Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Kepimpinan negara-negara islam lemah

pidator

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa dukacita dengan kegagalan kepimpinan negara-negara Islam menyuarakan bantahan terhadap pembunuhan rakyat di Syria dan Mesir secara berkesan.

Beliau berkata rata-rata pemimpin termasuk di Malaysia mengambil pendekatan berdiam diri atau tidak bersungguh-sungguh membantu menyelesaikan konflik di negara-negara berkenaan.

“Saya tanya Menteri Luar Turki (Ahmet Davutoglu) mengapa Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) tidak bersidang (membincangkan pembunuhan umat Islam). Dia jawab wakil sidang OIC ialah negara-negara Arab yang kebanyakannya menentang perjuangan rakyat,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan pidato khas sempena Himpunan Solidariti Kemanusiaan Mesir, Syria, Palestin, Rohingya, Bangladesh yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.

Anwar menceritakan pendapat tokoh ulama Islam dunia, Profesor Dr Yusuf Al Qardawi yang menyifatkan zaman ini merupakan zaman suram umat Islam kerana tidak ada pemimpin negara Islam yang berupaya bersuara.

“Ini zaman mendung menyelubungi dunia Islam, ini zaman malapetaka bagi umat, ada pemimpin tidak berupaya bersuara, masjid dirobohkan tidak mampu bersuara, apa pemimpin negara-negara Islam menyebut ‘masjid diserang di Kaherah, kita serah pada PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, nada sama turut disuarakan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang kesal dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menyalahkan rakyat Mesir diatas musibah yang menimpa mereka.

“Saya cukup kesal dengan Perdana Menteri Malaysia apabila diminta komen apa yang berlaku di Mesir. Dia kata ini akibat daripada peralihan kuasa yang berlaku di Mesir.

“Salahkan mereka melakukan peralihan kuasa, sedangkan mereka lakukan peralihan kuasa berasaskan kepada amalan demokrasi, kenyataan PM seolah-oleh berkehendakkan rejim Mubarak terus menguasai Mesir,” katanya.

Sehingga kini, Mahfuz berkata, Najib sehingga kini gagal kerana tidak mewujudkan sidang khas Parlimen atau memanggil ketua-ketua negara Islam membincangkan tragedi itu.

pidarot 2

Categories
NASIONAL

MB : Solidariti kemanusiaan merentasi perbezaan

solidariti kemanusiaan

SHAH ALAM 7 SEPTEMBER : Perbezaan bangsa dan budaya, kelainan pendapat dan fahaman politik tidak sewajarnya dijadikan penghalang untuk bersatu menentang kezaliman dan penindasan, tegas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengenepikan perbezaan dan turut sama membincangkan jalan penyelesaian kepada masalah umat khususnya tragedi pembunuhan rakyat di Mesir, Syria dan Palestin.

“Solidariti adalah penjelmaan rasa prihatin dan sikap tidak mementingkan diri, yang menjamin wujudnya kesejahteraan bersama,” tegas Abdul Khalid, dalam ucapan beliau yang menekankan dasar mempertahan dan mengembalikan hak dan kemuliaan sebagai manusia.

“Hal yang berlaku di Syria, Mesir, Palestin dan Burma menunjukkan manusia semakin hilang kemanusiaannya. Nyawa manusia tidak bernilai lagi. Orang awam, lelaki, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa peluru, gas beracun dan senjata kimia,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Solidariti Kemanusiaan yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri di Stadium Malawati, Shah Alam malam tadi.

Turut hadir, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, kepimpinan NGO Islam Malaysia seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) serta lebih 5,000 hadirin.

“Meskipun kita tidak berupaya berada di barisan hadapan bagi mempertahankan nasib golongan yang tertindas, namun sekurang-kurangnya kita menunjukkan solidariti sebagai tanda simpati kita terhadap nasib mereka yang ditimpa musibah dan bencana,” ujar Abdul Khalid.

Program ini dimulakan dengan solat maghrib berjemaah dan kuliah perdana oleh Ustaz Jel Fathullah Al-Anshori yang dibawa khas dari Indonesia.

Seterusnya, program diteruskan dengan solat hajat dan Qunut Nazilah serta tayangan video ‘Mesir Menangis & Flash Mob ‘Air Mata Syria’. Manakala kemuncak program adalah perlancaran Kempen ‘Malaysia 4 R4bia’.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ, KTMB digesa baikpulih longkang elak banjir

ktmPETALING JAYA 4 SEPTEMBER : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) digesa bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah longkang tersumbat sehingga menyebabkan banjir kilat di perumahan Jalan Railway 1/2.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran berkata, penduduk sering mengalami tragedi banjir kilat sejak lapan tahun lalu berikutan sistem saliran di kawasan milik KTMB didakwa tidak diselenggara dengan baik.

Katanya, KTMB perlu menyelenggara saliran berkenaan dengan lebih kerap iaitu sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mengelakkan banjir.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Dhanaraj, 59, berkata beliau seringkali mengajukan masalah berkenaan kepada MBPJ tetapi tiada penyelesaian berjaya dilakukan.rajiv

“Rumah saya dikawasan rendah, bila hujan memang masuk air sampai dalam rumah. Air tidak masuk ke dalam longkang, mungkin sebab longkang itu terlalu rendah dan tak mampu menampung air yang banyak,” katanya yang tinggal di kawasan ini sejak 40 tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Wong Ah Lek, 49, berkata kawasan rumahnya dinaiki air sekurang-kurangnya 3kali sebulan dan ini merumitkan kehidupan sehariannya.

“Sekarang musim hujan, saya mintak pihak yang terlibat segera mengambil jalan penyelesaian supaya masalah ini dapat diatasi,” katanya.

Mereka meminta MBPJ menghantar notis kepada KTMB supaya menyelenggara sistem saliran di kawasan yang didiami lebih 60 buah rumah itu.

Katanya, MBPJ juga diminta membina saliran baru yang lebih besar dan tinggi kerana saliran sedia ada tidak berkesan mengalirkan air hujan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Selangor tumpu pembangunan desa yang diabai sejak 56 tahun merdeka

logo-merdeka-2013-wallpaperSHAH ALAM 31 OGOS : Pentadbiran telus dan berhemah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu membolehkan setiap rakyat mendapat pelbagai kemajuan dan kemudahan yang disediakan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar Selangor itu berkata, setiap rakyat tidak kira perbezaan agama dan bangsa tidak terlepas daripada menikmati pelbagai manfaat melalui skim dan program yang dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, Kerajaan Negeri kini menumpukan kepada pembangunan desa yang dahulunya diabaikan supaya pendapatan masyarakat kampung dapat ditingkatkan selari dengan pembangunan di bandar.

“Sejak Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat, dari pentadbiran telus, bersih dan berhemah, pelbagai program dan strategi di buat, impak kemajuan diagih kepada rakyat, dari usia bayi ke liang lahad, yang miskin, yang berada, yang bekeluarga, yang bujang, tiada anak Selangor tertinggal mendapat kemajuan dan kemudahan yang diberikan.

“Pembangunan desa mahu diketengahkan setelah 55 tahun gagal dimaju, pelbagai pemberian agar pendapatan penduduk kampung dapat ditingkatkan, Kerajaan Pakatan Rakyat jadikan ia antara tumpuan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri Selangor yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Selangorku Maju’ di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di sini malam tadi.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Panglima Diraja Selangor, barisan Exco Selangor, pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan serta lebih 30,000 pengunjung berbilang bangsa.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan kecemerlangan pentadbiran supaya setiap rakyat di Selangor menikmati setiap kemajuan yang akan dilaksanakan.

“Kerjasama pemimpin dan pihak lain sentiasa dipantau agar sistem penyampaian dilaksanakan agar kebajikan dan kemaslahatan sentiasa
diutamakan, agar tiada pemimpin bertuah mengayakan kroni dan keluarga, bahkan kemudahan lain kepada pelabur sentiasa dijaga.

“Justeru, dalam tempoh lima tahun Pakatan Rakyat, kita akan teruskan kecemerlangan demi kemakmuran, Selangorku maju, rakyat bersatu,” katanya lagi.

Sambutan itu dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan 45 kontinjen yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),

Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta lain-lain jabatan kerajaan.

Turut memeriahkan acara ialah persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertunjukan aksi lagak ngeri Tatu ATM dan pancaragam sekolah-sekolah.

Laungan slogan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dan pertunjukan bunga api mengakhiri sambutan kemerdekaan itu tepat pukul 12 tengah malam.

-FZL

Categories
SELANGOR

MPSJ serbu 3 pusat urut tawar perkhidmatan tidak bermoral

DSCN5842 (1)SHAH ALAM 31 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyerbu tiga pusat urut termasuk tanpa lesen yang menawarkan perkhidmatan tidak bermoral termasuk urutan batin dan seks.

Ketika serbuan kelmarin, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, seorang tukang urut dikesan memberi perkhidmatan seks.

Beliau berkata, soal siasat mendapati pengusaha premis menawarkan perkhidmatan tidak bermoral itu dengan bayaran RM120 sehingga RM180 atau lebih.

“Tindakan menyita tiga set peralatan urut dan penutupan premis. Seorang penjaga premis, seorang tukang urut warga China dan seorang lelaki tempatan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Turut diserbu sebuah premis yang beroperasi selama dua bulan di SS15, Subang Jaya kerana tidak ada lesen.

Tiga peralatan urut disita dan premis itu ditutup berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPSJ 2007 kerana mengendalikan pusat urut tanpa lesen.

Operasi dua jam itu diketuai Penolong Pegawai Penguatkuasa MPSJ, Ravintran bersama 23 penguatkuasa dan polis dari balai SS17, Subang Jaya.

Sebuah premis lain yang ada lesen sah turut disita kerana menawarkan perkhidmatan urutan batin kepada pelanggan.

Seorang penjaga premis, dua tukang urut warga Thailand dan seorang lelaki tempatan ditahan.

MPSJ turut menyita tiga set peralatan urut dan premis berkenaan ditutup kerana melanggar syarat.

Denda maksimum RM1,000 dikenakan terhadap ketiga-tiga premis berkenaan bagi setiap kesalahan.

– FZL

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air, Syabas patut bayar pampasan – Rafizi

Miter_air_SyabasSHAH ALAM 29 OGOS: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) patut memberi pampasan kepada pengguna yang terjejas setiap kali berlaku gangguan bekalan air, kata Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, kegagalan Syabas menyelenggara rumah pam di Wangsa Maju sehingga menyebabkan gangguan benar-benar mengecewakan rakyat dan tidak boleh diterima sama sekali.

Katanya, Syabas selaku pemegang konsesi bekalan air terbesar di Selangor harus memiliki sikap tanggungjawab dengan memberi pampasan kepada pengguna yang terkesan dari gangguan bekalan air.

“Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli di Lembah Klang, kelemahan itu tidak boleh diterima sama sekali,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Kejadian sedemikian sama seperti berlaku Disember tahun lalu apabila penduduk sekitar Pandan, Ampang, Gombak dan Wangsa Maju mengalami gangguan bekalan air selama tiga minggu berikutan kerosakan di rumah pam Wangsa Maju.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, satu keputusan dibuat untuk memfail kes tuntutan terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Seksyen 53, Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Seksyen itu menyebut: “Jika perkhidmatan dibekal kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa perkhidmatan itu akan dijalankan dengan ketelitian dan kemahiran yang munasabah.”

“Jika Syabas ada ketelitian dan kemahiran yang munasabah, kelemahan yang menyebabkan gangguan bekalan air berulang sudah lama diatasi,” kata Rafizi.

Selain itu, beliau berkata, Pusat Khidmat Parlimen Pandan membantu pengguna untuk mengisi maklumat di www.rafiziramli.com/tribunalpengguna bagi memfailkan kes tuntutan pampasan.

Selain menulis surat kepada Pengerusi Syabas, Tan Sri Rozali Ismail untuk meminta penjelasan, beliau berkata, langkah itu sebagai kempen tersusun supaya Syabas bertanggungjawab setiap kali berlaku gangguan bekalan air.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga rumah tinggi, bukan berpunca daripada kos pembinaan

rumah mampu milik sutera damansara 01

PANDAN 28 OGOS : Peningkatan harga rumah di kawasan Lembah Klang khususnya bukan berpunca semata-mata daripada kos pembinaan, tetapi spekulasi yang dilakukan oleh pembeli dan penjual sesebuah rumah.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad berkata, harga rumah yang tinggi antara lain didorong oleh sikap mahu mengaut keuntungan yang tinggi.

“Peningkatan harga rumah sekarang ini kerana spekulasi. Spekulasi bermakna orang beli dan orang jual, itu satu daripada punca. Saya lihat bahawa isu harga rumah bukan kerana kos pembinaan semata-mata,” katanya.

Sebagai contoh, Iskandar berkata, kos pembinaan bagi rumah teres dua tingkat berkeluasan 1,500 hingga 1,600 kaki persegi memerlukan kos sebanyak RM100 hingga RM150 bagi satu kaki persegi.

Tetapi kos jualan sebuah rumah boleh menjangkau sehingga RM500,000, bersamaan RM300 setiap satu kaki persegi.

“Ini bermakna hampir RM200 bagi setiap satu kaki persegi bukan kerana kos pembinaan. Jadi saya tidak bersetuju apabila pemaju beralasan kos pembinaan yang tinggi kerana harga barang-barang pembinaan yang mahal,” jelas Iskandar.

Beliau berpendapat antara langkah yang boleh diambil untuk menangani spekulasi adalah dengan menurunkan kadar pinjaman kewangan bagi rumah kedua sehingga 50 peratus.

Antara langkah lain adalah menaikkan cukai RPGT sehingga 30 peratus supaya rumah bukan dibeli untuk dijual semata-mata.

“Tetapi dari segi harga rumah, kita tak boleh nak letakkan harga maksimum tetapi perlu ada peratusan yang boleh dibeli oleh rakyat biasa,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RM15.8 juta diperuntukkan bagi Skim Ceria

ceria-iskandar-selayang-01

PANDAN 28 OGOS : Sebanyak RM15.8 juta diperutukkan untuk Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Pangsapuri (Ceria) sejak dilancarkan dua tahun lalu.

Exco Perumahan Ir. Iskandar Abdul Samad berkata sebanyak 17 pangsapuri sudah dibaikpulih pada fasa pertama dan 43 buah pangsapuri telah menerima manfaat skim itu pada fasa kedua.

Skim Ceria merupakan skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri kos rendah dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri. Kerajaan Negeri membantu membiayai 80 peratus kos kerja baikpulih dan selebihnya ditanggung penduduk.

Tahun ini sahaja, sebanyak 45 buah pangsapuri di seluruh Selangor terpilih untuk kerja-kerja baikpulih Ceria.

“Untuk peringkat seterusnya, sebanyak 89 buah pangsapuri masih menunggu kelulusan untuk dibaikpulih,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar bina 35,000 rumah mampu milik

abg is

PANDAN, 28 OGOS : Jawatankuasa Tetap Perumahan mensasarkan 35,000 unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exconya, Ir. Iskandar Abdul Samad, berkata anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sedang giat menyiapkan projek rumah mampu milik yang telah dilancarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Kita telah melancarkan beberapa projek seperti di Seksyen U12 Shah Alam, Ladang Air Manis Sabak Bernam, Antara Gapi, Serendah dan di Sutera Damansara,” katanya.

Beliau menjelaskan strategi perumahan mampu milik Kerajaan Negeri lebih terarah kerana ia menepati jangkauan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Polisi rumah mampu milik Kerajaan Negeri adalah harga yang termahalnya adalah RM150,000, tapi kalau kita lihat Kerajaan Pusat, rumah PR1MA sampai RM300,000, jadi bermakna polisi Kerajaan Negeri lebih tepat berbanding Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Iskandar cadang tingkat peranan LPHS

Iskandar Lawatan Tapak Projek RMM 01

PANDAN, 28 OGOS: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Ir. Iskandar Abdul Samad bercadang memberi peranan membina rumah mampu milik kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Mencontohi Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) Singapura, Iskandar berpendapat langkah itu perlu bagi merancakkan lagi projek-projek rumah mampu milik untuk rakyat Selangor.

“Kita masih belum buat satu keputusan, kalau boleh kita nak tingkatkan bukan sahaja LPHS tetapi satu badan baru untuk membina rumah mampu milik secara khusus seperti ‘Housing Development Board’ di Singapura,” katanya Iskandar.

Majoriti projek perumahan mampu milik di Singapura dibangunkan dan diurus oleh badan awam. Sebanyak 80% rakyat Singapura mendiami estet yang mengandungi pangsapuri HDB, sekolah, pasaraya, klinik, medan makan serta kemudahan rekreasi dan sukan. 95% dari mereka memiliki rumah yang mereka diami.

“Kalau dahulu pihak LPHS hanya bertindak sebagai badan yang mengendalikan polisi perumahan, sekarang ini kita nak satu badan baru untuk membina rumah juga selain daripada PKNS ataupun PNSB untuk membina rumah,” cadang beliau.

Sebelum ini, LPHS menganjurkan seminar teknik pembinaan rumah dengan mudah dan murah, yang dihadiri pakar-pakar daripada syarikat luar negara untuk membantu meningkatkan pembinaan rumah mampu milik di negeri ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 5,000 anak merdeka tolak rasuah

DSC_0233

SHAH ALAM 28 OGOS : Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai laporan masyarakat khususnya golongan belia.

Lebih 5,000 rakyat Selangor berkunjung ke acara tersebut yang bermula seawal jam 7.00 pagi lagi sehingga 12.00 tengah malam.

Pengunjung yang kami temui berkata tema “Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka” amat bertepatan dengan perkembangan isu semasa mutakhir ini. Program khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) amat disambut baik.

“Sambutan ini dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah dan bukannya hiburan semata-mata, selain mesej utamanya memberi penekanan terhadap konsep integriti di dalam diri setiap belia kerana golongan ini merupakan tonggak di masa hadapan,” kata Muhammad Adam Che Yusuf, 23.DSC_0229

Sambutan Hari Belia ini dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi. Dari awal pagi lagi pengunjung didedahkan kepada pelbagai program-program yang menguja pemikiran menanggapi isu-isu penting.

Bagi Safiq Izzat Azmi, 23, sesi penerangan dan dialog mengenai pergolakan politik di Mesir telah membuka matanya.

“Sambutan kali ini saya lihat lebih kepada isu di Mesir bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat negara ini yang masih tidak tahu atau mencari punca apa sebenarnya yang berlaku di negara Mesir,” katanya yang merupakan mahasiswa di sebuah institusi pendidikan tinggi awam.

Antara program menarik yang disediakan adalah sembang santai bersama pakar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.

Turut diadakan pada sambutan sehari itu, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ?Rasuah?, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

Categories
SELANGOR

Hari Belia Selangor bawa isu semasa kepada anak muda

hari belia

SHAH ALAM 25 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini semalam mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

Membawa tema ‘Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka’, ia dihadiri lebih 5,000 orang mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dengan pelbagai acara menarik.

Bagi Muhammad Adam Che Yusuf, 23, program itu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah menarik minat anak muda terhadap isu semasa dalam dan luar negara.

Katanya, program khas seperti bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu memberi penerangan kepada anak muda terhadap gejala rasuah di negara ini.

“Sambutan dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah, bukannya hiburan semata-mata, selain penekanan mesej terhadap integriti dalam diri belia selaku tonggak masa hadapan,” katanya.

Hal sama diakui Safiq Izzat Azmi, 23, yang menyifatkan program itu mengingatkan masyarakat terhadap tragedi berdarah di Mesir.

Katanya, sesi dialog dan penerangan tragedi di negara bergolak itu memberi banyak maklumat mengenai punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir baru-baru ini.

“Isu Mesir memberi gambaran jelas kepada rakyat yang tidak tahu atau mencari punca sebenar pergolakan di Mesir,” kata mahasiswa sebuah institusi pendidikan tinggi awam itu.

Amirul Ridhuan Mohd Noor, 23, pula berkata, usaha kerajaan Selangor menganjurkan program penuh pengisian itu harus dipuji dan dicontohi negeri lain.

?Bukan hanya beriadah atau bersantai secara sihat tetapi turut dihidang dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Ia cara terbaik untuk melahirkan belia berwawasan,? katanya.

Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.

Antara program menarik ialah sembang santai bersama akar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.

Turut diadakan, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ?Rasuah?, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).