Categories
NASIONAL SELANGOR

Trauma dirompak 4 lelaki, Rodziah ziarah blogger Omakkau

Blogger Truma 01

KLANG 13 SEPT: Blogger Omak Kau, Rohani Abdul Hamid, 44 masih trauma berikutan diacu parang ketika rumahnya dirompak sekumpulan lelaki minggu lalu.

Beliau berkata, perasaan takut menyelubungi dirinya ketika malam dan bersendirian biarpun empat lelaki yang merompaknya sudah ditangkap polis semalam.

“Saya berasa seolah-olah diekori. Anak saya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 17 tahun turut trauma kerana kejadian itu berlaku depan matanya,” kata ibu tunggal itu.

Kejadian itu mendapat perhatian Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah smail yang menziarahinya di sebuah pangsapuri di Bukit Raja di sini, petang semalam.

Rodziah bimbang terhadap kejadian yang menimpa Rohani dan keluarganya dan berharap polis harus mempergiat rondaan supaya kejadian itu tidak berulang.

“Perlu ada tindakan lebih mantap dan fokus dari polis untuk melihat bagaimana perkara itu  boleh diatasi, dengan peratus jenayah meningkat saban hari,” katanya.

Blogger Truma 02

Turut hadir, wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi sumbangan bagi meringankan beban Rohani.

Pada 6 September lalu, Rohani yang baru pulang dari program pelancaran buku karya Ikhwanul Muslimin di sebuah hotel di Shah Alam, dirompak empat lelaki bertopi keledar, sekitar jam 2 pagi.

Beliau turut diacu dengan parang selain ada antara perompak itu cuba berkelakuan tidak senonoh terhadap kehormatannya.

Mangsa kerugian lebih RM5,000 berikutan pelbagai barang berharga termasuk komputer riba, televisyen telefon bimbit dan barang kemas dilarikan perompak itu.

Categories
SELANGOR

Keprihatinan MPK dapat perhatian OKU

TUNDA 04

SHAH ALAM : Keprihatinan Majlis Perbandaran Klang (MPK) terhadap penyelesaian isu parkir Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapat reaksi positif daripada Persatuan OKU daerah Klang.

Pengerusinya, Alan Tan Heng Kim berkata perlaksanaan sistem tunda yang diperkenalkan MPK mampu memberi mendidik orang ramai supaya menghormati hak orang lain.

“Saya banyak terima aduan daripada golongan ini, mereka mengadu masalah mereka. Biasanya kami akan mengadakan mesyuarat dua bulan sekali bagi mendengar rintihan mereka, dalam mesyuarat itu juga perkara utama adalah isu ini.

TUNDA 03“Ada mereka yang meminta MPK mengambil tindakan drastik, tetapi saya pun risau orang awam akan marah. Jadi buat masa ini tindakan kompaun dan tunda yang MPK kenakan,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 120 jumlah parkir yang dikhaskan kepada golongan terbabit dan seramai 4,948 ahli OKU Klang yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Antara kawasan tumpuan masalah itu ialah pusat-pusat membeli belah dan di Bandar Baru Bukit Tinggi.

Categories
SELANGOR

MPK:Tindakan tegas menanti salahguna parkir OKU

TUNDA 01

SHAH ALAM : Kurangnya kesedaran sivik sesetengah rakyat Malaysia mendorong Majlis Perbandaran Klang (MPK) bertindak keatas pengguna-pengguna jalanraya yang meletakkan kereta di parkir yang dikhususkan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Operasi tunda dan kompaun ternyata dialu-alukan oleh orang-ramai yang turut prihatin dengan isu itu. Sekiranya ditunda, dendanya sahaja mencecah RM400.00!

“Dari segi statistik pada tahun ini sahaja kita sudah bertindak ke atas kesalahan di 15 petak letak kereta OKU dan jumlah orang awam yang menghalang lalulintas sebanyak 780 ia termasuk kesalahan meletakkan kenderaan di tepi jalan,” katanya.

TUNDA 05Ahli Majlis Alan Tan Heng Kim berkata MPK memandang berat isu ini dan mahu menyelesaikannya secara holistik.

Tan berpendapat isu petak parkir OKU yang disalahgunakan segelintir masyarakat bukan baru dan tindakan tidak prihatin itu berlaku disebabkan kekurangan tempat letak kereta.

“Parkir yang ada mungkin jauh dari premis ingin dituju, malah kewujudan parkir OKU yang terhad dan tidak digunakan OKU menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan,” katanya.

Selain dari bertindak keatas mereka yang tidak menghormati kemudahan untuk OKU, MPK sedang bekerjasama dengan pihak pemaju untuk menambah bilangan tempat letak kereta.

Manakala keselamatan parkir-parkir bertingkat juga akan dipertingkatkan supaya warga Klang berasa yakin menggunakan kemudahan itu.

Tan berharap strategi MPK ini akan dapat mengatasi penyalahgunaan tempat letak kereta OKU, sekaligus mengurangkan kes kereta diletakkan di bahu-bahu jalan.

Categories
SELANGOR

15 sekolah di PJ sertai pertandingan bangunan ceria

skolah cantikPETALING JAYA, 31 OGOS : Sebanyak 15 sekolah rendah di sini terpilih untuk menyertai program menceriakan sekolah dan memperbaiki kemudahan asas sempena Anugerah Bangunan Ceria 2013 anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Program sejak 2007 itu menawarkan bantuan RM7,000 dan 60 tin cat kepada sekolah rendah terpilih berdasarkan cadangan Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Utama.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, beberapa kategori diwujudkan antaranya, rumah kediaman, bangunan komersial dan bangunan kerajaan.

“Tahun lalu, tujuh sekolah menengah dipilih menceriakan sekolah masing-masing dan tahun ini sekolah rendah pula diberi peluang.

“Bantuan itu boleh digunakan untuk memperbaiki kemudahan asas seperti membina tempat duduk rehat, menaik taraf landskap, menyediakan kemudahan orang kelainan upaya (OKU), mengecat bangunan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program itu di Dewan Banquet MBPJ, petang semalam.

Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Methodist, SK(L) Bukit Bintang (2), SK Jalan Selangor (2), SK Taman Datuk Harun (1), SK Sri Damai, SK Bandar Baru Sri Damansara (1) dan PPRT Lembah Subang.

Selain itu, SK Kelana Jaya, SK Damansara Damai, SK Taman Sea, SK Taman Medan, SK Sultan Alam Shah (1), SK Sungai Wey dan SK Sri Petaling.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pasangan OKU Dinafi Hak Terima BR1M 2.0

OKU BR1M borhan 30 apr 01

DENGKIL 1 MEI : Pasangan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan dari Jenderam Hulu dekat sini tidak menerima bantuan BR1M 2.0 bernilai RM500 sepertimana dijanjikan kerajaan Umno-BN.

Menurut Kamal Abdullah, 44, berkata mereka mendapat bantuan BR1M 1.0 dan itu mengesahkan kelayakan untuk menerima bantuan sama buat kali kedua.

Beliau mendakwa, rujukan dibuat kepada Ahli Parlimen Sepang, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mendapati kuota pemberian automatik kepada golongan OKU seperti mereka telah dihapuskan.

“Saya dimaklumkan kami akan diberi BR1M 2.0 secara automatik tetapi sebaliknya yang berlaku.

“Sedang BR1M 1.0 diadakan dengan majlis khas melibatkan kehadiran lebih 100 orang OKU pada Oktober tahun lalu.

“Saya rasa wujud diskriminasi dalam perkara ini,” katanya yang menyara keluarga dengan bekerja kampung.

Kamal dan isteri, Noraini Salleh, 35, sudah melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Orang-Orang Buta Malaysia.

Calon PR DUN Dengkil, Borhan Aman Shah berkata, pihak yang dilantik bagi pemberian BR1M 2.0 perlu bersikap adil tanpa diskriminasi.

Beliau berkata, kerajaan Umno-BN perlu melihat perkara itu secara teliti supaya tiada salah faham.

“Golongan OKU ini perlu dibantu, saya harap ketelusan dijadikan amalan dalam perkara ini.

“Jangan pula dibezakan antara penyokong dan bukan penyokong kerajaan. Itu tidak betul,” dakwanya.

Katanya, pemeriksaan mesti dilakukan sama ada golongan OKU perlu didaftarkan semula untuk menerima bantuan berkenaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rumah Mampu Milik Keempat PKNS Siap Disember 2014

Rumah Debbin PKNS 3

SHAH ALAM 5 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal tampil dengan satu lagi Projek Rumah Mampu Milik (RMM) yang terletak Desa Alam Sekysen U12 yang dijangka  berada di siap pada Disember 2014.

PKNS dengan usahasama Debbin Sdn Bhd ini merupakan RMM keempat PKNS selepas projek berkembar  1422 unit di Bukit Botak Selayang, 124 unit pangsapuri di Seksyen 3 Bandar Baru Bangi dan 129 unit rumah teres 1 1/2 tingkat di Antara Gapi Serendah.

“Projek ini menawarkan sejumlah 104 unit pangsapuri dengan keluasan setiap unit antara 750 hingga 850 kaki persegi.

“Dengan rekabentuk yang menarik, projek ini juga menawarkan suasana kondusif dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Seperti juga projek pangsapuri mampu milik PKNS di Bandar Baru Bangi, sebanyak empat unit akan disediakan untuk orang kelainan upaya (OKU),” kata Pengurus Besar PKNS, Othman Omar.

Othman berkata, projek-projek ini adalah sebahagian daripada perancangan 20 tahun PKNS untuk membina sebanyak 31,000 unit RMM di negeri Selangor untuk tempoh sehingga 30 tahun.

Rumah Debbin PKNS 2

“Pembinaan rumah mampu milik berkualiti ini dijangka akan menelan belanja subsidi lebih RM1.1 bilion,” katanya.

Ujarnya, projek ini juga membuktikan yang Kerajaan Negeri dan PKNS juga prihatin dengan kehendak masyarakat bandar dan luar bandar.

Sementara itu. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sehingga kini PKNS sudah dapat membina lebih daripada 100,000 unit rumah pangsapuri kos rendah.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan rumah idaman PKNS-Debbin Sdn Bhd di Desa Alam Seksyen U12 di sini.

Turut hadir dalam majlis itu Exco Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad.

Rumah Debbin PKNS 1

Selangor Naiktaraf Kemudahan OKU Di Sekolah

oku i

SHAH ALAM 25 DIS: Kerajaan Negeri Selangor kini melaksanakan 14 projek menaiktaraf sekolah yang melibatkan tujuh buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah khusus bagi golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di negeri ini.

Projek menaiktaraf ini giat dilaksanakan sebagai usaha diperingkat akar umbi dengan memperbanyakkan lagi pusat pendidikan bagi golongan OKU supaya mendapat pendidikan yang sama rata dalam masyarakat.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang mengembangkan lagi projek menaiktaraf ini kepada sekolah-sekolah lain di masa akan datang supaya infrastruktur yang disediakan mesra OKU.

oku ii“Institusi pendidikan perlu diberikan hak sama-rata khususnya kepada golongan ini supaya mereka mendapat pendidikan yang sewajarnya seterusnya dapat menjamin kehidupan dan pekerjaan di masa hadapan,” katanya ketika sesi soal jawab bersama wakil-wakil OKU di Konvensyen Dan Dialog Interaktif OKU di Dewan Jubli Perak Shah Alam.

Turut hadir selaku panel adalah Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor, Masturah Bajuri, Penolong Pengarah Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Selangor, Kama Shaffeei, Pengarah Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) Selangor, Tuan Nik Omar Nik Abdul Rahman, dan Ketua Penyelia Jururawat Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Cheoh Siew Tin.

Jelas Rodziah, Kerajaan Negeri prihatin terhadap golongan ini termasuk peluang mendapatkan rumah sendiri mesra OKU, program wanita OKU melalui Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan insuran khairat kematian sebanyak RM2,500.

Malah katanya, program kesedaran kepada segenap masyarakat akan dianjurkan supaya dapat mengeratkan lagi hubungan golongan OKU dengan masyarakat sekeliling.

Sementara itu, golongan OKU kini diwajibkan mendaftar dengan Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan kebajikan dan bantuan dapat dirasai golongan ini.

Rodziah berkata, Kerajaan Negeri akan mengadakan Kempen Pendaftaran OKU peringkat negeri Selangor dan satu laman web khas dengan kerjasama agensi luar seperti JKT dan JKM akan diwujudkan untuk golongan ini.

oku iii“Sehingga tahun 2012, seramai 22,000 OKU berdaftar di negeri ini dan dipercayai masih ramai lagi OKU yang belum berdaftar,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JKT Selangor, Masturah Bajuri berkata, pihaknya akan membantu mendapatkan pekerjaan bagi OKU yang berminat mendapatkan pekerjaan di sesebuah syarikat.

“Jika seseorang OKU berminat untuk mendapatkan pekerjaan di sesebuah syarikat yang berhampiran dengan rumahnya, JKT sendiri akan membantu dengan menghantarkan sendiri permohonan individu OKU terbabit ke syarikat tersebut dan kebanyakkan permohonan melalui JKT berjaya mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Categories
SELANGOR

OKU Gembira Terima Skim Rumah Mampu Milik Selangor Pertama

RMM bangi surat tawaran 01

BANGI, 15 DIS: Seorang warga kurang upaya (OKU), Razali Adnan, meluahkan perasaan gembira dan syukur kerana penantiannya untuk memiliki rumah sendiri kini hampir terlaksana selepas menerima surat tawaran Rumah Mampu Milik (RMM).

Katanya, RMM menawarkan unit rumah dan rekabentuknya mengambil kira keperluan golongan OKU sepertinya seperti tandas yang luas dan unit yang terletak di aras bawah kompleks pangsapuri itu.

“Proses memohon RMM ini mudah dan ianya tidak memerlukan karenah birokrasi seperti yang diamalkan Kerajaan Negeri dahulu,” katanya yang kini bergantung sepenuhnya kepada isterinya yang bekerja sebagai peniaga.

Unit yang bakal siap pada Julai tahun depan merupakan RMM pertama Kerajaan Negeri dan dibina anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Razali ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran pemilikan RMM yang disampaikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad di perkarangan Kompleks PKNS Bangi di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS (Pentadbiran dan Pembangunan), Noraida Mohd Yusof.

RMM bangi surat tawaran 02

Seramai 112 orang menerima surat tawaran RMM selepas disenarai pendek oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) selepas mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Antara syaratnya adalah gaji isi rumah pemohon mestilah diantara RM 2,500 sehingga RM 5,000 sebulan serta tidak pernah memiliki rumah sendiri.

Sebanyak 124 unit pangsapuri enam tingkat yang terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi ditawarkan pada harga mulai RM 60,000 sehingga RM1 44,000 seunit.

PKNS telah membelanjakan subsidi sebanyak RM 12 juta bagi projek itu yang mula dibangunkan pada tahun 2011.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Hazhari Ismail, 33, memuji usaha Kerajaan Negeri yang menyediakan RMM dengan harga berpatutan serta mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana sepertinya.

“Kerajaan Negeri sekarang bagus kerana prihatin mengenai beban dan permasalahan yang ditanggung rakyat dan saya berharap usaha ini diteruskan dan diperluaskan di masa akan datang,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Am Pejabat di Putrajaya.

Sementara itu, Iskandar dalam satu sidang media berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai pemaju swasta terlibat dalam membina RMM di masa akan datang supaya setiap rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

“Bagi Fasa 1 dan Fasa 2, PKNS mensasarkan sebanyak 11 ribu unit RMM dan saya galakkan lebih ramai pemaju lain turut membina RMM di masa akan datang,” katanya.

Jesteru itu, terdapat sebuah pemaju swasta turut menyediakan sebanyak 136 unit RMM di Sungai Long, Kajang yang dijadualkan siap pada Julai 2013.

Iskandar berkata, sebuah lagi anak syarikat, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) turut bercadang untuk membina sebanyak 300 unit RMM yang terletak di Sabak Bernam pada masa akan datang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Halimah : IPT Selangor Tingkat Kemudahan OKU

SHAH ALAM, 13 DIS: Kerajaan Negeri Selangor akan meningkatkan aksesbiliti bagi kemudahan golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik Kerajaan Negeri.

Tindakan tersebut diambil setelah mendapat ‘input’ dari wakil golongan itu dalam Majlis Pelancaran Hari Mahasiswa dengan tema Mahasiswa Cemerlang Tonggak Negara yang diadakan malam tadi.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali ketika ditemui TV Selangor selepas majlis pelancaran itu.

“Memang kita sengaja mencari mahasiswa dari golongan OKU malam ini supaya kita nak dengar input dari mereka.

“Jadi bila kita dah dengar, kita kaji memang ada keperluan, mungkin ameniti yang diperlukan tidak mencukupi dan tidak mesra OKU seperti mana kita mahu sebelum ini Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesra OKU dan ini kita akan implimentasikan di IPT Kerajaan Negeri pula.

“Kita akan mengambil tindakan supaya aminiti itu mencukupi untuk golongan OKU,” kata Halimah.

Sebelum itu, dalam ucapan oleh mahasiswa OKU, Mohd Abdullah Mohd Yusof, selain berterima kasih atas jemputan Kerajaan Negeri untuknya meluahkan pandangan, beliau juga menyarankan agar Kerajaan Negeri mengambil langkah meningkatkan aksesbiliti bagi golongan tersebut dalam IPT milik Kerajaan Negeri.

Menurutnya lagi langkah tersebut bukan sahaja membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan OKU, malah akan menjadi model kepada Kerajaan Pusat dan negeri lain.

Categories
SELANGOR

Rodziah: Berusaha Hapus Halangan Terhadap OKU

SHAH ALAM 4 DIS : Orang Kelainan Upaya (OKU) wajar diberi pengiktirafan dengan memberi peluang mereka memainkan peranan dalam arus pembangunan negara.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, peranan itu hanya dapat dilaksanakan jika halangan berbentuk fizikal atau non-fizikal dapat dihapuskan.

“Kerajaan Negeri sedang berusaha melaksanakan perubahan prasarana secara berperingkat untuk menghapuskan rintangan-rintangan yang ada dan juga meningkatkan usahanya dalam membantu warga OKU untuk lebih berdaya saing.

“Segala usaha dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri perlu disambut pimpinan masyarakat di semua peringkat termasuk badan-badan korporat dan anak syarikat Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Majlis, ketua penduduk dan ketua masyarakat ke arah mewujudkan masyarakat yang  prihatin dan peka kepada warga OKU,” katanya dalam kenyataan.

Hari OKU Sedunia disambut pada 3 Disember setiap tahun bermula 1994 sejajar dengan Resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Orang Kelainan Upaya Antarabangsa dengan tema sambutan tahun ini ‘Removing Barriers to Creatre an Inclusive Accessible Society for All’.

Menurutnya, segala halangan dan rintangan dihadapi warga OKU dari pelbagai aspek perlu ditangani segera seperti pendidikan, kekeluargaan, kesihatan, pembangunan sosial, pekerjaan, sosio ekomomi dan sebagainya termasuk memberi peluang kepada mereka bagi menjawat jawatan di dalam kerajaan.

“Dengan penjawatan ini, dapatlah mereka membantu merangka dasar yang berkaitan dengan diri mereka  bagi mastikan golongan tersebut diberi hak serta medapat mendapat akses kepada kemudahan sepertimana yang lain.

“Saya menyeru semua lapisan sama ada pihak kerajaan, pemimpin dan masyarakat untuk memberikan komitmen di dalam menyediakan akses secukupnya bagi kita bersama memberdayakan warga OKU untuk terus melangkah bebas tanpa halangan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

OKU Ikrar Bantu PR Tawan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 27 SEPT – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berikrar untuk membantu Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Lontaran ini disuarakan oleh Ketua Penggerak Kempen OKU Bangkit 2012, Mohammad Faizal Che Yusof dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya, kempen ini merupakan satu mekanisme bagi mengetengahkan permasalahan OKU agar lebih diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Diharapkan parti politik akan peka mengenai OKU dalam menifesto pilihanraya akan datang. Kita bersedia untuk membantu PR memenangi Putrajaya InsyaAllah,” katanya.

Selain itu katanya, kerajaan perlu memberikan elaun kecacatan kepada OKU secara menyeluruh tanpa mengikut jenis kecacatan dan gaji pekerja OKU.

Menurutnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan tambahan kewangan kepada OKU yang bekerja sehingga mencapai pendapatan RM1,500 sebulan dan RM150 kepada OKU yang tinggal di rumah.

“Pembangunan OKU perlu dibuat secara menyeluruh. Satu portfolio OKU perlu dimartabatkan di peringkat kementerian di persekutuan dan exco di peringkat negerim.

“Kita harapkan dalam Bajet 2013 ada sesuatu untuk OKU,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya akan terus mendokong segala usaha pembangunan kepada golongan OKU di seluruh Malaysia.

Katanya, penubuhan sekateriat ini juga merupakan langkah awal bagi membantu kemenangan PR bagi membangunkan OKU kelak.

“Pihak kami akan mengikhtiarkan sebuah pusat khidmat atau sehenti OKU nasional bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih signifikan kepada OKU termasuk kajian berkaitan OKU, advokasi, perancangan dan perlaksanaan pembangunan.

“Meskipun belum memerintah, kami akan mengikhtiarkan yang terbaik untuk mereka,” katanya.