Categories
NASIONAL SELANGOR

Pertahan Piala Sultan Selangor, MB ucap tahniah

Piala Sultan Selangor - MB ucap tahniah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Selangor yang mempertahankan Piala Sultan Selangor ke-12 selepas menumpaskan Singapura 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

“Tahniah kepada pasukan bola Selangor kerana berjaya menewaskan Singapura dalam Piala Sultan Selangor!” katanya melalui facebook, malam tadi.

Abdul Khalid hadir mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berkenan mencemar duli bagi menyaksikan perlawanan yang menemukan dua musuh tradisi Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

Pada edisi tahun lalu, Selangor merampas kembali piala berkenaan dengan kemenangan 3-1 menewaskan Singapura selepas kemarau selama tiga tahun berturut-turut.

Pasukan bimbingan jurulatih, P Maniam itu muncul juara hasil dua jaringan tonggak penyerang import Francis Forkey Doe dan satu gol dari pemain import pertahanan, Adam Griffith.

Biarpun bergelut dengan isu peletakan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim, pasukan Merah Kuning ternyata beraksi cemerlang untuk tidak mengecewakan lebih 50,000 penonton yang hadir malam itu.

Kesebelasan utama dibarisi Asharuddin Putra Omar, Norazlan Razali, Mohd Amri Yahyah, Mahali Jasuli, Adam Griffith, Forkey Doe, S.Kunalan, K.Gurusamy, Mohd Nashriq Baharom, Mohd Fitri Shazwan dan S.Veenod.

Pasukan Selangor membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000 yang disampaikan baginda sejurus tamat permainan.

Pada malam itu, peminat bola sepak tempatan turut dihiburkan dengan perlawanan antara pasukan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura, Veteran Singapura menang 1-0.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tewaskan Singapura 3-2, pilihan Selangor kekalkan Piala Sultan Selangor

Piala Sultan Selangor 3

SHAH ALAM 29 SEPT: Di sebalik kegagalan mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, pasukan Pilihan Selangor berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor edisi ke-12 selepas menumpaskan Pilihan Singapura 3-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Piala Sultan Selangor 2

Pemain penyerang import Pilihan Selangor, Francis Forkey Doe menjadi wira apabila menjaringkan dua gol pada pertembungan sengit yang disaksikan lebih 50,000 penyokong bola sepak tempatan itu.

Bagaimanapun, pasukan negara jiran itu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah, Firdaus Idrus pada minit kelimayang menewaskan penjaga gawang Selangor, Norazlan Razali.

Piala Sultan Selangor

Tersentak dengan jaringan itu, Selangor menggandakan asakan bertali-arus ke gawang Singapura dan akhirnya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-40 menerusi tandukan pemain import pertahanan, Adam Griffith.

Pada babak kedua perlawanan, Pilihan Selangor yang dibarisi keseluruhan pemain pada saingan Liga Malaysia musim ini berusaha untuk tidak menghampakan ribuan penyokong yang memberi sokongan kepada juara Piala Malaysia 32 kali itu.

Hasilnya, pada minit ke -54, Forkey Doe merembat masuk bola menewaskan penjaga gawang Singapura, Hassan Sunny.

Singapura kembali bangkit dengan berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Kamel Ramdani pada minit ke-70 permainan.

Tidak menunggu lama, Selangor kembali di hadapan menerusi sepakan cantik Forkey Doe pada minit ke-73, sekaligus menjadikan keputusan menjadi 3-2 hingga akhir permainan.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli untuk menyaksikan perlawanan itu dan menyampaikan piala pertandingan kepada pasukan Pilihan Selangor yang turut membawa pulang wang tunai RM50,000.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.

Piala Sultan Selangor 4

Dalam pada itu, penyokong bola sepak Selangor disajikan perlawanan klasik diantara Veteran Selangor menentang Veteran Singapura sebelum perlawanan utama berlangsung.

Pasukan Veteran Singapura mengalahkan Veteran Selangor yang dibarisi bekas pemain antaranya Zainal Abidin Hasan, K Sanbagamaran, Dollah Salleh dengan keputusan 1-0 yang dijaringkan oleh Rafi Ali pada minit ke-16.

Seperti tahun lalu, Piala Sultan Selangor dipertanding dengan menemukan dua musuh tradisi iaitu Selangor dan Singapura bagi mengeratkan hubungan antara dua kuasa besar Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

Pada edisi tahun lalu, Selangor merampas kembali piala berkenaan dengan kemenangan 3-1 menewaskan Singapura selepas kemarau selama tiga tahun berturut-turut.

Piala Sultan Selangor 1

Categories
SELANGOR

JKM abai rumah anak yatim, Rodziah sampaikan bantuan

DSC_0648GOMBAK 27 SEPT: Bagi meringankan beban mengendalikan anak-anak yatim di Rumah Perlindungan Nur Qaseh, kerajaan Selangor memberi sumbangan bagi memudahkan urusan seharian pusat jagaan berkenaan.

Sumbangan sebuah peti sejuk itu disampaikan Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail di pusat jagaan berkenaan di Taman Melawati dekat sini petang semalam.

Rodziah berkata, bantuan kerajaan negeri tidak bertumpu kepada wang ringgit tetapi lebih kepada bentuk bantuan yang lebih diperlukan pusat jagaan.

“Ini hanya permulaan. Kita akan terus berhubung dgn pengurus tempat jagaan pada masa akan datang.

“Ada rumah perlindungan yang masih kekurangan dari segi infrastruktur, jadi kita utamakan perkara itu dahulu,” katanya.

Rumah Perlindungan Nur Qaseh bernaung di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia dan ada 20 anak yatim di premis itu, selain lebih 100 anak yatim yang berdaftar menyertai pelbagai program.

Berterima kasih, Pengasas Rumah Nur Qaseh, Roslida Che Weail, berkata, mereka tidak pernah mendapat sumbangan khusus daripada mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta lain-lain agensi.DSC_0653

“Sejak penubuhannya tiga tahun lalu, saya tidak pernah dapat apa-apa bantuan. Jadi dengan sumbangan ini, saya ucapkan terima kasih,” katanya.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

90 penduduk Paya Jaras bakal miliki geran tanah sendiri

Paya jaras 4

SUNGAI BULOH 21 SEPTEMBER : Seramai 90 orang penduduk Kampung Matang Jaya, Paya Jaras berasa teruja kerana penantian puluhan tahun untuk memiliki geran tanah bakal ditunaikan Kerajaan Negeri.

Paya jaras interview 3Seorang penduduk, Manimegalaen,35, berkata beliau amat terharu tanah yang diduduki selama lebih 20 tahun bakal menjadi miliknya.

“Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat-sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya,” katanya.

Paya jaras interview 2

Bagi Rajasami,67, pula berkata usaha Kerajaan Negeri memberikan hak milikan kepada penduduk wajib dipuji kerana ia membuktikan kepedulian pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada Kerajaan Negeri dan Tan Sri kerana membuktikan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan beliau sentiasa mengutamakan kehendak rakyat yang selama ini dipinggirkan kerajaan sebelumnya,” katanya.

Manimegalaen dan Rajasami ditemui ketika menyelesaikan urusan pemilikan geran tanah yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama firma guaman yang terlibat di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Pagar dekat sini, hari ini.

Paya jaras interview 1

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Safie, 41 berpendapat jumlah bayaran premium RM1,000 yang dikenakan Kerajaan Negeri adalah tidak membebankan rakyat yang ingin memiliki geran tanah sendiri.

“Biarpun belum selesai lagi prosesnya, saya rasa jika perlu dibayar RM1,000 pun saya sanggup kerana ia masih berpatutan dan saya percaya penduduk lain juga sependapat dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir PKNS, Ismarazi Ismail berkata urusan pengambilalihan geran tanah ini mempunyai beberapa peringkat sebelum penduduk dapat memiliki geran tanah sendiri.

Paya jaras interview 4

Katanya, PKNS sentiasa membantu bagi melicinkan proses berkenaan dengan bertindak sebagai pengantara diantara penduduk dan firma guaman serta pejabata tanah.

“Tujuan utama program kita hari ini adalah membantu melicinkan proses pemilikan geran tanah supaya penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke firma guaman serta pejabat tanah kerana rata-rata penduduk tidak tahu mengenai kaedah serta prosesnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismarazi berkata, semua penduduk berkenaan dijangka dapat memiliki geran tanah sendiri dalam tempoh sebulan selepas semua urusan diselesaikan oleh Pejabat Tanah.

Paya jaras 5

Categories
NASIONAL

PKR tubuh pusat latihan Reformasi untuk anak muda

AMK baru

PETALING JAYA 20 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini melancarkan pusat latihan yang dikenali Dewan Reformasi, Demokrasi dan Upaya Masyarakat (Centre for Reform, Democracy and Social Initiatives) atau Reformasi.

Majlis pelancaran di sebuah hotel di Petaling Jaya jam 3 petang ini bakal disempurnakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin utama, antaranya  Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua serta pimpinan PKR seluruh negeri turut hadir  memeriahkan majlis itu.

Visi utama penubuhan pusat latihan ialah untuk memimpin dan membina Malaysia yang adil dan saksama melalui kuasa rakyat.

Pengarah pusat latihan itu ialah Nurul Izzah manakala Pengarah Eksekutif adalah Dr Edmund Santhara.

MBPJ anjur kempen pencegahan jenayah terhadap wanita

wanitaPETALING JAYA 20 SEPT: Bagi meningkatkan pengetahuan mengenai keselamatan wanita, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan Kempen Pencegahan Jenayah dan Keganasan Terhadap Wanita.

Penolong Pengarah Perancang Bandar MBPJ, Nazihah Jaafar berkata kempen itu mensasar kelompok wanita kerana mereka kerap berdepan pelbagai ancaman jenayah dan keganasan.

Katanya, statistik polis menunjukkan peningkatan kes keganasan terhadap wanita sebanyak 12 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

“Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, 2,576 kes dilapor berbanding 2,295 bagi tempoh sama pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen berkenaan yang diadakan di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, baru-baru ini.

Seramai 200 orang terdiri dari orang awam, wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) hadir.

Antara program menarik ialah ceramah pencegahan jenayah yang disampaikan Pegawai Perhubungan Awam Amanita PDRM, Sheila Qobindan Nair dan ceramah ‘Women’s Personal Defense’ (Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga Taman Petaling Gasing Indah, Albert Khoo).

Penceramah itu turut berkongsi pengalaman dan langkah keselamatan serta tindakan mempertahankan diri jika berdepan ancaman jenayah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Rangka strategi kekalkan prestasi cemerlang

khalid pc blue pc 01KLANG 18 SEPTEMBER : Kedudukan strategik kawasan Lembah Klang menjadikan Selangor sebuah negeri penyumbang utama ekonomi di negara ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, negeri ini berada di kedudukan strategik yang sering dijadikan tumpuan utama pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Selangor.

Abdul Khalid berkata, biarpun Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi tahun ini, Selangor akan terus merangka strategi baru untuk mengekalkan prestasi cemerlang yang dicapai pada tahun lalu.

“Kita bukan sahaja bernasib baik, tetapi kedudukan Selangor yang strategik sehingga menyebabkan ramai pelabur datang ke negeri ini.

“Sebagai usaha untuk meningkatkan perkembangan ekonomi di Selangor dan di Malaysia, pelaburan di negeri ini perlu diperluas dengan pelbagai aktiviti pelaburan dan pelbagai sektor terlibat supaya ia dapat ditingkatkan lagi,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menyatakan Malaysia sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan bagi suku kedua tahun ini.

Ini mengakibatkan, BNM terpaksa mengkaji semula sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku tahun kedua tahun ini dengan hanya mensasarkan 4% berbanding 6% pada permulaan suku tahun pertama tahun ini.

Terdahulu, Abdul Khalid merasmikan bangunan baru pejabat YKGI Holdings Berhad serta perlancaran produk terbaru syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, Kapar, Klang dekat sini, 13 September.

Turut hadir Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, Pengarah Urusan Kumpulan YKGI, Datuk Soh Thian Lai, dan Penasihat YKGI, Datuk Wahab Hamid.

Sementara itu, Abdul Khalid di dalam ucapannya berkata sepanjang lima tahun lalu, Selangor berjaya membawa 1,429 projek perkilangan daripada dalam dan luar negara dengan jumlah pelaburan modal sehingga RM49.7 bilion.

Pada tahun lalu, Selangor menjadi negeri penyumbang utama pelaburan Malaysia dengan menerima RM11.7 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan melalui sektor perkilangan.

Abdul Khalid berkata, projek besi dan keluli di negeri ini juga mendapat jumlah pelaburan modal sehingga RM2.1 bilion sepanjang lima tahun lalu.

“Sebanyak RM1.5 bilion merupakan projek domestik dan selebihnya merupakan pelaburan asing sebanyak RM9.5 bilion, peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan pula sebanyak 3,237 tempat,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Trauma dirompak 4 lelaki, Rodziah ziarah blogger Omakkau

Blogger Truma 01

KLANG 13 SEPT: Blogger Omak Kau, Rohani Abdul Hamid, 44 masih trauma berikutan diacu parang ketika rumahnya dirompak sekumpulan lelaki minggu lalu.

Beliau berkata, perasaan takut menyelubungi dirinya ketika malam dan bersendirian biarpun empat lelaki yang merompaknya sudah ditangkap polis semalam.

“Saya berasa seolah-olah diekori. Anak saya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia 17 tahun turut trauma kerana kejadian itu berlaku depan matanya,” kata ibu tunggal itu.

Kejadian itu mendapat perhatian Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah smail yang menziarahinya di sebuah pangsapuri di Bukit Raja di sini, petang semalam.

Rodziah bimbang terhadap kejadian yang menimpa Rohani dan keluarganya dan berharap polis harus mempergiat rondaan supaya kejadian itu tidak berulang.

“Perlu ada tindakan lebih mantap dan fokus dari polis untuk melihat bagaimana perkara itu  boleh diatasi, dengan peratus jenayah meningkat saban hari,” katanya.

Blogger Truma 02

Turut hadir, wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi sumbangan bagi meringankan beban Rohani.

Pada 6 September lalu, Rohani yang baru pulang dari program pelancaran buku karya Ikhwanul Muslimin di sebuah hotel di Shah Alam, dirompak empat lelaki bertopi keledar, sekitar jam 2 pagi.

Beliau turut diacu dengan parang selain ada antara perompak itu cuba berkelakuan tidak senonoh terhadap kehormatannya.

Mangsa kerugian lebih RM5,000 berikutan pelbagai barang berharga termasuk komputer riba, televisyen telefon bimbit dan barang kemas dilarikan perompak itu.

Categories
SELANGOR

Perarakan kereta berhias bakal warnai Pesta Tanglung PJ

kereta berhias pesta tanglung

PETALING JAYA 12 SEPT: Pelbagai program menarik termasuk perarakan kereta berhias, persembahan tarian singa dan orkestra bakal memeriahkan Pesta Tanglung Petaling Jaya 2013.

Pesta pada 21 September 2013 di Cempaka Buddhist Lodge itu anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sempena sambutan perayaan kuih bulan yang disambut masyarakat Cina negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa sambutan itu, Ir Lee Suet Sen, berkata ia bertujuan bagi memperkenal kebudayaan dan adat istiadat kaum Cina kepada orang ramai.

Program tahunan itu turut menganjurkan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan mencipta tanglung khusus kepada pengunjung.

“Semua dijemput untuk hadir bagi memeriahkan sambutan. Ia memberi pemahaman kepada kaum lain mengenai sambutan perayaan kuih bulan,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat MBPJ hari ini.

Pada sambutan sama tahun lalu, lebih 7,000 masyarakat berbilang bangsa hadir dalam pesta bermula petang sehingga lewat malam.

– FZL

Categories
SELANGOR

MB: Kerajaan negeri hormat hak pengguna

air-syabas_MBaSHAH ALAM, 11 SEPT : Pengguna Lembah Klang yang terjejas akibat gangguan bekalan air digalak memfailkan tuntutan terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di Tribunal Tuntutan Pengguna.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri tidak akan menghalang pembayar cukai yang mahu konsesi air Selangor itu bertanggungjawab kerana gagal memberi perkhidmatan yang terbaik.

“Saya ingat Syabas perlu menjawab beberapa rintihan pengguna, selepas ambil alih penstrukturan air, Kerajaan Negeri akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya di satu sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas 15 tuntutan yang difailkan pengguna terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Menara MRCB, Shah Alam.

Syabas diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna

syabasSHAH ALAM, 11 SEPT : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna kerana didakwa gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mewakili 15 penduduk di sekitar Ampang dan Pandan mengemukakan fail tuntutan tribunal terhadap Syabas berikutan beberapa siri gangguan bekalan air sejak tahun lalu.

Katanya, 15 fail tuntutan ini merupakan usaha peringkat awal dan menuntut pampasan sebanyak RM50 bagi setiap satu hari berlaku gangguan air.

“Kertas salinan ini akan dihantar kepada Syabas, dan Syabas perlu hadir tiga minggu dari sekarang untuk membela dirinya kenapa tidak berjaya memastikan bekalan air di Selangor boleh dibuat dengan baik dan tidak menyusahkan pengguna.

Petisyen ini berhubung gangguan bekalan air disebabkan oleh kerosakan sistem paip di Rumah Pam Wangsa Maju yang mengakibatkan gangguan bekalan air selama tiga minggu pada Disember 2012, dan sekali lagi pada 27 Ogos lalu.

Rafizi berkata demikian selepas mengemukakan fail tuntutan itu di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Menara MRCB, Shah Alam.

“Ini soal untuk memastikan Syabas bertanggungjawab kepada pengguna, sebab sebelum ini dia tak perlu jawab kepada sesiapa, kalau dia nak potong air, dia potong saja, dua minggu ke tiga minggu pun dia tak beritahu. Pengguna perlu tahu bahawa mereka ada hak kalau berlaku gangguan seperti ini,” ujarnya lagi.

Rafizi berkata pihaknya sudah menerima 200 lagi fail tuntutan daripada penduduk Ampang, Pandan, Kelana Jaya dan Klang yang juga mahu Syabas bertanggungjawab diatas kesulitan yang mereka hadapi.

“Selama ini rakyat tak mampu nak ambil tindakan kerana Syabas dilindungi perjanjian konsesi dan kita tak boleh nak akses fail mereka disamping kos peguam yang terlalu mahal,” katanya.

Rafizi menegaskan pengguna mempunyai hak di bawah Seksyen 53 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan setiap perkhidmatan harus disertai jaminan dan ia perlu dijalankan dengan teliti dan baik.

Rafizi mendakwa Syabas tidak menjalankan tugas dengan teliti dan berkemahiran seperti yang dituntut dalam undang-undang dengan membiarkan kerosakan paip secara berulang.

Tribunal menetapkan tarikh 3 Oktober 2013 bagi mendengar tuntutan 15 penduduk berkenaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tindakan segera selamatkan universiti awam

universitiSHAH ALAM 11 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) melahirkan kebimbangan penurunan kedudukan universiti-unversiti awam negara dalam senarai kedudukan universiti dunia, Quacquarelli Symonds World University Ranking 2013.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat dan rakyat Malaysia umumnya perlu menghadapi kenyataan institusi pengajian awam negara perlu diselamatkan.

“Hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan.

“Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya universiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Senarai ini adalah salah satu daripada tiga senarai kedudukan universiti antarabangsa yang berpengaruh dan diikuti ramai, disamping Times Higher Education World University Rankings dan Academic Ranking of World Universities.

Laporan itu menunjukkan enam daripada tujuh universiti awam Malaysia corot.

Laporan dibuat berdasarkan kepada enam ciri penting iaitu pencapaian akademik, kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan, nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti, rujukan penyelidikan, keantarabangsaan pelajar dan tenaga pengajar fakulti.

Enam universiti tempatan yang mengalami kemerosotan adalah Universiti Malaya (UM) daripada kedudukan 156 pada tahun 2012 ke kedudukan 167 pada tahun ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada kedudukan 261 ke 269, Universiti Sains Malaysia (USM) daripada kedudukan 326 ke 355 pada tahun ini.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula merosot daripada 360 ke kedudukan 411-420, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) daripada kedudukan 401-450 ke kedudukan 501-550 dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) daripada kedudukan 601 ke 701 pada tahun 2013.

Manakala hanya satu sahaja institusi pendidikan tinggi awam negara iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang meningkat daripada 358 pada tahun 2012 ke kedudukan 355 pada tahun ini.

“Masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya graduan Melayu Bumiputera banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang setiap tahun disahkan oleh kedudukan ranking universiti awam negara,” jelas Rafizi.

Beliau menyarankan enam langkah untuk memulihkan integriti dan mutu universiti awam negara dalam masa 10 tahun akan datang, yang beliau tegaskan perlu digerakkan mulai sekarang.

Langkah-langkah tersebut adalah: mengembalikan kebebasan akademik dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campurtangan Kerajaan; pemilihan kepimpinan universiti mengikut merit bersandarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan integriti; menghentikan sebarang aktiviti atau program yang berunsur propaganda politik atau yang mengongkong pemikiran kritikal siswazah; sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada pelajar terbaik di universiti-universiti terbaik di Malaysia; dan pemerkasaan kredibiliti akademik fakulti dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia.

“Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran UM berada di tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang,” ujarnya lagi.