Categories
NASIONAL

Najib dan Taib perlu isytihar harta bukti Ketelusan dalam kepimpinan

Najib dan Taib

SHAH ALAM 18 OKT: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan tidak adil jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud tidak mengisytiharkan harta mereka dengan alasan sudah terlalu lama dalam politik.

Johari berkata, pengisytiharan itu perlu dilakukan memandangkan rakyat sudah mengetahui pendapatan ahli politik seperti Menteri Besar dan Ahli Parlimen terutama membabitkan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak menjadi masalah jika pemimpin politik mempunyai harta yang banyak dengan syarat mereka mampu menjelaskan kaedah perolehan harta terbabit.

“Pasti tidak adil jika mereka tidak mengisytiharkan harta yang dimiliki. Apa yang perlu ditakutkan jika dia ada RM50 juta dan boleh menjelaskan kepada umum dari mana dia dapat sumber itu.

“Keengganan pemimpin mengisytiharkan harta menyebabkan timbul prasangka bahawa mereka sedang menyembunyikan sesuatu. Saya rasa ketakutan untuk mengisyitiharkan harta mesti ada landasannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Pensyarah Universiti Malaysia (UM), Muhammad Asri Mohd Ali, berkata adalah tidak adil bagi dua pemimpin berkenaan mengisytiharkan harta mereka kerana sudah lama berada di dalam politik.

Johari yang juga bekas mahasiswa UM turut melahirkan kekecewaan berhubung kenyataan berkenaan kerana pengisyitiharan harta adalah tindakan terbaik untuk mengenalpasti individu yang terbabit atau ingin menceburi arena politik tidak dikaitkan dengan rasuah.

“Seperti yang diketahui umum, pemimpin baru atau lama wajar mengisytiharkan harta mereka kerana kaedah ini mampu mengenalpasti individu berkenaan tidak terbabit dengan rasuah dan saya kira ini adalah tindakan paling baik. Kalau betul terbabit dengan perniagaan, pemimpin itu isytiharkan sahaja harta mereka tanpa perlu disorokkan.

“Sekiranya pemimpin mula mengisyitiharkan harta, dia mungkin boleh bergelar jutawan jika mempunyai harta yang banyak dan itu tidak menjadi isu di negara ini. Sebagai contoh, tidak akan timbul sebarang kesalahan jika Syed Mokhtar Al-Bukhary, Vincent Tan atau mana-mana pihak ingin menyertai politik dan mengisytiharkan harta mereka dengan jumlah yang banyak,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

AES :Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

aes-johari

SHAH ALAM, 22 OGOS: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno-BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Operasi Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

– MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Demokrasi ‘Mati’ dalam Umno

johari abdul-umno

SHAH ALAM, 19 OGOS – Kesediaan Umno untuk membuat perubahan dalam pemilihan agung parti Oktober ini dilihat tidak mampu diterjemahkan memandangkan masih ada permintaan ahli untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

Keadaan ini nyata meletakkan Umno ditakuk lama meskipun melaungkan agenda perubahan parti agar terus kekal relevan dalam politik tanah air.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, peraturan baru pemilihan Umno yang menetapkan sesiapa ingin bertanding perlu mempunyai pengalaman menjawat jawatan tertinggi di dalam sekurang-kurangnya tiga penggal boleh menggagalkan usaha menaikkan calon berwibawa.

“(Keadaan ini) sekaligus mematikan proses demokrasi dalam parti tersebut kepada pendatang baru yang tidak boleh bertanding seperti anak mantan Perdana Menteri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir,” katanya kepada Tv Selangor.

Sebelum ini beberapa tokoh akademik membuat saranan agar dua jawatan tertinggi Umno tersebut dipertandingkan bagi membuktikan parti tersebut benar-benar demokrasi.

Namun isu tersebut cuba ditenggelamkan dengan kenyataan balas beberapa pemimpin Umno yang menggesa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Ini disebabkan bimbang berlakunya perpecahan dalam parti.

Menurut Johari, sikap pemimpin-pemimpin Umno yang tidak berani membawa perubahan dalam parti membuktikan parti tersebut semakin berundur kebelakang.

“Ini membuktikan Umno tidak mempunyai apa-apa agenda besar untuk membawa perubahan terhadap parti tersebut selain tidak memberi ruang kepada muka baru menerajui parti itu.” kata Johari

Umno dijangka akan mengadakan pemilihan pimpinan tertinggi dan Majlis Tertinggi (MT) pada 19 Oktober ini.

Kali terakhir dua jawatan tinggi tersebut dipertandingkan ialah pada 2009 lalu.

Categories
NASIONAL

Dakwa enggan amal nepotisme, Mukhriz patut nasihati bapanya dulu

nepotisme

SHAH ALAM 15 OGOS: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir patut menasihati bapanya terlebih dulu sebelum membuat kenyataan untuk tidak memberi projek kepada ahli keluarga.

Seumpama ‘cakap tidak serupa bikin’, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata kenyataan Mukhriz itu meragukan kerana bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad pengamal nepotisme yang ekstrem.

“Sebaik-baiknya Mukhriz menasihati dahulu bapanya yang sebelum ini pernah mengatakan dirinya bersih dan amanah tetapi ‘kotor’ dan kronisme,” katanya kepada TV Selangor.

Semalam, Mukhriz membuat kenyataan kononnya tidak mahu memberi sebarang projek kepada ahli keluarga bagi mengelakkan konflik kepentingan tetapi mahu meminta ‘nasihat’ mereka.

Pada 1997, Mahathir cuba menyelamatkan syarikat anak-anaknya melalui ?bail-out? menggunakan dana Petronas ketika negara berdepan dengan kegawatan ekonomi hingga membawa kepada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Johari bagaimanapun, menyambut baik kenyataan itu yang disifatkan sebagai petanda baik jika dilaksanakan kerana bapa Mukhriz gagal melakukan perkara sama.

“Lihat saja bapanya, cakap mengenai ketuanan Melayu, bersih dan amanah tetapi hakikatnya beliau mengamalkan nepotisme yang ekstrem.

“Bukan sahaja mengaut keuntungan harta kekayaan rakyat untuk diberi kepada kroni tetapi juga memberi projek besar kepada anak-anaknya dan syarikat milik keluarga,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Beliau berkata, Mukhriz harus terlebih dahulu mengamal tender terbuka dengan mendahulukan anak-anak Kedah, sebelum sebelum membuat kenyataan ‘tidak memberi projek kepada keluarga’.

-FZL

Categories
NASIONAL

#Blackout505 22 Jun: Berkumpul di 7 Check Point Sebelum Ke Padang Merbok

flags suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA, 19 JUN: Perserta perhimpunan aman #Blackout505 Sabtu ini diseru agar berkumpul di tujuh ‘check point’ sebelum bergerak bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) ke Padang Merbok pada hari tersebut.

Tujuh ‘check point’ tersebut adalah :

1) Brickfields diketuai Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan dan Pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Marina Chin.

2) Masjid Negara – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, MP Shah Alam Khalid Samad

3) Jalan Pudu – Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Setiausaha Organisasi Parti DAP, Anthony Loke, Ketua Gerakan anti Lynas, Wong Tack, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

4) Jalan Raja Laut (ibupejabat Pas) – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

5) Jalan Raja Laut (Sogo) – Naib Presiden PKR Tian Chua, bekas-bekas pesara tentera

6) Universiti Malaya – aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

7) Pekeliling – Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK.

Kumpulan-kumpulan tersebut akan bergerak ke Padang Merbok selepas solat Zohor dan bergabung di padang tersebut kira-kira jam 2.00 petang.

Demikian menurut MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.

Berita penuh menyulus selepas ini….

 

Categories
NASIONAL

Seleweng PRU13 : SPR Perlu Bersemuka Dengan Rakyat

rafizi 01

PETALING JAYA, 29 MEI : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bersemuka dengan rakyat bagi menjelaskan semua dakwaan dan laporan polis berkaitan penyelewengan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, kesediaan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan OmarĀ  bertemu dengan mana-mana pihak termasuk jawatankuasa #siasatPRU13 adalah suatu yang lucu.

“Saya agak lucu apabila tiba-tiba Datuk Wan Ahmad beriya-iya nak jumpa dengan saya dan wakil-wakil dari Pakatan Rakyat (PR) untuk berbincang,” katanya.

Rafizi mendakwa, pimpinan PRĀ  mengadakan perbincangan bersama SPR berkali-kali tetapi tiada perubahan dilakukan sehingga PRU-13 berakhir.

“Dulu dia kata dakwat kekal boleh kekal, bila tak kekal sebab tak goncang, bila dah goncang tapi masih tak kekal dia cakap kalau kekal tak boleh solat.

“Dia ada lima versi yang berbeza untuk setiap satu penyelewengan yang kita sudah tunjukkan bukti.

“Dulu dia kata tak ada satu pun ‘blackout’ di Malaysia ini, bila tunjukkan laporan polis semalam, dia kata tak apalah nanti kita bincang,” sindirnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

“Saya sendiri hanya bersetuju berjumpa dengan beliau (Wan Ahmad) dalam satu forum rakyat yang mana beliau (Wan Ahmad) mengambil dan menerima soalan daripada rakyat.

“Terutama mereka yang melalui sendiri pelbagai penyelewengan ini dan kami akan kumpulkan dalam satu forum, biar dia (Wan Ahmad), saya, Datuk Johari Abdul, YB Fuziah duduk, biar rakyat tanya dan dia jawab, itu lebih baik,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Johari : #Blackout505 Diteruskan Di Empat Buah Negeri

johari abdul 01

PETALING JAYA, 29 MEI: Perhimpunan aman #Blackout505 akan diteruskan Jun ini melibatkan empat lokasi yang ditentukan penganjur.

Perkara ini diumumkan Pengarah Perhimpunan Blackout 505, Datuk Johari Abdul dalam satu sidang media hari ini.

Tarikh baru perhimpunan #Blackout505 adalah:

10 Jun – Perlis

11 Jun – Sungai Petani, Kedah

12 Jun – Kota Bharu, Kelantan

14 Jun – Batu Pahat, Johor

Menurut Johari, perhimpunan diteruskan dengan tiga asas tuntutan reformasi pilihan raya yang perlu dipatuhi kerajaan.

Tiga asas tuntutan adalah keseluruhan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekarang meletakkan jawatan di atas kegagalan mereka memastikan Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU-13) berjalan dengan telus, cekap, tanpa keraguan dan memenuhi janji mereka kepada rakyat seperti tuntutan Bersih.

Sehubungan itu, satu pasukan SPR baru dilantik dan dipersetujui bersama dengan Pakatan Rakyat dan kumpulan masyarakat sivil yang mewakili rakyat untuk merangka reformasi SPR untuk dibentang serta dipersetujui di Parlimen kelak.

Asas kedua adalah pilihan raya semula di 30 kawasan Parlimen yang diragui bila mana bukti kukuh dibawa.

Sementara asas ketiga adalah menangguhkan sebarang bentuk pindaan undang-undang pilihan raya dan persempadanan semula sehingga anggota SPR baru yang berwibawa dan dipersetujui oleh kesemua pihak dibentuk.

Tegasnya lagi, tuntutan yang dikemukakan adalah jelas untuk dipenuhi supaya pembaharuan selepas penipuan PRU-13 boleh bermula.

“Sehingga kini lebih setengah juta rakyat Malaysia pelbagai kaum dan latar belakang menyertai #Blackout505 di seluruh Malaysia.

“Ia menjadi lambang baru kesedran politik rakyat yang mewakili suara majoriti 51 pertaus rakyat yang menyokong reformasi dan pembaharuan di negara ini,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL

PKR Terima Maklumat ATM Latih Pemuda Umno – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 10042013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Parti Keadilan Rakyat mendakwa beberapa gerombolan orang awam dilatih oleh Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia untuk mensabotaj dan mengganggu program anjuran Pakatan Rakyat secara berterusan.

2. Sebelum ini, TVSelangor melaporkan Markas pilihanraya PKR dan PAS di Seksyen 20, Shah Alam diserang.

Terbaru, dalam kejadian di Teluk Intan Perak, Umno-BN sekali lagi didakwa bertindak ganas mensabotaj mematahkan dan mencabut bendera PAS.

3. Umno-Barisan Nasional terus dibidas kerana mempergunakan agamawan demi kelangsungan politik mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata matlamat menghalalkan cara ini terserlah apabila sekumpulan guru-guru agama pondok mengharamkan rakyat Malaysia mengundi Pakatan Rakyat.

4. Pakatan Rakyat mendakwa, 71 peratus daripada manifesto BN adalah idea kitar semula manakala 15 peratus pula adalah idea yang dicedok daripada manifesto rakyat.

Categories
NASIONAL

Johari Abdul : Pasukan Sabotaj PR Dilatih Tentera, Polis

johari-abdul

PETALING JAYA 9 APRIL : PKR mendakwa terdapat beberapa kumpulan yang dilatih Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melakukan sabotaj dan mengganggu program-program anjuran Pakatan Rakyat (PR) secara berterusan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata selain Kor Risik, polis turut terlibat dalam melatih kumpulan itu.

Katanya, pihaknya menerima maklumat itu beberapa hari yang lalu daripada beberapa individu yang dilatih oleh Kor Risik itu.

“Di antara maklumat yang kami terima, mereka melatih Pemuda Umno dan orang awam yang bukan Umno untuk lakukan sabotaj dan memantau kegiatan PR secara berterusan.

“Mereka ini terlibat dalam mempertahankan kuasa politik Umno-BN. Kami bimbang jika mereka dipaksa membantu Umno-BN.

?Pada mulanya, maklumat ini sukar dipercayai, tetapi disebabkan ia datang dari ahli-ahli kumpulan tertentu yang mendakwa mereka dilatih, jadi wajar untuk kami percaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Johari menambah dua kumpulan yang didakwa dilatih oleh Kor Risik itu ialah kumpulan ?Batas? dan ?Warisan Malaya? yang kini sudah bersiap sedia untuk melakukan huru hara khususnya di Lembah Klang.

“Ahli kumpulan ini bertaburan diseluruh negara, mereka kini hanya menunggu arahan untuk bertindak. Namun, jumlah mereka kami tidak tahu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, wajar sekiranya Pengarah Kor Risik ATM menafikan perkara itu dan memberi jaminan bahawa pihak ATM tidak terlibat dalam mainan politik kotor pihak Umno-BN.

“Kami juga ingin tahu, adakah benar mesin cetak sudah ditempatkan di Kem Genting Kelang bagi mencetak risalah-risalah yang menfitnah PR.

“Adakah benar Pegawai Kor Risik ditugaskan membawa dan seterusnya memberi wang tunai dengan membeli calon-calon PR pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti?,” soalnya.

Beliau berharap pilihanraya akan datang dapat dilakukan dengan adil dan peralihan kuasa dapat dilakukan dengan aman jika PR berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Tetap Mahu Najib Panggil Sidang Parlimen

johari-abdul

PETALING JAYA, 6 MAC: Pimpinan Pakatan Rakyat(PR) tetap dengan pendirian mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memanggil satu sidang khas parlimen bagi menjawab persoalan penting dan penerangan kerajaan berhubung pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Ini kerana terlalu banyak persoalan berhubung kesediaan anggota keselamatan dan kelengkapan senjata untuk mempertahankan sempadan negara.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, satu penyelesaian politik perlu difikirkan sebagai strategi jangka panjang untuk memulihkan keadaan di Sabah.

Situasi ini mungkin mengakibatkan krisis politik berlarutan meskipun tindakan ketenteraan menyelesaikan konflik ini untuk sementara waktu.

“Parlimen perlu tahu berapa jumlah sebenar penceroboh yang boleh menembusi sempadan negara dan adakah pasukan keselamatan (polis) diberikan arahan serta matlamat tugasan yang jelas semasa menjalankan operasi.

“Adakah ini berlaku kerana kegagalan perisikan dan mengapa pencerobohan ini pada awalnya tidak dianggap sebagai ancaman bersenjata atau kerajaan tersalah anggap ancaman dari gerombolan penceroboh ini?” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya perkara ini tidak boleh dilengahkan memandangkan parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia dan semua wakil rakyat berhak mendapat penerangan sepenuhnya.

Turut hadir sama dalam sidang media di Ibupejabat PKR adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Chin Tong turut menjelaskan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertanyakan mengenai perkara ini kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz namun segala keputusan terletak di tangan Najib.

Sementara itu, Khalid Samad menjelaskan perkara ini perlu dibincangkan sebagai satu gabungan bagi mencari jalan penyelesaian kerana melibatkan isu keselamatan negara selain rakyat mendapat penjelasan sebenar.