Categories
SELANGOR

MB: Kemenangan PRK Kajang lebih utama dari pertandingan parti

Oleh Fazallah Pit

SHAH ALAM 1 MAC: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetap meletakkan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang sebagai keutamaan berbanding pertandingan peringkat parti yang ditandinginya.

Beliau yang membuat pengumuman bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR malam tadi, mengingatkan ahli parti supaya terlebih dahulu memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N25 Kajang, kekal di tangan PKR.

“Tak guna perjuang jawatan parti kalau tak dapat pertahan N25 (Kajang). Kekalahan bermakna kejatuhan buat parti kita.

Camera 360“Saya sama sekali tidak akan mengutamakan diri lebih daripada parti,” katanya ketika membuat pengumuman berkenaan di kediaman rasminya yang dihadiri ratusan penyokongnya, malam tadi.

Berulang kali menegaskan kemenangan PRK Kajang sebagai tumpuan utama, Abdul Khalid berkata, pengukuhan parti jauh lebih penting dari kepentingan mana-mana individu.

Beliau juga mahu PKR terus kukuh dan tidak ketinggalan berbanding parti lain dalam Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional (BN).

“Jangan heboh sangat pasal pertandingan peringkat parti sampai abaikan PRK Kajang,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL

Tiada sebab ganti MB Selangor, Azmin temui Khalid esok

azmin-pc-DNS-01KUALA LUMPUR 28 OKT : Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada sebab Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor mahu menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari meneruskan jawatannya bagi penggal kedua.

Dipetik Malaysia Kini, beliau yang juga Pengerusi BBC tidak faham mengapa isu itu dibangkitkan semula seperti yang dilaporkan media akhir-akhir ini.

“Tiada sebab bagi kami (BBC) nak tukar Tan Sri Khalid. Saya tahu kamu mahu mendengar jawapan ini… Tidak ada sebab (nak tukar beliau),” katanya sambil ketawa kecil kepada pemberita di parlimen.

Beliau berkata, tugas BBC negeri iaalah memberi idea baru berhubung langkah memajukan negeri itu dan membantu Khalid mengenal pasti serta menguruskan projek dan pembangunan.

“Kenapa isu ini dibangkitkan, kenapa kami tidak boleh beri pandangan? Dan bila dapat memo (BBC) dianggap sebagai kuasa pendesak? Kami bukan kumpulan pendesak, itu bukan tugas kami.

“Tugas kami untuk memberi idea dan membantu kerajaan dan menteri besar, untuk mengimplimentasi projek di bawah. Itu yang kita cadangkan. Dalam memorandum tidak ada (berkaitan) perkara peribadi, semua isu pembangunan,” katanya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa juga akan bertemu dengan Abdul Khalid petang esok, bagi membincangkan ‘perkara-perkara berbangkit dan juga tidak semestinya berkaitan memorandum BBC’ itu.

Semalam, Khalid dilapor menolak desas-desus bahawa jawatan yang disandangnya sejak 2008 bakal diambil alih oleh Azmin dan beliau menyifatkan desas-desus itu sebagai ‘asam garam dalam dunia politik’.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tiada perubahan jawatan MB Selangor, Khalid Ibrahim kekal – Anwar

Anwar-MB-2

KUALA LUMPUR 28 OKT: Tiada perebutan jawatan Menteri Besar Selangor berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus kekal mengetuai kepimpinan kerajaan negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media hari ini, Ketua Pembangkang itu juga menafikan berlaku perebutan jawatan antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Sebagai Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau yang sebelum ini memberi pandangan mengenai prestasi pentadbiran kerajaan Selangor, mengetahui hal berkenaan jika dakwaan itu benar.

“Azmin kalau beliau mahu ambil alih, mesti saya tahu. Tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya di lobi Parlimen.

Anwar sebelum ini memberi pandangan terhadap prestasi pentadbiran dan perkembangan ekonomi kerajaan Selangor dan Pulau Pinang tetapi kenyataannya disalah tafsir sesetengah pihak.

Mengikut laporan media tempatan, wujud desas-desus menyatakan Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor bakal mengantikan Abdul Khalid atas alasan ‘kedekut’.

Sebaliknya, Azmin ketika ditemui di perkarangan Parlimen, berkata tiada kemelut berlaku antaranya dengan Abdul Khalid.

“Tidak ada kemelut dan tidak ada usaha menukar Menteri Besar. Saya bersetuju dengan Anwar, malah usaha kerja itu cukup baik bagi kepentingan negeri,” katanya.

Beliau sudah menyampaikan hasratnya ketika bertemu Abdul Khalid selama hampir empat jam tempoh hari bagi menggesa supaya peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Selangor lebih dimanfaat,

“Kita membincangkan soal pembangunan negeri berdasarkan memorandum yang dihantar baru-baru ini. Perjalanan perbincangan cukup baik,” katanya bercadang bertemu Abdul Khalid lagi, esok.

– FZL

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2014 : Belanjawan orang kaya, yang miskin papa kedana

gstKENYATAAN MEDIA

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan belanjawannya di Parlimen adalah satu tamparan hebat kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Malah, bermula pada kadar 6%, adalah sangat melampau. Perbandingan pelaksanaan GST yang dilaksanakan di Singapura pada kadar 7% sekarang ini juga adalah cubaan mengelirukan rakyat kerana ia mula diperkenalkan pada tahun 1994 dengan kadar hanya 3%, sejak 13 tahun yang lalu.

Dalam apa keadaan pun, membuat perbandingan dengan negara seperti Singapura dan negara-negara Eropah adalah sia ? sia disebabkan tahap urus tadbir yang baik jauh lebih tinggi di negara ? negara tersebut.

Bagi rakyat Malaysia, kos sara hidup sudah cukup membebankan tanpa GST. Dengan adanya cukai ini, beban yang lebih berat akan menimpa golongan miskin memandangkan mereka hampir tidak ada pilihan lain selain membelanjakan juga sebahagian besar daripada pendapatan boleh guna (disposable income) yang ada.

Hujah Najib bahawa GST akan menyebabkan kos barangan dan perkhidmatan semakin berkurang adalah bohong dan sekali lagi cuba mengelirukan rakyat.

Majoriti rakyat tidak akan dapat memanfaatkan GST dengan penjimatan ataupun pelaburan seperti golongan kaya dan berpendapatan tinggi. Ini akan mewujudkan jurang yang lebih nyata dan menyebabkan ketidakadilan sosial yang lebih berpanjangan.

Jika belanjawan tahun lalu adalah belanjawan rakyat disebabkan pilihanraya bulan Mei lalu, maka yang ini merupakan belanjawan orang kaya kerana kerajaan UMNO dan Barisan Nasional merasakan ia sudah tidak lagi terhutang budi kepada rakyat.

Mereka lewatkan GST kerana mereka tahu rakyat akan membantah dan kini selepas pilihan raya mereka melaksanakannya. Maka Belanjawan 2014 ini hanya akan melebarkan kesenjangan ekonomi rakyat. Jurang kaya ? miskin, gini ? coefficient rakyat akan terus meluas.

Selain itu, saya meramalkan tekanan inflasi yang bakal menimbun serta kos sara hidup yang kian meningkat.

Dorongan untuk memacu sektor pelancongan, dengan membina lebih banyak hotel bertaraf lima bintang dan bersaing dengan dunia untuk memiliki bandar terhebat tidak memberi kelebihan dan kemakmuran kepada rakyat.

Di mana usaha Kerajaan untuk merendahkan kos pengangkutan atau memperbaiki pengangkutan awam ? Tidak ada disebut tentang perumahan mampu milik. Malah program kesihatan rakyat terus diabaikan.

Meskipun peruntukan yang diumumkan amat substansial, namun yang masih menjadi permasalahan adalah pengagihan dan penggunaan dana tersebut. Perbelanjaan negara tahun lalu tentang latihan Bahasa Inggeris sahaja sudah cukup menjadi contoh bagaimana pembaziran berlaku.

Dana keusahawanan melalui pinjaman mudah bagi mengurangkan pengangguran di kalangan graduan hanya akan menjurus kepada nilai hutang yang semakin memuncak.

Apa yang diperlukan oleh graduan ? graduan ini adalah kemahiran ?soft skill? dan lebih banyak latihan kemahiran dan teknikal untuk meningkatkan kebolehan mereka diambil bekerja, bukan hutang yang lebih banyak.

Cadangan untuk memberi dana kepada pelajar lepasan SPM untuk latihan kemahiran adalah baik dari segi prinsip, akan tetapi yang lebih signifikan adalah soal pelaksanaan serta pengkhususan di lapangan.

Kita semua setuju bahawa defisit belanjawan mesti dikurangkan, tetapi memeras lebih banyak wang daripada rakyat bukanlah caranya.

Masalah asas adalah soal ketirisan, pembaziran dan rasuah. Dengan menangani masalah ini secara tidak komprehensif, kita tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah yang tidak akan berkesudahan. Masalah ini tidak mampu diselesaikan dengan hanya mengutip cukai sebanyaknya.

MOHAMED AZMIN ALI
Timbalan Presiden PKR

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR ucap takziah mangsa tragedi arus deras Cameron Highland

Banjir lumpur di cameron

SHAH ALAM 24 OKT : PKR mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi arus deras akibat pembukaan empangan Sultan Abu Bakar di Ringlet,Cameron Highland yang mengakibatkan kematian tiga jiwa.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, meskipun tidak ada sesiapa mempersoalkan keperluan untuk menghalang empangan tersebut daripada pecah dan mengakibatkan kesan yang buruk namun beliau runsing dengan prosedur yang digunapakai bagi melepaskan air empangan tersebut.

“Adakah amaran sewajar dan secukupnya diberikan kepada mereka yang hampir pasti menerima kesan daripada pelepasan terbabit?

“Apakah langkah keselamatan lain yang diambil bagi memastikan mudarat daripada situasi demikian berada pada kadar minima?,” soal Azmin dalam satu kenyataan.

Azmin berkata, beliau mempersoalkan siapa yang sebenarnya mempunyai autoriti untuk mengarahkan pelepasan dan kenapa pihak berkuasa itu menanti sehingga tengah malam sebelum membunyikan isyarat amaran.

“Mereka yang bertanggungjawab mesti memberikan penjelasan kepada orang ramai,” kata Azmin.

Dalam kejadian itu berlaku banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik itu sehingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Categories
NASIONAL

PR muafakat pertahan kemenangan DUN Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menzahirkan permuafakatan dalam mempertahan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pendirian itu dilihta melalui permuafakatan pemimpin PKR yang berkampung di Sungai Limau mulai semalam untuk memberi sokongan penuh kepada calon PAS, Azam Samad, pada hari penamaan esok.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman antara pemimpin yang menyertai ceramah perdana dan majlis pengumuman calon di Markas Utama PAS Jerai, malam tadi.

Menurut laporan Keadilan Daily, Azmin bersama Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung bergandingan dalam program Ramah Mesra Bersama Aktivis dan Anggota Cabang Alor Setar dan Kuala Kedah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut serta dalam program itu adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Program berkenaan diteruskan di Kampung Setia Jaya, Sedaka, Yan dengan pelancaran Bilik Gerakan Utama PKR Negeri dan jentera parti yang turut dihadiri Adun Bakar Arang, Simon Oii, kira-kira jam 5 petang.

Esok mereka juga sepakat akan berarak ke Pusat Penamaan di Pejabat Daerah Yan bagi mengiringi Azam, sebelum berkempen selepas itu. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

PKR Perlu Segera Realisasi Penubuhan Sekolah Politik

kongres PKR 4

PETALING JAYA 25 MEI : Cadangan penubuhan Institut Ta?dib Siyasi atau Institusi Pendidikan Politik perlu disegerakan bagi memastikan proses latihan politik yang sistematik di kalangan anggota PKR dapat diperkasakan.

Naib Ketua AMK Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin yang mengulas ucapan dasar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata walaupun kos untuk merealisasikan hasrat itu agak tinggi namun demi kelangsungan parti dan masa depan maka ia perlu diwujudkan.

wpid-amkwanita“Untuk membentuk sebuah pasukan parti yang kuat maka pendidikan untuk semua jentera itu adalah amat penting.

“Di dalam parti proses kaderasasi perlu diperkasakan demi mencapai matlamat parti dan menyediakan jentera parti yang kukuh dalam Pilihan Raya Umum Ke 14.mohd_eekmal_bin_ahmad

“Dalam pada masa yang sama ini akan dapat menyebarluaskan dasar perjuangan PKR kepada masyarakat,” kata beliau.

Beliau yang Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Kerajaan Pulau Pinang menegaskan pihak parti perlu mengeluarkan sedikit pelaburan untuk mewujudkan Institut itu.

Ianya kerana pelaburan itu akan memberikan kebaikan kepada masa hadapan parti.

Exco AMK Kedah, Mohd Eekmal Ahmad berkata, penubuhan institusi pendidikan politik itu bagi memperkukuhkan sistem jentera parti bagi berhadapan dengan PRU-14 di masa hadapan.

“Kita perlu persiapankan semua ini kerana politik ini adalah sebuah peperangan yang memerlukan kekuatan logistik, kewangan dan latihan,” kata beliau.

kongres PKR 5

Categories
NASIONAL

AMK Minta SPR Jawab 10 Soalan

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggariskan 10 persoalan yang perlu dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai syarat bagi sayap parti itu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang  berlangsung pada 5 Mei lalu.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, antara persoalan yang perlu dijelaskan SPR, isu daftar pemilih yang gagal dibersihkan dan isu penggunaan dakwat kekal yang boleh dihilangkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

“Secara faktanya, menurut laporan Akhbar Focus Malaysia keluaran minggu ke 23/2013, dilaporkan pengakuan pengerusi SPR sendiri bahawa terdapat 42,000 nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih terkini.

“Dikebanyakkan negara, keseluruhan keputusan pilihan raya akan diisytiharkan tidak sah sekiranya daftar pemilih itu tidak dibersihkan,” kata Shamsul dalam ucapan dasarnya di Kongres AMK dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Isu lain yang perlu dijelaskan SPR, laporan ejen-ejen pilihan raya yang tidak dibekalkan borang 14, dakwaan bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi, terdapat peti undi dibawa masuk di saat akhir, dakwaan terdapat pengundi diberikan kertas undi tidak dicop dan nombor siri direkodkan.

Shamsul turut meminta SPR memberikan penjelasan berhubung isu dakwaan kertas undi pengundi luar negara yang mempunyai kesan bertanda, liputan yang adil dari media elektronik yang dibiayai pembayar cukai, isu keselamatan peti undi pengundi awal yang disimpan dalam lokap dan pembetulan lokaliti yang didakwa menyukarkan pengundi.

“(Pengerusi SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof perlu bertanggungjawab bukan hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Shamsul lagi.

“Sejumlah RM400 juta duit pembayar cukai digunakan untuk mengendalikan PRU-13, merupakan tertinggi dalam sejarah dan tentunya rakyat Malaysia menuntut kepada satu penjelasan yang mengesankan dan bukan penafian semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum itu, Kongres AMK dan Wanita yang dihadiri hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan jemputan khas itu dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sementara Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lepas pula akan dilangsungkan keesokkan hari di dewan sama.

Categories
SELANGOR

AMK dan Wanita Perlu Proaktif Dalam Persempadanan Pilihan Raya

kongres PKR 1

PETALING JAYA 24 MEI : Angkatan Muda dan Wanita PKR perlu proaktif untuk memulakan usaha berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan kewajaran persempadanan baru kawasan pilihan raya.

“Justeru saya mencadangkan supaya Angkatan Muda dan Wanita supaya proaktif untuk memulakan usaha berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan kewajaran persempadanan baru berasaskan etika demokrasi sebagai cadangan balas terhadap syor-syor persempadanan semula oleh SPR pada hujung tahun ini,” kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Selain itu, Azmin mencadangkan sebuah suruhanjaya bebas yang telus dan professional perlu dibentuk untuk meneliti urusan persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan dengan adil.

Katanya, peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor persempadanan baru itu.

Ia tegas Azmin jika berlaku akan menjejaskan kredibiliti dan kebebasan SPR.

“Ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada ‘gerrymandering’ yang didalangi Umno.

kongres PKR 2

“Persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan,” kata Azmin.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Perasmian Kongres Nasional PKR bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang bertajuk ‘Laksana Satu Nyawa’  berlangsung di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Jelas Azmin, sistem ‘Boundary Commission for England’ ini diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun.

“Ia mesti berasaskan etika demokrasi sebagai cadangan balas terhadap syor persempadanan semula oleh SPR pada hujung tahun ini,” ujar Azmin.

Categories
NASIONAL

Azmin : Proses Birokrasi Cacatkan Proses Pengundian

azmin pc buang undi 01

GOMBAK, 5 MEI : Calon PKR Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali melahirkan kekesalan terhadap kelemahan sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan proses pilihan raya kali ini.

Ini kerana menurut Azmin, beliau menerima banyak aduan daripada pengundi yang mengatakan mereka terpaksa beratur panjang dan menunggu berjam-jam untuk mengundi walaupun telah tiba seawal pukul 8 pagi.

“Saya kesal dengan sistem SPR yang saya saksikan sendiri di mana pengundi terpaksa beratur berjam-jam terutama warga emas.

“Saya dapati jumlah saluran juga tidak dapat menampung pengundi yang ramai. SPR sepatutnya selesaikan perkara ini sebelum tiba hari pengundian,” katanya semasa tiba di Sekolah Kebangsaan Klang Gate untuk mengundi.

Beliau tiba di perkarangan pusat mengundi dengan ditemani isterinya, Shamsida Taharin dan adiknya, Azwan Ali kira-kira pukul 2.10 petang tadi.

Pertandingan di Gombak menyaksikan pertembungan tiga penjuru di mana Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bertanding menentang Datuk Dr Rahman Ismail dari BN dan Datuk Said Naza Abu Bakar, calon Bebas.

Manakala DUN Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azmin dan Mohamad Nadzim Ibrahim dari BN.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Putar Belit Kenyataan PKR Mahu Rujuk KJ Ke Mahkamah

azmin ali

SHAH ALAM 17 JAN : Kenyataan susulan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin selepas penyelesaian isu saman Anwar-KJ perlu dirujuk semula kepada mahkamah kerana dipercayai mempunyai unsur menghina mahkamah.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata perkara terbabit perlu diberi perhatian serius supaya dapat mengelakkan putar belit yang dilakukan beliau.

Katanya, kenyataan susulan yang angkuh menggambarkan beliau tidak insaf dan tidak jujur.

“Beliau lebih rela berbohong daripada berterus terang kepada rakyat sedangkan beliau sendiri menarik balik fitnah yang dibuatnya.

“Seterusnya, beliau juga cuba memberi gambaran seolah-olah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon perkara itu diselesaikan di luar mahkamah kerana bimbang dengan perbicaraan penuh,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Sehubungan itu, pihaknya akan mendapatkan peguam untuk membuka semula kes itu kepada pihak mahkamah.

Semalam, Khairy mendakwa beliau tidak menarik balik kenyataannya berkenaan Anwar tetapi cuma berkata apa yang dipetik itu tidak betul dan tidak tepat.

Kes saman fitnah RM100 juta yang difail Anwar terhadap, Khairy pada 7 September  2007 diselesaikan semalam selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Anwar dalam samannya mendakwa Khairy, yang ketika itu Timbalan Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya pada satu majlis politik di Kuala Kangsar pada Ogos 2007, yang disiar media cetak dan elektronik pada 3 Ogos tahun sama.

Categories
NASIONAL

Pegawai Azmin Dihalang Masuk Sabah

KOTA KINABALU 14 SEPT: Pegawai Khas kepada Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Muhammad Hilman Idham dihalang memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri mengikut Seksyen 56(1)(A) Akta Imigresen 1995/63.

Notis penolakan masuk yang dikeluarkan itu mengandungi perintah yang menyatakan pihak berkuasa negeri  mengarahkan supaya tiada pas dikeluarkan kepada beliau memasuki negeri tersebut.

Azmin yang juga turut berada di lapangan terbang menjelaskan ini merupakan satu tindakan yang tidak sewajarnya berlaku apatah lagi tiada alasan diberikan terhadap penahanan dan halangan tersebut.

“Satu tindakan yang diwajar dilakukan, kenapa perlu beri halangan sedemikian sedangan beliau merupakan warganegara Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya lagi, rakyat perlu membuat perubahan pemerintah terutamanya di Sabah pada pilihan raya kali ini bagi memastikan tindakan sedemikian tidak berulang lagi.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman melakukan apa saja mengikut kehendak beliau, warganegara sendiri ditahan tetapi rakyat asing mendapat keintimewaan,” jelasnya.

Notis penahanan tersebut ditandatangi oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Fenny Fiona J Jeplin.