah Segera Selesaikan Masalah Penduduk Pangsapuri Indah Ria

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04

SUBANG JAYA 16 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan berbincang bersama pemaju yang terlibat bagi menyelesaikan masalah keretakan di Pangsapuri Indah Ria di Seksyen 22 Shah Alam.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MBSA sedang mengkaji masalah itu dan  akan mengadakan perbincangan sehingga masalah membabitkan 1,000 penduduk itu dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Beliau berkata, sekiranya masalah membelenggu penduduk pangsapuri itu gagal diselesaikan, MBSA akan diminta membuat kerja baik pulih terlebih dahulu.

Katanya, sekiranya perbincangan itu tidak mendatangkan hasil, Kerajaan Negeri akan mengarahkan MBSA untuk mendahulukan kerja-kerja membaiki kerosakan di pangsapuri tersebut.

“MBSA telah pun memberi penerangan kepada Kerajaan Negeri tempoh hari berhubung perkara ini dan kita difahamkan bahawa terdapat perselisihan antara pemaju dan penghuni di pangsapuri tersebut pada masa kini.

“Kita  meminta MBSA untuk mengadakan perbincangan bersama pihak pemaju dan penduduk di mana jika masalah ini tidak selesai, kita akan arahkan pihak Majlis untuk dahulukan kerja-kerja membaiki dan menuntut bayarannya daripada pemaju.

“Kalau pemaju enggan, kita akan bawa kes ini ke mahkamah,” tegasnya.

Penduduk pangsapuri berkenaan sebelum ini melahirkan kebimbangan dan meminta kerjasama Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan masalah tanah mereka yang dikhuatiri menjejaskan struktur kediaman dihuni sejak setahun lalu.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut, Ariffuniza Koraini, berkata, pihaknya beberapa kali menyuarakan perkara tersebut kepada MBSA namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Penduduk yang menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid sebelum ini mendakwa sejak Mei tahun lalu, tiada tindakan efektif yang diambil, pihak diajukan saling menuding jari dan tidak mahu bertanggungjawab.

Categories
SELANGOR

Tambah Anggota Penguatkuasa di PBT Tingkatkan Pantau Keselamatan Awam

logo PBT

SHAH ALAM, 15 JUN : Bagi meningkatkan keselamatan awam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melaksanakan kerja-kerja meronda.

Meskipun ia adalah tanggungjawab pihak polis dan di luar bidang kuasa negeri, namun menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, langkah ini diyakini mampu mengatasi kelemahan sistem keselamatan sedia ada.

“Ini adalah sebagai langkah sementara iaitu menggunakan tenaga kerja PBT di peringkat Majlis.

?Kita mahu memastikan keselamatan orang ramai adalah lebih terjamin,” katanya ketika menerangkan Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) di sini semalam.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri akan menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) terutama di kawasan tumpuan awam seperti bank.

Katanya, penambahan sistem CCTV itu adalah untuk memudahkan pihak berkuasa membuat pengecaman sekiranya berlaku jenayah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memasang sebanyak 414 buah CCTV di seluruh negeri. Namun kita dapati ia tidak mencukupi untuk memastikan sistem ini benar-benar berkesan.

“Kita akan cuba libatkan pihak swasta iaitu berjumpa dengan pihak bank untuk memasang kamera di luar bangunan bank untuk mengenalpasti masalah jenayah yang berlaku.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjadi PBT pertama yang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan pihak bank dan peniaga swasta berhubung perkara ini,” jelasnya lagi.

Categories
SELANGOR

Selangor Laksanakan Perkhidmatan Bas Tempatan Dalam Dua Bulan

pakatan selangor

SHAH ALAM, 15 JUN : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyempurnakan serta menambah baik beberapa perkara dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai memenuhi Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama).

Ini termasuk menyediakan perkhidmatan bas tempatan di peringkat PBT dan menyelaraskan undang-undang kecil e-lesen untuk bangunan perniagaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim dalam sidang media berkata, antara rangka lain yang dikenal pasti ialah penambah baikan sistem pengauditan dan pemantauan cara kerja.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada peningkatan kerja warga PBT dan perlesenan burung walit.

“Usaha ini akan diselaraskan untuk seluruh negeri di mana kita akan membuat perbincangan dari semasa ke semasa mengenai perkara tersebut.

“Berhubung perlesenan burung walit, pihak Kerajaan Negeri akan berjumpa dengan pengusaha burung walit sebelum kita membuat keputusan terakhir.

“Butirnya akan diumumkan kemudian bila kita sudah mempunyai langkah yang konkrit,” katanya selepas sesi perjumpaan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam semalam.

Perkhidmatan bas tempatan pula akan dilaksanakan sebagai menepati janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 Pakatan Rakyat Selangor.

Categories
SELANGOR

500 Padang di Kawasan Kediaman Bakal Dinaiktaraf PBT

padang PKNS

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebanyak 500 padang di kawasan perumahan akan dibina dan peralatannya diganti dalam tempoh lima tahun oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, usaha itu akan dibuat secara berperingkat di mana dua buah padang di setiap 56 kawasan DUN akan dinaiktaraf dalam tempoh setahun.

Menurutnya, pemilihan padang akan dilakukan oleh Adun kawasan masing-masing dan ia akan diselaraskan oleh pihak PBT.

“Kesemua padang ini akan dilengkapi dengan lima komponen antaranya pondok wakaf, peralatan mainan kanak-kanak, empat set peralatan gymnasium, empat buah bangku batu dan lampu solar.

“Perkara ini terkandung di bawah rangka Kerajaan Negeri bagi menumpukan perhatian terhadap membina imej positif PBT di seluruh negeri.

“Kita akan laksanakan perkara ini dengan segera dan ia bakal menjadi cabaran buat pihak Majlis untuk melaksanakannya,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini pagi tadi.

Katanya usaha tersebut sebahagian daripada Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Categories
SELANGOR

Minta MBSA Kaji Semula Kelulusan Bina Pawagam Di Shah Alam

Khalid-Samad edit

SHAH ALAM 5 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu mengkaji semula kelulusan projek pembangunan di kawasan berhampiran Padang Jawa di sini di mana sebuah mini teater bakal diwujudkan di dalam kompleks perniagaan di situ.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mendakwa mengikut pelan asal pembangunan kompleks perniagaan di Alam Avenue 2 tersebut, tiada terdapat perancangan bagi pembinaan mini teater berkenaan.

Beliau berkata, MBSA sewajarnya mengekalkan keadaan asal di mana tiada pembinaan panggung wayang atau pusat hiburan di sekitar Seksyen 1 hingga Seksyen 24 Shah Alam sepertimana kehendak Almarhum Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Saya telah menulis kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya perkara ini dipertimbangkan kembali,”katanya dalam sidang di pejabatnya di sini.

Tegasnya, kepentingan penduduk di kawasan itu perlu diambil kira oleh MBSA sebelum sebarang keputusan dibuat bagi projek berkenaan.

“Saya telah mengutus surat kepada Datuk Bandar Shah Alam pada Januari lalu tetapi setakat ini tiada respon,” katanya.

Categories
SELANGOR

Golongan Wanita Puji Program Kebajikan Kerajaan Negeri

1

SHAH ALAM 23 FEB: Golongan wanita di Selangor memberikan reaksi positif terhadap usaha Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai program khusus untuk golongan tersebut.

Antara program yang dianjurkan Kerajaan Negeri hingga kini ialah Jom Shopping kepada ibu tunggal, program kesihatan wanita, seminar bagi memberdayakan wanita serta kursus-kursus kemahiran sejak lima tahun kebelakangan ini.

2Bagi Muniaman Batmulai, 46, beliau merasakan program seperti program kesihatan wanita sangat bermanfaat kepadanya kerana beliau tidak perlu bersusah payah untuk ke hospital menjalani pemeriksaan.

“Program seperti ini lebih dekat dengan masyarakat, sebab dianjurkan di kawasan perumahan dan ia sangat memudahkan wanita seperti saya,” katanya ketika ditemui di Program Kesihatan Wanita Seksyen 19 Barat, Shah Alam di sini hari ini.

Manakala, Sakinah Ibrahim, 49, berpendapat usaha ini perlu diteruskan di masa akan datang dan mengharapkan lebih banyak program untuk wanita dapat dianjurkan.

“Kalau boleh, saya harap lebih banyak program untuk kaum wanita dapat diadakan supaya golongan ini sentiasa mendapat perhatian daripada pihak yang sepatutnya,” katanya.

Dalam pada itu, program ini merupakan anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) DUN Batu Tiga dan Majlis Pimpinan Penduduk (MPP) Zon 7 dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Batu Tiga dan Ikram Medic Shah Alam.

Turut hadir ialah Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Haris Abu Bakar dan dihadiri kira-kira 100 golongan wanita di kawasan itu.

3Sementara itu, Rodziah di dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri akan melaksanakan pelbagai program untuk wanita di masa akan datang jika diberikan mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menurutnya, golongan wanita mulai daripada remaja sehingga dewasa perlu diberikan perhatian supaya semua pihak sedar dan faham mengenai hak wanita yang seringkali dipinggirkan sebelum ini.

“Pelbagai kes seperti dera wanita, rogol dan penganiayaan dilakukan terhadap golongan seperti kita dan melalui program-program yang dianjurkan ini, saya ingin lihat supaya wanita memberdayakan dan bukan diperdayakan oleh sesetengah pihak,” katanya yang merupakan Adun Batu Tiga.

 

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM10 Juta Naiktaraf Terminal Bas Seksyen 17 Shah Alam

rodziah stesen bas

SHAH ALAM 16 FEB : Terminal bas Seksyen 17 Shah Alam di sini akan dinaiktaraf dengan pelbagai kemudahan tambahan demi memenuhi keperluan pengguna bersesuaian keadaan masakini dan dijangka siap pada akhir 2014.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri memutuskan menjalankan projek tersebut dengan peruntukan RM10 juta kerana suasana ketidakselesaan dialami pengguna dan penggusaha bas di kawasan itu yang berlarutan sekian lama.

Menurutnya, terminal bas lebih 25 tahun itu memerlukan pembaharuan kerana ia menjadi tumpuan orang ramai dari seluruh negara yang menggunakan pengangkutan awam untuk pergi dan balik ke sesuatu destinasi.

“Terminal bas di Seksyen 17 akan dinaik taraf kepada menurun dan mengambil penumpang. Antara kemudahan disediakan adalah surau, gerai, pondok kaunter tiket dan tempat menunggu serba baru.

“Balai polis juga akan menjadi salah satu komponen pembangunan terminal bas yang mana di dalam keputusan dibuat Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diamanahkan untuk mengendalikan pembangunan semula terminal ini,” katanya dalam sidang media di sini.

Rodziah berkata, peruntukan bagi tujuan itu telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 16 Februari lalu dan tender akan dikeluarkan MBSA dalam tempoh terdekat ini.

Katanya, Kerajaan Negeri mengambilalih tanggungjawab dengan membetulkan keadaan berikutan aduan umum berulang kali dibuat yang tiada berkesudahan.

“Pengangkutan awam adalah salah satu ukuran kualiti kehidupan rakyat Malaysia yang sebenarnya di bawah kendalian dan pengurusan Kerajaan Persekutuan.

“Ia adalah antara perkara dutamakan Kerajaan Negeri dan menjadi fasa lanjut pembangunan yang akan dilonjak apabila rakyat memberi mandat berterusan dalam pemilihan pucuk pimpinan negeri dan negara akan datang,” katanya.

Pada perancangan 2008, Kerajaan Negeri merancang memindahkan terminal bas ke Glenmarie namun mengambil kira laluan trafik maka tapak baru yang sesuai dicadangkan dengan terminal sedia ada dinaiktarafkan.

Naib Presiden Persatuan Pemandu Teksi Dan Kereta Sewa Seksyen 17, Hashim Othman menjelaskan cadangan menaiktaraf terminal bas itu adalah baik kerana Shah Alam memerlukan satu pusat perhentian pengangkutan awam yang selesa dan serba lengkap.

“Pengguna semakin ramai dan datang dari seluruh negara. Ada yang kata terminal bas di Klang lebih besar dan moden.

“Saya rasa cadangan ini memang wajar kerana ia di dalam bandaraya dengan menjadi tumpuan ramai,” katanya.

Categories
SELANGOR

Penduduk Kg Kubu Gajah Gembira MBSA Selesai Masalah Sampah

samph 2

SUNGAI BULOH 26 DIS : Masalah sampah tidak dikutip selesai dalam masa beberapa jam sahaja selepas aduan diajukan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Setelah seminggu menahan bau dan suasana kurang menyenangkan akibat sampah bertimbun, penduduk Kampung Kubu Gajah kini berasa lega masalah tersebut selesai hasil tindakan pantas MBSA.

“Pagi tadi saya memanjangkan aduan kepada pihak MBSA melalui panggilan telefon dan tidak sampai setengah hari, saya dapati pihak kontraktor sudah datang kutip sampah.

“Kalau saya tahu secepat ini, dari awal lagi saya sudah mengadu kepada MBSA.

“Harap pihak kontraktor juga dapat menjalankan kerja-kerja dengan konsisten selepas ini,” ujar Zainal Sabri, 48, yang tinggal di Jalan Gajah 3 di sini.1

Seorang lagi penduduk, Piah Kachil 60, turut berasa lega kerana masalah tersebut selesai dalam masa singkat.

“Bukan apa, jika sampah bertimbun, kita bimbang pelbagai penyakit pula muncul nanti.

2“Terima kasih pada pihak MBSA yang bertindak pantas mencegah masalah ini daripada terus berlarutan,” kata nenek kepada sembilan cucu ini.

Awal tahun ini, MBSA mewujudkan Bilik Operasi Sampah (BOS) bagi membolehkan orang ramai mengadu masalah sampah di talian 03-5510 5461 atau 03-5513 0878.

Bilik gerakan tersebut boleh dihubungi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali hari Sabtu yang dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari sahaja.

Penduduk juga boleh menghantar aduan melalui ‘Sistem Pesanan Ringkas’ (SMS) ke talian 15888.

 

Categories
SELANGOR

MB Melawat Kolam Takungan Sekitar Shah Alam

tali air

SHAH ALAM, 17 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengadakan lawatan kerja ke tapak pembangunan sistem saliran Sungai Rasah bagi memantau projek kolam takungan di Bukit Bandaraya, di sini pagi tadi.

Abdul Khalid yang tiba seawal jam 8.30 pagi diiringi Exco Negeri, Dr Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Ikhsan Mukri.

Dalam lawatan itu, Abdul khalid diberi penerangan oleh Mohd Jaafar berhubung cadangan-cadangan kolam yang akan dilaksanakan atau dinaiktaraf oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam tempoh terdekat.

Antara kawasan yang dilawati ialah Persiaran Gunung Nuang, Seksyen U11, Lorong Padang Jawa, Bukit Raja dan Tasik Shah Alam.

Sementara itu, Mohd Jaafar ketika ditemui berkata, MBSA bersama Jabatan Pengairan Selangor (JPS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) akan mengadakan perbincangan lanjut dalam tempoh terdekat bagi melaksanakan perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, kos pembinaan kolam takungan itu masih belum diputuskan.

“Kos pembinaannya akan diputuskan oleh JPS nanti. Kita berharap supaya dapat berbincang bersama Upen kerana peruntukan masih di bawah Upen. Yang penting cadangan pembangunan itu dipersetujui Menteri Besar dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Adun Kuang Bohong, Tapak Tadika Dibina Bangunan Komersil

SHAH ALAM 22 NOV : Tanah dua lot di Sekinchan dan Tanjong Karang yang dimiliki Umno dengan bayaran premium RM1 bagi membina tadika dan Dewan Serbaguna bertukar menjadi bangunan komersil lima tingkat dan dijual dengan harga lebih RM5 juta dakwa Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Semalam, dalam sidang Dewan Negeri Selangor, Adun Kuang, Abdul Syukur Idrus yang juga Ketua Penerangan BN negeri itu memaklumkan tanah itu dibeli oleh Umno-BN untuk tujuan pembinaan dewan serbaguna dan tadika.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata ia merupakan satu pembohongan yang tidak boleh diterima kerana tanah itu juga sudah dijual dan dimiliki oleh syarikat swasta Bumi Utama Building Material Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Selasa lalu, Suee Lim mendedahkan skandal 23 kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN.

Beliau berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN melibatkan harga  sebanyak RM20 juta.

Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.

Sehubungan itu, Suee Lim berkata pihaknya akan mendapatkan anggaran harga yang betul bagi kesemua 23 lot tanah itu dan akan mendedahkannya akan datang serta mengumumkan penyelesaian yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei meminta Umno-BN menyerahkan kembali hak pemilikan satu lot tanah yang diberi kepada Umno Bukit Raja di daerah Klang.

Hal itu kerana tanah itu bukan dibangunkan Pusat Belia dan Rekreasi tetapi projek perumahan mewah yang terbengkalai kini.

“Jika Umno-BN tidak mahu memulang kembali kepada Kerajaan Negeri, mereka perlu membayar semua pampasan mengikut premium semasa,” katanya dalam sidang media di Lobi Bangunan Annex.

Hadir sama beberapa pemimpin PR dari semua parti.

Tanah yang berkeluasan tujuh ekar itu dikongsi bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), bagaimanapun kesemua cukai tanah dibayar oleh MBSA kerana ia dibawah satu geran.

Categories
SELANGOR

Agensi Kerajaan Diminta Pantau Banjir Kilat Dan Tanah Runtuh

SHAH ALAM, 6 NOV : Pihak berkuasa diminta terus menjalankan pemantauan dalam musim hujan ini supaya kejadian tidak diingini seperti banjir kilat atau tanah runtuh di Selangor dapat dibendung.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, kejadian banjir di kawasannya pada 27 Oktober lalu dan beberapa hari selepas itu begitu membimbangkan.

Menurutnya, diharapkan agensi terlibat iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Parit dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak segera bagi menanganinya.

“Kita meminta semua pihak berkuasa terus memantau keadaan ini dalam musim hujan supaya banjir dapat dielakkan daripada berlaku.

“Bagi mencegahnya, diharap MBSA, MPK, JPS dan JKR menyegerakan perancangan membina kolam tadahan sementara di DUN Sri Muda sepertimana dicadangkan supaya air boleh dialirkan ke kolam ini sebelum masuk ke laluan biasa,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Shuhaimi berkata, dalam kejadian banjir pada 27 Oktober lalu sebanyak 20 keluarga dipindahkan ke pusat penempatan Rumah Kebajikan Sri Munirah di DUN Sri Muda.

Bagaimanapun, katanya, tiada pemindahan mangsa dilakukan ketika banjir seterusnya pada 31 Oktober dan 1 hingga 2 November lalu.

“Kita membekalkan makanan untuk makanan pagi hingga malam kepada semua mangsa dan hampir 530 keluarga menerima bantuan itu.

“Saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menghulurkan bantuan seperti MBSA, MPK, JKR, JPS, Pejabat Ahli Parlimen Kota Raja, Majlis Perwakilan Penduduk dan Ketua Kampung yang terlibat dalam membantu mangsa serta kerja berkaitan,” ujarnya.

Shuhaimi berkata, antara kawasan dalam DUN Sri Muda terlibat banjir adalah Kampung Johan Setia, Kampung Teluk Gong, Kampung Sri Nadi, Kampung Sri Gambut, Kampung Baru Satu dan Dua, Kota Kemuning, Kampung Bukit Rimau, Kampung Bukit Naga, Kampung Jalan Kebun dan Kampung Harun Estate.

Katanya, Kerajaan Negeri diminta segera menghulurkan bantuan dalam kes itu menerusi Geran Selangorku  bukan sahaja bagi DUN Sri Muda tetapi kawasan Klang keseluruhannya.

“Semua pihak perlu bekerjsama dalam menangani masalah banjir itu kerana hasil tinjauan dilakukan mendapati antara punca kejadian adalah daripada sikap orang ramai serta pihak tertentu seperti pemaju.

“Terdapat projek pembinaan jambatan dan saliran serta parit yang dikorek tidak sempurna. Orang ramai juga membuang bahan buangan ditempat tidak sepatutnya,” katanya lagi.